Search This Blog

Monday, March 3, 2014

Bunuh: Perompak jerut leher, sumbat mulut mangsa


ROHANA ISMAIL
3 Mac 2014

Bunuh: Perompak jerut leher, sumbat mulut mangsa
Bunuh: Perompak jerut leher, sumbat mulut mangsa Anak saudara mangsa, Wan Din Wan Mamat menunjukkan kesan umpil di pintu bilik tidur Wan Meriam. Gambar kecil: Arwah Wan Meriam

Bunuh: Perompak jerut leher, sumbat mulut mangsa
Pintu kedua bahagian dapur rumah mangsa mempunyai jeriji besi namun kuncinya sudah rosak.
Bunuh: Perompak jerut leher, sumbat mulut mangsa
Ruang tamu rumah mangsa berselerak dipercayai diselongkar pencuri.
TUMPAT – Seorang wanita warga emas ditemui mati di rumahnya, di Kampung Kutan Tengah, di sini awal pagi semalam, dalam keadaan terbaring atas katil, di bilik tidur dengan mulutnya disumbat tuala.

Mangsa, Wan Meriam Wan Mahmood, 85, yang tinggal bersendirian di rumahnya dipercayai dibunuh kejam selepas rumahnya dipecah masuk dan mayatnya ditemui oleh cucunya, Mohd Faizal Abdul Samad, 30.

Dalam kejadian itu, rantai leher dan gelang tangan milik mangsa didapati hilang, malah baju dalam dipakai mangsa yang dipercayai mengandungi wang simpanan dalam poket berzip turut lesap.

Mohd Faizal memaklumkan, sebelum dia menemui mayat mangsa, penjenayah ada menghubunginya pada jam 3.30 pagi menggunakan telefon bimbit milik mangsa.

Menurutnya, dia memang mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa arwah neneknya yang mesra dengan panggilan Mek selepas menerima panggilan tersebut.

"Mek tak pandai dail nombor sesiapa pun. Dia hanya tahu terima panggilan. Apabila saya menerima panggilan tersebut, saya memang syak ada orang lain di rumah Mek yang menelefon saya.

"Saya tak sempat jawab panggilan pertama dan ketika menjawab panggilan kedua, pemanggil senyap dan saya percaya penjenayah yang bunuh Mek menelefon saya ketika itu," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian.


Terkejut lihat pintu dapur terbuka

Mohd Faizal berkata, ketika menerima panggilan tersebut, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak bersebelahan rumah mangsa selepas keluar minum di Wakaf Bharu bersama rakannya, Wan Mohd Sani Wan Hassan, 23.

Katanya, ketika panggilan diterima, dia berada berhampiran Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Tok Wan Ali, kira-kira 100 meter dari rumah mangsa.

Menurut Mohd Faizal, dia meletakkan kereta jauh sedikit dari rumah mangsa dan berjalan kaki bersama Wan Mohd Sani, lalu masuk perlahan-lahan ke kawasan rumah mangsa.

"Kami terkejut mendapati pintu dapur terbuka. Pada mulanya saya sangka Mek lupa tutup pintu tetapi selepas masuk ke dalam rumah, saya lihat ruang tamu berselerak seperti digeledah pencuri. Saya terus cari penjenayah tapi tak jumpa.

"Kemudian saya meluru masuk ke bilik Mek yang tidak berkunci untuk kejutkan dia tetapi Mek sudah meninggal dunia. Mulut Mek disumbat tuala dan hanya kain batik menutup separuh tubuhnya. Telefon bimbit milik Mek juga hilang," katanya.

Mohd Faizal berkata, dia percaya penjenayah memasuki rumah mangsa melalui dapur kerana terdapat kesan umpil pada pintu dapur dan bilik tidur mangsa.

"Walaupun ada jeriji besi pada pintu kedua bahagian dapur tetapi kunci jeriji tersebut rosak. Pintu kedua bahagian dapur hanya disendal dengan penyapu dan tong sampah," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Mangsa mempunyai lapan rumah sewa berdekatan kediamannya, dengan enam daripadanya berpenghuni.  

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

No comments:

Post a Comment