Search This Blog

Saturday, March 8, 2014

Bekas Presiden Perancis, isteri dakwa penasihat


2014/03/08

PARIS: Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan isterinya, Carla Bruni memfailkan saman membabitkan rakaman audio mereka yang dibuat secara rahsia oleh penasihatnya ketika kempen pilihan raya 2012, kata peguam pasangan itu semalam.

Pendedahan Patrick Buisson yang rapat dengan Sarkozy merakamkan perbincangan selama beberapa jam antara pemimpin konservatif itu dengan rombongannya mencetuskan kegemparan dalam parti UMP beberapa minggu sebelum pilihan raya tempatan.


Bertanding pilihan raya presiden 2017

Sarkozy dijangka bertanding dalam pilihan raya presiden 2017 selepas tewas kepada Francois Hollande dua tahun lalu.

“Nicolas Sarkozy dan Carla Bruni-Sarkozy tidak dapat menerima bahawa apa-apa yang dicakapkan secara peribadi dirakamkan dan disiarkan tanpa persetujuan mereka,” kata peguam Thierry Herzog dan Richard Malka dalam satu kenyataan.

“Mereka memutuskan untuk membuat dakwaan melalui satu proseding tergempar tidak lama lagi yang akan difailkan di Mahkamah Paris Grand Instance,” kata mereka.

“Melindungi rahsia perbualan peribadi adalah satu daripada prinsip asas sebuah masyarakat demokrasi.”
Petikan rakaman itu disiarkan minggu ini melalui Le Canard Enchaine dan halaman berita sayap kanan, Atlantico.fr.

Peguam Buisson, Gilles-William Goldnadel berkata bahawa rakaman itu adalah tulen. Katanya anak guamnya membuat rakaman itu untuk tujuan penyelidikan bersejarah dan tidak berniat untuk didedahkan kepada umum.

Dalam petikan yang disiarkan, Sarkozy kedengaran membincangkan strategi pilihan raya dan satu rombakan Kabinet pada 2011 manakala Bruni dirakamkan berjenaka mengenai bagaimana beliau terpaksa menghentikan karier peragaan beliau ketika bergelar wanita pertama Perancis.

“Saya ingat saya mengahwini seorang lelaki yang bergaji. Saya mendapat kontrak besar dan sekarang tiada apa-apa,” katanya sambil menambah jika Sarkozy kalah dalam pilihan raya beliau akan aktif semula dan mula menjual krim anti kedutan.

Media Perancis berkata lebih banyak yang akan didedahkan melalui rakaman yang dibuat pada 2011 itu.

Goldnadel berkata rakaman terbabit yang dibuat Buisson menggunakan alat yang diletakkan dalam poketnya kemudian dimuat naik dalam komputer peribadinya itu dicuri dari Buisson dan beliau akan memfailkan aduan kerana kecurian oleh orang yang tidak dikenali. – Agensi

No comments:

Post a Comment