Search This Blog

Sunday, March 23, 2014

16 gerai penjaja disita, diroboh MPS

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 gerai penjaja disita, diroboh MPS
Anggota MPS sedang mengangkut gerai penjaja yang tidak mempunyai lesen dalam operasi yang dijalankan Khamis lalu.
23 Mac 2014
 RAWANG - Sebanyak 16 gerai penjaja di Bandar Tasik Puteri disita dan diroboh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi yang dijalankan Khamis lalu selepas menerima aduan melibatkan kacau ganggu dan halangan.

Penolong Penguatkuasa MPS, Megat Ainul Fadzlil Ainul Fadzil berkata, amaran dan notis peringatan telah dikeluarkan, namun tidak dihiraukan peniaga.

“Tindakan sita terus diambil terhadap penjaja yang tiada permit termasuk menyita kerusi, meja, khemah dan payung serta tiga bakul buah tembikai.

“Penguatkuasaan adalah melibatkan keseluruhan kawasan Medan Puteri menggunakan dua lori penguatkuasa dan dua lagi lori dari jabatan lain dalam MPS,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, tidak terkecuali tindakan juga melibatkan penjaja di luar pagar sekolah.

“Mereka tiada permit kebenaran menjalankan perniagaan di luar pagar sekolah kerana mengundang kesesakan lalu lintas dan membahayakan keselamatan pelajar.

“Tindakan tidak melibatkan Green Valley kerana ia di luar bidang kuasa. Kawasan itu adalah tanah kerajaan di bawah Pejabat Tanah daerah Gombak,” katanya.

Katanya, tindakan adalah di bawah Undang-undang Kecil Penjaja MPS 2007 dan operasi melibatkan 50 anggota penguatkuasa dengan kerjasama polis.

Operasi bermula jam 10 pagi dan berakhir sejam kemudian.

Dalam operasi berkenaan, seorang peniaga hilang pertimbangan dan mengamuk selepas anggota penguatkuasa mengambil kerusi miliknya.

Bagaimanapun keadaan terkawal selepas wanita berusia 30-an itu bertindak meninggalkan kawasan.

No comments:

Post a Comment