Search This Blog

Saturday, February 8, 2014

Telan racun lepas bercerai

Oleh Ramli Ibrahim
Gua Musang: “Selama 20 tahun berkahwin kami kerap berbalah, malah dia pernah mengungkapkan perkataan mahu membunuh saya. Dia panas baran dan sudah beberapa kali saya menuntut cerai daripadanya,” kata Nisah Drani, 38, bekas isteri seorang lelaki yang menelan serbuk dipercayai racun sehingga tidak sedarkan diri selepas mereka bercerai, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi di Taman Bunga Tropika, di sini, lelaki berusia 53 tahun itu kini bertarung nyawa selepas dilaporkan kritikal dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.
Nisah yang mempunyai empat anak berusia 10 hingga 19 tahun hasil perkongsian hidup dengan lelaki itu berkata, sebelum kejadian, mereka ke Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang untuk menyelesaikan kes tuntutan perceraiannya pada jam 8.30 pagi dan bekas suami melafazkan cerai terhadapnya di mahkamah berkenaan.
Katanya, ketika di rumah pada jam 3 petang, bekas suami yang bekerja sebagai pemandu lori tidak berpuas hati apabila berulang kali bertanya sama ada dia benar-benar mahu bercerai sedangkan lafaz cerai sudah diungkapkan di mahkamah.
“Saya hanya berdiam diri kerana tidak mahu berbalah.

Tiba-tiba dia mengambil sebilah pisau dan cuba mengelar muka saya, tetapi dihalang anak lelaki sulung.
“Lelaki itu kemudian mengambil botol mengandungi serbuk dipercayai racun dan terus menelan serbuk berkenaan.
Foto

Tidak lama kemudian, dia rebah sebelum saya menghubungi Hospital Gua Musang (HGM) yang menghantar ambulans bagi membawa bekas suami ke hospital,” katanya.

Menurutnya, dia dimaklumkan bekas suami kemudian dirujuk ke HRPZ II kerana kerana keadaannya agak kritikal.
Katanya, dia segera membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang.
“Walaupun sudah bercerai, saya tetap sedih dengan apa yang berlaku dan tetap melawatnya di hospital,” katanya.
Sementara itu, jurucakap IPD Gua Musang mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

No comments:

Post a Comment