Search This Blog

Wednesday, February 12, 2014

Saksi mengaku ikat kaki bapa Zara Eleena


EMPAT tertuduh dari kiri, Azizi Aizat Ibrahim, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, Mohamad Sharafe Matt Noh dan Muhamad Safwan Muhamad dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 10 Feb. - Seorang saksi dalam kes bunuh pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter dan bapanya dua tahun lalu, mengaku mengikat kaki Omar Peter Abdullah sebelum hidung dan mulut lelaki itu ditekup oleh salah seorang tertuduh kes itu.
Fadhil Rushdan Rahman, 20, yang masih belajar di KTAC mendakwa, keadaan Omar Peter ketika itu meronta-ronta sehingga nafasnya terhenti dan kemudian badan mangsa menjadi sejuk.
Menurutnya, Mohamad Sharafe Matt Noh yang digelar Mat Rof iaitu tertuduh kedua dalam kes itu menekup hidung dan mulut Omar Peter menggunakan kemeja-T yang berada di dalam salah satu bilik di rumah tersebut.
Saksi pendakwaan pertama itu memberitahu demikian semasa memberi keterangan dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin pada hari pertama perbicaraan kes bunuh dua beranak itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Dalam kes itu, seramai empat bekas pelajar KTAC iaitu Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, atau nama samaran Shah; Mohamad Sharafe, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, atau Boy; dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, atau Chap didakwa membunuh dua beranak itu.
Mereka didakwa membunuh Zara Eleena yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac 2012.
Mereka juga menghadapi tuduhan kedua iaitu membunuh Omar Peter, 56, di tempat sama antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan pukul 1.30 pagi keesokannya.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Menceritakan kejadian awal, saksi itu berkata, pada malam 8 Mac, Zara Eleena membawa dia, Mat Rof, Boy dan Shah ke rumah wanita itu untuk tujuan berubat kerana ada ustaz akan datang mengubati Zara Eleena.
Kemudian, menurutnya, Zara Eleena keluar semula bersama Shah untuk menjemput Chap dan seorang ustaz dan ketika itu berlaku kejadian menekup mulut dan hidung Omar Peter sehingga lelaki itu tidak bernafas.
Menurut saksi itu, selepas 30 minit, Zara Eleena kembali bersama Shah dan Chap dan ketika Zara Eleena bertanyakan tentang bapanya yang tidak kelihatan di ruang tamu, Shah menghalang pensyarah itu daripada berjumpa bapanya dan menyuruh wanita itu masuk ke biliknya.
Ketika ditanya apa berlaku selepas itu, saksi mendakwa, dia yang berada di ruang tamu bersama Mat Rof, Boy dan Chap mendengar bunyi tulang patah dari bilik Zara Eleena.
Kemudian menurutnya, Shah meminta bantuan Boy untuk menekup muka Zara Eleena yang terbaring di atas lantai dengan bantal sebelum wanita itu meronta-ronta dan tidak bergerak.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Shah, Fadhil Rushdan menyatakan, dia mengenali Zara Eleena selama sebulan iaitu ketika dia baru menuntut di kolej tersebut.
Mengenai hubungannya dengan kesemua tertuduh, dia mendakwa, Mat Rof merupakan rakan serumahnya dan tiga yang lain hanya kawan sekolej.
Ketika disoal mengenai kematian Omar Peter, saksi itu berkata, dia tidak membantu mangsa lelaki itu melepaskan diri, tidak menghalang Boy menekup mangsa dan hanya mengikut Boy dan Mat Rof dari belakang sahaja.
Dia juga mengaku mengikat kaki Omar Peter dengan tali selepas diarahkan oleh Mat Rof dan terpaksa mengikut arahan itu kerana ketakutan.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman yang mendengar kes itu turut bertanyakan soalan mengenai apa yang ditakuti oleh saksi itu namun Fadhil Rushdan hanya mendiamkan diri.
Saksi juga mendakwa dia tidak tahu mengenai kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang milik Zara Eleena yang pernah dicuri dan menafikan terlibat melakukan perbuatan itu.
Perbicaraan bersambung esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140211/ma_01/Saksi-mengaku-ikat-kaki-bapa-Zara-Eleena#ixzz2t3Fot0GP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment