Search This Blog

Thursday, February 20, 2014

Polis tahan teman lelaki wanita mati dibelasah


2014/02/20
Subang Jaya: Polis menahan teman lelaki seorang pegawai khidmat pelanggan sebuah bank di ibu negara yang mati dipercayai akibat dibelasah, Isnin lalu, bagi membantu siasatan.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika menerima rawatan di Wad Trauma Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 12.45 tengah malam kelmarin.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata suspek yang juga penganggur ditahan sejurus dia selesai menerima rawatan akibat kecederaan di kepala dipercayai tercedera ketika bergaduh dengan mangsa.

“Sejurus menerima laporan kematian mangsa, kita hantar sepasukan anggota polis ke PPUM untuk menahan suspek.

“Pagi tadi (semalam) suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah reman dan dia kini direman tujuh hari sehingga 25 Februari ini,” katanya.

Dibelasah guna objek tumpul

Media sebelum ini melaporkan, Pakizah Raja Khan, 27, meninggal dunia selepas lebih sejam dirawat di PPUM akibat cedera kedua belah tangan, lutut selain terdapat kesan lubang pada dahi dan bibirnya terkoyak.
Mangsa dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 12.10 tengah malam Isnin sebelum disahkan meninggal dunia satu setengah jam kemudian.

Sebelum kejadian itu, mangsa yang tinggal di Sungai Long dekat Kajang dikatakan ke rumah teman lelakinya di Lagoon Perdana, Bandar Sunway kira-kira jam 8 malam Isnin untuk berbincang masalah hubungan mereka.

Bagaimanapun, sebaik Pakizah tiba di rumah itu, pasangan terbabit dikatakan bergaduh dan suspek didakwa hilang sabar serta membelasah mangsa menggunakan objek tumpul.

Suspek kemudian menghubungi ibu mangsa jam 8.50 malam meminta wanita itu datang ke rumahnya tanpa memberitahu sebab.

Ibu mangsa, Maimunah Abdullah, 49, mendakwa apabila sampai di rumah teman lelaki Pakizah jam 12 tengah malam, dia melihat anaknya meronta-ronta menahan sakit sebelum dikejarkan ke PPUM.

No comments:

Post a Comment