Search This Blog

Wednesday, February 12, 2014

Nirmala beri keterangan bercanggah

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Bekas pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat acap kali memberi jawapan yang dianggap bercanggah dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung kecederaan yang didakwa dialami akibat dikasari oleh bekas majikannya, Yim Pek Ha.
'Percanggahan' jawapan itu menyebabkan peguam Chan Vy Sing, yang mewakili Pek Ha dan suaminya, Hii Ik Ting dalam kes saman terhadap pasangan itu, menganggap keterangan wanita berusia 29 tahun itu hanyalah rekaan semata-mata.
"Tindakan kamu ini sebenarnya cuba memperbaiki keterangan yang diberi lapan tahun lalu dalam usaha mendapatkan ganti rugi daripada pasangan terbabit," tegas beliau.
Nirmala yang memberikan keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid tidak bersetuju dengan cadangan yang diajukan oleh Vy Sing.
Peguam itu bertanya Nirmala yang berasal dari Desa Tuapakas di Kota Kupang, Indonesia itu dengan mengimbas semula keterangannya di Mahkamah Sesyen.
Ibu kepada dua orang anak itu antaranya menyatakan, ketika kejadian Pek Ha dikatakan mencederakan payu daranya dengan seterika, dia tidak ingat sama ada dia memakai coli atau tidak.
Walhal Nirmala pernah memberitahu Mahkamah Sesyen, ketika Pek Ha melakukan perbuatan itu, dia memakai coli namun keterangannya kini, dia mengatakan, telah diarahkan oleh Pek Ha supaya menanggalkan coli terlebih dahulu sebelum ditekap dengan seterika.
Ketika peguam membandingkan kesemua keterangan tersebut, Nirmala menjawab ringkas, tidak bersetuju (dengan keterangannya di Mahkamah Sesyen).
Nirmala bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam yang ingatannya tentang kejadian itu ketika memberi keterangan pada 2006 lebih baik berbanding sekarang.
Apabila Vy Sing menganggap percanggahan keterangan tersebut menunjukkan dia tidak berkata benar, Nirmala menyatakan, dia tidak berbohong.
Pada suatu tahap, peguam itu meminta pula Nirmala menandakan kesan seterika di bahagian belakang badannya seperti yang didakwa kelihatan dalam gambar.
Ketika Nirmala sedang membuat penandaan, Siti Khadijah mengingatkan wanita itu, dia perlu menandakan kesan seterika yang kelihatan dalam gambar dan bukannya kesan yang dirasakan ada.
Perbicaraan bersambung esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140212/ma_03/Nirmala-beri-keterangan-bercanggah#ixzz2t3Dxhnqd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment