Search This Blog

Monday, February 17, 2014

Masjid dibaling ketulan daging babi


BUKIT MERTAJAM 16 Feb. - Pembantu Imam Masjid Cherok Tok Kun Atas, Machang Bubok dekat sini, terkejut selepas menemui seketul daging yang dipercayai daging babi di hadapan pintu masuk masjid berkenaan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, Saad Arop, 78, tiba awal di masjid berkenaan untuk membuat persiapan solat Subuh berjemaah, hampir terlanggar daging berkenaan kerana keadaan masih gelap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, Saad yang curiga dengan ketulan daging itu kemudian membuat laporan polis.
"Berdasarkan ciri daging berkenaan, polis percaya daging itu merupakan daging babi dan kita menghantar ke Jabatan Veterinar negeri untuk diuji bagi mendapatkan pengesahan," katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian di sini.
Menurut Mazlan, polis tidak menolak kemungkinan daging itu dibaling dari kawasan luar masjid namun siasatan lanjut masih dijalankan.
"Masjid ini terletak berhampiran jalan utama dan berdasarkan keadaan daging yang masih merah, kita mengesyaki daging ini dicampak sejam sebelum ditemui," katanya.
Mazlan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tempat ibadat dengan niat untuk mengaibkan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu polis.
Dalam masa sama, Mazlan berkata, orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat spekulasi kerana polis telah memulakan siasatan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyelar perbuatan berkenaan sambil menyifatkannya sebagai biadab dan tidak boleh diterima.
"Saya kesal dan mengecam keras perbuatan ini dan berharap polis dapat menyiasat dengan segera. Kita bimbang, jika dibiarkan boleh menimbulkan suasana tegang," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140217/je_04/Masjid-dibaling-ketulan-daging-babi#ixzz2tWZlMEJ5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment