Search This Blog

Wednesday, February 12, 2014

Gagal carum: Pemilik pasar raya didenda

SUNGAI PETANI 11 Feb. - Seorang pemilik pasar raya didenda RM1,800 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan gagal membayar caruman pekerjanya ke dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tiga tahun lalu.
Cheng Chin Yu, 43, didakwa gagal membuat caruman bulanan sebanyak RM19.10 terhadap Noor Shazlina Mhd. Sarif, 31, selama tiga bulan berturut-turut pada Januari hingga Mac 2011 di premis pasar raya di Taman Sejati di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) dan (8) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan 32, Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama.
Seksyen 94 akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan di hadapan Majistret R. Manomani dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada Perkeso, Azmi Ahmad dan Ketua Unit Penguatkuasaan Perkeso, Anuar Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Terdahulu, Azmi memaklumkan, tertuduh belum menjelaskan tunggakan caruman yang perlu dibayar bagi pekerja lain untuk tempoh dari April 2001 hingga September 2011 berjumlah RM1,706.50.
Manomani kemudian mengarahkan tertuduh membayar tunggakan berkenaan dalam tempoh sebulan.
Chin Yu dibebaskan selepas membayar denda tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140212/ma_06/Gagal-carum-Pemilik-pasar-raya-didenda#ixzz2t3FcEQEo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment