Search This Blog

Saturday, February 8, 2014

Caruman tergadai

Banting: Seorang lelaki sanggup mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya sebanyak RM50,000 bagi dilaburkan dalam perniagaan emas dimiliki seorang lelaki hampir dua tahun lalu namun pulangannya hanya bertahan tiga bulan sebelum syarikat serta pemilik syarikat terbabit lesap sehingga kini.
Mangsa tidak lagi mengharapkan wangnya itu dikembalikan sebaliknya berharap lelaki yang mempermainkan perasaan kerana tergamak menipu wang hasil titik peluhnya sepanjang memerah keringat sebagai pekerja kilang itu dibawa ke muka pengadilan.
Adzahar Musa, 56, berkata, dia juga sangat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap penipu berkenaan bagi mengelak mereka seusia dengannya terus menjadi mangsa.
“Sebenarnya pelbagai usaha sudah saya lakukan namun semuanya menemui jalan buntu.
“Saya sudah penat ke sana ke mari meminta bantuan pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah ini namun selepas hampir dua tahun usaha itu hanya sia-sia kerana ia masih tidak dapat diselesaikan.
“Saya sudah tidak tahu mahu meminta bantuan sesiapa lagi kerana apa yang saya harapkan sekarang supaya si pelaku diheret ke mahkamah,” katanya.
Menurutnya, walaupun menyesal kerana terpedaya dengan pujuk rayu ‘pengarah’ terbabit sehingga sanggup memberikan semua wang simpanan KWSP begitu saja, tiada apa yang boleh dibuatnya lagi dan kini pada usianya, dia terpaksa bekerja sebagai tukang kebun dengan bayaran RM300 sebulan untuk membiayai empat anak yang masih bersekolah.
Adzahar berkata, dia terbabit dalam pelaburan emas itu selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa pengarah syarikat pelaburan emas yang dipercayai berasal dari sebuah negeri di pantai timur daripada seorang rakan pada Jun 2012.
“Saya tertarik dengan program pelaburan emas yang diterangkan sehingga pada 13 Jun 2012 saya melabur sebanyak RM20,400 dengan pulangan dijanjikan sebanyak RM1,800 sebulan.
“Bulan pertama saya menerima pulangan seperti dijanjikan menyebabkan sekali lagi termakan pujukan pengarah itu untuk menambah pelaburan dan pada 20 Julai, saya memasukkan RM30,000 ke dalam akaun pengarah terbabit untuk menambah pelaburan dan dijanjikan pulangan sebanyak 50 peratus keuntungan daripada jumlah pelaburan.
“Namun, saya hanya menerima pulangan dua kali sahaja iaitu pada 16 Ogos sebanyak RM1,980 dan 20 September RM2,087 dan sehingga kini tiada lagi bayaran dilakukan.
“Pengarah terbabit juga sudah menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi menyebabkan saya membuat laporan polis pada 4 Mac tahun lalu,” katanya.
Katanya, sebelum menghilangkan diri, pengarah itu menghantar SMS menyatakan pelbagai alasan mengapa dia tidak dapat membayar pulangan pelaburannya.
“Selain membuat laporan polis, pelbagai usaha sudah saya lakukan termasuk meminta bantuan guaman tetapi sehingga kini saya masih menemui jalan buntu,” katanya.
Foto
ADZAHAR menunjukkan rekod transaksi wang yang dilakukan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08

No comments:

Post a Comment