Search This Blog

Monday, February 17, 2014

4,660 PATI, 48 majikan ditahan


ALOYAH Mamat (dua, kanan) bersama Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Hasbullah Abdul Rashid (kanan) memeriksa dokumen warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6P di Juru, Bukit Mertajam, malam kelmarin.
BUKIT MERTAJAM 16 Feb. - Operasi Bersepadu 6P yang dilancarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuahkan hasil apabila seramai 4,660 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 48 majikan ditahan.
Daripada jumlah itu, seramai 3,978 PATI telah dihantar pulang ke negara asal mereka manakala majikan tersebut bakal didakwa di mahkamah.
Mengikut statistik sehingga 14 Februari lalu seramai 18,785 orang pendatang asing juga telah diperiksa dalam operasi selama 24 hari yang bermula sejak 21 Januari lepas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat berkata, kesemua mereka ditahan di seluruh negara kerana melakukan pelbagai kesalahan di samping gagal mendaftar di bawah Program Khas Pengurusan Pendatang Asing Tanpa Izin yang diperkenalkan kerajaan.
"Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 603 operasi telah dijalankan di seluruh negara melibatkan 7,517 pegawai dan anggota," katanya dalam sidang akhbar selepas memantau Operasi Bersepadu Fasa Dua anjuran jabatannya di Flat Taman Pelangi, Juru, dekat sini malam tadi.
Menurut beliau, pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan dan operasi serupa bagi memastikan negara ini tidak menjadi lubuk PATI yang boleh mengancam keselamatan negara.
"Saya ingin tegaskan Jabatan Imigresen akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa dan tiada istilah berhenti walaupun ribuan PATI telah ditahan," katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, dalam operasi di Juru bermula pukul 11.30 malam, seramai 428 orang pendatang asing diperiksa dan 45 orang daripadanya ditahan.
"Kita menjalankan operasi di kawasan ini kerana mendapat maklumat terdapat ramai warga asing tinggal di sini dan pihak berkuasa melihat situasi ini berkemungkinan boleh menimbulkan rasa tidak selamat kepada rakyat tempatan," katanya.
Aloyah berkata, daripada jumlah yang ditahan seramai 26 orang berasal dari Indonesia, Myanmar (10), Bangladesh (3), Nepal (3), India (2) dan seorang dari Vietnam.
"Operasi berkenaan melibatkan 138 anggota daripada pelbagai agensi termasuklah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Juru," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140217/je_01/4660-PATI-48-majikan-ditahan#ixzz2tWf9fJuh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment