Search This Blog

Monday, February 10, 2014

236 saman operasi mat rempit


Kuala Lumpur: Ratusan mat rempit ditahan dan diperiksa dalam dua operasi berasingan di sekitar ibu kota dan Serdang, malam kelmarin.

Di ibu kota, lokasi tumpuan di sekitar Jalan Raja Laut dan Jalan Tunku Abdul Rahman diketuai Pegawai Penguat kuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur Asisten Superintendan Azmi Wahid bersama empat pegawai dan 26 anggota serta seorang pegawai dan tujuh anggota dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Azmi berkata, sebanyak 236 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan antara kesalahan yang ketara adalah tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh dan cukai jalan tamat tempoh.



“JPJ pula mengeluarkan 22 saman dan 65 notis arah periksa ke atas kenderaan yang menggunakan lampu kelip-kelip berwarna biru dan merah yang menyerupai lampu pasukan penguat kuasa.


“Dalam menjalankan operasi, kami mendapati ramai penunggang motosikal terutamanya yang di bawah umur menunggang melawan arus tanpa menghiraukan keselamatan diri hanya kerana tidak memiliki lesen memandu. Bagaimanapun semua mereka dapat ditahan dan seorang daripada mereka diambil tindakan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya,” katanya.


Sementara itu, di Serdang pula, seramai 159 penunggang dan pembonceng motosikal ditahan bersama 143 buah motosikal di Lebuh raya Besraya.

Operasi berkenaan yang diketuai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam / Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang Deputi Superintendan Ramsay Anak Embol dijalankan di kawasan berkenaan selepas mendapat aduan orang ramai mengenai ramai mat rempit berlumba di laluan itu terutamanya pada hujung minggu.


Ketika dicekup, semua mereka sedang menunggang secara berkumpulan dan menghalang lalu lintas. Selepas menjalani ujian air kencing, sembilan daripada mereka didapati positif dadah manakala dua lagi ditahan kerana memiliki sebuah motosikal dilaporkan dicuri di Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

No comments:

Post a Comment