Search This Blog

Wednesday, January 22, 2014

Tayar pecah undang tragedi


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Sungai Buloh: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan treler, kereta dan motosikal di kilometer 453.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran dengan susur keluar ke Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang, sebuah treler yang membawa dua unit konkrit landasan MRT terbabas selepas tayar depan kenderaan itu tiba-tiba pecah sebelum merempuh sebuah kereta Toyota Altis dari arah sama.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata, treler dalam perjalanan dari Rawang ke Sungai Buloh itu kemudian merempuh pula pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh motosikal dinaiki seorang lelaki, Hamzah Abd Rahman, 57.

“Pemandu treler berusia 30 tahun itu dipercayai gagal mengawal keadaan selepas tayar depan tiba-tiba pecah,” katanya.

Menurutnya, treler itu terjatuh ke dalam gaung dan merempuh sebuah rumah penduduk, namun tiada penghuni di dalam rumah berkenaan.

“Dalam kejadian ini, penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala kelindan treler berusia 27 tahun patah kaki kanan manakala pemandu treler dan pemandu kereta hanya cedera ringan,” katanya.

Katanya, mayat dan mangsa yang cedera dibawa ke HSB untuk bedah siasat dan rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan itu juga menyebabkan kesesakan sepanjang tiga kilometer di kedua-dua arah selama lebih dua jam.



Foto
ORANG ramai melihat keadaan treler yang terbabas.

Foto
TOYOTA Altis yang dirempuh remuk teruk.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

No comments:

Post a Comment