Search This Blog

Thursday, January 23, 2014

Tanah runtuh: 16 termasuk dua kanak-kanak lelaki terselamat


Penghuni rumah pekerja bergegas keluar menyelamatkan diri selepas insiden tanah runtuh di Pujut Padang Kerbau, Miri, Sarawak, semalam.
MIRI 22 Jan. - Seramai 16 orang termasuk dua beradik lelaki berusia tiga dan tujuh tahun berdepan detik cemas apabila dua rumah pekerja yang didiami di Pujut Padang Kerbau, Jalan Pujut berhampiran Hospital Miri di sini, nyaris ditimbus tanah runtuh hari ini.
Dalam kejadian itu, semua mangsa terdiri daripada pekerja buruh binaan dari Sabah dan warga Indonesia bersama ahli keluarga mereka bernasib baik kerana tanah lumpur setinggi lebih satu meter hanya merosakkan bahagian bawah rumah kayu dua tingkat itu.
Runtuhan pertama yang berlaku kira-kira 9 pagi memusnahkan bahagian dapur dan tandas rumah berkenaan.
Manakala, runtuhan kedua pada jam 11.30 pagi menyebabkan tanah menggelongsor sehingga lebih 500 meter dan sampai ke jalan utama di kampung tersebut hingga memaksa pihak berkuasa menutup laluan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, Eddy Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya menghantar sebuah jentera bersama 14 anggota ke tempat kejadian sejurus menerima laporan pada pukul 10.43 pagi.
Beliau berkata, semasa tiba, pihaknya mendapati terdapat tanah lumpur setinggi lebih satu meter sudah menutupi bahagian bawah dua rumah yang didiami pekerja binaan di sebuah rumah kedai berhampiran Hospital Miri.
"Kesemua mangsa termasuk satu keluarga yang mempunyai dua anak lelaki berusia tiga dan enam tahun bagaimanapun sempat keluar rumah untuk menyelamatkan diri.
"Pemeriksaan mendapati, tanah runtuh tersebut adalah dari kawasan bukit di belakang kediaman pekerja berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, punca kejadian dipercayai akibat hujan lebat yang tidak berhenti sejak tiga hari lalu.
Katanya, kesemua mangsa terlibat telah dipindahkan ke tempat selamat, manakala lokasi kejadian diarahkan ditutup bagi keselamatan.
Sementara itu, seorang mangsa, Abdullah Kassim, 43, berkata, ketika kejadian berlaku, kebanyakan penghuni rumah sedang menikmati sarapan pagi apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari belakang rumah.
"Pada mulanya, kami ingatkan bunyi guruh kerana hujan lebat tetapi terkejut apabila melihat keluar dan mendapati air lumpur bersama tanah mula menggelongsor ke arah rumah.
"Saya segera menjerit sekuat hati meminta rakan serumah yang lain melarikan diri. Kami bernasib baik kerana pergerakan tanah ketika itu agak perlahan dan sempat menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Abdullah berkata, mereka tidak sempat membawa keluar barang-barang termasuk dokumen penting kerana terlalu panik dan hanya memikirkan mahu menyelamatkan diri ketika kejadian.
Sementara itu, Menteri Muda Perhubungan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin, Datuk Lee Kim Shin meluangkan masa melawat tempat kejadian hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140123/je_11/Tanah-runtuh-16-termasuk-dua-kanak-kanak-lelaki-terselamat#ixzz2rGhMjPov
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment