Search This Blog

Wednesday, January 22, 2014

RM40,000 dalam almari musnah

RM40,000 dalam almari musnah22 Januari 2014

Rumah pusaka berusia lebih 100 tahun musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Lalang, Mukim Kuah, Langkawi, petang semalam.

KUAH - Sebuah rumah pusaka berusia lebih 100 tahun yang didiami lima sekeluarga musnah dalam satu kebakaran di Kampung Padang Lalang, Mukim Kuah, di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari yang bermula dari ruang tengah rumah kayu itu, disedari seorang penghuninya, Mohd Ridzuan Shariff, 51, yang ketika itu berada di dapur.

“Saya tidak boleh fikir apa-apa waktu itu cuma segera berlari keluar apabila melihat asap dan api marak dari ruang tengah rumah yang menempatkan tiga bilik tidur.

“Ketika kejadian cuma saya dan abang berada di rumah, kebetulan isteri seorang guru tadika berada di tempat kerjanya, manakala dua anak berada di sekolah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kejadian yang dipercayai berpunca dari litar pintas itu menyebabkan keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menumpang di rumah saudara mara buat sementara waktu.

“Habis semua jadi arang termasuk sebuah kereta dan enjin bot, selain dua buah motosikal yang berada di bawah rumah kayu yang saya warisi daripada arwah bapa.

“Paling sedih apabila wang simpanan bertahun-tahun dalam almari berjumlah RM40,000 yang bakal digunakan untuk menjelaskan bayaran kes tuntutan tanah di mahkamah kini jadi abu,” katanya.

Namun Mohd Ridzuan tetap bersyukur kerana dalam kejadian itu dia dan abangnya terselamat, malah lebih penting lagi isteri dan dua anaknya masing-masing berusia 9 dan 16 tahun tiada di rumah.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba Langkawi, Yaakob Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.31 tengah hari sebelum tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Katanya, seramai 21 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran yang dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.20 petang.

“Ketika bomba tiba, rumah kayu itu sudah 80 peratus terbakar. Begitu pun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian sebenar dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment