Search This Blog

Wednesday, January 22, 2014

Rintihan mangsa langgar lari

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
Kuala Lumpur: Seorang ibu tunggal terpaksa menanggung derita apabila tidak dapat bekerja selepas terbabit kemalangan pada Februari tahun lalu sehingga sewa rumah dan bil elektrik tertunggak RM1,500.
Noerhayaty Dollah, 44, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang sapu terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak kerana cedera teruk pada kaki kiri yang dimasukkan besi bagi menyokong tulang kakinya yang patah. 
“Mujur anak sulung baru dapat kerja sebagai pengawal keselamatan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, sebagai ibu saya kesal kerana impiannya melanjutkan pelajaran terpaksa dilupakan semata-mata menjaga saya dan tiga adiknya berusia antara 13 hingga 17 tahun.

“Kebimbangan kami jika diusir kerana menangguhkan sewa rumah terlalu lama,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kampung Kerinchi di sini, semalam.
Foto
NOERHAYATY dibantu anak mencuci luka kakinya.

Menurutnya, episod duka dia sekeluarga bermula apabila dia dan anak bongsu Noor Alya Zubir, 13, menjadi mangsa langgar lari setahun lalu ketika menunggu bas.

Katanya, akibat rempuhan kereta itu, kaki dan tangan kirinya patah manakala Noor Alya patah kaki kanan menyebabkan mereka berdua terlantar beberapa bulan di hospital.

“Kaki Noor Alya pulih dan kembali meneruskan persekolahan walaupun tercicir hampir empat bulan. Bagaimanapun, kaki saya belum pulih, malah sebelum ini empat kali menjalani pembedahan.

“Sekarang pun kaki saya terpaksa dipasang besi bagi menyokong tulang yang patah hingga sukar bergerak,” katanya.

Menurutnya, dia perlu ke hospital setiap dua hari sekali untuk rawatan susulan dan terpaksa membayar RM20 bagi perkhidmatan teksi setiap kali ke hospital.

“Kalau ikutkan duit yang tinggal tidak mencukupi kerana perlu membayar teksi setiap kali ke hospital. Dengan wang zakat RM400 sajalah digunakan untuk belanja dapur dan persekolahan anak,” katanya.

Justeru, dia berharap sumbangan orang ramai untuk meringankan beban mereka sekeluarga dan Noerhayaty boleh dihubungi di talian 019-3894451 atau di alamat 01-04-01 Flat DBKL Kampung Kerinchi.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

No comments:

Post a Comment