Search This Blog

Wednesday, January 22, 2014

Pura-pura mati


Bayan Baru: Akibat terlalu takut, seorang lelaki warga Myanmar yang asyik bekerja di sebuah tapak pembinaan di Queensbay di sini, menggigil dan kaku sejurus ditahan pegawai Jabatan Imigresen di lokasi berkenaan.
Lelaki berusia 20-an itu juga kelihatan amat lemah dan langsung tidak boleh bangun ketika operasi dijalankan di tapak pembinaan itu bermula jam 10.30 pagi semalam.
Gelagat lelaki itu menyebabkan dia terpaksa diusung untuk menjalani proses pemeriksaan sebelum ditahan selepas didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau permit sah.
Dia yang masih lemah sekali lagi terpaksa dibantu anggota dari Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk dimasukkan ke dalam kenderaan milik Jabatan Imigresen Pulau Pinang sebelum dibawa ke Pejabat Bahagian Pengaut Kuasa Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Pulau Pinang Basri Othman berkata, turut dikesan ialah helah seorang lagi lelaki warga Myanmar yang berpura-pura seolah-olah sudah meninggal dunia kerana mahu mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
“Pegawai dan anggota menjalankan pemeriksaan merasa curiga dengan objek terlindung di bawah kanvas di dalam sebuah bilik masih lagi dalam pembinaan di bangunan itu dan melakukan pemeriksaan lanjut sebelum menemui lelaki terbabit dipercayai sedang bersembunyi.
“Selepas kanvas berkenaan diselak, lelaki terbabit masih memejam matanya, seolah-olah sudah meninggal dunia, tetapi taktik itu tidak menjadi apabila pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati dia sebenarnya masih bernyawa,” katanya.
Basri berkata, pihaknya sudah menjangkakan pelbagai helah akan digunakan oleh pekerja warga asing berkenaan, namun mereka tidak akan berjaya melepaskan diri kerana taktik lapuk itu sudah dihidu sejak awal.
“Pemeriksaan membabitkan seramai 103 pekerja di tapak pembinaan itu, tetapi selepas proses penelitian dijalankan, kami menahan 24 individu iaitu 19 lelaki Myanmar, 3 lelaki Bangladesh, seorang lelaki dan seorang wanita Indonesia kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.
“Semua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah,” katanya.
Foto
SEORANG warga asing berpura-pura mati dan bersembunyi di bawah kanvas.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

No comments:

Post a Comment