Search This Blog

Tuesday, January 7, 2014

Mayat nelayan ditemui tersangkut di jaring

Mayat nelayan ditemui tersangkut di jaring  SINAR HARIAN 7 Januari 2014Abd Samad (duduk, tiga kanan) menunjukkan lokasi mangsa terjatuh ketika mencari kepah.

BAGAN DATOH - Niat seorang nelayan untuk mencari kepah berhampiran kawasan Beting Beras Basah, di sini, bersama rakan berakhir tragedi apabila dia lemas akibat terjatuh ke dalam laut.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi kelmarin, mangsa Shamsudin Abdullah, 36, dikatakan terjatuh dari bot ketika mencari kepah di kawasan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Perak Selatan, Dr Abd Samad Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 4.58 petang kelmarin.
Menurutnya, berdasarkan maklumat itu, pihaknya menubuhkan satu pasukan bagi mencari dan menyelamat mangsa di perairan Sungai Bagan Datoh disertai polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Pasukan Marin Kampung Acheh.

"Mayat mangsa bagaimanapun ditemui tersangkut dijaring seorang nelayan yang melalui perairan Pulau Sembilan jam 6.20 petang semalam.

"Dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat dihentikan manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menerima laporan di Balai Polis Bagan Datoh daripada rakan mangsa mengatakan Shamsudin jatuh ke dalam laut.

Jelasnya, mangsa yang mempunyai seorang isteri dan anak perempuan itu gagal ditemui rakannya ketika mahu menyelamatkan Shamsudin.

“Usaha mencari mangsa dibantu oleh Bomba dan Penyelamat Balai Hutan Melintang, Teluk Intan serta Tapah," katanya.

No comments:

Post a Comment