Search This Blog

Tuesday, January 14, 2014

Dua lagi anak kapal bot karan ditemui


SANDAKAN: Dua lagi anak kapal sebuah bot tukar barang yang karam di perairan Filipina di Laut Tahau pada Jumaat lepas ditemui di pesisir pantai di Kepulauan Tawi-Tawi semalam.

Seorang dilaporkan ditemui dalam keadaan selamat. seorang lagi sudah meninggal dunia.


Ini menjadikan lima anak kapal sudah ditemui dan empat lagi masih hilang selepas bot berkenaan, yang menggunakan nama Bounty Ferry, membawa barangan seperti beras, minyak masak dan mi segera, dilapor karam setelah berlepas dari Pelabuhan Barter Trade di sini pada 9 Jan lepas.

Pengarah Operasi Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lahad Datu Left Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, penemuan dua lagi anak kapal itu berdasarkan perbualan telefon dengan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Simungin di Tambisan Amir Abdul Karim.


Katanya Amir menjadi tempat tinggal sementara tiga anak kapal yang terselamat pada Ahad lepas selepas dihanyutkan hingga ke pesisir pantai Tambisan di Tungku Lahad Datu.


Menurutnya APMM bersama Polis Marin dan Bomba turut membantu operasi mencari dan penyelamat di kawasan perairan Malaysia dengan tumpuan di kawasan pesisir pantai.

Sementara itu, Amir berkata tiga anak kapal yang terselamat selepas dihanyutkan ke pesisir pantai Tambisan adalah Kapten bot dikenali sebagai Benjamin Alumdin, 53; dan dua anak kapalnya dikenali sebagai Nasir Uman, 40; dan Musa Moksin, 32.

Katanya ketiga-tiga mereka adalah warga Filipina dan beliau membantu mereka tempat tinggal sementara bagi menunggu urusan penghantaran balik ke Zamboanga Filipina dalam masa terdekat ini oleh Polis Marin.

Menurutnya penemuan dua lagi anak kapal itu semalam di pesisir pantai di kepulauan Tawi-Tawi itu berdasarkan perbualan Benjamin dengan majikannya di Zamboanga, Filipina.

Amir berkata Benjamin memberitahunya bot berkenaan karam ketika dalam perjalanan menuju ke Zamboanga selepas berlaku ribut dan ombak kuat pada 10 Januari kira-kira jam 7 pagi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

No comments:

Post a Comment