Search This Blog

Saturday, January 4, 2014

China serbu kampung dadah

China serbu kampung dadahPolis memeriksa dadah yang dirampas di Boshe, wilayah Guangdong. - Foto Reuters

Anggota keselamatan rampas tiga tan metamfetamin

Beijing: Polis separa tentera China dibantu helikopter dan bot laju merampas tiga tan metamfetamin dalam serbuan besar-besaran di sebuah perkampungan, yang terkenal dengan pengeluaran dadah haram di selatan negara itu.

“Pasukan keselamatan mengepung dan kemudian memasuki perkampungan Boshe kerana lebih satu perlima isi rumah disyaki terbabit dalam pengeluaran dan penyeludupan dadah.

“Polis dan anggota separa tentera dari empat bandar melakukan serbuan Ahad lalu dan menahan 182 suspek yang bekerja untuk 18 rangkaian pembuatan dadah besar-besaran. Tiada pertumpahan darah berlaku.

“Perkampungan itu menjalankan operasi pengeluaran dadah dalam operasi yang diberi perlindungan orang tempatan,” kata polis wilayah Guangdong di laman webnya.

China biasa menjalankan operasi menyasarkan rangkaian dadah haram, namun agak luar biasa baginya melakukan serbuan secara besar-besaran pada satu-satu masa ke atas sebuah kampung.

Gambar pemandangan dari udara disiar di laman web polis menunjukkan berpuluh van polis di luar sebuah perkampungan lama padat dengan bumbung jubin tradisional.

Satu lagi gambar menunjukkan sebuah helikopter berlepas dan satu lagi diletakkan berhampiran.
Bot laju dihantar untuk menghalang suspek lari dari perkampungan tepi laut itu.

Akhbar Yangcheng Evening News melaporkan serbuan itu membabitkan 3,000 pegawai polis.

Gambar menunjukkan pegawai separa tentera dalam seragam penyamaran dan memegang raifal berdiri di atas kotak besar diisi dengan paket yang dianggap ‘kristal meth.’

Perkampungan Boshe menentang pihak berkuasa China selama bertahun-tahun lalu dengan menyekat pintu masuk dengan motosikal apabila berita serbuan tersebar.

“Penduduk kampung akan memegang senapang replika AK-47, meletakkan paku di atas papan di jalan raya dan membaling batu serta bom tangan ke arah pegawai,” kata akhbar berpusat di Guangzhou, ibu kota wilayah Guangdong. - AP

No comments:

Post a Comment