Search This Blog

Saturday, January 18, 2014

Bot karam: Tiga sah lemas, lapan masih hilang


18 Januari 2014
KUCHING - Tiga wanita disahkan lemas selepas bot panjang membawa 27 orang yang dalam perjalanan dari Kampung Saei ke Kampung Tekajong, Pulau Bruit, Matu dalam Bahagian Mukah terbalik dipukul ombak tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Matu/Daro Deputi Superintenden Wagner Lisa Libut berkata ketiga-tiga mangsa berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun.  

"Setakat 5 petang ini lapan masih hilang iaitu lima lelaki dan tiga perempuan. Difahamkan semua mangsa yang hilang adalah dewasa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya 16 penumpang berjaya diselamatkan dalam kejadian itu dan dihantar ke Hospital Daro untuk pemeriksaan lanjut.

"Semua penumpang bot berasal dari Kampung Tekajong, Pulau Bruit dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saei. Menurut maklumat awal keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik, namun bot panjang terbalik dipukul ombak besar," katanya.

Wagner berkata ketika ini operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan oleh pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Sukarelawan Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment