Search This Blog

Tuesday, January 14, 2014

20 samseng meluru


Nibong Tebal: “Pada mulanya kedua-dua kumpulan lelaki itu berjaya ditenangkan dan berhenti bergaduh selepas kami meleraikan mereka, tetapi dengan tiba-tiba satu daripada kumpulan terbabit meluru ke arah kami.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya tidak sempat menyelamatkan diri selepas dikerumuni kumpulan remaja terbabit yang kemudian membelasah saya menggunakan batang paip,” kata Sarjan Goh Boon Hoong, 33, menceritakan saat cemas dibelasah 20 lelaki di Bukit Tambun, kira-kira jam 1 pagi, semalam.


Akibat serangan tu, Goh cedera di muka, retak pergelangan tangan kanan dan menerima empat jahitan di jarinya dan sehingga petang semalam, dia masih menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap.



Sebelum itu, dia bersama tiga rakan setugasnya ke sebuah pusat hiburan di kawasan berhampiran selepas menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan.


Ketika sampai di hadapan pusat hiburan berkenaan, dia melihat kira-kira 30 lelaki bergaduh sebelum dia dan rakannya bertindak meleraikan pergaduhan daripada terus berlarutan.


“Saya menyangka mereka sudah berhenti bergaduh dan mengikut arahan diberikan, namun tiba-tiba satu daripada kumpulan berkenaan bertindak menyerang saya.

“Nasib menyebelahi saya apabila tindakan pantas rakan setugas menyelamatkan saya daripada terus dipukul kumpulan berkenaan,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah di wad Hospital Sungai Bakap, petang semalam.


Goh sudah berkhidmat sejak 10 tahun lalu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggap kejadian itu sebahagian daripada dugaan yang perlu dilaluinya seorang anggota polis.

Walaupun cederanya teruk, ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat bersama PDRM khasnya dalam membanteras jenayah dan melindungi masyarakat. Mazlan berkata, selain menahan empat suspek berusia 18 dan 19 tahun dalam beberapa siri serbuan sekitar Bukit Tambun, pihaknya juga merampas kayu dan topi keledar dipercayai digunakan dalam serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

No comments:

Post a Comment