Search This Blog

Saturday, January 18, 2014

1,000 dipindahkan akibat kebakaran hutan


Seorang wartawan melakukan lintas langsung di hadapan sebuah rumah yang terbakar akibat daripada kebakaran tidak terkawal di Glendora, Los Angeles, Amerika Syarikat, kelmarin. - REUTERS
LOS ANGELES 17 Jan. - Lebih 1,000 penduduk di California di sini terpaksa dipindahkan, manakala lima buah rumah musnah akibat kebakaran hutan tidak terkawal yang berlaku di Gunung San Gabriel kelmarin, kata para pegawai penguatkuasa undang-undang dan kebakaran.
Kata pegawai itu lagi, kebakaran hutan tersebut mula tercetus secara tidak sengaja oleh tiga orang pengembara yang berkhemah di hutan di pergunungan berkenaan.
Tiupan angin kencang menyebabkan kebakaran yang tercetus pada lewat malam itu menjadi lebih marak lalu membakar kawasan utara hutan Taman Negara Angeles di Glendora.
Glendora terletak kira-kira 64 kilometer di timur pinggir bandar Los Angeles.
Para pegawai bomba Los Angeles berkata, menjelang subuh kebakaran itu telah pun meliputi lebih daripada 688 hektar kawasan yang membabitkan semak samun dan kawasan perladangan.
Tambahnya, keadaan asap tebal dari kebakaran itu melitupi ruang udara di timur daerah Los Angeles sehingga ke Lautan Pasifik.
Sementara itu, Ketua Polis Glendora, Tim Staab, menyatakan bahawa tiga lelaki yang disyaki menyebabkan kebakaran hutan itu telah ditangkap untuk tindakan lanjut.
Katanya, ketiga-tiga mereka ditangkap kerana disyaki cuai dan menyebabkan kebakaran. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140118/lu_05/1000-dipindahkan-akibat-kebakaran-hutan#ixzz2qh9Yy2Mz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment