Search This Blog

Sunday, December 29, 2013

Koma angkara anjing

Oleh NUR IZZATI MOHAMAD
Bukit Mertajam: “Kami langsung tak ingat apa-apa dan hanya rasa sakit sebelum jatuh tidak sedarkan diri,” kata Suhail Zolkifly, 14, dan adiknya Omar, 11 diserang anjing liar ketika bermain sekitar kawasan rumah mereka di Taman Cermai, Permatang Pauh, di sini, Rabu lalu.
Menurut Suhail, dia tidak mampu berbuat apa-apa apabila sekumpulan anjing liar menyerang mereka dan ketika itu hanya berfikir untuk lari menyelamatkan diri bersama adiknya.

“Saya hanya terbayangkan wajah adik namun agak sukar menyelamatkannya kerana kumpulan anjing berkenaan terus mengejar dan menyerang kami berdua menyebabkan kami terjatuh.
“Selepas itu, saya langsung tidak sedarkan diri dan tidak tahu apa yang berlaku,” katanya yang ditemui di Hospital Pantai dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Rabu lalu, dua beradik berkenaan koma dua hari selepas mengalami retak tempurung kepala serta pendarahan dalam otak kerana tersungkur ketika cuba menyelamatkan diri kerana dikejar dan diserang sekumpulan anjing liar.

Bapa mangsa Zolkifly Md Lazim,50, berkata, ketika kejadian, dia berada di Alor Setar, Kedah kerana urusan kerja sebelum menerima panggilan mengenai kejadian yang menimpa kedua-dua anaknya itu.
Foto
KEADAAN Suhail yang dirawat di Hospital Pantai.
“Saya terkejut apabila diberitahu anak koma dan mengalami kecederaan serius di kepala serta tempurung otak retak dan tanpa berlengah saya terus bergegas pulang.

“Saya difahamkan kecederaan itu berlaku akibat kepala anak terhentak di permukaan jalan ketika mereka cuba menyelamatkan diri daripada diserang sekumpulan anjing liar,” katanya.
Sehubungan itu, Zolkifly berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih kerap membuat tinjauan di kawasan perumahannya kerana kawasan terbabit dilihat mempunyai banyak anjing.

“Kawasan perumahan ini terlalu banyak anjing bahkan anak saya berumur tujuh tahun pernah mengalami kecederaan kecil kerana diserang anjing baru-baru ini.

“Kali ini terjadi lagi kepada dua anak saya dan berharap PBT berbuat sesuatu terutamanya mewujudkan polisi penjagaan haiwan kepada penduduk yang membela haiwan di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Rozali Mohamod berkata, MPSP kesal dengan kejadian yang menimpa dua kanak-kanak itu yang hampir maut apabila diserang anjing liar.

Menurutnya, berikutan kes itu, satu operasi secara drastik diambil MPSP dengan menangkap anjing liar di kawasan terbabit dan pihaknya berjaya menangkap 10 anjing.

“Kita dapat juga kumpulkan satu pasukan untuk menangani kes ini.

“MPSP kesal dalam kejadian dua kanak-kanak yang cedera akibat dikejar anjing liar ini dan akan terus membuat rondaan untuk menangkap baki anjing yang berkeliaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi menangkis dakwaan pihak yang mengatakan MPSP mengabaikan isu anjing liar itu, di sini, semalam.

Operasi penangkapan anjing liar itu diadakan di beberapa lokasi termasuk Taman Himilaya dan persekitaran Pasar Awam Sama Gagah, Permatang Pauh.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Tiga remaja maut manakala dua lagi parah


PADANG TERAP: Tiga remaja berusia antara 17 dan 30 tahun terbunuh manakala dua lagi parah dalam kemalangan di KM8 Kuala Nerang-Jitra, kira-kira 9.10 malam tadi.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Sambutan Krismas gempar


Melaka: “Sejurus terdengar bunyi pelik seolah-olah kaca pecah, saya bergegas keluar dan tersentak melihat rumah kosong bersebelahan marak terbakar.

“Kejadian berlaku amat pantas dan tanpa disedari api kemudian turut menyambar rumah kami ketika saya menghubungi talian kecemasan,” kata Fabian Vellu, 25.


Suasana sambutan Krismas di sekitar Perkampungan Portugis, Ujong Pasir di sini, bertukar gempar apabila tiga premis membabitkan dua rumah dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, satu daripada rumah separa kekal berkenaan dikatakan sedang menganjurkan majlis rumah terbuka yang dihadiri kira-kira 20 orang tetamu.


Bagaimanapun, tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke 50 rumah penduduk berdekatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Mayat berpelikat


Kulim: Polis sedang mengenal pasti identiti mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui berpelikat dan berbaju T dalam parit di Ladang Victoria di Padang Serai, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat awam jam 4.30 petang berhubung penemuan mayat berkenaan sebelum anggota polis bergegas ke lokasi kejadian.


Menurutnya, pemeriksaan anggota polis mendapati mayat lelaki dipercayai berusia 40-an terbabit ditemui dalam keadaan tertiarap bersama sehelai selimut tetapi tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

“Siasatan awal tidak menemui kesan kecederaan pada badan mangsa dan dipercayai mati dalam tempoh 24 jam.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan polis masih menunggu laporan forensik,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Maut ketika cari rezeki


Melaka: Hasrat murni seorang lelaki warga emas mencari rezeki berakhir pilu apabila dia ditemui mati ketika berehat selepas memandu lori membawa muatan sayur di Taman Seri Krubong di sini, semalam.

Kematian Yong Loi Chai, 56, itu disedari rakannya Lim Ah Kiau, 62 yang juga kelindan lori berkenaan, kira-kira jam 9.45 pagi, selepas pelik mendapati mangsa masih tidak keluar dari lori berkenaan ketika mereka berhenti untuk bersarapan.


Menurut Lim, mereka dalam perjalanan dari Thailand menuju ke Johor untuk menghantar barang runcit sejak malam kelmarin. “Saya memandu dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang hingga ke Kuala Lumpur sebelum dia (Loi Chai) menggantikan saya memandu hingga ke Melaka kira-kira jam 9 pagi tadi (semalam) “Kami berhenti di sebuah restoran di Krubong untuk makan dan saya keluar dari lori melihat dia seperti mengemas barang di bahagian tempat pemandu. “Selepas habis makan, saya berasa pelik melihat dia masih tidak keluar dari lori yang dipandunya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, bagi mendapatkan kepastian, dia pergi ke lori dan melihat mangsa seolah-olah tidur dengan keadaan kepala pada stereng.


“Saya berkali-kali mengejutkannya, namun dia hanya kaku dan tidak sedarkan diri. Panik melihat keadaan itu, saya segera menghubungi klinik berdekatan dan paramedik mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Along diberkas


Melaka: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri memberkas 20 individu yang terbabit dalam kegiatan along membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit sepanjang tahun ini.

Ketua JSJK negeri Superintendan Ee Khong Koy berkata, statistik menunjukkan tujuh daripada semua suspek sudah didakwa di mahkamah mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang (AAPW) 1951 (Pindaan 2011). “Ia merangkumi 29 kes dalam tempoh Januari hingga 25 Disember lalu. Sebanyak 25 kes daripadanya disiasat mengikut Seksyen 5(2) AAPW iaitu memberi pinjaman tanpa lesen.


“Empat kes selebihnya disiasat mengikut Seksyen 29AA akta sama iaitu menjalankan kerja menampal poster berkaitan pinjaman wang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Operasi Ceti Haram di sekitar Malim di sini, petang kelmarin.

Dalam operasi dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, kira-kira 2,000 poster along ditanggalkan di sekitar kawasan terbabit yang rata-ratanya digantung atau dilekatkan pada tiang.


Menurutnya, sepanjang tempoh itu jumlah kerugian membabitkan kegiatan along di negeri ini berjumlah RM105,320. Sehubungan itu, kata Ee, pihaknya akan menjalankan operasi berterusan menanggalkan poster iklan pinjaman wang haram yang berada di tepi jalan, termasuk kawasan perumahan.


“Kita sememangnya sentiasa mempergiatkan usaha untuk membanteras kegiatan along yang masih dikesan beroperasi di negeri ini,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Tergelincir selepas bermain


Jertih: Seorang bapa tidak menyangka mimpi anaknya terjatuh ke dalam sungai yang hanya dianggap sebagai mainan tidur menjadi kenyataan apabila anaknya ditemui lemas di Sungai Kampung Bukit Payong, Pasir Akar, di sini, kelmarin.

Mayat mangsa, Mohammad Alif Haikal Mat Arif, 6, ditemui bapanya, Mat Arif Dollah, 30, bersama penduduk kampung jam 3 petang ketika mencari mangsa yang tidak pulang ke rumahnya selepas keluar bermain jam 11 pagi.

Difahamkan, mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik keluar bermain bersama beberapa rakannya tidak jauh dari rumahnya.

Bagaimanapun, selepas satu jam bermain, mangsa yang juga kanak-kanak lembam membuang air besar di dalam semak sebelum rakannya menyuruh dia balik ke rumah.

Mangsa bagaimanapun dipercayai tidak pulang ke rumah sebaliknya singgah di sungai berkenaan untuk membersihkan diri selepas membuang air besar sebelum tergelincir ke dalam sungai itu.

Kehilangan mangsa yang tidak pulang ke rumah untuk makan tengah hari menyebabkan bapanya mencari anaknya sebelum menemui basikal arwah di tepi sungai kira-kira 120 meter dari rumahnya.

Mat Arif berkata, dia ada bermimpi arwah jatuh ke dalam sungai itu tiga hari sebelum kejadian itu dan mula berasa tidak sedap hati sebaik melihat basikal anaknya di tepi sungai berkenaan sebelum segera mencari anaknya.

“Perasaan curiga sesuatu yang buruk menimpa arwah terjawab apabila arwah ditemui tidak bernyawa tidak lama kemudian.

“Siapa sangka mimpi yang disangka mainan tidur itu menjadi kenyataan dengan insiden menimpa arwah,” katanya sambil memaklumkan arwah tidak pandai berenang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa diserahkan kepada Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Katanya, tiada sebarang unsur jenayah di sebalik kejadian ini dan kes diklasifikasikan mati mengejut.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Jaga panik diugut bunuh


Seremban: Seorang pengawal keselamatan berdepan detik mencemaskan apabila diugut bunuh tiga perompak yang menceroboh masuk Wisma Hwa Lian, Jalan Zamrud 6, Taman Koop, di sini, kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Mangsa mahu dikenali Raja, 63 berkata, ketika kejadian, dia sedang berkawal di tingkat satu di wisma berkenaan sebelum terdengar pintu hadapan diketuk.

Katanya, sejurus membuka pintu terbabit, tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menceroboh masuk bangunan itu dan suspek mengugutnya supaya tidak membuat bising.

“Dalam ketakutan saya terpaksa mendiamkan diri dan suspek menyuruh membawa mereka ke beberapa pejabat di semua tiga tingkat di wisma ini.

“Bimbang keselamatan diri selepas diugut bunuh saya terpaksa memenuhi kehendak mereka,” katanya.

Raja berkata, selepas membawa masuk perompak itu ke sebuah pejabat di tingkat dua, seorang suspek mengikat kaki dan tangannya sebelum memasukkannya ke dalam sebuah bilik.

“Selepas itu, mereka menceroboh semua pejabat di wisma dan mengambil barang berharga, tetapi saya tidak tahu barang apa diambil.

“Cuma ketika mereka melarikan diri kira-kira jam 5.30 pagi tadi (semalam), saya ternampak beg dibawa suspek dipenuhi barang,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

170 cedera akibat bunga api


Manila: Bilangan kecederaan berhubung dengan bunga api meningkat kepada 170, ketika pengguna bahan itu bertambah lapan peratus tahun ini berbanding 2012.

Setiausaha Jabatan Kesihatan (DOH) Eric Tayag berkata dalam akaun Twitternya, sehingga semalam kecederaan berkaitan dengan bunga api mencecah 164 kes. Selain itu, satu kes membabitkan mangsa yang tertelan mercun, manakala lima lagi membabitkan peluru sesat. “Sehingga kini kes terburuk membabitkan remaja lelaki berusia 14 tahun yang hilang tangan kanan dan warga emas yang pecah biji matanya akibat terkena bunga api,” katanya.


Menurutnya, seorang kanak-kanak berusia lima tahun turut hilang jari telunjuk selepas bermain bunga api.

“Daripada 164 kes kecederaan yang dicatatkan, 101 atau 62 peratus disebabkan oleh mercun kecil Piccolo,” katanya. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Maut ditembak dalam bantahan


Bangkok: Seorang penunjuk perasaan antikerajaan Thailand semalam terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah lokasi perhimpunan berhampiran kompleks kerajaan.

Serangan sebelum Subuh itu menyusuli beberapa minggu insiden bantahan antikerajaan secara besar-besaran yang bertujuan menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang turut mencetuskan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan pembangkang.


“Lelaki yang maut itu berusia 30-an dan ditembak di rusuk,” kata jurucakap pusat kecemasan Erawan.

Ketua Keselamatan Rangkaian Pelajar dan Rakyat untuk pembaharuan Thailand (NSPRT), Nassir Yima berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 3.30 pagi apabila lelaki bersenjata dari dalam sebuah kereta Toyota berwarna keemasan melepaskan tembakan dengan raifal M16 ke arah pengawal yang berkawal di belakang pentas. “Lelaki itu mengacukan raifal M16 dari tingkap tempat duduk belakang ke arah pengawal bertugas sebelum melarikan diri,” katanya.


Polis turut mengesahkan kejadian itu tetapi pasukan forensik belum dapat memaklumkan maklumat lanjut mengenainya.


Setakat ini, lapan orang termasuk seorang anggota polis terbunuh dan 400 lagi cedera sejak insiden bantahan antikerajaan melanda Bangkok bulan lalu. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Dijel 11 tahun salah guna kuasa


Shanghai: Mahkamah China semalam memenjarakan empat penguatkuasa keselamatan hingga 11 tahun ekoran kematian seorang penjaja buah tembikai.

Insiden kematian berkenaan mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh negara itu berikutan penyalahgunaan kuasa oleh penguatkuasa kerajaan. Deng Zhengjia, 56, maut selepas bergaduh dengan penguatkuasa keselamatan di Hunan Julai lalu. Deng dan isterinya cuba menjual tembikai di lokasi bersejarah di tepi sungai, di mana kegiatan penjualan dilarang di situ.


Mahkamah di Hunan mendapati empat penguatkuasa itu bersalah kerana dengan sengaja menyerang Deng. Mereka menghadapi hukuman penjara dari tiga setengah hingga 11 tahun.

Anggota penguatkuasa yang dikenali sebagai ‘chengguan’ dan bekerjasama dengan polis di seluruh China itu untuk membantu penguatkuasaan undang-undang tempatan dirujuk kebanyakan rakyat negara itu sebagai ‘samseng’. - Reuters

Cedera usus makan kek Krismas


Paris: Seorang wanita warga emas mengalami kecederaan usus kecil selepas tertelan hiasan kek Krismas yang dimakannya.

Wanita berusia 72 tahun itu mengadu sakit pada bahagian pusat selama tiga hari selain muntah dan mengalami demam panas.


Imbasan CT pada perutnya menunjukkan bahan asing berbentuk kapak kecil di duodenumnya sebelum pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan objek sepanjang dua sentimeter itu.

Mangsa makan kek Krismas beberapa hari lalu yang dihiasi kapak kecil itu. - AP

Mayat bapa mangsa lemas ditemui


KOTA KINABALU 28 Dis. — Selepas hampir 12 jam hilang di laut, mayat Mojinis Langkum, 40, yang lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya semasa mandi bersama-sama anggota keluarga semalam, ditemui kira-kira 500 meter dari tempat kejadian tengah malam tadi.
Mayat mangsa yang berseluar pendek putih hitam tanpa baju, ditemui terapung di pantai Kampung Lok Nunuk, Tuaran, dekat sini pukul 12.10 tengah malam.
Semalam, mayat anaknya, Dickly Mojinis, pelajar tingkatan tiga, ditemui pada pukul 3.25 petang tidak jauh dari lokasi dia dilapor tenggelam.
Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Abdul Fuad Abdul Malik ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah hari dan 18 anggota dikerah ke tempat kejadian menggunakan dua bot dan tiga kenderaan utiliti.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Kota Kinabalu Kapten Maritim Zin Azman Md Isa dalam kenyataan berkata, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sekitar 1.40 tengah hari selepas menerima laporan melalui talian MERS 999.
Beliau berkata, cuaca tidak menentu dengan keadaan laut yang diramal sedikit bergelora amat tidak sesuai untuk sebarang aktiviti di tepi pantai.
Sehubungan itu, Zin Azman berkata faktor keselamatan perlu diutamakan sekiranya ingin melakukan aktiviti riadah dan perkelahan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131229/je_02/Mayat-bapa-mangsa-lemas-ditemui#ixzz2oq2N0urX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bangkai hidupan laut bersaiz gergasi ditemui


Mohd. Nor Omar (duduk, kiri) memeriksa bangkai hidupan laut berkemungkinan seekor dugong yang terdampar di Santubong, Sarawak, semalam. - Mingguan/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
SANTUBONG 28 Dis. - Selepas digemparkan dengan fenomena ribuan ikan tamban naik ke darat baru-baru ini, di Lahad Datu, Sabah, hari ini kawasan peranginan di negeri ini dikejutkan dengan penemuan bangkai hidupan laut bersaiz gergasi.
Bangkai hidupan laut sepanjang lebih empat meter itu ditemui di sebuah pusat peranginan Pasir Panjang di sini iaitu 40 kilometer dari bandar raya ini pada pukul 7 pagi.
Salah seorang pekerja pusat peranginan itu, Mohd. Hamzah Man berkata, dia terhidu bau hanyir yang kuat sebelum menemui bangkai hidupan laut yang hampir mereput di tepi pantai tersebut.
"Selepas terhidu bau hanyir itu, saya dan beberapa rakan yang lain cuba mencari sampah yang mungkin tidak dibuang dengan betul sebelum terjumpa objek besar dan panjang di tepi pantai ini.
"Kami mendekati objek tersebut dan mendapati itu merupakan bangkai hidupan laut yang besar, mungkin ikan paus dan mengeluarkan bau sangat kuat," katanya.
Tambah Mohd. Hamzah, dia dan rakan-rakannya percaya bangkai hidupan laut itu telah dipukul ombak pada awal pagi ini kerana ketika mereka bertugas hingga tengah malam semalam tidak terhidu atau ternampak objek tersebut.
Sementara itu, Penolong Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Muzium negeri, Mohd. Nor Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum mengetahui spesies dan jenis bangkai hidupan laut itu, namun berkemungkinan seekor dugong.
"Pakar zoologi Jabatan Muzium Sarawak akan membuat penyiasatan lanjut berhubung penemuan bangkai tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131229/dn_16/Bangkai-hidupan-laut-bersaiz-gergasi-ditemui#ixzz2oq2AG8Mf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

19 terbunuh di majlis pengebumian



ADEN 28 Dis. - Sekurang-kurangnya 19 orang termasuk empat kanak-kanak terbunuh selepas tentera Yemen membedil khemah majlis pengebumian yang didirikan di dalam sebuah sekolah di Sanah, 300 kilometer selatan ibu negara ini, semalam.
Menurut saksi dan aktivis pemisah Pergerakan Selatan, sebanyak dua kereta kebal mengebom khemah itu yang turut mengakibatkan 23 yang lain cedera,
Pergerakan Selatan yang berkempen untuk pembentukan wilayah autonomi dan pemisahan wilayah selatan Yemen mendirikan khemah itu untuk tetamu majlis pengebumian seorang lelaki yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Daleh, Isnin lalu.
Aktivis terkemuka pergerakan itu, Hassan Baoum berkata, pembunuhan kejam yang dilakukan tentera kerajaan itu memaksa penduduk selatan negara ini berperang bagi membalas serangan terhadap mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131229/lu_07/19-terbunuh-di-majlis-pengebumian#ixzz2opxXH9zo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua beranak disahkan mati lemas



KOTA KINABALU 28 Dis. - Seorang bapa yang dilaporkan hilang dalam tragedi perkelahan di Pantai Kampung Lok Nunuk, Tuaran di sini pada Jumaat lalu ditemui mati lemas awal pagi semalam.
Mangsa, Mojinis Langkum, 40 dari Kampung Patikang Laut, Keningau ditemui terapung di permukaan air kira-kira pukul 12.10 pagi kira-kira 500 meter dari pos kawalan pasukan keselamatan yang diletakkan di pantai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superitenden Abdul Fuad Abdul Malik berkata, mangsa dikatakan hilang ketika cuba menyelamatkan anaknya, Dicky Mojinis, 15 yang lemas dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari Jumaat lalu. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131228/je_07/Dua-beranak-disahkan-mati-lemas#ixzz2opvQS8ix
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dera: Jurukimpal kereta ditahan bantu siasatan



KUALA LUMPUR 28 Dis. - Polis menahan seorang jurukimpal kereta semalam setelah dipercayai terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang meninggal dunia pada 24 Disember lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek, yang juga bapa tiri mangsa, ditahan di tempat kerjanya di Cheras pada kira-kira 4.25 petang semalam.
Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas bedah siasat berhubung kematian kanak-kanak itu mendapati ada unsur jenayah.
Kanak-Kanak itu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur selepas dihantar ibunya pada Sabtu lepas setelah mendapati mangsa mengalami sawan, tubuhnya keras dan tidak sedarkan diri.
Zuraidah Jasman, 31, sebelum ini mendakwa mangsa didera di sebuah pusat jagaan di Kuantan, Pahang ketika dihantar bersama-sama empat lagi anaknya selama tiga tahun.
Ekoran dakwaan penderaan itu, Zuraidah mengambil keputusan berpindah ke ibu kota bersama suami dan anak-anaknya sejak Ogos lepas.
"Polis percaya dengan tangkapan (jurukimpal) ini dapat menyelesaikan kes itu," kata Khairi ketika dihubungi Bernama hari ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131228/je_10/Dera-Jurukimpal-kereta-ditahan-bantu-siasatan#ixzz2opuKQUE6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak mati lemas belakang rumah



BESUT 28 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemui mati lemas selepas dikatakan terjatuh dalam sungai di belakang rumahnya di Bukit Payong di sini semalam.
Mohammad Alif Haikal sebelum itu disedari hilang oleh keluarganya selepas tidak pulang ke rumah kira-kira pukul 11 pagi.
Menurut datuknya, Abdullah Mohamad, 56, anaknya, Mat Ariff, 30-an, kemudian mencari Mohammad Alif Haikal di kawasan kampung tetapi tidak dijumpai sehinggalah menemukan basikal mangsa di tebing sungai itu kira-kira pukul 2 petang.
"Dia dengan bantuan penduduk kemudian mencari di dalam sungai dan menemukan mangsa di kedalaman kira-kira 2.5 meter," katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Abdullah, kelmarin, Mat Ariff ada menceritakan kepada keluarganya tentang mimpinya bahawa Mohammad Alif Haikal lemas di sungai tersebut.
"Namun tidak sangka pula Mohammad Alif Haikal benar-benar mati lemas di sungai yang terletak kira-kira 120 meter di belakang rumah kami.
"Malah tempat anaknya mati itu sama seperti dalam mimpinya. Sebelum ini pun, dia (Mat Ariff) selalu menasihatkan anak-anaknya menjauhkan diri dan tidak bermain di kawasan anak sungai itu," katanya.
Dalam kejadian tersebut, Mohammad Alif Haikal hilang selepas dikatakan tergelincir di sungai berkenaan ketika bermain basikal seorang diri tanpa disedari oleh kedua-dua ibu bapanya kira-kira pukul 11 pagi.
Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan dituntut keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Payong malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut tidak mempunyai unsur jenayah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131229/je_01/Kanak-kanak-mati-lemas-belakang-rumah#ixzz2opu9YPuH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 pemuda maut, 2 parah nahas di Kuala Nerang



PADANG TERAP 29 Dis. - Tiga pemuda maut manakala dua lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga motorsikal dan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Kuala Nerang-Jitra dekat Kampung Padang Balai, di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 9.10 malam itu, Muhammad Syahid Salim, 22, dan Mohd. Akbar Sanusi, 18, dari Kampung Nai Teh serta Muhamad Amirul Akbar Jaafar, 20, dari Kampung Paya Terap Perik maut di tempat kejadian.
Dua lagi rakan mereka iaitu Mohd. Fikri Abdul Rahman, 16, dan Mohd. Fahmi Razi, 21, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk rawatan lanjut.
Kejadian tersebut berlaku semasa kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari pasar malam di Bukit Nyamuk. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131229/je_05/3-pemuda-maut-2-parah-nahas-di-Kuala-Nerang#ixzz2optsa3Bd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

26 mati kereta api terbakar


Sebahagian anggota pasukan keselamatan India menggunakan pengusung untuk membawa keluar mayat mangsa kejadian gerabak kereta api dari Bangalore ke Nanded yang terbakar berhampiran Puttapartihi, Daerah Ananthpur, India, semalam. - AFP
NEW DELHI 28 Dis. - Sekurang-kurangnya 26 orang maut apabila sebuah gerabak kereta api terbakar di Andhra Padesh di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kebakaran dipercayai bermula dari gerabak yang terletaknya alat pendingin hawa.
Kereta api ekspres itu membawa sekurang-kurangnya 54 penumpang itu dari Bangalore ke Nanded ketika kejadian itu berlaku.
Sejumlah penumpang dilaporkan tercedera semasa cuba melompat keluar daripada kereta api berkenaan untuk menyelamatkan diri.
Polis memaklumkan operasi menyelamat sedang dilakukan namun enggan menyatakan jumlah yang terkorban.
Perdana Menteri India, Manmohan Sigh melahirkan rasa terkejut dan sedih ekoran kejadian tersebut.
"Syarikat kereta api itu, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diarahkan supaya memberikan bantuan kepada mangsa yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam akaun Twitternya.
Manmohan juga mengumumkan pampasan awal akan diberikan kepada mereka yang terlibat dalam insiden itu.
Kementerian Perkhidmatan Kereta Api juga membuka satu talian khas bagi memberikan maklumat kepada ahli keluarga untuk mengenalpasti identiti mangsa tragedi itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131229/lu_10/26-mati-kereta-api-terbakar#ixzz2opiz2bOL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

170 orang cedera sambut Krismas



MANILA 28 Dis. - Lebih 170 orang cedera akibat pembakaran mercun dan tembakan peluru sesat sepanjang cuti sambutan Krismas di Filipina, kata pegawai semalam.
Jabatan Kesihatan melaporkan, dalam satu kejadian, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun terpaksa dipotong tangan kanannya manakala seorang kanak-kanak berusia 5 tahun kehilangan jari telunjuk ketika bermain mercun.
''Sejak 21 Disember lalu, 164 orang cedera akibat bermain bunga api manakala seorang cedera apabila termakan belerang,'' menurut jabatan itu.
Sementara itu, jurucakap polis, Supritendan Reuben Sindac berkata, sebanyak 10 orang pula cedera terkena peluru sesat. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131229/lu_09/170-orang-cedera-sambut-Krismas#ixzz2ophKn5cN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga maut letupan di Rusia



MOSCOW 28 Dis. - Sebanyak tiga orang maut dalam sebuah bom kereta diletupkan di bandar Pyatigorsk, selatan Rusia semalam, meningkatkan kebimbangan ketika negara ini bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014 pada Februari ini.
Agensi berita Interfax melaporkan, sebuah bangunan polis trafik turut rosak teruk dalam letupan itu.
''Mereka yang terkorban bukan anggota polis sebaliknya orang awam yang berada di tempat kejadian,'' lapor agensi berita rasmi, Itar-Tass.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas kejadian pengeboman itu dalam kejadian di Pyatigorsk, kira-kira 270 dari timur Sochi yang menjadi lokasi utama sukan tersebut bermula 7 Februari ini. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131229/lu_08/Tiga-maut-letupan-di-Rusia#ixzz2opgrtdMB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1,400 mayat mangsa Taufan Haiyan masih belum ditanam



TACLOBAN, Filipina 29 Dis. - Lebih daripada seribu mayat mangsa kejadian Taufan Haiyan masih lagi tidak ditanam sehingga semalam, selepas tujuh minggu kejadian yang disifatkan sebagai `ribut paling dasyat’ pernah melanda negara ini berlaku.
Kira-kira 1,400 mayat yang dibungkus dengan plastik terbaring di atas padang berlumpur sambil dihinggapi lalat di San Isidro, perkampungan pertanian yang terletak di pinggir bandar Tacloban.
"Bau busuk yang terhasil daripada mayat tersebut menganggu kehidupan, sehingga memaksa kami menggunakan topeng muka ketika mahu tidur,’’ kata seorang penduduk tempatan, Maritess Pedrosa.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan melaporkan, angka korban Taufan Haiyan setakat ini berjumlah 6,111 orang dengan 1,779 orang lagi masih hilang. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131229/lu_02/1400-mayat-mangsa-Taufan-Haiyan-masih-belum-ditanam#ixzz2opgcO16l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga emas maut dirempuh



KAMPAR 28 Dis. - Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta di Kilometer 26.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam nahas pukul 10.55 pagi itu, mangsa Neoh Kuan@Neoh Eng Kin, 66, yang berasal dari Taman Malim Nawar, Malim Nawar dekat sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Sumber polis berkata, kejadian bermula apabila kereta tersebut yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala Ipoh telah terbabas ke bahu jalan.
"Kereta tersebut lalu melanggar motosikal mangsa yang ketika itu berada di lorong motosikal. Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Sampel darah mangsa telah diambil untuk ujian alkohol dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131229/je_04/Warga-emas-maut-dirempuh#ixzz2opstuwgO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempar bangkai anak paus terdampar

Gempar bangkai anak paus terdamparOrang ramai gempar melihat bangkai dipercayai anak ikan paus terdampar di Pantai Pasir Pandak, dekat Santubong, semalam. - Foto Mas Adib Saie

 Santubong: Penduduk Kampung Pasir Panjang di sini, gempar dengan penemuan bangkai dipercayai anak paus di pantai Pasir Panjang di sini, jam 7.50 pagi semalam.

Bangkai haiwan berukuran tiga meter panjang itu ditemui terdampar kira-kira 50 meter dari laut oleh seorang pekerja Taman Keluarga D'Cove Pasir Panjang, Hamzah Pelita, 45.

Penghulu Kampung Pasir Panjang, Hadli Piee, 57, berkata ia dipercayai penemuan pertama seumpamanya di perkampungan mereka.


“Saya dimaklumkan mengenai penemuan bangkai berkenaan pada jam 8 pagi tadi (semalam) dan bergegas ke lokasi kejadian.

Mirip anak ikan paus

“Bangkai itu mirip anak ikan paus dan walaupun hampir keseluruhan bangkai itu sudah reput, bahagian kepalanya masih berkeadaan baik dan kelihatan seperti kepala paus,” katanya kepada BH, di sini.

Susulan penemuan itu, sepasukan kakitangan Jabatan Muzium Sarawak dan Jabatan Zoologi Kuching mengambil sampel tulang bangkai berkenaan bagi tujuan kajian. Hadli berkata, bangkai berkenaan akan dipindahkan selewat-lewatnya Isnin depan bagi mengelak kawasan pelancongan itu berbau busuk.

Polis tahan GRO


2013/12/29
Kajang: Seramai 68 gadis pelayan pelanggan (GRO) asing dan tiga warga tempatan termasuk seorang pengedar pil Ecstasy ditahan dalam dua serbuan serentak di Kajang, awal pagi semalam.

Gadis lingkungan 20-an itu ditahan dalam Ops Noda ketika melayan pelanggan di dua pusat hiburan, di Bandar Mahkota Cheras dan Batu 9, di sini.


Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, polis turut menahan dua wanita tempatan dipercayai ‘ibu ayam’ dan seorang lelaki tempatan yang memiliki 50 biji pil Ecstasy.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad, berkata 90 pelanggan termasuk sembilan wanita diperiksa dalam serbuan itu.

Sembilan warga asing dicekup dalam Ops Cantas Khas


2013/12/29
Pelabuhan Klang: Akibat mahu bersuka ria di negara ini, sembilan warga asing dicekup oleh pihak berkuasa dalam Ops Cantas Khas (Perairan) di Pulau Ketam, kelmarin, kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, sembilan warga Indonesia termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika berada di dalam feri menghala ke Klang.


Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Mohd Said, berkata sepasukan empat anggota PPM menjalankan pemeriksaan terhadap penumpang feri berkenaan yang turut dinaiki warga tempatan, hasil maklumat orang ramai.
Ops Cantas Khas (Perairan) akan diteruskan agar lambakan warga asing yang masuk ke negara ini secara tidak sah dapat dikurangkan ke tahap paling minimum” Norzaid Mohd Said, Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang

Tiada dokumen perjalanan sah

“Selepas diperiksa, sembilan warga Indonesia terbabit didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan berdasarkan siasatan, kumpulan warga asing itu dalam perjalanan ke Klang selepas meluangkan masa cuti Krismas mereka di Pulau Ketam,” katanya kepada BH, semalam.

Norzaid berkata, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Semua warga asing berkenaan akan ditahan reman dua minggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
“Ops Cantas Khas (Perairan) akan diteruskan agar lambakan warga asing yang masuk ke negara ini secara tidak sah dapat dikurangkan ke tahap paling minimum,” katanya.

Nyaris maut tak sedar rumah terbakar ketika sambut Krismas

Nyaris maut tak sedar rumah terbakar ketika sambut KrismasSeorang penduduk cuba memadamkan kebakaran yang meranapkan rumah dan kedai di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka Tengah, kelmarin. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan 

Melaka Tengah: Kemeriahan Krismas pudar bagi tiga keluarga membabitkan tujuh penghuni di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir di sini, selepas rumah mereka dan sebuah kedai musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kebakaran bermula kira-kira jam 9 malam itu hampir meragut nyawa kira-kira 20 tetamu yang menghadiri rumah terbuka seorang penduduk.

Fabian Vellu, 25, asyik meraikan tetamu yang kebanyakan adalah jirannya sempena sambutan Krismas.


“Awalnya saya terdengar seperti bunyi kaca pecah dan sebaik keluar, saya lihat kediaman kosong di kiri rumah saya terbakar.

Api marak dengan pantas

“Saya pantas menghubungi bomba dan ketika membuat panggilan, api menyambar rumah saya dalam sekelip mata.

“Keadan menjadi kelam-kabut dan saya menjerit meminta tetamu menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui.
Fabian yang bergegas menyelamatkan diri hanya mampu melihat rumahnya dan rumah kosong serta kedai bersebelahan hangus dalam tempoh beberapa minit.

Timbalan Penguasa Bomba Bahagian Operasi negeri, Kamarulzaman Mohd Din, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.13 malam.

Beliau berkata, sepasukan 23 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Bukit Katil dan Ayer Keroh tiba di lokasi kejadian 21 minit kemudian.

“Ketika itu, kebakaran sudah memusnahkan hampir keseluruhan dua rumah dan kedai terbabit.

“Anggota bomba menghadapi kesukaran memasuki lokasi berikutan jalan sempit, selain sesak kerana sebahagian besar penduduk sibuk menghadiri majlis.

“Api dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.48 malam dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Bapa tiri budak mati kes dera ditahan


2013/12/29
Kuala Lumpur: Bapa tiri kepada kanak-kanak perempuan yang mati akibat didera di Jalan Sungai Besi, Isnin lalu, ditahan reman tujuh hari mulai semalam untuk membantu siasatan.

Lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai jurukimpal kereta itu, ditahan di tempat kerjanya di Cheras kira-kira jam 4.25 petang kelmarin.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika dihubungi menge-sahkan perkara itu.

Nor Ain Natasyha Abdullah, 4, disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital oleh ibunya, Zuraidah Jasman, 31, selepas tidak sedarkan diri selama dua jam.

Ketika kejadian, bapa tirinya tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Sebelum ini, Zuraidah menyangka mangsa didera ketika dalam jagaan pusat kebajikan di Kuantan, Pahang.

Mangsa bersama dua abang dan tiga kakaknya dihantar ke pusat berkenaan sejak tiga tahun lalu berikutan kesempitan hidup ibu mereka selepas bercerai dengan suami pertama.
Bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat didera dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, mangsa meninggal dunia akibat pendarahan di kepala, dipercayai disebabkan hentakan objek tumpul.