Search This Blog

Saturday, December 28, 2013

Tak sempat ke seberang

Tak sempat ke seberangSINAR HARIAN

25 Disember 2013 Sebahagian pati yang ditahan di Jeti Nelayan Kelanang, kelmarin.

KELANANG - Cubaan sekumpulan warga Indonesia yang membayar caj tambang sekitar RM400 hingga RM1,000 untuk keluar dari perairan Malaysia menggunakan bot tongkang tidak kesampaian apabila bot dinaiki 66 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk 21 wanita ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran Jeti Nelayan Pos Kelanang, kelmarin.

Platun Komander 8, Kompeni C ke-6 PGA, Inspektor Mohd Hafizuddin Mejah berkata, kesemua pati berkenaan berusia antara 21 hingga 48 tahun ditahan kira-kira jam 9.45 malam ketika menggunakan laluan salah.

Menurutnya, semasa intipan bersama  bersama lebih 10 anggota melihat ada kelibat manusia di persisiran pantai yang melalui jeti berhampiran.

“Berdasarkan siasatan awal, kumpulan pati ini mendakwa mereka telah berkumpul di Batu Hampar, Jugra sebelum memulakan perjalanan menaiki sebuah bot untuk ke Indonesia.

“Sebelum itu, Pati terbabit dikatakan terpaksa membayar wang kepada tekong darat (pengurus haram) lebih kurang dua minggu awal sebelum menggunakan perkhidmatan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian selepas Ops Nyah 1 di Kelanang.

Hafizuddin berkata, kumpulan  berkenaan dipercayai keluar dari Malaysia dan akan dihantar ke Tanjung Balai, Indonesia selain difahamkan bekerja dalam pelbagai sektor seperti kontrak, pembantu rumah, kedai runcit dan lain-lain.

Dalam pada itu, Jahuri berkata, kesemua Pati ini sanggup menyelinap ke dalam bot pada waktu malam dengan harapan aktiviti mereka tidak dapat dikesan pihak berkuasa.

Katanya, bagaimanapun, semasa pemeriksaan dilakukan terdapat sebahagian daripada mereka cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan anggota yang menjalankan tugas.

“Katanya, pihaknya kini sedang menggiatkan usaha memantau persisiran pantai terbabit kerana berkemungkinan masih terdapat Pati yang masih melalui jalan laut sebagai laluan ke negara mereka.

“Kesemua Pati ditahan di Lokap Balai Polis Banting, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk siasatan lanjut sebelum  diserahkan kepada imigresen,” katanya.

Tulang selangka patah akibat diragut

Tulang selangka patah akibat diragut27 Disember 2013

Tangan kanan Zainab yang terpaksa menggunakan anduh kerana tulang selangkanya patah akibat diragut, petang Selasa lalu.

REMBAU – Seorang warga emas terpaksa menanggung kesakitan apabila tulang selangkanya patah akibat diragut dalam ladang kelapa sawit, berhampiran kediamannya di Kampung Solok, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Zainab Abdullah, 60, dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya iaitu kilang ayam, kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Menurut Zainab, dia tidak menyangka tiga lelaki bermotosikal memerhatikan gerak-gerinya sejak dia turun dari bas untuk menghantar telur ayam di kampung berdekatan.

“Oleh kerana jarak kampung bersebelehan agak dekat, saya hanya berjalan kaki sahaja ke rumah. Bagaimanapun, saya mula rasa tidak sedap hati apabila melihat seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha RXZ sedang menunggu di tepi jalan.

"Tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menyelak tudung saya lalu merentap rantai emas di leher saya.  Malah, bahu saya ditekan kuat peragut itu sebelum merentap beg yang digalas di bahu,” katanya ketika ditemui di kediamannya, dekat sini, semalam.

Menurut Zainab, dia jatuh terlentang akibat ditolak peragut dan segera berlari pulang ke rumah menyelamatkan diri

Tambahnya, laluan itu sering digunakan sejak bekerja di kilang tersebut lebih 20 tahun lalu, namun kejadian itu pertama kali terjadi kepadanya..

"Akibat kejadian itu, saya di bawa ke Hospital Tampin (HT) dan doktor memberitahu tulang di bahagian bahu kanan saya patah," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Kota, hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes berkenaan kini masih dalam siasatan.

Tiga pegawai kastam didakwa

Tiga pegawai kastam didakwa28 Disember 2013

Penahahan tertuduh disyaki ada kaitan dengan dua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

SEREMBAN – Tiga Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengedar dadah anggaran berat 1,540 gram pada 15 Disember lalu.

Kesemua tertuduh, Wee Sew Him, 58,  bertugas sebagai Penolong Kanan Pengarah, manakala Bahara Mansor, 58, dan Syafizal Mahmud, 36, sebagai Pegawai Kanan bertugas di cawangan narkotik Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Kampung Jijan Tengah, Nilai.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh di hadapan Majistret Siti Khairiah  Abdul Razak.

Mengikut kertas pertuduhan, kira-kira 12.30 malam pada 15 Disember lalu di cawangan narkotik Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Jalan Ciku, Kampung Jijan Tengah, Nilai dengan niat bersama-sama telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis heroin anggaran berat 1,540 gram.

Berikutan itu mereka didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39 B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 (234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli, manakala tertuduh Bahara dan Syafizal diwakili peguam, Rosal Azimin Ahmad dan Siew Him tidak diwakili peguam.

Siti Khairiah kemudiannya menetapkan 3 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes untuk memperolehi laporan kimia.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin mengumumkan penahanan 11 individu termasuk tiga pegawai penguatkuasa dipercayai KDRM kerana disyaki terlibat dalam dua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa didalangi warga Nigeria dan India pada 17 Disember lalu.

Empat pegawai Kastam ditahan di kuaters kediaman mereka iaitu seorang di kuaters KDRM Kelana Jaya, manakala tiga lagi iaitu di pejabat KDRM Nilai serta kuaters KDRM Seremban.

Kesemua suspek ditahan dalam operasi khas pada 14 Disember hingga 16 Disember lalu.

Rahsia tauke bengkel terbongkar

Rahsia tauke bengkel terbongkarSINAR HARIAN
28 Disember 2013
KUALA PILAH – Polis menumpaskan sekumpulan curi motosikal selepas menahan enam suspek termasuk seorang pemilik bengkel, dalam satu serbuan berasingan, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 28 tahun terbabit berjaya diberkas di sebuah rumah dan sebuah bengkel di Pasoh 3.

Menurut Azmi, geng curi motosikal terbabit aktif melakukan kecurian.

“Kes kecurian melibatkan tiga tempat iaitu di kuarters kakitangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di hadapan pejabat Rela Daerah Kuala Pilah dan Taman Bukit Pilah Perdana.

“Pada kejadian di hadapan pejabat Rela, mangsa mendapati motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam miliknya hilang sejam ditinggalkan di tempat letak motosikal di kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di IPD Kuala Pilah.

Menurut Azmi, hasil risikan dan siasatan mendapati, salah seorang suspek yang memiliki bengkel motosikal di Pasoh 3 bertindak melerai dan menukar barang-barang curi ke motosikal rakannya yang juga suspek kes tersebut.

"Suspek turut bertindak mengikis casis enjin motosikal bagi mengaburi pihak berkuasa. Selain digunakan untuk kegunaan sendiri, motosikal ini turut dijual kepada pelanggan yang datang ke bengkel tersebut," katanya.

Tambah Azmi, dalam serbuan pada 21 Disember lalu, pihak polis menemui sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ, Honda EX5 dan sebuah motosikal Kawasaki Ninja, termasuk peralatan membuka rangka motosikal seperti spanar, skru dan pelbagai lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tiga daripada enam suspek memiliki rekod lampau dan hasil pemeriksaan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda.

“Kesemua suspek memang bergiat aktif dalam kes kecurian motosikal sekitar daerah ini," katanya.

Maut terjatuh dari tingkat 9

Maut terjatuh dari tingkat 9SINAR HARIAN
28 Disember 2013

Lelaki berusia 24 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 9 bangunan pusat membeli belah itu. 

 KUALA LUMPUR  - Pengunjung pusat membeli-belah Berjaya Times Square, Jalan Imbi gempar dikejutkan insiden seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 9 pusat membeli belah itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainudddin Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam menyebabkan mangsa parah.

“Remaja berusia 24 tahun dari Seri Kembangan itu dikatakan terjun dari tingkat sembilan sebelum jatuh di tingkat bawah pusat beli-belah. Mangsa mati di tempat kejadian,”katanya.

Menurutnya, tiada rakaman CCTV di situ, siasatan awal juga mendapati tiada rekod dan unsur jenayah pada mangsa.

Punca kejadian masih disiasat dan beliau  mengesahkan kejadian sebagai kematian mengejut.

Semuanya hilang sekelip mata

Semuanya hilang sekelip mataKeadaan kedai dan rumah milik Samsol yang musnah selepas kejadian kebakaran yang berlaku Ahad lalu.

SUNGAI BULOH - Sebuah kedai makan dan rumah milik peniaga hangus dalam satu kebakaran di Kampung Melayu Sungai Buloh Ahad lalu.

Mangsa, Samsol Atan, 48, berkata, kejadian yang berlaku jam 2 pagi itu menyebabkan dia sekeluarga hilang tempat berteduh dan tambah menyedihkan apabila kesemua barang persiapan sekolah anak-anaknya musnah dijilat api.

“Kami sekeluarga tiada di rumah ketika kejadian kerana dalam perjalanan menghadiri majlis kenduri kahwin di Alor Setar. Kami bergegas pulang apabila diberitahu dan tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Sampai sahaja di rumah, kami mendapati kedai makan yang bersambung dengan rumah dah hangus seratus peratus,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihak bomba, kejadian berkenaan dipercayai berlaku berikutan masalah litar pintas sehingga menyebabkan api menjadi marak.

“Kami dah tiada apa-apa, terpaksa menumpang di rumah anak saudara di Damansara Damai,” katanya.

Dalam pada itu, Samsol berharap agar ada pihak tampil membantu dalam menyediakan rumah sementara buat mereka sekeluarga.

Temui ajal dalam lombong

Temui ajal dalam lombong28 Disember 2013

 Radiah (kiri) setia menunggu di tepi lombong bersama beberapa penduduk dan berharap suaminya segera ditemui dengan selamat.

PERAK – Niat seorang lelaki untuk mencari rezeki dengan memukat ikan berakhir dengan tragedi apabila dia mati lemas di sebuah lombong di kawasan perindustrian Kamunting Raya kira-kira jam 6.29 petang semalam.

Isteri mangsa, Radiah Manap, 62, berkata, dia dan suaminya, Md Saad Hassan, 59, yang berasal dari Taman Jebung Aman,  pergi bersama ke lombong berkenaan untuk mengangkat pukat yang dipasangnya lelaki itu.

Menurutnya, aktiviti itu merupakan punca rezeki mereka sekeluarga sejak dua tahun lalu.

“Apabila sampai di lombong berkenaan, hanya suami sahaja yang pergi ke lombong tetapi tidak lama selepas itu, saya berasa tidak sedap hati dan bimbangkan suami.

“Ketika pergi melihat suami, saya terkejut melihat dia tenggelam dalam lombong itu malah air yang keluar dari longkang besar juga sangat deras dan laju,” katanya.

Radiah berkata, dia cuba untuk menyelamatkan suaminya dengan turun ke lombong berkenaan, namun dia tidak berupaya kerana air sangat deras.

Katanya, dia cuba meminta pertolongan seorang individu lain yang sedang memancing berhampiran namun jeritannya tidak didengari.

“Selepas itu, apabila saya kembali semula ke tempat kejadian, suami sudah tidak kelihatan lagi. Orang ramai kemudiannya terus menelefon polis dan bomba,” katanya.

Wanita itu berkata, ketika itu dia terus menunggu di tepi lombong dan berdoa agar suaminya itu ditemui dengan selamat.

“Arwah suami memukat ikan di lombong itu sejak dua tahun lalu tetapi sebelum ini jika hujan lebat, arwah tidak akan masuk ke kolam itu, tapi semalam (kelmarin) dia masuk juga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, operasi mencari dan penyelamat mangsa dimulakan sejak jam 6.35 petang kelmarin hingga 5 pagi semalam.

“Pasukan bomba dan penyelamat tiba dengan sebuah jentera dan sebuah bot penyelamat.

“Dalam kejadian terbabit, mangsa tiba-tiba dibawa arus deras dari longkang berhampiran. Mangsa tidak dapat berenang ke tebing lombong kerana arus deras,” katanya.

Mohd Taufiq berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 4.10 petang di lokasi dia dilaporkan hilang oleh pasukan penyelamat.

Beliau berkata, operasi menyelamat disertai 25 anggota dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

44 maut di Brazil


28 Disember 2013

BRASILIA - BRAZIL . Sekurang-kurangnya 44 maut manakala lebih 60,000 kehilangan tempat tinggal berikutan hujan berterusan melanda tenggara Brazil sejak beberapa minggu lalu.

Gabenor Renato Casagrande memaklumkan kerajaan akan mengambil langkah membaik pulih infrastruktur yang musnah akibat banjir di kawasan itu.

Di Minas Gerais, hujan lebat yang bermula sejak Oktober lalu dilaporkan bertambah buruk sejak beberapa lalu dan turut meragut 17 nyawa dan memaksa lebih 4,000 penduduk berpindah ke pusat penempatan sementara.

Sebanyak 79 bandar terjejas teruk di negeri terbabit, sekali gus menyebabkan 26 kawasan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, dipetik dari laporan AFP.

Ops Pintas: 32 wanita warga asing diselamat

Ops Pintas: 32 wanita warga asing diselamat28 Disember 2013
KUALA LUMPUR – Seramai 32 wanita warga asing dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia, berjaya diselamatkan polis Unit Atip Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman membabitkan serbuan di tiga buah premis urut di Setapak, di sini, kelmarin.

Ketua Operasi, Deputi Superintendan Noor Omar Sappi memberitahu, kesemua mangsa yang berusia antara 20 hingga 30-an itu berasal dari Vietnam, Filipina dan Thailand.

"Mangsa dipercayai ditipu menggunakan helah menjanjikan kerja sebagai tukang urut. Sindiket itu turut menanggung pembiayaan perjalanan mangsa sebagai ikatan hutang (debt bondage) berjumlah antara RM5,000 hingga RM13,000.

“Namun, mangsa telah terpedaya. Malah dikurung di dalam premis dan dipaksa bekerja untuk memberi perkhidmatan urutan badan ke badan (B2B) serta seks untuk melunaskan hutang tersebut," katanya.

Siasatan awal mendapati, kesemua premis terlibat tidak mempunyai lesen perniagaan. Difahamkan juga, mangsa datang ke Malaysia menggunakan visa pelajar, permit pembantu rumah dan pas lawatan sosial.

"Pas lawatan sosial mangsa juga dipegang oleh ejen masing-masing," katanya.

Polis turut merampas sejumlah wang tunai, kondom dipercayai digunakan untuk seks, buku perniagaan dan walkie talkie.

Selain itu, dalam operasi yang sama, polis memberkas empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an dan dua warga asing dari Filipina dan Myanmar dipercayai penjaga premis.

“Beberapa orang pelanggan turut kita tahan. Kesemua yang ditangkap termasuk mangsa telah diserahkan di IPD Sentul untuk siasatan lanjut.

“Tempoh siasatan selama 14 hari akan dibuka dan kes disiasat bawah Akta Atipsom,” katanya.

Operasi kira-kira jam 8 malam ini turut melibatkan beberapa pegawai dan anggota D7 dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul dan IPD Dang Wangi.

Longkang tersumbat kerana ular

Longkang tersumbat kerana ularSINAR HARIAN

28 Disember 2013
Ular sawa yang ditemui di dalam longkang di sebuah kilang pemprosesan makanan.

SENAI – Sekumpulan pekerja dari kilang pemprosesan makanan di Jalan Permas 9/15, Bandar Baru Permas, dekat sini terkejut apabila rutin harian mereka membersihkan longkang di sekitar kawasan kilang membawa kepada penemuan seekor ular sawa.

Pegawai Pemasaran kilang, Abu Bakar Mohd Khalid, 44 berkata, ular berkenaan ditemui pada kira-kira jam 9 pagi, semalam selepas mereka menyangka longkang berkenaan tersumbat ketika dibersihkan.“Ketika itu
sekumpulan pekerja sedang membersihkan longkang sebelum mereka mengadu longkang sukar dibersihkan mungkin kerana tersumbat.

“Selepas membuka penutup longkang, kami terkejut melihat seekor ular sawa besar di dalam longkang berkenaan,” katanya.

Katanya, mereka segera menghubungi pihak bomba dan penyelamat bagi menangkap ular berkenaan namun tidak berjaya kerana ular berkenaan berjaya menyembunyikan diri ke kawasan lebih terpencil.

“Ular berkenaan mungkin sedang bersalin kulit di situ kerana terdapat serpihan kulit yang tercabut sewaktu pihak bomba cuba menariknya keluar.

“Sebahagian operasi kilang turut ditutup kerana bimbang ular berkenaan memasuki kawasan kilang tanpa disedari,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Johor Jaya, Fadullah Ishak berkata, pihaknya bersama seorang lagi anggota mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menangkap ular berkenaan namun tidak berjaya.

“Kami turut mencurah air panas supaya ular berkenaan keluar dari tempat persembunyian namun tidak berjaya. Jadi kita terpaksa tunggu ular berkenaan keluar dari tempat persembunyian untuk menangkapnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kakitangan kilang berkenaan agar mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak menganggu ular berkenaan sekiranya menjumpainya bagi mengelakkan sebarang risiko.

Emas bernilai RM700,000 dilarikan


27 Disember 2013
KUALA LUMPUR - Empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi melarikan 10 dulang barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM700,000 dalam masa dua minit sahaja dari sebuah kedai emas di Sungai Chua, Kajang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Dearah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata kejadian berlaku pada pukul 4 petang di premis berkenaan yang terletak di dalam sebuah pasar raya.

"Ketika kejadian, terdapat dua pekerja. Pada ketika itu, salah seorang suspek melepaskan satu das tembakan ke dalam kedai yang mengenai cermin kalis peluru.

"Seorang lagi memecahkan cermin pameran dengan tukul besi dan melarikan 10 dulang barangan kemas," katanya di tempat kejadian.

Abdul Ghani berkata kesemua mereka memakai topi keledar bertutup penuh dan jaket.

Polis akan menjalankan siasatan lanjut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebelah kedai emas itu yang dapat merakam kesemua pergerakan suspek ketika melarikan diri, katanya. - Bernama

Padah sumbat kucing dalam balang

Padah sumbat kucing dalam balang28 Disember 2013

 Kucing peliharaan ini disumbat ke dalam balang sebagai hukuman kerana nakal.

TAIPEI - TAIWAN. Gara-gara tindakannya menyumbat kucing di dalam sebuah balang sebagai hukuman kerana nakal, seorang pelajar di Taiwan bakal berdepan hukuman penjara setahun dan denda jika didapati bersalah melanggar undang-undang perlindungan haiwan.

Kiki Lin pelajar Universiti Providence Taichung didakwa melakukan penganiayaan ke atas haiwan selepas dia memuat naik gambar tersebut di Facebook.

Tindakan kejamnya itu mengundang kemarahan pencinta haiwan dalam kalangan pengguna laman sosial itu dan mereka turut menggelarnya sebagai pendera haiwan, dipetik dari laporan DailyMail.

Puluhan cedera diserang pirana

Puluhan cedera diserang pirana27 Disember 2013

BUENOS AIRES - ARGENTINA. Seramai 70 termasuk lebih 20 kanak-kanak cedera akibat diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan ikan pirana di Sungai Parana berhampiran bandar Rosario, Rabu lalu.

Menurut agensi berita Telam, seorang budak perempuan berumur tujuh tahun turut kehilangan salah satu jarinya dalam insiden tersebut.

Jurucakap kerajaan tempatan, Ricardo Biasatti menyifatkan kejadian itu sebagai jarang berlaku.

"Serangan ganas tersebut dipercayai berlaku kerana sisa sampah sarap yang ditinggalkan nelayan di kawasan itu telah menarik perhatian ikan karnivor spesies palometas terbabit," katanya yang dipetik dari DailyMail.

Pada 2008, kira-kira 40 orang dilaporkan cedera akibat diserang spesies akuatik pemakan daging tersebut dalam satu kejadian menggemparkan di negara itu.

10,000 aduan pemandu tak berhemah


Kuala Lumpur: Lebih 10,000 aduan mengenai pemandu tidak berhemah dan kesalahan lain di jalan raya dilaporkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) disediakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak tiga tahun lalu.

Namun, tidak semua aduan yang disalurkan dapat diproses SPAD berikutan maklumat tidak lengkap, keengganan pengadu untuk tampil memberi kenyataan dan kes di luar bidang kuasa suruhanjaya itu.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, jumlah aduan yang semakin meningkat setiap tahun menunjukkan rakyat negara ini prihatin mengenai keselamatan jalan raya.

“Sikap mengambil berat terhadap aspek keselamatan orang ramai ketika di jalan raya memang bagus, namun pengadu harus bijak membuat aduan supaya tindakan dapat dilakukan.

“Malangnya, kira-kira 2,000 kes saja dapat diselesaikan melalui SMS yang diperoleh kerana maklumat kurang lengkap dan kerjasama pengadu dan saksi terbabit,” katanya selepas menyampaikan bantuan zakat kepada 10 pertubuhan kebajikan sekitar Lembah Klang, di sini, semalam.

Katanya, enam perkara asas diperlukan dalam aduan yang disalurkan ialah siapa, bagaimana, di mana, apa, bila dan mengapa.

“Jika ada pengguna berasa ditipu pemandu teksi mengenakan caj melampau dan menetapkan tambang untuk ke sesetengah destinasi, pesalah akan didakwa melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat, sekali gus berdepan tindakan denda antara RM500 hingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.



“Kesalahan seperti itu akan terus dibanteras melalui operasi secara berterusan dan pada masa sama, kami mahu menerapkan kesedaran kepada pengguna mengenai hak mereka sekiranya dianiaya pemandu dan pengusaha teksi tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada majlis sama, Perkhidmatan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) menyalurkan pembayaran zakat sebanyak RM2.9 juta kepada Pusat Zakat, Majlis Agama dan Tabung Zakat ATM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Langsai hutang jual maruah

Oleh Salman Hamat
Johor Bahru: Sekumpulan janda dari Indonesia memberi alasan terpaksa menjual ‘tubuh’ kerana mahu mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang ‘along’ ketika ditahan pegawai dan anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Maju, Taman Pelangi di sini, semalam.
Serbuan pada jam 11 malam itu dilakukan hasil risikan seminggu oleh pegawai imigresen selepas mendapati premis berkenaan beroperasi sebagai pusat persundalan dan berjaya menahan enam wanita Indonesia berusia antara 34 hingga 50 tahun.
Turut ditahan dalam serbuan sama seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun disyaki bapa ayam dan mengatur perjalanan wanita terbabit.
Ketua Penyelaras Operasi bersepadu 6P Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata, ada wanita terbabit mendakwa kematian suami dan berpisah dengan pasangan masing-masing menyebabkan mereka terpaksa bekerja sendiri untuk menyara keluarga.
“Ada yang mengaku berhutang dengan peminjam wang haram sehingga mencecah RM10,000 dan disebabkan tidak mampu membayar hutang, wanita berkenaan mendakwa datang ke negara ini dan sanggup melakukan apa saja untuk melunaskan hutang.
“Tidak kurang juga ada yang memberi alasan terpaksa mencari wang untuk menyara anak di kampung.
“Apa jua alasan diberikan, kami terpaksa bertindak dan menahan mereka kerana melanggar peraturan negara ini,” katanya.
Masri berkata, kebiasaannya wanita berkenaan akan berkeliaran di kaki lima deretan rumah kedai di kawasan sekitar termasuk duduk di restoran berhampiran untuk menggoda pelanggan yang lalu.
Menurutnya, mereka bukan saja memakai pakaian menghairahkan, malah ada antara wanita berkenaan menggoda pelanggan dengan ‘mengenyit’ mata untuk menarik perhatian lelaki hidung belang yang mudah cair dengan pujukan sedemikian.
Katanya, sekiranya mahu mendapatkan perkhidmatan seks wanita terbabit, bapa ayam akan menghantar pelanggan ke bilik khas lengkap dengan katil dan bilik air bagi memudahkan mereka melakukan hubungan seks selama 45 minit.
“Kadar bayaran yang dikenakan sekitar RM70 dan RM100 bergantung kepada umur, susuk tubuh dan kejelitaan wanita berkenaan.
“Dalam serbuan ini, beberapa pegawai dan anggota kami turut menyamar sebagai pelanggan dan hasilnya, kami berjaya menahan semua pelacur terbabit termasuk bapa ayam yang menguruskan mereka,” katanya.
Foto
EMPAT wanita ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Pelangi, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Didakwa seterika bini

Oleh Iskandar Shah Mohamed
Alor Gajah: Seorang deejay karaoke dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan mencederakan isterinya menggunakan air panas dan seterika di sekitar daerah ini, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Syafiq Ab Aziz, 22, dari Pontian, Johor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju lokap jingga mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Yusniza Amira Md Sahal, 19, menggunakan air panas dan seterika panas.
Foto
MOHAMAD Syafiq dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, semalam.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di sekitar Taman Bidara Permai, Masjid Tanah, jam 8 pagi, pada 11 Disember lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Safri Mohamed Na’im yang mengendalikan kes meminta mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh.

Nariman kemudian membenarkan permohonan itu.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Januari depan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Juruwang gagal pegang amanah

Juruwang gagal pegang amanah28 Disember 2013

Mohd Nasir menutup muka dengan jaket untuk mengelak gambarnya dirakam. 

 GEORGETOWN - Seorang bekas Ketua Juruwang Public Bank Berhad Cawangan Lebuh Bishop di sini, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM8,000 oleh mahkamah majistret, semalam atas tuduhan mencuri wang milik bank berkenaan,  Oktober lalu.

Majistret Noor Aini Yusof juga memerintah Mohd Nasir Ismail, 49, membayar pampasan RM4,000 di bawah Seksyen 426 Kanun Acara Jenayah.

Dalam penghakiman ringkas, Noor Aini berkata, beliau membuat keputusan itu setelah mengambil kira hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pembelaan.

“Ia merupakan kesalahan yang serius. Sebagai seorang ketua juruwang sepatutnya memegang amanah.

“Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM8,000, jika tertuduh gagal membayar denda itu, dia perintah menjalani hukuman penjara lapan bulan,” katanya.

Mohd Nasir  dari Sungai Petani, Kedah, didakwa mencuri wang tunai sebanyak RM910,000 milik bank, di bank tempatnya bekerja, pada jam 7.10 malam pada 18 Oktober lalu.

Lelaki itu disabit mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam premis dan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Selain kehilangan wang, reputasi bank berkenaan juga terjejas akibat insiden berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Selvanranjini juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang maksimum ke atas Mohd Nasir.

Sementara itu, Mohd Nasir diwakili M Murgan merayu mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh.

Selepas hukuman itu dibacakan, beliau memohon mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara ke atas Mohd Nasir untuk mengemukakan rayuan di mahkamah tinggi.

Bagaimanapun, permohonan Murgan ditolak oleh Noor Aini, beliau mengarahkan Mohd Nasir menjalani hukuman penjara, bermula tarikh disabit iaitu semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan  seorang ketua juruwang gagal menggelapkan wang tunai kira-kira RM1.5 juta apabila penahanannya membawa kepada penemuan sebahagian besar wang terbabit.

Wang terbabit didapati hilang dari dalam bilik kebal bank selepas imbangan akaun, sebelum dua pekerja lelaki bank itu, ditahan.

Susulan penahanan suspek utama terbabit, sebanyak RM860,000 dijumpai dalam sebuah beg  di sebuah pusat boling di Sungai Petani, selepas tiga hari ditahan manakala bakinya, iaitu RM50,000 sudah digunakan.

Lelaki terjun tingkat sembilan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut apabila terjun dari tingkat sembilan sebuah pusat beli-belah di Jalan Imbi, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan, disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Mengulas lanjut kejadian itu, Zainuddin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa menemui seorang lelaki di bahagian lobi pusat beli-belah itu dalam keadaan cedera selepas terjun dari tingkat sembilan.
“Pasukan perubatan bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengesahkan lelaki terbabit maut,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, semakan mendapati mangsa tidak mempunyai rekod jenayah selain tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tingkat sembilan pusat beli-belah berkenaan.
“Seorang pekerja pusat beli-belah itu dilaporkan melihat lelaki terbabit memanjat besi pengadang di tingkat sembilan sebelum terjun.
“Apa yang pasti, tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
Foto
SEORANG lelaki terjun dari tingkat sembilan pusat beli-belah di Jalan Imbi, malam tadi.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

6 dulang emas lesap


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Kuala Lumpur: Sekumpulan empat penjenayah hanya mengambil masa kurang dua minit sebelum melarikan enam dulang emas dianggarkan bernilai RM100,000 dalam satu rompakan di kedai emas di sebuah pasar raya di Sungai Chua, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 petang, kumpulan penjenayah bersenjatakan pistol turut melepaskan dua das tembakan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, ketika kejadian, terdapat dua pekerja berusia lingkungan 20-an di premis berkenaan.

“Pekerja kedai emas terbabit terkejut apabila empat lelaki memasuki premis itu sebelum kumpulan lelaki itu yang lengkap memakai topi keledar melepaskan satu tembakan mengenai cermin premis berkenaan.

“Mereka (penjenayah) kemudiannya menggunakan tukul untuk memecahkan cermin pameran emas sebelum memasukkan enam dulang emas ke dalam beg yang dibawa,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, kumpulan penjenayah itu kemudiannya melepaskan satu das lagi tembakan ketika melarikan diri.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan kami sedang memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV).



Apa yang saya boleh maklumkan, CCTV di premis itu berfungsi dan merakamkan setiap detik rompakan, namun penelitian lanjut sedang dilakukan,” katanya.

Foto
PEGAWAI polis melakukan pemeriksaan di kedai emas yang dirompak, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Dijel, denda angkara baling batu


Oleh Iskandar Shah Mohamed
Alor Gajah: Akibat terlalu berang sehingga sanggup membaling batu ke arah cermin dua kereta pengguna jalan raya di sekitar negeri ini, Ahad lalu, seorang juruteknik penghawa dingin dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Amir Nudin Ali, 33, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Terdahulu, tertuduh dari Kuala Sungai Baru yang memakai baju lokap jingga kelihatan sugul dan turut memperakui fakta serta barang kes dikemukakan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membaling sebiji batu ke arah cermin kereta milik Hamiza Hasan, 23, hingga menyebabkan cermin kereta itu retak dan boleh membahayakan pemilik di dalamnya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama pada kereta milik Mohamad Faiz Noorman, 26.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di bawah jejambat Lebuh Ayer Keroh di sini, jam 6.30 petang, pada 22 Disember lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 336, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Amir yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan melakukan perbuatan itu kerana tertekan.

“Saya ketika itu sedang ‘hot’ kerana kereta rosak.



Bengkel pula banyak ditutup kerana hari Ahad,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Safri Mohamed Na’im mengendalikan kes memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Dijel, denda angkara baling batu


Oleh Iskandar Shah Mohamed
Alor Gajah: Akibat terlalu berang sehingga sanggup membaling batu ke arah cermin dua kereta pengguna jalan raya di sekitar negeri ini, Ahad lalu, seorang juruteknik penghawa dingin dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Amir Nudin Ali, 33, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Terdahulu, tertuduh dari Kuala Sungai Baru yang memakai baju lokap jingga kelihatan sugul dan turut memperakui fakta serta barang kes dikemukakan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membaling sebiji batu ke arah cermin kereta milik Hamiza Hasan, 23, hingga menyebabkan cermin kereta itu retak dan boleh membahayakan pemilik di dalamnya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama pada kereta milik Mohamad Faiz Noorman, 26.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di bawah jejambat Lebuh Ayer Keroh di sini, jam 6.30 petang, pada 22 Disember lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 336, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Amir yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan melakukan perbuatan itu kerana tertekan.

“Saya ketika itu sedang ‘hot’ kerana kereta rosak.



Bengkel pula banyak ditutup kerana hari Ahad,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Safri Mohamed Na’im mengendalikan kes memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Tiga pegawai berdepan mati

Oleh Suraya Roslan
Seremban: Tiga pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berdepan hukuman gantung sampai mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 1,540 gram pada 15 Disember lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak daripada Penolong Kanan Pengarah cawangan narkotik, Wee Sew Him, 58, bersama dua pegawai kanan cawangan sama, Bahara Mansor, 58, dan Syafizal Mahmud, 36, yang mengaku faham apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 1,540 gram di cawangan narkotik Ibu Pejabat KDRM Jalan Ciku, Kampung Jijan Tengah, Nilai, dekat sini, jam 12.30 tengah malam, pada 15 Disember lalu.
Mereka yang bertugas di KDRM Nilai dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1) (a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B, akta sama, dibaca bersama Seksyen 34, akta sama yang jika disabitkan boleh dihukum mati.
Majistret menetapkan kes disebut pada 3 Mac depan bagi mendapatkan laporan kimia dan tiada jaminan dibenarkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli, manakala dua tertuduh, Bahara dan Syafizal diwakili peguam Rosal Azimin Ahmad, manakala Sew Him tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, tiga pegawai KDRM antara 11 individu yang ditahan kerana mendalangi sindiket pengedaran dadah di pintu masuk negara.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dilaporkan berkata, pihaknya juga merampas dadah bernilai RM14 juta dalam beberapa siri serbuan itu.
“Bertindak atas maklumat, polis melakukan beberapa siri serbuan di Nilai, Seremban dan Jalan Klang Lama, Selangor sejak 14 Disember lalu.
“Siasatan mendapati, modus operandi sindiket itu dengan kerjasama orang dalam KDRM bagi memudahkan penyeludupan untuk menghantar bagasi warga asing ke hotel,” katanya.
Foto
TIGA pegawai KDRM yang didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, semalam.

Dalam serbuan itu, pihaknya juga merampas pistol, enam peluru dan sejumlah besar dadah.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Juvana mengaku rosak kereta polis


Kuantan: Seorang juvana antara tiga lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas kesalahan merosakkan kereta peronda polis pada malam menjelang Krismas, Rabu lalu.

Juvana berusia 16 tahun itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, manakala dua lagi tertuduh iaitu Lian Siak Kong, 23, dan Lim Chee Seng, 20, membuat pengakuan tidak bersalah.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama melakukan khianat dengan sengaja membaling tin ‘snow spray’ dan menendang kereta peronda polis sehingga mengakibatkan kerugian RM25 ke atas di laluan hadapan kios aiskrim McDonalds, Teluk Cempedak pada 25 Disember lalu jam 12.30 tengah malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Farahah menawarkan jaminan RM8,000 bagi pesalah juvana dan masing-masing RM10,000 bagi Lian dan Lim.

Dalam rayuannya, juvana yang sudah tidak bersekolah itu memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana dia perlu menanggung ibu, bapa serta adiknya dengan pendapatan sebagai pekerja kedai fotostat sebanyak RM1,000 sebulan.

Lian pula memberitahu mahkamah yang dia menanggung ibunya dengan pendapatan RM2,500 sebagai tukang masak, manakala Lim yang bekerja di kedai basikal hanya mempunyai pendapatan sekitar RM1,000.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Pemilik akaun Facebook kena reman 5 hari


2013/12/28
Kuala Lumpur: Pemilik akaun Facebook menggunakan nama Azmaelz Hadzeny, yang ditahan di Saratok, Sarawak, kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, ditahan reman selama lima hari bermula semalam.

Lelaki berusia 25 tahun tiba di ibu negara pagi semalam, selepas diterbangkan dari Sarawak dan terus dibawa ke Mahkamah Jalan Duta, untuk membolehkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, mendapatkan perintah reman ke atasnya.


Ajak orang ramai berhimpun

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor, yang mengesahkan perkara itu memberitahu, suspek kini ditahan di Bukit Aman untuk siasatan dan tindakan lanjut berhubung tindakannya mengajak orang ramai menyertai perhimpunan menggulingkan kerajaan pada malam 31 Disember ini.

Katanya, lelaki terbabit yang juga seorang nelayan, kini disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen di negara ini.

Selain itu, suspek dalam kenyataan menerusi laman media sosialnya itu turut meminta orang ramai membuat persediaan untuk menghadapi rusuhan pada ambang sambutan malam tahun baru bagi menggulingkan kerajaan sedia ada.

4 perompak larikan enam dulang emas


2013/12/28
Kajang: Sekumpulan empat penjenayah hanya mengambil masa kurang dua minit untuk melarikan enam dulang emas ketika merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Sungai Chua, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.51 petang, kumpulan terbabit yang bersenjatakan pistol dilapor turut melepaskan dua das tembakan, namun tiada kecederaan dilaporkan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata ketika kejadian, dua pekerja berusia lingkungan 20-an berada di kedai emas berkenaan.

Lepaskan satu das tembakan

Katanya, pekerja terbabit melihat empat lelaki memasuki premis itu, dengan seorang daripada penjenayah yang lengkap memakai topi keledar melepaskan satu das tembakan yang mengenai cermin premis kedai.

Beliau berkata, penjenayah kemudian menggunakan tukul untuk memecahkan cermin pameran berkenaan, sebelum memasukkan enam dulang emas ke dalam beg yang dibawa.

“Kumpulan penjenayah itu kemudian melepaskan satu das tembakan lagi ketika melarikan diri,” katanya.

Ditumbuk enggan cuci sisa tak halal


Oleh Norul Awatif Romli
Kuala Lumpur: Akibat enggan akur kepada arahan supaya mencuci sisa kumbahan daripada saluran makanan tidak halal, seorang juruteknik sebuah pasar raya di Subang Jaya, di sini, cedera di kepala dan sikunya akibat dipukul penyelianya dalam kejadian 19 Disember lalu.

Akibat kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Azrai, 29, nekad berhenti kerja.

Menurut mangsa, beberapa hari sebelum kejadian, penyelianya itu mengarahkannya supaya dia melakukan kerja pembersihan tangki kumbahan yang menyalurkan sisa makanan dari restoran tidak halal yang terletak dalam pasar raya berkenaan, tetapi dia enggan melakukannya.

“Sebelum ini, kalau ada paip kumbahan bocor atau kerja pembersihan tangki kumbahan sisa makanan tidak halal, kami akan memanggil kontraktor luar melakukannya, jadi kenapa mahu saya yang melakukan?,” katanya.

Berikutan itu, katanya, akibat tidak berpuas hati dengan tindakan penyelianya itu, dia memaklumkan hal berkenaan kepada pihak atasan.

“Saya tidak berniat untuk menyusahkan atau memalukannya, tetapi tindakannya terhadap saya memang tidak boleh diterima.

“Dia juga tidak membenarkan saya menukar pakaian yang dicemari sisa kotoran itu,” katanya.

Berikutan tindakannya itu, Azrai berkata, dia diarahkan penyelianya supaya ke pejabat syarikat itu sebelum dimarahi, dimaki dan ditumbuk pada bahagian badan serta belakang kepalanya.

“Rakan sekerja yang menyaksikan kejadian itu hanya mendiamkan diri dan tidak membantu sebelum salah seorang daripada mereka meleraikan kejadian itu,” katanya.Mangsa membuat dua laporan di Balai Polis Damansara dan Subang Jaya kerana bimbang masalah itu berterusan.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28
Pegawai penyiasat Imigresen kena 3 tahun penjara
2013/12/28 - 04:23:25 AM Cetak Emel Kawan

Tweet
Kuala Lumpur: Seorang Penolong Pegawai Penyiasat Imigresen dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 tiga tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Ariffin menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Rahim Yusoff, 42, selepas mendapati pembelaan tertuduh menerusi peguam belanya, Ariff Azami Hussein, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Abdul Rahim yang hadir ditemani isterinya, kelihatan tenang sebaik Rosbiahanin membacakan keputusan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara mulai semalam. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.


Abdul Rahim didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 daripada ejen insurans, Chuah Choon Mui, sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes Choon Mui yang disyaki melindungi perempuan warga China di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya, pada jam 5 petang 22 Februari 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana lebih tinggi.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan Ariff supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin dan menangguhkan hukuman penjara, sementara menunggu rayuan.

Bekas posman didakwa pecah amanah


KUALA LUMPUR 27 Dis. - Seorang bekas penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang syarikat melibatkan kerugian RM3,730, minggu lalu.
Muhammad Fizri Hasnan Ab. Waib, 22, didakwa melakukan perbuatan itu dengan menggunakan wang tunai sejumlah RM380 dan dua keping cek masing-masing bernilai RM350 dan RM3,000 yang diamanahkan oleh majikan syarikat Teknopuri Sdn. Bhd., untuk kepentingan sendiri.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikat itu di No. 8 & 8-1, Jalan 5/92B, Taman Kobena, Cheras di sini kira-kira pukul 2.30 petang, 20 Disember lalu.
Pertuduhan terhadap lelaki yang diwakili peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab itu dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan serta denda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131228/ma_03/Bekas-posman-didakwa-pecah-amanah#ixzz2ojpK26LD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dadah: Warga Iran ke tali gantung



SHAH ALAM 27 Dis. - Seorang juruteknik warga Iran yang menelan 103 kapsul mengandungi dadah methamphetamine dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 581.24 gram dadah tersebut, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu terhadap Mahdi Keramatvyarsagh Khodavirdi, 34, selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Hakim tersebut dalam penghakimannya berkata, keterangan pembelaan tertuduh seolah-olah diajar.
''Tertuduh mendakwa dia ditipu oleh lelaki bernama Wahid yang menyuruhnya menelan kapsul itu bertujuan mengelak dikenakan cukai,'' ujar beliau.
Lelaki itu didakwa mengedar 218.5 gram methamphetamine di pejabat Narkotik Aras 3, Bangunan Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada pukul 3.45 petang, 11 Jun 2010.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131228/ma_02/Dadah-Warga-Iran-ke-tali-gantung#ixzz2ojp2tn7E
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua rumah, sebuah kedai musnah dalam kebakaran


Melaka 28 Dis. - Dua buah rumah dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di perkampungan Portugis di Ujong Pasir di sini, kira-kira pukul 9 malam tadi.
Lima jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Air Keroh, Bukit Katil dan Jalan Kubu mengambil masa setengah jam untuk memadamkan kebakaran tersebut.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131228/je_01/Dua-rumah-sebuah-kedai-musnah-dalam-kebakaran#ixzz2ojoZpBTv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 pegawai KDRM berdepan hukuman mati

3 pegawai KDRM berdepan hukuman matiTiga pegawai KDRM berdepan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Majistret, semalam. - Foto Hazreen Mohamad

Tertuduh didakwa edar heroin seberat 1.5kg

Seremban: Tiga pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berdepan hukuman mati apabila didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Penolong Kanan Pengarah Kastam, Wee Sew Him, 58, dan dua Pegawai Kastam Kanan, Bahara Mansor, 58, dan Syafizal Mahmud, 36.

Hasil operasi khas di Nilai dan Lembah Klang antara 14 dan 16 Disember lalu, polis merampas dadah bernilai RM14 juta” Mohd Bakri Mohd Zinin, Timbalan Ketua Polis Negara

Mereka didakwa bersama mengedar heroin seberat 1.5 kilogram di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat KDRM, Jalan Ciku Tengah, Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 15 Disember lalu.

Tak dibenar ikat jamin

Semua tertuduh yang tidak dibenarkan ikat jamin, boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Sew Him tidak diwakili pe guam, manakala Bahara dan Syafizal diwakili Rosal Azimin Ahmad. Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli.
Majistret Siti Khairiah Abdul Razak kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mac depan sementara menunggu laporan Jabatan Kimia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, pada 17 Disember lalu, mengumumkan penahanan 11 orang, termasuk empat pegawai KDRM yang dipercayai terbabit dalam dua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa didalangi warga Nigeria dan India.

Katanya, hasil operasi khas di Nilai dan Lembah Klang antara 14 dan 16 Disember lalu, polis merampas dadah bernilai RM14 juta.

Berikutan itu, Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Khazali Ahmad, memberi jaminan pihaknya akan memberi kerjasama kepada polis dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pegawai agensi itu yang terbabit dalam penyeludupan dadah.

26 pendatang asing gagal lolos


2013/12/28
Kota Tinggi: Cubaan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari negara ini secara haram menggunakan bot pancung di perairan Pengerang berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, APMM Tanjung Sedili menerima maklumat dari Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang mengesan objek disyaki bot pancung dalam keadaan mencurigakan berlegar di perairan terbabit.


Ketua Penguatkuasa APMM Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud, berkata sebuah bot ronda APMM diarahkan ke kawasan terbabit dan bot pancung itu dikesan pada kedudukan 1.9 nautika tenggara Tanjung Bulat.

“Pemeriksaan mendapati tekong bot yang tiada nombor pendaftaran itu membawa 25 penumpang termasuk dua wanita berusia 20 hingga 49 tahun dan gagal menunjukkan pengenalan sah.

“Semua PATI itu dipercayai berlepas dari Teluk Ramunia, dekat sini menuju ke perairan Indonesia,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Amran berkata, semua PATI terbabit ditahan dan bot gentian kaca sepanjang enam meter dan enjin Yamaha 200 kuasa kuda ditunda ke Jeti Marina Tanjung Pengelih.

Katanya, suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu keluar, masuk melalui kawasan tidak diwartakan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 Akta 670.

Bas terjun gaung


Bangkok: Sebuah bas yang membawa penumpang untuk bercuti sempena Tahun Baru terhumban ke dalam gaung dari sebuah jambatan antara yang tertinggi di Thailand, menyebabkan sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh.

Kejadian malam kelmarin di daerah Lom Sak, wilayah Phetchabun di timur laut negara itu berlaku ketika bas itu dalam perjalanan ke Chiang Rai.


“Kami syak pemandu bas itu tertidur,” kata ketua polis Phetchabun, Mejar Jeneral Sukit Samana.

Menurutnya 28 mayat ditemui di dalam gaung dan seorang penumpang mati di hospital.


Beberapa yang lain dalam keadaan kritikal,


“Saksi berkata bas itu terlalu laju sebelum ia terhumban. Bas yang membawa 40 penumpang itu musnah sama sekali,” kata Sukit.

Kemalangan itu berlaku ketika berjuta-juta penduduk Thai dijangka bercuti sempena sambutan Tahun Baru selama lima hari bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan Chadchart Sitthipunt berkata, bas itu merempuh penghadang keselamatan di Jambatan Phamuang sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 50 hingga 70 meter.

Standard keselamatan jalan raya di Thailand agak buruk menyebabkan kemalangan membawa maut sering berlaku.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Pengantin tembak penyanyi


Amman: Seorang penyanyi mati selepas ditembak secara tidak sengaja oleh pengantin lelaki ketika menyanyi di atas pentas.

Akhbar tempatan melaporkan, penyanyi berkenaan baru saja menaiki pentas dan bermula menyanyi untuk pasangan pengantin berkenaan apabila pengantin lelaki bangun dan melepaskan tembakan ke udara.


Perbuatan itu adalah perkara biasa yang di lakukan penduduk di utara Jordan ketika majlis perkahwinan.

Sebutir peluru terkena penyanyi itu menyebabkan dia tersembam ke lantai. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Baik semula lepas bina tandas


New Delhi: Seorang wanita bersetuju untuk tidak bercerai dengan suaminya selepas lelaki itu berjanji di mahkamah untuk membina tandas yang sempurna di kediaman mereka.

Savita Malviya, 27, bersedia pulang ke pangkuan suaminya di Kampung Mundlaana, di India bersama dua anak mereka.

Dia dan suaminya, Devkaran, 30, sudah berkahwin selama tujuh tahun tetapi mahkamah diberitahu yang wanita itu meninggalkan rumah untuk pulang ke kediaman ibu bapanya kerana tidak sanggup lagi hidup menanggung malu.

Savita menyalahkan ketiadaan kemudahan tandas di rumahnya menyebabkan perkahwinan mereka dilanda keretakan.

Mahkamah diberitahu yang keluarga itu terpaksa membuang air dalam belukar kerana tidak memiliki tandas.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Pengawal mati dibelit ular


Bali: Seorang pengawal keselamatan mati dibelit seekor ular sawa di depan orang ramai di luar sebuah hotel mewah di Bali, Indonesia, semalam.

Ambar Arianto Mulyo, 59, yang bekerja di sebuah restoran berhampiran menawar diri untuk menangkap ular sepanjang lima meter itu.

Ular berkenaan sebelum itu dilihat beberapa kali di hotel di kawasan Sanur.

Ambar berjaya menangkap kepala dan ekor ular itu sebelum meletakkannya pada bahunya, kata Agung Bawa, penolong pengurus keselamatan hotel terbabit yang ditutup kerana kerja baik pulih sehingga 2015.

Tetapi ular itu membelit badan mangsa dan menjerutnya hingga mati.

Orang ramai yang melihat kejadian itu tidak dapat membantu.



Polis yang tiba juga gagal menyelamatkan Ambar.

Ular itu kemudian menyelinap ke kawasan semak berhampiran.

Sehingga malam tadi, polis masih memburunya.

Kejadian berlaku awal awal pagi semalam.


Ular berkenaan dikatakan muncul untuk menyeberang jalan raya berhampiran hotel Hyatt Bali.

“Ia berlaku begitu pantas.


Kami sedih kerana tidak dapat membantu Ambar,” kata Bawa.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Tak sempat malam pertama


Gayo Lues (Aceh): Seorang lelaki yang tidak sampai 24 jam bernikah tidak sempat menikmati malam pertama apabila dia ditangkap kerana membunuh seorang tetamu majlis perkahwinannya.

Baharudin menikam tetamu terbabit, Alim, menyebabkan mangsa mati selepas mereka bergaduh kerana mancis dalam kejadian di Kampung Pining Benteng.


Jurucakap polis tempatan Inspektor Asrijul, Baharudin sebelum ini pernah mengalami sakit jiwa.

“Dia pernah gila. Pernah dikurung dan menjalani rawatan di hospital Banda Aceh. Selepas dipercayai pulih, dia dinikahkan oleh ibu bapanya,” kata Asrijul.


Kejadian berlaku ketika sekumpulan remaja berkumpul di rumah ibu bapa Baharudin, termasuk Alim.


“Baharudin mendekati Alim dan bertanyakan mancis. Alim menjawab tidak tahu. Suspek merasakan dirinya dipermainkan lalu mengambil pisau dan menikam rakan sekampungnya itu,” kata Asrijul.

Menurutnya, Alim mati dalam perjalanan ke hospital sementara Baharudin ditahan sebelum dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan mental. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Wanita dirogol tujuh lelaki malam Krismas


2013/12/28
New Delhi: Seorang wanita berusia 20 tahun didakwa menjadi mangsa rogol beramai-ramai menjelang sambutan Krismas di selatan India, lapor media semalam, kejadian terbaru dalam siri serangan seksual yang dilaporkan di negara itu.

Laporan mengenai serangan terbaru berkenaan tersiar dua hari sebelum India dijangka memperingati ulang tahun pertama kematian penuntut wanita yang dirogol beramai-ramai di atas bas dalam serangan yang mengejutkan negara itu.


Wanita yang dise rang menjelang Krismas itu memberitahu polis beliau diculik tiga lelaki ketika bersiar-siar dengan rakan-rakannya di Karaikal, bandar raya pelabuhan di Puducherry, laporan Times of India dan rangkaian televisyen.
Satu kes sudah dilaporkan. Ada 15 tertuduh dan seorang mangsa” Monika Bhardwaj, Pegawai kanan polis

Dibebas suspek pertama

Salah seorang lelaki berkenaan merogolnya di sebuah tempat terpencil sebelum membebaskan mangsa, menurut Times of India.

Beliau meminta tolong tetapi sekumpulan tujuh lelaki lain menyerangnya ketika dibawa ke tempat selamat. Enam daripada mereka merogolnya.

“Satu kes sudah dilaporkan. Ada 15 tertuduh dan seorang mangsa,” kata pegawai kanan polis, Monika Bhardwaj.
Bhardwaj berkata, tiga daripada tertuduh melarikan diri.

Akhbar Times of India melaporkan polis mendaftarkan kes berkenaan sebagai penculikan, rogol berkumpulan dan ugutan jenayah terhadap tertuduh. - AFP

Janda rugi RM3,400 layan cinta siber


2013/12/28
Akibat cinta siber dan terperdaya dengan janji manis akan dihadiahkan berlian bernilai RM1 juta, seorang janda kerugian RM3,400 ditipu oleh lelaki yang dikenali menerusi Facebook.

Janda beranak dua berusia 35 tahun, berasal dari Durian Tunggal di Melaka itu hampir memasukkan RM15,000 lagi dalam akaun bank lelaki dikenali sebagai Ramsey Chriss, 40, selepas berkenalan sejak awal bulan lalu dan menjalin hubungan cinta dalam laman sosial itu.


Menyedari dirinya ditipu lelaki yang mendakwa duda beranak dua itu, wanita terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Laham ketika mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

4 mati, 11 cedera letupan bom di Mogadishu


MOGADISHU 27 Dis. - Sekurang-kurangnya empat askar terbunuh manakala 11 lagi termasuk orang awam cedera dalam kejadian letupan bom di Mogadishu, ibu kota Somalia ini hari ini, kata polis dan saksi.
Bom itu dilemparkan dari tepi jalan ke sebuah kedai kopi di mana beberapa orang askar sedang berehat-rehat, menurut seorang pegawai polis, mengaitkan serangan itu dengan militan Shebab, yang juga rangkaian al-Qaeda.
"Empat askar terbunuh, 11 orang yang lain termasuk orang awam cedera," kata pegawai polis, Mohamed Duale. - AFP.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131227/lu_17/4-mati-11-cedera-letupan-bom-di-Mogadishu#ixzz2oizvLRJU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

29 maut bas terjunam ke dalam gaung


Beberapa anggota pasukan penyelamat, memeriksa mayat nahas melibatkan bas di daerah Lom Sak, wilayah Phetchabun, utara Thailand, semalam. - AFP
BANGKOK 27 Dis. - Sekurang-kurangnya 29 penumpang maut apabila bas yang dinaiki mereka, terhumban ke dalam gaung di daerah Lom Sak, wilayah Phetchabun, utara Thailand, di sini tengah malam semalam.
Kemalangan berlaku apabila bas yang dalam perjalanan ke Chiang Rai itu terbabas lalu merempuh penghadang keselamatan setinggi 50 meter yang dibina di Jambatan Phamuang di sini.
Menteri Pengangkutan, Chadchart Sitthipunt berkata, rempuhan itu menyebabkan bas berkenaan hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung yang dianggarkan sedalam 50 hingga 70 meter.
"Kemalangan mungkin berlaku disebabkan kecuaian pemandu yang memandu secara laju ketika bas menuruni bukit," katanya kepada AFP.
Dalam pada itu, Komander Polis wilayah Phetchabun, Sukit Samana berkata, ketika kejadian, seramai 40 penumpang berada di dalam bas berkenaan.
"Saksi kemalangan memberitahu, bas dipandu laju dan pihak polis tidak menolak kemungkinan kenderaan itu hilang kawalan kerana pemandunya terlelap," katanya.
Jelas beliau, kebanyakan mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
Beberapa mangsa lagi berada dalam keadaan kritikal, tetapi tiada pelancong asing dilaporkan terlibat dalam insiden itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131228/lu_05/29-maut-bas-terjunam-ke-dalam-gaung#ixzz2oiyxDywB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

70 cedera digigit ikan piranha


Seorang lelaki yang cedera akibat digigit ikan piranha, menerima rawatan di bandar Rosario, Santa Fe, tengah Argentina, Rabu lalu. - Agensi
BUENOS AIRES 27 Dis. - Keseronokan menyambut hari Krismas di Argentina bertukar menjadi insiden menakutkan apabila lebih 70 orang pengunjung Sungai Parana, di bandar Rosario, di sini cedera diserang spesies ikan piranha, kelmarin.
Mangsa yang cedera termasuklah lebih 20 orang kanak-kanak yang digigit spesies ikan itu di permukaan sungai tersebut.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, kehilangan sebahagian jarinya selain mengalami beberapa kecederaan lagi di buku lali dan tangan.
Beberapa pengawal menghubungi paramedik bagi membantu mangsa yang cedera sebelum pasukan polis menutup sementara sungai tersebut serta mengarahkan pengunjung keluar dari kawasan itu.
Serangan yang berpunca daripada ikan piranha spesies palometas itu adalah yang paling serius pernah berlaku di bandar ini sejak insiden pada tahun 2008 menyebabkan 40 orang cedera.
Seorang anggota paramedik, Gustavo Centurion, menyifatkan ikan tersebut 'sangat agresif'.
Spesies ikan itu tertarik dengan sisa-sisa ikan yang ditinggalkan oleh nelayan.
Jurucakap kerajaan, Ricardo Biasatti pula menyifatkan, kejadian itu sebagai jarang berlaku.
"Ia berlaku disebabkan dua faktor iaitu kawasan permukaan air yang cetek dan kawasan pantai yang dipenuhi pengunjung," ujarnya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131228/lu_02/70-cedera-digigit-ikan-piranha#ixzz2oiwPgPRh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bukan sebab masalah teknikal



IMBAS KEMBALI.Helikopter Nuri yang membuat pendaratan cemas di Pulau Perak, Langkawi, Kedah Ahad lalu disebabkan oleh faktor operasi dan bukan masalah teknikal.


BUTTERWORTH – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam memberitahu kejadian sebuah helikopter Nuri yang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Pulau Perak dekat Langkawi, Kedah Ahad lalu disebabkan faktor operasi dan bukannya berpunca daripada masalah teknikal.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, faktor operasi itu termasuk persekitaran, cuaca serta cara pengendalian oleh kru penerbangan daripada Skuadron 3 TUDM.
Katanya, satu jawatankuasa diketuai seorang pegawai berpangkat Leftenan Kolonel telah ditubuhkan menyiasat insiden itu dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2oiP4iE5y 
Hakcipta terpelihara 

Rompak emas RM700,000



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di dalam kedai emas yang dirompak empat lelaki di Kajang, Selangor semalam.


KAJANG – Sekumpulan empat perompak bertindak nekad melarikan sepuluh dulang barang kemas bernilai RM700,000 dari sebuah kedai emas daripada di dalam sebuah pasar raya dekat Sungai Chua di sini semalam.
Kejadian pukul 4 petang itu berlaku ketika dua pekerja wanita didatangi empat penjenayah yang bersenjatakan pistol dan tukul besi tersebut.
Ketika kejadian, tiada pelanggan di premis itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2oiOxZt9a 
Hakcipta terpelihara 

Pelacur asing dakwa ditipu sindiket



BEBERAPA wanita asing yang dipaksa menjadi pelacur diberkas selepas polis menyerbu tiga rumah urut di Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR – Penderitaan 35 wanita warga asing yang terlibat dalam aktiviti persundalan selepas ditipu oleh satu sindiket pelacuran berakhir apabila kesemuanya diselamatkan dalam serbuan di tiga rumah urut di Jalan Langkawi, Setapak di sini kelmarin.
Kesemua mangsa yang merupakan 12 wanita Thailand, Filipina (10), China (10) dan Vietnam (3) dipaksa menjual diri mereka kononnya untuk melangsaikan hutang berhubung kos perjalanan mereka ke sini yang telah ditanggung sindiket.
Kesemua mereka diselamatkan dalam Ops Pintas yang dilakukan pada pukul 8 malam oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP), dengan dibantu Bahagian Kongsi Gelap, maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Sentul dan Dang Wangi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2oiOqY6Xr 
Hakcipta terpelihara 

8 selamat selepas bot karam di Sarawak



LUNDU (Sarawak) 28 Dis. - Tindakan pantas pasukan mencari dan menyelamat berjaya menyelamatkan lapan orang penumpang dan juragan sebuah bot yang karam dekat Sematan, sebuah pekan berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia di sini hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Supritendan Wong Chee Keong, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah hari sewaktu bot berkenaan sedang dalam perjalanan dari Sematan ke Telok Melano dalam keadaan laut bergelora.
"Pihak polis IPD Lundu telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan serta merta degan bantuan dari Jabatan Bomba dan penduduk tempatan," katanya semasa dihubungi.
Menurutnya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan menjelang pukul 2 petang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Sematan untuk pemeriksaan lanjut. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131228/je_09/8-selamat-selepas-bot-karam-di-Sarawak#ixzz2opuW8kiX
© Utusan Melayu (M) Bhd