Search This Blog

Wednesday, December 25, 2013

Terjun bangunan gara-gara takut dicekup

Terjun bangunan gara-gara takut dicekupSINAR HARIAN

 25 Disember 2013

Warga Vietnam patah tulang pinggang selepas jatuh dari tingkat dua.

SUBANG JAYA – Gara-gara terlalu takut apabila premis tempatnya bekerja diserbu, seorang tukang urut wanita warga Vietnam  memperjudikan nyawa dengan terjun dari tingkat dua bangunan kedai di Bandar Puteri untuk melarikan diri.

Bagaimanapun, tindakannya membawa malang apabila dia bukan sahaja patah tulang pinggang dan kaki malah berjaya diberkas anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang berkawal di tingkat bawah premis.

Dalam serbuan bermula jam 9.30 malam, wanita terbabit pada awalnya dikatakan meminta izin untuk ke tandas.

Dia kemudian dipercayai memanjat tingkap tandas sebelum mengambil keputusan terjun tanpa menyangka terdapat beberapa anggota penguat kuasa membuat kawalan di tingkat bawah.

Wanita yang meraung kesakitan akibat kecederaan dialami kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan susulan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, dalam operasi bersepadu bersama pihak polis, dua premis diserbu masing-masing di Bandar Puteri.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pengusaha premis menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada MPSJ.

Terdapat 19 pekerja asing bekerja sebagai tukang urut di kedua-dua premis.

Pihaknya menyita peralatan urut dan premis diarahkan tutup di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 kerana mengendalikan pusat urut tanpa lesen.

Kedua-dua pengusaha premis berdepan denda maksimum RM 1,000.

Sejak Januari katanya, 344 kompaun dikeluarkan pihaknya kepada pengusaha premis urut atas pelbagai kesalahan.

Terima ugutan sebelum ditikam


Terima ugutan sebelum ditikam

SINAR HARIAN
25 Disember 2013

Penduduk menunjukkan kesan darah di lokasi kejadian. Gambar kecil: Mohd Hafidz.

BACHOK – Mangsa tikam di Perupuk malam kelmarin, mendakwa pernah menerima ugutan beberapa hari sebelum kejadian.
Ibu mangsa, Siti Delima Ismail, 51, berkata, anaknya, Mohd Hafidz Amir Martaza, 26, pernah memberitahu dia dan seorang lagi rakannya menerima ugutan bunuh.

“Saya memang risau bila dimaklumkan dia terima ugutan macam tu. Saya tak tahu apa punca kejadian tersebut. Rupanya ugutan itu bukan main- main dan menyebabkan dia hampir dibunuh,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam kelmarin, Mohd Hafidz nyaris maut apabila diserang dua lelaki bermotosikal di depan gerai burger di Perupuk.

Selepas bersembang di gerai tersebut, mangsa bersama rakannya menuju ke motosikalnya untuk ke tempat lain sebelum diserang seorang lelaki bermotosikal berusia 30-an.

Seorang saksi yang dikenali sebagai Hisham, 31, berkata, suspek bersama seorang rakannya menumbuk mangsa sebelum salah seorang daripada suspek mengeluarkan pisau ‘rambo’ dan menikam mangsa.

“Mangsa tak sempat elak dan berkali-kali ditikam di paha kirinya. Suspek seperti dirasuk dan cuba sembelih mangsa.

“Mulanya kami takut tengok keadaan tidak terkawal tetapi selepas mangsa menjerit minta tolong kerana suspek cuba acukan pisau di leher mangsa, saya bersama rakan halang suspek daripada tikam mangsa di leher,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi memaklumkan pihaknya belum menerima laporan daripada mangsa atau keluarganya.

Namun, pihak polis akan membuat laporan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan bagi memburu dan menangkap suspek.

Mangsa yang mengalami kecederaan di paha sebelah kiri dan tapak tangan kiri kini menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Jiran selamatkan rumah daripada musnah terbakar


25 Disember 2013
ALOR SETAR - Keprihatinan jiran tetangga memadamkan api menyelamatkan sebuah rumah daripada hangus dalam kebakaran di Taman Bersatu, Kuala Kedah, di sini lewat malam tadi.
 
Roslan Shafie, 49, dan isterinya Rohaya Din, 53, bersyukur kerana jiran-jiran mereka cepat bertindak memadam api selepas menyedari kejadian itu 12 tengah malam tadi.
 
"Semasa kejadian, kami berada di rumah jiran kerana membantu membuat persiapan kenduri perkahwinan pada hari ini.
 
"Sekitar pukul 12 lebih malam tadi, kami ternampak api sedang marak di bahagian bumbung lalu saya menjerit meminta tolong jiran memadamkan api," kata Roslan kepada pemberita di sini hari ini.
 
Rohaya berkata, mereka bersyukur kerana hanya bahagian hadapan rumah termasuk sofa, televisyen dan sebuah motosikal sahaja yang musnah.
 
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh terus menghubungi Roslan di talian 012-5968248.  - Bernama

Pemuda nyaris maut ditikam lelaki


24 Disember 2013


KOTA BHARU - Seorang pemuda berusia 26 tahun nyaris maut selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki yang berang kerana mendakwa isterinya dirogol oleh mangsa berkenaan beberapa bulan lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 9.45 malam semalam, mangsa cedera di paha kiri dan tapak tangan kirinya selepas ditikam lelaki tersebut, ketika sedang bersembang dengan
beberapa rakannya di sebuah kedai burger di Bachok.

"Punca kejadian - suspek mengesyaki mangsa bersama seorang kawannya merogol isteri suspek pada Oktober lepas.

"Bagaimanapun tiada laporan polis dibuat oleh pihak suspek sebelum ini berkaitan kejadian tersebut.

"Mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, katanya. - Bernama

Kawalan ketat di Jakarta


25 Disember 2013

JAKARTA - INDONESIA. Polis Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan di tahap maksimum termasuk melalui pengawasan kamera litar tertutup di semua gereja sekitar Jakarta.

Jurucakap Polis Jakarta  Rikwanto berkata, skuad pengesan bom dan unit pemusnah bom juga ditempatkan di kawasan berkenaan selepas menerima ancaman berlaku serangan militan sejak minggu lalu.

“Kira-kira 10,000 anggota diarah berkawal di gereja mulai Hari Krismas hingga 1 Januari ini,” katanya.

Di Ambon, Badan Komunikasi Pemuda, Remaja Masjid Indonesia (BKPRMI) Wilayah Maluku mengarahkan 100 ahlinya untuk membantu mengawasi gereja ketika sambutan itu.

Ketua BKPRMI Zulkifli Lestaluhu berkata, tindakan itu dilakukan sebagai simbol persaudaraan dan toleransi.

“Amalan ini hanya berlaku di Ambon sejak 2010. Semua ahli bertugas masih kekal berkopiah putih dan berjubah,” katanya kepada Jakarta Globe.

Jururawat mengaku berkhalwat dengan suami orang


Jururawat mengaku berkhalwat dengan suami orang

SINAR HARIAN
25 Disember 2013

Pasangan yang ditangkap khalwat pada 29 Oktober lalu di sebuah kuarters kesihatan di Rantau Panjang, kira-kira jam 12.55 tengah malam.

PASIR MAS - Seorang jururawat didenda RM2,000 oleh mahkamah syariah di sini, semalam, selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang pemandu lori, Oktober lalu.

Jururawat mengaku berkhalwat dengan suami orangSarizana Saribudin, 37, yang masih berstatus isteri orang dan pasangannya, Abd Manan Aziz, 39, yang juga sudah berkahwin membuat pengakuanitu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syarie, Mohd Hafiz Daud.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya berkurung bersama-sama dalam keadaan yang mendatangkan syak kerana bukan suami isteri sah dan juga mahram di sebuah kuarters kesihatan di Rantau Panjang, kira-kira jam 12.55 tengah malam pada 29 Oktober lalu.

Sarizana didapati bersalah di bawah  Seksyen 9(2) dibaca bersama Seksyen 30 Kanun Jenayah Syariah No. 2/85 Negeri Kelantan, manakala Abd Manan didakwa di bawah Seksyen 9(1) dibaca bersama Seksyen 30 Kanun Jenayah Syariah No. 2/85 Negeri Kelantan.

Mengikut fakta kes, berdasarkan maklumat orang awam, pegawai penguat kuasa Agama Jajahan telah pergi ke rumah terbabit dan mendapati pintu rumah serta tingkap tertutup rapat.

Apabila pegawai penguat kuasa mengetuk pintu rumah dan memperkenalkan diri, seorang wanita memakai kain sarung batik  dan berbaju T telah membuka pintu rumah.

Hasil pemeriksaan mendapati, seorang lelaki sedang tidur dengan seorang kanak-kanak perempuan di ruang tamu rumah tersebut, manakala seorang lagi lelaki dengan memakai kain sarung dan tidak berbaju berada di atas katil dalam bilik tidur utama rumah berkenaan.

Di dalam bilik itu juga, terdapat seorang lagi kanak-kanak perempuan sedang tidur.

Hasil pemeriksaan keseluruhan mendapati, lelaki yang tidur di ruang tamu tersebut adalah adik kandung wanita terbabit, manakala dua kanak-kanak perempuan itu adalah anak kandung wanita itu.

Setelah disoal siasat wanita dan lelaki yang berada di dalam bilik tersebut bukan suami isteri dan bukan mahram.

Mereka ditangkap di bawah kesalahan Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan No.2/85, Seksyen 9 dan dibawa ke Pejabat Agama Jajahan Pasir Mas untuk diambil tindakan selanjutnya.

Hakim mengarahkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM2,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun kedua-duanya menjelaskan denda tersebut.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Negeri, Norhasney Ridhwan Hassan.

Ibu bakar bayi sampai mati

gari25 Disember 2013
 JORHAT - INDIA. Seorang wanita bertindak membakar bayinya yang baru berusia enam bulan sehingga mati, tengah malam semalam di bandar Sonari di daerah Sivasagar.

Berikutan kejadian, polis telah menahan wanita itu yang dikenali sebagai Ranju Devi, 26, suaminya, Satu Shah, 38, dan adiknya, Sushil Shah, 22.

Ketiga-tiga yang ditahan turut dituduh di mahkamah tempatan pada hari ini.

Ketua polis daerah Sonari, Ghanakanta Bhuyan berkata, wanita itu mengaku terhadap jenayah itu.

"Ibu kanak-kanak yang mati itu mengakui jenayah yang dilakukan di hadapan kita. Mereka akan didakwa di mahkamah tempatan di sini dan akan dihantar ke penjara," katanya.

Bhuyan menambah, ketika ditahan, Devi seolah-olah menghadapi masalah mental dan menafikan kes tersebut ada kaitan dengan sihir.

Pasangan itu berasal dari Darbhanga di Bihar tiba di bandar Sonari minggu lepas untuk melawat adik Devi.

Mereka kemudiannya menginap di sebuah rumah sewa di bandar itu.

Pasangan itu turut mempunyai tiga orang anak, termasuk sepasang kembar.

Si mati adalah salah satu daripada kembar.

Polis buru empat suspek rompak


2013/12/25
Kuala Lumpur: Polis memburu empat penjenayah yang amat dikehendaki berhubung satu kes cubaan rompakan menggunakan senjata api membabitkan sebuah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen di Batu 4 1/2, Jalan Ipoh, 19 Disember lalu.

Keempat-empat suspek dipercayai berusia 30-an itu dianggap berbahaya kerana dalam kejadian terbabit, seorang daripada mereka bertindak ganas melepaskan enam das tembakan rambang menggunakan pistol Revolver dalam cubaan untuk memecahkan pintu jeriji hadapan premis berkenaan.


Susulan itu, polis mengedarkan gambar dan rakaman yang diperoleh dari beberapa kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan dalam usaha memburu keempat-empat suspek yang masih bebas itu, semalam.


Kereta curi

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata sehingga kini pihaknya belum mengenal pasti identiti kesemua suspek dan gerakan memburu masih diteruskan.

“Seorang wanita yang sebelum ini disyaki bersubahat dengan kumpulan itu ditahan sejurus kejadian namun siasatan mendapati dia tiada kena mengena dengan kes berkenaan dan sudah dibebaskan pada hari sama.
“Siasatan setakat ini mendapati kereta PROTON Putra yang digunakan kumpulan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu dan ia dilaporkan dicuri di Selangor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKK) di sini, semalam.

Khairi berkata, orang ramai yang ada maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) IPKKL di talian 03 21460685 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, empat suspek berpura-pura mahu meminjam wang dan cuba masuk ke ruang pejabat namun niat mereka dapat dihidu pekerja di situ yang kemudian enggan membuka pintu jeriji keselamatan automatik di hadapan pintu masuk.

Jaga larikan RM230,000 masih dalam negara


2013/12/25
Subang Jaya: Polis mengenal pasti seorang pengawal keselamatan lelaki berumur 30 tahun bagi membantu siasatan kes kehilangan lebih RM230,000, pada 16 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata lelaki itu dikenal pasti sebagai Mohd Fahamy Mohammad Ramly, dengan alamat terakhir di Nombor 74, Persiaran Indah Rokam 1, Medan Gopeng, Ipoh, Perak.


Berdasarkan siasatan, katanya, pihaknya mendapati suspek melakukan jenayah itu secara bersendirian dan masih berada di negara ini.

“Kami percaya suspek melakukan jenayah ini secara solo. Dia tidak memiliki pasport antarabangsa dan masih berada di Malaysia.

Temui syabu

“Kami meminta orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenai suspek segera menghubungi polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam.

Dalam kejadian 16 Disember lalu, suspek dipercayai melarikan wang dari van yang dipandunya ketika dua lagi rakan sekerja memindahkan sejumlah wang ke sebuah bank di Wisma Consplant, di sini.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan, polis menahan seorang warga Bangladesh berikutan penemuan dadah dipercayai syabu bernilai kira-kira RM420,000 dalam beg yang dibawa lelaki itu di lobi sebuah hotel di Subang Jaya, Khamis lalu.

Yahaya berkata, hasil pemeriksaan polis menemui empat bungkusan plastik lut sinar dan beberapa ketulan kristal dipercayai dadah seberat 3,638 gram.

“Kami menahan suspek berumur lingkungan 30-an yang bekerja sebagai buruh binaan dan dia juga dipercayai berada di hotel itu untuk melakukan transaksi bahan berkenaan dengan seseorang,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Syak anak mati didera pusat jagaan

Syak anak mati didera pusat jagaanZuraidah (kiri) mengiringi jenazah anaknya yang didukung suaminya setibanya di Masjid Jamek Sungai Besi. Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan mati selepas kira-kira dua jam tidak sedarkan diri di rumahnya di Jalan Sungai Besi, di sini, dipercayai akibat didera.

Kejadian menimpa Nor Ain Natasyha Abdullah, 4, disedari ibunya, Zuraidah Jasman, 31, ketika memanggil anaknya itu makan kira-kira jam 9 malam kelmarin. Ketika kejadian, suaminya tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Zuraidah berkata, melihat keadaan mangsa, dia terpaksa meninggalkan tujuh lagi anaknya berusia antara satu hingga 11 tahun di rumah untuk menghantar Nor Ain ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan teksi.


“Bagaimanapun, anak saya disahkan meninggal dunia oleh doktor kira-kira jam 10.55 malam,” katanya yang tidak menolak kemungkinan mangsa didera ketika dalam jagaan sebuah pusat kebajikan di Kuantan, Pahang.


Kesempitan hidup

“Saya terpaksa menghantar Nor Ain bersama dua abang dan tiga kakaknya ke pusat kebajikan itu sejak tiga tahun lalu kerana kesempitan hidup selepas bercerai dengan suami pertama,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur selepas berkahwin lain.
Dia yang mempunyai tiga anak bersama suami baru, berkata enam anaknya yang menghuni pusat kebajikan itu dibawanya pulang ke ibu negara, Ogos lalu selepas anak sulungnya memaklumkan mereka tidak dilayan dengan baik di pusat terbabit.

“Anak sulung memberitahu saya, dia dan adik-adiknya sering dipukul. Selepas dimaklumkan demikian, saya terus ke Kuantan untuk membawa mereka pulang dan tinggal bersama saya di sini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Sungai Besi, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika mengesahkan kejadian, berkata hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa akibat didera dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BH difahamkan, kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat pendarahan di kepala dipercayai kerana hentakan objek tumpul. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan, jam 6 petang semalam.

Kes curi pasir selatan Perak: SPRM siasat unsur rasuah

Kes curi pasir selatan Perak: SPRM siasat unsur rasuahAnggota RELA memeriksa lori dalam operasi SPRM di Ipoh, baru-baru ini. - Foto Supian Ahmad Buat siasatan menyeluruh kenal pasti penyelewengan

Ipoh: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan menyeluruh berhubung kes curi pasir di kawasan selatan Perak, khususnya di Chenderiang dan Temoh Stesen.

Sambil mengesahkan laporan BH mengenai kegiatan itu, Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Perak, Shaharom Nizam Abd Manap, berkata siasatan untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah atau penyelewengan termasuk oleh pegawai kerajaan dan pihak yang diberikan permit melombong dan mengangkut pasir.

Setakat ini, SPRM menahan dua pemandu lori di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Hulu Bernam di Lebuh Raya Utara Selatan, baru-baru ini. Mereka disiasat mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009 kerana mengganggu tugas pegawai SPRM.

“Kami masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 16 dan 17 akta sama iaitu berkaitan rasuah dan Seksyen 18 kerana memalsukan dokumen.


Siasatan menyeluruh

“Siasatan kita menyeluruh membabitkan semua pihak dan kita juga mengambil beberapa dokumen bagi tujuan siasatan lanjut. Selebihnya saya tidak mahu ulas kerana tidak mahu menjejaskan siasatan,” katanya, semalam.
Semalam, BH mendedahkan Perak menanggung kerugian RM10 juta setahun akibat kegiatan mencuri pasir yang menggunakan khidmat tonto bagi melindungi kegiatan itu.

Shahrom berkata, penduduk juga tidak berpuas hati dengan kegiatan itu kerana menjejaskan alam sekitar serta merosakkan jalan akibat dilalui kenderaan berat.
Sementara itu, sumber berkata, pengusaha dan pemandu lori pasir menanggalkan sebahagian tayar kenderaan berkenaan supaya tidak melanggar syarat permit yang hanya membenarkan lori bertayar 14 digunakan.

“Taktik ini berkaitan isu teknikal kerana hanya lori 14 tayar dan ke bawah dibenarkan untuk digunakan mengangkut pasir, tetapi perbuatan itu berbahaya kerana tayar boleh meletup,” kata sumber itu.

Sumber berkata, dalam kes di selatan Perak, kebanyakan kegiatan mencuri pasir menggunakan lori 22 atau 26 tayar yang mampu membawa sehingga 80 tan metrik pasir kerana lebih besar dan panjang, berbanding lori 14 tayar yang mampu membawa separuh muatan itu.

Dua cedera letupan gas di pub di Petaling Jaya


2013/12/25
Kuala Lumpur : Dua lelaki cedera dalam kejadian letupan gas yang berlaku di sebuah pub di Jaya One Shopping Mall Jalan Universiti Petaling Jaya awal pagi tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 2 pagi itu mengakibatkan dua mangsa terbakar dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan. 

Kegembiraan lima beradik mandi-manda bertukar tragedi


2013/12/25
DUNGUN : Kegembiraan lima beradik termasuk seorang sepupu mandi di kawasan air terjun Tasek Puteri, Bukit Besi, dekat sini, bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka lemas, petang semalam.

Bagaimanapun mangsa Nur Sumayyah Mukhtar, 13, Pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, di sini, gagal diselamatkan dan disahkan meninggal di Hospital Dungun, kira-kira jam 9.20 malam.


Sebelum kejadian, mangsa mandi bersama adik-beradiknya Nurhidayah, 24; Nur Aisyah, 16; Nur Nasisah, 10, dan sepupunya, Hanis Syazira Anum Suhaimi, 14, mandi, di situ, kira-kira jam 5 petang.

Ketika sedang mandi, mangsa bersama kakaknya Nur Aisyah dikatakan lemas dan tengelam timbul di tasik terbabit sebelum kakaknya Nurhidayah mengharungi tasik itu dan berjaya menarik Nur Aisyah sebelum dibawa ke tebing sungai.

Kakaknya itu yang mendapati mangsa tenggelam ke dasar tasik terbabit sekali lagi bertindak mengharungi tasik dan berusaha mencari mangsa termasuk menggunakan kaki untuk menyentuh mangsa berikutan air tasik yang keruh.

Bagaimanapun usahanya itu berjaya dan mangsa berjaya ditarik oleh kakaknya itu sebelum membawa mangsa naik ke daratan.

Beberapa pengunjung yang terdengar jeritan meminta tolong daripada kakak mangsa bergegas ke tempat kejadian sebelum bergegas ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.
Mangsa yang kelihatan lemah kemudiannya dikejarkan ke Hospital untuk untuk menerima rawatan lanjut dan mangsa bagaimanapun disahkan meninggal kira-kira jam 9.20 malam.

Sementara itu, Nurhidayah berkata, dia membawa adik-adiknya itu berkunjung ke tasik terbabit bertujuan untuk memberi keseronokan adiknya beriadah di tasik itu.

Katanya, mereka mandi di kawasan yang cetek dan tidak menyangka keseronokan itu membawa kepada kejadian yang cukup menyedihkan.

"Saya sama sekali tidak menyangka hasrat saya untuk menggembirakan adik-adik bertukar dengan kejadian sedih yang membuatkan saya sukar melupakan kejadian malang terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pemangku Superintandan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihak hospital memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan setakat ini polis masih belum menerima laporan daripada keluarga mangsa. 

Sarjan polis maut kereta terbabas


Oleh Lie Zahariman
HULU SELANGOR: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan maut manakala isterinya cedera selepas tayar kereta Perodua Myvi dinaiki mereka pecah sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran hentian rehat Behrang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Azman Samad, 49, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di bahagian kepala dan tengkuk.


Menurut sumber, anggota polis yang berkhidmat di Petaling Jaya itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Ayer Tawar, Perak bersama isterinya Norli Ismail, 42, apabila tayar kereta itu meletup.

"Mangsa kemudian gagal mengawal kenderaan itu sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh pembahagi jalan berkenaan.

Foto


"Isteri mangsa kini dirawat di Hospital Slim River dekat Perak manakala jenazah Allahyarham dituntut ahli keluarga dan akan dikebumikan di kampungnya, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Remaja rosakkan kereta polis ditahan


Oleh Fazrul Nasir
KUANTAN: Polis menahan tiga remaja selepas mereka melakukan khianat ke atas kenderaan awam termasuk kereta peronda polis yang berada di Teluk Chempedak, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, sekumpulan remaja dikatakan menyembur buih kepada kereta yang melalui kawasan berkenaan menyebabkan orang ramai menghubungi polis.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, sebaik anggota polis tiba, mereka dapati tempat kejadian sesak di kiri dan kanan jalan serta dipenuhi oleh orang awam yang sedang berkumpul.

"Sekumpulan remaja kemudian menyembur buih sabun dan melontar tin, batu dan botol air mineral ke arah kereta peronda di setiap sudut.


"Kedua-dua anggota seterusnya meminta bantuan daripada bilik gerakan Kuantan," katanya.


Beliau berkata, susulan itu tiga remaja berusia 16 hingga 23 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Semua suspek tiada rekod jenayah dan direman bermula hari ini hingga Sabtu ini," katanya.

Menurutnya, akibat kejadian kereta peronda mengalami kerosakan di beberapa bahagian.

"Kereta kemik di bahagian belakang kiri dan kanan akibat disepak, lampu belakang sebelah kiri retak, cermin depan retak dan berlekuk di bonet depan akibat dibaling objek keras.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186/427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Mayat bayi lelaki ditemui


MELAKA: Mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui di luar tandas sebuah rumah di Batang Tiga, Tanjung Minyak di sini kira-kira jam 8 malam tadi.

Ketua jabatan Siasatan negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, susulan kejadian seorang pelajar perempuan di sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini bersia 18 tahun ditahan untuk membantu siasatan.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Pelajar mengaku buang bayi


Oleh Yusmawati Mhd Yusof
MELAKA: Panik melahirkan bayi di dalam tandas di rumah ibu saudaranya, seorang pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini sanggup membuang bayi itu di luar tandas berkenaan, di Batang Tiga, Tanjung Kling, di sini, malam tadi.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, rahsia pelajar perempuan berusia 18 tahun terbabit yang membuang bayinya menerusi ruang antara dinding tandas dan bumbung terbongkar apabila ibu saudaranya berusia lingkungan 60-an curiga selepas hampir sejam dia berada di dalam tandas berkenaan.


Menurut sumber, bimbang sesuatu yang buruk berlaku ke atas pelajar berkenaan, ibu saudaranya ke tandas untuk memeriksa keadaannya dan tekejut melihat lantai dipenuhi dengan darah.

"Pelajar itu mendakwa mengalami pendarahan kerana buasir dan dibawa ke Hospita Melaka oleh ibu saudaranya untuk mendapatkan rawatan.


"Namun, rahsia pelajar berkenaan terbongkar selepas pemeriksaan mendapati dia baru saja melahirkan dan terdapat uri yang masih tertinggal di dalam rahimnya," katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata, pelajar berkenaan ke rumah ibu saudaranya itu untuk bercuti.

Katanya, kira-kira jam 8 malam tadi, suspek masuk ke tandas untuk membuang air namun tidak keluar selepas hampir sejam berada di dalam tandas berkenaan.

"Curiga dengan keadaan itu, ibu saudaranya masuk ke tandas dan mendapati terdapat banyak darah di dalam tandas berkenaan sebelum bergegas membawa suspek ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

"Namun, pemeriksaan mendapati suspek baru saja melahirkan dan hasil soal siasat dia mengakui membuang bayi berkenaan di luar tandas melalui ruang kosong antara dinding tandas dan bumbung" katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di luar tandas rumah berkenaan kira-kira jam 1 pagi tadi menemui mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dengan cukup sifat dan masih bertali pusat.

"Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat, manakala suspek kini dirawat di wad hospital sama dan akan ditahan bagi membantu siasatan.

"Kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui sama ada bayi berkenaan mati sebelum atau selepas dilahirkan, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

‘Dia macam kena rasuk’

Oleh Nor Amalina Alias
Bachok: “Selepas menikam paha kiri mangsa bertubi-tubi, dia seperti dirasuk syaitan sehingga mahu menyembelih mangsa.
“Mujur kami sempat menghalangnya,” kata Raja Nor Hisyam Raja Yusof, 31, seorang daripada empat pemuda yang sempat menyelamatkan seorang lelaki ditikam menggunakan pisau rambo di Kampung Perupok, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa, Mohd Hafidz Amir Martaza, 26, yang baru beberapa langkah beredar dari gerai burger rakannya di hadapan Masjid Perupok selepas bermain gitar, didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal sebelum penunggangnya berusia 30-an bertikam lidah dengan mangsa dan bertumbuk kira-kira dua minit.

Lelaki itu mengeluarkan pisau Rambo dan menikam paha kiri mangsa lebih lima kali dan mahu mengelar leher mangsa, namun dihalang empat pemuda termasuk Raja Nor Hisyam yang juga pemilik gerai burger terbabit.
Foto
RAKAN mangsa menunjukkan kesan darah pada kerusi akibat tikaman.

Selepas dihalang, suspek melarikan diri bersama rakannya yang membonceng motosikal terbabit.

Mangsa yang cedera parah di paha kiri dan turut cedera di tapak tangan kiri dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Menurut Raja Nor Hisyam, mangsa yang bekerja kampung sering melepak di gerai burgernya itu untuk bermain gitar dan menyanyi bersama rakan.

“Ini kali pertama saya melihat pergaduhan mengerikan di depan mata.

Rakan Raja Nor Hisyam, Mohd Bahari Abdul Rahim, 17, berkata, pada mulanya dia takut untuk membantu apabila melihat lelaki itu seperti hilang pertimbangan, namun memberanikan diri membantu bersama tiga lagi rakannya apabila mangsa menjerit meminta tolong.

“Nasib baik kami sempat menghalang mangsa daripada disembelih. Jika tidak keadaan pasti lebih buruk” katanya.

Ibu Mohd Hafidz, Siti Delima Ismail, 51, berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya pernah menceritakan dia dan seorang lagi rakannya menerima ugutan bunuh daripada suspek sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Tawang, di sini.

“Selepas dimaklumkan anak diugut bunuh, saya berasa tidak sedap hati, malah kurang selera makan dan apa yang saya takuti benar-benar berlaku apabila dia nyaris maut ditikam lelaki yang mengugutnya,” katanya yang memaklumkan tidak tahu punca anaknya diugut bunuh.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun mangsa atau keluarganya belum membuat laporan polis.

Bagaimanapun, katanya pihaknya akan membuat laporan bagi membolehkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Dua beranak terbunuh motosikal dirempuh kereta


Kunak: Dua beranak manakala seorang lagi parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kenderaan jenis pacuan empat roda di kilometer 9, Jalan Kunak- Lahad Datu, di sini, kira-kira jam 6 petang tadi.

Mangsa Azrina Tanggalang, 23, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya Nurzaidatul Syazlina Hendrik, 3, meninggal dunia di Hospital Kunak.


Seorang lagi pembonceng masih menerima rawatan di Hospital Kunak manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipercayai melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Dua kelab diserbu, 19 GRO ditahan


Oleh Na'imah Mohamed
KLANG: Keghairahan puluhan pelanggan dua kelab menyambut Krismas dengan melanggan GRO terbantut apabila diserbu Bahagian Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Pekan Baru Klang, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira 10.30 malam yang diketuai Asisten Superintendan Shukri Abdullah itu, 19 GRO warga asing bersama tiga lelaki termasuk seorang warga asing berusia 18 hingga 30 tahun ditahan.


Pegawai Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, kegiatan pelacuran itu ditawarkan pada kadar RM150 hingga RM500 seorang.

"Pasukan D7 menyerbu dua buah kelab ini secara serentak dengan kekuatan enam pegawai serta 15 anggota.


"Ketika serbuan, pelanggan sedang rancak berhibur serta ada kalangan GRO sedang melayan pelanggan yang mendapatkan khidmat mereka," katanya.


Rohan berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk siasatan dan dokumentasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Bayi maut jatuh bangunan terlepas dukungan ayahnya


KUANTAN: Seorang bayi lelaki maut setelah terlepas daripada dukungan bapanya dari tingkat empat perumahan polis Bukit Pelindung, di sini, kira-kira 6.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata dalam kejadian itu, bayi berusia tujuh bulan, Mohd Danial Mikhail Mohd Abdul Hadi dikatakan terlepas daripada dukungan bapanya yang ketika itu turut memegang bungkusan sampah.


"Bayi itu kemudian dikejar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan namun dia disahkan
meninggal dunia," katanya.
Difahamkan, mangsa adalah cucu kepada seorang anggota polis yang menetap di kuarters berkenaan.
Abdul Aziz berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes
itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Adik kena campak

Oleh Raja Noraina Raja Rahim, Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Huda Kosnon
Kuala Lumpur: “Saya terpaksa mengambil Natasyah dan lima lagi anak dari sebuah rumah kebajikan di Kuantan, Ogos lalu, selepas mendapat tahu daripada anak sulung Natasyah sering dipukul, dibaling dan dicampak pekerja di pusat kebajikan terbabit.
“Malah, ketika bercuti di Teluk Kemang, Port Dickson, Oktober lalu, tiba-tiba anak saya diserang sawan menyebabkan dia dimasukkan ke hospital dan ketika itu saya mendapat tahu dia mengalami pendarahan dalam otak,” kata Zuraidah Jasman, 31, ibu seorang kanak-kanak perempuan, Nurain Natasyah Abdullah, 4, yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat didera, kelmarin.
Menurutnya, sejak kejadian itu, anaknya kembali beransur sembuh, namun Sabtu lalu, dia mendakwa mangsa sekali lagi terkena sawan sehingga kaki dan tangan kejang menyebabkan dia terpaksa mengurut anaknya kira-kira 10 minit sebelum mangsa kembali stabil.

“Anak saya kemudian meminta air sebelum dia tidur. Bagaimanapun, ketika saya mengejutnya jam 9 malam untuk makan, Natasyah tidak sedarkan diri walaupun saya memanggil namanya berulang-kali.
Foto
BAPA tiri mangsa mengusung jenazah Natasyah untuk dikebumikan.

“Saya terpaksa menggoncang dan menampar serta mencubitnya supaya dia kembali sedar, namun tidak berhasil menyebabkan saya panik dan terus menghantarnya ke Hospital Kuala Lumpur seorang diri kerana ketika itu suami tiada di rumah,” katanya di pekarangan Masjid Sungai Besi, di sini, selepas solat jenazah anaknya itu.

Zuraidah berkata, mangsa anak bongsu daripada enam beradik di mana yang sulung berusia 11 tahun dan anak hasil perkongsiannya dengan bekas suami sebelum mereka bercerai.

“Saya hidup susah dan terpaksa menyerahkan anak kepada pusat kebajikan terbabit selepas dibuang ahli keluarga sendiri yang enggan menerima saya,” katanya


Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Dua lelaki maut nahas di Gopeng


2013/12/25
GOPENG: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 300.4 Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke utara, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu sebuah lori dipercayai merempuh bahagian belakang lori tangki di hadapannya menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit.


Kedua-dua mangsa dipercayai maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa anggota badan. 

Dua cedera letupan gas di pub di Petaling Jaya


2013/12/25
Kuala Lumpur : Dua lelaki cedera dalam kejadian letupan gas yang berlaku di sebuah pub di Jaya One Shopping Mall Jalan Universiti Petaling Jaya awal pagi semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 2 pagi itu mengakibatkan dua mangsa terbakar dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan. 

Cubaan gadis sembunyi kelahiran bayi gagal


MELAKA 25 Dis. - Helah seorang gadis cuba menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki di sebuah rumah di Batang Tiga, Tanjung Keling di sini semalam tidak berjaya apabila dia disahkan baharu melahirkan bayi semasa diperiksa doktor.
Bayi malang itu bagaimanapun didapati telah meninggal dunia setelah ditemui polis dibuang berhampiran tandas rumah berkenaan kira-kira pada pukul 1 pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam tersebut, gadis berumur 18 tahun yang juga penuntut di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Alor Gajah itu pada awalnya memberitahu ibu saudaranya dia mengalami buasir setelah berkurung selama lebih satu jam dalam tandas berkenaan.
Ibu saudaranya berumur 60 tahun yang bimbang apabila melihat banyak darah di dalam tandas segera membawa gadis berkenaan ke hospital untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan gadis itu baharu melahirkan bayi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian terus ke rumah ibu saudara gadis tersebut kira-kira pada pukul 1 pagi untuk mencari bayi berkenaan selepas soal siasat dijalankan.
"Hasil pemeriksaan di sekitar kawasan rumah itu berjaya membawa kepada penemuan bayi lelaki cukup sifat dan masih bertali pusat yang telah meninggal dunia di bahagian luar rumah berhampiran tandas.
"'Siasatan awal polis mendapati, gadis itu mungkin membuang bayi berkenaan melalui ruang antara dinding dan bumbung tandas tersebut," ujarnya ketika dihubungi.
Tambah beliau, mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat sementara gadis itu masih dirawat.
"Polis akan menahan gadis ini selepas dia dibenarkan keluar wad. Setakat ini, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131226/je_03/Cubaan-gadis-sembunyi-kelahiran-bayi-gagal#ixzz2oXEk4oQ8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tunggu jam 9 pagi

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Seremban: Walaupun berada kira-kira 50 meter dari Balai Polis Rantau, di sini, dua perompak awal 20-an nekad melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang pemilik kedai emas menyebabkan kerugian RM180,000 di pekan Rantau, di sini, semalam.
Sumber polis berkata, kedua-dua suspek melakukan rompakan terancang apabila menyelinap masuk ke premis itu melalui bumbung dan menunggu mangsa tiba di kedai bersama kunci peti besi menyimpan barangan kemas, jam 8.15 pagi.
Katanya, sebaik tiba di premis berkenaan mangsa, Chong Chee Hong, 67, yang juga wartawan sambilan akhbar Nanyang Siang Pau diterpa kedua-dua suspek sebelum diikat dan dicederakan.
“Ketika suspek mengikat mangsa, berlaku pergelutan menyebabkan mangsa cedera di badan, lengan dan kaki,” katanya.
Chong berkata, dia yang menetap di sebuah taman di Rantau datang ke premis itu jam 8 pagi dan sejurus membuka pintu hadapan dua lelaki terus menerpanya.
Sumber berkata, dia cuba melepaskan diri dalam pergelutan itu sebelum dipukul dan diikat.
“Suspek meminta kunci peti besi, namun saya memaklumkan peti berkenaan hanya dapat dibuka jam 9 pagi kerana sudah ditetapkan masa,” katanya.
Kata Chong, begitupun suspek yang memakai penutup mulut, memiliki dua parang dan turut mencalit arang di muka mendesaknya membuka peti besi terbabit.
“Selepas didesak saya hanya mampu mengatakan kepada mereka (suspek), kalau saya dibunuh sekali pun peti itu hanya dapat dibuka jam 9 pagi,” katanya.
Menurutnya, disebabkan itu dia ditawan hampir sejam sebelum suspek menunggu jam 9 pagi bagi memastikan penetap masa tamat.
“Jam 9 pagi, suspek membuka peti itu dan mengambil semua barangan kemas menyebabkan saya kerugian RM180,000,” katanya.
Menurut Chong, sejurus semua barangan kemas dimasukkan ke beg, seorang suspek menghubungi rakanmenggunakan bahasa Tamil sebelum lari melalui pintu belakang.
“Biarpun diikat saya sempat melihat sebuah kereta dipercayai Mitsubishi Pajero mengambil kedua-dua suspek,” katanya.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya kini memburu kedua-dua suspek.
Foto
CHONG menunjukkan peti besi yang dibuka tepat jam 9 pagi.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Tiada kepala, tangan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Nilai: Penemuan mayat berulat dipercayai wanita tanpa kepala dan kedua-dua tangan mengejutkan orang ramai sejurus melalui sebuah longkang besar di Taman Desaria, Nilai 3, berhampiran sebuah kilang, di sini, semalam.
Mayat yang ditemui kira-kira jam 1.30 tengah hari itu membuatkan orang ramai panik seketika selepas menghidu bau busuk dari longkang berkenaan. 
Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, pihaknya menerima maklumat awam penemuan mayat itu di sebuah longkang sedalam lebih enam meter.

Katanya, siasatan mendapati, mayat terbabit ditinggalkan minggu lalu di kawasan lain sebelum dipercayai dibawa arus ke longkang berkenaan berikutan hujan pagi semalam.
Foto
ANGGOTA polis memeriksa lokasi penemuan mayat wanita.

“Berikutan hujan lebat pagi tadi (semalam), mayat yang kemungkinan mati mengejut atau sebaliknya itu dibawa arus ke longkang terbabit.

“Bagaimanapun, setakat ini kami percaya mangsa meninggal sejak minggu lalu,” katanya.

Ditanya sama ada membabitkan kes bunuh, rogol atau sebaliknya, Mohd Yusoff berkata, ia masih dalam siasatan kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan keadaan mayat yang sudah reput.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Kejutan awal pagi


Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Rawang: Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan banjir kilat dan runtuhan tanah berlaku di sekitar pekan ini, semalam.

Difahamkan, hujan lebat tanpa henti bermula jam 6 pagi itu mengakibatkan berlaku limpahan anak sungai dan turut menenggelamkan sebahagian jalan utama berhampiran sebuah pusat beli-belah.


Berikutan itu, ratusan kenderaan terkandas dan berada dalam kesesakan jalan raya lebih dua jam apabila jalan yang menghubungkan Jalan Batu Arang dan pekan Rawang, di sini, ditenggelami air.

Malah, dua kenderaan yang diletakkan di bahu jalan rosak teruk akibat dihempap pokok dan tanah runtuh di Jalan Desa, Bandar Desa Country Homes, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Foto
ANGGOTA bomba meninjau keadaan jalan utama berhampiran pusat beli-belah di Rawang yang ditenggelami air.
Foto
SEBUAH kereta dihempap tanah dan pokok dari tebing setinggi tiga meter.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.16 pagi mengenai kejadian terbabit.


“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dengan kekuatan seorang pegawai dan lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati berlaku gelongsoran tanah dari tebing setinggi tiga meter dan mengakibatkan pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Katanya, gelongsoran itu turut mengakibatkan sebuah Proton Waja remuk dihempap runtuhan dan sebuah lagi kereta yang diletakkan berhampiran turut mengalami kerosakan akibat terkena serpihan runtuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Padah buat lucah guna Skype


Kota Bharu: Akibat melakukan onani sambil menunjukkannya kepada seorang wanita yang baru dikenali menerusi panggilan video Skype, seorang pelajar lelaki sebuah kolej, di sini, menanggung malu apabila aksinya itu dimuat naik di YouTube peribadi wanita terbabit sebelum diugut menyerahkan wang sebanyak RM6,000 jika mahu video berkenaan dipadamkan dan tidak disebarkan.

Dalam kejadian yang bermula jam 8 malam pada Ahad lalu di rumah pelajar terbabit berusia 19 tahun di Kubang Kerian, di sini, mangsa yang ketakutan meminta bayaran itu dikurangkan sehingga RM4,000 dan wanita yang mengugutnya bersetuju sebelum memintanya memasukkan wang pendahuluan RM2,000 menerusi akaun sebuah bank.

Bagaimanapun, mangsa meminta untuk membayar RM1,000 terlebih dulu dan berjanji melunaskan baki RM3,000 kemudian.

Sumber berkata, mangsa segera memaklumkan kejadian itu kepada bapanya sebelum diminta bapanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, kelmarin.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa membuka Facebooknya dan melihat akaun Facebook seorang wanita menggunakan nama Nickaah Nayss’ dan menjadi rakannya jam 8 malam, Ahad lalu.

“Mereka berbual di Facebook sebelum wanita itu mempelawa mangsa berbual menggunakan panggilan video Skype pada jam 1.48 pagi keesokan harinya (kelmarin).

Mangsa melakukan onani dan wanita itu meminta mangsa menunjukkan perbuatan berkenaan kepadanya.

“Mangsa berbuat demikian, namun wanita itu hanya menunjukkan wajahnya yang kabur.

Aksi itu berlangsung selama satu jam bermula jam 5 hingga 6 pagi,” katanya.

Menurutnya, wanita itu memaklumkan perbuatan mangsa dirakam dan dimuat naik ke dalam YouTube peribadinya sebelum mengugut mangsa menyerahkan wang RM6,000 jika mahu video berkenaan dipadam dan tidak disebarkan.

Katanya, mangsa yang ketakutan meminta jumlah itu dikurangkan kepada RM4,000 dan wanita itu bersetuju sebelum meminta mangsa memasukkan wang pendahuluan sebanyak RM2,000 menerusi akaun sebuah bank.

“Mangsa minta jumlah wang pendahuluan itu dikurangkan kepada RM1,000 sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada bapanya dan diminta bapanya supaya membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada mangsa.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan perbuatan tidak senonoh sebaik mengenali rakan baru menerusi laman sosial kerana boleh terjerumus kepada penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Dijel tipu identiti


Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
Kuantan: Dua warga Filipina dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas didapati bersalah memiliki kad pengenalan palsu.

Tertuduh, Abuhail Abu Bakar, 20, dan Masad Tanjung, 28, yang dihadapkan secara berasingan masing-masing dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali selepas mereka mengaku bersalah.

Mengikut kertas pertuduhan, Abuhail didakwa memiliki kad pengenalan palsu menggunakan identiti orang lain di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Selamat, di sini, pada jam 9.30 pagi, 20 Disember lalu manakala Masad pula melakukan kesalahan itu pada jam 9.35 pagi di lokasi dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman sehingga tempoh tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika diminta membuat rayuan, kedua-dua tertuduh memohon agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung keluarga masing-masing dengan pendapatan sebagai jurukimpal yang dibayar sebanyak RM5 sejam.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang juga anggota polis melakukan Ops Cantas Khas di rumah berkenaan dan menemui kedua-dua tertuduh sebelum meminta mereka menunjukkan kad pengenalan masing-masing.

Bagaimanapun, kad pengenalan yang ditunjukkan menimbulkan sedikit keraguan sebelum satu laporan polis dibuat.

Imbasan cap jari kemudiannya mendapati kedua-dua tertuduh bukanlah pemilik asal kad pengenalan berkenaan.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Niat baik kakak bertukar tragedi


Oleh Rosli Ilham
DUNGUN: Kegembiraan lima beradik termasuk seorang sepupu mereka mandi di kawasan air terjun Tasek Puteri, Bukit Besi, di sini, bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka lemas.

Bagaimanapun, mangsa Nur Sumayyah Mukhtar, 13, pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, di sini, disahkan meninggal di Hospital Dungun kira-kira jam 9.20 malam tadi.



Sebelum kejadian, mangsa mandi bersama adik-beradiknya, Nurhidayah, 24, Nur Aisyah, 16, Nur Nasisah 10, dan sepupunya, Hanis Syazira Anum Suhaimi, 14, kira-kira 5 petang.

Ketika sedang mandi, mangsa bersama kakaknya, Nur Aisyah dikatakan lemas dan tenggelam timbul di tasik terbabit sebelum kakaknya Nurhidayah mengharungi tasik itu dan berjaya menarik Nur Aisyah sebelum dibawa ke tebing sungai.


Kakaknya itu yang mendapati mangsa tenggelam ke dasar tasik terbabit sekali lagi bertindak mengharungi tasik dan berusaha mencari mangsa termasuk menggunakan kaki untuk menyentuh mangsa berikutan air tasik yang keruh.


Usahanya itu berjaya dan mangsa ditarik oleh kakaknya itu sebelum dibawa naik ke daratan.

Beberapa pengunjung yang terdengar jeritan meminta tolong daripada kakak mangsa bergegas ke tempat kejadian sebelum mengejarkan mangsa ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.

Mangsa yang kelihatan lemah kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk untuk menerima rawatan lanjut dan mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, Nurhidayah berkata, dia membawa adik-adiknya itu berkunjung ke tasik terbabit untuk beriadah.

Katanya, mereka mandi di kawasan yang cetek dan tidak menyangka keseronokan itu membawa kepada kejadian yang cukup menyedihkan.

"Saya sama sekali tidak menyangka hasrat unyuk menggembirakan adik-adik bertukar dengan kejadian sedih yang membuatkan saya sukar melupakan kejadian malang terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihak hospital memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan sehingga ini polis masih belum menerima laporan daripada keluarga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Papan pemuka ragut nyawa


Oleh Syazwan Msar
Kuantan: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang berada dalam dakapan ibunya meninggal dunia selepas terhantuk di papan pemuka apabila kereta dipandu bapanya terbabas dan bertembung dengan lori di Kilometer 79, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, semalam.

Kejadian jam 7.45 pagi itu menyebabkan Aatif Hamzah Badrull Sham dari Kampung Bukit Kelulut, Bahau, Negeri Sembilan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian berlaku ketika Perodua Viva dipandu bapa mangsa dalam perjalanan pulang selepas menziarahi keluarganya di daerah ini.

“Kereta dipandu bapa mangsa hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri bahu jalan, namun ketika memasuki semula ke laluannya, kereta berkenaan sekali lagi terbabas ke sebelah bahu kanan pula.

“Pemandu kereta dipercayai cuba pula memasuki laluan kiri dan secara tiba-tiba terbalik sebelum dirempuh lori jenis Mitsubishi Fuso yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zainalabidin berkata, rempuhan itu menyebabkan Aatif Hamzah terlepas daripada dakapan ibunya dan terhantuk di papan pemuka hingga menyebabkan kecederaan parah di kepala.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu bapanya termasuk penumpang di tempat duduk belakang kereta cedera ringan dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah, Rompin,” katanya.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Bukit Kelulut, Bahau untuk pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1967.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Polis buru drebar syarikat keselamatan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
Subang Jaya: Polis mengesahkan identiti suspek melarikan wang milik dua stesen minyak berjumlah RM234,844 dalam kejadian 16 Disember lalu sebagai Mohd Fahamy Mohammad Ramly, 30, yang bekerja sebagai pemandu syarikat kawalan keselamatan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, hasil siasatan mendapati suspek berasal dari Ipoh, Perak dan mula bekerja di syarikat itu sejak Oktober lalu.
Menurutnya, polis cuba mengesan suspek mengikut alamat kad pengenalannya di Ipoh, namun kediaman terbabit kosong dan tidak berpenghuni.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
“Kita juga menyiarkan gambar suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini, semalam.
Yahaya berkata, pihaknya percaya suspek melakukan jenayah berkenaan secara solo dan dia tidak memiliki pasport antarabangsa serta masih berada di Malaysia.
Harian Metro pada 17 Disember lalu melaporkan seorang pekerja sebuah syarikat keselamatan melarikan van keselamatan bersama wang tunai RM234,844 di SS16, di sini.
Ketika kejadian, suspek yang berasal dari Gopeng, Perak, memandu van berkenaan bersama tiga rakan sekerjanya ke sebuah bank di SS16 untuk menghantar wang pada jam 2 petang.
Menurut sumber, tiga rakan sekerja suspek masuk ke dalam bank bagi menghantar wang manakala lelaki terbabit menunggu di dalam kenderaan.
“Kira-kira 10 minit kemudian, tiga rakan sekerjanya kembali ke hadapan premis berkenaan, tetapi mendapati van mereka tiada.
Foto
YAHAYA (tengah) mendedahkan gambar suspek yang mencuri wang di dua stesen minyak.

Mereka menunggunya selama 10 minit kerana menyangka suspek mencari tempat letak kereta.
“Dalam tempoh itu, mereka cuba menghubungi lelaki berkenaan dan menyedari ada sesuatu tidak kena apabila tiada jawapan lalu menghubungi ibu pejabat yang kemudian mengesan van berkenaan menggunakan sistem penetap global di sebuah kawasan perumahan di SS15,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Gagal ‘pecah’ rumah menteri

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
Kuching: Dua penjenayah yang cuba memecah masuk rumah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bertempiaran lari apabila penggera keselamatan berbunyi sebaik tingkap belakang rumah berkenaan diumpil dalam kejadian di Jalan Tengah, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, bunyi nyaring penggera keselamatan mengejutkan suspek menyebabkan mereka melarikan diri melalui lubang yang ditebuk pada pagar rumah sebelum menaiki sebuah motosikal.
Difahamkan, sebaik menyedari kejadian itu, pengawal keselamatan bertugas cuba mengejar suspek, tetapi gagal kerana suspek pantas melarikan diri.
Ketika kejadian, rumah berkenaan dihuni seorang pembantu rumah dan dikawal tiga anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta dua anggota polis bantuan.
Kejadian berlaku sebaik pengawal keselamatan selesai mengadakan rondaan dan berada di pos pengawal, kira-kira lima meter dari pagar rumah.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, ketika kejadian hujan lebat.

Pengawal keselamatan bertugas gagal mengejar suspek yang terus melarikan diri sebaik penggera keselamatan berbunyi.
Katanya, pemeriksaan mendapati pagar rumah sebelah kanan diperbuat daripada papan sudah dipecahkan dan suspek dipercayai memasuki melalui pagar itu yang terletak bersebelahan rumah kosong.
“Ketika cuba mengumpil tingkap, penggera keselamatan berbunyi dan mereka terus melarikan diri.
Foto
ROSLAN menunjukkan pagar dipecahkan suspek di Jalan Tengah, semalam.

Namun pengawal keselamatan sempat melihat suspek terbabit.
“Polis turut menemui pemotong dawai, besi paip dan satu beg hitam dipercayai milik suspek di lokasi kejadian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Nasib baik keluar sebelum gas meletup


Oleh Nordiana Shafiee
Pokok Sena: “Nasib baik kami sempat keluar ketika kebakaran itu sebelum dua tong gas yang baru dibeli meletup,” kata Zuraini Padzil, 43, dari Kampung KEDA Batu 13, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang kelmarin, kebakaran berkenaan memusnahkan rumah milik ibunya Zaiton Mat Hassan, 73, menyebabkan mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang.

Zuraini berkata, sebelum kejadian dia berada di dapur menyiapkan kuih dangai untuk dijual sambil ditemani suami.

Ibunya berada di bilik untuk solat Asar dan anak bongsunya berada di ruang tamu menonton televisyen.

“Ketika sibuk membuat kuih, tiba-tiba saya lihat api dapur gas menyambar tikar dan langsir lalu menjerit kepada ibu dan anak supaya lari menyelamatkan diri.

“Ketika itu suami cuba memadamkan api dengan permaidani, namun tidak berjaya dan saya memaksanya keluar dari rumah kerana bimbang tong gas meletup.

“Tindakan saya betul kerana tidak lama selepas kami keluar dari rumah, bunyi letupan tong gas kedengaran,” katanya ketika ditemui, di sini.

Ibu kepada dua anak itu berkata, mereka tidak sempat menyelamatkan dokumen penting termasuk kad pengenalan kerana api mulai marak dan bimbang dua tong gas yang baru dibeli meletup.

Menurutnya, dia tidak sangka dalam sekelip mata mereka sekeluarga kehilangan harta benda dianggarkan bernilai lebih RM20,000 termasuk wang tunai RM500 yang disimpan dalam rumah itu.

Katanya, walaupun menanggung kerugian besar dan masih trauma dengan kejadian itu, dia tetap bersyukur kerana mereka selamat dan hanya suaminya cedera ringan di kaki.

“Kami hilang tempat berteduh dan hanya mampu berdoa ada pihak yang tampil membantu membina semula rumah untuk saya sekeluarga.

“Buat masa sekarang mungkin saya terpaksa menumpang di rumah saudara-mara sehingga kami mendapat rumah baru,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar Wan Jamaluddin Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.06 petang dan tiba di tempat kejadian 22 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

161 gagal diseludup ke Singapura, Malaysia


Bekasi: Seramai 161 orang wanita yang didakwa hendak dijual di Singapura dan Malaysia ditemui dalam sebuah rumah di Bekasi, Jawa Barat, semalam.

Ketua unit penyeludupan manusia polis Indonesia, Arie Dharmanto berkata, 22 yang ditahan itu di bawah umur.

Mereka ditemui selepas anggota unit itu menyerbu rumah berkenaan yang dipercayai menjadi tempat mengumpulkan mangsa sebelum mereka diseludup ke negara jiran.

“Kami membebaskan 161 wanita yang hendak dijual ke Singapura dan Malaysia.



Sebahagian mereka masih kanak-kanak,” kata Arie.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada penduduk tempatan yang mengesyaki wanita di rumah itu dijadikan tebusan.

“Rumah itu sungguh sesak.


Mereka tidur di lantai dengan beralaskan tikar saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Rompakan paling bodoh


Dubai: Seorang lelaki mabuk masuk ke sebuah kedai runcit di Dubai petang semalam, menumbuk tuan kedai sebelum melarikan wang berjumlah 1,800 dirham (RM1,600) dan kad prabayar telefon bimbit bernilai 2,000 dirham (RM1,800).

Sejam kemudian, dia kembali ke kedai sama, mengancam seorang pekerja dengan pisau sebelum ditangkap polis yang tiba untuk menyiasat rompakan pertama.

“Ini rompakan paling bodoh tahun ini.



Perompak itu merompak kedai yang sama, seolah-olah mahu menyerah diri kepada polis,” lapor akhbar Alkhaleej.

Menurut akhbar itu, perompak yang namanya tidak disiarkan itu kembali ke kedai yang dirompaknya sejam kemudian selepas mengetahui tuan kedai membuat laporan polis.

Polis datang untuk menyiasat kes pertama menemui perompak itu di kedai berkenaan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Rumah hangus 100 peratus

Rumah hangus 100 peratus25 Disember 2013

Keadaan rumah yang musnah terbakar di Kampung Ayer Leleh, Semabok, semalam.

SEMABOK - Seorang suri rumah tidak menyangka bunyi beberapa letupan berpunca daripada satu kebakaran, membabitkan rumah sewa miliknya di Kampung Ayer Leleh, di sini semalam.

Bagaimanapun, ketika kejadian jam 11.45 pagi itu, penyewa rumah terbabit, pasangan suami isteri bersama seorang anaknya tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Gua Musang, Kelantan.

Menurut pemilik, Jasmah Omar, 62, rumah yang terbakar itu terletak tidak jauh di sebelah belakang rumahnya.

“Semasa pulang dari membeli sayur di kedai, saya dengar bunyi letupan dan terus panggil suami yang berada di dalam rumah,” katanya ketika ditemui semalam.

Jasmah berkata, dia dan suami, Mansor Othman, 69, terkejut apabila melihat asap manakala api sedang marak membakar rumah sewanya dalam jarak tidak sampai satu meter.

Katanya, dalam keadaan panik, dia menjerit meminta tolong jiran dan terus menghubungi bomba.

“Nasib baik penyewa tiada di rumah dan saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran ini,” katanya yang telah menetap di situ sejak 20 tahun lalu.
Difahamkan, penyewa tersebut menyewa rumah milik Jasmah itu sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Mokhtar Othman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.51 pagi dan tiba di tempat kejadian sembilan minit kemudian.

“Hasil siasatan awal mendapati rumah kayu itu terbakar 100 peratus dan kebakaran dapat dikawal pada pukul 12.04 tengah hari.

“Sebanyak dua jentera, tiga Skuad Bomba Bermotosikal (RIM) serta satu jentera tangki (tanker) dari Balai Bomba Bukit Katil dikerah ke tempat kejadian melibatkan 19 anggota dan pegawai,” katanya.

Kedai emas kena rompak

Kedai emas kena rompak25 Disember 2013

Polis sedang menjalankan pemeriksaan di bahagian belakang kedai tersebut.

SEREMBAN – Wartawan Sambilan akhbar Nanyang Siang Pau, mengalami detik cemas apabila kedai emasnya dimasuki dua perompak bersenjatakan parang di Pekan Rantau, di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar 8.15 pagi, mangsa, Chong Chee Hong, 67, yang mengalami kerugian hampir RM200,000 itu, diikat dengan menggunakan wayar oleh penjenayah berkenaan sebelum melarikan barang kemas yang diambil dari peti besi.

Che Hong ketika ditemui berkata, setiap hari dia sampai kedai pada jam 9 pagi, namun semalam dia datang awal berikutan motosikalnya ditinggalkan di kedai berkenaan.

Katanya, sebaik sahaja dia sampai kira-kira jam 6.30 pagi, dia melakukan aktiviti harian biasa iaitu membasuh pakaian dan membuka e-mail sebelum memulakan operasi perniagaannya.

“Setelah semua kerja selesai, sekitar 7.30 saya keluar kerana mahu bersarapan. Tapi sampai dikedai makan, saya teringat kunci kedai tertinggal. Saya kemudiannya pergi semula ke kedai untuk mengambil kunci.

“Masuk saja, saya nampak dua lelaki bertopeng berada di peti besi, sebelum mereka bertindak menyerang dan menolak saya dengan ganas.

“Saya disuruh diam dan tidak melawan. Mereka kata mereka ada pistol, manakala parang yang dipegang diacukan kepada saya, sebelum menyuruh saya segera membuka peti besi itu,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Walau bagaimanapun katanya, perompak berkenaan terpaksa menunggu hampir 30 minit, bagi membolehkan dia membuka peti besi berkenaan memandangkan peti besi itu menggunakan sistem ‘set timing’ di mana pada jam 9 pagi sahaja peti besi itu boleh dibuka.

Jelasnya, sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 9, Chee Hong kemudiannya diarah supaya membuka peti simpanan besi yang mengandungi barang kemas termasuk duit bernilai RM5,000.

Kedua-dua pencuri berkenaan kemudian melarikan diri menggunakan pintu belakang, menaiki pacuan empat roda.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, menurut siasatan awal mendapati kedua-dua suspek itu berusia awal 20-an dan menggunakan kenderaan jenis Pajero berwarna biru untuk melarikan diri.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat dengan kejadian tersebut diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Ketua kumpulan samun warga asing ditembak mati


Abdul Rahim Jaffar (tengah) menunjukkan pistol automatik milik Mat Ruji dan gambar wajah penjenayah itu dalam sidang akhbar di Sepang, semalam.
SEPANG 25 Dis. - Polis menembak mati seorang suspek warga Indonesia dipercayai ketua kumpulan Rantau Mahkota yang aktif dengan kegiatan pecah rumah dan samun dalam satu kejadian tembak-menembak di Taman Mas Sepang, Puchong pada pukul 9 malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaffar berkata, insiden berbalas tembak itu berlaku apabila pasukan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor yang sedang melakukan rondaan Ops Cantas tersempak dengan sebuah kereta Nissan Grand Livina berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, pihak polis kemudiannya menghampiri kenderaan tersebut dan mendapati seorang lelaki melarikan diri ke dalam semak berhampiran serta melepaskan tembakan ke arah polis ketika usaha untuk menjejaki suspek dilakukan.
"Polis kemudian melakukan tembakan balas dan selepas beberapa minit dalam kejadian tembak menembak itu, polis melakukan pemeriksaan di kawasan semak dan menemui mayat seorang lelaki dipercayai individu yang melarikan diri daripada kereta itu.
"Pemeriksaan ke atas mayat mendapati suspek dikenali sebagai Mat Ruji@Mat Ting War, 43, selain menemui sepucuk pistol automatik jenis Vzor CAL 7.65 tertera tulisan Made in Czechoslovakia beserta tiga butir peluru 7.65 milimeter," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, suspek berasal dari Sampang didapati aktif melakukan jenayah samun secara berkumpulan dalam lingkungan empat hingga enam orang sejak 2005 di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
"Ini berikutan cap cari suspek sebelum ini pernah dikesan membabitkan 27 kejadian samun dan pecah rumah sejak tempoh tersebut serta merupakan antara geng penjenayah warga asing paling dikehendaki.
"Rekod jenayah lampau suspek juga menunjukkan suspek pernah ditahan daripada tahun 2009 hingga 2011 kerana kes kesalahan sama," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kenderaan digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu, WTB 9983 kerana nombor pendaftaran asal adalah MBX 8185 yang dilaporkan hilang pada 2 Mei lalu.
"Apabila diperiksa polis menjumpai pemotong besi dan kuku kambing dalam bonet kereta tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131226/je_01/Ketua-kumpulan-samun-warga-asing-ditembak-mati#ixzz2oXEF3X1r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suri rumah nyaris dirogol, disembelih perompak






JEMPOL 25 Dis. - Seorang suri rumah bernasib baik kerana terselamat daripada menjadi mangsa rogol dan bunuh oleh empat penyamun bertopeng yang memecah masuk rumahnya setelah penjenayah terbabit tidak berpuas hati dengan hasil samun diperoleh.

Kejadian berlaku di Bandar Seri Jempol dekat sini awal pagi semalam semasa mangsa yang ingin dikenali sebagai Samsiah, 31, tidur di ruang tamu rumah bersama dua anak dan seorang adik perempuan sebelum dikejutkan empat suspek tersebut pukul 3.15 pagi.

Menurut Samsiah, kesemua suspek yang dipercayai warga Indonesia berdasarkan pertuturannya terus mengacukan parang di leher dan memintanya supaya mengikut arahan mereka.

"Mereka mengikat kaki dan tangan adik perempuan sebelum mengarahkan saya mengejutkan ahli keluarga lain iaitu suami, abang serta dua lagi anak perempuan saya lalu mengikat mereka.

"Mereka kemudian mengambil wang tunai termasuk dari dompet suami saya dan semua telefon bimbit di dalam rumah sebelum mengheret saya sejauh 50 meter keluar dari rumah dan meninggalkan ahli keluarga saya yang lain," katanya.

Samsiah berkata, semasa berada tidak jauh dari rumah, ada antara penjenayah terbabit yang cuba merogolnya, mungkin kerana tidak berpuas hati dengan hasil samun, malah telah mengoyakkan pakaiannya di bahagian bahu tetapi dibantah rakannya yang lain.

"Mereka turut bertengkar sama ada untuk merogol dan membunuh saya di kawasan paya berdekatan. Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu," katanya yang masih trauma berikutan kejadian tersebut.

Kata Samsiah, mujurlah tidak lama selepas itu, muncul anggota polis sedang meronda di kawasan tersebut menyebabkan kesemua suspek tersebut terus melarikan diri ke arah kebun getah berdekatan.

"Saya bersyukur kerana saya dan ahli keluarga lain selamat walaupun saya ditumbuk di bahagian perut oleh salah seorang perompak itu semasa hendak melarikan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Supritendan Hamzah Alias berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Polis Bantuan Felda untuk menjejaki suspek menggunakan anjing pengesan.

"Kita masih menjalankan siasatan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol untuk membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan bersenjata," jelasnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131226/je_04/Suri-rumah-nyaris-dirogol-disembelih-perompak#ixzz2oXF40TE4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

16 GRO warga Vietnam ditahan dalam serbuan


SEBAHAGIAN daripada 16 wanita Vietnam dipercayai menjadi gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan ke atas dua pusat hiburan di Klang, kelmarin.
KLANG 25 Dis. - Sebanyak 16 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam ditahan dalam serbuan Ops Cantas Khas dan Ops Noda ke atas dua buah pusat hiburan di Klang Utara malam tadi.
Dalam serbuan sepasukan 13 anggota dan enam pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan dibantu Pasukan Cantas Khas Wanita itu, polis turut menahan dua penjaga premis dan seorang pekerja.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Selangor, Deputi Supritendan Rohan Shah Ahmad berkata, dalam serbuan pertama di Jalan Pekan Baru 36, polis menahan enam GRO warga Vietnam.
Katanya, turut ditahan seorang lelaki yang juga penjaga premis dan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai pelayan bar.
"Dalam serbuan premis kedua yang terletak berdekatan, 10 GRO warganegara sama turut ditahan selain seorang penjaga premis.
"Siasatan mendapati premis pertama mempunyai lesen perniagaan sah manakala yang kedua tiada lesen. Berikutan itu, polis merampas peralatan hiburan dan wang tunai sebanyak RM420 daripada premis kedua," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Rohan Shah, daripada jumlah penahanan itu, polis turut berjaya menyelamatkan dua gadis berusia 16 dan 17 tahun yang dijadikan mangsa sindiket GRO.
Tambahnya, kesemua yang ditahan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 55B, 39(b) Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131226/je_02/16-GRO-warga-Vietnam-ditahan-dalam-serbuan#ixzz2oXEUpcUo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi berselimut ditemui orang awam


GEORGETOWN: Seorang bayi perempuan yang baru lahir ditinggalkan dalam keadaan berselimut di koridor sebuah pangsapuri di tingkat 21, Tingkat Paya Terubong di sini pagi tadi.

Bayi dalam keadaan sempurna itu ditemui orang awam kira-kira jam 8 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.


Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, tiada pengenalan diri ditemui pada bayi berkenaan.

Beliau berkata, bayi terbabit dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25