Segamat: “Saya tertekan dengan sikap panas baran suami dan kemuncaknya, saya diacukan parang semalam (kelmarin),” kata wanita dikenali sebagai Chumy, 46, semalam.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, Chumy diacukan parang oleh suaminya yang berusia 53 tahun di rumah mereka di sekitar Batu Anam di sini.
Suami Chumy mendakwa wanita berkenaan curang dan akibat tidak tahan dengan tohmahan itu, Chumy membalas semula kata-kata suaminya.
“Saya membalas semula kata-katanya itu walaupun tahu suami berada di bawah pengaruh alkohol.
“Ketika itu, saya sudah nekad dan sanggup dimarahi dengan lebih teruk,” katanya.
Menurut Chumy, suaminya itu kemudian pergi ke dapur dan dia menyangka lelaki terbabit mahu mengambil makanan.
Bagaimanapun, Chumy terkejut apabila suaminya itu kembali ke ruang tamu rumah membawa sebilah parang.
“Suami terus mengacukan parang ke arah saya sebelum mengugut akan menikam saya.
Bimbang berlaku perkara buruk, saya terus keluar rumah dan meminta jiran menghubungi polis.
“Saya sudah tidak tahan hidup dengan suami, kini saya menumpang di rumah rakan dan mahu menenangkan diri,” katanya.
Menurut Chumy, suaminya bekerja di ladang di sekitar daerah berkenaan dan pendapatan lelaki terbabit hanya cukup untuk perbelanjaan harian.
Bagaimanapun, Chumy berkata, suaminya akan meminta wang daripadanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk membeli minuman keras.
“Suami akan meminta wang apabila dia ketiadaan modal untuk membeli minuman keras.
Jika tidak diberi, dia akan memarahi saya,” katanya.
Chumy kemudian melaporkan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan kejadian.
“Kami sudah menahan seorang lelaki dan dia kini direman bagi membantu siasatan kes ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

CHUMY menunjukkan salinan laporan polis.