Search This Blog

Saturday, December 21, 2013

Bawa anak kami pulang

21 Disember 2013

Bawa anak kami pulangIzhar bersama Cik Rohayati menunjukkan gambar Imran dan Mohd Rashidi dan salinan laporan polis

 ALOR SETAR - Sepasang suami isteri merayu agar kerajaan dapat membantu membawa pulang anaknya dan anak saudaranya yang kini ditahan di Myanmar.

Izhar Ahmad, 44, berkata anaknya Imran, 19, bersama sepupunya Mohd Rashidi Ruslan, 26, ditahan tentera laut Myanmar pada 24 November lalu kerana didakwa menangkap ikan secara haram di perairan Rakhine.

Menurutnya, kedua-duanya kini ditempatkan di Balai Polis Sittway, Daerah Rakhine, baru sahaja bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan yang berpangkalan di Langkawi sejak awal bulan lalu.

“Difahamkan mereka berlepas dari Kuala Perlis 17 November lalu menaiki kapal Hannah 8 milik Syarikat Image 2000 Sdn Bhd ke Bangladesh.

“Saya dan isteri dapat berita ini selepas dimaklumkan polis yang datang ke rumah kami pada 4 Disember lalu,” katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya di Taman Gunong Bongsu, Tandop, dekat sini, semalam.

Izhar yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, mereka sekelurga terkejut mendapat tahu Imran dan Mohd Rashidi tidak menaiki kapal dagang sebaliknya sebuah bot kecil iaitu bot ikan ketika ditahan.
Beliau berkata, semua anak kapal terjun ke laut bagi menyelamatkan diri ketika ditahan kecuali Imran dan Mohd Rashidi.

“Keluarga kakak saya sudah berhubung dengan Wisma Putra dan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu membawa pulang mereka ke negara ini.

“Wisma Putra meminta kami melantik peguam untuk sebutan kes mahkamah yang sudah berjalan di sana tetapi kami tak mampu. Kami harap mereka dilepaskan tanpa dikenakan tindakan undang-undang,” katanya yang turut
melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sementara itu, sebuah akhbar tempatan Myanmar bertarikh 28 November lalu melaporkan, dua rakyat Malaysia ditahan oleh tentera laut negara itu yang menangkap ikan secara haram di perairan Rakhine.

Ketika pemeriksaan mendapati bot ikan yang ditahan itu mempunyai peralatan menangkap ikan, minyak diesel dan makanan yang disediakan untuk nelayan lain.

Laporan itu juga menyatakan ketika pasukan tentera laut negara itu menghampiri, semua anak kapal itu dan bot nelayan lain melarikan diri ke arah timur melepasi perairan Mnyamar.

Bekas penyelia NSTP, isteri maut dilanggar lori


21 Disember 2013


MARANG - Sepasang suami isteri maut setelah kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Km 47, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berdekatan Kampung Pasir Putih, di sini petang ini.
    
Kemalangan kira-kira 5.00 petang itu berlaku apabila sebuah lori seberat satu tan yang dalam perjalanan dari arah Dungun ke Kuala Terengganu dikatakan memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.
    
Akibat rempuhan itu, Mohamed Hanafi Abdul Manaf, 62, bekas Penyelia Teknikal Percetakan NSTP di Kuala Lumpur, dan isterinya Rabiah Mat Hussin, 55, yang berasal dari Dungun maut di tempat kejadian.
    
Pasangan terbabit cedera parah di bahagian kepala selain kecederaan dalaman serta patah kaki.
    
Manakala pemandu lori terbabit dan kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan.
    
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritenden Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. - Bernama


AN Wei Chang melambai tangan sebaik sahaja selamat tiba di negara asalnya Taiwan pada pukul 1.16 petang semalam.
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Pembebasan wanita warga Taiwan yang menjadi mangsa culik kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Pulau Pom Pom sejak 15 November lalu adalah hasil kejayaan rundingan tiga pihak bersama penculik terbabit tanpa melibatkan sebarang pembayaran wang.
Menurut sumber, tiga pihak yang melakukan rundingan bersama kumpulan penculik itu bagi membebaskan An Wei Chang, 58, ialah polis Filipina, Malaysia dan Taiwan.
"Proses mendapatkan pembebasan tebusan dibuat secara taktikal dengan penuh hati-hati dan penuh kesabaran.
"Hinggalah akhirnya penculik bersetuju dengan rundingan yang dilakukan bersama polis Filipina, Malaysia dan Taiwan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Wei Chang diselamatkan oleh pihak keselamatan marin Filipina kira-kira pukul 4 petang. Kumpulan penculik telah membebaskan mangsa tebusan di kawasan Barangay Liban, Talipao, Sulu.
Dalam kejadian pada 15 November lalu, seorang pelancong lelaki warga Taiwan, Lin Min Hsu, 57, ditembak mati sementara Wei Chang diculik kumpulan terbabit.
Semasa kejadian, mereka berada di sebuah calet yang terletak di atas air di pulau tersebut sebelum didatangi sekumpulan lelaki bersenjata.
Dalam pada itu, Wei Chang telah selamat tiba di negara asalnya menaiki pesawat dari Manila, Filipina pada pukul 1.16 petang hari ini.
Dia kemudian terus dibawa ke ibu pejabat polis Taiwan bagi menghadiri sidang akhbar bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Taiwan pada pukul 3 petang.
Sementara itu, memetik satu rakaman video ucapan Wei Chang ketika dibawa keluar dari sebuah hospital di Jolo, dia sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak berkuasa Filipina.
"Saya hanya mahu menyatakan amat menghargai pihak marin Filipina yang memberi pertolongan amat besar, terima kasih banyak-banyak," ujarnya ringkas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131222/dn_08/Mangsa-culik-dibebas-tanpa-pembayaran-wang#ixzz2oBF55MT9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tangan remaja tersepit mesin penghancur rumput


21 Disember 2013

BESUT - Seorang remaja cedera parah apabila tangan kanannya tersepit dalam mesin penghancur rumput di rumahnya di Kampung Gong Kepas dekat Kampung Raja di sini tengah hari tadi.
     
Mohd Idris Baharuddin, 14, dikatakan sedang menghancurkan rumput untuk makanan lembu peliharaan keluarganya apabila tiba-tiba tangannya termasuk ke dalam mesin berkenaan.
     
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Raja, Hasmadi Jusoh berkata pihaknya yang menerima panggilan mengenai kejadian itu menghantar lima anggota untuk memberi pertolongan kepada mangsa.
     
"Tangan kanan mangsa mengalami kecederaan agak serius hingga ke paras pergelangan tangan. Kita keluarkan tangan mangsa daripada mesin dengan bantuan beberapa penduduk," katanya kepada Bernama.
     
Mohd Idris kemudiannya dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilapor stabil. - Bernama

Tiga gudang bahan kimia musnah

Tiga gudang bahan kimia musnahAnggota bomba memadamkan kebakaran gudang menyimpan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang. 

Klang: Tiga gudang menyimpan bahan kimia musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, di sini, malam kelmarin.

Kebakaran kira-kira jam 8 malam itu sukar dikawal kerana bahan kimia berkenaan turut mengakibatkan letupan, sekali gus membahayakan nyawa anggota bomba.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Penguasa Kanan Bomba II Anuar Harun, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.10 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang tiba lima minit kemudian.


“Ketika jentera pertama tiba, hampir 50 peratus bahagian gudang sudah musnah terbakar.

“Tidak lama kemudian enam lagi jentera dari BBP Sungai Pinang, Kota Raja, Andalas, Shah Alam dan Kota Anggerik serta pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) tiba untuk membantu memadamkan kebakaran.

“Api yang marak yang menyukarkan tugas menyebabkan kami menggunakan kaedah pertahanan (defensive) dan menunggu api padam namun berjaya mengawal api daripada merebak ke gudang berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Anuar berkata, api dapat dikawal sepenuhnya lima jam kemudian dan pasukan forensik sudah diarahkan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun tiada pekerja gudang atau orang awam yang terperangkap di dalam kebakaran berkenaan,” katanya.

Guru, peniaga jubah nafi hasil filem lucah

Guru, peniaga jubah nafi hasil filem lucahMuhamad Usman, (kanan) dan Irfan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Melaka, semalam. 

Ayer Keroh: Seorang guru penolong kanan dan lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan menghasilkan filem lucah di sebuah kediaman di Pangsapuri Bukit Beruang Utama, Bukit Beruang, di sini bulan lalu.

Lizah Buang, 49, dan Muhamad Usman Ali Liqat, 27, yang dituduh melakukan perbuatan bertentangan dengan kesopanan awam itu kira-kira jam 8.30 pagi 16 November lalu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di depan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Guru penolong kanan sebuah sekolah rendah di Batu Berendam itu yang tidak diwakili peguam, memohon wang jaminan rendah kerana masih menanggung enam anak dan suaminya tidak bekerja kerana sakit. Muhamad Usman yang berniaga jubah turut membuat rayuan sama atas alasan menanggung isteri di Pakistan.

Selepas membenarkan Lizah diikat jamin RM2,500 dan Muhamad Usman dijamin RM10,000 bersama dua penjamin, selain diarah melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, Mohd Firdaus menetapkan 23 Januari untuk sebutan kes bagi tujuan pelantikan peguam. Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak.

Guru serah RM10,000

Di Mahkamah Majistret berasingan, rakan senegara Muhamad Usman, iaitu Irfan Ahmed Ashraf Muhammad, 38, yang juga peniaga jubah, didakwa memeras ugut hingga mendorong Lizah menyerahkan RM10,000 pada jam 12 tengah hari, 20 November lalu di depan sebuah restoran di Bukit Beruang.
Dia dituduh di depan Majistret Syajaratudur Abd Rahman, mengikut Seksyen 383 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Irfan juga menghadapi tuduhan kedua dan ketiga, masing-masing atas kesalahan memiliki sebuah pemacu storan media jenama Kingston serta telefon bimbit mengandungi filem lucah di sebuah kawasan stesen minyak di Jalan Panglima Awang, jam 6.45 petang 30 November lalu.

Bagi dua tuduhan itu, dia yang diwakili peguam, Zulfiqri Zakaria dan Intan Nazifa Ahmad didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Untuk tuduhan keempat, dia pada jam 7.30 malam, tarikh yang sama didapati memiliki sebuah komputer riba jenama Dell mengandungi filem lucah di sebuah hotel di Taman Kota Laksamana, di sini dan didakwa mengikut seksyen sama seperti tuduhan kedua dan ketiga. Irfan bagaimanapun, mengaku tidak bersalah bagi semua tuduhan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM13,000 sebelum menetapkan 7 Januari untuk sebutan semula. Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam.

Gempar dilanda hujan batu


2013/12/21
Taiping: Penduduk bandar ini dan beberapa kawasan berhampiran dikejutkan dengan ‘hujan batu’ dalam kejadian ribut yang turut menyebabkan khemah dipasang di pasar malam rosak akibat angin kencang, petang kelmarin.

Kejadian bermula jam 3.30 petang itu yang juga menyebabkan beberapa papan tanda tumbang, bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.


Peniaga pasar malam, Mohamad Kamal Abdul Latiff, 35, berkata dia baru memasang khemah untuk memulakan perniagaan menjual hasil laut seperti udang, ikan, sotong dan ketam, namun tidak sampai 10 minit kemudian, hujan turun diikuti angin kencang yang hampir menerbangkan khemahnya.


Hujan lebat

“Saya dan seorang pekerja terpaksa menahan khemah daripada diterbangkan dan ketika itulah, kami terasa terkena batu kecil seperti ketulan ais. Sebahagian ketulan kecil itu terus cair sebaik jatuh ke kawasan bersimen dan berturap, tapi sebahagian lagi kekal dalam bentuk asal,” katanya.

Katanya, sebahagian besar peniaga di pasar malam itu terpaksa mengemas barang dan pulang dengan tangan kosong kerana hujan lebat berterusan disertai ribut, malah ada beberapa peniaga terpaksa menanggung kerugian selepas khemah mereka rosak.
“Sepanjang 10 tahun berniaga di pasar malam, inilah kali pertama saya mengalami dan menyaksikan sendiri ‘hujan batu’,” katanya sambil menunjukkan saiz ketulan itu yang kecil sedikit daripada syiling 10 sen.


Seorang lagi peniaga, Mozil Janudi, 38, yang menjalankan perniagaan makanan, mendakwa kerugian kerana bukan saja khemahnya diterbalikkan ribut, malah pelbagai barangan seperti tepung dan minyak untuk menggoreng ayam juga rosak.

“Mulanya saya sangka ia sekadar hujan biasa dan tak menghiraukannya, tapi ketika saya dan pekerja sibuk membuat persiapan untuk menggoreng ayam, tiba-tiba angin kencang melanda, menterbalikkan khemah saya dan beberapa peniaga lain,” katanya.

Kes Pelancong Kena Culik Di Pulau Pom-Pom: Wanita Taiwan berjaya ditemui


2013/12/21
Kota Kinabalu: Wanita warga Taiwan, An Wei Chan yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Pulau Pom-Pom, Semporna, 15 November lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di Maimbang, Sulu, semalam.

Sumber berkata, Wei Chan, 58, diselamatkan dalam satu operasi khas oleh Pasukan Elit Marin Filipina, tengah hari semalam, sebelum dibawa ke Hospital Bus-Bus Pengkalan Marin.

“Mangsa akan diterbangkan ke Zamboanga esok (hari ini) untuk tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa Filipina. Mangsa dalam keadaan selamat,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menerusi mesej twitter mengesahkan perkara itu dan mengucapkan syabas kepada pasukan keselamatan Filipina dalam operasi menyelamatkan mangsa.


Diculik militan

Dalam kejadian 15 November lalu, Wei Chan diculik sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Abu Sayyaf yang turut menembak mati rakannya, Lin Min Hsu, 57, ketika keduanya bercuti di sebuah resort di pulau itu.
Suspek dipercayai memecah masuk chalet penginapan mangsa melalui tingkap bilik air sebelum melarikan Wei Chan yang mungkin dibawa ke Pulau Mamanok, Filipina, 16 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata polis akan meneruskan siasatan kes terbabit dan mungkin membawa wanita Taiwan berkenaan ke negeri ini bagi diambil keterangan.

‘Orang dalam’ kastam diburu

‘Orang dalam’ kastam diburuPegawai Unit i-SPAAA, Asisten Supritendan Jaya Daloh (kanan) memberi penerangan mengenai sistem pemantauan yang baru dilancarkan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam, kepada Khalid dan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Datuk Mahani Tan (kiri). 

Kuala Lumpur: Lebih ramai kakitangan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang disyaki menjadi ‘orang dalam’ kepada sindiket penyeludupan dadah antarabangsa, akan ditahan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata hasil siasatan pihaknya percaya ada lagi anggota dan kakitangan agensi itu terbabit.

Ia adalah susulan penahanan 11 individu termasuk empat pegawai kastam baru-baru ini, yang dipercayai menjadi punca pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mudah dibolosi sindiket penyeludup.

“Kita akan memanggil ramai anggota dan kakitangan (kastam) untuk membantu siasatan dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai yang akan ditangkap,” katanya selepas melancarkan Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awan Bersepadu (i-SPAAA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, semalam.

Ditanya kemungkinan ada kakitangan dari agensi penguatkuasaan lain terbabit, Khalid berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan itu.

Pantau agensi KDRM

Beliau berkata, polis juga sedang memantau agensi penguatkuasaan berkenaan dan hanya menunggu masa untuk mengambil tindakan.
Selain itu, pihaknya sedang memantau teliti semua pintu masuk utama negara bukan saja di KLIA, malah di semua pelabuhan dan lapangan terbang seluruh negara untuk mengesan pembelot yang bersekongkol dengan sindiket dadah.

Difahamkan, dua dari empat pegawai kastam terbabit ditahan di kuarters kediaman mereka di Kelana Jaya dan Seremban, manakala dua lagi di pejabat KDRM di Nilai, pada 14 dan 16 Disember lalu.

Turut ditahan ialah tujuh individu terdiri dari empat lelaki warga Nigeria, seorang warga India dan dua lelaki tempatan. Semua mereka berusia 22 hingga 58 tahun.

Polis turut merampas 67 kilogram (kg) syabu, 9.7kg heroin dan 25.3kg kafein, keseluruhannya bernilai RM14 juta, menyita wang tunai RM34,950 serta dua kenderaan dipercayai milik suspek selain merampas sepucuk pistol jenis CZ bersama megazin serta 30 butir peluru hidup.

Sindiket itu dipercayai sudah setahun beroperasi di negara ini dan mempunyai rangkaian dengan sindiket tempatan.

Modus operandi ialah dengan masuk ke Malaysia melalui KLIA dan terus ke hotel berhampiran sebelum menghubungi syarikat pengurusan lapangan terbang supaya menghantar barangan mereka ke hotel.

Kahwin bogel

San Francisco: Sepasang pengantin yang berkahwin dalam keadaan bogel di depan khalayak ramai ditahan di bandar raya ini semalam.
Polis menahan bekas penari bogel yang kini menjadi aktivis Gypsy Taub, 44, dan pasangannya Jamyz Smith, 20, beberapa minit selepas mereka mengucapkan ikrar perkahwinan.

Sebelum acara itu, kedua-duanya berbogel di jalanan sebagai berkempen menentang larangan yang dikenakan pihak berkuasa bandar raya San Francisco terhadap perbuatan bertelanjang di depan tempat awam.
Menurut SFGate.com, Gypsy memberitahu hadirin: “Ini ialah bantahan terhadap larangan berbogel dan pada masa yang sama satu majlis perkahwinan. Saya tahu penduduk San Francisco menyokong saya.” Pasangan itu berbogel di luar dewan bandaraya San Francisco selepas berkempen selama setahun membantah larangan terhadap kebebasan untuk berbogel di khalayak ramai.

Mereka dikahwinkan oleh aktivis bogel George Davis, paderi di Gereja Universal Life.

Selepas sesi pembacaan daripada “buku sucinya” bertajuk ‘Seni Erotik’, Davis mengumumkan pasangan itu suami isteri. Sepasukan anggota polis yang tiba tidak lama kemudian mengakhiri majlis itu dengan membalut pasangan berkenaan dengan selimut sebelum membawa mereka memasuki van berasingan.
Foto
ANGGOTA polis mengarahkan Gypsy (dua dari kanan) dan Smith (kiri) agar memasuki van yang menunggu mereka.
Menurut undang-undang yang dikuatkuasa Lembaga Penyeliaan dewan bandar raya San Francisco pada 2012, berbogel di jalan raya, tepi jalan, stesen persinggahan dan kenderaan dilarang. Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada kanak-kanak dan peserta perarakan yang sudah memperoleh permit. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/21

Merajuk tak balik rumah


Johor Bahru: Gara-gara ditegur abangnya, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dipercayai merajuk hingga tidak pulang ke rumah di Kampung Melayu Pandan di sini, sejak 11 Disember lalu.

Tindakan Nor Syakila Yacob atau mesra dipanggil Lela menyebabkan ahli keluarga terutama ibunya, Jasimah Manab, 58, kini resah dan bimbangkan keselamatannya.


Jasimah berkata, anak bongsu daripada sembilan beradik itu berselisih faham dengan abangnya, Mohd Solihin berusia 20-an pada jam 4 petang hari kejadian.


“Sebagai anak bongsu, dia mungkin terasa dengan teguran dan nasihat abangnya walaupun abangnya tiada niat memarahinya.


“Selepas pertengkaran kecil itu, Nor Syakila menangis dan saya membiarkannya keluar bagi memberi ruang kepadanya menenangkan fikiran,” katanya, semalam.


Bagaimanapun, menurutnya, Nor Syakila terus tidak pulang ke rumah.

Katanya, pada hari ketiga kehilangannya, dia menerima SMS daripada anaknya itu memaklumkan akan pulang ke rumah pada keesokan hari.


“Namun, hingga kini dia tidak pulang manakala telefon bimbitnya gagal dihubungi.

“Saya kemudian membuat aduan di Balai Polis Johor Jaya pada 17 Disember lalu dan berharap dia segera kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nor Syakila diminta menghubungi keluarganya di talian 017-7097683 atau 0111-7634576.


Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada ibu mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/21

Lima kereta dihempap kontena


Klang: Lima pekerja sebuah kilang di Jalan Merbau, di sini, kerugian apabila kenderaan mereka yang diletak di luar kilang, dihempap kontena yang diletak berhadapan kereta mereka, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, pemandu lori kontena berkenaan baru selesai menanggalkan bahagian ekor berserta muatan kontena itu sebelum masuk ke dalam gudang untuk tujuan dokumentasi.


Menurut sumber, pemandu lori berusia 28 tahun terbabit baru tiba dengan kontena bermuatan barangan plastik berkenaan dari Bandar Sultan Sulaiman dekat Pelabuhan Klang.



“Sebaik tiba, pemandu serta beberapa pekerja kilang melakukan kerja menanggalkan ekor untuk dipindahkan muatannya ke dalam kilang.


“Selepas selesai, pekerja dan pemandu terbabit masuk ke dalam gudang untuk mengisi dokumen apabila terdengar dentuman lalu berlari keluar dan mendapati kontena berkenaan menghempap lima kereta yang diletak di bahu jalan,” katanya.


Menurutnya, ketika kejadian cuaca hujan dan tiada sebarang perlanggaran berlaku dengan kenderaan lain manakala lori serta lima kereta berkenaan dalam keadaan statik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Jani Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 94 LN170/59 kerana kenderaan tidak diselenggara dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/21

Rayu kes disiasat ikut seksyen lain


Putrajaya: Ahli perniagaan Amiruddin Osman, 56 mengemukakan rayuan kepada Jabatan Peguam Negara di sini, semalam supaya siasatan kes skandal membabitkan pelakon popular Adi Putra dan bekas isterinya, Nooraida Abdul Mutalib, 30, dibuka semula mengikut seksyen yang lebih relevan.

Ia berikutan kes berkenaan digugurkan selepas pihak polis yang melakukan siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan memutuskan kes itu digugurkan atau tiada tindakan selanjutnya (NFA).


Peguamnya Muhammad Hasif Hasan berkata, anak guamnya merayu kepada Jabatan Peguam Negara supaya mempertimbangkan satu seksyen yang lebih relevan seperti Seksyen 498 Kanun Keseksaan.



Ini kerana, katanya, seksyen berkenaan lebih khusus merangkumi kesalahan yang memikat seorang perempuan yang juga isteri kepada seseorang atau seksyen lain yang lebih relevan pada pandangan jabatan.


“Anak guam saya juga memohon agar semua bukti yang ada seperti butir percakapan melalui Whatsapp dan gambar yang dihantar (Adi Putra) diberi pertimbangan sewajarnya oleh jabatan.


“Malah, anak guam saya juga berharap suspek dalam kes ini dapat dituduh dan diadili berdasarkan peruntukan undang-undang negara sedia ada kerana kesan NFA ke atas kes ini menyebabkan rumah tangga anak guam porak peranda.

“Selain itu, ia juga menyebabkan anak guam malu dengan pelbagai tuduhan, tohmahan masyarakat kepada anak guam dan menjejaskan reputasinya sebagai ahli perniagaan, serta menjejaskan hubungan antara keluarga yang meletakkan kesalahan ke atas anak guam saya,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat representasi atau rayuan ke Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Pejabat Peguam Negara di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/21

Dapur meletup

Oleh Norul Awatif Romli
Kuala Lumpur: Empat pekerja restoran di sebuah pasar raya di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini melecur akibat disambar api selepas ketuhar di dapur mereka bekerja tiba-tiba meletup, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 20-an sedang memasak, manakala seorang lagi bertugas di kaunter.
Seorang mangsa yang enggan dikenali namanya memberitahu, ketika kejadian dia berada di kaunter menguruskan pelanggan dan terkejut mendengar bunyi letupan kuat dari arah dapur.

“Saya terus berlari ke arah dapur dan melihat dua rakan sekerja serta penyelia sedang memadam api pada ketuhar.
Foto
KEADAAN dapur sebuah restoran yang meletup, semalam.

“Selepas api berjaya dipadam, penyelia membuka pintu ketuhar untuk memeriksa keadaan di dalam, namun sebaik pintu dibuka ketuhar itu meletup sambil api menyambar ke arah mereka bertiga.

Hilang: Polis cari lagi 12 kotak cip mikro


21 Disember 2013

GEORGETOWN - Sebuah lori dengan muatan 22 kotak cip mikro dilapor hilang di luar sebuah kilang elektronik di kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Bayan Lepas semalam.
       
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritenden Lai Fah Hin berkata kehilangan lori itu disedari pemandunya pada pukul 9.00 malam sejurus dia keluar dari kilang berkenaan untuk mengambil dokumen.
       
"Lori itu baru tiba dari Ipoh dan diparkir sebentar di luar kilang kerana pemandunya mahu mengambil dokumen. Tetapi selepas dia keluar, kenderaan itu telah hilang," katanya di sini hari ini.
       
Polis kemudiannya berjaya mengesan lori yang dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) itu pada pukul 11.30 malam tidak jauh dari lokasi kejadian serta menahan seorang lelaki berusia 40-an.
       
Namun Lai berkata hanya 10 kotak cip mikro yang ditemui manakala 12 kotak lagi yang kandungannya dianggar bernilai RM800,000 telah lesap.
     
Katanya polis sedang mengesan suspek utama rompakan itu dan sebahagian besar cip yang dipercayai telah dibawa keluar dengan menggunakan kenderaan lain.
       
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan. - Bernama

Kerat lima mayat ibu


Cianjur: Kejam dan sadis. Seorang lelaki berusia 40 tahun, Pupun, membunuh sebelum mengerat mayat ibunya kepada lima bahagian.

Dalam keterangannya kepada polis, Pupun mengaku bertindak kejam terhadap ibu kandungnya selepas ‘bermimpi memotong ibunya.’ “Kerana mimpi itu maka saya lakukannya,” kata ketua polis Jawa Barat Brigadier Jeneral Rycko Amelza Dahniel, memetik kata-kata lelaki berkenanan.


Pupun mengerat mayat ibunya dengan membahagikannya kepada lima bahagian - kepala, tangan kanan dan kiri dan kaki kanan dan kiri.



Anggota tubuh mangsa, Anih, 65, ditemui berselerakan di kediamannya di Kampung Pasir Gombong di daerah Cianjur kelmarin.


Menurut Rycko, pihaknya yakin Pupun menghidap sakit mental.


“Dia membunuh dan memotong mayat ibunya Rabu lalu. Hari ini, (semalam) dia mengaku kepada seorang jiran bahawa dia membunuh ibunya dan mengerat mayat mangsa. “Polis bergegas ke rumah mangsa sebaik menerima laporan itu dan menangkap lelaki tersebut di tempat kejadian,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/21

Mangsa lelaki tua lahir kembar 3


Santo Domingo: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Republik Dominica melahirkan bayi kembar tiga hasil hubungan dengan seorang lelaki berusia 61 tahun.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, lelaki terbabit kini melarikan diri selepas diburu kerana dituduh memperkosa remaja bawah umur.


Jika disabitkan bersalah, lelaki itu mungkin berdepan hukuman penjara 20 hingga 30 tahun, selain turut didenda AS$2,000 - $10,000 (RM6,577 - RM32,880).



Namun, ibu muda itu dikatakan gembira dengan kelahiran tiga bayi lelakinya yang dinamakannya Samuel, Joshua dan Jovanny. Ketiga-tiga bayi terbabit kini dirawat di unit rawatan rapi kerana dilahirkan pramatang.


Republik Dominica ialah antara negara di unia yang mencatat kehamilan tertinggi di kalangan remaja. Hampir 15 peratus remaja berusia 15 hingga 19 tahun sudah bergelar ibu di negara itu. Malah, setiap tahun beratus-ratus bayi dilahirkan oleh remaja berusia bawah 15 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/21

Tetak selepas sapu RM3,500


Shah Alam: “Lelaki yang menetak saya bagaikan binatang kerana tergamak bertindak begitu sehingga hampir meragut nyawa saya walaupun wang yang disamun sudah diperoleh,” kata Ismail Zainal, 54, mangsa samun tiga lelaki berparang di tempat letak kereta berhadapan Bangunan UMNO, Seksyen 14, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 11.10 pagi itu, Ismail yang juga pegawai kewangan sebuah syarikat swasta baru mengeluarkan wang syarikat berjumlah RM3,500 daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank berhampiran tempat kejadian.


Menurutnya, selesai mengeluarkan wang, dia menuju ke tempat letak kereta tanpa mengesyaki ada yang memerhatikannya dan ketika kejadian, kawasan tempat letak kereta berkenaan lengang.



Beliau berkata, dia menuju ke keretanya kerana perlu menyerahkan wang berkenaan kepada kerani syarikatnya sebelum sebuah kereta Proton Saga BLM tiba-tiba berada di belakang, menghalang keretanya.


“Seorang lelaki berpakaian kemas keluar dari kereta berkenaan dan terus merampas sampul surat berisi wang RM3,500 yang dipegang saya. “Takut dicederakan, saya tidak melawan ketika suspek merampas sampul berkenaan. Walaupun sampul surat berisi wang sudah dirampas, tiba-tiba seorang rakan suspek keluar dari kereta dan terus menghayun parang mengenai bahagian kanan kepala saya sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana sempat mengelak hayunan parang itu daripada mengenai tepat kepalanya.


Kejadian itu disedari seorang lelaki yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian yang kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta berhampiran dalam keadaan berlumuran darah. Mangsa sempat memaklumkan kepada isterinya, Noor Nita Ahmad, 50, mengenai kejadian sebelum anak lelaki sulungnya membuat laporan polis.

Pasukan perubatan mengambil masa dua jam untuk merawat kecederaan itu termasuk menjahitnya kerana tetakan berkenaan menyebabkan luka agak dalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan mengenai dan berkata satu pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Darah (IPD) Shah Alam kini sedang berusaha mengesan suspek.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian sudah dijalankan dan rakaman percakapan beberapa individu yang melihat kejadian sudah diambil.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkawan menggunakan senjata yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/21

Isteri katalog Kemboja

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
Phnom Penh: Helah melakukan kerja amal di Kemboja dipercayai menjadi tiket untuk warga Malaysia menikahi gadis atau wanita Muslim di Kampung Champ, di sini.
Bagaimanapun, pernikahan ekspres diuruskan sindiket tertentu itu bukan saja diragui sah atau tidak, malah menimbulkan masalah kepada penduduk setempat apabila isteri baru ditinggalkan begitu saja.
Kunjungan wartawan Harian Metro ke sini, baru-baru ini mendapati sindiket ‘perancang mahligai’ itu didalangi warga Malaysia lingkungan 40-an hingga 50-an.

Mereka bergerak di hotel sekitar Phnom Penh dan menyediakan katalog khas yang memaparkan wajah gadis atau wanita Cham yang ingin dipilih sebagai isteri.
Foto
SEORANG wanita Muslim Cham merenung jauh nasibnya.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia, di sini turut mengesahkan pembabitan warga Malaysia sebagai dalang sindiket itu berdasarkan maklumat daripada pejabat mufti di Kemboja.

Menggigil jumpa mayat

Oleh Zul Ikhwan Muhammad
Rompin: “Seluruh badan menggigil sebaik mendapati objek yang disangka patung yang terdampar di pantai itu sebenarnya mayat wanita dalam keadaan separuh bogel,” kata Lina Besar, 21.
Lina menemui mayat berkenaan di pantai Bernas berhampiran Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin di sini, jam 12 tengah hari semalam.
Lina dan kakaknya, Zakiah, 24, ke pantai berkenaan untuk mengutip botol plastik sebelum menemui mayat wanita berusia 40-an itu dalam keadaan tertiarap.

“Sebaik mendapati ia mayat, kami terus memaklumkannya kepada penduduk kampung berhampiran sebelum mereka menghubungi polis.
Foto
ANGGOTA polis mengangkat mayat wanita yang ditemui di Pantai Bernas, semalam.

“Ia pengalaman ngeri, malah kami mungkin tidak akan mencari dan mengutip botol plastik di pantai ini lagi,” katanya yang tinggal di Kampung Orang Asli Batu 3, Rompin.

Sorok dadah dalam poket

SINAR HARIAN
21 Disember 2013
Sorok dadah dalam poket
Sorok dadah dalam poket Seorang warga Nigeria yang ditahan selepas polis menemui sejumlah dadah dalam poket seluarnya

SUBANG JAYA – Polis berjaya menahan tujuh individu yang disyaki penagih tegar atau berkemungkinan merupakan pengedar dadah selepas menemui dadah yang disembunyikan dalam poket seluar, dompet dan juga dalam pakaian.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dadah yang ditemui di tubuh badan suspek termasuk jenis ganja, ketamin, eramin 5 dan syabu.

Katanya, suspek adalah antara 31 individu yang ditahan dalam Ops Cantas Khas Bersepadu berhampiran hentian tol Bandar Sunway, lewat malam semalam.

“Seramai 2,716 individu diperiksa termasuk 420 daripadanya adalah wanita.

“Seorang lelaki yang dikehendaki polis bersabit kes memiliki senjata maut dalam rusuhan turut berjaya diberkas,” katanya mengenai operasi yang disertai  288 anggota bersama 46 pegawai  dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Selain itu, tambah Yahya, tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an pula ditahan kerana didapati memiliki mercun.

 Kata Yahaya, 39 orang diarahkan menjalani ujian saringan air kencing bagaimanapun lapan daripadanya didapati positif.

“Kami turut menahan 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri masing-masing.

Mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an adalah warga Pakistan, Indonesia, Nigeria dan Filipina,” katanya lagi.

Dalam operasi selama tiga jam itu, 65 saman trafik turut dikeluarkan kepada pesalah yang melanggar undang-undang jalan raya.

Mangsa culik berjaya diselamatkan


An Wei Chang, yang diculik oleh kumpulan Pengganas Abu Sayyaf di Pulau Pom Pom, Sabah sejak 15 November lalu menjahit pakaian sebelum berjaya diselamatkan semalam.
KUALA LUMPUR 20 Dis. - Selepas lebih sebulan menjadi tebusan kepada kumpulan pengganas Abu Sayyaf, seorang wanita warga Taiwan yang diculik di Pulau Pom Pom, Sabah sejak 15 November lalu berjaya diselamatkan hari ini.
Menurut sumber, mangsa diselamatkan oleh pihak keselamatan marin Filipina kira-kira pukul 4 petang tadi.
“Kumpulan penculik telah membebaskan mangsa tebusan di kawasan Barangay Liban, Talipao, Sulu.
“Tebusan telah pun dibawa ke hospital tentera Camp Teodulfo Bautista, Bus Bus, Jolo untuk rawatan," katanya ketika dihubungi.
Sumber menambah, wanita itu bagaimanapun dijangka dibawa ke Manila, Filipina malam ini juga untuk proses siasatan lanjut dan penghantaran pulang ke negaranya.
Dalam kejadian pada 15 November lalu, seorang pelancong lelaki warga Taiwan, Lin Min Hsu, 57, ditembak mati manakala rakan wanitanya, juga warga Taiwan, An Wei Chang, 58, diculik kumpulan terbabit.
Semasa kejadian mereka berada di sebuah calet yang terletak di atas air di pulau tersebut sebelum didatangi sekumpulan lelaki bersenjata.
Sementara itu, kejayaan menyelamatkan mangsa turut diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi kenyataan di laman Twitternya pada pukul 5.11 petang ini.
“Syabas kepada pasukan bersenjata Filipina, mangsa culik rakyat Taiwan di Pom Pom berjaya diselamatkan!
“Kita tunggu perkembangan lanjut dari pihak berkuasa Filipina.
“Mangsa diselamatkan di Sulu, sekarang di Hospital Merin di Sulu dan akan diterbangkan ke Zamboanga City esok," kata Khalid dalam laman sosialnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131221/dn_04/Mangsa-culik-berjaya-diselamatkan#ixzz2oBFoQ6zx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kapal Heng Hong 168 karam


JOHOR BAHRU 20 Dis. - Lima anak kapal Heng Hong 168 dikhuatiri hilang selepas kapal pengangkut pasir itu dilaporkan karam di perairan Singapura awal pagi ini.
Berikutan kejadian itu, Polis Pengawal Pantai Singapura telah meminta bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat lima mangsa yang hilang bermula di perairan Pengerang, Kota Tinggi dekat sini.
Terdapat 11 warga China di dalam kapal tersebut dan enam daripada mereka berjaya diselamatkan.
Pengarah Operasi Maritim Malaysia Tanjung Sedili, Komander Mustafa Kamal Abas berkata, pihaknya dihubungi Polis Pengawal Pantai republik berkenaan pukul 7.55 pagi ini untuk mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, enam anak kapal yang ditemui di kedudukan 2.1 batu nautika di barat Rumah Api Horsburgh, Singapura awal pagi ini, telah selamat dibawa ke negara jiran itu. Bagaimanapun lima yang lain masih hilang.
"Menurut maklumat daripada mangsa yang terselamat, kapal tersebut karam pada pukul 4 pagi ini selepas dilanda ribut dan ombak setinggi lima meter.
"Lima lagi mangsa yang hilang dipercayai terperangkap dalam kapal atau telah terjun ke laut ketika kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mustafa Kamal memberitahu, pihaknya telah menggerakkan bot dan kapalnya ke lokasi kejadian serta menggunakan pesawat Bombadier selain mendapatkan bantuan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengesan dan menyelamat mangsa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131221/je_01/Kapal-Heng-Hong-168-karam#ixzz2o5P7pp5I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Guru wanita, lelaki Pakistan didakwa rakam filem lucah


LIZAH Buang (tengah) dan Muhamad Usman Ali Liqat (kanan) yang didakwa atas pertuduhan melakukan rakaman filem lucah di Mahkamah Majistret, Melaka semalam.
MELAKA 20 Dis. - Seorang guru penolong kanan wanita di sebuah sekolah di daerah ini bersama seorang lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rakaman filem lucah.
Lizah Buang, 49, dan Muhamad Usman Ali Liqat, 27, yang bekerja sebagai peniaga, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.
Mereka berdua didakwa membuat filem lucah yang bertentangan dengan kesopanan awam di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Utama di sini, pada pukul 8.30 pagi, 16 November lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak mencadangkan jaminan RM3,000 kepada Lizah namun tiada jaminan dicadangkan oleh pendakwaan terhadap warga asing itu.
Lizah bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana suaminya sedang sakit dan hanya dia yang bekerja untuk menanggung enam orang anak.
Muhamad Usman pula merayu supaya dibenarkan ikat jamin kerana perlu menanggung isteri serta keluarganya di Pakistan.
Mohd. Firdaus membenarkan Lizah diikat jamin RM2,500 manakala Muhamad Usman RM10,000 berserta dua penjamin warga tempatan dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah.
Mohd. Firdaus menetapkan 23 Januari depan bagi sebutan semula kes untuk kedua-dua tertuduh melantik peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, rakan kepada Muhamad Usman, Irfan Ahmed Ashraf Muhammad, 38, turut didakwa atas tuduhan memiliki bahan lucah termasuk kesalahan memeras ugut.
Mengikut pertuduhan pertama, Irfan Ahmed didakwa melakukan pemerasan hingga mendorong Lizah menyerahkan wang tunai RM10,000 pada pukul 12 tengah hari, 20 November lalu, di hadapan sebuah restoran di Bukit Beruang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 383 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Irfan Ahmed didakwa memiliki sebuah peranti storan media (pendrive) berjenama Kingston dan sebuah telefon bimbit mengandungi filem lucah.
Sementara pertuduhan keempat, tertuduh didapati berada dalam kawalannya sebuah komputer riba jenama Dell mengandungi filem lucah.
Tiga kesalahan itu didakwa dilakukan dua lokasi berbeza di sebuah kawasan stesen minyak di Jalan Panglima Awang dan di sebuah hotel di Taman Kota Laksamana antara pukul 6.45 petang dan 7.30 malam, 30 November lalu.
Majistret Syajaratudur Abd. Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM13,000 oleh dua warga tempatan dan menetapkan 7 Januari depan bagi tarikh sebutan semula kes.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131221/ma_05/Guru-wanita-lelaki-Pakistan-didakwa-rakam-filem-lucah#ixzz2o5Oy0wet
© Utusan Melayu (M) Bhd 

290,765 ditahan kes dadah


IPOH 20 Dis. - Polis Perak berjaya menahan 290,765 pesalah berkaitan dadah sejak Januari lalu dan menuduh 70 peratus daripadanya di mahkamah sehingga pertengahan bulan ini.
Deputi Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, dalam tempoh tersebut pihaknya juga telah menyita harta pesalah berjumlah RM4.3 juta.
Menurut Roslan yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, perkara itu merupakan sebahagian kejayaan yang dicapainya sepanjang menerajui JSJN.
"JSJN Perak telah mencatatkan tangkapan tertinggi. Operasi bagaimanapun masih belum tamat dan JSJN kini dalam usaha mengadakan operasi 'Perkasa Pantai' membabitkan kawasan pesisir pantai antara Kerian hingga Hutan Melintang.
"Saya beri amaran kepada semua anggota supaya menjauhkan diri dari rasuah dan tidak bersekongkol dengan mana-mana pengedar kerana masyarakat sentiasa benci penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Serah Terima Tugas KJSJN Perak di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini. Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam.
Roslan yang melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, 26 Disember ini akan melakukan tugas menangani jenayah kongsi gelap dan dadah manakala tempatnya akan dipangku sementara oleh timbalan ketua jabatan berkenaan, Suprintendan Mohd. Nasri Omar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131221/je_03/290765-ditahan-kes-dadah#ixzz2o5OF1afG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rompak: Polis tahan wanita


KUALA LUMPUR 20 Dis. - Polis menahan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan kes cubaan rompak menggunakan senjata api di sebuah premis syarikat pinjaman wang berlesen di Batu 4, Jalan Ipoh di sini semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, wanita berusia 32 tahun itu ditahan di Jalan Ipoh di sini kira-kira pukul 8 malam iaitu beberapa jam selepas kejadian.
"Siasatan menyeluruh akan dilakukan dan wanita tersebut telah dibebaskan sebaik sahaja polis selesai mengambil keterangannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang semalam, lima suspek termasuk seorang wanita menyamar datang ke premis syarikat pinjaman wang berlesen tersebut kononnya untuk meminjam wang.
Bagaimanapun, salah seorang suspek bertindak melepaskan enam das tembakan ke arah premis itu selepas berang kerana pekerja premis enggan membuka pintu.
Tiada mangsa cedera dalam kejadian itu dan siasatan masih diteruskan mengikut Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 kerana cubaan merompak menggunakan senjata api.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131221/je_02/Rompak-Polis-tahan-wanita#ixzz2o5NxzYUN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis temui semula kenderaan Liwan Lagang


BAU 21 Dis. - Polis berjaya menemui semula kenderaan pacuan empat roda milik Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan negeri, Liwan Lagang yang dilapor hilang di Kota Sentosa pada 16 Disember lalu.
Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Mohd. Sabri Zainol berkata, polis berjaya menemui kenderaan tersebut selepas menahan dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun ketika cuba menyeludup keluar kenderaan jenis Toyota Fortuner itu di kawasan sempadan Serikin-Kalimantan Barat, Indonesia pukul 6.07 pagi.
"Suspek telah menukar nombor pendaftaran kenderaan itu, namun polis berjaya mengesannya setelah mendapati nombor casis adalah sepadan dengan rekod asal," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131221/je_05/Polis-temui-semula-kenderaan-Liwan-Lagang#ixzz2o5Njc1lr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

118 ditahan sertai tunjuk perasaan


DHAKA 20 Dis. - Pasukan Keselamatan Bangladesh semalam menahan lebih 118 penunjuk perasaan kerana melancarkan tunjuk perasaan ganas di seluruh negara ini menjelang pilihan raya umum pada 5 Januari ini.
Ketua Polis Tempatan, Nahidul Alam berkata, 37 penunjuk perasaan itu ditahan di kampung Rajnagar di daerah barat Meherepur, manakala 38 lagi ditahan di wilayah Satkhira dalam satu operasi bersama polis, pasukan elit Batalion Tindakan Pantas (RAB) dan pengawal sempadan separa tentera.
"Kebanyakan mereka adalah aktivis Jamaat-e-Islami dan penyokong Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang bertindak ganas dengan membaling bom, menyerang lori dan menebang pokok-pokok serta memotong talian telekomunikasi di jalan bagi menganggu sekatan jalan raya yang dilakukan polis," katanya.
Penyokong BNP dan Jamaat -e- Islami telah mengadakan tunjuk perasaan sejak penghujung Oktober lalu bagi memaksa Perdana Menteri, Sheikh Hasina melepaskan jawatan supaya kerajaan sementara yang telus boleh menyelia pilihan raya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131221/lu_09/118-ditahan-sertai-tunjuk-perasaan#ixzz2o5Lg65zD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Singapura bertindak usir 53 perusuh


SINGAPURA 21 Dis. - Kerajaan Singapura semalam mula mengusir 53 pekerja Asia Selatan yang terlibat dalam rusuhan pada 8 Disember lalu, kejadian rusuhan paling buruk melanda negara tersebut sejak 40 tahun.
Seorang pegawai berkata kelmarin, mereka akan mengusir 52 orang warga India dan seorang warga Bangladesh atas tuduhan melakukan kesalahan jenayah bersama 28 yang lain atas perbuatan yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara.
Rusuhan itu mengakibatkan 39 anggota polis mengalami kecederaan, selain memusnahkan 25 buah kenderaan.
Dalam perkembangan lain, polis memberi amaran dan menasihatkan lebih daripada 200 orang pekerja asing Asia Selatan yang berada di tempat rusuhan itu berlaku supaya mematuhi peraturan bagi membolehkan mereka menetap serta bekerja di negara ini. AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131221/lu_02/Singapura-bertindak-usir-53-perusuh#ixzz2o5KybFiC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Google didenda RM4 juta


21 Disember 2013

MADRID - SEPANYOL. Pemerhati perlindungan data Sepanyol, kelmarin mengarahkan syarikat enjin pencari gergasi, Google membayar denda 900,000 euro (RM4 juta) kerana mencabul hak peribadi pengguna.

Agensi Perlindungan Data tersebut mendakwa Google melakukan pemprosesan data pengguna yang diperoleh daripada pelbagai perkhidmatan mereka termasuk akaun Gmail.

"Perbuatan itu sememangnya melanggar undang-undang dan hak perlindungan data peribadi individu," menurut kenyataan agensi tersebut.

Pada 2010, dipetik dari AFP, agensi tersebut pernah memfailkan saman ke atas Google selepas didakwa mencuri data dari pengguna internet yang menggunakan perkhidmatan peta Street View.

Empat orang termasuk datuk bandar ditembak mati

Serangan mengejut21 Disember 2013

Beberapa anggota polis sedang mengumpulkan bukti di lokasi kejadian. Gambar kecil: Talumpa 

MANILA - FILIPINA. Empat orang termasuk Datuk Bandar Labangan di wilayah Zamboanga del Sur, Ukol Talumpa ditembak mati dua lelaki bersenjata dalam satu kejadian menggemparkan di lapangan terbang antarabangsa, di sini, semalam.

Pengurus besar lapangan terbang, Angel Honrado memberitahu mangsa yang terbunuh dalam serangan itu adalah isteri dan dua ahli keluarga beliau termasuk bayi berumur 18 bulan.

Menurutnya, beberapa lagi ahli keluarga Talumpa turut cedera dalam kejadian itu.

"Sebuah motosikal dinaiki dua lelaki meluru  ke arah beliau dan keluarganya secara tiba-tiba ketika mereka sedang menuju ke pekarangan Terminal 3 lapangan terbang tersebut.

"Bunyi beberapa das tembakan menyebabkan orang ramai panik dan keadaan menjadi huru-hara. Pengawal keselamatan kami cuba untuk mengejar dua lelaki tersebut, namun mereka berjaya melarikan diri," jelasnya lagi.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan motif serangan dan identiti kedua-dua suspek masih belum diketahui.

"Kami akan memburu suspek supaya tindakan tegas dapat diambil. Dalang yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan," kata jurucakap polis.

Mei lalu, dipetik dari AFP, Talumpa dari parti pembangkang dipilih sebagai datuk bandar selepas memenangi pilihan raya yang menewaskan calon sekutu Presiden Beningo Aquino. 

Adi Putra enggan aibkan sesiapa




KUALA LUMPUR – Aktor sensasi Mohamed Hadi Putera Halim atau Adi Putra (gambar) enggan memberi apa-apa komen mengenai perceraian Nooraida Abdul Mutalib, wanita yang digosipkan mempunyai skandal dengannya kira-kira empat bulan lalu.
Adi, 32, turut memberitahu, dia langsung tidak mengetahui mengenai penceraian Nooraida, 30, dengan ahli perniagaan Amiruddin Osman, 56, sehingga dihubungi media semalam yang meminta komen.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2o3XOUGrx 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki bakar diri di kota Vatican

SEORANG lelaki kelihatan terbakar terbaring di lantai dekat Dataran St. Peter di Bandar Vatican, Itali kelmarin.


KOTA VATICAN - Seorang lelaki Itali berusia 50-an nyaris maut selepas dia bertindak membakar dirinya di Dataran St. Peter di sini kelmarin, kata polis.
Pihak berkuasa memberitahu, kejadian membakar diri jarang berlaku di kota ini yang merupakan pusat pentadbiran mazhab Kristian Roman Katholik.
Lelaki berkenaan yang berusia 52 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci kini dirawat di sebuah hospital akibat melecur teruk.
Sebelum kejadian, dia dilapor bertengkar dengan anggota keluarganya.
Dalam pada itu, rakaman kamera keselamatan menunjukkan dia membakar diri dengan menyalakan api pada pakaiannya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2o3XGrRX6 
Hakcipta terpelihara 

Lebih 75 cedera siling teater runtuh


ANGGOTA bomba memeriksa bumbung Teater Apollo di pusat bandar raya London kelmarin.


LONDON - Serpihan plaster dan habuk menghempap penonton apabila sebahagian siling sebuah teater di sini runtuh malam kelmarin.
Pihak berkuasa menyatakan, lebih 75 orang cedera dalam kejadian itu dengan tujuh daripada mereka parah.
Kemalangan di dewan Apollo Teater itu berlaku sekitar pukul 8.15 malam semasa pementasan The Curious Incident Of The Dog In The Night-Time pada cuti musim Krismas.
Polis berkata, sebahagian balkoni teater turut runtuh menghempap penonton.
"Ketika kejadian, dewan itu sesak dengan lebih 700 penonton," menurut kenyataan Jabatan Bomba London.
Beberapa pegawai memberitahu, kebanyakan mangsa cedera ringan dengan kesemuanya berada dalam keadaan sedar dan bernafas.
Pihak polis dan bomba memberitahu, masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca kejadian tetapi siasatan penuh kemalangan itu sedang dilakukan.
Seorang saksi kejadian, Dee Stephenson berkata, dia sedang duduk berdekatan pentas apabila pelakon utama pementasan berkenaan menjerit: "Awas!".
"Kemudian saya dapat merasakan serpihan-serpihan jatuh menimpa dengan sebuah ketulan besar menghempap belakang saya," katanya.
Mangsa-mangsa yang cedera dirawat oleh berpuluh-puluh petugas kecemasan di sebatang jalan di luar teater berkenaan dan di sebuah teater berdekatan di sini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2o3X7qcRz 
Hakcipta terpelihara 

Mayat wanita ditemui terdampar di pantai


KUANTAN – Seorang wanita ditemui mati terdampar bersama kesan lebam pada beberapa bahagian badannya di Pantai Bernas, Rompin dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, mayat wanita berumur dalam lingkungan 40-an itu ditemui berseluar panjang dan hanya memakai coli.
“Mayat ditemui dalam keadaan tertiarap oleh orang awam pada pukul 12.15 tengah hari berhampiran Kompleks Rakan Muda.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2o3WypqPq 
Hakcipta terpelihara 

Mangsa culik rakyat Taiwan selamat




KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) menerusi akaun Twitternya semalam mengucapkan syabas kepada pasukan bersenjata Filipina kerana berjaya menyelamatkan seorang rakyat Taiwan yang dilaporkan diculik di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah pada 15 November lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2o3WpJbi2 
Hakcipta terpelihara 

Dua sahabat diperintah bela diri


SARAVANA KUMAR (kiri) dan Sin Seng (tengah) dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN – Dua lelaki diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam terhadap empat pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah dan memiliki racun dua tahun lalu.
Hakim, Datuk Zamani A. Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh, P.K Saravana Kumar, 33, dan Ung Sin Seng, 50, pada akhir prosiding pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 18 Februari depan untuk kedua-dua tertuduh memberi keterangan membela diri.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2o3Wj0gk2 
Hakcipta terpelihara 

Melecur disambar api



ANGGOTA bomba menjalankan siasatan di sebuah restoran makanan barat di pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pengurus dan tiga pekerja restoran makanan barat di pusat beli-belah Sogo yang sedang sibuk menyediakan hidangan pelanggan melecur di badan apabila dapur premis itu tiba-tiba terbakar semalam.
Kejadian pukul 10 pagi itu dipercayai berpunca akibat kebocoran gas memasak di premis tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, seramai enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.
“Sebaik tiba, kita dapati api telah dipadamkan oleh sistem pencegah kebakaran premis selain dibantu oleh orang ramai.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2o3WdQpyj 
Hakcipta terpelihara