Oleh NORAZRIN MARZUKI dan ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

MAYAT warga asing diletakkan atas pengusung setelah terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan enam orang terbunuh berhampiran bulatan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, malam semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
KUALA LUMPUR 18 Dis. - Enam warga asing termasuk lima wanita rentung selepas kereta sport jenis Nissan Skyline yang dinaiki mereka merempuh tiang jejambat sebelum meletup dan terbakar berhampiran bulatan Kampung Pandan di sini tengah malam tadi.
Dalam nahas ngeri pukul 12.30 tengah malam itu, kesemua mangsa terdiri daripada pemandunya, Simon John Hall, 40, warga Britain serta lima penumpangnya mati di tempat kejadian.
John Hall bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat pesisir luar pantai di Jalan Tun Razak di sini.
Empat penumpang kereta itu iaitu dua warga Myanmar dan dua lagi warga Filipina bekerja sambilan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang di sini manakala seorang lagi warga Filipina bekerja sebagai pembantu rumah.
Dua warga Myanmar terbabit ialah Pi Pi, 20, dan Ester Sui, 26, kedua-duanya memegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Baki tiga penumpang warga Filipina itu pula ialah pembantu rumah, Siso Aileen, 30, dan dua rakannya, Maileen Tentative Montejo, 26, dan Mary Grace Macaraig, 24,
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku semasa John Hall hendak menghantar pulang lima wanita berkenaan yang empat daripadanya merupakan pekerja kepada rakannya selepas mereka keluar minum.
"Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu hilang kawalan lalu merempuh tiang jejambat di situ sebelum terbakar dan kesemua mangsa terperangkap di dalamnya," katanya di sini hari ini.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning ketika mengesahkan nahas itu berkata, kejadian tersebut merupakan nahas terburuk di ibu negara.
"Kita telah berhubung dengan waris si mati tetapi pengecaman sukar dilakukan dan terpaksa melakukan proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya ketika dihubungi di sini.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hamid Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 12.42 tengah malam dan seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu serta Jalan Hang Tuah dikerah ke tempat kejadian.
"Jentera pertama tiba di lokasi 10 minit kemudian dan mendapati enam mangsa telah rentung. Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa memandangkan kedudukan mereka yang tersepit dan rentung," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Sementara itu, saksi di tempat kejadian, Kamarul Haniff Hamid, 21, berkata, dia ternampak kereta dipercayai berwarna hitam menuju arah Kampung Pandan sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat.
"Saya ternampak kereta tersebut terlanggar tiang jejambat dan pada awalnya kenderaan itu hanya mengalami kebakaran kecil.
"Kereta itu kemudian bergerak sedikit beberapa meter sebelum terbakar keseluruhannya dan saya juga tidak langsung mendengar jeritan mangsa," katanya yang tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mangsa.
Polis meminta saksi kejadian menghubungi Inspektor Azizah Nur Muhamat di talian 019-922 0338.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131219/je_02/Enam-warga-asing-rentung#ixzz2ntOWKGk1
© Utusan Melayu (M) Bhd