Search This Blog

Sunday, December 15, 2013

Geng curi lembu tumpas


Oleh FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
Muar: Satu sindiket curi lembu tumpas berikutan penahanan seorang lelaki berusia 66 tahun di sebuah rumah di Rantau, Negeri Sembilan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam serbuan jam 12 tengah hari, pihaknya turut merampas 35 lembu tenusu bernilai RM100,000.

“Kami menyerbu lokasi terbabit susulan laporan kes samun berkawan di Ladang Ternak Lembu Tenusu Fidlot, Lubuk Bakul, Pagoh pada jam 2 pagi, hari sama.

“Dalam kejadian itu, lima lelaki menceroboh ladang ternakan berkenaan dan mengikat dua pekerja warga Pakistan sebelum melarikan 21 lembu tenusu dianggarkan bernilai lebih RM60,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Menurut Azman, ketika kejadian, dua pekerja itu tidur di kuarters ladang yang terletak 50 meter dari kandang lembu.

Beliau berkata, suspek turut mengikat mangsa dengan tali sebelum memunggah lembu ke dalam dua lori lima tan.

“Kedua-dua pekerja itu berjaya melepaskan diri pada jam 4 pagi sebelum memaklumkan kejadian kepada majikan mereka.

“Sebaik menerima laporan daripada pemilik ladang berusia 52 tahun, kami menubuhkan pasukan khas sebelum menyerbu sebuah rumah di Jalan Linggi, Rantau pada tengah hari, hari sama,” katanya.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang suspek dan merampas tiga lembu di sekitar kediaman suspek terbabit.

Siasatan lanjut membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah ladang di Kampung Muhibah, tidak jauh daripada lokasi suspek ditahan.

Azman berkata, di Kampung Muhibah, pihaknya merampas 24 lembu dewasa dan lapan anak lembu.

“Kami masih menyiasat sama ada ladang itu digunakan sebagai tempat menyimpan lembu curi sebelum dijual kepada pihak lain atau sebaliknya,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Nyaris mati rentung


Maran: “Nasib baik saya sempat merangkak keluar dan menarik adik sepupu selepas kereta terbalik kerana tidak lama selepas itu, berlaku satu letupan dan membuatkan kereta saya hangus dijilat api.

‘Jika saya terlambat beberapa saat, pasti kami terkorban,” kata Mohd Safwan Mohd Rasul, 24, yang nyaris maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 165.8 Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuantan, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, Mohd Safwan bersama sepupunya, Mohd Rizki Mohammad, 9, yang dalam perjalanan ke pulang ke kampung mereka di Pekan hanya cedera ringan di muka serta jari.



Mohd Safwan berkata, sebelum kejadian dia berkonvoi bersama ibu dan bapa saudaranya yang menaiki sebuah lagi kereta dan mereka bertolak dari Kajang, Selangor jam 8 malam, namun kereta bapa saudaranya jauh di depan.

Setibanya di tempat kejadian, kereta Perodua Viva dipandunya tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan serta berpusing sebelum terbalik.

“Selepas kereta terbalik, saya melihat bahagian depan kereta terbakar lalu terus keluar menerusi tingkap kereta dan pergi ke bahagian penumpang depan untuk menarik adik sepupu yang masih tergamam.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang kerana pada fikiran saya ketika itu hanya mahu menyelamatkan diri.

Walaupun sedih, saya bersyukur kerana kami terselamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, pada mulanya ibu dan bapa saudaranya tidak menyedari kejadian itu kerana jauh di depan, namun mereka berpatah balik selepas Mohd Safwan memaklumkan kejadian itu.


Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Maran untuk menerima rawatan.

Kejadian itu menyebabkan laluan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan sesak satu kilometer sebelum kembali lancar selepas sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran tiba di tempat kejadian dan memadam api.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Dua kali disamun


Oleh MOHAMAD HUSIN
Bukit Kayu Hitam: “Kami terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan cabaran, termasuk disamun dua kali ketika di Iran. Itu pengalaman paling pahit pernah kami tempuhi kerana hampir diculik ketika di negara berkenaan.

“Alhamdulillah, kami tidak diapa-apakan kerana mereka hanya mengambil generator.



Saya percaya Allah sentiasa melindungi kami sekeluarga,” kata Jamalulail Ismail, 44, yang selamat tiba ke tanah air bersama keluarganya dari England selepas melalui 26 negara membabitkan perjalanan selama 155 hari dengan menaiki kenderaan caravan.

Keluarga berkenaan selamat tiba ke negara ini melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, di sini, jam 12.30 tengah hari, semalam.

Jamalulail yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat di England bersama isterinya Sofinee Harun, 38, dan empat anak mereka iaitu Sabeera, 16; Syameem, 15; Sumrah, 13, dan Seif, 10, berjaya meneruskan misi ‘By Road To Malaysia’ dan selamat tiba di negara ini dengan disambut ahli keluarga mereka yang berkumpul sejak jam 11 pagi.

Pasangan berkenaan yang menetap di England selama 14 tahun sejak 1999 dan memperoleh taraf penduduk tetap (PR) negara itu bertolak dari rumah mereka di Seaham, Sunderland, England sejak pertengahan Julai lalu sebelum tiba di Malaysia, tengah hari semalam.

Jamalulail yang berasal dari Perak berkata, dia dan keluarga menyifatkan perjalanan melalui jalan darat itu mempunyai pelbagai dugaan dan cabaran berbeza di setiap negara yang mereka lalui.

Menurutnya, mereka menempuh 26 negara termasuk Turki, Iran, Laos, China, Thailand, Kazakhstan, Itali dan Perancis yang memerlukan kekuatan dari segi mental dan fizikal kerana berurusan di setiap negara seperti permohonan visa ke sesuatu negara terbabit.

“Saya anggap perjalanan ini universiti terbaik buat kami sekeluarga.

Kami banyak belajar mengenai budaya dan sejarah tempat yang kita lawati di sepanjang jalan.

“Kami belajar banyak soal keselamatan jalan raya, bantuan kecemasan, laluan perancangan sebelum memulakan perjalanan ini selain perlu hidup bersama-sama dalam ruang karavan yang kecil,” katanya yang ditemui sebaik tiba di sini, semalam.

Jamalulail berkata, dia yang membeli kcaravan jenis Mercedes tahun 1998 di England, pada mulanya berasa gusar dengan jangka hayat kenderaan itu kerana terpaksa melalui laluan di beberapa negara sebelum tiba ke Malaysia.

“Bagaimanapun, selepas diservis dan diperiksa, ia memberi keyakinan bahawa kenderaan ini selamat digunakan.

“Apa yang menarik mengenai perjalanan ini ialah kami dapat berhenti di setiap bandar dan bertemu masyarakat setempat.


Yang istimewanya kerana kami bertolak dari England pada dua Ramadan lalu ketika umat Islam berpuasa.

“Kami berbuka puasa dengan mereka dan melakukan solat Tarawih bersama penduduk tempatan beragama Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

‘Wanita jangan tengok’


Oleh ROSLI ILHAM
Dungun: “Arwah pernah pesan, jika meninggal dunia, dia tidak mahu ada seorangpun wanita menyaksikan pengebumiannya,” kata Suzana Mohamad, 31, isteri kepada Mohamad Khaibil Mat Jidin, 35, yang maut dalam kemalangan di Jalan Gong Pasir-Balai Besar, dekat sini, semalam.
Mohamad Khaibil dari Felda Chalok Barat, Setiu, maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terhumban di atas jalan, jam 6.30 pagi.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi Hospital Dungun sebelum mangsa dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Dungun.
Bagaimanapun, Allahyarham yang cedera parah di kepala meninggal dunia di hospital jam 12.45 tengah hari.
Suzana berkata, ketika kejadian, arwah suaminya yang bekerja sebagai pemandu kren dalam perjalanan dari rumah mereka di Setiu untuk ke tempat kerjanya di Pusat Bekalan Kemaman (KSB).
“Setiap minggu dia pulang ke Setiu.
Sebelum ini, dia sering memandu kereta dan hari ini (semalam) dia keluar dari rumah pada jam 5 pagi.
“Saya tak tahu kenapa dia menunggang motosikal ke tempat kerja, sedangkan sebelum ini dia sering memandu kereta,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Dungun di sini, semalam.

Menurutnya, arwah suaminya tidak menunjukkan perubahan pelik kecuali sebelum turun dari rumah pagi itu, dia sempat berpesan supaya menjaga diri serta anaknya dengan baik.
“Sebelum ini dia tak pernah berbuat demikian.
Foto
SUZANA mencium jenazah suaminya.

Saya pelik hinggalah dimaklumkan seorang rakannya yang arwah terbabit kemalangan,” katanya.
Suzana berkata, sebulan lalu, arwah suaminya bercerita mengenai soal agama bersama adiknya Zarifah, 25, dan berpesan tidak mahu seorang pun wanita menyaksikan pengebumiannya kerana tidak mahu mendatangkan fitnah.
“Dia sebaliknya hanya membenarkan kuburnya diziarahi sebaik selesai kerja pengebumian,” katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Mangsa meninggal akibat parah di kepala dan jenazahnya yang siap dimandi dan dikafan di Hospital Dungun diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Lagi pelajar ditembak


Lagi pelajar ditembak15 Disember 2013
Lagi pelajar ditembak 
Ibu bapa dan anggota keselamatan berkumpul di luar Sekolah Tinggi Arapahoe selepas kejadian tembakan, semalam.

COLORADO - AMERIKA SYARIKAT . Dua pelajar maut dalam insiden tembakan di Sekolah Tinggi Arapahoe, Denver, Amerika Syarikat, semalam.

Pegawai polis Grayson Robinson berkata, Karl Halverson Pierson, 18, menyasarkan tembakan ke arah seorang guru di dalam sebuah bilik darjah.

“Dia kemudiannya menembak diri sendiri selepas tembakan itu tersasar mengenai dua pelajar,” katanya menurut laporan Reuters.

Menurutnya, pelajar berusia 16 tahun disahkan maut dan seorang lagi kritikal.

Kejadian itu berlaku genap setahun selepas insiden sama terjadi di Sekolah Elementary di Newtown yang meragut 13 budak.

Lagi kes serang di sekolah


Los Angeles: Seorang pelajar bersenjatakan senapang patah menembak dan mencederakan dua rakan sekolahnya sebelum bertindak membunuh diri.

Pelajar berkenaan turut melontarkan bom minyak dalam serangan di Sekolah Menengah Arapahoe di Colorado, beberapa kilometer dari kejadian serangan di Aurora tahun lalu dan pertumpahan darah di Columbine pada 1999.

Serangan semalam memaksa ratusan pelajar mengurung diri dalam bilik darjah ketika penyerang berkenaan menyerbu kawasan pekarangan sekolah dengan senapang patah, sambil menjerit nama seorang guru.

Polis yakin pelajar berkenaan mahu membalas dendam terhadap guru berkenaan.

Syerif Araphoe County Grayson Robinson berkata, pelajar itu yang memasuki sekolah menerusi pintu utama selepas tiba dengan kereta mencederakan dua rakan pelajar, termasuk gadis berusia 15 tahun yang terpaksa menjalani pembedahan dan dilapor dalam keadaan tenat.

Siasatan awal menunjukkan serangan itu berpunca daripada tindakan membalas dendam kerana perselisihan dengan guru terbabit.

“Dia tidak cuba menyembunyikan senapang patah yang dibawanya, Memang dia mahu membalas dendam,” kata Robinson.

Polis mengenal pasti pelajar itu sebagai Karl Pierson, 18, yang mayatnya ditemui di perkarangan sekolah.



Dia dipercayai mati selepas menembak dirinya.

Seorang pelajar menceritakan bagaimana dia dan 25 rakannya terpaksa berkurung di dalam kelas mereka sebaik serangan bermula.

“Kami mendengar bunyi kuat tetapi tidak pasti ia bunyi tembakan.

Kami menutup lampu dan mengunci pintu untuk memastikan dia tidak dapat masuk,” kata Colton Powers.

Mereka tidak keluar dari kelas berkenaan sehingga pasukan SWAT polis tiba.

Menurutnya, dia dan rakannya percaya pelajar bersenjata itu cuba mencari pustakawan sekolah berkenaan.


Sekolah itu adalah sebahagian daripada daerah Littleton, tempat terletaknya Sekolah Menengah Columbine yang menyaksikan pertumpahan darah pada 1999 apabila dua pelajar mengamuk dan menembak mati 13 orang.

Kejadian semalam berlaku sehari selepas ulang tahun pertama serangan di Newton, juga tidak jauh dari tempat kejadian, yang menyaksikan seorang pemuda, Adam Lansa menembak mati 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa di Sekolah Rendah Sandy Hook.- AFP

Setia sampai hujung nyawa

Oleh HAFIDZUL HILMI MOHD NOOR
Batu Pahat: Sepasang suami isteri warga emas yang dalam perjalanan pulang selepas melawat menantu mereka di Parit Yusof, di sini, terbunuh selepas motosikal dinaiki dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Jalan Batu Pahat-Muar, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.15 petang, Mohd Nor Ibrahim, 68, dan Junah Talib, 65, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.
Kemalangan berlaku selepas motosikal Modenas Kriss mangsa dipercayai termasuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh Toyota Hilux dari arah terbabit.
Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Peserai.
Saksi kejadian, Mohd Haniff Hamzah berkata, dia berada di warung berhampiran sebelum terdengar dentuman.
“Saya bergegas ke lokasi dan mendapati kedua-dua mangsa terbaring di atas jalan raya dalam keadaan cedera parah.
“Saya serta penduduk di situ cuba membantu, namun mangsa tidak memberi tindak balas,” katanya.
Pemandu Toyota Hilux berkenaan pula tidak cedera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk urusan selanjutnya sebelum dituntut keluarga.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987.
Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Foto
MOTOSIKAL mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Batu Pahat-Muar, kelmarin.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Bayi lemah belakang rumah


Serdang: Misteri tangisan tanpa henti lebih 40 minit di belakang rumah terungkai apabila seorang wanita menemui bayi perempuan dibalut dengan sarung bantal di Bandar Kinrara 4/6, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, bayi seberat 3.4 kilogram yang dipercayai baru dilahirkan, ditemui dalam keadaan lemah sebelum wanita berkenaan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, sebaik menerima maklumat, Ketua Polis Balai Kinrara dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati bayi itu dibalut dengan sarung bantal dan masih ada kesan darah serta dalam keadaan lemah.

Menurutnya, bayi itu dikejarkan ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan kecemasan.
Foto
BAYI yang ditemui di belakang rumah di Bandar Kinrara, semalam.

“Berdasarkan keterangan wanita berkenaan, dia terdengar bunyi tangisan di belakang rumahnya sejak jam 11.30 malam hingga 12.10 tengah malam tanpa henti. Dia akhirnya menjenguk melalui tingkap dapur dan mendapati ada bayi ditinggalkan di belakang rumahnya.



Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15