Oleh Hafizudin Mohd Safar
Kangar: “Beberapa malam sebelum ini arwah suami membawa pulang lima hingga tujuh kilogram (kg) ikan haruan, namun dia beritahu akan keluar lagi untuk mencari ikan haruan bagi memenuhi permintaan.
“Kebiasaannya dia akan pergi dengar ceramah pada malam Jumaat, namun membatalkannya dan beritahu ikan haruan sedang memanggilnya,” kata Norhayati Abdullah, 47.
Dia adalah isteri kepada Mohammad Demo Ali, 52, yang ditemui maut akibat renjatan elektrik selepas dipercayai terpegang kabel pada tiang elektrik ketika menangkap ikan haruan di Kilometer 4, Jalan Abi Kubang Badak, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi, mangsa yang bekerja sebagai penjual ikan ditemui mati di tempat kejadian oleh penduduk kampung dengan tangan mangsa masih memegang kabel yang menghubungkan sebatang tiang elektrik ke tanah sebagai penyokong.
Difahamkan, mangsa dari Kampung Lubuk Gajah, Abi Kubang Badak dikatakan berpaut pada kabel elektrik berkenaan ketika cuba menaiki tebing parit tempat dia menyerkap ikan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi selepas keluar dari rumah jam 8.30 malam kelmarin.
Norhayati berkata, arwah keluar rumah dengan menunggang motosikal bagi mencari ikan haruan untuk dijual bersama hasil laut di pasar berdekatan.
“Arwah sudah beberapa malam keluar mencari ikan haruan di beberapa tempat sekitar Padang Melangit dan Abi untuk dijual dengan ikan laut di pasar berdekatan,” katanya.
Norhayati yang juga seorang suri rumah sepenuh masa kini terpaksa menyerah nasib kepada takdir kerana sudah hilang tempat bergantung untuk meneruskan kehidupan bersama enam anak.
“Dua anak masih bersekolah di tingkatan satu dan darjah dua, manakala seorang lagi berusia lima tahun.
Tiga lagi anak kami sudah bekerja,” katanya di Rumah Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 1.30 pagi semalam.
“HTF terpaksa menunggu Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di situ sebelum memindahkan mayat mangsa,” katanya.
Pengurus Besar TNB Perlis, Abdul Aziz Yaacob berkata, pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat punca kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14