Search This Blog

Thursday, December 12, 2013

Pasar tani terbakar ragut 15 nyawa


12 Disember 2013

BEIJING - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala lima yang lain cedera parah dalam satu kebakaran pasar tani di Shenzen, selatan China, semalam.

Jabatan bomba memaklumkan, kebakaran Pasar Tani Rongjian seluas 1,000 kaki persegi itu berlaku kira-kira jam 1.30 pagi waktu tempatan dan berjaya di padam dua jam kemudian.

"Seramai 145 anggota dari 29 kereta bomba bergegas ke tempat kejadian dan usaha mencari mangsa terselamat masih giat dijalankan," menurut jabatan itu menerusi akaun twitternya. - AP

Rogol: Riduan diperintah bela diri


KOTA KINABALU 11 Dis. - Seorang bekas pengurus sebuah restoran diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada Februari lalu yang kemudian didakwa dinikahinya.
Hakim Ummu Khatom Abd. Samad memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tertuduh, Riduan Masmud, 40.
Mahkamah menetapkan selama dua hari bermula 16 Disember ini untuk perbicaraan di peringkat pembelaan.
Riduan yang tidak diwakili peguam didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun enam bulan di dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan di Inanam pada pukul 10 pagi, 18 Februari lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin yang telah mengemukakan sebanyak 19 saksi sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan.
Liputan kes Riduan mendapat perhatian umum apabila mahkamah pada 21 Mei lalu dimaklumkan bahawa tertuduh telah mengahwini mangsa tersebut dan salinan sijil perkahwinan turut diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh mempunyai seorang lagi isteri dan empat anak berusia antara dua dan 17 tahun.
Peguam Kanan Persekutuan, Jamil Aripin ketika prosiding sebutan kes terhadap Riduan pada 6 Jun lalu memaklumkan bahawa dakwaan terhadap tertuduh tetap diteruskan walaupun kedua-duanya telah berkahwin.
Selain tuduhan rogol, tertuduh turut menghadapi tiga lagi pertuduhan kerana cuba memberi suapan masing-masing RM5,000, RM2,000 dan RM3,000 kepada bapa mangsa sebagai dorongan supaya mangsa menarik balik laporan polis bahawa tertuduh telah merogolnya.
Bagi kes ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Riduan yang ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah tersebut memaklumkan bahawa dia akan mengemukakan dua hingga empat saksi termasuk mertuanya iaitu ibu dan bapa mangsa pada perbicaraan nanti.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131212/ma_06/Rogol-Riduan-diperintah-bela-diri#ixzz2njSPLLvl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mengaku ugut bunuh isteri


KOTA BHARU 11 Dis. - Seorang pemasang dawai mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengugut untuk membunuh isterinya pada Khamis lalu.
Yushalizan Mohd. Kamel, 37, didakwa melakukan kesalahan itu sehingga menyebabkan ketakutan terhadap Wan Zainab Wan Jusih, 36, di sebuah rumah di Kampung Telok Baru, di sini pada pukul 6 petang, 5 Disember lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majistret Nik Habri Muhamad menetapkan 31 Disember ini untuk mendengar kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) daripada Wan Zainab sebelum menjatuhkan hukuman.
Beliau juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat penjamin merupakan isteri tertuduh sendiri.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131212/ma_03/Mengaku-ugut-bunuh-isteri#ixzz2njqNVTYs
© Utusan Melayu (M) Bhd