Kunduz (Afghanistan): Polis di sebuah kampung terpencil di negara ini menyelamatkan seorang wanita daripada direjam hingga mati selepas dia didakwa curang terhadap suaminya oleh kumpulan Taliban.
Kumpulan berkenaan yang sering menguasai sistem kehakiman tidak rasmi di kawasan luar bandar di Afghanistan menjatuhkan hukuman terhadap wanita terbabit selepas suaminya menuduh dia menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.
“Ketika polis menyelamatkannya, dia dikunci dalam sebuah bilik di halaman yang digunakan sebagai pangkalan Taliban,” kata jurucakap polis Kunduz, Sayed Sawar Hussaini.
Operasi menyelamat dijalankan di kampung itu yang juga kubu kuat Taliban selepas saudara wanita terbabit membuat laporan yang Taliban menjatuhkan hukuman mati ke atas wanita itu.
“Taliban sudah bersedia untuk merejam mangsa dengan batu ketika polis tiba di tempat kejadian.
“Mereka kemudian melarikan diri dan mangsa segera diselamatkan dan kini berada dalam perlindungan polis,” katanya.
Penyokong kumpulan militan berkenaan menyerahkan isterinya kepada mereka, Jumaat lalu.
Pada Julai tahun lalu, seorang wanita berusia 21 tahun yang direjam hingga mati di sebuah kampung yang dikuasai Taliban 60 kilometer di utara Kabul mencetuskan kritikan masyarakat antarabangsa.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/11