ALOR SETAR  - “Noor Syafikah seorang kakak bertanggungjawab dan baik. Dia bukan sahaja rapat, malah tidak pernah tinggalkan adik-adiknya,” luah seorang ibu saudara mangsa tiga beradik yang dibunuh kejam baru-baru ini ketika dikunjungi ahli jawatankuasa Puteri Umno Kedah.

Menurutnya, mangsa sering mendengar kata-kata ibu bapanya malah sentiasa menjaga kedua adiknya sebaik mungkin tanpa dipaksa.

“Dia yang tidak lagi bersekolah seolah-olah sedar bahawa dia perlu mengalas tanggungjawab menjaga adiknya berikutan ibu bapa mereka bekerja. Jadi mereka semua sememangnya rapat sejak kecil.
“Malah dia tidak pernah ketinggalan membawa kedua mereka ke mana saja dia pergi. Di mana ada Nor Syafikah, pastinya akan ada juga adik-adiknya," katanya.

Ibu mangsa, Siti Aisyah Ariffin, 40, kelihatan hiba sehingga tidak mampu bersuara, sebaliknya hanya mengangguk setiap kata-kata yang dikeluarkan oleh ahli keluarganya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Kedah, Norashimah Md Nowar berkata, mereka cuba mendapatkan maklumat lanjut dan kisah mengenai tiga beradik ini.

Katanya, pihaknya memohon kepada masyarakat supaya tidak membuat sebarang andaian berikutan keluarga mangsa juga pastinya tidak menyangka akan berlaku insiden menyayat hati ini.

“Kami bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap keluarga mangsa. Kami mengharapkan pihak polis dapat menyelesaikan kes berkenaan dengan kadar segera, sekali gus dapat membela kematian mereka,” katanya.

Terdahulu, Norashimah mewakili Ketua Puteri Umno Malaysia bersama-sama Ketua Puteri Bahagian Alor Setar, Maizatul Miza Mohd Disa turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Turut hadir, Ketua Puteri Bahagian Kubang Pasu, Rosliza Hassan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan misteri kehilangan tiga beradik Noor Syafikah Nadia, 14; Nur Izzati Husna, 12, dan Putri Nurul Akmal, 3, sejak Jumaat lepas akhirnya terjawab apabila mereka ditemui maut dalam keadaan menyayat hati.