Search This Blog

Thursday, November 28, 2013

Dituduh bunuh pelatih CCRC

Dituduh bunuh pelatih CCRCTertuduh ketika dibawa ke mahkamah majistret, semalam.


KOTA TINGGI - Dua individu dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini semalam, atas tuduhan membunuh seorang pelatih Cure & Care Rehabilitation Centre (CCRC) di Bandar Perani, pada 14 November lalu.

Tertuduh, Darmaji Darwe, 24, dan Mohsin Jamari, 31, didakwa di mahkamah atas pertuduhan melakukan pembunuhan ke atas Mohamad Ezanee Zakaria, 38, pada jam 4.30 petang di pusat latihan tersebut.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah yang sama, lima individu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin, atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Mohamad Ezanee dengan menggunakan paip polivinil klorida (PVC).

Mereka yang dituduh ialah Ahmad Sukri Anaz Dahalan, 24; Ahmad Fakhrul EzzuddenSuhaimi,27; Mohamad Fadzly Apandi,34; Rifdi Syazwy Ramli,24, dan Mohd Hanif Nawawi, 34.

Semua mereka didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Setelah mendengar rayuan, Mazana membenarkan ikat jamin RM10,000 dikurangkan kepada RM6,000 setiap seorang ke atas lima tertuduh tersebut dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan 24 Disember ini, untuk sebutan semula kedua-dua pertuduhan tersebut sementara menunggu laporan penuh hasil bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Natassa Zaini, manakala peguam, Siti Nadia Yahya mewakili Ahmad Sukri Anaz Dahalan, dan peguam Aziz Shukor pula mewakili Mohamad Fadzly Apandi sementara tertuduh yang lain tidak diwakili peguam.

'Cucu menjerit nampak api'

'Cucu menjerit nampak api'  Salah seorang ahli keluarga mangsa melihat keadaan rumah yang terbakar. 

 KOTA BHARU - Jeritan cucu yang ternampak api bermula dari bahagian dapur, menyelamatkan seorang warga emas yang nyaris cedera dalam kebakaran di Kampung Peringat, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa, Hassan Awang, 81, sedang nyenyak tidur dalam biliknya, manakala cucunya, Najwa Zainalruddin, 4, masih lagi bermain di ruang tamu.

Hassan berkata, mujurlah cucunya menjerit selepas ternampak api dan dia yang berada di dalam bilik segera keluar.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat api marak dan menyambar rak pinggan, yang kemudiannya merebak terus ke bahagian ruang tamu.

“Saya segera menyelamatkan diri bersama anak dan cucu," katanya kepada pemberita, semalam.

Hassan berkata, mujurlah semua 12 ahli keluarganya selamat memandangkan masing-masing sedang nyenyak tidur dan hanya Najwa serta menantunya sahaja yang ketika itu berjaga.

“Mujurlah suara cucu menyebabkan saya terjaga, jika tidak mungkin saya akan tercedera berikutan api begitu marak sehingga memusnahkan kediaman pusaka yang didiami sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.23 tengah malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 12.40 tengah malam.

“Dengan tiga jentera bomba dan kekuatan 22 anggota, kita berjaya kawal api daripada merebak walaupun ketika tiba, rumah telah terbakar 100 peratus.

"Kita masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian," katanya.

Menangis mohon hukuman ringan

Menangis mohon hukuman ringanTertuduh (tengah) keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.

 KOTA BHARU - “Tolonglah tuan.” Itu rayuan seorang wanita warga Indonesia sebelum dijel tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku salah menjual barang kemas milik jirannya, Julai lalu.

Riskiyah Jumali, 38, mengaku melupuskan harta milik Fatimah Hassan, 74, dengan cara menjualnya di Arkid Uda, Jalan Sultanah Zainab di sini, 27 Julai.

Pada prosiding itu, tertuduh merayu hukumannya diringankan kerana menderita penyakit paru-paru dan buah pinggang.

“Saya mohon hukuman ringan tuan. Saya sakit dan saya juga ada anak kecil dan tidak ada orang menjaganya,” katanya sambil menangis.

Mendengar rayuan itu, Majistret, Nik Habri Muhamad kemudiannya mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa, semalam.

Tertuduh juga sedang menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan tinggal di negara ini tanpa permit. Hukuman itu bakal tamat 25 Disember ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Ditikam sepupu selepas bertengkar dengan ibu

Ditikam sepupu selepas bertengkar dengan ibu Mangsa yang parah dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.

RANTAU PANJANG - Seorang lelaki parah apabila ditikam tujuh kali oleh sepupu sendiri dekat Pengkalan Haram Lubok, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Bapa mangsa, Mohd Zain Mohd Nor, 59, berkata, pertikaman lidah sehari sebelum kejadian, membawa kepada pertikaman di dada, perut dan peha mangsa.

Menurutnya, pertengkaran antara ibu suspek dengan anaknya, Mohd Nafiza, 34, bermula di kedainya namun berjaya dileraikan saudara terdekat.

“Mungkin itu yang mendorong suspek menikam Nafiza dan tiada yang sanggup meleraikan pergaduhan mereka kerana suspek bersenjatakan pisau.

“Mujur tikaman tidak mengena organ penting seperti paru-paru dan jantung, jika tidak dia pasti tidak sempat diselamatkan,” katanya.

Mohd Zain mengakui kesilapan yang dilakukan anaknya, namun dia kesal kerana saudaranya mengambil tindakan sendiri dan membelakangkan undang-undang.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, usaha mencari suspek masih dijalankan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah keluarga dan berlanjutan sehingga berlaku pertengkaran dekat Pengkalan Haram Lubok.

“Kita masih menjalankan siasatan di kawasan kejadian dan senjata yang digunakan masih belum ditemui.

“Mangsa yang mempunyai tiga anak kini dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Pasir Mas, sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata tajam.

Helah wang palsu gagal

Helah wang palsu gagalAbd Rashid dipenjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU - Helah seorang lelaki melipat wang kertas palsu bernilai RM100 dalam saiz yang paling kecil sebelum membuat pembayaran membeli kad tambah nilai di sebuah kedai runcit gagal apabila berjaya dikesan pembantu kedai tersebut.

Bukan itu sahaja, tindakan berani Abd Rashid Shamsudin, 25, dari Kampung Kijing, Marang, menggunakan wang palsu itu menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membuat keputusan itu selepas Abd Rashid mengaku bersalah telah menggunakan sebagai tulen suatu mata wang kertas RM100, bernombor siri ZC1164461, yang telah dibuat dengan cara pemalsuan, dengan mengetahui sebagai palsu.

Abd Rashid mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit di Jalan Cempaka, Kampung Kijing, Marang, pada 20 November lalu, kira-kira jam 1 tengah hari.

Dia didakwa di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian semasa pembantu kedai, Siti Aisyah Suhaimi sedang menjaga kedai kad tambah nilai milik bapa saudaranya di Jalan Cempaka, Kampung Kijing, Marang, datang Abd Rashid hendak membuat pembelian tambah nilai yang berharga RM50.

Selepas diserahkan kad tambah nilai yang diminta, Abd Rashid membuat pembayaran dengan menghulurkan wang kertas RM100 yang dilipat dalam saiz paling kecil menyebabkan mangsa langsung tidak perasan sebelum memulangkan semula baki berjumlah RM50.

Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari wang kertas itu palsu selepas Abd Rashid beredar sebelum nekad membuat laporan polis.

Culik, rogol gadis bawah umur

Culik, rogol gadis bawah umurRudy Ansyah dipenjara enam tahun dan dikenakan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh binaan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu menculik dan merogol seorang gadis bawah umur yang dipercayai teman wanitanya.

Bagi pertuduhan pertama, Rudy Ansyah Nur, 27, beralamat di Subang Jaya, Selangor, mengaku bersalah menculik mangsa yang ketika itu baru berusia 13 tahun dari penjagaan yang sah di sisi undang-undang.

Tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di hadapan rumah, Jalan Jenagor, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 17 Januari 2012, kira-kira jam 9.30 pagi.

Dia didakwa di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Rudy Ansyah turut mengaku bersalah merogol mangsa pada Januari lalu, kira-kira jam 2 pagi di sebuah rumah di Jalan Jenagor, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah kedua-dua pertuduhan direkodkan, Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris memutuskan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan bagi kesalahan menculik, hukuman sama juga atas kesalahan merogol.

Bagaimanapun, Wan Fadhilah Nor memerintahkan agar hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Berdasarkan fakta kes, semasa berada di rumah di Kampung Padang Setenga, Kuala Berang, Hulu Terengganu kira-kira jam 9.30 malam 17 Januari lalu, ibu mangsa mendapati mangsa tiada di dalam biliknya.

Sejurus itu, ibu mangsa bertanyakan kepada kawan-kawan anaknya itu sebelum dimaklumkan mangsa keluar rumah mengikut kawan lelakinya yang dipanggil Rahmat, dipercayai lelaki Sabah.

Pada 18 Januari lalu, lebih kurang jam 5.30 pagi, ibu mangsa menerima panggilan daripada seorang lagi anaknya yang berada di Kuala Lumpur memaklumkan mangsa ditemui di Kuala Lumpur bersama teman lelakinya itu dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.

Hasil siasatan, mangsa menceritakan dia keluar dari rumah mengikut teman lelakinya untuk lari ke Kuala Lumpur dan berkahwin di sana.

Mangsa juga membuat pengakuan sudah melakukan hubungan seks beberapa kali di rumahnya sebelum ini.

Kejadian kali pertama berlaku di rumah mangsa pada awal 2012, tertuduh merogol mangsa di biliknya sebelum perbuatan itu terbongkar selepas disedari ibu mangsa yang ketika itu terkejut mendapati mereka sedang tidur berbogel di dalam bilik.

Susulan kejadian itu, ibu mangsa nekad menghantarnya mendapatkan pendidikan agama di sebuah sekolah pondok.

Bagaimanapun, keputusan itu menyebabkan tertuduh nekad membawa lari mangsa untuk diajak berkahwin di Kuala Lumpur.

Tertuduh dan mangsa ditahan polis ketika berada di Hentian Bas Putra Kuala Lumpur.

3 dituduh cuba curi kereta

 SINAR HARIAN
28 November 2013

KUANTAN - Tiga rakan termasuk seorang bekas banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan cuba mencuri kereta  dan mengambil dadah jenis methamphetamine di sini,  14 November lalu.

Tertuduh, Hu Kim Sin ,47, yang baru bebas dari penjara bersama rakannya, Hoo Chee Chu, 28, dan Mohd Ridzuan Mohamad, 34, kesemuanya dari Raub mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba curi kenderaan tetapi akur dengan tuduhan mengambil dadah selepas ujian air kencing ke atas mereka mendapati positif dadah methamphetamine.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemuka Timbalan pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari, ketiga tertuduh yang tiada pekerjaan tetap didakwa cuba mencuri kereta jenis Proton Waja milik seorang lelaki di belakang sebuah bengkel di Taman Sungai Karang Darat 2, Jalan Pintasan Kuantan dekat sini kira-kira  9 pagi 14 November lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda.
Tiada sebarang wang jaminan ditawarkan ke atas tertuduh bagaimana pun mahkamah memberi peluang untuk mereka merayu.

Ketiga-tiga tertuduh merayu agar mahkamah membenarkan jaminan ke atas mereka dalam jumlah paling minimum.

Majistret Jesseca Daimis benarkan mereka diikat jamin RM1,800 dan 20 Disember depan tarikh sebutan pengurusan kes.

Bekas banduan mengaku rogol

SINAR HARIAN
28 November 2013

JOHOR BAHRU - Seorang bekas banduan dijatuhi hukuman 20 tahun dan 16 sebatan selepas mengaku bersalah di mahkamah sesyen, di sini, atas dua pertuduhan merogol pada September dan Oktober lalu.

Tertuduh, Sazali Darus baru dibebaskan daripada hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan atas kesalahan sama pada 2001, membuat pengakuan bersalah itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin.

Bagi pertuduhan pertama, Sazali yang tidak diwakili peguam bela didakwa merogol seorang gadis berusia 19 tahun di sebuah hotel di Taman Tebrau Jaya di sini kira-kira jam 7.05 malam hingga 8.30 malam, 12 September lalu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di hotel sama, kira-kira jam 11.30 malam hingga 12.30 malam, 26 Oktober lalu.

Sazali didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana masih tidak insaf atas kesalahan yang dilakukannya sebelum ini.

Katanya, hukuman berat perlu kerana tertuduh adalah seorang yang berbahaya dan tidak boleh berada berdekatan masyarakat, selain menjadi teladan kepada masyarakat.

Muhammad Jamil kemudian menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan lapan sebatan terhadap kedua-dua pertuduhan dengan setiap hukuman dilaksanakan secara berasingan.

Lima kedai lama terbakar

Lima kedai lama terbakarDeretan bangunan kedai lama yang terlibat dalam kebakaran, malam kelmarin.

BATU PAHAT - Kira-kira 20 pelanggan sebuah restoran di Jalan Zabedah, di sini, lari bertempiaran meninggalkan makanan yang sedang dinikmati sebaik melihat kebakaran di kedai lama di sebelah restoran terbabit, malam kelmarin.

Kebakaran yang melibatkan lima buah kedai itu berlaku kira-kira jam 8.45 malam dipercayai bermula dari salah sebuah kedai berkenaan.

Seorang pelanggan restoran, Mohammad Jafar Hidayat, 42, berkata, semasa kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya sedang menjamu stimbot, sebelum terdengar bunyi riuh rendah.

“Ada seorang lelaki berlari ke arah kami dan mengarahkan kami menyelamatkan diri, sambil menjerit menyatakan kedai sebelah restoran tempat saya makan terbakar.

“Tanpa menunggu lama, kami terus lari menyelamatkandiri ke seberang jalan sebelum mendapati api pantas membakar bangunan berkenaan.

"Nasib baik tiada kecederaan berlaku walaupun terdapat letupan kecil,” katanya.

Sementara itu, pemilik sebuah kedai yang terbakar, Ng Ju Hua, 36, berkata, bangunan kedai itu ditinggalkannya sejak lapan tahun lalu dan dalam proses pengubahsuaian.

Menurutnya, usia bangunan yang mencecah 80 tahun itu masih mempunyai nilai sejarah, meskipun kebakaran tersebut merosakkan lima kedai terlibat.

“Saya terkejut dengan khabar menyatakan kedai yang dibina daripada kayu keseluruhan ini terbakar. Saya dalam perancangan mengubahsuainya dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid, Saif Ab Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.52 malam sebelum dua jentera dengan tujuh anggota ditugaskan ke tempat kejadian.

Menurutnya, pasukannya turut menerima bantuan anggota pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Jalan Timah Sari yang tiba dengan dua jentera dan 11 anggota, selain empat anggota pasukan Bomba Sukarela Sri Gading dengan satu jentera.

Tambahnya, hampir sejam masa diambil untuk memadam sepenuhnya api berkenaan selain membuat pemeriksaan ke atas bangunan lama yang telah ditinggalkan penghuni itu.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian akan disiasat secara terperinci oleh pasukan forensik bomba yang turut tiba untuk memulakan proses siasatan.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana kebakaran disedari orang awam lebih awal dan telah menyelamatkan diri,” katanya.

Mayat lelaki ditemui terapung dalam kolam

Mayat lelaki ditemui terapung dalam kolam
Anggota polis sedang mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di dalam kolam projek terbengkalai bersebelahan Dataran Seremban di Seremban hari ini. Jurucakap polis berkata, mayat seorang lelaki yang dipercayai berbangsa India lengkap berpakaian baju kemeja dan berseluar jeans itu ditemui oleh orang awam yang sedang melalui kawasan itu kira-kira jam 12.30 tengahari tadi. - Foto Bernama

SEREMBAN - Mayat seorang lelaki ditemui terapung dalam kolam sebuah projek terbengkalai berhampiran Dataran Seremban hari ini.
  
Jurucakap polis berkata mayat itu ditemui orang awam pada kira-kira 12.30 tengah hari.
  
Beliau berkata mayat itu, yang lengkap berpakaian baju kemeja dan seluar jeans, dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat.
  
Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga dan mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6014 999 atau SMS ke 012-6062 702 untuk membantu siasatan.  - Bernama

Terserempak buaya dalam laut

Terserempak buaya dalam lautBuaya yang ditemui berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang. 

 GEORGETOWN - Seorang kakitangan Pelabuhan Pulau Pinang di sini terserempak dengan seekor buaya berhampiran dengan pelabuhan berkenaan.

Mohd Asyraf berkata, kejadian terbabit disedari dua pemandu bot kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, dia sendiri hairan bagaimana buaya sepanjang lebih tiga meter itu memasuki kawasan laut.

"Saya dan rakan-rakan mengambil gambar buaya berkenaan, memang pada kami ini kejadian yang aneh kerana buaya di Pulau Pinang sukar untuk ditemui.

“Kalau di kawasan sungai pun sukar hendak jumpa buaya, apatah lagi di kawasan pantai, mungkin ia buaya sesat,” katanya.

Mohd Asyraf turut berkongsi gambar berkenaan di laman facebook Kelab Melayu Pulau Pinang dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Beliau turut menyangkal ia biawak besar kerana kejadian berkenaan disaksikan beberapa individu yang lain.

Misteri nelayan hilang terjawab

Misteri nelayan hilang terjawabMayat mangsa diusung keluar daripada kenderaan polis selepas tiba dari Jeti APMM Bukit Kuang.

 CHUKAI – “Kami tak duga ayah temui ajal di laut sebab semasa keluar rumah jam 7 pagi, ayah nampak sihat.”

Demikian kata Mohd Haikal Shafie, 23, anak kepada Shafie Sari, 53, yang ditemui maut dalam bot fiber kira-kira 8 batu nautika dari perairan Kemaman, pagi semalam.

Penemuan bot mangsa kira-kira jam 9.30 pagi itu mengungkap misteri kehilangannya yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Merah, Paka, Dungun, sejak malam kelmarin selepas keluar menangkap ikan seorang diri.

Tidak pulang seperti biasa

Pada hari kejadian, Mohd Haikal berkata, bapanya keluar dari rumah kira-kira jam 7 pagi kelmarin, namun tidak pulang ke rumah jam 5 petang seperti kebiasaan.

Menurutnya, keadaan itu membimbangkan ahli keluarganya berikutan bapanya sebelum ini tidak pernah lewat pulang ke rumah sekiranya keluar menangkap ikan di laut.

“Sudah menjadi rutin ayah setiap hari akan keluar jam 7 pagi dan pulang semula ke rumah jam 5 petang.

“Tapi semalam (kelmarin) sehingga lebih jam 5 petang, ayah masih tidak pulang menyebabkan saya, mak dan adik beradik lain gelisah kerana khuatir sesuatu yang buruk menimpanya,” katanya.

Hanyut ke perairan Kemaman

Susulan itu, Mohd Haikal berkata, nelayan tempatan segera melaksanakan operasi mencari bapanya, tetapi usaha tersebut menemui jalan buntu.

Menurutnya, dia sekeluarga kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Paka pada jam 9.30 malam kelmarin setelah bapanya gagal ditemui.

“Ayah tidak pernah lewat pulang ke rumah dan disebabkan bimbang keselamatannya, saya sekeluarga buat laporan polis.

"Susulan laporan itu, polis dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Paka dengan kekuatan enam anggota serta sebuah jentera melancarkan gerakan mencari dan menyelamat. Selain pihak berkuasa, beberapa nelayan turut sama mencari ayah di perairan sekitar," katanya.

Bagaimanapun, kehilangan Shafie terjawab setelah bot dinaikinya yang hanyut hingga ke perairan Kemaman dekat Pantai Teluk Mak Nik, Geliga, di sini, ditemui seorang rakan yang turut berusaha mencarinya.

Bot Shafie dikesan berada di sekitar perairan Kijal kira-kira jam 5.30 pagi melalui GPS.

Sebaik ditemui, mayat Shafie dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di Bukit Kuang, Kijal seterusnya Unit Forensik, Hospital Kemaman kira-kira jam 11 pagi untuk dibedah siasat.

Jenazah kemudiannya dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Gemia Limbong, Paka.

Tiada tanda hidap penyakit

Sementara itu, jiran mangsa, Anuar Ali Yusof, 42, berkata, Shafie tidak pernah menunjukkan sebarang tanda dia ada menghidap apa-apa penyakit.

“Mungkin dia ada menghidap penyakit, namun merahsiakan penyakit itu daripada keluarga, rakan dan keluarga.

"Kehilangan Shafie membuatkan saya dan rakan amat terasa sebab dia adalah seorang yang baik serta peramah. Tapi Alhamdulillah, Allahyarham bukan lemas sebaliknya meninggal dunia dalam botnya sendiri yang menjadi tempat dia mencari rezeki,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Deputi Superintendan Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Maut langgar belakang lori

Maut langgar belakang loriKereta yang dinaiki mangsa remuk dalam kemalangan, semalam. Gambar kecil, Muhammad Fazli. 

KOTA BHARU - Seorang anggota tentera maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu terlanggar belakang bahagian lori pasir dari arah bertentangan dalam kejadian di Jalan Salor - Pasir Mas, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Muhammad Fazli Md Yusoff, 28, yang memandu kereta jenis Perodua Viva dari arah Pasir Mas ke Kota Bharu secara tiba-tiba memasuki lorong bertentangan dan menyebabkan kereta terbabit melanggar belakang lori pasir di laluan berkenaan.

Akibat perlanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian berikutan kecederaan di bahagian kaki dan dada.

Bagaimanapun, pemandu dan kelindan lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Ab Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk berdasarkan siasatan yang dilakukan.

“Mangsa yang memandu kereta berseorangan secara tiba-tiba masuk ke lorong bertentangan ketika melalui kawasan terbabit.

“Akibat perlanggaran itu,  mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke Kedah bagi urusan pengebumian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Remaja merajuk dimarahi ibu

Remaja merajuk dimarahi ibuMuhamad Amirul menghilangkan diri selepas dipercayai merajuk dengan ibunya.

BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja lelaki yang dipercayai merajuk dengan ibunya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Janggus, Permatang Pauh, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Baharom Abu berkata, Muhamad Amirul Wagiman, 13, meninggalkan rumahnya pada Isnin lalu kira-kira jam 6 petang dan tidak pulang.

Menurutnya, ibunya yang membuat laporan polis memaklumkan anaknya yang memakai t-shirt warna merah dan seluar track warna hitam keluar dari rumah kira-kira jam 6 petang.

“Remaja itu dipercayai keluar rumah berikutan merajuk selepas wanita berkenaan (ibu) memarahinya kerana bergaduh dengan anak saudaranya (lelaki).

“Dipercayai remaja terbabit hanya sehelai sepinggang dan berjalan kaki keluar dan tidak pulang sehingga lewat malam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya remaja terbabit masih berada di sekitar kawasan di negeri ini dan bantuan orang ramai diperlukan untuk mengesannya.

“Keluarganya mencari di rumah saudara mara mereka dan rakan remaja itu tetapi tiada.

“Orang ramai yang mengenalinya atau mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mustafa Alaidin di talian 017-5474582 atau Hotline Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah SPT  04-5306402 atau SMS ke Rakan Cop 32728," katanya.

Tunjuk perasaan merebak ke seluruh Thailand

Tunjuk perasaan merebak ke seluruh ThailandBANGKOK - THAILAND. Lebih banyak kementerian di sini diserbu dalam tunjuk perasaan antikerajaan yang merebak ke seluruh Thailand.
  
Walaupun tunjuk perasaan diadakan secara aman, namun kehadiran beribu-ribu pesertanya menjadikan keadaan lalu lintas di Bangkok yang sentiasa sesak menjadi bertambah teruk.
  
Tiada keganasan dilaporkan setakat ini, tetapi para penunjuk perasaan yang meningkatkan tekanan agar Perdana Menteri Yingluck Shinawatra meletakkan jawatan atau membubarkan parlimen, meminta penjawat awam pulang ke rumah.
  
Antara kementerian yang dikepung ialah Kementerian Kebudayaan, Kementerian Perdagangan, Kementerian Buruh, Kementerian Sains dan Kementerian Tenaga, manakala Kementerian Kewangan masih diduduki penunjuk perasaan.
  
Bantahan awam ini tercetus bulan lepas bagi membantah rang undang-undang yang bertujuan memberi pengampunan kepada perdana menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra, abang kepada Yingluck.

Pemimpin tunjuk perasaan itu, Suthep Thuegsuban, yang mengetuai tindakan menduduki Kementerian Kewangan sejak Isnin, hari ini mengetuai perarakan ke Pusat Kompleks Kerajaan dengan menjadikan Jabatan Siasatan Khas (DSI) sebagai sasaran mereka.
  
Apabila tiba di DSI, mereka meniup wisel dan memekik perkataan "Hamba".
  
Memandangkan pusat kompleks kerajaan itu terletak di Chaeng Wattana, tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng, wujud kebimbangan para penunjuk perasaan akan cuba berarak ke lapangan terbang itu.
  
Di PATTANI, kira-kira 500 penentang Thaksin berkumpul di hadapan Medan Budaya sebelum bergerak ke Pejabat Gabenor Wilayah Pattani sambil membawa bunga, meniup wisel dan mengibar bendera Thailand.
  
Mereka cuba menyerahkan bunga kepada seorang pegawai kanan kerajaan, tetapi tidak berjaya kerana dihalang para pegawai keselamatan daripada memasuki pejabat berkenaan.

Untuk mengambil hati penunjuk perasaan, Timbalan Gabenor Pattani Narupol Leaktiee berjumpa dengan mereka.
  
Di YALA, kira-kira 200 penunjuk perasaan tidak dapat memasuki premis dewan wilayah itu kerana pintu pagarnya ditutup.
  
Di SONGKLA, Gabenor Songkla Kritsada Boonrach membenarkan kira-kira 2,000 penunjuk perasaan memasuki premis pejabatnya bagi mereda ketegangan, tetapi mereka mengambil kesempatan menggunakan pembesar suara mendesak penjawat awam meletakkan jawatan dan menyertai bantahan itu.
  
Bagaimanapun, tiada kejadian buruk dilaporkan.
  
Di NARATHIWAT, kira-kira 20 penunjuk perasaan cuba menyerahkan bunga kepada gabenor wilayah itu. - Bernama

Letupan dekat loji di India, enam maut


28 November 2013

NEW DELHI - INDIA. Sekurang-kurangnya enam terbunuh manakala tiga lagi cedera parah dalam insiden letupan berhampiran sebuah loji nuklear di selatan India, kelmarin.

Jurucakap polis, Vijayendra Bidari berkata, sebutir bom dipercayai meletup secara tidak sengaja ketika salah seorang aktivis antinuklear sedang menghasilkan beberapa bahan letupan di rumahnya terletak kira-kira 15 kilometer dari tempat kejadian.

"Penduduk kampung membantah pembinaan loji ini sejak beberapa tahun lalu kerana khuatir ia akan membahayakan kesihatan mereka," jelasnya lagi.

Bagaimanapun, laporan dipetik dari AFP, Loji Kuasa Nuklear Kudankulum di Tamil Nadu dilaporkan tidak terjejas dan masih beroperasi seperti biasa.

Ribuan doktor adakan demonstrasi di Indonesia


Sebahagian daripada para doktor yang menyertai demonstrasi, melaungkan slogan menuntut rakan mereka dibebaskan di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia, semalam. - Agensi
JAKARTA 27 Nov. - Gelombang kemarahan doktor-doktor di Indonesia terhadap penangkapan Dr. Dewa Ayu Sasiary Prawani di Hospital Ibu dan Anak Permata Hati, Balikpapan Kalimantan Timur pada 8 November lalu ditunjukkan menerusi aksi demonstrasi besar-besaran hari ini.
Ribuan doktor di seluruh Indonesia melancarkan mogok sebagai tanda protes berikutan penangkapan Dr. Dewa Ayu yang disifatkan mereka sebagai tidak berperikemanusiaan.
Di Jakarta misalnya, berikutan aksi mogok itu, lalu lintas di depan Istana Merdeka di Jalan Merdeka Barat di sini menghadapi kesesakan luar biasa.
Aksi yang sama turut dilakukan ribuan doktor di Makassar, Sulawesi Selatan sehingga menyebabkan sejumlah hospital tidak dapat memberikan perkhidmatan kepada pesakit kerana ketiadaan doktor.
Di Garut, Jawa Barat pula, aksi mogok yang dilancarkan di seluruh negara menyebabkan doktor-doktor berkumpul di masjid hospital itu sebagai tanda kemarahan.
Sebahagian besar daripada golongan perubatan yang menyertai aksi demonstrasi itu dengan memakai jaket bewarna putih ialah doktor-doktor muda yang terdiri daripada doktor umum dan pakar.
Mogok itu diadakan sebagai menyatakan sokongan kepada bukan sahaja Dr. Dewa Ayu yang didakwa di Mahkamah Negeri Manado bahkan kepada Dr. Hendry Simanjuntak dan Dr. Hendy Siagian.
Ketiga-tiga pengamal perubatan itu disabit kesalahan menyebabkan kematian ke atas pesakit bernama Julia Fransiska Makatey selepas proses pembedahan yang dilakukan gagal.
Mahkamah Agung kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas ketiga-tiga doktor itu.
Sementara itu, Ketua Umum Pengurus Besar Ikatan Doktor Indonesial (IDI), Dr. Zaenal Abidin berkata, aksi mogok yang dilancarkan hari ini tidak menjejaskan perkhidmatan kepada pesakit di hospital.
“Aksi itu merupakan tanda sokongan kepada doktor-doktor yang dianiaya dan kami tidak mogok. Ini kerana doktor tetap bekerja seperti biasa," katanya.
Pada aksi demontrasi itu, doktor-doktor terlibat melilitkan pita hitam di lengan kiri dan mengagih-agihkan lencana bertulis penolakan jenayah ke atas doktor.
Menurut Dr. Zaenal, jumlah doktor yang berkhidmat di Jakarta ialah seramai 20,000 orang namun tidak semua yang turun ke jalan untuk mengadakan demonstrasi.
Katanya, keselamatan pesakit khususnya yang memerlukan rawatan di wad kecemasan masih tetap diberi keutamaan oleh IDI.
Bagaimanapun, Dr. Zaenal menegaskan, pihaknya tidak teragak- agak untuk melancarkan mogok layanan di hospital pula seandainya pihak berkuasa tidak mendengar rintihan mereka supaya ketiga-tiga rakan sejawatan itu dibebaskan. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131128/lu_04/Ribuan-doktor-adakan-demonstrasi-di-Indonesia#ixzz2lvEvzO7r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 disyaki rompak 27 ATM ditahan


JOHOR BAHRU 27 Nov. - Polis menahan tiga lelaki dan memburu enam lagi individu bagi membantu siasatan berhubung 27 kes rompakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, beberapa bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, ketiga-tiganya ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sejak seminggu lalu.
"Kesemua mereka antara sembilan lelaki yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes tersebut dan telah direman untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas majlis minum petang Maybank Wilayah Johor/Melaka bersama polis yang turut dihadiri Pengarah Maybank Wilayah Johor/ Melaka, Md. Gharif Talib, semalam.
Ismail dalam pada itu turut mengucapkan syabas kepada 15 anggotanya yang bekerja keras dalam menangani rompakan mesin ATM sekali gus menerima penghargaan dari pihak Maybank.
"Jenayah ini bukan sahaja menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat malah mencalar imej pasukan keselamatan," katanya.
Sementara itu, Md. Gharif dalam ucapannya berkata, Maybank akan sentiasa membantu pihak berkuasa dalam membanteras jenayah di negeri ini termasuk memberi sumbangan menyediakan pondok bit polis di kawasan Nusa Bestari di sini.
"Tahniah kepada Polis Johor atas kejayaan menumpaskan kumpulan ini. Ia menunjukkan komitmen yang tinggi polis dalam menangani jenayah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_07/3-disyaki-rompak-27-ATM-ditahan#ixzz2lvEBsXg7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peniaga tertembak anak kerana disangka penyamun


KUALA LUMPUR 28 Nov. - Seorang peniaga makanan, tertembak anak sendiri yang disangkanya penyamun yang memasuki kawasan rumahnya di Kampung Baru Balakong, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab Wahab berkata dalam kejadian 10.16 malam itu, peniaga berkenaan yang berusia 76 tahun, dikatakan terdengar jeritan minta tolong pekerjanya seorang lelaki warga Myanmar dari sebuah pondok di belakang rumahnya.
Tersentak dengan jeritan pekerjanya itu, peniaga berkenaan terus mengejutkan anak lelakinya, berusia 51 tahun, dan segera mendapatkan selaras senjata api jenis semi auto dipercayai untuk menembak penceroboh itu.
"Kedua-dua beranak itu terus keluar dari rumah mereka untuk melihat apa yang berlaku di kawasan pondok pekerja mereka.
"Dalam keadaan gelap itu, anak peniaga berkenaan yang bersenjatakan sebilah parang terus meluru ke hadapan tanpa disedari bapanya," kata Ab Rashid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, dekat sini hari ini.
Ab Rashid berkata peniaga itu, yang kemudian terlihat kelibat seseorang, terus melepaskan tiga das tembakan.
Satu daripada tembakan itu mengenai kepala anaknya dan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. katanya.
Beliau berkata peniaga itu ditahan untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_08/Peniaga-tertembak-anak-kerana-disangka-penyamun#ixzz2lvDzM7fz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Siti Aishah pernah diburu polis


POTRET Siti Aishah Abdul Wahab semasa remaja.
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Wanita dijadikan hamba domestik oleh sepasang suami isteri di London sejak 30 tahun lalu disahkan merupakan individu yang dikehendaki polis pada 1970-an kerana terlibat dalam aktiviti radikal dan pelampau berhaluan kiri serta persatuan menyokong perjuangan komunis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, wanita itu, Siti Aishah Abdul Wahab, 69, bersama beberapa rakan seangkatannya berpindah ke London memandangkan di negara berkenaan pada masa tersebut lebih bebas dan tidak menyekat aktiviti berhaluan kiri.
"Saya mengesahkan wanita ini (Siti Aishah) pernah menjadi warganegara kita satu ketika dahulu dan merupakan pelajar berhaluan kiri serta menyertai banyak kegiatan pelampau berhaluan kiri di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 156 anggota polis yang terlibat dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah, pada Februari lepas.
Khalid seterusnya memberitahu, selepas melanjutkan pelajaran ke London, pihak polis negara ini masih memantau segala aktiviti berhaluan kiri yang disertai Siti Aishah tetapi tidak akan menahannya sekiranya pulang ke Malaysia.
"Kita sudah tidak nampak lagi keperluan untuk menangkap dia memandangkan perkara itu sudah lama berlalu malah rakan-rakannya yang dahulunya turut bersama-sama dengan Siti Aishah telah pulang ke negara kita," tambahnya.
Mengenai kewarganegaraan Siti Aishah, Khalid berkata, beliau perlu mendapatkan laporan lengkap terlebih dahulu sama ada wanita itu masih lagi memegang status warganegara Malaysia.
Sementara itu, sumber memberitahu Utusan Malaysia, Siti Aishah mula hilang daripada jejak polis pada sekitar tahun 80-an selepas dia dikhabarkan ke China untuk tempoh waktu tertentu.
"Sebelum itu, iaitu pada 1979, dia dikesan berada di Brixton, London, malah pekerjaan terakhirnya adalah sebagai seorang pembantu kedai.
"Abangnya bergelar Datuk pernah berusaha mencari Siti Aishah dengan meminta bantuan Kedutaan Malaysia di Beijing tetapi gagal dan maklumat yang pernah diterima, dia dilihat kali terakhir berjumpa salah seorang abangnya yang merupakan bekas pengurus besar bank di London pada 1970 dan selepas itu tiada lagi berhubung dengan ahli keluarganya," katanya.
Kata sumber itu lagi, Siti Aishah yang menyertai pelbagai aktiviti radikal semasa di London telah menyertai beberapa badan berhaluan kiri antaranya Institute of Marxism Leninism Mao Tse Tung (WIMLMTT), Democratic Right in Malaya malah juga pernah menyertai beberapa demonstrasi anjuran parti komunis yang berpusat di London.
Siti Aishah kemudian bergerak lebih agresif dan pernah menyertai demonstrasi Anti-Tun Hussein Onn semasa lawatan bekas Perdana Menteri itu ke London.
Kata sumber lagi, pada 1982, dia berdamping rapat dengan Aravindan Balakrishnan yang merupakan bekas pelajar Singapura dan memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung WIMLMTT.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_01/Siti-Aishah-pernah-diburu-polis#ixzz2lvDL7mxV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pejabat pemaju hartanah ditembak


UNIT Polis Forensik memeriksa sekitar kawasan pejabat sebuah syarikat pemaju hartanah selepas terkena beberapa das tembakan oleh individu tidak dikenali di Mantin, Seremban, semalam.
SEREMBAN 27 Nov. - Pintu kaca pejabat sebuah syarikat pemaju hartanah di Taman Bunga Raya di Mantin dekat sini, yang terlibat dalam kontroversi membangunkan sebidang tanah di Kampung Hakka di sini baru-baru ini, berkecai akibat terkena lapan das tembakan oleh individu tidak dikenali semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, kejadian itu disedari oleh seorang pekerja syarikat itu yang datang bekerja kira-kira pukul 9 pagi ini.
Katanya, pengadu terkejut apabila mendapati pintu kaca pejabat yang terletak di tingkat bawah sebuah bangunan rumah kedai itu pecah dan terus menghubungi majikannya sebelum membuat laporan polis.
"Polis percaya sebanyak lapan das tembakan telah dilepaskan sehingga menyebabkan pintu kaca premis berkenaan pecah berdasarkan lapan kelongsong peluru pistol yang ditemui di hadapan premis," katanya di sini hari ini.
Kata beliau, polis masih menyiasat individu yang melepaskan tembakan itu dan motif tindakan tersebut.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut.
Pemaju hartanah berkenaan yang membangunkan sebidang tanah di Kampung Hakka sebelum ini, terlibat dengan kontroversi apabila beberapa penduduk enggan berpindah kerana membantah pengambilan tanah berkenaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Seremban memerintahkan semua penduduk berpindah bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dijalankan.
Sementara itu, jurucakap syarikat itu berkata, selain pintu kaca, dinding pejabat syarikat itu turut retak akibat terkena beberapa das tembakan.
Kampung Hakka seluas 16 hektar dan diduduki kira-kira 40 keluarga dibina di tanah kerajaan yang kemudian dijual kepada sebuah syarikat swasta untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_06/Pejabat-pemaju-hartanah-ditembak#ixzz2lvCnclVp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gambar suspek kes culik warga Malaysia didedahkan


Aravindan Balakrishnan
LONDON 27 Nov. - Rangkaian televisyen Britain, ITV hari ini menyiarkan rakaman video yang memaparkan ketua kumpulan ekstremis komunis Maoist, Aravindan Balakrishnan yang merupakan seorang daripada suspek kes penahanan tiga wanita termasuk seorang rakyat Malaysia selama 30 tahun di rumahnya di Brixton.
Rakaman tersebut merupakan sebahagian babak dokumentari pada 1997 yang mengisahkan penyiasatan kes kematian seorang ahli kumpulan Balakrishnan, Sian Davies.
Klip berkenaan menunjukkan seorang lelaki berkaca mata yang dipercayai Balakrishnan atau dikenali sebagai Komrad Bala menemani isterinya, Chanda yang menaiki kerusi roda sambil ditolak seseorang.
Dalam klip berlainan, dua mangsa tahanan pasangan terbabit dipercayai wanita Ireland, Josephine, 57, dan rakyat Malaysia, Siti Aishah Abdul Wahab, 69, dirakam cuba mengusir krew televisyen yang membuat penggambaran.
Dalam perkembangan lain, laporan media pada 1978 mendapati seorang wanita yang bernama 'Aishe Waham' ditahan polis dalam serbuan ke atas ibu pejabat kumpulan berkenaan.
Satu lagi laporan pada 1997 menunjukkan wanita bernama 'Aisha Wahab' memberi keterangan kepada pasukan penyiasat berhubung kes kematian Davies.
Namun laporan Telegraph hari ini mendapati, kedua-dua wanita terbabit merupakan orang yang sama iaitu Siti Aishah yang berpindah ke Britain pada 1968 sebelum terjebak dalam kumpulan Maoist.
Mangsa ketiga yang berusia 30 tahun, Rose dipercayai merupakan anak perempuan kepada Davies yang lumpuh akibat kecederaan terjatuh dari tingkap bilik air di tingkat dua di rumah Balakrishnan pada 1996 sebelum meninggal dunia setahun kemudian. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_03/Gambar-suspek-kes-culik-warga-Malaysia-didedahkan#ixzz2lvCeFYqZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 penjenayah maut kereta bertembung lori


IPOH 27 Nov. - Tindakan tiga penjenayah menyamun seorang kakitangan Amanah Ikhtiar di Kampung Temin, Sungai Siput dekat sini, membawa padah apabila dua daripadanya maut setelah kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori hari ini.
Dalam nahas pada pukul 12.30 tengah hari itu, seorang daripada suspek berusia 42 tahun maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 37 tahun mati di Hospital Sungai Siput.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Proton Saga BLM dipandu mangsa dihimpit dan diarahkan berhenti oleh kumpulan suspek yang menaiki kereta Proton Wira.
Katanya, mangsa berusia 22 tahun yang ketika itu dalam perjalanan pulang selepas selesai mengutip wang Amanah Ikhtiar kemudian berhenti sebelum diserang suspek yang bersenjatakan parang.
"Mangsa berjaya keluar dari keretanya. Suspek yang berparang kemudian telah menyamun dan melarikan kereta mangsa.
"Semasa melarikan diri, kereta mangsa yang dilarikan itu telah bertembung dengan sebuah lori di selekoh satu tanah perkuburan di Kampung Temin sehingga mengakibatkan dua penyamun terbabit maut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman berkata, sejumlah wang Amanah Ikhtiar yang berjaya disamun perompak berkenaan berjaya dijumpai semula.
Katanya, seorang lagi rakan suspek yang memandu Proton Wira itu bagaimanapun berjaya melarikan diri.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk membantu siasatan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_04/2-penjenayah-maut-kereta-bertembung-lori#ixzz2lvCPvH3G
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Keluarga harap Siti Aishah pulang


HASNAH Abdul Wahab (kiri) dan Siti Zawiyah Othman sentiasa menanti kepulangan Siti Aishah yang menjadi hamba 30 tahun di London ketika ditemui di Kampung Binjai Kuala Klawang, Jelebu, semalam.
JELEBU 27 Nov. - Hasnah Abdul Wahab, 88, memegang sekeping gambar lama, sambil mengharapkan adik kesayangan yang terpisah sejak tahun 1968 pulang ke pangkuan keluarga.
Hari ini harapannya hampir menjadi nyata apabila dia menerima berita bahawa wanita Malaysia yang ditemui sebagai mangsa penghambaan domestik di London ialah adiknya, Siti Aishah, 69.
Berita gembira itu disampaikan menerusi telefon oleh adik perempuannya, Kamar Mahtum, 73, yang kini berada di London kepada Siti Zawiyah Othman, 55, iaitu anak kepada Hasnah.
''Saya terima panggilan daripada ibu saudara (Kamar Mahtum) hari ini memaklumkan wanita yang ditemui di London itu memang benar adalah adik kepada ibu saya iaitu Siti Aishah,'' kata Siti Zawiyah kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Menurut Siti Zawiyah, keluarganya pernah mencuba pelbagai ikhtiar untuk mencari Siti Aishah di London sebelum ini.
Hasil pencarian tersebut katanya, bapa saudaranya berjaya menemui Siti Aishah sebanyak dua kali sebelum dia terus menghilangkan diri.
''Dahulu adik lelakinya pernah bertugas di London sebagai pegawai bank dan peluang itu digunakan untuk mencarinya. Dia pernah bertemu dengannya sebanyak dua kali, namun selepas itu senyap tanpa perkhabaran," katanya.
Siti Zawiyah berkata, dia juga pernah berjumpa ibu saudaranya itu ketika berusia 10 tahun.
Dalam pada itu, dia menyangkal laporan sebuah portal berita bahawa ibu saudaranya melarikan diri ke London sedangkan Siti Aishah mendapat biasiswa Komanwel dalam bidang juru ukur bahan selepas tamat pengajian di Kolej Tunku Kurshiah.
Siti Zawiyah menjelaskan, Siti Aishah cenderung kepada ideologi berhaluan kiri kerana dia komited tentang memperjuangkan nasib rakyat.
Dalam masa sama, dia tidak menolak kemungkinan bahawa ibu saudaranya itu mungkin terpengaruh dengan fahaman berkenaan.
''Saya tidak mahu mengulas mengenainya. Saya tahu dia wanita yang mempunyai ideologi yang berbeza tetapi mungkin pendekatannya adalah salah, itu kita tidak nafikan. Kita pun tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada dirinya sehingga dia jadi begitu," katanya.
Siti Zawiyah turut berharap agar ibu saudaranya itu dapat kembali ke pangkuan keluarga walaupun sebentar memandangkan taraf kerakyatannya buat masa ini masih menjadi tanda-tanya.
Sementara itu Hasnah yang menghadapi masalah pendengaran berharap dapat menemui Siti Aishah sebelum menghembuskan nafas terakhir.
''Ini adik saya, saya kenal dan masih ingat sangat dengannya. Dia sangat bijak orangnya dan bersekolah di Kolej Tunku Kurshiah dahulu," kata Hasnah sambil memegang erat sekeping gambar lama Siti Aishah yang merupakan anak ke 11 daripada 12 adik-beradik tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_02/Keluarga-harap-Siti-Aishah-pulang#ixzz2lvBoiQXM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Fahaman komunis: KPN sahkan hamba di London dicari polis 1970-an


KUALA LUMPUR 27 Nov. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan wanita yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London adalah Siti Aishah Abdul Wahab yang merupakan individu dikehendaki pihak polis pada tahun 1970-an.
Beliau berkata, polis pernah memburu dan memantau segala pergerakan mangsa ketika di London selepas dia dikesan menyertai kumpulan pelampau berfahaman komunis di negara ini.
"Bagaimanapun saya tidak lagi melihat sebagai satu keperluan untuk dia ditangkap pihak polis apabila dia dibawa balik ke sini nanti," katanya selepas majlis penganugerahan pingat kedaulatan negqra kepada pegawai dan anggota cawangan khas di pulapol di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131127/je_06/Fahaman-komunis-KPN-sahkan-hamba-di-London-dicari-polis-1970-an#ixzz2lvFzII7R
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga sekeluarga maut nahas di Jalan Pekan-Rompin


KUANTAN 28 Nov. - Tiga sekeluarga maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 40 Jalan Pekan-Rompin dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahya Othman berkata, kejadian berlaku pukul 5.30 petang menyebabkan penumpang hadapan Rosmah Othman, 47, dan dua anaknya iaitu pemandu, Mohd. Haikal Syukri Razali, 19, dan penumpang belakang Norzafirah Razali, 12, terbunuh.
Tambahnya, seorang lagi anak mangsa iaitu Nurul Najila Razali, 7, cedera parah di kepala dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Pekan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_10/Tiga-sekeluarga-maut-nahas-di-Jalan-Pekan-Rompin#ixzz2lvBGgKjV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kipas masjid pun kena kebas!


Alor Setar: “Penyamun berkenaan bukan sekadar mengambil peti besi mengandungi wang, malah kipas angin dinding dan kompresor penghawa dingin turut dilarikan mereka semata-mata mahu mendapatkan duit secara mudah,” kata Ahmad Ali, 72, Imam Masjid Ar-Rahman di Alor Merah, di sini, mengenai kehilangan pelbagai barangan berharga di masjid berkenaan dianggarkan bernilai RM10,000 kira-kira tiga minggu lalu.
Menurutnya, sepanjang lima tahun lalu sudah berlaku beberapa kecurian di masjid itu termasuk 10 kipas angin, dua alat pendingin hawa, dua set pembesar suara, dua komputer, mikrofon dan tabung masjid. 
Ahmad berkata, kejadian kecurian sudah beberapa kali berlaku di masjid ini walaupun pihaknya sudah mengambil langkah berjaga-jaga. 

“Susulan kecurian tiga minggu lalu, kita mengambil langkah berjaga-jaga iaitu mengunci semua pintu masuk ke dalam ruang masjid selepas waktu solat dan berharap orang ramai tidak tersalah anggap.
Foto
AHMAD (kanan) dan Ismail menunjukkan peti besi yang diumpil.

“Dalam kes terbaru itu, dua kipas angin dinding, dua kompreser alat penghawa dingin dan dua peti besi yang mengandungi sejumlah wang dilarikan selepas diumpil oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, bagi mengatasi kes kecurian berterusan, pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sudah bermesyuarat sekali gus bersetuju untuk memasang lapan kamera litar tertutup (CCTV) di semua pintu masjid dan kawasan berpotensi berlaku kecurian. 

Katanya, pemasangan CCTV berkenaan akan dilakukan dalam tempoh terdekat sebagai langkah terbaik bagi mengurangkan masalah kecurian itu. 

“Bukan setakat barang berharga, kain untuk melapik jenazah yang berharga RM50 turut dicuri pencuri dalam kejadian beberapa bulan lalu,” katanya.

Maut tak tahan kerja


Georgetown: Tekanan berikutan bebanan kerja dikatakan menjadi punca seorang jurutera muda di sebuah kilang terjun dari tingkat lapan bangunan Suntech, Pasaraya Sunshine Square, Bayan Baru, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi itu, Lau Chuen Wei, 24, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki. 
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang berseorangan memandu ke kawasan terbabit dan ketika itu dia berpakaian serba hitam dilihat seorang penjaga parkir berada dalam keadaan runsing di tingkat lapan bangunan itu. 

Beberapa minit selepas itu, mangsa dipercayai terjun sebelum mayatnya ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit sebelum menghubungi polis.
Foto
MAYAT mangsa dibawa ke HPP untuk bedah siasat, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal di Jalan Raja Uda, Butterworth dan berulang-alik ke tempat kerjanya setiap hari di Bayan Lepas.

“Kita belum mengetahui motif sebenar kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

“Setakat ini, kita sudah menghubungi ahli keluarga mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya. 

Menurutnya, hasil siasatan mendapati abang ipar Lau memberitahu mangsa mengalami tekanan perasaan sejak kebelakangan ini, tetapi tidak mengetahui puncanya. 

“Siasatan kita mendapati mangsa menaiki kereta Perodua Myvi dan masuk ke premis berkenaan kira-kira 15 minit sebelum itu dan dia ditemui mati terjatuh. 

“Selain itu, kita tidak menemui sebarang nota yang ditinggalkan mangsa. 

“Kita akan mengambil keterangan daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan individu terdekat yang mungkin mengetahui masalah dihadapi mangsa,” katanya. 

Beliau berkata, mangsa sebelum ini menuntut di sebuah kolej swasta dan sejurus tamat pengajian, dia bekerja sebagai jurutera dan mempunyai teman wanita yang bekerja sebagai pegawai bank.

Jaga haram bertindak agresif

Ipoh: Seorang pengawal keselamatan warga India yang bekerja secara haram di negara ini bertindak agresif mengamuk seperti watak kartun ‘Hulk’ ketika cuba ditahan anggota Jabatan Imigresen Perak hingga menyebabkan baju dan seluar dipakainya terkoyak.
Dalam kejadian pada jam 3 petang, semalam, lelaki berusia 30-an itu cuba ditahan untuk disoal siasat oleh sepasukan anggota Jabatan Imigresen Perak yang melakukan operasi khas bagi membanteras kehadiran pengawal keselamatan warga asing di bandar raya ini. 
Operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Perak Fara Natasha Ghafar itu mensasarkan enam pos kawalan keselamatan di kawasan kediaman dan premis perniagaan di sekitar Khantan, Bercham, Tambun dan Jelapang, di sini.

Fara berkata, operasi dilakukan hasil risikan dan maklumat awam berhubung kehadiran pengawal keselamatan warga asing yang disyaki menyalah gunakan pas lawatan sosial serta bekerja secara haram di negara ini.
Foto
SEBAHAGIAN daripada pengawal keselamatan warga asing yang ditahan.

Menurutnya, dalam operasi diadakan di sebuah pos kawalan keselamatan sebuah pangsapuri di Bercham, di sini, suspek seorang lelaki warga India berusia 36 tahun bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen.

“Dia yang ketika itu berpakaian seragam pengawal keselamatan bagaimanapun dikejar oleh anggota Jabatan Imigresen sejauh hampir 100 meter.

“Bagaimanapun, lelaki warga asing itu enggan menyerah diri dan bertindak meronta-ronta ketika mahu ditangkap.

“Malah, dia bertindak agresif melawan hingga menyebabkan baju dan seluar dipakai terkoyak,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap sebelum diperiksa.

“Siasatan mendapati lelaki terbabit menjadikan sebuah stor di pangsapuri itu yang diubah suai menjadi kediamannya.

“Kami menemui almari dan pakaiannya di dalam stor itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek terbabit tidak mempunyai dokumen dan permit kerja sah untuk bekerja di negara ini,” katanya.

Menurutnya, dalam satu lagi operasi berasingan di Tambun, seorang pengawal keselamatan warga asing akhirnya menyerah diri selepas penat berlari akibat dikejar anggota Jabatan Imigresen.

“Hasil operasi ini, seramai tujuh pengawal keselamatan warga asing membabitkan tiga lelaki warga Pakistan dan empat lelaki warga India berjaya diberkas.

“Lima daripada mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri manakala dua lagi memiliki pas yang sudah tamat tempoh,” katanya.

Cekak baju polis trafik


Kuala Pilah: Seorang lelaki bukan saja mencekak baju anggota polis trafik kerana tidak berpuas hati disaman Isnin lalu, malah memuat naik gambar tanda nama dan nombor anggota polis berkenaan dalam Facebook (FB) disertai nota mengandungi kata-kata tidak sopan.

Berikutan itu, lelaki berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah kira-kira jam 6.30 petang hari sama ketika dia berada di IPD Seremban dipercayai mahu membuat laporan kejadian pada sebelah pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi Isnin lalu, anggota berpangkat konstabel itu mengawal lalu-lintas di Jalan Datuk Ulu Muar, dekat sini.

“Ketika menjalankan tugas, anggota trafik berkenaan mengeluarkan saman terhadap sebuah kenderaan tanpa pemandu yang diletak di tepi jalan kerana menghalang lalu-lintas.

“Ketika itu muncul seorang lelaki iaitu pemilik kenderaan yang mempersoalkan tindakan anggota polis terbabit mengeluarkan saman dan seterusnya bertindak biadab mencekak baju anggota saya serta merakam gambar insiden itu menggunakan telefon bimbit,” katanya, di sini, semalam.



Menurutnya, bimbang berlaku ketegangan, anggota trafik itu meninggalkan tempat kejadian.

“Namun setibanya di IPD Kuala Pilah, anggota berkenaan membuka laman sosial FB dan terkejut apabila terdapat entri dipercayai ditulis lelaki berkenaan yang memakinya dengan perkataan tidak sopan.

“Malah, entri itu turut menyiarkan gambar nombor badan dan nama anggota itu, sekali gus menimbulkan rasa malu anggota trafik terbabit,” katanya.

Menurutnya, anggota berkenaan kemudian membuat laporan polis pada hari sama dan gerakan mengesan suspek dilakukan segera.

“Suspek ditahan di IPD Seremban dipercayai ketika mahu membuat laporan mengenai kejadian itu.

“Saya menasihatkan orang awam bekerjasama dengan polis dan jangan bertindak biadab kerana kami menjalankan tugas diamanahkan,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang jika sabit kesalahan membawa hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

Rumah sewa mahal alasan khalwat


Shah Alam: Rumah sewa mahal, tiada tempat tinggal dan baru tiba dari kampung. Itu antara alasan yang sering digunakan pasangan yang ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana berkhalwat.

Majoriti yang ditahan terdiri daripada pasangan berusia 20-an hingga 30-an dan tinggal serumah dengan pasangan masing-masing dengan memberi alasan kos sara hidup yang tinggi.


Mendedahkan perkara itu, Timbalan Pengarah JAIS Ahmad Zaki Arshad berkata, melihat kesalahan jenayah syariah itu antara yang tertinggi di negeri ini, pihaknya mengambil langkah proaktif untuk mengekang masalah ini daripada terus berlaku.

Beliau berkata, JAIS kini mempunyai 200 anggota penguat kuasa yang ditempatkan di semua Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi memantau perlakuan sumbang ini selain memantau jenayah syariah lain.


“Walaupun khalwat antara kes jenayah syariah yang tertinggi dicatatkan di negeri ini, namun ia masih lagi terkawal.


“Kerjasama erat semua pihak diharap dapat meningkatkan penguatkuasaan jenayah syariah, sekali gus dapat mengawal masalah ini daripada terus merebak dan menjadi wabak dalam masyarakat,” katanya selepas merasmikan Seminar Isu Perundangan Jenayah Syariah 2013, di sini, semalam.

Beliau berkata, operasi berterusan membanteras pusat maksiat seperti rumah urut dan hotel bajet yang dijalankan agensi penguat kuasa seperti polis dan Jabatan Imigresen banyak membantu mengurangkan kadar jenayah syariah di negeri ini.

Selain itu, katanya, kesedaran anggota masyarakat juga semakin meningkat dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah syariah yang berlaku di kawasan masing-masing.

Pasangan berhati syaitan!


Miri: Kelibat satu pasangan mencurigakan yang membawa beg plastik hitam di ladang sawit Regalot, Suai, Niah, dekat sini, membawa kepada penemuan mayat bayi baru lahir yang baru ditanam, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dilemaskan sebelum ditanam kerana pengawal keselamatan ladang yang mengesan kehadiran pasangan terbabit turut mendengar suara tangisan bayi. 
Sumber berkata, pengawal terbabit pada mulanya melihat pasangan dipercayai kekasih menceroboh masuk ke kawasan ladang dengan membawa beg plastik berwarna hitam. 

“Selepas diamati dari jauh, pasangan itu kemudiannya dilihat menggali lubang dan menanam suatu objek yang dikeluarkan daripada beg plastik hitam dibawa mereka.
Foto
MAYAT bayi lelaki ditemui ditanam dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

“Lebih mencurigakan apabila pengawal keselamatan terbabit turut terdengar suara tangisan bayi selama beberapa saat sebelum suara tangisan itu lenyap,” katanya.

Menurutnya, beberapa minit kemudian dua suspek terbabit dilihat beredar dari kawasan ladang dan tanpa membuang masa pengawal keselamatan itu bergegas membuat pemeriksaan. 

“Dia menemui kesan permukaan tanah baru digali lalu mengoreknya dan terkejut apabila melihat kaki kanan bayi di dalam lubang yang cuma sedalam kira-kira 0.3 meter,” katanya. 

Menurutnya, pengawal keselamatan terbabit memaklumkan perkara itu kepada pengurus ladang yang segera menghubungi polis. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathon Ringgit berkata, sebaik dimaklumkan mengenai penemuan bayi itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Pusat Miri bergegas ke lokasi kejadian. 

Katanya, sebaik tanah itu dikorek, polis menemui mayat seorang bayi lelaki cukup sifat serta masih bertali pusat dan dipercayai baru dilahirkan. 

“Mayat bayi itu dibungkus dengan kain lampin serta selimut yang mempunyai tulisan “Untuk Kegunaan Hospital.” 

“Berdasarkan keterangan pengawal keselamatan yang melihat gelagat dua suspek di lokasi kejadian polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dilemaskan dan ditanam. 

“Namun, polis masih menjalankan siasatan termasuk mendapatkan maklumat dari klinik kesihatan di Batu Niah dan Hospital Miri,” katanya. 

Stanley berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Miri pada jam 9.30 malam kelmarin untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Datuk tak mengaku tipu


Kota Bharu: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, bagi menghadapi tuduhan memperdaya seorang ahli perniagaan berhubung urusan pemindahan hak milik tanah Januari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Riduan Maudin, 34, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, Riduan didakwa mendorong dan memperdaya Sudirman Omar, 43, supaya menyerahkan geran tanah, borang 14A dan salinan kad pengenalan kepadanya, kononnya untuk membantu menguruskan hak pindah milik tanah milik Omar Abdullah, 79, kepada Sudirman sebelum menjual dan memindah milik tanah itu kepada orang lain.

Kesalahan didakwa dilakukan di Restoran Nasi Air Hidang Pok Sen, Jalan Padang Garong, di sini, antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, 7 Januari 2013.

Riduan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukri menawarkan jaminan RM7,500 dengan seorang penjamin.

Tertuduh tidak membantah terhadap jumlah jaminan yang ditawarkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan akibat meminta bantuan daripada Datuk, warga emas kerugian RM300,000 selepas tanahnya seluas 0.2 hektar dijual kepada orang lain dengan harga hanya RM70,000 tanpa pengetahuannya.

Lebih menyedihkan, rumah bernilai RM200,000 milik anak warga emas itu yang sudah siap dibina di atas tanah berkenaan, turut terjual.

Omar mendakwa dia menyerahkan geran tanah miliknya kepada Sudirman Januari lalu, bagi proses pecah lot untuk dibahagikan kepada dua daripada sembilan anaknya.

Bagaimanapun, katanya, anaknya itu meminta bantuan seorang lelaki berusia 30-an bergelar Datuk untuk mempercepatkan urusan serta menyerahkan RM5,000 sebagai upah kepada Datuk berkenaan.

Tarian ‘panas’ pub rimba


Kuala Lumpur: Berkonsepkan hutan rimba, sebuah pub bukan saja menyediakan pelayan pelanggan (GRO) seksi warga asing, malah turut menyiarkan tarian erotik di televisyen untuk tatapan pelanggan.
Difahamkan, pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen itu direka bentuk menggunakan buluh dan suasana gelap bagi menarik pelanggan yang inginkan kelainan ketika berhibur.
Bagaimanapun, taktik pemilik premis beralamat di tingkat 1, Pusat Komersil Cheras, di sini itu terbongkar selepas diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur, kira-kira 1.30 pagi semalam.

Dalam operasi yang diketuai Inspektor Zahirudin Baharum@Baharom bersama sembilan anggotanya, pub berkonsepkan rimba itu turut menggunakan perkhidmatan warga asing yang bekerja sebagai GRO bagi menarik minat pengunjung.
Foto
ANTARA GRO warga asing yang ditahan dalam operasi D7 IPK Kuala Lumpur di sebuah pusat hiburan.

“Seramai 28 pelanggan lelaki dan lima pelanggan wanita diperiksa dalam serbuan itu manakala enam wanita warga Thailand dan dua Vietnam pula ditahan kerana bekerja sebagai GRO.

“Semua GRO terbabit dibayar tip berdasarkan pembelian bir oleh pelanggan iaitu bagi empat botol bir berharga RM65, wanita itu akan mendapat tip RM3,” katanya.

Menurutnya, pusat hiburan ini sudah empat kali diserbu sebelum ini namun pemiliknya terus berdegil dengan membuka semula premis itu.

Katanya, turut ditahan seorang pekerja Myanmar yang memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang bekerja sebagai pekerja bar dan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis.

Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.

Artis berahi pada bayi

London: Penyanyi rock Ian Watkins semalam mengakui mengambil kesempatan atas statusnya sebagai selebriti untuk melakukan salah laku seks terhadap bayi dua peminatnya.
Aksi penyanyi kumpulan Lostprophets itu yang dikatakan pedofilia tegar dan komited mendera seorang bayi di depan ibu dapat dilihat pihak berkuasa dalam klip sepanjang 17 minit.
Dalam klip rakaman lain Watkins turut dipaparkan melakukan aksi seks maya melalui Skype dan memujuk seorang wanita lain mencabul anaknya sendiri.

Pegawai penyiasat, Peter Doyle menganggap bukti dikemukakan itu sebagai kes penderaan kanak-kanak paling kejam pernah diketahuinya.
Foto
PENYANYI Lostprophets Ian Watkins mengaku salah terhadap tuduhan seks termasuk merogol bayi.

“Saya yakin Ian Watkins menyalahgunakan statusnya sebagai seorang selebriti untuk mencabul kanak-kanak,” katanya.

Sebuah komputer riba yang dirampas dari rumah Watkins di Pontypridd turut menggunakan kata laluan lucah membabitkan kanak-kanak.

Malah, beberapa pesanan ringkas dihantar kepada seorang daripada ibu terbabit juga merujuk kepada perlakuan lucah terhadap budak selain mahu menggunakan bayi wanita itu sebagai hamba seks.

Watkins turut dikatakan menggunakan dadah, malah pernah mendedahkan keinginannya meniup dadah ke muka kanak-kanak dengan tujuan supaya mangsa pengsan.

Ujian dijalankan menunjukkan seorang daripada bayi terbabit turut didedahkan kepada dadah.

Dua ibu terbabit masing-masing berusia 21 dan 24 tahun turut menghadapi hukuman penjara kerana pembabitan mereka dalam kes itu.

Peguam belanya Sally O’Neill QC dilaporkan berkata, anak guamnya tidak ingat kejadian yang dirakamkan dalam video berkenaan.

Mahkamah dijangka menjatuhkan hukuman bulan depan.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/28