Bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia bercakap dengan anak bongsunya pada minggu lalu ketika menghubunginya untuk bertanya khabar.


Katanya, selepas bercerai, anaknya tinggal bersama bekas isterinya di Ampang, manakala dia kini tinggal di Lukut, Port Dickson.

“Polis menghubungi saya kelmarin, memaklumkan penemuan mayat anak dan saya bergegas ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS). Saya percaya anak saya dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dalam longkang.


Dompet hilang
“Ini kerana polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri, malah dompetnya juga hilang," katanya di sini, semalam.

Lelaki berusia 50-an itu bagaimanapun percaya, polis akan dapat menahan penjenayah berkenaan dalam masa terdekat dan yakin dapat menyelesaikan kes itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin, mayat mangsa dalam longkang di tepi jalan ditemui sepasang suami isteri yang melakukan riadah pagi di sekitar kawasan itu.

Mangsa mungkin dicekik sebelum mayatnya dicampak di situ berdasarkan kesan lebam di leher dan luka di bahagian badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, polis masih menunggu laporan bedah siasat dan akan mengetahui sebab kematian dalam tempoh terdekat.