Search This Blog

Sunday, November 17, 2013

Tindakan pantas selamatkan isteri

Tindakan pantas selamatkan isteriLelaki tersebut memaut kaki isterinya kira-kira 10 minit sebelum bantuan tiba.
BEIJING - CHINA. Tindakan pantas seorang suami berjaya menyelamatkan isterinya yang cuba terjun dari balkoni tingkat empat sebuah apartmen di Changjiang, selatan Pulau Hainan.

Menurut lelaki itu, isterinya melompat secara tiba-tiba dari balkoni selepas berlaku pertengkaran kecil.

"Saya sempat memaut salah satu kakinya hingga menyebabkan dia berada dalam keadaan tergantung kira-kira 10 minit sebelum bantuan tiba. Mujur dia tidak meronta ketika itu," katanya dalam laporan DailyMail.

Detik cemas tersebut berakhir selepas wanita itu diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Wanita itu kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan.

Rempuh pangsapuri, 2 maut

Rempuh pangsapuri, 2 mautSerpihan helikopter yang terhempas di Gangnam.
SEOUL - KOREA SELATAN. Dua juruterbang terbunuh selepas merempuh bangunan pangsapuri di daerah Gangnam, di sini, pagi semalam.

Jurucakap agensi pengurusan kecemasan berkata, helikopter milik LG Electronics Inc itu merempuh bahagian atas blok kediaman 30 tingkat sebelum terhempas.

“Nahas itu menyebabkan struktur bangunan dari tingkat 21 hingga 27 rosak teruk. Kami percaya punca nahas disebabkan kabus tebal,” katanya dalam laporan AFP.

Menurutnya, bagaimanapun kemalangan itu tidak mencederakan penduduk pangsapuri berkenaan.

Kapal kargo bawa 32 orang terbakar di Laut Utara


2013/11/17
 
STOCKHOLM: Sebuah kapal kargo yang membawa 32 orang terbakar di Laut Utara dan usaha untuk menyelamatkan mereka dibatalkan kerana cuaca buruk.

Jurucakap pasukan penyelamat, John Sjursoe berkata, 20 anak kapal dan 12 staf angkatan tentera menaiki kapal Britannia Seaways, berusaha memadamkan kebakaran yang bermula di bahagian kontena.

Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan dan api tidak merebak pada awal hari ini ketika kapal terbabit menuju Floroe di perairan Norway dan diiringi kapal penyelamat serta helikopter.

Sementara itu, jurucakap tentera, Ivar Moen berkata, kapal terbabit membawa kereta perisai dan peralatan ketenteraan dari utara Norway untuk menyertai latihan di selatan negara berkenaan. - AP 

Peralatan Bieber dirampas


2013/11/17
 
BUENOS AIRES: Peralatan konsert penyanyi terkenal Kanada, Justin Bieber dirampas di Argentina dalam satu pertikaian undang-undang dengan seorang jurugambar, permasalahan terbaru jelajah idola remaja itu di Amerika Selatan.

Hakim Maria Giraudi mengarahkan barangan milik Bieber ditahan selepas jurugambar Diego Pesoa memfailkan saman ganti rugi kerana mendakwa pengawal peribadi Bieber memukulnya menyebabkan peralatannya rosak ketika penyanyi terbabit meninggalkan sebuah kelab malam.

Peguam Pesoa, Matias Morla berkata Bieber memberikan arahan ‘memukul anak guamnya sebelum memasuki van.’

“Kastam merampas semua barangan Bieber selama 30 hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza membabitkan peralatan audio, bunyi, lampu dan pakaian yang digunakan ketika persembahannya,” kata sumber kastam.

“Ini adalah kali pertama kastam Argentina menahan barangan milik seorang artis luar negara,” kata sumber terbabit.

Pemilik sebuah kelab malam di Buenos Aires, Ink juga mendakwa Bieber meninggalkan premis itu tanpa membayar bil.

Bieber meninggalkan Buenos Aires esok untuk meneruskan jelajah ‘Believe Tour’ di negara jiran, Chile, dengan ramai orang tidak berpuas hati terhadapnya.
Pinak bendera Argentina

Bieber turut mencetuskan kejadian memijak bendera Argentina yang dilontarkan ke pentas ketika konsert.

Bieber kemudian memohon maaf membabitkan insiden itu, dengan menegaskan bahawa dia menyangka ia adalah baju seorang peminatnya. - AFP

E-mel virus ugut pelanggan bank

E-mel virus ugut pelanggan bankLumpuhkan sistem komputer, tuntut wang untuk pulih terminal

LONDON: Berjuta-juta emel sudah dihantar kepada pemilik komputer yang juga pelanggan bank di Britain bertujuan melepaskan virus untuk melumpuhkan sistem komputer dan menuntut wang jika mereka mahu terminal kembali pulih.
Sky News pula menyatakan, penghantaran emel 'spam' itu juga bertujuan mendapatkan butir-butir kewangan mangsa.

Kami bekerjasama dengan pihak berkenaan dan rakan luar negara untuk mengenal pasti dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan." Lee Miles, Timbalan Ketua Unit Jenayah Siber Kebangsaan (NCCU)

Setiap emel akan membawa lampiran kelihatan seperti fail, faks, pesanan suara, invois atau butir-butir urus niaga mencurigakan tetapi ia sebenarnya virus untuk mengawal komputer pengguna.

Apabila itu berlaku, skrin komputer akan menunjukkan arahan pembayaran dua 'Bitcoin' kira-kira £536 (RM2,626) sekeping untuk dimaklumkan cara menggunakan semula komputer mereka.

Timbalan Ketua Unit Jenayah Siber Kebangsaan (NCCU), Lee Miles, berkata: "Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) kini aktif memburu penjenayah yang melakukan jenayah ini.

"Kami bekerjasama dengan pihak berkenaan dan rakan luar negara untuk mengenal pasti dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan."
NCA yang baru beroperasi bulan lalu sedang aktiviti penghantaran emel itu sedang berjalan dengan orang ramai menerima emel seolah-olah dari bank dan institusi kewangan.

NCA juga menasihatkan pengguna supaya tidak membayar wang kepada penjenayah terbabit serta memberi amaran mereka tidak semestinya akan diberi jalan keluar untuk memulihkan komputer mereka.

Serangan menerusi emel itu dilaporkan ketika institusi kewangan Britain sedang menjalankan latihan keselamatan siber besar-besaran diberi nama 'Walking Shark 2' dengan kerjasama Perbendaharaan dan Bank of England.

Pakar menasihatkan pengguna komputer dan internet supaya tidak mengklik mana-mana lampiran emel sebaliknya menggunakan perisian keselamatan anti virus terbaru bagi menghalang mereka menjadi mangsa.

Selain itu, jika ada komputer kena virus emel berkenaan yang digelar 'Cryptolocker', ia perlu dimatikan dan meminta bantuan pakar untuk membersihkannya. - AGENSI

Lelaki Myanmar mati dibunuh


BEBERAPA anggota polis mengangkat mayat seorang lelaki warga asing yang ditemui mati dalam keadaan mengerikan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
BUKIT MERTAJAM 16 Nov. - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan usus terburai dan leher dikelar dipercayai dibunuh di kawasan semak berhampiran Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, dekat sini hari ini.
Mayat mangsa berusia lingkungan 30-an yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri tetapi dipercayai warga Myanmar itu ditemukan oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut pada pukul 9.30 pagi.
Mangsa yang memakai baju T berwarna oren dan seluar jean biru dijumpai dalam keadaan terlentang.
Seorang saksi ditemui di tempat kejadian yang enggan dikenali memberitahu, dia pergi ke lokasi kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi selepas dimaklumkan oleh rakannya mengenai penemuan mayat tersebut.
Katanya, dia mengesyaki mangsa bukan penduduk tempatan kerana tidak pernah melihat kelibat lelaki terbabit di kawasan kampung tersebut.
"Apabila diberitahu oleh seorang rakan, saya yang baharu habis berniaga berhampiran tempat kejadian terus pergi untuk melihat keadaan mangsa.
"Tiba di lokasi kejadian, saya lihat mangsa terbaring berlumuran darah, ada kesan kelar di bahagian leher dan tikaman di perutnya," katanya.
Menurutnya, dia terkejut dengan kejadian pembunuhan itu kerana pertama kali berlaku di kawasan tersebut.
Sementara itu, anggota polis dari Unit Forensik yang memeriksa tempat kejadian telah menemui sebuah beg pakaian dipercayai milik mangsa kira-kira 50 meter dari mayat lelaki berkenaan.
Jurucakap polis berkata, motif kejadian dipercayai samun kerana tiada dompet dan dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131117/je_07/Lelaki-Myanmar-mati-dibunuh#ixzz2krefCPFg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Op Cantas Khas: 122 ditahan


BEBERAPA anggota polis memeriksa dokumen warga asing yang ditahan dalam Op Cantas Khas di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 16 Nov. - Polis menahan 122 individu termasuk 114 rakyat asing kerana terlibat melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Cantas Khas di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya dekat sini malam tadi.
Operasi selama lima jam bermula pukul 7.30 malam itu dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan kekuatan 50 pegawai dan 381 anggota.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, operasi di lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di daerah itu melibatkan sekatan jalan raya dan pemeriksaan di tujuh blok pangsapuri 17 tingkat berkenaan.
"Hasil pemeriksaan, kami telah menahan seramai 122 individu terdiri daripada 86 lelaki dan 36 perempuan.
"Antara ditahan ialah 33 warga Nepal, 28 Indonesia, 13 Nigeria dan pelbagai negara lain.
"Pemeriksaan dilakukan di setiap blok bagi memastikan tiada warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah terlepas," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai operasi.
Mohd. Adnan berkata, operasi kali ini memberi tumpuan kepada pencegahan jenayah, gangsterisme, dadah, jenayah komersial dan masalah warga asing di lokasi sasaran.
Beliau berkata, pihaknya percaya kebanyakan warga asing yang tinggal di pangsapuri terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Tambahnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan dokumentasi dan ujian air kencing.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131117/je_06/Op-Cantas-Khas-122-ditahan#ixzz2kreOBQCq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kes MPV dilarikan di Maran, wujud unsur cuai anggota - KPN


KHALID Abu Bakar (dua dari kanan) memerhatikan pasukan Op Cantas Khas Wanita semasa menghadiri Program Bersama Rakyat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang 2013 di pusat beli-belah Queensbay Mall, Georgetown, semalam. - BERNAMA
PULAU PINANG 16 Nov. - Siasatan awal mendapati wujud unsur kecuaian polis berhubung kejadian seorang lelaki melarikan kenderaan peronda polis (MPV) sebelum terbabit dalam nahas jalan raya di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Maran, Pahang, Khamis lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sehubungan itu tindakan akan diambil kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan siasatan akan dilakukan secara telus dan menyeluruh tanpa melindungi kesalahan yang dilakukan anggota polis.
"Pada masa ini, kita tidak mahu sebarang andaian dibuat sehingga siasatan selesai dan perkara sebenar kejadian itu akan diumumkan nanti.
"Prosedur meninggalkan MPV sememangnya ada dan jelas dalam kejadian ini wujudnya kecuaian di pihak anggota terlibat dan tindakan semestinya diambil," katanya selepas merasmikan Program Bersama Rakyat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang 2013 di pusat beli-belah Queensbay Mall, di sini hari ini.
Program kerjasama antara MCPF dan polis kontinjen negeri itu merupakan kali ketiga dianjurkan tahun ini dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap jenayah selain peranan masyarakat apabila berhadapan dengan jenayah.
Dalam kejadian itu, Muhd. Nasrulfahmi Abdul Nasir, 22, bertindak menyerang dan merampas sepucuk pistol anggota polis peronda lebuh raya sebelum melarikan MPV pasukan tersebut.
Lelaki itu yang memecut kenderaan berkenaan kemudian meninggal dunia selepas MPV dipandunya terbabas dan melanggar tiang sebuah perhentian bas.
Mengenai laporan bedah siasat yang menunjukkan kematian lelaki itu berpunca akibat kesan tembakan, Khalid berkata, pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan dari semua sudut.
"Melalui siasatan awal menunjukkan dia sendiri yang melepaskan tembakan, namun kita akan pastikan situasi sebenarnya dan saya sendiri akan ke Pahang untuk berjumpa anggota terlibat," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131117/je_02/Kes-MPV-dilarikan-di-Maran-wujud-unsur-cuai-anggota---KPN#ixzz2kre7YnnC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Demonstrasi ganas Libya ragut 43 nyawa


Orang ramai membantu seorang lelaki yang cedera dalam demonstrasi menggesa pengunduran kumpulan militia yang bertukar menjadi ganas di Tripoli, kelmarin. - REUTERS
TRIPOLI 16 Nov. - Sekurang-kurangnya 43 orang semalam terbunuh dan beratus-ratus orang lagi cedera, selepas tunjuk perasaan secara aman bagi menggesa kumpulan militia keluar dari ibu negara ini, bertukar menjadi ganas.
Beratus-ratus orang membawa bendera putih sebagai tanda keamanan dan menyanyi lagu kebangsaan berhimpun di Dataran Meliana di sini bagi mendesak pengunduran kumpulan militia tersebut.
Kumpulan militia berkenaan merupakan antara yang terlibat dalam kebangkitan rakyat serta membantu menggulingkan bekas pemimpin, Muammar Gaddafi dan kini menjadi kumpulan berpengaruh di negara ini.
Penunjuk perasaan tersebut membawa sepanduk yang tertera 'Tidak kepada militia' dan 'Ya kepada pasukan polis dan tentera', sebelum berarak ke ibu pejabat militia di Gharghour, Misrata.
Apabila penunjuk perasaan itu mendekati ibu pejabat tersebut, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan menyebabkan dua orang cedera, lapor seorang koresponden AFP.
Roket turut dilancarkan ke arah jalan raya berhampiran penunjuk perasaan berkenaan, namun tidak mendatangkan sebarang kecederaan.
Ekoran kejadian tembakan itu, sekumpulan lelaki bertindak menyerang dan membakar bangunan berkenaan.
Menteri Kesihatan, Nureddin Doghman berkata, 32 orang terbunuh manakala 391 orang lagi mengalami kecederaan namun jumlah itu dijangka terus meningkat.
Saksi berkata, letupan dan tembakan berlaku sepanjang malam di beberapa buah kawasan di Tripoli.
Sementara itu, kerajaan menggesa gencatan senjata dilaksanakan.
''Kami menggesa pihak bertelagah melaksanakan gencatan senjata supaya kerajaan boleh mengambil beberapa langkah yang perlu untuk mengembalikan semula keamanan di ibu negara,'' kata Menteri Kebudayaan, Hassan al-Amin. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131117/lu_03/Demonstrasi-ganas-Libya-ragut-43-nyawa#ixzz2krdJCTMq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mangsa Taufan Haiyan tinggalkan Leyte


Sebahagian daripada mangsa taufan Haiyan tiba di Manila dari Tacloban dengan bantuan pesawat tentera, semalam. - AFP
TACLOBAN 16 Nov. - Beribu-ribu penduduk mula meninggalkan kawasan yang teruk dilanda Taufan Haiyan di sini, walaupun usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan dipertingkatkan.
Penduduk di wilayah Leyte tersebut berpaksa mengambil tindakan tersebut ekoran bekalan makanan dan air bersih masih berkurangan selain bekalan elektrik belum dipulihkan.
Malah, mangsa bencana alam itu terpaksa tinggal dalam kem pemindahan sementara yang kotor dan sesak atau pondok yang dibina sendiri sementara menunggu bantuan disalurkan.
Penduduk berkenaan bertindak menumpang kenderaan tentera, keluar dari bandar Tacloban dan menuju ke Manila atau Cebu, manakala bagi yang berkemampuan, mereka menaiki penerbangan komersial atau menyewa pesawat.
Pegawai tentera laut Filipina, Leftenan James Reyes berkata, mereka membantu memindahkan kira-kira 3,000 penduduk sejak dua hari lalu dan masih ramai yang beratur untuk menaiki kapal yang dijadualkan belayar esok.
"Selagi ada penduduk yang mahu keluar dari Tacloban, pihak tentera bersedia membantu mereka," jelasnya.
Syarikat Penerbangan Filipina (PAL) dan Cebu Pasific Air turut menambah penerbangan dari Cebu ke Leyte sebagai usaha membantu penduduk keluar dari Tacloban.
Angka rasmi korban Taufan Haiyan yang terbaharu menunjukkan seramai 3,620 orang disahkan terbunuh manakala 1.9 juta penduduk terpaksa dipindahkan.
Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan menerima dana bantuan berjumlah AS$72 juta (RM230 juta) daripada masyarakat antarabangsa untuk disalurkan pada mangsa Taufan Haiyan.
Pengarah operasi bantuan kemanusiaan PBB, John Ging berkata, Kuwait dan Arab Saudi merupakan penyumbang terbesar dengan masing-masing menyalurkan AS$10 juta (RM32 juta).
"Sebelum ini, PBB telah menyalurkan lebih AS$80 (RM255 juta) kepada misi bantuan kemanusiaan Filipina," katanya . - AFP/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131117/lu_02/Mangsa-Taufan-Haiyan-tinggalkan-Leyte#ixzz2krciZsCD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis syor haram bot pam elak jenayah culik di Sabah Abu Sayyaf culik wanita


KHALID mencadangkan bot pam diharamkan di perairan Sabah bagi mengelak kejadian jenayah culik di negeri itu.


KUALA LUMPUR - Kumpulan militan Abu Sayyaf dipercayai terlibat dalam kes culik dan bunuh pasangan suami isteri warga Taiwan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar kecil) berkata, pengganas terbabit dipercayai bergerak dalam kumpulan seramai lapan orang dengan menaiki bot pam dan menculik mangsa untuk dijadikan tebusan.
Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini belum ada tuntutan tebusan dibuat dan usaha mengesan mangsa masih diteruskan dengan bantuan pihak berkuasa di Filipina.
"Kita percaya kumpulan militan ini mengambil kesempatan memasuki perairan Sabah kerana pasukan bersenjata Filipina telah dikerah ke utara untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam Taufan Haiyan. Jadi ia memudahkan pengganas untuk melakukan jenayah," kata beliau selepas menghadiri Majlis Sunathon (berkhatan beramai-ramai) Program Gaya Hidup Sihat di sini semalam.
Selain itu, Khalid berkata, beliau telah berunding dengan Angkatan Tentera Malaysia bagi meningkatkan kawalan di perairan Sabah berikutan perkembangan itu.
Dalam kejadian tersebut, seorang pelancong lelaki warga Taiwan, Lin Min Hsu, 57, ditembak mati manakala isterinya, juga warga Taiwan, An Wei Chang, 58, dilarikan kumpulan terbabit.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2krc8VdDL 
Hakcipta terpelihara 

Taktik baru edar dadah


Kampar: Seorang pengedar dadah dikesan menggunakan paip PVC (Polyvinyl Chloride) yang ditanam di kawasan kebun pisang sebagai taktik untuk menyembunyikan peket ganja.
Suspek berusia 28 tahun dan mempunyai 12 rekod jenayah lampau bagaimanapun berpura-pura tidak mengetahui kewujudan dadah di dalam batang paip itu sebaik diberkas polis jam 6 petang semalam. 
Sumber polis berkata, kegiatan suspek berjaya dibongkar selepas sepasukan anggota anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar melakukan serbuan di kawasan kebun pisang berhampiran Simpang Pulai di sini. 

Menurutnya, serbuan diketuai Inspektor Muhammad Ikhbal Mohd Isa dilakukan selepas polis mendapat maklumat kediaman berhampiran kebun pisang itu dihuni pengedar dadah.
Foto
PAIP PVC yang digunakan suspek untuk menyembunyikan dadah di kebun pisang.

“Suspek yang ditahan ketika serbuan mengaku bahawa kebun pisang itu miliknya. Polis kemudian melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan kebun pisang itu yang disyaki dijadikan lokasi untuk menyembunyikan dadah.

“Hasil pemeriksaan, anggota polis menemui sebatang paip PVC berwarna putih di bawah perdu pokok pisang. Paip itu ditutup pada bahagian hadapan dan belakangnya,” katanya. 

Polis yang melakukan pemeriksaan kemudian menemui sembilan peket plastik lutsinar berisi ketulan dan ceraian daun kering dipercayai ganja. 

“Semua dadah itu seberat lebih 370 gram dianggarkan bernilai lebih RM500. Suspek yang disoal siasat bagaimanapun berpura-pura terkejut dan tidak mengaku dadah itu adalah miliknya. 

“Suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Rifel tenggelam ditemui


Lundu: Tiga laras senjata api jenis M-16 yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam membabitkan sepasukan anggota Batilion 11, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawah Kuching, kelmarin ditemui tertimbus dalam pasir di dua lokasi berhampiran pagi semalam.
Dua daripada tiga rifel yang dilaporkan berjaya dikesan pada jam 8.20 pagi manakala, satu lagi ditemui kira-kira lima meter dari tempat bot karam yang menyebabkan Koperal Ahmad Zaidi Manan, 38, dikhuatiri lemas pada jam 10.05 pagi. 
Timbalan Pesuruhjaya Polis Datuk Law Hong Soon berkata, ketiga-tiga senjata itu sudah ditemui termasuk milik mangsa berhampiran lokasi bot karam dan usaha mencari serta menyelamatkan mangsa masih diteruskan. 

Katanya, dalam kejadian 3 petang itu bot milik penduduk kampung yang disewa mangsa bersama empat rakan lain untuk menjalani penggambaran dokumentari pendek, karam dipukul ombak.
Foto
M-16 yang ditemui tertimbus di lokasi kejadian.

“Mangsa datang ke lokasi ini untuk menjalani penggambaran bersama empat rakannya dan kumpulan itu ditugaskan berlakon sebagai lanun dalam satu babak operasi yang turut membabitkan polis.

“Kru penggambaran daripada syarikat produksi tempatan menaiki bot lain untuk merakamkan aksi mereka tetapi malangnya ombak kuat menyebabkan bot dinaiki mangsa terbalik dan karam,” katanya. 

Penggambaran dokumentari itu dibuat untuk ditayangkan pada 6 Disember ini sempena majlis makan malam Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia peringkat Sarawak. 

Law berkata, ia dirakam untuk mempromosikan langkah pencegahan jenayah, selain memaparkan aktiviti polis, dengan bantuan PGA. 

Katanya, lima mangsa lain berjaya menyelamatkan diri, manakala Ahmad Zaidi masih hilang. 

“Gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan dalam lingkungan lapan hingga sembilan kilometer membabitkan kekuatan seramai 114 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan polis. 

“Polis turut menggunakan pesawat Pilatus Porter untuk mengesan mangsa dari udara, selain gerakan di muara sungai serta laut,” katanya.

Pelik anjing menyalak


Klang: “Saya terdengar salakan sekumpulan anjing di luar rumah kira-kira jam 4 pagi dan keluar untuk meninjau.
“Bagaimanapun, apabila melihat tidak ada apa-apa yang mencurigakan, saya masuk semula ke rumah sebelum adik memaklumkan mengenai mayat di seberang jalan,” kata seorang penduduk sebuah kawasan perumahan di Jalan Goh Hock Huat di sini semalam. 
Dia yang enggan dikenali antara saksi awal yang menyedari penemuan mayat berkenaan sejurus adiknya memaklumkan kejadian berkenaan ketika dia mahu ke tempat kerja. 

Mayat ditemui orang ramai dengan kaki dan tangan terikat menggunakan tali sebelum memaklumkan kepada pihak polis yang tiba beberapa minit kemudian.
Foto
MAYAT lelaki dipercayai dibunuh lokasi berasingan sebelum dibuang di hadapan sebuah kedai mencuci kereta.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menerima laporan mengenai mayat dipercayai warga asing itu kira-kira jam 8.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis percaya mangsa berusia lingkungan 20-an dan dipercayai mati akibat dipukul berikutan penemuan beberapa kesan lebam di seluruh badan. 

“Mangsa mungkin dibunuh menggunakan kaedah penderaan kerana pemeriksaan forensik kita tidak menemui sebarang tanda kecederaan lain pada badannya kecuali kesan lebam. 

“Mangsa juga dipercayai sudah mati beberapa jam sebelum dibuang berhampiran timbunan sampah berhadapan sebuah kedai mencuci kereta, namun pihak kami masih perlu menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Mohamad Shukor berkata, mangsa dipercayai dipukul dengan senjata keras dan mengalami kecederaan dalaman.

Presiden KP1M cedera dihempap besi

TACLOBAN (Filipina): Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim cedera di kepala selepas besi yang digunakan untuk mendirikan khemah, tumbang ditiup angin kencang dan menghempap kepalanya di kawasan operasi sukarelawan KP1M di Lapangan Terbang Daniel Z Romualdez, Tacloban di sini, semalam.
Kejadian kira-kira 1.45 tengah hari waktu tempatan itu berlaku ketika beliau sedang mengadakan perbincangan bersama anggota sukarelawan setelah selesai melakukan lawatan dan menyerahkan bantuan di kawasan berdekatan. 
Selepas kejadian itu, beliau terus dibawa ke klinik lapangan yang diselenggara Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia, di sini dan menerima empat jahitan dan suntikan antitetanus.

Keadaan beliau bagaimanapun dilaporkan stabil. - BERNAMA
Foto
AZEEZ menerima rawatan setelah cedera di kepala akibat dihempap besi yang digunakan untuk mendirikan khemah.

Lelaki maut leher dikelar, perut ditikam


Bukit Mertajam: Penduduk Kampung Tok Panjang, dekat sini gempar dengan insiden pembunuhan selepas menemui mayat seorang lelaki dibunuh berhampiran kawasan belukar di sini, semalam.
Mayat lelaki dipercayai warga Myanmar berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang awam yang melalui kawasan itu dengan kesan kelar di leher dan tikaman di bahagian perut.
Saksi Roslan Abdul Rahman, 53, berkata dia ke lokasi kejadian jam 9.30 pagi untuk melihat kejadian itu sebaik diberitahu rakan.
Katanya, dia mengesyaki mangsa bukan orang tempatan kerana tidak pernah melihat kelibat lelaki berkenaan di kawasan kampung itu.
“Apabila diberitahu seorang rakan, saya yang baru habis berniaga berdekatan tempat kejadian terus pergi untuk melihat keadaan mangsa yang terbaring berlumuran darah.
“Terdapat kesan kelar di bahagian leher dan tikaman di bahagian perut.
Selepas itu, rakan saya terus menghubungi polis,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Roslan berkata, dia terkejut dengan kejadian pertama kali yang berlaku di kawasan itu dan tidak pasti sama ada dipercayai berpunca daripada gaduh atau sebaliknya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, sepasukan polis dari Unit Forensik ke tempat kejadian sejurus mendapat panggilan daripada orang awam.
Katanya, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
Difahamkan, motif pembunuhan dipercayai ada kaitan dengan kes samun kerana hasil siasatan mendapati tiada dompet duit dan dokumen ditemui pada mangsa.

Memang salah saya


Ipoh: “Memang salah saya! saya mengaku menyebarkan maklumat berunsur fitnah di laman media sosial menuduh Restoran Nasi Kandar Vanggey menggunakan resipi najis manusia dalam masakan dijual,” kata seorang bakal guru yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 24.
Wanita berasal dari Batu Gajah itu tampil memohon maaf secara terbuka kepada pihak pengurusan restoran apabila isu itu dilihat semakin serius dan menjadi isu besar terutama kepada penduduk sekitar bandar raya ini. 
Siti yang ditemui di restoran nasi kandar cawangan Greentown, di sini, semalam, membuat permohonan maaf kepada pengurusan restoran Nasi Kandar Vanggey cawangan Greentown, di sini, selepas kenyataannya itu mendatangkan impak negatif hingga menjejaskan perniagaan restoran terbabit. 

“Saya langsung tidak mempunyai niat untuk menghina restoran itu kerana kenyataan berkenaan diambil daripada salah seorang kenalan di laman sosial Facebook pada 12 November lalu.
Foto
SITI menunjukkan laporan polis.

“Namun perkara itu bertambah serius apabila kenyataan itu disalin paparan skrinnya lalu dimuat naik oleh rakan Facebook,” katanya.

Menurutnya, gambar kenyataan itu kemudiannya tersebar secara meluas dan dia hanya mengetahui kira-kira 9 jam berikutnya. 

Siti berkata, akibat daripada penyebaran itu, segala tomahan dan perkara tidak benar mula merebak dengan begitu pantas hingga menjejaskan nama baik restoran Vanggey atau juga dikenali sebagai ‘nasi ganja’ oleh masyarakat sekitar bandar raya Ipoh. 

“Ekoran itu, saya kemudian segera membuat laporan polis pada 14 November lalu bagi mengelakkan kenyataan itu terus tersebar di laman sosial. Selain itu juga, saya membuat laporan polis memaklumkan segala kenyataan sebelum ini palsu dan tidak benar,” katanya. 

Katanya, pihak pengurusan Nasi Kandar Vanggey juga kesal dengan sebaran fitnah itu dan ada berbincang dengannya untuk membersihkan semula imej restoran itu yang tercemar. 

“Saya akui fitnah itu menyebabkan pelanggan yang sering berkunjung ke premis berkenaan akan lari. Di sini, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa segala tuduhan yang dibuat sebelum ini palsu,” katanya.

Pengawal kejam wajah selamba

Petaling Jaya: Suspek utama kes menembak mati pegawai AmBank Norazita Abu Talib muncul di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, di sini, semalam, dengan wajah selamba selain penampilan tidak bermaya.
Dia yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa ke mahkamah untuk disambung reman sebelum Majistret Surya Wati Shawal mengeluarkan perintah sambung reman selama tujuh hari sehingga 23 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 
Ketika wajahnya mahu dirakam jurugambar media, suspek hanya melontar pandangan kosong dan sedikit pun tidak memberi reaksi menolak gambarnya dirakam seperti kelaziman dilakukan suspek kes jenayah lain.

Lelaki menggunakan MyKad palsu dengan nama Ardi Hamza itu ditahan di jeti Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor dipercayai untuk meloloskan diri ke Batam pada 10 November lalu, selepas 19 hari bersembunyi di rumah dan bangunan kosong sekitar negeri itu.
Foto
LAODE Ardina ketika dibawa ke mahkamah.

Polis juga mengesahkan identiti sebenar suspek itu sebagai Laode Ardina Laode Rasila, 35, berasal dari Sulawesi, Indonesia.

Suspek sebelum ini menggunakan nama dan MyKad palsu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan di ibu negara dan mengaku membeli MyKad itu daripada seorang lelaki warga Indonesia yang berada di negara ini dengan harga tertentu.

Hampir pitam dengar berita



Gerik: “Saya hampir pitam sebaik diberitahu anak (Fatin Ezwani, 22,) yang bakal melangsungkan perkahwinan dan sepupunya, (Siti Nursyafiqah, 17,) maut serentak selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta,” kata Umi Kalsum Mat Jusi, 51.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari kelmarin, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal dirempuh sebuah kereta Toyota Altis di Kilometer 60.4, Jalan Kuala Kangsar-Gerik di sini.

Kereta berkenaan yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Baling, Kedah, dikatakan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang kedua-dua mangsa.

Kemalangan itu menyebabkan Siti Nursyafiqah Muhamad Fuzi,pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad (SMKDA) Lenggong yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Fatin Ezwani Mohd Zahidi, 22, maut akibat kecederaan parah ke kepala.

Nahas itu turut menyebabkan penumpang kereta yang melanggar mangsa, Muhamad Riduan Hashim, 34, maut manakala isteri dan dua anaknya cedera dan dirawat di Wad Kecemasan Hospital Gerik.

Umi Kalsum yang menetap di Felda Lawin Selatan Gerik di sini, berkata, dia tidak menyangka anak kandung dan anak saudara yang amat disayanginya itu maut sejurus terbabit kemalangan itu.

“Fatin Ezwani menjual burger di depan rumah dan bakal berkahwin pada Februari depan.

Fatin anak kelima daripada enam beradik suka berniaga dan rajin bekerja.

“Siti Nursyafiqah pula tinggal bersama kami sejak setahun lalu selepas bertukar sekolah dari Selangor ke Lenggong.


Dia menetap bersama saya berikutan ibu bapanya bekerja di Genting Highlands,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa amat rapat dan sering ke mana saja sejak Siti tinggal bersama mereka.

“Sejak beberapa hari lalu mereka menjadi sangat pendiam serta enggan bercakap dengan saya dan ahli keluarga lain.

Lemas cuba selamat rakan


Jeli: Memilukan apabila seorang penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang cuba menyelamatkan rakan sekuliahnya, turut lemas sebelum mayat mereka ditemui selang 10 minit di Lata Renyok, Kuala Balah, di sini, kelmarin.
Kejadian jam 4.30 petang itu berlaku ketika Mohd Azim Sameer Nor Zamri, 21, dari Klang, Selangor dan Mohd Zulfikal Mohd Saupi, 20, dari Panglima Bayu, Tanah Merah, kedua-duanya penuntut Fakulti Industri Asas Tani UMK Jeli, mandi di kawasan dalam bersama sebahagian daripada 13 rakan yang berkelah di air terjun itu. 
Ketika mandi, Mohd Zulfikal kejang kaki dan lemas sebelum Mohd Azim yang berada di tebing berenang semula ke arah rakannya untuk menyelamatkannya tetapi turut lemas. 

Saksi kejadian, Mohd Sharil Hakimi Baharudin, 20, yang turut serta dalam perkelahan itu berkata, dia dan beberapa rakan lain tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas.
Foto
MAYAT Azim dan Zulfikal yang lemas ketika mandi di Lata Renyok.

“Saya tidak menyertai mereka mandi di tempat dalam dan hanya memerhati mereka berenang. Tiba-tiba Mohd Zulfikal meminta tolong kerana kakinya kejang dan dia lemas sebelum Mohd Azim berenang ke arahnya, tetapi turut lemas.

“Kedua-dua mangsa terkapai-kapai sebelum lemas. Saya dan rakan lain terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya. 

Anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat menemui mayat Mohd Azim pada 5.26 petang sebelum diikuti Mohd Zulfikal 10 minit kemudian, tidak jauh antara satu sama lain. 

Mayat dua rakan itu dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mereka untuk dikebumikan. 

Jenazah Mohd Zulfikal dituntut ahli keluarganya jam 11 malam tadi manakala jenazah Mohd Azim Sameer diuruskan pihak UMK untuk dihantar ke kampungnya di Klang, Selangor. 

Abang Mohd Zulfikal, Nor Akmal Saupi, 28, berkata, kali terakhir dia berjumpa adiknya pada Selasa lalu ketika mangsa bercuti di kampung. 

“Adik tidak menunjukkan perubahan ketika kami sekeluarga berjumpa dengannya. Kami sekeluarga terasa kehilangannya namun kami reda kerana Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Soleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.53 petang sebelum tujuh anggota bomba dan sebuah jentera serta 16 anggota bomba sukarela Jeli dan Kuala Balah ke tempat kejadian. 

“Anggota bomba turut dibantu penduduk kampung dan kita mengambil masa 23 minit bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tenggelam berhampiran satu sama lain dalam kedalaman 3.6 meter. 

“Mangsa pertama (Mohd Azim) ditemui jam 5.26 petang sebelum diikuti mangsa kedua (Mohd Zulfikal) kira-kira 10 minit kemudian,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ajal balik ziarah saudara meninggal


Kuala Pilah: Dua warga emas yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Gombak, Selangor selepas menziarahi seorang saudara yang meninggal di Kampung Terusan Seberang, di sini, maut apabila kereta dinaiki mereka dirempuh lori dari arah belakang di Kilometer (KM) 24.5, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di Terachi, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang, Hussain Abu, 76, dan isterinya Hasnah Ahmad, 68, mengalami pendarahan serius di kepala dan badan sebelum meninggal dunia jam 5.30 petang di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah. 
Pemandu kereta, Nurshaheera Zainurin, 21, yang juga cucu dan anak mangsa, Sofia, 48, hanya cedera ringan. 

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, kedua-dua mangsa bersama anak cucunya datang ke kampung terbabit, Selasa lalu, untuk menziarahi seorang saudara yang meninggal dunia.
Foto
KERETA Perodua Kelisa terjunam ke dalam parit selepas dirempuh lori tangki.

“Kira-kira jam 3 petang semalam (kelmarin) mangsa menyatakan hasrat mahu pulang ke Gombak biarpun kami menghalang dan memintanya bermalam di sini.

“Namun, mereka menolak dan meneruskan perjalanan sebelum kami dihubungi dan dimaklumkan mengenai kemalangan itu,” katanya. 

Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kepis, Juasseh, di sini, semalam. 

Saksi kemalangan yang hanya ingin dikenali Razali, 40-an, berkata, sebelum kejadian, keempat-empat mangsa dilihat menaiki kereta jenis Perodua Kelisa dan dalam perjalanan dari Kuala Pilah menuju ke Seremban. 

“Bagaimanapun, tiba-tiba pemandunya (Nurshaheera) membuat pusingan U untuk ke sebuah kedai di tepi jalan, menyebabkan sebuah lori dari arah Seremban merempuh belakang kenderaan itu,” katanya. 

Katanya, akibat rempuhan lori berkenaan, dua warga emas itu yang berada di tempat duduk belakang cedera parah. Bagaimanapun, pemandu lori tidak cedera. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.

Ibu tunggal gagal selamat anak didera

Jertih: Usaha seorang ibu tunggal berjalan 500 meter menghantar anaknya yang parah dan tidak sedarkan diri dipercayai akibat didera dari Kampung Seberang Jertih ke pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), di sini, ternyata sia-sia apabila anaknya disahkan meninggal dunia, kelmarin.
Puteri Nur Qristina Balqis Abdullah, 3, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Besut selepas dihantar anggota JPAM ke hospital, jam 8 malam. 
Allahyarham bersama ibunya, Nur Farah Ain Adila Che Ariffin, 23, yang tinggal dengan keluarga angkat di Kampung Seberang Jertih, di sini, meninggal dunia selepas cedera parah dan lebam di dahi, pipi, belakang serta bawah mata kanan.

Pengurusan Hospital Besut kemudian menghantar jenazah mangsa ke Hospital Kemaman jam 11 pagi semalam untuk dibedah siasat oleh pakar forensik yang didatangkan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Foto
QRISTINA meninggal dunia sejurus sampai di pejabat JPAM ketika dihantar oleh ibunya.

Sementara itu, Hasima Abdullah, 44, yang juga ibu angkat Nur Farah Ain berkata, dia langsung tidak menyedari kejadian berkenaan meskipun berlaku di rumahnya.

“Tiba-tiba saja dia (Nur Farah Ain) meminta saya menemaninya ke pejabat JPAM untuk membawa anaknya yang ketika itu tidak bermaya.

“Saya tidak mengetahui mengapa Puteri tidak sedarkan diri dan mengalami lebam di beberapa bahagian badan,” kata ibu tunggal kepada lima anak itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Polis menerima aduan dibuat pembantu pegawai perubatan Hospital Besut Mohd Irwadie Kamaruddin di Balai Polis Jertih.

“Mangsa tinggal bersama ibunya, janda berasal dari Johor, di rumah keluarga angkat mereka di Kampung Seberang Jertih sejak setahun lalu.

“Ibu mangsa juga tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan dan polis masih menunggu hasil bedah siasat pakar forensik.

Peragut nenek diburu

Seremban: Polis daerah ini mempergiatkan usaha memburu dua lelaki yang menyebabkan kematian tukang cuci warga emas dalam kejadian ragut berhampiran sebuah kedai makan di Jalan Tuan Haji Said, Sikamat, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu berkata, pihaknya giat memburu kedua-dua suspek dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati mangsa, Jamariah Ahir, 64, yang membonceng motosikal ditunggangi anaknya Norain Mohd Yusof, 23, maut selepas motosikal itu ditendang suspek yang cuba meragut beg tangannya jam 3.55 petang.
“Bagaimanapun, polis masih menyiasat kes terbabit dan akan mempergiatkan usaha memburu suspek,” katanya.
Zainal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Harian Metro semalam melaporkan, perjalanan pulang dua beranak ke rumah berakhir tragedi memilukan apabila Jamariah maut selepas motosikal diboncengnya ditendang peragut.
Dalam kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian selepas terjatuh dan cedera parah di kepala serta badan, manakala anaknya yang juga jururawat cedera ringan di kaki dan tangan.

Dicampak kekasih dari tingkat sembilan

Kuala Lumpur: Seorang wanita warga Indonesia berusia 30-an maut selepas dipercayai dicampak teman lelakinya dari tingkat sembilan sebuah apartmen di Setapak, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, mangsa maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.
Menurut sumber, pihak berkuasa kini menyiasat kemungkinan mangsa dibunuh kerana siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa dilaporkan bergaduh dengan teman lelakinya berusia 30-an.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa dilapor akan pulang ke negaranya hari ini.
Foto
PEGAWAI penyiasat Shan Gopal (kiri) memeriksa mayat wanita yang dicampak dari tingkat 9 di Pangsapuri Setapak Jaya Indah.

“Bagaimanapun, mangsa bergaduh dengan teman lelakinya sebelum ditemui mati di tingkat bawah kawasan perumahan itu,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa juga mengemas pakaian miliknya kerana akan mengosongkan rumah berkenaan.

“Mangsa berada di Malaysia sejak setahun lalu dan bekerja di sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Sehingga kini pihak berkuasa belum mengklasifikasikan kes itu sementara menunggu laporan bedah siasat.

Katanya, pihak berkuasa memanggil teman lelaki suspek untuk diambil keterangan dan akan menahannya selepas laporan bedah siasat diperoleh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Lapan korban rusuhan agama

Rawalpindi: Pakistan semalam mengenakan perintah berkurung di bandar raya ini selepas pertempuran antara penganut fahaman agama berbeza menyebabkan lapan orang terbunuh dan lebih 40 cedera.
Keganasan meletus kelmarin di Rawalpindi, bandar bersebelahan ibu negara Islamabad apabila perarakan oleh penganut Syiah yang menyambut Asyura bertembung dengan pengikut Sunni di sebuah masjid selepas solat Jumaat. 
“Perintah berkurung dikuatkuasakan bagi mengekang keganasan,” kata Waseem Ahmed, pegawai kanan polis di Rawalpindi.

Menurutnya, perintah berkurung itu akan dikuatkuasakan sehingga hari ini.
“Seluruh bandar raya ditutup,” katanya. 
Penganut Syiah yang berang menyerang masjid dan madrasah penganut Sunni, membakar bangunan dan sebuah pasar berhampiran.

Kumpulan bertentangan kemudian menyerang satu sama lain, jurukamera televisyen dan anggota keselamatan serta melepaskan tembakan.

Keganasan berlaku walaupun pihak berkuasa mengerahkan pasukan keselamatan untuk mengawal perarakan itu.

Awal semalam, semua laluan masuk ke Rawalpindi ditutup, menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya dari Islamabad.

Kakitangan hospital berkata, sebahagian mangsa yang cedera dalam keganasan itu parah.

“Setakat ini kami boleh mengesahkan lapan orang maut dalam keganasan itu.

“Seramai 44 orang cedera dan 13 daripada mereka ditembak,” kata Qasim Khan, doktor di hospital daerah Rawalpindi.

Seorang pegawai dari Jabatan Penyelamat berkata, operasi menyelamat masih dilakukan sehingga awal pagi semalam.

“Pergaduhan masih berlaku. Pihak berkuasa sudah menghentikan khidmat telefon bimbit menyebabkan kami sukar meperoleh maklumat,” kata seorang petugas penyelamat Nazim Javed.- AFP

Mangsa mula dapat bantuan

Giporlos: Bekalan makanan dan ubat-ubatan yang secukupnya akhirnya tiba kepada mangsa taufan Haiyan di kawasan pedalaman Filipina, semalam.
Giporlos, sebuah bandar kecil tepi pantai dengan 12,000 penduduk, sebuah helikopter tentera Amerika Syarikat, Seahawk terbang membawa bekalan bantuan pertama dengan mendarat di padang permainan sebuah sekolah yang musnah. 
“Kami sungguh gembira walaupun bantuan itu tidak mungkin cukup untuk kami,” kata penduduk Maria Elvie Depelco.

Bandar itu terletak di timur Samar, antara wilayah pertama yang dilanda taufan paling besar tahun ini pada 8 November lalu.
Foto
MANGSA taufan Haiyan berhujan sambil menunggu untuk dipindahkan di lapangan terbang di Tacloban, semalam.

Di Guiuan, bandar berhampiran, pesawat yang sarat dengan bekalan bantuan mendarat dan berlepas setiap beberapa minit di sebuah landasan lama tentera yang dibuka semula.

Agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, lebih 170,000 bungkusan makanan diagihkan di seluruh kawasan bencana setakat ini sementara pertubuhan Palang Merah dan pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan berkata, mereka membentuk unit bedah bergerak di sekitar Tacloban untuk membantu mangsa yang cedera.

“Kawasan itu amat memerlukan bantuan. Penduduk tidak memiliki apa-apa lagi. Wang tidak berguna,” kata jurucakap Palang Merah rantau Asia Pasifik Patrick Fuller di Tacloban.

Sejak ketibaan kapal USS George Washington kelmarin, tentera Amerika berkata, ia sudah mengagihkan 118 tan makanan, air dan khemahj kepada penduduk Tacloban dan membantu mengangkut hampir 2,900 orang ke tempat selamat.

Meskipun bantuan sudah semakin banyak tiba, pegawai berkata, masalah kebersihan begitu teruk, khususnya di tempat perlindungan sementara.

Kanak-kanak dan orang tua terdedah kepada ancaman wabak dan sukar bagi mereka untuk berjalan ke pusat pengagihan bantuan.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kami akan dapat meneruskan kehidupan selepas ini,” kata Benny Creer, 53, sambil dia membersihkan rumahnya yang runtuh.

“Dalam keadaan seperti ini, tidak ada yang kaya dan tidak ada yang miskin,” katanya.

Majlis Pengurusan Bencana Kebangsaan Filipina semalam berkata, angka kematian rasmi ialah 3,633, sebahagian besar mereka terbunuh akibat ombak setinggi lima meter yang menghempas Tacloban.

Seramai 1,179 lagi penduduk disenaraikan hilang.- AFP

Mati dipukul empat saudara sendiri kerana minta wang

Makassar: Gara-gara mengamuk kerana tidak diberi wang, seorang lelaki, Daeng Nai, 34, mati dipukul oleh empat adik beradiknya dan seorang anak saudaranya.
Kejadian tengah hari samalam bermula apabila Daeng Nai meminta wang daripada abangnya, Daeng Tikno. 
Dia diberi 200,000 rupiah tetapi tidak berpuas hati dan meminta lebih banyak. 
Apabila dimarahi abangnya, Daeng Nai mula mengamuk dan memecahkan perabot, termasuk melontar kaca ke arah Tikno. 
Tidak tahan melihat perbuatannya itu, dua abang dan dua adiknya serta seorang anak saudaranya menyerang lelaki berkenaan yang sering mabuk kerana minum arak. 
Mereka membelasah Daeng Nai hingga mati.

Dihukum mati kerana rasuah


Hanoi: Seorang bekas pengurus bank dan rakan perniagaannya dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah menggelapkan wang berjumlah AS$25 juta (RM78 juta).

Pasangan itu adalah antara 11 defendan dalam perbicaraan sembilan hari di mahkamah Ho Chi Minh membabitkan kes yang menggambarkan kesungguhan Vietnam menghapuskan rasuah.


Vu Quoc Hao, 58, bekas pengurus anak syarikat Bank Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam dan ketua sebuah syarikat binaan Dang Van Hai, 56, dijatuhi hukuman mati atas kesalahan menggelapkan wang, salah pengurusan dan penipuan.

Sembilan defendan lain dihukum penjara antara 11 dan 14 tahun kerana terbabit dalam kes berkenaan.


Mereka dituduh menggelapkan wang milik negara antara April 2008 dan Mac 2009 dengan menipu kontrak kewangan.


Vietnam menduduk antara tangga teratas dalam senarai negara paling rasuah.

Kerajaan negara itu sebelum ini berikrar akan menghapuskan kegiatan itu selepas kes berkenaan mencetuskan kemarahan rakyat. - Agensi

Helikopter terhempas di Gangnam

Seoul: Sebuah helikopter terhempas di daerah Gangnam di bandar raya ini semalam, menyebabkan dua juruterbangnya terbunuh.
Kejadian berlaku selepas kipas pesawat berkenaan terkena bahagian tepi sebuah apartmen mewah 38 tingkat. 
Anggota bomba Cha Yang-oh memberitahu wartawan, helikopter milik syarikat LG itu jatuh di daerah Gangnam di tenggara Seoul ketika dalam penerbangan untuk mengangkut kakitangan syarikat sebelum berlepas ke sebuah bandar di selatan negara itu.

Menurut Cha, juruterbang Park In-kyu, 57 terselamat tetapi kemudian mati di hospital.
Foto
RANGKA helikopter yang berkecai selepas pesawat itu terhempas.

Pembantunya berusia 36 tahun mati di tempat kejadian.

Peminat Arsenal hilang rumah selepas kalah

Kampala: Perlawanan minggu lalu yang menyaksikan Manchester United menumpaskan Arsenal 1 - 0 di Old Trafford dianggap oleh mereka yang bertaruh sebagai amat penting dalam menentukan kedudukan Liga Perdana untuk keseluruhan musim ini.
Di Afrika, keputusan itu lebih menarik lagi. Jauh lebih menarik daripada di England sendiri. 
Menurut laporan akhbar Observer, seorang peminat Arsenal dan seorang peminat United di Uganda mempertaruhkan sesuatu yang secara lisan boleh dianggap sebagai nyawa masing-masing.

Peminat Gunners mempertaruhkan rumahnya sementara peminat Red Devil berkenaan mempertaruhkan kereta dan juga isterinya.

Peminat Arsenal, Henry Dhabasani kalah kepada Rashid Yiga selepas pertaruhan berkenaan yang dibuat secara bertulis dengan disaksikan oleh ketua tempatan dan peminat bola di kawasan itu.

Lelaki bunuh, makan jantung, lidah mangsa

Paris: Seorang lelaki yang secara kejam membunuh seorang warga emas dan memakan jantung serta lidah mangsa mendakwa dia melakukannya selepas mendengar suara menyuruhnya berbuat demikian.
Pegawai di Perancis berkata, lelaki berusia 26 tahun itu yang hidup bergelandangan memasuki rumah mangsa di Nouihan, selatan negara itu sebelum memukul kepala mangsa dengan besi dan membelah tubuh warga emas itu untuk menarik keluar jantungnya.

Lelaki itu memakan lidah dan jantung sebelum membakar mayat dan rumah mangsa.
Kebakaran berkenaan menyedarkan anak warga emas terbabit yang tinggal berhampiran.

Dia menemui mayat bapanya selepas berjaya memadamkan kebakaran.

Kejadian kelmarin itu memeranjatkan kampung kecil berkenaan yang dihuni kira-kira 200 orang.
Sebelum melakukan kekejaman itu, lelaki terbabit turut menyerang seorang penduduk dan menghantukkannya pada sebuah traktor.

Polis berjaya menangkap lelaki berkenaan, kira-kira tiga jam selepas dia mengganas.