Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Angka korban jadi perbalahan


KURANG KEMUDAHAN: Seorang wanita terpaksa mengepam sendiri udara ke paru-paru suaminya yang kakinya telah dipotong di sebuah hospital di Tacloban, semalam. - Foto AFP
TAUFAN HAIYAN


Anggaran yang dicatat di papan kenyataan Dewan Bandar Raya Tacloban berbeza dengan sumber PBB
TACLOBAN: Angka kematian daripada taufan kuat yang melanda kawasan tengah Filipina Jumaat lalu meningkat hampir seganda semalaman.
Angka kematian mencecah lebih 4,000, sedang helikopter-helikopter daripada kapal induk pesawat Amerika Syarikat dan kapal-kapal tentera laut yang lain mula membawa makanan, air dan ubat-ubatan ke kawasan yang terjejas akibat taufan Haiyan itu.
Papan kenyataan di Dewan Bandar Raya Tacloban semalam menunjukkan anggaran sekitar 4,000 orang terkorban di bandar itu sahaja, meningkat daripada 2,000 orang sehari sebelum itu.
Beberapa jam kemudian Mayor Tacloban, Encik Alfred Romualdez, meminta maaf dan mengatakan angka kematian itu adalah bagi seluruh kawasan tengah Filipina.
Angka kematian, yang dicatat di papan putih, disusun pegawai yang mula mengebumikan mayat dalam kubur beramai-ramai kelmarin.
Menurut Encik Romualdez, ada penduduk yang mungkin dihanyutkan ke laut dan mayat mereka hilang setelah air laut bak ombak tsunami membadai kawasan pantai.
Satu kejiranan dengan sekitar 10,000 dengan 12,000 penduduk kini lengang, katanya.
Angka kematian yang tercatat di papan kenyataan dewan bandar raya itu merupakan pengakuan awam pertama mengenai jumlah korban yang mungkin jauh melepasi anggaran yang diberikan Presiden Filipina, Encik Benigno Aquino III, minggu ini.
Sebelum ini, Encik Aquino berkata jumlah korban akibat Taufan Haiyan lebih dekat kepada 2,000 atau 2,500 orang.
Pada Selasa lalu, beliau berkata anggaran 10,000 kematian oleh pegawai tempatan sebagai berlebihan dan disebabkan "trauma emosi".
Semalam pula pihak berkuasa mengesahkan 2,357 orang menjadi korban taufan Haiyan, salah satu taufan terkuat pernah dicatatkan.
Menambah kepada kekeliruan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menukil angka pemerintah tempatan, meletakkan jumlah korban pada 4,460 orang.
Bagaimanapun Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) menegaskan angka kematian jauh lebih rendah.
Pejabat Penyelaras Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB menyatakan bahawa angka 4,460 mangsa diberikan oleh pasukan bertindak NDRRMC pada Rabu lalu.
Namun, jurucakap NDRRMC, Encik Reynaldo Balido, semalam menyatakan bahawa jumlah mereka yang disahkan mati kini 3,621 orang dengan 1,140 dilaporkan hilang.
Sementara itu, mangsa-mangsa taufan yang terselamat semakin berputus asa dan hilang kesabaran.
Mereka mula marah dengan cara bantuan diagihkan.
Malangnya pengagihan bantuan terjejas akibat pemerintah tempatan yang lumpuh, berleluasanya penjarahan, jalan raya dipenuhi 'sampah sarap' dan kekurangan minyak untuk kenderaankenderaan bantuan. - Reuters, AFP.

Pelancong Taiwan ditembak mati, isteri mangsa hilang

 16 Nov 2013

SEMPORNA (Sabah): Seorang pelancong warga Taiwan ditemui mati ditembak, manakala isterinya dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian di Pulau Pom-Pom, dekat sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Encik Lim Min Hsu, 57 tahun, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di koridor sebuah pusat peranginan di sini sekitar 1 pagi semalam. Isterinya, Cik An Wei Chang, 58 tahun, juga warganegara Taiwan, dilaporkan hilang susulan insiden itu.

Pasangan suami isteri itu tiba di pusat peranginan tersebut pada Selasa lalu dan dijadualkan meninggalkan pusat peranginan itu pada 20 November ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan insiden itu tetapi tidak mendedahkan maklumat lanjut.

Kumpulan bersenjata itu dilaporkan tiba di pusat peranginan tersebut menggunakan bot pam dan menyerbu tiga daripada enam vila, termasuk vila mangsa.

Ketika kejadian itu, terdapat 48 pelancong dan kakitangan pusat peranginan yang berada di pulau itu.

Kumpulan bersenjata itu kemudian dipercayai melarikan diri ke Pulau Mataking dekat selatan Filipina.

Seorang pegawai kanan keselamatan ditukil sebagai berkata mereka sedang cuba mengenal pasti sama ada kumpulan tersebut dari selatan Filipina.

Penduduk di Semporna berkata tiada aktiviti mencurigakan berlaku tetapi polis dan tentera telah mengambil langkah berjaga-jaga.

Pusat peranginan itu terletak hanya satu kilometer dari sebuah pangkalan Pasukan Gerakan Am (GOF) dan sebelum ini kawalan di perairan dari Semporna ke Lahad Datu telah dipertingkatkan ekoran serangan kumpulan bersenjata yang mendakwa penyokong Sultan Sulu di Lahad Datu pada Februari lalu. - Agensi.

Gara-gara lupa beli sarapan lelaki dibelasah isteri hingga pengsan

 9 Nov 2013

KAJANG: Sepuluh jahitan di kepala dan lebam di beberapa bahagian badan.

Itu akibat yang terpaksa ditanggung seorang pengawal keselamatan apabila dihentak dengan batu dan dipukul dengan kayu oleh isterinya sendiri.

Puncanya, hanya disebabkan lelaki terbabit yang berusia 29 tahun terlupa membeli makanan untuk sarapan yang disuruh isterinya itu.

Kejadian berlaku sekitar 8 pagi Selasa lalu di lokasi mangsa bertugas iaitu di pondok kawalan sebuah taman perumahan di Bandar Baru Bangi, di sini.

Sumber polis berkata ketika mangsa mahu keluar rumah untuk bekerja, isterinya yang berusia 25 tahun berpesan supaya dibelikan makanan untuk sarapan.

"Bagaimanapun, mangsa terlupa pesanan isterinya itu dan terus ke tempat kerja yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka," katanya.

Tidak lama selepas itu wanita berkenaan datang ke pondok kawalan tempat suaminya bertugas dengan menaiki motosikal.

Belum pun sempat mangsa bertanya tujuan isterinya ke situ, beliau ditumbuk di muka beberapa kali.

"Mangsa tidak membalas pukulan isterinya dan hanya berulang-kali meminta penjelasan. Dengan marah suspek memberitahu dia tidak puas hati kerana mangsa tidak membelikan sarapan sebagaimana diminta," kata sumber polis, lapor Harian Metro.

Wanita itu bertindak lebih agresif dengan menendang pula badan suaminya dan mengambil kayu di kawasan berhampiran dan memukul badan mangsa.

Apabila mangsa merampas kayu itu, isterinya mengambil batu dan menghentak pula kepala mangsa.

"Akibat hentakan itu, mangsa pengsan, manakala suspek yang panik terus melarikan diri daripada tempat kejadian," tambah sumber.

Mangsa telah membuat laporan polis sebaik saja dibenarkan keluar dari hospital petang Rabu lalu.

"Dalam laporan yang dibuatnya, lelaki itu mendakwa dia memang sering dibelasah isterinya itu walaupun hanya melakukan kesalahan kecil sejak lebih setahun lalu," kata sumber.

Ketua Polis Daerah Kajang, Penolong Pesuruhjaya Abdul Rashid Abdul Wahab, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Penyebar fitnah tampil mohon maaf

Penyebar fitnah tampil mohon maafZe Aida (kiri) memberikan kenyataan permohonan maaf kepada Ahamed Azlan Shah (kanan) sambil diperhatikan Ahmad Fazli di Restoran Nasi Vanggey Greentown, malam tadi. - Foto Sinar Harian
IPOH - Individu yang menyebarkan fitnah kononnya Restoran Nasi Vanggey Greentown menggunakan najis manusia sebagai pelaris menerusi laman sosial Facebook miliknya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pengurusan restoran berkenaan malam tadi.

Individu yang menggunakan nama profil Ze Aida itu hadir sendiri ke restoran berkenaan dengan ditemani abangnya untuk bertemu dengan Pengurus premis makanan tersebut, Ahmad Fazli Mohammed dan Pengarahnya, Ahamed Azlan Shah Saiful Jaafar Sadik bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Wanita berusia 24 tahun itu berkata, dia tidak berniat untuk menghina restoran berkenaan dan segala-galanya berlaku secara tidak sengaja.

“Kontroversi timbul apabila saya menyalin semula status ditulis seorang individu di Facebook miliknya mengenai keburukan restoran ini.

“Status Facebook saya hanya boleh dibaca sebilangan kecil individu sahaja, namun ada pihak tidak bertanggungjawab mencetak paparan skrin (screen shot) status saya dan menyebarkannya secara meluas melalui telefon dan internet,” katanya.

Ze Aida berkata, dia membuat telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam bagi menyangkal tuduhan disebarkan sebelum ini serta meminta pihak yang menyimpan salinan paparan skrin tersebut memadamkannya supaya ia tidak disalah tafsir.

Katanya, bagi memenuhi permintaan pengurusan Restoran Nasi Vanggey, dia memohon maaf secara terbuka di atas kesilapannya itu dan menyatakan amat menyesali tindakannya membuat tuduhan tanpa asas dan kebenaran.

“Saya juga berharap perkara ini menjadi iktibar kepada semua pengguna laman sosial agar lebih berhati-hati apabila meletakkan sesuatu status supaya tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fazli menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terdapat najis dalam peti simpanan makanan restoran berkenaan.

Katanya, penyebaran berita palsu di Facebook yang memburuk-burukkan restoran popular itu menjejaskan perniagaan mereka sehingga 60 peratus.

“Kami berharap melalui penjelasan dan pengakuan dibuat oleh wanita terbabit akan dapat memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap pengurusan makanan restoran ini,” katanya yang turut mempunyai 10 cawangan tersebut termasuk sebuah cawangan di Kuala Selangor manakala dua lagi sedang dalam proses operasi di negeri ini.

Menurutnya, restoran berkenaan tiada kaitan dengan penutupan Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di Jalan Yang Kalsom Khamis lalu.

Beliau berkata, serbuan dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) itu bukan sahaja membabitkan satu restoran malah melibatkan 12 restoran lain di sekitar bandar raya ini.

Polis tahan lelaki bersama 28 butir peluru


16 November 2013

MUAR - Polis menahan empat lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam serta merampas 28 butir peluru, wang tunai RM5,000 dan sejumlah dadah dalam tiga serbuan Ops Cantas Khas di sekitar Sungai Abong di sini pada 11 November dan Khamis lepas.

Dalam serbuan pertama pada pukul 12 tengah hari 11 November lepas, polis menahan seorang lelaki tempatan 41 tahun dan dua wanita Vietnam berumur 26 dan 27 tahun di sebuah rumah di Sungai Abong di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman berkata hasil pemeriksaan polis menemui peluru jenis 38 Super dan empat gram syabu yang boleh digunakan 21 orang penagih.

"Kita masih meneruskan siasatan ke atas lelaki terbabit untuk mengesan senjata api yang masih belum ditemui," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, lelaki itu mempunyai lima rekod kesalahan lampau sejak 1989 hingga 2005 membabitkan kes samun, jenayah pecah rumah dan dadah, manakala dua rakyat Vietnam itu baru sebulan berada di Malaysia dan kesemua mereka positif dadah.

Dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan yang sama pada 2.20 petang Khamis lepas, polis memberkas dua lelaki berumur 34 dan 41 tahun dan merampas dadah syabu seberat 6 gram, 500 gram heroin, 48 butir pil ecstacy, 48 paket serbuk ecstacy, 120 gram eramin, diagram ketamin, kesemunya bernilai RM24,000 dan boleh menampung 4,000 orang penagih.

"Turut dirampas ialah wang tunai RM5,000 yang disimpan dalam sebuah peti besi di rumah yang didiami suspek. Mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya yang mengesahkan kedua-duanya positif dadah dan dipercayai telah lama terlibat mengedar dadah.

Dalam serbuan ketiga di sebuah hotel bajet di Sungai Abong pada 4 pagi hari yang sama, polis menahan seorang lelaki berumur 25 tahun dari Mersing dan merampas peralatan pecah rumah dan kereta, senjata tajam serta sejumlah kecil dadah.

Polis percaya lelaki terbabit yang baru sehari berada di Muar bertanggungjawab dalam kes mendatangkan kecederaan ke atas seorang individu di bandar itu kelmarin.

Katanya, lelaki itu yang dipercayai melakukan pecah rumah dan menggunakan hotel-hotel bajet untuk berlindung daripada dikesan polis. - Bernama

2 kakitangan penjara Tapah maut


16 November 2013

TAPAH - Dua maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 12.5 Jalan Tapah-Changkat Petai, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, kesemua mangsa yang dipercayai kakitangan Penjara Tapah menaiki kenderaan jenis Honda dalam perjalanan dari Jalan Tapah menuju ke Langkap.

Bagaimanapun, kereta yang dipandu Muhamad Yusof Ahmad, 23, hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pokok kelapa sawit di kiri jalan.

Kemalangan itu mengakibatkan penumpang hadapan, Mohamad Firdaus Husin, 20, dari Pendang Kedah maut di tempat kejadian manakala Muhamad Yusof, dari Kuala Nerang maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tapah kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi.

Seorang lagi mangsa, Muhamad Izwan Mat Alias, 24, berasal dari Tambun, Ipoh cedera parah dan dirawat di hospital yang sama.

2 pelajar UMK lemas di Lata Renyuk


16 November 2013

KOTA BHARU - Dua pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli ditemui mati lemas dalam kejadian di Lata Renyuk, Jeli, petang semalam.
 
Kejadian berlaku pukul 4.30 petang ketika Mohd Azeem Sameer Noor Azmi, 21, dan Mohd Zulfikal Mohd Saupi, 20, sedang mandi di kawasan air terjun itu bersama beberapa rakan mereka.
 
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Soleh Nasir, kejadian berlaku apabila Mohd Saupi yang berasal dari Tanah Merah cuba menyelamatkan Mohd Azeem yang mengalami kekejangan ketika berenang.
 
"Melihatkan Mohd Azeem yang hampir lemas, Mohd Zulfikal yang tidak tahu berenang tetap cuba menyelamatkan rakannya itu, namun kedua-duanya tenggelam.
 
"Mayat Mohd Azeem yang berasal dari Klang, Selangor, ditemui pukul 5.28 petang semalam, manakala mayat Mohd Zulfikal dijumpai selang enam minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
 
Menurut Soleh, usaha mencari dan menyelamat mangsa dilaksana oleh enam anggota bomba dan dibantu oleh 14 anggota bomba sukarela, enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan tiga anggota polis.  - Bernama

Kes MPV: KPN jamin siasatan terperinci

 Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar 
GEORGETOWN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan polis akan menyiasat secara terperinci berhubung kes seorang pemuda melarikan kereta peronda polis (MPV) dan ditemui maut selepas MPV itu merempuh perhentian bas.

Beliau juga memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana anggotanya jika didapati terbabit dalam kematian pemuda itu yang disahkan meninggal dunia akibat tembakan di kepala.

"Setakat ini siasatan awal kita mendapati kecederaan di kepala lelaki itu adalah ditembak olehnya sendiri. Bagaimanapun kita akan menjalankan siasatan secara terperinci.

"Saya sendiri akan ke Kuantan, Pahang petang ini untuk menemui anggota (polis) yang terlibat dalam kejadian untuk menyoal mereka bagi mengetahui situasi sebenar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Khalid yang ditemui selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang diminta mengulas kenyataan bapa lelaki itu yang tidak berpuas hati apabila laporan bedah siasat bercanggah dengan kenyataan polis berhubung punca kematian anaknya.  

Abdul Nasir Abdullah, 50, dilapor akhbar hari ini sebagai berkata laporan bedah siasat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah itu menyatakan kematian anaknya disebabkan oleh tembakan di kepala, bukan kerana terhentak pada stereng kereta seperti yang dinyata oleh polis.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam Khamis lepas di susur keluar Plaza Tol Chenor Lebuhraya Pantai Timur, pemuda berusia 22 tahun itu bertindak menyerang anggota polis dan merampas pistolnya sebelum melarikan MPV berkenaan.

Dia yang dipercayai mengalami masalah mental turut melepaskan empat das tembakan secara rambang dari dalam MPV sebelum kenderaan itu terbabas dan merempuh perhentian bas di persimpangan Kampung Bukit Lada, Maran.

Mengulas lanjut, Khalid berkata polis tidak menghalang jika keluarga lelaki itu mahu membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Polis Diraja Malaysia.

Mengenai anggota yang terlibat dalam kejadian itu, Khalid berkata mereka yang berkenaan akan berdepan dengan tindakan tatatertib kerana cuai dan menyebabkan MPV dilarikan oleh suspek. - Bernama

Lagi mayat warga Myanmar ditemui


16 November 2013


BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemui di kawasan belukar di Kampung Tok Panjang, Juru dipercayai dibunuh berdasarkan kesan kelar di leher dan tikaman di perut mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang awam yang lalu di kawasan berkenaan pada kira-kira 9.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.

"Ketika ditemui, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan dompet duit juga tidak ditemui, mungkin mangsa disamun dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di belukar berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Seorang saksi, Roslan Abdul Rahman, 53, berkata mangsa bukan orang tempatan kerana dia tidak pernah melihat kelibat lelaki berkenaan di kampung itu.

"Saya dimaklumkan rakan tentang kejadian itu. Kami terus ke situ dan melihat keadaan mangsa yang terbaring berlumuran darah serta terdapat kesan kelar di bahagian leher dan tikaman di bahagian perut," katanya sambil menambah kejadian itu adalah  yang pertama berlaku di kawasan berkenaan. - Bernama

Gempa bumi sederhana landa Pantai Barat Sumatera


16 November 2013

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter melanda luar Pantai Barat Sumatera Utara pada 6.26 petang ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu ialah 501km di sebelah barat daya Great Nicobar di India dan 1,108km di sebelah barat daya Langkawi di Kedah.

Tidak ada ancaman tsunami dikeluarkan. - Bernama

Remaja lemas mandi di tasik

Remaja lemas mandi di tasikAnggota bomba berhasil menemui mayat mangsa di dasar tasik selepas hampir 20 jam usaha mencari dan menyelamat dijalankan.
BATU PAHAT - Kepulangannya kali ini menjadi yang terakhir buat seorang remaja apabila dia lemas ketika mandi bersama lima rakan di Tasik Parit Tabor, Yong Peng, di sini, kelmarin.

Mayat mangsa, Mohd Azhar Mohd Rahman, 16, ditemui Unit Scuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut dibantu Unit Anjing Pengesan K9 sekitar jam 2.48 petang semalam, setelah hampir 20 jam dilaporkan hilang.

Rakan mangsa, Mohd Sharil Shafiq, 21, berkata, ketika sedang mandi, dia mendengar mangsa menjerit meminta tolong kerana kakinya tersangkut pada tali pelampung di tengah tasik.

Menurutnya, dia bersama seorang rakan lain segera berenang mendapatkan mangsa bagi menyelamatkannya daripada lemas sebaik melihatnya tercungap-cungap.

“Saya menghampiri arwah dan ketika itu dia terus memeluk saya. Saya cuba menariknya tetapi sukar, kerana dia seperti turut ditarik ke  dasar tasik dengan kuat.

“Pada masa sama, saya sendiri terasa seperti ditarik ke dasar tasik menyebabkan saya terpaksa melepaskan arwah dan hanya mampu melihatnya terkapai-kapai.

“Dengan mata sendiri, saya lihat mangsa mula tenggelam dan saya hanya mampu melihat buih-buih berhampiran tempat kejadian selepas rakan saya itu tenggelam sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ibu mangsa, Rubiah Hamza, 42, berkata, dia tidak menyangka kepulangan anaknya yang baru seminggu dari Kolej Vokasional Kuantan, Pahang, itu adalah yang terakhir.

Menurutnya, arwah anaknya juga ada menyatakan mahu bermain sepuas-puasnya bersama rakan di kampung pada cuti persekolahan kali ini dan itulah yang dilakukan arwah sepanjang seminggu sebelum pemergiannya.

“Kami sekeluarga reda dengan dengan pemergian arwah dan yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmah.

“Kami terima dengan hati terbuka, meskipun selepas ini pasti akan merindui arwah yang mesra disapa Uda dalam keluarga terutama adik bongsunya yang memang rapat dengannya yang kini berusia enam tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Mencari Dan  Menyelamat, Mohd Aizad Mamat berkata, bomba tiba di lokasi sekitar jam 6 petang kelmarin dengan kekuatan 20 anggota, satu pasukan Unit Scuba dan Unit K9.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Unit Selam Bomba Johor berkata, pasukannya melakukan lima kali selaman dan akhirnya menjumpai mangsa di dasar tasik kira-kira jam 2.48 petang semalam, di mana kaki mangsa masih tersangkut pada tali pelampung.

“Dalam operasi ini, dua kali selaman dilakukan pada waktu malam (kelmarin), dua kali waktu pagi (semalam) dan hanya pada selaman kelima kami menemui mayat mangsa di dasar tasik,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali yang ditemui di lokasi kejadian berkata, tasik berkenaan perlu ditutup kepada umum dan menjadi kawasan larangan, selain ianya perlu dipagar.

Tiga kilang diserbu

Tiga kilang diserbuKeadaan tauhu kering yang ditinggalkan pekerja kilang berkenaan selepas menyedari kehadiran van penguatkuasa. 

RAWANG - Tiga kilang sekitar Sg Bakau dekat sini diserbu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas dipercayai menyumbang kepada pencemaran Sungai Kundang.

Selain MPS, anggota Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (Jas), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan Gombak, polis, bomba dan Jabatan Veterinar turut terlibat dalam operasi tersebut.

Kilang pemprosesan daging babi, kilang tauhu kering dan kilang baik pulih dan pembersihan tong terpakai diserbu selepas mendapati kesemuanya mengalirkan sisa terus ke sungai berhampiran.

Ketua Operasi, C Paramasivam berkata, dua kilang beroperasi tanpa permit sementara sebuah lagi mempunyai  lesen tetapi akan ditarik selepas didapati terdapat bahan kimia dibuang terus ke sungai.

Menurutnya, dua notis perobohan dan 16 kompaun  dikeluarkan  atas  pelbagai kesalahan dari aspek bangunan, kesihatan dan lesen perniagaan.

“Kilang pemprosesan daging babi didapati  beroperasi  di tanah  pertanian dan melakukan aktiviti penyembelihan di kawasan itu hasil penemuan rangka dan  tulang yang ditemui selain usus haiwan direbus sebelum dijadikan makanan ternakan ikan.
“Pemilik kilang menafikan hal penyembelihan sebaliknya mendakwa hanya melakukan proses pembungkusan namun hasil siasatan yang dilakukan anggota mendapati aktiviti penyembelihan dilakukan pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kilang tauhu kering yang bersebelahan tempat pemprosesan babi pula  didapati tiada lesen perniagaan dan keadaannya kotor serta tidak ditutup selain dikawal dengan banyak anjing.

"Di situ  sebanyak enam anjing ditangkap dan sewaktu pemeriksaan dilakukan tiada pekerja berada di lokasi dipercayai menghilangkan diri selepas sedar kehadiran van penguatkuasa.

“Sebanyak enam kompaun pelbagai  kesalahan dikeluarkan dan notis perobohan dalam tempoh sebulan juga dikeluarkan,” katanya.

Sementara di kilang ketiga pula, didapati pihak pengurusan melindungi aktiviti pembuangan sisa dengan menutup pintunya dengan menyusun tong-tong besar untuk mengaburi mata pihak penguatkuasa.

“Didapati satu ruang pembersihan tertutup sebelum dibuka dan mendapati terdapat beberapa sambungan longkang yang dialirkan terus ke sungai berhampiran.

“Satu tindakan susulan akan diambil termasuk mengambil sampel kandungan kimia dan tong yang dibersihkan sebagai bahan bukti,” katanya.

Beliau menyifatkan operasi tersebut sebagai berjaya dalam membanteras pencemaran sungai sekitar sini.

Dua dipercayai kaki pecah rumah diberkas

Dua dipercayai kaki pecah rumah diberkasDua suspek kes pecah rumah berjaya dicekup pada Ops Cantas di Kerteh, kelmarin.

KEMAMAN - Dua lelaki yang dipercayai aktif dalam kes pecah rumah berjaya diberkas dengan tiga bentuk cincin emas dan sebuah kereta curi turut dirampas dalam dua tangkapan berasingan pada Ops Cantas di Kerteh, di sini, kelmarin.

Dalam tangkapan pertama, sepasukan tujuh anggota polis yang diketuai Ketua Balai Polis Kerteh, Inspektor Jamali Abu Bakar berjaya menangkap suspek yang berusia 22 tahun kira-kira jam 8.30 pagi.

Tangkapan itu dilakukan hasil maklumat orang awam mengenai kes kecurian kereta.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, polis berjaya menahan suspek yang berasal dari Bandar Ketengah Jaya di Bandar Baru Kerteh dan merampas kereta Proton Wira berwarna putih yang dinaiki lelaki itu yang dilaporkan hilang di Beserah, Kuantan.

“Hasil soal siasat, suspek juga mengaku aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar kawasan Kerteh dan kita turut merampas tiga bentuk cincin emas darinya.

“Tangkapan kedua pula dilakukan di Kampung Labohan, Kerteh melibatkan suspek yang berusia 27 tahun,” katanya semalam.

Suspek yang berasal dari Kerteh juga ditahan berkait kes pecah rumah.

Ketika dicekup turut berlaku pergelutan kerana suspek cuba melarikan diri.

Kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Sehubungan itu, suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Dadah: Empat pelajar kolej warga Nigeria ditahan


15 November 2013

SHAH ALAM - Polis Selangor menahan empat pelajar lelaki warga Nigeria sebuah kolej swasta dan merampas 23 gram ganja serta 3.5 kg syabu di sebuah apartmen di Pusat Bandar Puchong pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, pada mulanya polis hanya menemui 23 gram ganja dalam sebuah mesin pengisar sebelum memeriksa bonet sebuah kereta yang digunakan suspek dan menemui 3.5 kg syabu bernilai RM455,000
dan satu alat penimbang.

Beliau berkata kesemua suspek berumur antara 28 hingga 31 tahun didapati positif ganja dan mereka direman selama seminggu mulai semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata dari Januari sehingga Oktober tahun ini, seramai 47 lelaki dan seorang wanita berbangsa Afrika telah ditahan di Selangor kerana pelbagai kesalahan di bawah pelbagai seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sejumlah 30.1 kg heroin, 19.2 kg syabu dan 2.1 kg ganja dirampas dari kumpulan ini dalam tempoh yang sama, katanya.

Beliau juga berkata, pada petang Selasa lepas pihaknya telah menahan dua lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 26 hingga 50 tahun semasa sedang melakukan urusan jual beli ganja di sekitar Taman Medan Petaling Jaya.

Semasa serbuan polis telah menemui sebuah kotak berisi lima ketulan mampat daun-daun kering yang disyaki ganja seberat 5 kg yang telah dibawa keluar oleh salah seorang suspek daripada kereta Perodua Viva yang dipandunya, katanya.

Ekoran daripada penahanan itu, beliau berkata salah seorang suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Medan dan menemui dua ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja seberat 1.5 kg.

Salah seorang suspek lelaki bekerja sebagai tukang masak, seorang lagi adalah jurujual kereta sementara kedua-dua wanita itu tidak mempunyai pekerjaan.

Beliau berkata kejayaan merampas 6.5 kg ganja bernilai RM18,200 itu adalah hasil intipan pihak polis.

Kesemua suspek ditahan reman mulai Selasa lepas sehingga 20 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Salun tawar seks kena serbu kali ketiga


15 November 2013


SERDANG - Kegiatan haram pemilik sebuah salun rambut yang masih tidak serik menawarkan khidmat seks kepada pelanggan membawa padah, apabila premisnya di Bandar Puchong Jaya sekali lagi diserbu pihak berkuasa.

Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Serdang telah menyerbu premis tidak berlesen itu dua kali, namun pemiliknya masih mengulangi kesalahan sama.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, ketika diserbu jam 11 malam kelmarin, seorang pekerja sedang melayan pelanggan di sebuah bilik, manakala sembilan pelanggan lagi menunggu giliran.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati 10  wanita warga asing bekerja di premis itu dan disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

"Sembilan daripada mereka warga Vietnam, manakala seorang lagi warga China berusia antara 18 dan 25 tahun.

"Siasatan menunjukkan semua wanita asing itu memiliki pas lawatan sosial," katanya.

Pelajar dakwa diliwat tiga kali

Pelajar dakwa diliwat tiga kaliNg (dua, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat sewaktu ditemui di pejabat MCA Selayang Jaya, kelmarin. 

SELAYANG - Bapa seorang pelajar tingkatan 2 membuat laporan polis selepas mendakwa anaknya diliwat sebanyak tiga kali oleh kenalan barunya  di tiga lokasi berbeza di Kepong sejak Ogos lalu.

Bapa yang mahu dikenali sebagai Ng, 53, berkata, kejadian hanya diketahui Oktober lalu selepas anak lelakinya mengadu mengalami pendarahan sewaktu membuang air besar.

Menurutnya, pihak hospital memaklumkan perlu membuat laporan polis sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan.

“Anak saya takut memaklumkan kejadian kerana telah diberikan amaran dan menerima ugutan akan dicederakan menyebabkan perkara itu hanya didiamkan.

“Bagaimanapun dia mengadu mengalami pendarahan sewaktu membuang air besar menyebabkan saya dan isteri membawanya untuk pemeriksaan dan ketika itu barulah kami mengetahui isu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, suspek sehingga kini belum ditahan dan anaknya hampir tiga minggu tidak ke sekolah kerana bimbang keselamatan diri kerana dipercayai suspek berlindung di sebalik kumpulan gengster.

“Anak berkenalan dengan suspek di kawasan menunggu di sekolah dan memperkenalkan diri dari persatuan wusyu ingin membantunya menjadi kuat kerana anak saya dari kecil menghidap kencing manis serta bergantung dengan ubat-ubatan.

“Suspek berusia 20-an dan yakin ramai mangsa yang tertipu dengannya serta membuat gangguan seksual di sebalik persatuan wushu,” katanya.

Katanya, dia berharap pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan supaya suspek dikenakan tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Pengerusi MCA cawangan Selayang Jaya, Jessie Ooi meminta supaya pihak sekolah lebih tegas melarang pihak luar yang tiada urusan daripada masuk ke kawasan sekolah.

“Pihak sekolah juga diminta untuk mengawal keselamatan pelajar-pelajar termasuk memantau anak-anak yang tiba awal ke sekolah dan pulang lewat.

“Kejadian berlaku sewaktu mangsa tiba awal ke sekolah dan didatangi suspek iaitu orang luar yang menawarkan latihan wushu secara percuma untuk tujuan pertahankan diri sebaliknya melakukan aktiviti tidak bermoral ke atas pelajar tersebut,” katanya.

Mak nyah ditetak pelanggan

Mak nyah ditetak pelangganMangsa mengalami kecederaan di kepala akibat ditetak dengan pisau dalam kejadian kelmarin.MUAR – Malang buat seorang lelaki berperwatakan wanita (mak nyah) apabila bukan hanya tidak mendapat bayaran, malah turut dicederakan pelanggan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di sini, kelmarin, mangsa ditetak pada bahagian kepalanya menggunakan pisau selain rantai leher yang dipakai diragut.

Mangsa menerima lebih 20 jahitan dengan kesan tetak pada bahagian kepala di samping cedera pada jari serta telapak tangan.

Sumber memberitahu, mangsa mengenali suspek yang menjadi pelanggannya pada malam kejadian.

Menurutnya, mereka bertemu di bandar ini sebelum dibawa pulang ke bilik mangsa tanpa rasa curiga.

“Selesai melanggan, suspek cuba mencuri beg tangan mangsa yang mengandungi banyak barang kemas.

“Berlaku pergelutan apabila mangsa cuba untuk mempertahankan beg tangan miliknya, namun suspek bertindak agresif dengan menetak kepala mangsa menggunakan pisau yang disembunyikan dalam sebuah beg sandang,” katanya semalam.

Sumber berkata, suspek turut memaksa mangsa yang berada dalam keadaan kesakitan supaya membuka pintu bilik yang berkunci dari dalam.

Katanya, suspek sempat merentap rantai emas pada leher mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa segera menghubungi rakannya untuk pertolongan dan kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian dan suspek kini sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Polis bongkar sindiket pemalsuan pasport


15 November 2013

SHAH ALAM - Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan berikutan penangkapan dua beradik lelaki warga Ghana dan seorang wanita warga Filipina dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Pandan Indah, Ampang hasil maklumat orang awam semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata serbuan pada 12.10 tengah hari itu menyaksikan rampasan sejumlah 95 pasport antarabangsa 30 negara, yang majoritinya dari benua Afrika, pas ketibaan serta 131 cop pelbagai negara, komputer riba, mesin pencetak, gambar pasport lelaki dan wanita, cecair peluntur, cop meteri, pisau kecil serta sejumlah Kod Bar Imigresen.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati sindiket itu aktif sejak dua tahun lepas dan suspek, yang berusia antara 31 dan 40 tahun, disyaki memalsukan pasport, visa serta mengubah tarikh dokumen perjalanan yang tamat tempoh untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Kita tidak mahu Malaysia menjadi hab kepada kegiatan seperti ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata, seorang daripada suspek yang tinggal selama dua tahun di Malaysia, sering pulang ke Ghana membawa alat ganti kereta untuk dijual semula di negara itu dan polis ingin menyiasat sama ada ia barangan curi atau tidak.

Beliau juga berkata sindiket itu mengenakan caj antara US$200 dan US$250 bagi setiap perkhidmatan pemalsuan yang mereka lakukan.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 473 Kanun Keseksaan iaitu membuat atau memiliki meteri, plat lancung dan sebagainya dengan niat hendak melakukan pemalsuan, yang membawa
hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada 8.30 malam hari yang sama, polis menahan seorang lelaki warga Guinea, seorang warga Senegal dan tiga warga Nigeria berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun di dua lokasi sekitar Ampang kerana disyaki memperdaya seorang kontraktor landskap warga tempatan, yang kerugian RM135,000 pada Oktober lepas.

Beliau berkata, polis merampas sebuah beg bimbit mengandungi empat ikat kertas hitam yang dipotong berbentuk segi empat tepat yang didakwa boleh bertukar menjadi dolar Amerika daripada dua suspek di sebuah masjid sebelum menahan tiga lagi di Apartmen Permai.

Mohd Shukri berkata, warga Guinea yang menyamar sebagai warga Jordan, memperdaya mangsa yang ditemui di sebuah masjid di Gombak dengan mendakwa mengenali seorang warga Saudi yang boleh menggandakan wang bagi menyelesaikan
masalah kewangan seseorang.

Beliau berkata, mangsa kemudian membayar RM135,000 dan satu upacara mistik memanggil 'Jin Maimunah' untuk menggandakan wang itu kepada US$100 juta dilakukan di Bukit Belacan, Ampang dan membungkusnya dengan kain serta dimasuk ke dalam sebuah kotak.

Suspek turut meminta bayaran tambahan sebanyak RM201,000 namun permintaan itu tidak mampu dipenuhi mangsa.

Bagaimanapun, mangsa mengesyaki ditipu apabila mendapati kotak berisi wang yang dibungkus dengan kain dan didakwa boleh bertukar kepada US$100 juta itu tiada dan melaporkannya kepada polis.

Mohd Shukri berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesemua suspek ditahan reman empat hari sehingga Isnin ini.

Katanya, polis percaya banyak lagi kes penipuan melibatkan suspek yang tidak dilapor dan mereka yang ditipu diminta tampil membuat laporan. - Bernama

Dadah disorok dalam kedai pajak gadai

Dadah disorok dalam kedai pajak gadaiZulkifli (kanan), Noor Rashid (dua, kanan) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas. GEORGETOWN - Pemilik kedai pajak gadai berusia 44 tahun ditahan kerana menyorok dadah jenis syabu dan ketamin di dalam premisnya di Taman Usahaniaga, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah dua hari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata,
dadah itu dipercayai dibawa masuk dari China dengan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diedarkan ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10.40 malam, 13 November lalu, polis merampas 16.325 kilogram (kg) syabu yang disorok dalam dua silinder besi, 1.109 kilogram ketamin dan satu silinder kecil mengandungi satu bungkusan syabu seberat 92 gram.

"Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta mewah miliknya menjumpai lima silinder besi berisi 40 bungkusan besar dan dua bungkusan kecil syabu seberat 40.898 kg.

"Harga pasaran syabu dianggarkan RM11.5 juta dan ketamin RM20,000," katanya pada sidang media di Pusat Media, Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah  Kastam Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, A Thaiveegan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri,  Superintendan S Batumalai.

Menurutnya, polis turut menemui dua pistol tiruan, barang kemas, empat kereta mewah dan wang tunai RM954,700 yang disembunyikan dalam silinder dipercayai hasil peniagaan dadah.

"Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan awal mendapati sindiket yang dianggotai lelaki terbabit beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket dadah antarabangsa," katanya.

Noor Rashid berkata, kejayaan mematahkan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa di negeri ini adalah hasil maklumat dan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta orang awam.

Gadis hilang ditemui selamat

Syahirah
Syahirah 
KUALA LUMPUR - Gadis berusia 19 tahun yang dilaporkan hilang selepas menyambut hari jadi bersama teman lelakinya, Rabu lalu telah selamat ditemui di pekarangan pusat membeli belah KLCC, kira-kira 7.30 malam semalam.

Menurut bapa mangsa, Sarif Mohd Nor, beliau dimaklumkan berita itu daripada seorang pengawal keselamatan KLCC selepas didatangi seorang gadis meminta bantuan untuk menelefon polis kerana kekurangan wang untuk balik ke rumahnya di Klang.

"Alhamdulillah, sebaik saja saya dapat panggilan itu, saya minta pengawal keselamatan itu tempatkan anak saya di pejabat keselamatan KLCC dan saya terus bergegas ke sana untuk memastikan kesahihan maklumat itu.

"Sebaik saja tiba di sana, memang itu anak saya dan dia dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online, di sini, semalam.

Rabu lalu, Nurul Syahirah Sarif, 19, dilaporkan menghilangkan diri selepas berlaku perselisihan faham dengan teman lelakinya selepas menjamu selera di sebuah restoran, di Bukit Tinggi 2, Klang.

Menurut bapa mangsa, Sarif, anaknya keluar bersama tiga rakannya pada Rabu lalu namun didapati tidak pulang selepas tiga jam melarikan diri dengan hanya berjalan kaki menghala ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

"Walaupun ketika kejadian rakannya bergegas mengejar anak saya hingga lewat 12 tengah malam, namun mereka tidak menemui kelibat anak saya," kata Sharif kepada Sinar Harian Online, di sini, hari ini.

Mursi pindah dari wad

Osama MursiOsama Mursi
KAHERAH - MESIR -  Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi kini sudah dipindahkan ke sel biasa selepas menerima rawatan 10 hari di hospital tentera di Penjara Borg al-Arab berhampiran Iskandaria.

Pegawai perubatan melaporkan, selepas hadir ke perbicaraan 4 November lalu, Mursi, 62, terus dibawa ke hospital penjara selepas mengalami tekanan darah tinggi.

“Selepas ini Mursi tidak akan menerima rawatan khas ketika berada dalam sel,” katanya.

Terdahulu, anaknya Osama Mursi berkata, pihak keselamatan enggan memberi kebenaran beliau dan ibunya untuk melawat Mursi selepas mengetahui keadaan kesihatan pemimpin itu terjejas.

“Mereka menolak permintaan kami untuk sekali lagi melawat ayah di penjara. Kami percayai, perkara ini adalah ‘hukuman’ selepas ayah menyampaikan kenyataan kepada peguam kami,” katanya yang dipetik Al Arabiya

Semalam, peguam Mohamad al-Damati menyampaikan kenyataan Mursi melalui televisyen menyatakan tentera adalah pengkhianat negara.

Sementara itu, perbicaraan Mursyidul Am Ikwanul Muslimin, Mohamed Badie dan dua timbalannya, Khairat al-Shater dan Rashad al-Bayoumi atas tuduhan menghasut disambung semula 11 Disember ini.

Sumber perundangan berkata, tarikh baru itu dibuat selepas tiga hakim perbicaraan tersebut meletak jawatan 29 Oktober lalu atas sebab tertentu.

Pengganas Al-Qaeda terlibat kes bunuh di Semporna

Khalid Abu BakarKhalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR - Kumpulan pengganas Al-Qaeda Abu Sayyaf dipercayai terlibat dalam kes culik dan bunuh, dua pelancong Taiwan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah, awal pagi semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata, pengganas terbabit dipercayai bergerak dalam kumpulan seramai lapan orang dengan menaiki bot pam dan menculik mangsa untuk tebusan.
Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini, belum ada tuntutan tebusan dibuat, dan usaha mengesan mangsa masih diteruskan dengan bantuan pihak berkuasa di Filipina.
"Kita percaya kumpulan pengganas ini mengambil kesempatan memasuki perairan Sabah kerana pasukan bersenjata Filipina telah dikerah ke utara untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam taufan Haiyan. Jadi ia memudahkan pengganas untuk melakukan jenayah," kata Khalid.
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sunathon (berkhatan beramai-ramai) Program Gaya Hidup Sihat, di sini, hari ini, Khalid berkata beliau telah berunding dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kawalan di perairan Sabah berikutan perkembangan itu.
Dalam kejadian semalam, seorang pelancong lelaki warga Taiwan ditembak mati manakala isteri mangsa yang juga warga Taiwan telah dilarikan kumpulan terbabit.
Khalid berkata, polis akan mempertingkatkan lagi tahap keselamatan di kawasan berkenaan bagi mengelak berulangnya kejadian seumpama itu.
Beliau juga berkata, satu operasi besar-besaran akan dijalankan di sekitar pulau-pulau yang bersempadan dengan negara jiran itu bagi mengesan dalang di sebalik kejadian jenayah itu.
"Saya mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan pengganas dan tidak memberi sebarang maklumat atau bantuan kepada musuh negara," tegasnya.
Katanya, polis akan mengesyorkan kepada pihak berkuasa di perairan Sabah supaya menguatkuasa pengharaman penggunaan bot pam kerana pengganas dan penjenayah menggunakan bot berkenaan untuk aktiviti jenayah.
"Kita tahu dengan pengharaman bot ini, penduduk akan menghadapi kesukaran dalam menjalankan aktiviti harian.. Tiada tolak ansur dalam isu keselamatan.
Kita minta pihak berkuasa ambil tindakan drastik terhadap perkara ini," katanya.
Khalid berkata, aktiviti pelancongan tidak akan terjejas berikutan kejadian itu kerana pasukan keselamatan sentiasa mengetatkan kawalan di sekitar pusat peranginan dan pelancongan di seluruh Sabah termasuk di Semporna, Sandakan dan Tawau. - Bernama

Empat sekeluarga maut

Empat sekeluarga mautToyota Harrier dinaiki mangsa remuk
GUA MUSANG – Empat sekeluarga maut dan dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 53.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, dekat sini, pagi semalam.

Mangsa yang berasal dari Kota Bharu itu, pemandu kenderaan Toyota Harrier, Wan Mahmud Sabri Wan Idris, 52, isterinya, Narul`Aini  Abdullah, 53, anak perempuan mereka, Wan Najihah Wan Mahmud Sabri, 10, dan ibu kepada Wan Mahmud Sabri, Zainab Abdullah, 68.

Dua mangsa yang cedera parah iaitu anak perempuan pasangan terbabit, Wan Nadirah Wan Mahmud Sabri, 13, dan pemandu kenderaan pikap jenis Mazda, Raja Yusoff R Ismail, 62, berasal dari Pasir Puteh, dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK).

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Kubang Kerian, Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kenderaan dipandu Wan Mahmud Sabri dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan kenderaan dipandu Raja Yusoff yang dalam perjalanan dari  Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

“Empat mangsa yang cedera parah di kepala dan badan, maut serta-merta di tempat kejadian, manakala dua lagi yang parah menerima rawatan awal di Pusat Kesihatan Bandar Chiku sebelum dirujuk ke HKK," katanya.

Dalam pada itu, Saiful Bahri menyifatkan kemalangan itu paling ngeri dalam tempoh setahun ini.

"Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya.

Ibu maut depan mata

Ibu maut depan mata Anak mangsa, Norain (duduk, tengah) cuba ditenangkan ahli keluarga yang lain.
SEREMBAN - Seorang wanita maut selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan akibat ditendang peragut di Jalan Haji Mohd Said, dekat sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira 3.55 petang itu, mangsa, Jamariah Ahir, 65, pekerja bahagian pembersihan di sebuah bank, dekat sini sedang membonceng motosikal jenis Honda Wave Dash bersama anak perempuannya, Norain Mohd Yusof, 23.

“Siasatan awal kita mendapati, semasa insiden berlaku, difahamkan mangsa yang datang dari arah Seremban sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Sikamat, selepas dijemput anak perempuannya dari tempat kerja.

“Setibanya di tempat kejadian, tanpa disedari, dua lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss yang datang dari arah belakang  cuba meragut beg tangan kepunyaan mangsa. Justeru, berlaku tarik-menarik berikutan mangsa enggan mengalah,” katanya.

Menurutnya, akibat berang dengan kedegilan mangsa, salah seorang peragut telah bertindak agresif dengan menendang motosikal dinaiki mereka, sebelum kedua-duanya melarikan diri tanpa sebarang hasil.

“Impak tendangan tersebut menyebabkan anak-beranak berkenaan terbabas lantas tercampak dari motosikal dinaiki.

“Mangsa yang cedera parah di bahagian tangan, pinggang dan lutut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anak perempuannya pula hanya mengalami luka ringan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

“Pada masa sama, pihak polis juga sedang cuba mengesan kedua-dua lelaki berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Deputi Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

'Anak saya mati akibat tembakan'

 'Anak saya mati akibat tembakan'Dari kiri: Adun Chenor, Mohd Ariffin Awang Ismail, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib ketika melawat Abdul Nasir, semalam
MARAN - Keluarga lelaki yang maut selepas kenderaan peronda Lebuh Raya Pantai Timur yang didakwa dibawanya lari terbabas merempuh perhentian bas di simpang Kampung Bukit Lada, dekat sini, kelmarin, mungkin akan mengambil tindakan mahkamah.
Ia berdasarkan laporan bedah siasat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS)menunjukkan lelaki berusia 22 tahun itu meninggal dunia kerana kecederaan di kepala akibat ditembak.

Bapanya, Abdul Nasir Abdullah, 50, seorang guru, menolak dakwaan anaknya itu meninggal dunia akibat hentakan kepala di stering kereta.

Menurutnya, kali terakhir dia menemui mangsa adalah pada 6.30 petang hari kejadian di surau tol Chenor ketika dalam perjalanan pulang ke Kampung Jengka Batu 13.

“Dia  yang sedang menongkat motosikal hanya senyum lihat saya.

“Pada tengah malam itu, seorang saudara telefon beritahu polis jumpa anak saya di tol Chenor.

“Tidak sampai setengah jam kemudian, saya dihubungi lagi memaklumkan, Angah (nama timangan anaknya) rampas pistol dan bawa lari kereta polis,” katanya.

Abdul Nasir berkata, setibanya di Balai Polis Pekan Awah, beberapa anggota polis sedang berkumpul untuk bertindak menahan mangsa.

Menurutnya, dia sendiri dimaklumkan anggota polis terbabit bahawa tiada sebarang tindakan melepaskan tembakan diambil seperti mana arahan pihak atasan mereka.

“Saya berada di balai tersebut sehingga jam 5.20 pagi dan ada beberapa kali anggota polis yang mengekori kereta dipandu anak saya kembali ke balai hantar laporan.

“Saya tanya mereka sama ada Angah lepaskan tembakan dan diberitahu Allahyarham tidak berbuat demikian. Sebaliknya anggota polis lepas tembakan ke arah tayar kereta tetapi tidak kena,” katanya.
Abdul Nasir berkata, pada 5.15 pagi, polis memberitahu kenderaan dipandu mangsa terbabas merempuh perhentian bas dan dibawa ke HoSHAS.
Menurutnya, setiba di hospital, mangsa diberi rawatan dalam keadaan tidak berapa sedar.

“Saya pegang tangan Allahyarham dan cakap ‘Angah ini ayah’ sebelum mengucap dua kalimah syahadah di telinganya. Tidak lama, Allahyarham meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan di kepala akibat ditembak dari jarak dekat sehingga tembus.

“Saya tidak puas hati kerana laporan ini bercanggah dengan kenyataan polis,” katanya.

Abdul Nasir berkata, anaknya itu tidak mempunyai sebarang rekod rawatan sakit mental, tetapi sering mengalami gangguan emosi sejak terlibat dalam kemalangan pada September tahun lepas.
“Allahyarham baru habis belajar di Gebeng dan akan ke masjid berdekatan untuk solat berjemaah. Dia memang ada ambil ubat penenang dari HoSHAS kerana gangguan emosi, tetapi tidak pernah melakukan kekerasan.

"Allahyarham juga suka berzikir dengan kuat hingga takutkan orang berdekatan," katanya.
Namun katanya, mangsa tidak lagi berzikir dengan kuat selepas berubat perubatan Islam.

Jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Jengka Batu 13, malam kelmarin.

China digesa bantu mangsa

FotoMangsa Haiyan menulis perkataan tolong di bumbung rumah di Palo, wilayah Leyte di tengah Filipina, semalam. - Foto AP Beijing belum hantar kapal ke lokas bencana Haiyan

BEIJING: China perlu menghantar kapal perang ke Filipina sebagai sebahagian daripada usaha bantuan bencana taufan bagi menentang pengaruh Amerika Syarikat dan Jepun, lapor media tempatan semalam.
“Beijing dan Manila terbabit dalam perbalahan pertikaian pulau tetapi jika Filipina menolak cadangan penghantaran kapal perang itu, ia sekadar menunjukkan cara berfikir negara itu yang sempit dan tidak akan mendatangkan kerugian kepada China,” kata ruangan pojok Global Times semalam.


Lapan kapal bantuan Amerika Syarikat diketuai USS George Washington tiba di Filipina kelmarin membawa kelengkapan yang diperlukan, bekalan dan kepakaran kepada beribu penduduk yang hilang tempat tinggal dan dalam kelaparan berikutan taufan paling kuat dalam sejarah membadai Filipina.

Bagaimanapun sehingga kini tiada tanda China akan menghantar kapal hospitalnya yang terbesar di dunia Peace Ark, ke Filipina, sekali gus memberi isyarat sikap negara itu sendiri yang tidak begitu peka dengan keadaan semasa di Filipina.

Beijing boleh menghantar Peace Ark yang diiringi kapal perang jika penghantaran kapal pembawa pesawat terbarunya, Liaoning disifatkan sebagai sensitif.

China Khamis lalu berkata ia akan menyediakan tambahan AS$1.6 bilion (RM5.12 bilion) bantuan kepada Filipina terutama khemah dan selimut selepas mendapat kritikan berikutan bantuan awalnya yang mengumumkan derma sebanyak AS$100,000 (RM320,329), menyamai bantuan Palang Merah China.
Negara itu berhati-hati menghantar tentera ke luar negara sebelum ini disebabkan kurangnya keupayaan, pengalaman dan banyak lagi kebimbangan lain, kata lidah pengarah Global Times.

Tokyo menggandakan pakej bantuan kecemasannya kepada Filipina dan merancang menghantar sehingga 1,000 tentera ke zon bencana, pasukan operasi bantuan paling besar dalam satu masa dihantar ke luar negara oleh negara terbabit.

“Kita percaya China sepatutnya menghantar kapal perangnya ke Filipina juga,” kata Global Times yang rapat dengan Parti Komunis, sambil menambah bahawa langkah terbabit adalah ‘berniat baik.”

Pertikaian membabitkan pulau di Laut China Selatan di mana Beijing menuntut hampir keseluruhannya berlarutan selama beberapa tahun.

Manila berkata kapal China sejak setahun lalu menduduki Beting Scarborough yang turut dituntut negara itu, dan ia turut mempersoalkan sama ada akan turut menyambut baik kehadiran tentera laut China di perairan itu.

“Tentera Jepun dan Amerika Syarikat yang menjadi sebahagian usaha bantuan adalah elemen strategi Asia Washington di sebalik bantuan kemanusiaan itu,” kata akhbar terbabit dalam laporan berasingan. – AFP

Budak perempuan 3 tahun meninggal dipercayai mangsa dera


2013/11/16
 
BESUT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia malam tadi, dipercayai akibat menjadi mangsa dera.

Kanak-kanak itu dari Kampung Seberang Jertih di, sini, disahkan meninggal dunia jam 8 malam, ketika dalam perjalanan ke Hospital Besut.

Mangsa dipercayai menjadi mangsa dera dengan pelbagai kesan lebam pada tubuhnya.

Bagaimanapun, pihak hospital dan polis belum dapat mengesahkan punca kematian mangsa kerana menunggu keputusan bedah siasat.

Sindiket black money Afrika tumpas


Mohd. Shukri Dahlan (kiri) menunjukkan sebahagian dadah dan 'wang' black money yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/ Mohd. Shaharani Saibi
SHAH ALAM 15 Nov. - Polis menahan lima warga Afrika yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan menggandakan duit dengan memperdayakan seorang kontraktor pada Oktober lalu, melibatkan kerugian sebanyak RM135,000.
Suspek berumur antara 30 hingga 40 tahun ditangkap oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di tiga lokasi berasingan di sekitar Ampang dekat sini kira-kira pukul 8.30 malam semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, warga Afrika yang memasuki negara ini menggunakan pas pelajar dipercayai aktif dengan kegiatan tersebut di sekitar Ampang sejak dua tahun lalu dengan menjadikan individu yang mempercayai perkara mistik sebagai sasaran untuk menjalankan penipuan mereka.
''Mereka didapati menggunakan elemen keagamaan untuk memperdayakan mangsa semasa bertemu dengan kontraktor berumur 50-an itu di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
''Pada mulanya suspek mendekati kontraktor itu dengan memperkenalkan diri bahawa dia berasal dari Jordan dan menyatakan mengenali seorang lelaki dari Arab Saudi yang boleh menggandakan wang bagi menyelesaikan masalah kewangan seseorang," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Mohd. Shukri berkata, dalam tempoh perkenalan hampir tiga minggu antara suspek dengan pengadu, lelaki Afrika berkenaan telah menawarkan upacara menggandakan wang kepada mangsa dan meminta kontraktor tersebut menyediakan wang sebanyak RM135,000.
''Wang tersebut digunakan untuk upacara mistik memanggil jin yang dikenali sebagai 'Jin Maimunah' dan mendakwa mangsa akan menerima wang sejumlah AS$100 juta (RM320 juta) hasil upacara mistik tersebut.
''Namun, selepas meminta RM135,000, suspek meminta lagi wang sebanyak RM201,000 untuk bacaan doa kali terakhir. Pengadu kemudiannya mengesyaki sesuatu mencurigakan kerana tempoh ditetapkan oleh suspek selama 14 hari untuk menggandakan wang itu tidak dipenuhi dan merasa dirinya telah ditipu lalu membuat laporan polis," katanya.
Beliau berkata, polis kemudian berjaya menangkap suspek setelah pertemuan diaturkan di sebuah masjid di Ampang dan selepas disiasat rupa-rupanya lelaki yang mengakui dari Jordan itu adalah warga Afrika manakala lelaki Arab Saudi itu pula sebenarnya dari Senegal dan tiga lagi dari Nigeria.
''Dalam tangkapan yang dijalankan polis telah merampas beg bimbit mengandungi sebungkus kain putih berisi empat ikat kertas yang dipotong mengikut saiz wang Amerika dolar.
''Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga Isnin ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta boleh didenda," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131116/je_06/Sindiket-black-money-Afrika-tumpas#ixzz2kmRNQfAw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua peragut maut motosikal rempuh jentolak


DUA pemuda yang dipercayai baru melakukan jenayah ragut maut selepas merempuh sebuah jentolak ketika dikejar anggota polis dalam kejadian di simpang tiga dekat Kampung Tok Alang Tasek Gelugor, Pulau Pinang , semalam. - UTUSAN/ Sazali Che Din
TASEK GELUGOR 15 Nov. - Drama seorang anggota polis mengejar dua peragut berakhir dengan tragedi apabila mereka terlibat dengan kemalangan maut.
Dua peragut berkenaan yang masing-masing berusia 19 dan 27 maut akibat kecederaan parah di kepala selepas merempuh bahagian hadapan sebuah jentolak dalam kejadian di persimpangan Jalan Ara Kuda ke Tasek Gelugor.
Anggota polis berkenaan yang bertugas di Balai Polis Padang Serai ketika kejadian menunggang motosikal berkuasa tinggi turut cedera parah dan patah kaki.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, motosikal yang dinaiki oleh kedua peragut berkenaan melanggar bahagian hadapan jentolak berkenaan yang mahu membelok ke kanan dan kedua-duanya terperosok di bawah kenderaan berkenaan.
Sebelum itu, kedua lelaki terbabit melanggar satu sekatan jalan raya yang dilakukan polis di sempadan Kedah Pulau Pinang menyebabkan mereka dikejar.
Selepas berlaku pelanggaran, anggota polis bermotosikal itu turut merempuh jentolak berkenaan menyebabkannya tercampak beberapa meter dan cedera parah.
Mayat kedua-duanya dihantar ke Kepala Batas untuk bedah siasat dan anggota polis berkenaan juga dirawat di hospital sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki kedua lelaki berkenaan telah dicuri beberapa minggu lalu.
"Kes ini disiasat menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131116/je_07/Dua-peragut-maut-motosikal-rempuh-jentolak#ixzz2kmREpac8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 warga Afrika ditahan, syabu RM455,000 dirampas


SHAH ALAM 15 Nov. - Polis menahan empat warga Nigeria dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Pusat Bandar Puchong, Rabu lalu dan berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM455,000.
Dalam serbuan pada pukul 9 malam itu, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang membuat pemeriksaan ke atas premis tersebut telah menemukan daun-daun kering di dalam mesin pengisar yang disyaki ganja dengan anggaran berat sebanyak 23 gram.
Suspek kemudiannya menunjukkan polis sebuah kereta di kawasan letak kenderaan di apartmen tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pemeriksaan yang dilakukan di dalam bonet kereta berkenaan menemukan satu beg pakaian mengandungi bahan kristal, disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kira-kira 3.5 kilogram dan satu alat penimbang.
''Kesemua suspek berumur antara 28 hingga 31 tahun itu didapati datang ke negara ini sebagai pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi swasta dan mungkin terlibat dalam kegiatan pengedaran syabu.
''Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 39(A) akta yang sama dengan membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun manakala sebatan tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan jika sabit kesalahan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media IPK Selangor di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
Beliau memberitahu, pihaknya melihat kegiatan pengedaran dadah oleh warga Afrika semakin menjadi-jadi kerana berdasarkan statistik dari Januari hingga Oktober lalu menunjukkan sebanyak 47 lelaki dan seorang wanita dari negara Afrika ditangkap di bawah pelbagai Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, rampasan yang dilakukan pula melibatkan heroin sebanyak 30.1 kilogram, syabu (19.2 kilogram) dan ganja (2.1 kilogram).
Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan dua lelaki dan dua wanita tempatan berumur antara 26 hingga 50 tahun hasil intipan di sekitar Taman Medan, Petaling Jaya pada 12 November lalu dan berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 6.5 kilogram dengan nilai kira-kira RM18,200.
Mohd. Shukri berkata, dalam pemerhatian yang dilakukan kira-kira satu jam bermula pukul 6.30 petang pada hari tersebut, polis melihat dua buah kereta jenis Perodua Viva dan Honda Jazz memasuki kawasan berkenaan.
''Kemudian seorang lelaki iaitu pemandu kereta Perodua Viva dilihat keluar daripada kenderaan tersebut dan berjumpa dengan seorang lelaki yang memandu Honda Jazz. Pemandu kereta Perodua Viva itu kemudian mengeluarkan sebuah kotak daripada kenderaannya.
''Pada masa sama, sepasukan anggota polis bertindak menyerbu kedua-dua kereta tersebut dan berjaya menangkap dua lelaki tersebut dan penumpang dalam kereta. Pemeriksaan lanjut telah menemui lima ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat kira-kira 5 kilogram.," katanya.
Beliau memberitahu, salah seorang suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Medan dan pemeriksaan dilakukan telah menjumpai dua ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dan 30 paket plastik berisi daun-daun kering yang juga disyaki ganja kira-kira 1.5 kilogram.
''Suspek yang ditahan merupakan seorang tukang masak dan seorang lagi bekerja sebagai jurujual kereta manakala kedua-dua perempuan tidak mempunyai pekerjaan," katanya.
Mohd. Shukri berkata, saringan ujian air kencing ke atas kesemua suspek menunjukkan tiga orang daripada mereka positif ganja manakala seorang suspek perempuan negatif.
''Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori. Kesemua suspek ditahan reman bermula Selasa lalu hingga Rabu minggu depan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131116/je_08/4-warga-Afrika-ditahan-syabu-RM455000-dirampas#ixzz2kmR50d37
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga emas maut diragut


Anggota Polis Forensik memeriksa keadaan sekitar tempat kejadian selepas Jamariah Ahir maut diragut seorang lelaki ketika menaiki motosikal bersama anaknya di Jalan Tuan Haji Said, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid
SEREMBAN 15 Nov. - Seorang ibu yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja membonceng motosikal anaknya maut selepas terjatuh akibat diragut penjenayah di Jalan Tuan Haji Said di sini hari ini.
Jamariah Ahir, 65, dari Kuarters JKR Jalan Tuanku Kurshiah meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan beg tangannya masih berada di sisi manakala anak perempuannya, Norain Mohd. Yusof, 23, mengalami cedera ringan.
Lebih menyedihkan beberapa ketul ayam goreng yang dibeli anaknya sebelum kejadian itu untuk dijamah bersama bertaburan di atas jalan raya.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Baharudin Mustapha berkata, mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat di sebuah bank di bandar ini dipercayai bergelut dengan salah seorang daripada dua peragut yang menaiki sebuah motosikal.
"Mangsa terjatuh sewaktu insiden tarik-menarik beg tangannya. Bagaimanapun wanita itu tidak melepaskan beg dipegang sebaliknya dia terjatuh dari motosikal ditunggangi anaknya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah beliau, suspek yang dipercayai menaiki motosikal jenis Modenas Kriss melarikan diri selepas melihat mangsa terjatuh dan gagal melarikan beg tangannya.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat.
Utusan Malaysia difahamkan dua beranak itu yang menaiki motosikal Honda Wave diekori oleh dua penjenayah berkenaan sebaik sahaja keluar dari bank tempat dia bekerja dan mereka mengesyaki Jamariah bersama anaknya mengeluarkan wang.
Anak mangsa yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital dekat sini mengalami trauma akibat kejadian itu dan dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan susulan.
Baharudin memberitahu, kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha menjejaki penjenayah berkenaan sedang dilakukan pihak polis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131116/je_04/Warga-emas-maut-diragut#ixzz2kmQw2EmZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengawal keselamatan Filipina mengaku samun kedai emas


KUALA LUMPUR 15 Nov. - Seorang pengawal keselamatan warga Filipina mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak 93 utas rantai emas bernilai RM150,000 milik kedai emas Tomei di Setapak menggunakan senjata api jenis Revolver. 38, bulan lalu.
Hakim Azman Mustapha menerima pengakuan Rakib Asla, 27, dan menetapkan 19 Disember depan untuk menjatuhkan hukuman bersama rakan sejenayah tertuduh, Hussin Jalain, 29, yang turut mengaku bersalah menyimpan harta curi dan tiada dokumen perjalanan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131115/ma_07/Pengawal-keselamatan-Filipina-mengaku-samun-kedai-emas#ixzz2kmQVPtoQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki Tanzania dituduh sebabkan kematian pelajar Sudan


SEREMBAN 15 Nov. - Seorang lelaki Afrika warga Tanzania dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar warga Sudan, Alaa Aldin AlFatih Mahmood Abd. Rahman di Bandar Baru Nilai dekat sini pada 26 Oktober lalu.
Tertuduh, Allan John Mgaya yang juga penuntut di Nilai University, di sini dituduh melakukan kesalahan itu antara pukul 3.30 pagi hingga 4 pagi di hadapan Kompleks Sukan Airport, Nilai. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131115/ma_05/Lelaki-Tanzania-dituduh-sebabkan-kematian-pelajar-Sudan#ixzz2kmQHCCMv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rogol: Hukuman 6 lelaki kekal


empat daripada enam lelaki yang didapati bersalah merogol seorang gadis diiringi beberapa anggota polis di pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh selepas mahkamah menolak rayuan mereka di Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 14 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara masing-masing sembilan dan lima tahun serta sebatan antara satu dan tiga kali terhadap enam lelaki yang didapati bersalah merogol seorang pelajar berusia 15 tahun secara bergilir-gilir, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan dekat sini pada 20 Julai tahun lalu.
Hakim Zainal Adzam berkata, rayuan itu tidak mempunyai merit kerana hukuman tersebut sudah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Saiful Azimi Mhd. Razali, Mohd. Shahabudin Hashim, Mohamed Shafeq Mohamad Shahimi, Mohd. Athika Mohd. Hanapi dan Syahrul Hisyam Hashim serta seorang pesalah juvenil berusia 18 tahun.
"Sehubungan itu, mahkamah berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen Teluk Intan, Faiz Dzaiyuddin tidak terkhilaf ketika membuat sabitan salah dan hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh-tertuduh terbabit," kata beliau.
Berikutan itu, Saiful Azimi, 32, dan Mohd. Shahabudin, 26, kekal menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan sebatan tiga kali manakala Mohamed Shafeq, 23, Mohd. Athika, 22, dan Syahrul Hisyam, 24, masing-masing dipenjara lima tahun dan sebatan sekali.
Hakim Zainal Adzam turut mengekalkan hukuman terhadap pesalah juvenil tersebut yang berusia 15 tahun ketika kejadian, yang diperintahkan dihantar ke Sekolah Tunas Bakti, Kajang selama tiga tahun.
Kesemua mereka disabitkan bersalah merogol mangsa di Bilik Klah 6, Spa Keluarga, Felda Residence Hot Spring Sungai Klah, Sungkai di antara pukul 6.10 malam dan 8 malam, 28 Februari 2010 .
Mereka turut didapati bersalah merogol mangsa di sebuah rumah bernombor D6, Jalan Melor, Felda Sungai Klah di antara pukul 12 tengah hari dan 6 petang, 1 Mac 2010.
Saiful Azimi turut melakukan kesalahan yang sama terhadap remaja itu di rumah A 24, Felda Sungai Klah antara pukul 12 tengah hari dan 6 petang, 1 Mac lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Khairuddin manakala keenam-enam tertuduh diwakili peguam R. Rajasekaran.
Mahkamah turut menetapkan 15 Januari tahun depan keputusan rayuan dua lagi tertuduh iaitu Mohd. Shafiq Abu Samah, 23, dan Mohd. Rosli Mustapa, 26, bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan tahun dan sebatan sekali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131115/ma_01/Rogol-Hukuman-6-lelaki-kekal#ixzz2kmQ5YLRU
© Utusan Melayu (M) Bhd