Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Tanam dadah depan rumah

Tanam dadah depan rumahZulkefly (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin yang dijumpai ditanam oleh dua warga Myammar di hadapan rumah sewa mereka.

KULAIJAYA – Taktik sepasang saudara warga Myanmar menyembunyikan dadah dengan menanamnya di hadapan rumah sewa di Kampung baru, di sini akhirnya terbongkar apabila diserbu Bahagian Jenayah Narkotik Kulaijaya, Ahad lalu.

Malah, kedua-dua mereka masih tidak serik walaupun sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman denda dan penjara mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Bahaya 1952 kerana kesalahan memiliki dadah.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, dalam serbuan itu, seorang wanita berusia 52 tahun ditahan bersama anak saudaranya berusia 32 tahun selepas polis menemui bungkusan mengandungi dadah jenis heroin.

“Setelah disoal siasat suspek wanita menunjukkan tempat dadah disembunyikan dan kita menjumpai satu peket lut sinar berisi dadah dipercayai jenis heroin dengan berat kasar 183.44 gram.

“Dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM2,400 dan kita percaya dadah itu untuk diedarkan di kawasan berdekatan,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952.

“Kedua-dua mereka masih dalam tahanan reman sehingga 17 November ini dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis morfin.

“Suspek wanita sebelum ini pernah dikenakan denda pada tahun lalu manakala suspek lelaki dikenakan penjara setahun pada 2009 kerana memiliki dadah,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Zulkefly memberitahu sepasang kekasih berusia 46 tahun turut ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Gemilang, di sini membabitkan rampasan dadah bernilai RM6,715.

“Hasil serbuan pihak polis berjaya menemui 324 biji pil ekstasi bernilai kira-kira RM6,500, ketamin bernilai RM165 dan syabu bernilai RM50.

“Kedua-dua mereka yang tidak bekerja dipercayai sudah menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak enam bulan lalu dan turut mempunyai rekod lampau kerana memiliki dadah,” katanya.

Katanya, kedua-dua mereka yang didapati positif dadah turut ditahan reman sehingga 15 November ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952.

Manakala seorang pengusaha restoran berusia 27 tahun turut ditahan di kawasan Taman Mesra Saleng, kelmarin kerana kesalahan memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar 18.01 gram.

Batman dipenjara 33 bulan


13 November 2013

SINGAPURA - Seorang lelaki yang menjadi selebriti media sosial kerana keunikan namanya dipenjara 33 bulan atas kesalahan mencuri, pecah rumah dan dadah.

Batman Suparman, 23, ditahan pada 19 Ogos lalu selepas rakaman video keselamatan menunjukkan suspek memecah masuk sebuah kedai pada dua malam berasingan dan turut melarikan wang berjumlah AS$400 (RM1,300).

Laporan dipetik dari AFP, tertuduh juga mengaku salah bagi tuduhan lain termasuk mencuri kad ATM abangnya dan mengeluarkan AS$520 (RM1,700) serta mengambil dadah.

Ditampar berkali-kali, diugut suami dengan pisau


13 November 2013

KUALA TERENGGANU - Hasrat murni seorang surirumah mengajak suaminya berbincang secara baik bagi menyelesaikan masalah rumah tangga mereka, bertukar mimpi ngeri apabila dia ditampar oleh lelaki itu, dalam satu kejadian di Kampung Padang Pisang, Jalan Kelantan, di sini, Ahad lalu.

Tidak cukup dengan itu, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, 27, turut diugut akan dicederakan oleh suaminya, 30-an, dengan menggunakan sebilah pisau.

Menurut sumber, insiden itu berlaku selepas mangsa mengambil keputusan mengajak suspek berbincang bagi menyelesaikan masalah rumah tangga mereka yang sejak belakangan ini agak dingin.

“Mangsa telah cuba memujuk suspek agar dapat berbincang secara baik bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah rumah tangga mereka, namun, suspek enggan memberi kerjasama dengan tidak menghiraukan pujukan mangsa.

“Sikap acuh tidak acuh suspek telah menyebabkan keadaan semakin ‘panas’ sebelum pasangan suami isteri itu mula bertengkar mulut menyalahkan antara satu sama lain,” katanya.

Sumber berkata, suspek bagaimanapun gagal mengawal perasaan amarahnya lalu menampar muka mangsa berkali-kali sehingga meninggalkan bekas.

“Masih tidak berpuas hati, suspek telah mengambil sebilah pisau di dapur dan mengacukannya ke arah mangsa sambil mengugut akan mencederakan mangsa dengan pisau berkenaan.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek hanya mampu mendiamkan diri, sebelum suaminya itu mengambil beg pakaian miliknya dan meninggalkan kediaman mereka,” katanya.

Jelas sumber, mangsa yang tidak berpuas hati diperlakukan sebegitu oleh suaminya serta bimbang akan keselamatan dirinya pada masa akan datang, mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit, di sini, beberapa jam selepas kejadian.

Susulan kejadian, mangsa mengalami sakit di bahagian kedua belah pipinya dan seluruh badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

UPP rampas 100kg daun ketum

UPP rampas 100kg daun ketumSuspek bersama daun ketum yang dirampas.

PADANG BESAR - Tindakan mengangkut sendiri empat guni besar berisi daun ketum membawa padah, apabila lelaki warga Thailand berkenaan dicekup Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di kawasan kebun getah Chuping, di sini, kelmarin.

Menurut Komander UPP Chuping, Asisten Superintendan Syed Basri Syed Ali, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan ketika cuba merentasi pintu pagar sempadan dengan menaiki motosikal.
“Suspek ditahan sebaik sahaja motosikalnya terbabas akibat membawa muatan daun ketum seberat 100 kilogram iaitu kira-kira satu kilometer dari pagar sempadan di kawasan kebun berkenaan.

“Dia dipercayai telah memotong pagar sempadan untuk masuk ke negara ini dan mahu pulang ke negaranya melalui jalan yang sama dengan harapan dapat menjual daun ketum tersebut dengan harga yang lebih tinggi,” katanya di sini semalam.

Kata Syed Basri, daun ketum tersebut dianggarkan bernilai RM10,000 dipercayai dibeli oleh lelaki terbabit dari pembekal tempatan.

"Suspek yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah itu sanggup membahayakan diri dengan mengangkut sendiri daun ketum bagi mengurangkan kos menggunakan orang tengah," katanya.

Katanya, daun ketum yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.

“Lelaki itu kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Suspek juga turut akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau.

Tahi tikus diruang dapur

Tahi tikus diruang dapurPegawai penguat kuasa memeriksa bahagian dapur restoran makanan laut yang telah beroperasi lebih 10 tahun di Juru, kelmarin.
BUKIT MERTAJAM - Tahi tikus yang berselerakan diruang dapur antara kesalahan yang dikenal pasti dalam pemeriksaan mengejut oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sehingga menyebabkan sebuah restoran makanan laut yang telah beroperasi lebih 10 tahun lalu terpaksa ditutup serta-merta kelmarin.

Selain itu, susunan kelengkapan dapur kurang memuaskan di samping kurang bersih menjadi punca pemilik premis restoran yang popular di Juru itu turut dikenakan kompaun.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran SPT, Abdul Ghani Desa berkata, sebanyak lima restoran makanan laut diperiksa dalam operasi yang dijalankan secara mengejut.

“Empat dari premis terbabit diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Di antara kesalahan lain yang turut dikenal pasti ialah keadaan tempat mencuci pinggan yang kotor selain peti sejuk beku tempat penyimpanan bahan basah tidak mengikuti suhu yang ditempatkan,” katanya.

Turut hadir dalam operasi yang diadakan pada jam 6 hingga 11 malam itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan SPT, Tan Tiong Hoo selain pegawai daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau berkata, notis penutupan premis diberikan bagi membolehkan pemilik restoran berkenaan membuat pembersihan sekali gus mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.

“Pemeriksaan berkenaan dibuat selepas mendapat aduan serta pemerhatian dan penutupan selama 14 hari dikenakan kepada pemilik yang masih ingkar.

“Justeru, pemeriksaan yang dijalankan adalah untuk memantau sekali gus memastikan kesemua pemilik premis menepati peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Lelaki bakar diri di Tunisia


13 November 2013

TUNIS - TUNISIA. Seorang lelaki berusia 32 tahun di Tunisia nekad membakar diri di luar bangunan kerajaan, menurut media tempatan, kelmarin.

Susulan daripada insiden tersebut, mangsa dilaporkan mengalami kesan melecur yang teruk pada muka dan beberapa anggota tubuhnya.

Menurut kakitangan perubatan di klinik pakar Ben Arous, lelaki dari kejiranan penduduk miskin di Intilakha itu dipercayai mengalami masalah mental kerana dia pernah cuba membunuh diri pada bulan lalu.

Difahamkan, laporan dipetik dari AFP, angka bunuh diri di negara itu dilaporkan meningkat secara mendadak sejak pencetus revolusi Timur Tengah, Mohamed Bouazizi membakar dirinya sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan pihak berkuasa pada Disember 2010.

Lagi mangsa Lata Tembakah

Lagi mangsa Lata TembakahKakitangan hospital dan anggota polis menolak jenazah Mohamad Farid ke bilik mayat Hospital Besut malam kelmarin.

HULU BESUT - Selepas tiga orang maut sekali gus bulan lalu di Hutan Lipur Lata Tembakah dekat Bukit Payong, di sini, akibat lemas, terbaru seorang lagi menjadi mangsa di kawasan air terjun sama petang kelmarin.

Kali ini membabitkan seorang anggota TUDM, Laskar Udara, Mohamad Farid Kamaruddin, 23, yang bertugas di Bahagian Trafik Udara Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) dekat Kuala Besut.

Sebelum kejadian Mohamad Farid yang masih bujang bersama empat rakan setugasnya ingin meluangkan masa cuti mereka dengan beriadah di kawasan air terjun tersebut.

Namun, kegembiraan mereka bertukar tragedi apabila Mohamad Farid didapati lemas di air terjun tingkat dua hutan lipur itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa bersama rakannya berlepas dari PUGK pada jam 4 petang dan sampai di Lata Tembakah kira-kira jam 4.30 petang sebelum  mereka naik ke air terjun tingkat dua.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian mereka mandi-manda dan kira-kira jam 5.15 petang salah seorang daripada rakan mangsa melihatnya tenggelam timbul.

“Mangsa yang dikatakan tidak pandai berenang dipercayai lemas selepas berada di tempat air dalam manakala, rakan mangsa tidak dapat menyelamatkannya.

“Rakan mangsa turun ke bahagian bawah untuk meminta bantuan dan sejurus kemudian pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Jertih, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut, polis dan penduduk kampung pergi ke tempat kejadian untuk mencari mangsa,” katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa berjaya ditemui di dasar sungai dengan hampir keseluruhan badannya ditutupi daun pada jam 6.30 petang.

Katanya, jenazah dihantar ke bilik mayat Hospital Besut untuk bedah siasat dan hasil siasatan mendapati mangsa mati akibat lemas serta tiada unsur jenayah.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan arus sungai agak deras, manakala kedalaman air kira-kira 13 kaki.

Jenazah Mohamad Farid dituntut oleh TUDM di bilik jenazah selepas selesai bedah siasat malam kelmarin.

Jenazah kemudiannya disembahyangkan pada jam 1.15 pagi semalam di Masjid PUGK Gong Kedak sebelum dihantar pulang dengan van jenazah ke kampung halamannya di Pangsapuri Segar Ria, Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 4 Oktober lalu, tiga pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli, Vikneswaren Balakrisnan, Mohana Raj Mathandra dan Janarthen masing-masing 22 tahun mati lemas di hutan lipur sama.

Suspek godam laman Singapura didakwa

Suspek godam laman Singapura didakwaPenggodam yang menggelarkan dirinya 'The Messiah' didakwa kerana menggodam laman Majlis Bandaran Ang Mo Kio dan juga menghadapi tiga tuduhan salah guna dadah. - Foto
THE STRAITS TIMES

SINGAPURA - Seorang lelaki yang disyaki sebagai penggodam bergelar 'The Messiah' telah didakwa, semalam menurut Berita Harian Singapura.

James Raj Arokiasamy, 35 tahun, yang ditangkap di Kuala Lumpur sebelum dihantar pulang ke Singapura, didakwa di mahkamah atas tuduhan menggodam laman Majlis Bandaran Ang Mo Kio.

Dia juga menghadapi tiga tuduhan menyalahgunakan dadah.

Di samping itu, lima suspek lain sedang membantu polis dalam siasatan berkaitan beberapa kes serangan siber sepanjang beberapa minggu lalu.

Menurut polis dalam satu kenyataan semalam, Arokiasamy dipercayai menggodam beberapa laman termasuk blog akhbar The Straits Times, Yayasan Masyarakat PAP (PCF) dan City Harvest Church.

Dia melarikan diri kerana kesalahan dadah dan ditangkap di sebuah apartmen di Kuala Lumpur oleh polis Malaysia hasil maklumat yang diberi polis Singapura.

Arokiasamy dipercayai melakukan serangan siber itu dari sebuah apartmen di Jalan Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Dia didakwa di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber menggodam dan memuat naik topeng Guy Fawkes di laman Majlis Bandaran Ang Mo Kio pada 28 Oktober lalu.

Guy Fawkes seorang tokoh revolusi Inggeris abad ke-16 yang topengnya dipakai oleh sebuah kumpulan penggodaman antarabangsa, Anonymous.

Semalam, pendakwa raya memohon agar Arokiasamy ditahan di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi penilaian psikiatri selepas dia memberitahu mahkamah bahawa dia mengambil ubat kerana masalah Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD), gangguan personaliti dan masalah kemurungan.

Hakim menerima permohonan itu.

Jika didapati bersalah, Arokiasamy boleh dikenakan hukuman denda sehingga $10,000 (RM 32,000) atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua hukuman.

Menurut polis lagi, lima suspek lain berumur 17 hingga 45 tahun sedang disoal siasat kerana disyaki menggodam sebahagian laman Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Istana.

Laman lampiran bagi pencarian di laman PMO dan Istana digodam pada 7 November, masing-masing pada 11.17 malam dan 12.20 tengah malam.

Tiga daripada mereka disyaki terlibat dalam penggodaman laman PMO dan dua daripadanya adalah adik-beradik. Mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Suspek ketiga dalam kes PMO itu sedang membantu siasatan.

Dua lagi lelaki, berusia 17 dan 45 tahun, pula sedang disoal siasat berhubung penggodaman laman Istana.

Namun, mereka belum diberkas.

Polis berkata kes Arokiasamy dan dua kumpulan yang menggodam laman PMO dan Istana itu tiada kaitan antara satu sama lain.

Sementara itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) semalam menegaskan perbuatan mengganggu atau merosakkan sistem teknologi infokom (ICT) dilarang dan merupakan satu kesalahan.

"Perbuatan sedemikian boleh menjejas operasi perkhidmatan kritikal, menimbulkan kekhuatiran, kerosakan dan bahaya, dan mempunyai kesan-kesan serius terhadap keselamatan, ekonomi dan sosial bagi Singapura dan rakyat Singapura," kata seorang jurucakap MHA.

Beliau menambah bahawa pemerintah tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan tindakan jenayah itu.

Mayat lelaki ditemui separuh terbakar


ANGGOTA polis mengangkat mayat lelaki melecur yang dijumpai di sebuah pondok di Taman Sayang di Gopeng, Perak, semalam.
GOPENG 13 Nov. - Mayat seorang lelaki dengan kesan melecur sebanyak 55 peratus di bahagian kepala hingga ke pinggang ditemui dalam keadaan terbaring di sebuah pondok di Taman Rekreasi Taman Sayang dekat sini hari ini.
Mangsa berusia 50-an itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan pada pukul 12.50 tengah hari.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Ng Kong Soon berkata, berdasarkan keadaan mayat, lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui.
Katanya, turut ditemui di sisi mangsa ialah sebuah tong petrol dan sekeping nota bertulisan Cina iaitu 'saya bunuh diri secara seksaan'.
"Siasatan lanjut tidak menemukan dokumen dan hanya ada kecederaan kecil di bahagian kepala dipercayai dihentak dengan seketul batu yang ditemui berhampiran mayat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kong Soon berkata, pihaknya akan menyiasat punca sebenar kematian mangsa walaupun nota yang ditemui menunjukkan seakan-akan lelaki itu membunuh diri.
"Oleh itu, kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut atau ada kehilangan anggota keluarga diminta tampil untuk membuat pengecaman," ujarnya.
Kata beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131114/dn_21/Mayat-lelaki-ditemui-separuh-terbakar#ixzz2kbDHqBKV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua beradik lemas dalam parit


KIRI Lisa Qaisara & Danish Fauzan
SABAK BERNAM 13 Nov. - Dua beradik berusia tiga dan empat tahun ditemui mati lemas di dalam parit berhampiran rumah mereka di Kampung Parit Dua Banat di sini petang semalam.
Sebelum itu kehilangan Lisa Qaisara Syahindah Zulkifli, 3, dan abangnya, Danish Fauzan Zulkifli, 4, itu disedari oleh ayah mangsa, Zulkifli Abd. Samad, 49, kira-kira pukul 4 petang, semasa sibuk menyediakan tempahan makanan untuk satu jamuan sekolah berdekatan.
Zulkifli yang bekerja sebagai peniaga kedai makan kemudian meminta anak lelaki sulungnya berusia 19 tahun mencari kedua-dua mereka di sekeliling rumah mereka tetapi masih gagal.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Muhammad berkata, Zulkifli kemudian mencari kedua-duanya di kawasan parit dan akhirnya menemukan mayat Lisa Qaisara Syahindah dan tidak jauh dari situ, mayat Danish Fauzan pula ditemui kira-kira pukul 6 petang.
"Polis percaya kedua-dua mangsa terjatuh semasa bermain di situ selain mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Pemeriksaan turut mendapati tiada kesan kecederaan dialami kedua-duanya.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ibu kanak-kanak malang itu, Sitini Sukardi, 41, berkata, sebelum kejadian, kedua-duanya yang merupakan anak keempat dan bongsu menjadi semakin rapat malah menunaikan solat maghrib secara berjemaah sebelum kejadian.
"Mereka ada meminta agar saya goreng ayam untuk makan tengah hari. Saya tidak menyangka itulah makanan terakhir yang dijamah oleh Lisa Qaisara dan Fauzan," katanya dalam nada sebak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131114/dn_09/Dua-beradik-lemas-dalam-parit#ixzz2kbCvMscN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bilal diberi notis berhenti 24 jam

Bilal diberi notis berhenti 24 jamDari kiri: Mohamad Kasim, Muhammad Yasser dan Md Nor.

JOHOR BAHRU - Selepas pemecatan seorang imam di Masjid Taman Perling, tiga bilal masjid itu pula ditamatkan perkhidmatan.

Notis penamatan jawatan bilal menerusi notis 24 jam diserahkan kakitangan jawatankuasa pentadbir masjid itu kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin.

Tiga bilal itu mendakwa tindakan itu tidak mengikut prosedur, malah menafikan hak bersuara.

Antara isi notis berkenaan mengatakan, pegawai tidak mempunyai surat tauliah sah daripada jabatan agama, melanggar peraturan, etika dan melanggar panduan dan peraturan Jabatan Agama Johor 1999 akan dihentikan.

Menurut Bilal I, Mohamad Kasim Shariff, 54, beliau tidak mendapat penjelasan kenapa ditamatkan perkhidmatan, sebaliknya notis diterimanya menyatakan dirinya tidak mempunyai surat tauliah.

“Saya mempunyai bukti saya ditauliahkan mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor, malah alasan saya melanggar peraturan etika juga tidak dinyatakan secara jelas," katanya kepada Sinar Harian.

Bilal II, Muhammad Yasser A Rashid, 28, yang setahun setengah berkhidmat di situ, memberitahu, dua lagi rakan sejawat akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan hak mereka.

“Saya terima notis berkenaan, namun saya tidak tandatangan surat itu yang turut dikepilkan cek satu bulan gaji kerana saya membantah tindakan ini.

“Isu Imam Muhammad Yusuf Baharuddin pun kami belum terima penjelasan. Kami akan merujuk perkara ini kepada jabatan agama selain menyatakan bantahan dan rayuan. Jika perlu di sisi undang-undang sivil, kita akan lakukan,” katanya.

Bilal III, Md Nor Bidin, 49, berkatam belua mahu keadilan dan diberi peluang  bersuara.

“Kami sepatutnya diberikan hak bersuara, iaitu menerusi surat amaran, tunjuk sebab sebelum tindakan diambil,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbir Masjid Perling, Mohd Yusof Hassan menjelaskan penamatan jawatan tiga bilal itu mengikut undang-undang.

“Kita ada segala butiran pelanggaran (peraturan) mereka dan diserahkan ke pejabat agama. Semua bukti ini dikumpulkan menerusi siasatan kami sejak enam bulan lalu.

“Kami mempunyai enam cara untuk menamatkan jawatan bagi individu yang dilantik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Johor, Ahmad Faizal Mohamed berkata, isu berkenaan masih lagi dalam siasatan.

“Saya perlu melihat laporan mengenai perkara ini. Kita sedang jalankan proses siasatan,” katanya.

Menurutnya, pemecatan penjawat yang bertauliah dan dilantik oleh pejabat agama perlu mengikut prosedur ditetapkan, manakala sekiranya lantikan itu dibuat atas dasar kontrak oleh masjid, ia tertakluk kepada pengurusan masjid.

Jumaat lalu, kira-kira 50 jemaah Masjid Jamek Taman Perling, di sini, berkumpul bagi mengadakan bantahan secara aman mengenai pemecatan imam II masjid berkenaan, Muhammad Yusuf.

Susulan pemecatan imam berkenaan, jemaah masjid mengumpul kira-kira 200 tandatangan sebagai menentang keputusan berkenaan untuk diserahkan kepada Pejabat Kadi daerah untuk perhatian lanjut.

Enam rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

Enam rumah musnah dalam kebakaran di TawauAnggota Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran melibatkan enam buah rumah musnah di Kampung Pasir Putih di Tawau, hari ini. - Foto Bernama
TAWAU - Enam buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih di sini hari ini menyebabkan 45 penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
  
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Rudy Fredzek berkata dua jentera bomba bersama 20 anggota digegaskan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan pada 11.32 pagi.
  
Ketika bomba tiba sebahagian besar rumah yang terbabit sudah musnah namun bomba dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran pada 12 tengah hari, katanya ketika dihubungi.
  
Sementara itu di KOTA KINABALU, tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan setinggan di Telipok awal hari ini.
  
Kejadian turut memusnahkan tiga buah kereta, kata jurucakap bomba dan penyelamat Kota Kinabalu ketika dihubungi.  

Menurutnya pihak bomba menerima laporan kejadian pada pukul 2.38 pagi dan tiga jentera bomba berserta 18 anggota digegaskan ke tempat kejadian.
  
Api dapat dikawal pada 3.42 pagi dan dipadamkan sepenuhnya tiga jam kemudian, katanya. - Bernama

Derita dimaki, didera suami

Derita dimaki, didera suamiNur (tiga, kanan) mengambil alih tugas menyara lapan anaknya yang turut keciciran sekolah selepas melarikan diri daripada suami.

KOTA BHARU - Seorang wanita yang berasal dari bandar ini terpaksa menyara lapan anaknya yang juga keciciran sekolah setelah nekad melarikan dari rumah selepas menjadi mangsa dera suami.

Wanita terbabit yang dikenali sebagai Nur, 36, terpaksa menghadapi saat getir untuk membesarkan kesemua anaknya dalam keadaan serba kekurangan setelah suaminya dihadapkan ke mahkamah di atas tuduhan memukul dirinya sehingga mendatangkan kecederaan pada 17 Januari lalu.

Nur berkata, suaminya yang dikenali berperwatakan baik dan lembut, mula berubah menjadi bengis dan pemarah sejak lima tahun lalu selepas melahirkan anak bongsunya dan sering memukulnya.

Menceritakan detik pengalaman hitamnya dipukul dan diterajang, Nur berkata, kejadian berlaku ketika dia meminta wang barangan dapur, namun dibalas dengan caci maki.

“Bukan itu sahaja, tidak cukup dengan itu perbalahan kami berlarutan sehingga dia memukul dan menyepak saya memandangkan cuba mempertahankan hak saya sebagai isteri.

“Akibat berang dengan jawapan saya itu, dia terus memukul saya tanpa belas kasihan walaupun dihalang oleh anak,” katanya.

“Saya cedera teruk di bahagian kepala, leher di samping kesan lebam di bahu akibat hentakan yang kuat dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian dan ditempatkan di wad selama enam hari.

“Ekoran kes itulah, saya yang pada mulanya masih memikirkan soal anak-anak dan sanggup bertahan untuk tinggal bersamanya walaupun sering disepak terajang, mengambil tindakan untuk keluar dari rumah yang di sewa di Mulong dan berpindah di Kota Bharu demi keselamatan diri dan anak,” katanya.

Nur kini terpaksa menumpang di sebuah rumah milik jirannya memandangkan dia tidak mampu mencari rumah sewa.

“Saya hanya harap bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 dan perbelanjaan lain yang dibantu anak sulung yang berusia 18 tahun yang juga keciciran sekolah turut bekerja dengan jiran menjaga warga emas dengan gaji RM50 sehari
dan anak kedua, 17 yang bekerja sebagai pencuci pinggan dengan gaji RM13 sehari.” katanya.

Mayat kanak-kanak dijumpai terapung


KUDAT 12 Nov. - Penduduk Pulau Bambangan di sini menemukan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang mulai mereput terapung-apung di Teluk Simpul berhampiran pulau itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun pada awal bulan ini di Pantau Kayu Puteh, Kota Belud.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Dawi Ossen berkata, pihaknya bagaimanapun masih belum dapat mengesahkan sama ada mayat itu yang ditemukan pada pukul 10.30 pagi mempunyai kaitan dengan kes kehilangan itu.
"Kami masih menanti keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan proses pengecaman daripada keluarga mangsa. Mayat ini agak sukar dikenal pasti ekoran keadaannya yang semakin mereput," katanya di sini
Muhammad Syahmi Hariadie, 10, sebelum ini dilaporkan hilang ketika beriadah bersama rakan-rakannya dan seorang guru mereka di Pantai Kayu Puteh bersempena cuti hujung minggu pada 2 November lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131113/je_05/Mayat-kanak-kanak-dijumpai-terapung#ixzz2kUfPacbh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua perompak larikan barang kemas RM400,000


SEREMBAN 12 Nov. - Dua perompak bersenjatakan pistol hanya mengambil masa kurang lima minit untuk melarikan empat dulang barang kemas dianggarkan bernilai RM400,000 dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Tuanku Hasan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kedua-dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal menyerbu masuk kedai emas berkenaan ketika pemiliknya mahu menutup perniagaan.
Pemilik premis tersebut, Tang Sai Foo, 41, berkata, ketika kejadian dia mahu menutup pintu kedai sebelum dua lelaki bertopi keledar meluru masuk sambil mengacukan sepucuk pistol.
Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan dia bersama dua pekerja supaya diam sebelum menutup pintu premis berkenaan.
"Salah seorang suspek mengarahkan saya mengeluarkan empat dulang emas dari cermin pameran dan memasukkannya dalam sebuah beg.
"Mereka kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sai Foo berkata, ini merupakan kali kedua kedainya yang terletak di tengah bandar ini disamun. Dalam kejadian pertama pada tahun 2008 dia kerugian hampir RM500,000.
"Saya tidak sangka kedai saya menjadi sasaran sekali lagi tetapi bernasib baik kerana saya dan dua pekerja tidak dicederakan," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131112/je_16/Dua-perompak-larikan-barang-kemas-RM400000#ixzz2kUf5knUQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pendakwaan mohon bicara bersama empat kes perogol bersiri


IPOH 12 Nov. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Disember ini keputusan permohonan pihak pendakwaan agar empat pertuduhan yang dihadapi oleh seorang perogol bersiri termasuk tuduhan merogol dan cuba melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang pelajar tingkatan lima dibicarakan bersama.
Hakim Roshan Lutfi Mohamed menetapkan tarikh berkenaan selepas permohonan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Isa ketika kes terhadap Malek Ridzuan Asroll, 27, disebut di hadapan beliau hari ini.
Nadiah memohon dua kes terhadap Malek Ridzuan di Mahkamah Majistret Batu Gajah dekat sini iaitu menyamar sebagai anggota polis dan mencuri telefon bimbit mangsa dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama kes rogol dan cubaan melakukan persetubuhan luar tabii kerana kesemua pertuduhan melibatkan mangsa yang sama.
"Saya juga memohon satu tarikh untuk mendapatkan laporan perubatan mangsa kerana sehingga kini kami masih belum memperolehnya," kata Nadiah.
Mengikut pertuduhan, Malek Ridzuan didakwa merogol dan cuba melakukan seks luar tabii terhadap pelajar perempuan berusia 17 tahun itu di kawasan hutan di Tanah Adat Mandailing, Batu Gajah di antara pukul 9.25 malam dan 10.15 malam, 25 September lalu.
Pada masa dan tarikh yang sama, tertuduh didakwa menyamar sebagai anggota polis dan mencuri telefon bimbit milik mangsa tersebut.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376, Seksyen 377(c), Seksyen 379 dan Seksyen 170 di bawah Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut menghadapi lima pertuduhan lain termasuk tiga pertuduhan seksual membabitkan tuduhan cuba rogol pekerja kedai kasut berusia 15 tahun dan seorang wanita berusia 30 tahun serta cuba melakukan seks luar tabii terhadap pelajar berusia 13 tahun.
Bagi kesemua pertuduhan ini, dua buah Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131113/ma_07/Pendakwaan-mohon-bicara-bersama-empat-kes-perogol-bersiri#ixzz2kUe7pioe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sebutan kes rompak eksekutif AirAsia 18 Dis.


Shahrinawati
KUALA LUMPUR 12 Nov. — Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini menetapkan 18 Disember ini sebutan kes terhadap seorang pemandu bas sekolah dan rakannya yang dituduh merompak seorang eksekutif syarikat penerbangan AirAsia yang maut akibat dilanggar sebuah kereta secara tidak sengaja ketika pemandunya cuba membantu mangsa.
Hakim Manira Mohd. Nor menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd. Zawawi memohon satu tarikh lain sementara mendapatkan laporan analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berwarna.
Azizee Ishak, 25, dan penganggur, Mohamad Faiz Amirol Mohamad, 22, didakwa bersama-sama melakukan rompakan terhadap Shahrinawati Abu Bakar, 30, di hadapan Kondominium Palm Villa City Garden, Taman Nirwana, Ampang kira-kira pukul 2.45 pagi, 29 Ogos lalu.
Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
Peguam Dony Abdullah mewakili Azizee manakala Mohamad Faiz diwakili peguam Abdul Hoqq Abd. Razak.
Akhbar sebelum ini melaporkan Shahrinawati yang bakal mendirikan rumah tangga menemui ajal secara tragis apabila dia dilanggar sebuah kenderaan dinaiki dua rakan secara tidak sengaja ketika mereka cuba membantu mangsa yang disamun dua lelaki bermotosikal.
Mangsa yang cedera parah akibat rempuhan itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles dekat sini pada pukul 3.15 pagi, kira-kira setengah jam selepas kejadian.
Sebelum kejadian, mangsa yang baru pulang dari tempat kerja di Sepang sedang berjalan menuju ke rumahnya selepas meletakkan kenderaan di luar pagar kondominium berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131113/ma_09/Sebutan-kes-rompak-eksekutif-AirAsia-18-Dis#ixzz2kUdzBjbJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saman menantu, anak bekas KSN selesai


MOHD. Sidek Hassan (kiri) bersama anak perempuannya, Suzi Suliana dan suami, Todd Michael Morath keluar dari mahkamah selepas prosiding kes saman malu terhadap Tony Pua di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Kes saman anak perempuan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan suaminya, Todd Michael Morath terhadap Ketua Publisiti DAP, Tony Pua atas dakwaan memfitnah mereka dalam beberapa artikel dan video, hari ini berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini.
Morath, 45, dan Suzi Suliana Mohd. Sidek, 35, memfailkan saman itu pada 16 Oktober 2012 setelah mendakwa Tony atau Pua Kiam Wee, 41, berniat memalukan dan merosakkan perniagaan serta nama baik mereka di beberapa buah syarikat berhubung kelulusan sistem tarif tenaga solar di negara ini.
Penyudahan saman itu direkodkan oleh Hakim Datuk Hue Siew Kheng selepas Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara membacakan kenyataan beliau sebagai penjelasan bagi penyelesaian saman tersebut.
Hakim Siew Kheng juga merekodkan perintah persetujuan yang dicapai oleh kesemua pihak yang terlibat dalam kes itu bagi penyelesaian kes.
Morath dan Suzi Suliana selaku pihak plaintif hadir di mahkamah dengan ditemani oleh Mohd. Sidek yang kini Pengerusi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) serta peguam masing-masing.
Pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan mereka menyatakan, Tony yang dinamakan sebagai pihak defendan mengendalikan dan menerbitkan artikel dalam blognya bertajuk Philosophy Politics Economics for Family and Friends, For Community and Country di http://tonypua.blogspot.com.
Menurut pihak plaintif, akibat penerbitan artikel dan video tersebut telah menyebabkan reputasi perniagaan mereka terjejas dan mengalami tekanan kerana diaibkan.
Tony dalam penjelasan tersebut antaranya menyatakan, bagi mengelakkan sebarang keraguan, beliau menarik balik semua sindiran terhadap keluarga tersebut yang terkandung dalam kenyataannya sebelum ini.
Defendan juga memberi akujanji akan mengeluarkan semua komen yang dibuat oleh para pengunjung blognya yang menyentuh pihak plaintif dan juga Mohd. Sidek ekoran daripada tohmahan yang dilemparkan oleh beliau sebelum ini.
Defendan menegaskan, semua kenyataan beliau pada masa itu merujuk kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) berhubung isu permohonan dan proses kelulusan sistem tarif tenaga dibuat berdasarkan kepentingan awam atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen.
Katanya, beliau juga tidak bermaksud untuk memperkecil-kecilkan atau mengatakan sebarang dakwaan salah laku mereka.
Peguam Ooi Huey Min mewakili pasangan suami isteri tersebut manakala Gobind Singh Deo mewakili Tony.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131113/ma_10/Saman-menantu-anak-bekas-KSN-selesai#ixzz2kUdZonSI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rozita didakwa dera kanak-kanak


Rozita Awang diiringi anggota polis keluar dari Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Pemilik sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska), Rozita Awang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan, pertengahan Oktober lalu.
Ibu kepada enam anak itu didakwa menganiaya kanak-kanak tersebut yang berada di bawah jagaannya dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di ruang tamu Taska Permata Harapan, Taman Melati di sini kira-kira pukul 11.35 pagi, 18 Oktober lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Rozita, 35, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan tersebut.
Tertuduh sebelum ini menyerah diri kepada pihak polis pada 7 November lalu setelah menghilangkan diri sejak rakaman klip video yang memaparkan penderaan kanak-kanak di taska tersebut tersebar sejak awal bulan ini.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ahmad yang mengendalikan pendakwaan, membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh.
Walau bagaimanapun, peguam, Muhammad Syazwan Mohd. Salleh yang mewakili wanita terbabit memohon satu jumlah jaminan yang minimum diberikan kepada anak guamnya memandangkan wanita itu mempunyai anak-anak yang masih kecil.
"Sekiranya dibenarkan jamin, suaminya yang bekerja sebagai pemandu teksi berjanji akan memastikan kehadiran isterinya ke mahkamah.
"Anak guam saya mempunyai anak-anak yang berusia di antara 10 tahun dan setahun setengah. Anak bongsunya pula masih lagi menyusu badan," ujar peguam itu.
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin kemudian membenarkan Rozita diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 10 Disember ini.
Terdahulu, wanita bertubuh kecil itu dilihat menangis terutama selepas menyedari kesemua anak-anak dan suaminya berada di galeri awam.
Namun, sejurus tamat prosiding, suami Rozita telah mengherdik sekumpulan jurugambar dan jurukamera yang sedang bertugas ketika lelaki itu keluar dari mahkamah.
Kira-kira pukul 3.30 petang, selepas menyedari kehadiran beberapa wartawan wanita, lelaki terbabit yang membayar wang jaminan isterinya telah memarahi kumpulan wartawan terbabit yang berada berhampiran kaunter jamin mahkamah sebelum 'menghilangkan diri'.
Rozita kemudian dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah kira-kira pukul 4.50 petang.
Pada 1 November lalu, media cetak dan elektronik mendedahkan rakaman klip video yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak di taska tersebut ditampar dan dipukul oleh pengasuh.
Klip video tersebut dirakamkan pada 18 Oktober lalu oleh seorang bapa yang meletakkan kamera tersembunyi di dalam beg sekolah anaknya setelah mengesyaki sesuatu tidak kena apabila kanak-kanak itu enggan dihantar ke taska tersebut.
Bagaimanapun anaknya tidak dipukul dalam rakaman itu.
Rentetan pendedahan tersebut, pihak polis telah menerima kira-kira lima laporan polis oleh ibu bapa yang mendakwa anak mereka didera seperti dipaparkan dalam video itu.
Polis kemudian menahan dua wanita yang merupakan pekerja taska terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan kanak-kanak di pusat jagaan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131113/ma_02/Rozita-didakwa-dera-kanak-kanak#ixzz2kUdHbf4w
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kontena terbabas seret kereta anggota polis


SEBUAH kereta milik seorang anggota polis remuk setelah diseret sebuah lori kontena dalam kemalangan di Nibong Tebal, kelmarin. - UTUSAN/SAZALI CHE DIN
NIBONG TEBAL 12 Nov. - Seorang anggota polis dan dua ahli keluarganya terselamat walaupun kereta dinaiki mereka diseret sebuah lori kontena yang terbabas sejauh 10 meter di Jalan Besar Sungai Jawi di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.45 malam itu, anggota polis terbabit, Ruslan Yunus, 51, yang memandu kereta jenis Proton Wira bersama isteri dan anak lelakinya berusia enam tahun hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, kemalangan berlaku apabila lori kontena dari arah Nibong Tebal ke Sungai Jawi membawa muatan kotak kosong dipercayai cuba mengelak sebuah kenderaan yang tiba-tiba keluar dari simpang Masjid Jawi.
Berikutan itu katanya, lori tersebut terbabas di sebelah kiri jalan manakala muatan kontena dibawa terbalik dan menyeret kereta dinaiki keluarga itu sehingga ke tepi longkang.
"Anggota polis itu bersama isteri dan anaknya terperangkap dalam kereta berkenaan dan mereka berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba yang bergegas ke tempat kejadian.
"Kesemua mereka dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk menerima rawatan manakala pemandu lori itu cedera," katanya hari ini.
Shafien berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131113/je_03/Kontena-terbabas-seret-kereta-anggota-polis#ixzz2kUckavXo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tentera Filipina sahkan korban Taufan Haiyan kini 942 orang


TACLOBAN, Filipina 12 Nov. - Tentera Filipina hari ini mengesahkan jumlah korban akibat Taufan Haiyan adalah seramai 942 orang.
Jurucakap tentera, Leftenan Jim Alagao berkata, 275 orang lagi disahkan hilang setelah berlakunya ribut yang dicatatkan sebagai paling buruk berlaku negara itu.
Jumlah kematian dijangka akan terus meningkat dengan dua pegawai wilayah menganggarkan angka korban keseluruhan mungkin mencecah 10,000 orang atau lebih. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131112/lu_01/Tentera-Filipina-sahkan-korban-Taufan-Haiyan-kini-942-orang#ixzz2kUaMFOUU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Afghanistan musnahkan dadah dan alkohol




KABUL 13 Nov. - Pihak berkuasa Afghanistan kelmarin memusnahkan lebih daripada 10 tan dadah dan beribu-ribu botol alkohol dalam usaha membanteras najis dadah ketika lonjakan baharu dalam penanaman candu di negara ini.

Kira-kira 2,000 kilogram candu, 400 kilogram heroin dan kira-kira 1,200 kilogram morfin telah dibakar semasa majlis tersebut.

Manakala lebih 10,000 kilogram hasyis bersama beribu-ribu botol minuman keras dan lain-lain alkohol turut dimusnahkan. - AFP



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131113/lu_01/Afghanistan-musnahkan-dadah-dan-alkohol#ixzz2kUZDaG5D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

22 pengawal milik MyKad palsu ditahan


Kuala Lumpur: Seramai 22 pengawal keselamatan warga Filipina ditahan kerana memiliki MyKad palsu dalam serbuan di sebuah pangsapuri di SS8, Kelana Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Putrajaya hasil maklumat awam dan risikan.
Pengarahnya, Wan Zakaria Wan Awang berkata, serbuan jam 1 pagi itu mensasarkan lapan rumah di dua blok pangsapuri berkenaan yang dipercayai dijadikan asrama pengawal keselamatan terbabit oleh majikan mereka.

"Bagaimanapun, hasil maklumat awam dan risikan mendapati kebanyakan pengawal keselamatan yang tinggal di sini menggunakan MyKad palsu. Kita percaya, mereka mendapatkan MyKad itu dari sindiket tertentu.


"Hasilnya, 22 pengawal keselamatan termasuk lima wanita ditahan kerana memiliki MyKad dan kononnya berasal dari Sabah. Namun, semakan JPN membongkarkan MyKad dimiliki mereka adalah tidak wujud dan ada juga yang ditukar gambar," katanya kepada pemberita sebaik tamat serbuan.


Menurutnya, semua yang ditahan akhirnya mengaku warga Filipina dan membeli MyKad itu dengan bayaran RM300 hingga RM500.

Dituduh terima deposit tanpa lesen RM5.5b



Kuala Lumpur: Seorang perunding syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan RM5.5 bilion, dua tahun lalu.

Datuk Joseph Kow Hock Beng, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui skim yang membabitkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.
Joseph didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama antara 10 Januari 3011 hingga 1 Oktober 2012.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mayat bawah pokok tumbang


Temerloh: Mayat kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama kakaknya di Sungai Semantan, dekat sini, Sabtu lalu, ditemui tengah hari, semalam.
Mayat S Thurgadevi, 9, ditemui sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh jam 12.45 tengah hariselepas operasi mencari bermula seawal jam 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Aziz Salleh berkata, mayat mangsa ditemui di bawah pokok tumbang kira-kira lapan kilometer dari tempat dilaporkan hilang.
Menurutnya, mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat.

Katanya, susulan penemuan mayat mangsa, polis menutup operasi mencari dan menyelamat serta mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Terdahulu, mayat kakaknya, S Sivaneswary, 10, ditemui oleh sepasukan anggota skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh pada jam 10 pagi, Ahad lalu kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.

Zikir pelik setiap malam


Segamat: Seorang lelaki yang mempelajari agama menerusi bahan bacaan bertulis rumi tanpa bimbingan guru, selain mengamalkan zikir pelik setiap kali selepas Maghrib hingga Isyak kini dikatakan berubah sikap sehingga sanggup membelasah isteri dan anak berusia empat tahun tanpa sebab sejak kebelakangan ini.
Lelaki yang mempunyai tiga anak itu juga didakwa gemar duduk bersendirian dalam bilik yang gelap di rumahnya di sini dengan membaca zikir pelik sambil menjerit-jerit dengan perkataan tidak difahami sehingga menakutkan jiran. 
Lebih malang, lelaki lingkungan 30-an itu bukan saja malas bekerja, malah bersikap panas baran sehingga sanggup membelasah isteri tanpa sebab selain memukul anak lelaki berusia empat tahun kononnya sakit hati melihat wajah insan kecil itu. 

Isterinya yang mahu dikenali sebagai Fazilah, 26, mendakwa suami yang dikahwini sejak lapan tahun lalu adalah seorang yang panas baran dan tidak pernah solat sejak mendirikan rumah tangga.
Foto

Selain itu, katanya, suaminya itu tidak mahu bekerja menyebabkan dia terpaksa mencari nafkah dengan bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di bandar ini dan pencuci pinggan di sebuah gerai di sini.

‘Lelaki Malaysia pemurah’


Ipoh: “Kami dijanjikan pendapatan lebih lumayan di Malaysia kerana ejen beritahu lelaki di negara ini lebih pemurah dan penyayang,” kata salah seorang pelacur warga Vietnam dikenali sebagai Binh, 24, yang berkhidmat sebagai pekerja seks di sebuah pusat spa di bandaraya ini.
Dia yang berasal dari daerah Phu My Hung turut berharap ada pelanggan dalam kalangan lelaki tempatan sudi mengahwininya seperti mana berlaku pada rakannya yang dihantar bekerja di Korea Selatan atau Taiwan. 
Menurutnya, aktiviti pelacuran di Vietnam menghadapi persaingan sengit dan kebanyakan rakan-rakannya ‘dieksport’ ke China, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia oleh sindiket. 

“Ada yang benar-benar sukarela menjadi pelacur dan ada yang ditipu sindiket yang berselindung di sebalik agensi mencari jodoh atau agensi menyediakan pekerjaan di luar negara.
Foto
WANITA Vietnam yang menawarkan khidmat seks.

“Saya sendiri bersama rakan-rakan dibawa masuk ke Malaysia awal tahun ini dengan menggunakan pasport sebagai pelancong.

Cemas lihat asap rumah terbakar

Cemas lihat asap rumah terbakarKeadaan rumah kosong di Kampung Kledang, Kota Lama Kanan yang terbakar, kelmarin.
KUALA KANGSAR – Seorang lelaki lari lintang pukang sebaik melihat kepulan asap dari kawasan kediamannya di Kampung Kledang, Kota Lama Kanan, di sini kerana menyangka rumahnya terbakar.

Bagaimanapun Shamsul Ariffin, 33, lega apabila mengetahui asap dan api itu berpunca dari sebuah rumah kosong yang terletak kira-kira lima meter dari rumahnya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang, kelmarin hampir menyebabkan dia putus harapan.

“Syukurlah kerana sangkaan saya tidak tepat, ketika kejadian, saya baru pulang mengambil isteri bekerja, dari jauh sudah nampak asap tebal.

“Tanpa sempat buat apa-apa, saya tinggalkan kenderaan tepi jalan lalu berlari ke  rumah kerana bimbangkan keselamatan ibu yang berada di dalamnya,” katanya.

Shamsul berkata, dia juga bernasib baik apabila van yang diletakkan hampir rumah kosong itu terselamat.

Katanya, rumah kayu setingkat itu dipercayai tidak berpenghuni sejak 10 tahun lalu.

Sinar Harian difahamkan, kebakaran berkenaan berkemungkinan berpunca daripada tindakan seorang kanak-kanak yang membakar kekabu dalam rumah itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, punca kebakaran masih menyiasat.

Katanya, 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan kebakaran dapat dipadamkan pada jam 5.37 petang.

“Hampir  80 peratus rumah tersebut terbakar, tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan rumah itu tidak berpenghuni,” katanya.

Detik getir tiga beranak

Nibong Tebal: Sepasang suami isteri terpaksa menahan kesakitan setengah jam apabila kereta Proton Wira dinaiki dihempap lori kontena di persimpangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.45 malam kelmarin, Ruslan Yunus, 36, yang juga anggota polis dari Balai Polis Nibong Tebal bersama isterinya, Azmila Awang, 34, dan anak lelaki mereka berusia enam tahun nyaris maut apabila kereta dinaiki remuk dihempap lori kontena yang membawa muatan kotak kosong. 
Bagaimanapun Ruslan, isteri dan anaknya terselamat dan suami isteri itu hanya cedera ringan sementara anak mangsa dan pemandu kontena berusia 51 tahun tidak cedera. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Shafien Mamat berkata, Ruslan yang memandu kereta dan isterinya yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan terperangkap dalam keretanya 30 minit sebelum dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal selain dibantu anggota bomba sukarela.
Foto
KERETA dinaiki tiga beranak dihempap lori kontena.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori kontena dari pekan Nibong Tebal menghala ke Sungai Bakap cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari persimpangan itu.

Dicekup berkurung di hotel


Melaka: Tindakan seorang lelaki berkurung dengan tunangnya di bilik kononnya mahu menikmati makan malam membawa padah apabila dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah hotel bajet di Taman Merdeka, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, pasangan membabitkan wanita berusia 22 tahun dan lelaki yang berusia 25 tahun itu dicekup di dalam bilik disewa lelaki didakwa tunangnya itu.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM Rahimin Bani berkata, ketika pemeriksaan, lelaki terbabit hanya berkemeja-T dan memakai tuala, manakala pasangannya berpakaian lengkap.

Katanya, siasatan mendapati lelaki terbabit datang dari Selangor ke negeri itu untuk bertemu tunangnya bagi membeli kelengkapan perkahwinan mereka sebelum menyewa bilik hotel kononnya untuk berehat.


“Wanita yang menetap di Alor Gajah itu masuk ke bilik hotel dengan alasan mahu menumpang makan sebelum ditahan JAIM,” katanya.


Rahimin berkata, pasangan terbabit mendakwa tidak melakukan perbuatan tidak senonoh sepanjang berkurung di bilik berkenaan.

Katanya, mereka mendakwa akan keluar semula bersama selepas wanita itu selesai makan di bilik berkenaan.


“Kehadiran JAIM lebih awal sekurang-kurangnya dapat membanteras perbuatan maksiat yang mungkin boleh terjadi di bilik itu,” katanya

Merana nak untung cepat


Kuala Lumpur: Seramai 17 lelaki kemungkinan diisytihar muflis kerana masing-masing menanggung ansuran bulanan beberapa kenderaan yang dibeli untuk disewakan kepada sebuah syarikat sewa kenderaan.
Sehingga kini mereka tidak mengetahui di mana semua kenderaan itu yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM4 juta berada serta digunakan oleh siapa. 
Menerusi laman sosial Facebook, mereka mula menyedari ditipu pemilik syarikat itu yang menukar syarat dan terma perjanjian yang berat sebelah serta mengundang risiko bankrap kepada kumpulan pemuda berkenaan yang rata-rata berusia bawah 30 tahun.

Menurut jurucakap kumpulan terbabit, Firdaus Ayob, mereka diperkenalkan dengan perniagaan ‘untung cepat’ itu menerusi seorang kenalan yang mendakwa mampu menjana pulangan lumayan dan hanya perlu menyewakan kereta kepada orang ramai terutama pelajar universiti.
Foto
NADZIM (dua dari kiri) mendengar keluhan mangsa penipuan syarikat sewa kenderaan, semalam.

Mempunyai cawangan di 16 tempat berbeza termasuk Shah Alam, Puncak Alam, Serdang dan Tanjung Malim, Firdaus berkata, pada mulanya dia dijanjikan bayaran RM4,000 sebulan untuk empat kereta dibeli serentak menerusi rangkaian syarikat terbabit berharga antara RM49,000 hingga RM75,000 seunit, awal tahun ini.

“Selama empat bulan saya mendapat bayaran penuh, namun ia berubah sebaliknya apabila kami semua mendapat surat perjanjian perubahan terma menyebabkan saya terkejut kerana perlu membiayai ansuran walaupun kereta digunakan pihak lain,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan di sini, semalam.

Hadir sama 16 lagi mangsa penipuan syarikat itu yang membabitkan pembelian 53 unit kenderaan pelbagai jenis bagi tujuan usaha sama perniagaan berkenaan.

Firdaus berkata, dia dan rakan lain kini bingung memikirkan nasib mereka kerana perlu menjelaskan hutang selain saman yang diterima atas kesalahan penyewa dan pelbagai risiko lain termasuk kemalangan.

“Ada di antara mereka menerima lebih 10 saman yang dilakukan orang lain. Manakala tiga kereta milik mereka dikatakan hilang, dicuri dan sebagainya. Kami sudah beberapa kali adukan kepada pengurusan tapi mereka tidak mahu bertanggungjawab sebaliknya minta kami patuh kepada perjanjian,” katanya yang membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Sungai Besi, minggu lalu.

Menurutnya, mereka kini buntu memikirkan nasib apatah lagi tidak layak untuk membuat sebarang pinjaman dengan institusi kewangan kerana nama sudah digunakan untuk memiliki beberapa kenderaan lain.

Nasib sama dikongsi seorang lagi rakannya, Azril, 30, yang kerugian RM5,000 setiap bulan selepas terpedaya dengan pendapatan lumayan yang dijanjikan selain menanggung 11 saman daripada tujuh unit kereta yang dibeli daripada syarikat berkenaan.

Azril berkata, disebabkan ingin mencari wang tambahan, dia bersetuju menceburi perniagaan itu tanpa menyelidik dahulu latar belakang syarikat selepas diperkenalkan seorang rakan.

“Mula-mula saya beli sebuah kereta dulu dan selepas mendapat keuntungan selain melihat kejayaan syarikat yang sudah beroperasi sejak tujuh tahun, saya menambah lagi pembelian kereta sehingga menjadi tujuh unit.

“Saya mula sedar ditipu apabila beberapa bulan selepas itu hanya memperoleh keuntungan RM50 untuk setiap kenderaan selain dipaksa membayar kos baik pulih salah sebuah kereta yang terbabit dalam kemalangan berjumlah RM2,000,” katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, siasatan pihaknya mendapati wujud unsur penipuan di dalam kes itu kerana tiada peraturan yang membenarkan kenderaan persendirian disewakan kepada orang lain.

Katanya, masalahnya ketika ini ialah kemungkinan kereta itu disalah guna pihak tertentu untuk melakukan jenayah serta kesalahan lain yang akhirnya mendatangkan mudarat kepada pemilik kenderaan.

“Satu lagi kita tidak menolak kemungkinan individu ini bersubahat dengan rangkaian gelap kerana dengan begitu mudah boleh meluluskan pinjaman beberapa kenderaan serentak walaupun ada pengadu kita mempunyai pendapatan kurang RM1,200 sebulan.

“PPIM akan membawa perkara ini kepada pihak berwajib bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa. Satu pengajaran kepada kita ialah, jangan terlalu inginkan kemewahan sehingga menggadai masa depan sendiri,” katanya.

Pelakon nafi, wanita mengaku


Petaling Jaya: Pelakon kontroversi, Shah Jaszle mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah, atas tuduhan berkhalwat di dalam bilik di sebuah rumah pada Mei lalu.
Shah Jaszle atau nama sebenarnya, Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin, 25, yang diwakili peguam, Asyraf A Ranee membuat pengakuan terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah. 
Terdahulu pada prosiding semalam, Asyraf memaklumkan pihaknya akan menghantar notis representasi berhubung kes itu kepada pihak pendakwaan. 

Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya tertuduh ingin berbuat demikian kerana ia adalah mengikut prosedur, namun berharap ia diserahkan segera untuk penelitian Ketua Pendakwa Syarie.
Foto

Pelakon yang hadir memakai kemeja hitam, bersongkok dan berseluar coklat itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 21 Januari tahun depan untuk sebutan kes.

Bagaimanapun wanita yang didakwa bersamanya, Farah Nurizzati Salleh, 21, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan didenda RM3,000. 

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Abd Halim berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan fakta kes juga tidak dibantah oleh tertuduh wanita. 

Bekas pegawai bank itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Dia yang memakai jubah hitam dan berselendang hitam membayar denda itu. 

Mengikut pertuduhan, Shah Jaszle yang ketika itu masih tunangan orang dan Farah Nurizzati didakwa berkhalwat di dalam bilik 2, sebuah rumah beralamat KC-01-16 Blok C, Kayangan Apartment, Jalan PJS 1-/24, Taman Sri Subang, dekat sini, jam 3.50 pagi pada 16 Mei 2013. 

Bagi pertuduhan itu mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) Tahun 1995 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya. 

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan oleh pegawai penguat kuasa agama (PPA) JAIS yang bertindak atas aduan orang awam. 

Ketika pemeriksaan di dalam bilik kedua rumah berkenaan, mereka menemui Farah Nurizzati yang berbaju singlet dan seluar pendek manakala Shah Jaszle memakai seluar pendek tanpa baju sedang berbaring di atas katil dengan berselimut dalam keadaan bilik yang gelap. 

Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri ataupun mahram yang sah. 

Sementara itu, dalam rayuannya, Farah Nurizzati memohon mahkamah mengenakan denda yang rendah terhadapnya kerana selepas kejadian itu, dia dibuang kerja. 

“Selepas perkara itu terjadi saya dibuang kerja dalam tempoh 24 jam. 

“Sekarang saya hilang punca pendapatan untuk menanggung ibu dan membayar ansuran kereta. Saya mohon denda dikurangkan,” rayu wanita itu. 

Bagaimanapun, Shafezan berhujah hukuman yang akan diterima Farah Nurizzati perlu diambil sebagai hikmah kerana jika tidak ditangkap, mungkin perbuatan tidak elok itu akan berleluasa. 

“Bagi masyarakat yang biasa dengan pergaulan bebas, ini adalah perkara biasa selagi tidak diadakan hubungan kelamin. 

“Wanita yang terbabit dengan perbuatan yang boleh menimbulkan syak perlu menjaga diri sendiri. Maruah mereka sangat berharga dan tidak wajar diberi percuma kepada mana-mana lelaki yang bukan muhrim,” katanya. 

Kejadian itu menyebabkan pertunangan Shah Jaszle dengan Redzwani Puteri, 25, terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan, tetapi disambung semula pada hari raya Aidiladha lalu.

Dua bas hangus angkara khianat



Dengkil: Dua buah bas milik sebuah syarikat pengangkutan hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku di Dengkil Jaya, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, bas berkenaan terdiri daripada bas sekolah dan bas pekerja diletakkan di tempat meletak kenderaan berat hangus dipercayai perbuatan khianat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 1.56 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Jentera pertama tiba 10 minit kemudian dan sebaik tiba anggota mendapati api marak disertai asap tebal.


“Siasatan awal mendapati bas berkenaan terbakar 80 peratus dan anggota penyelamat memadamkan keseluruhan api 24 minit selepas operasi dimulakan,” katanya.


Menurut Mohd Sani, pemilik bas berkenaan seorang lelaki tempatan berusia 40-an menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan pengawal keselamatan yang bertugas pada hari kejadian.

“Sebaik dimaklumkan, pemilik terus menghubungi bomba. Kerja memadamkan api tidak mengalami kesukaran kerana sumber air di kawasan itu mencukupi,” katanya.

‘Ketua’ tak hadir mahkamah


Kuantan: Seorang lelaki dipercayai ketua ajaran sesat yang menggelarkan dirinya Tuhan Harun gagal menghadirkan diri di Mahkamah Rendah Syariah di sini, untuk pengurusan kesnya.

Tertuduh, Harun Mat Saat, 47, dihadapkan ke mahkamah pada 24 April lalu atas 10 tuduhan mengamal dan menyebarkan ajaran sesat sejak Februari lalu, namun dibebaskan dengan jaminan RM15,000.


Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali kemudiannya menetapkan tarikh 20 Ogos lalu untuk sebutan semula kes, namun menangguhnya semalam selepas dia tidak hadir ke mahkamah.

Sepatutnya mahkamah menjalankan prosiding pengurusan kes tertuduh semalam termasuk hal lantikan peguam kerana difahamkan sebelum ini tertuduh mahu melantik peguam untuk menguruskan kesnya.


Bagaimanapun sehingga semalam, pihak pendakwaan masih belum menerima apa-apa maklumat atau dokumen berhubung perkara itu.


Mahkamah kemudiannya menetapkan Jumaat ini untuk pengurusan kes dan jika tertuduh masih lagi tidak hadir atau tidak memaklumkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan akan memohon waran tangkap kepada tertuduh.

Difahamkan tertuduh yang juga seorang komposer lagu.

Wanita dicerai talak tiga bakar diri



Kuala Lumpur: Akibat tertekan dengan masalah rumah tangga dihadapi selepas diceraikan dengan talak tiga, seorang wanita nekad cuba membunuh diri dengan mencurah petrol dan membakar diri di depan rumah bekas suaminya di Puchong, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, wanita berusia 25 tahun yang bertugas sebagai penjawat awam itu kini dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas terbakar hampir 80 peratus.


Sumber memberitahu Harian Metro, sebelum kejadian, mangsa datang ke rumah bekas suaminya sebelum berlaku pertengkaran mulut akibat tidak berpuas hati apabila diceraikan dengan talak tiga.

“Pasangan berkenaan dikatakan sering bergaduh menyebabkan bekas suami wanita itu menceraikannya dengan talak tiga kerana tidak tahan dengan sikap cemburu buta wanita itu yang menuduh bekas suaminya mempunyai hubungan sulit,” katanya.


Difahamkan, pasangan berkenaan baru lapan bulan berkahwin dan ia perkahwinan kedua wanita berkenaan.


Menurut sumber, selepas berlaku perang mulut, wanita berkenaan meninggalkan rumah itu dengan memandu kereta.

“Bagaimanapun, kira-kira 10 minit kemudian, wanita itu datang semula ke rumah berkenaan dengan membawa sebotol petrol lalu dicurahkan ke badannya ketika masih berada dalam kereta.


“Bekas suaminya cuba menghalang perbuatan itu, namun gagal sebelum wanita itu terlebih dulu menyalakan pemetik api menyebabkan api terus menyambar seluruh badannya,” katanya.

Menurut sumber, bekas suaminya turut melecur pada kedua-dua lengan dan dada, namun sempat menghantar bekas isterinya ke hospital.


Katanya, bekas suaminya cuba menyelamatkan wanita itu tetapi gagal sebelum pantas memeluk badan bekas isterinya dalam usaha memadamkan api.


“Akibatnya, bekas suami wanita itu juga melecur pada kedua-dua lengan dan dada, namun sempat menghantar bekas isterinya ke hospital,” katanya.


Difahamkan, wanita berkenaan dilaporkan kritikal dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang manakala bekas suaminya pula menerima rawatan sebagai pesakit luar.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Wajah lelaki beri salam


Kuantan: Polis mengambil kira semua maklumat termasuk disiarkan di laman sosial bagi membantu menyelesaikan kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Rafli Abdul Malek, Ahad lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, polis sudah mengambil keterangan semua pihak termasuk memantau maklumat ‘kecil’ di laman sosial. 
“Kami ambil kira semua maklumat, walaupun ada antaranya nampak kecil seperti di laman sosial, ia tetap berperanan membantu siasatan kes ini,” katanya selepas mengedarkan lakaran wajah seorang daripada suspek kes pembunuhan terbabit, di sini, semalam. 

Beliau berkata, menerusi lakaran itu, polis yakin ia dapat membantu mempercepatkan penyelesaian kes terbabit.
Foto
SHARIFUDDIN menunjukkan lakaran wajah suspek.

“Ia lakaran wajah suspek yang datang ke rumah mangsa dan memberi salam sebelum seorang lagi rakannya melepaskan tembakan. Lakaran ini 70 peratus tepat berdasarkan maklumat yang kami kumpul sehingga kini.

“Suspek berbangsa Melayu, bertubuh sasa, berkulit sawo matang, rambut dan misai beruban serta berusia lingkungan 55 tahun. Lakaran ini kami akan edarkan kepada ketua komuniti bagi membantu meluaskan rangkaian maklumat,” katanya. 

Ditanya mengenai kesahihan dakwaan kononnya ada pihak ternampak kereta suspek di kawasan Pekan, Sharifuddin berkata, perkara itu tidak benar dan polis masih mengumpul maklumat untuk mengesan lokasi suspek. 

Beliau berkata, polis tidak mengetepikan banyak kemungkinan termasuk kes itu mempunyai kaitan dengan ajaran sesat Tuhan Harun yang dikendalikan mangsa. 

“Kami siasat daripada semua sudut termasuk peribadi dan penguatkuasaan yang dilaksanakan mangsa. Bagaimanapun mangsa tidak pernah membuat laporan polis berkaitan sebarang ugutan,” katanya. 

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zukri Muhammad di talian 013-9764999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5652222 atau talian hotline 09-5142999 atau mana-mana balai polis berhampiran. 

Dalam kejadian jam 1.50 petang Ahad lalu, Ahmad Raffli, 49, meninggal dunia di depan kediamannya di Indera Mahkota, di sini, selepas terkena dua daripada tiga das tembakan dilepaskan suspek yang datang ke rumahnya.