Search This Blog

Monday, November 11, 2013

Lebih 10,000 dikhuatiri maut


BAK DILANDA TSUNAMI: Rumah-rumah di bandar Tacloban ranap selepas ombak laut menghempas pesisir pantai akibat taufan Haiyan. - Foto REUTERS
TAUFAN HAIYAN LANDA FILIPINA


TACLOBAN (Filipina): Taufan terkuat di dunia tahun ini yang memusnahkan wilayah tengah Filipina dipercayai sudah meragut lebih 10,000 nyawa, sekali gus menjadikan ia bencana alam jadi paling dahsyat yang pernah melnda negara itu.
Angka korban terbaru akibat Taufan Haiyan didedahkan semalam sedang Amerika Syarikat berjanji menyalurkan bantuan tentera dalam usaha membantu mencari mangsa dan menghulurkan bantuan kecemasan di kawasan yang terputus bekalan makanan sejak tiga hari lalu.
Ketua Polis Wilayah Leyte, Encik Elmer Soria, berkata lebih 10,000 dipercayai terkorban di wilayah paling teruk terjejas itu.
"Kami sudah mengadakan mesyuarat malam tadi dengan gabenor dan berdasarkan anggaran pemerintah, sekitar 10,000 orang terkorban. Sekitar 70 hingga 80 peratus rumah dan struktur bangunan di sepanjang jalan musnah," kata Encik Soria.
Sebahagian besar korban disebabkan ombak laut yang membadai di kawasan pesisiran pantai seakan tsunami, menyebabkan rumah hanyut dan penduduk mati lemas.
Ibu kota Leyte, Tacloban, serta kampung-kampung sejauh satu kilometer dari tepi pantai dilaporkan kini banjir akibat air laut melimpah. Saluran televisyen menunjukkan kanak-kanak berpaut pada bumbung rumah untuk menyelamatkan diri.
"Dari atas helikopter, anda boleh nampak kesan kemusnahan. Dari tepi pantai sehingga satu kilometer ke darat, tiada bangunan yang berdiri. Ia seperti satu tsunami melanda," kata Setiausaha Dalam Negeri, Encik Manuel Roxas.
Seorang pengarah di lapangan terbang Tacloban, Encik Efren Nagrama, 47 tahun, berkata paras air telah mencapai setinggi empat meter.
"Kami melarikan diri melalui tingkap dan saya berpaut pada tiang sehingga sejam sedang hujan, air laut dan angin deras melanda lapangan terbang di sini. Ada kakitangan saya berpaut pada pokok. Saya berdoa sehingga air mula surut," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Chuck Hagel, telah mengerahkan kapal dan pesawat angkatan tenteranya di Pasifik membantu usaha menghulurkan bantuan kecemasan.
New Zealand dan Australia juga telah menyalurkan bantuan segera sebanyak AS$490,000 ($611,108) kepada Filipina semalam.
Daripada jumlah itu, Wellington menyumbang AS$124,000 manakala Canberra sebanyak AS$366,000.
Menteri Luar New Zealand, Encik Murray McCully, berkata bantuan itu disalurkan ke Palang Merah bagi badan berkenaan membekalkan rawatan kecemasan kepada mangsa taufan tersebut. - AFP, AP, Reuters.

Godam emel syarikat, kaut untung

 Inspektor Mohd Faizal Zainal
Inspektor Mohd Faizal Zainal

KETIKA dunia sedang mengecap kecanggihan teknologi dalam pelbagai bidang, secara tidak sedar ada individu tamak yang menggunakan kebijaksanaannya untuk mengaut untung dengan mudah. Hal ini dibuktikan dengan penipuan melalui internet iaitu emel digodam penjenayah.

Modus operandinya mudah dengan mengesan syarikat yang menjalankan urusan jual beli melalui emel sebelum menggodam bagi menipu syarikat pembeli. Ini kerana syarikat pembeli akan membuat pembayaran melalui akaun syarikat penjual.

Setelah digodam, suspek akan menukar nombor akaun syarikat penjual kepada nombor akaun milik individu lain. Suspek akan menggunakan pelbagai alasan di atas penukaran nombor akaun tersebut sebelum syarikat pembeli (mangsa) memasukkan duit pembelian ke dalam akaun individu itu.

Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Inspektor Mohd Faizal Zainal berkata, kebanyakan syarikat ini mempunyai urusan niaga dengan syarikat luar, misalnya syarikat perabot yang mengimport produk.

“Penjenayah ini bijak. Mereka akan mencari syarikat dengan rambang sahaja. Setelah berjaya, mereka akan kesan sama ada syarikat itu mempunyai perniagaan dengan syarikat luar negara atau tidak.

“Ini penting bagi mereka kerana urusan yang melibatkan luar negara kebanyakannya hanya melalui emel berikutan kos telefon yang tinggi. Maka jika guna emel, kos dapat dijimatkan,” katanya ketika ditemui Sinar harian.

Faizal berkata, faktor kepercayaan antara syarikat A dan syarikat B sangat tinggi kerana kebiasaannya hubungan yang terjalin mencecah 10 tahun atau lebih. Jadi, sebarang perubahan dalam emel misalnya penukaran nombor akaun pasti tidak menimbulkan sebarang keraguan.

Katanya lagi, penipuan ini akan dilakukan secepat mungkin dan suspek akan terus bertindak jika ada peluang. Tapi jika suspek mendapati syarikat ini masih belum lagi membuat urusan pembayaran, dia akan tunggu.

“Suspek ini dari luar negara, tapi nombor akaun yang ditukar itu adalah kebanyakannya milik wanita warga  tempatan. Dipercayai mereka ini bersekongkol dengan suspek dan ada juga kes pemilik nombor akaun tidak tahu menahu berkenaan penipuan ini.

“Kita ada menangkap suspek terutama warga Afrika ini melalui emel header atau pemilik akaun yang tunjuk,” katanya.

Menurutnya,  apabila syarikat ini sudah ditipu, dari segi hubungan perniagaan masih mereka teruskan tapi dalam keadaan lebih berhati-hati. Suspek (penggodam) sukar dikesan kerana dia celik teknologi dan tahu menggunakan teknologi spoofing (sorok identiti).

“Wujud aplikasi percuma yang boleh dimuat turun dari internet. Ia bertujuan bagi menyorokkan identiti dan lokasi sebenar suspek ketika itu.

“Suspek juga boleh membuat tetapan pada IP Address. Ini terbukti apabila kita cuba kesan, suspek didapati sering bertukar-tukar lokasi, misalnya sekejap di China dan sekejap di tempat lain,” ujarnya.

“Kita turut bekerjasama dengan beberapa agensi lain bagi membantu siasatan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, CyberSecurity, bank dan syarikat telekomunikasi.

Kerugian yang dicatatkan kebiasaannya mencecah puluhan ribu ringgit bagi sekali kes dan jarang sekali kes sebegini melibatkan penipuan individu kerana suspek akan menyasarkan nilai wang yang besar.

Modus operandi
1. Sasaran kes godam emel melibatkan syarikat yang menjalankan urus niaga melalui kaedah komunikasi via emel.

2. Kebiasaannya urus niaga ini dilakukan antara syarikat tempatan dengan syarikat yang berpangkalan di luar negara.

3. Pada peringkat permulaan, suspek akan menceroboh masuk ke dalam satu daripada emel di antara dua buah syarikat (syarikat penjual & syarikat pembeli).

4. Suspek akan memerhati atau mengkaji kandungan emel syarikat penjual yang dicerobohi terlebih dahulu.

5. Selepas itu, suspek akan menukar maklumat akaun pembayaran agar wang yang sepatutnya dibayar ke dalam akuan syarikat tersebut akan dimasukkan ke dalam sebuah akaun yang lain.

6. Pelbagai alasan diberi Syarikat Penjual ekoran penukaran maklumat akaun tersebut bagi meyakinkan syarikat pembeli mengenai transaksi urus niaga tersebut adalah sah.

Akibatnya, syarikat penjual yang sepatutnya menerima bayaran itu tidak menerima apa-apa kemasukan wang ke dalam akaun yang diberi. Ini kerana maklumat tersebut telah ditukar dan wang dimasukkan ke dalam akaun yang lain.

Syarikat pembeli tidak menyedari masalah ini kerana tiada semakan peringkat kedua dan pengesahan maklumat akaun dibuat melalui kaedah panggilan telefon. Melainkan jika syarikat penjual berhubung dengan syarikat pembeli dan memaklumkan urusan pembayaran telah dibuat tetapi tiada penghantaran tempahan/belian dilakukan.

Suspek kebiasaannya terdiri daripada warganegara benua Afrika yang tinggal di Malaysia. Kebanyakan mereka menggunakan pas pelajar untuk menetap di negara ini tapi pada masa sama mencari peluang melakukan jenayah terutama jenayah siber.

Nasihat Polis Diraja Malaysia
1. Syarikat yang menjalankan urusan perniagaan melalui emel perlulah menukar kata laluan secara berkala untuk mengelakkan emel syarikat mudah untuk dicerobohi.

2. Pihak syarikat perlulah membuat semakan secara berperingkat melalui telefon atau emel kedua untuk membuat pengesahan berkaitan sesuatu urusan/transaksi bagi mengelakkan maklumat akaun ditukar tanpa disedari.

3. Bahagian teknologi maklumat di sesebuah syarikat perlulah meningkatkan tahap kawalan keselamatan siber bagi mengelakkan rangkaian ataupun WiFi mudah untuk dicerobohi yang mana boleh mengakibatkan maklumat syarikat/akaun syarikat terdedah kepada penjenayah.

4. Pihak akauntan syarikat pembayar perlu sentiasa peka dengan sebarang perubahan maklumat akaun pembayaran dan sentiasa membuat semakan bagi mengelakkan syarikat mengalami kerugian.

5. Pihak syarikat atau individu perlu peka dengan perkembangan trend jenayah siber masa kini bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

Kesalahan
1. Seksyen 420 Kanun Keseksaan - Didenda penjara 1 hingga 10 tahun atau sebatan atau denda.

2. Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 -Didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun.

Bagi pemilik akaun
1. Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu salah guna harta dengan curang.

2. Seksyen 411 kanun keseksaan iaitu terima harta curi dengan curang.

Statistik godam emel syarikat

Tahun        Bilangan kes    Kerugian (RM)
2011        5        960,150
2012         32        4,636,487
2013         67        8,129,225.67

Senario kes 1

Pengadu sebagai pengarah urusan syarikat A yang menjalankan perniagaan menjual dan mengeksport peralatan paip (perumahan). Pengadu berurusan dengan Christopher (bukan nama sebenar) dari syarikat B di Nairobi, Kenya. Semua urusan perniagaan adalah melalui emel.

Pada 25 April lalu, pengadu terima bayaran pertama sebanyak USD1,500 (RM4,757.80) daripada Christopher dengan cara masukkan wang ke dalam akaun bank milik pengadu. Pada 7 Mei lalu, bayaran kedua yang dibuat Christopher kepada pengadu dengan membuat kiriman melalui pemindahan wang Western Union sebanyak USD1,500 (RM4,757.80) atas nama Fatimah Abu (bukan nama sebenar). Pengadu tidak pernah menghantar emel tersebut dan tidak kenal  Fatimah Abu. Pengadu buat laporan polis kerana tak tahu siapa individu yang mengambil wang dikirim Western Union oleh pelanggan syarikat pengadu.

Bas ke Genting terbabas, seorang cedera parah


11 November 2013

KUALA LUMPUR - Seorang penumpang cedera parah apabila bas persiaran yang membawa 22 penumpang terbabas ke dalam longkang di Km 3 Jalan Batang Kali-Jalan Genting, di sini awal hari ini.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superitendan Zulkifli Bidin berkata, lelaki berumur 58 itu patah kaki kanan akibat tersepit dalam kejadian pukul 5 pagi tersebut dan kini dirawat di Hospital Selayang.
 
Beberapa penumpang lain termasuk pemandu bas itu dilapor mengalami cedera ringan, katanya ketika dihubungi di sini.
 
Mengulas kejadian itu, Zulkifli berkata nahas berlaku dalam keadaan hujan renyai apabila sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan bas tersebut, menyebabkan pemandunya mengelak ke tepi jalan.
 
"Tindakannya mengakibatkan bas yang dalam perjalanan dari ibu negara ke Genting Highlands itu terbabas dan masuk ke dalam longkang," katanya menambah  semua penumpang rakyat tempatan.
 
Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat  Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.07 pagi dan tiba di lokasi kejadian 24 minit kemudian.
 
Operasi tamat pada pukul 6.28 pagi setelah kesemua mangsa berjaya dikeluarkan, katanya. - Bernama

Dendam dipercayai punca pegawai Jaip dibunuh

Tembak pegawai JaipJenazah Raflie Abdul Malik dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat selepas ditembak dari jarak dekat di hadapan rumahnya di Taman Indera Mahkota Dua, Pahang - Foto Bernama

KUANTAN - Polis Pahang percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Mohd Raffli Abdul Malik yang ditembak semalam bermotifkan dendam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani berkata, polis percaya tiga suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan tersebut mungkin berdendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.
"Bagaimanapun, polis sedang menyisasat dari pelbagai sudut sama ada ancaman di atas penguatkuasaan yang dijalankan arwah terhadap kes berisiko tinggi atau ada ancaman peribadi," katanya kepada pemberita selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Bukit Ubi di sini hari ini.
Katanya, selain itu polis turut memberi kawalan keselamatan terhadap waris mangsa bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang ancaman daripada pihak yang mungkin berdendam dengan mangsa.
"Pihak keluarga diminta bertenang dan banyakkan bersabar dengan dugaan ini, polis tidak akan sesekali memberi ruang kepada mereka yang terlibat dan kita akan buru suspek hingga ke lubang cacing," katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar kediaman penjawat awam yang bertugas sebagai penguatkuasa ditempatkan dalam sebuah kawasan bagi menjamin keselamatan mereka ekoran tugas mereka sangat berisiko dan terdedah terhadap pelbagai ancaman.
"Kerja sebagai penguatkuasa ini berdepan dengan bahaya, kadang-kadang kita tidak tahu ada musuh dalam selimut jadi untuk keselamatan mereka terjamin elok di tempatkan sebuah kuarters yang mempunyai kawalan keselamatan yang baik," katanya.
Beliau juga dalam pada itu menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut atau menuding jari kepada mana-mana pihak.
"Hasil siasatan awal semalam mendapati suspek bukan berjubah tetapi memakai pakaian berwarna putih dan berbaju serta berseluar hitam selain memakai kopiah.
"Kita tidak boleh membuat sebarang andaian atau menyiasat menjurus melalui pakaian sahaja, siasatan mendalam dan terperinci sangat diperlukan.

Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta segera memaklumkan kepada pihak polis," katanya.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Abdul Malik Awang Yen, 79, ketika ditemui berkata Allahyarham yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik sangat baik dan berbudi bahasa orangnya.
"Saya sungguh terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada cucu saya (anak arwah) lebih-lebih lagi bila diberitahu arwah ditembak. Saya sungguh sedih namun reda dengan ketentuan ilahi," katanya dan menurutnya kali terakhir dia berjumpa arwah pada Jumaat lepas di Indera Mahkota.
Mohd Raffli, 49, maut selepas ditembak tiga das oleh seorang daripada tiga suspek yang datang berjumpanya tengah hari semalam di kediamannya di Indera Mahkota 2 di sini.
Suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback warna putih.  - Bernama

Raja Belanda dibaling tomato


11 November 2013

MOSCOW - RUSIA . Kumpulan aktivis pembangkang Rusia, kelmarin bertindak membaling tomato ke arah Raja Belanda Willem-Alexander ketika baginda mengadakan lawatan di negara itu.

Agensi berita Ria Novosti melaporkan tindakan tersebut dilakukan sebagai protes terhadap kematian Alexandre Dolmatov yang dipercayai membunuh diri kerana kecewa selepas tuntutannya untuk mendapatkan perlindungan di Netherlands ditolak, Januari lalu.

Susulan daripada insiden itu, dua aktivis yang disyaki melakukan perbuatan tersebut telah ditahan pihak berkuasa, dipetik dari laporan  AFP.

Taufan Haiyan mengganas


11 November 2013
Taufan Haiyan mengganas
Taufan Haiyan mengganas Laluan taufan Haiyan - Sumber: Agensi Meteorologikal Jepun


Taufan Haiyan mengganas
Sebahagian mayat bergelimpangan di tepi jalan sekitar bandar Tacloban.
Taufan Haiyan mengganas
Taufan Haiyan memusnahkan seluruh kampung di Pulau Samar, kelmarin
TAUFAN Haiyan membawa angin kencang membadai tengah Filipina, di wilayah Leyte, Tacloban dan Pulau Samar sejak kelmarin, setakat ini mengorbankan lebih 10,000 orang dengan ribuan penduduk dilaporkan masih hilang.

Pengkaji cuaca menjangkakan taufan itu melintasi Laut China Selatan dan sampai ke Vietnam hari ini.


Vietnam siap sedia

Laman web kerajaan melaporkan, pihak berkuasa di 15 wilayah Vietnam meminta bot nelayan pulang dan hampir 300,000 orang dipindahkan ke kawasan selamat di Da Nang dan Quang Nam.

“Lebih 600,000 penduduk  di wilayah utara dipindahkan. Sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan terbunuh, ketika menyelamatkan diri daripada ribut semalam,” memetik laporan itu.

Pusat Ramalan Kaji Cuaca tempatan melaporkan, taufan ganas itu dijangka ‘singgah' ke selatan Hanoi hari ini, kira-kira jam 3 petang waktu tempatan.


Operasi bantuan

Taufan Haiyan membadai Filipina sejak kelmarin itu merupakan paling kuat dalam sejarah.

Ia menyebabkan jambatan runtuh, bangunan ranap dan jalan terbelah termasuk kemusnahan teruk di Lapangan Terbang Tacloban.

Datuk bandar Tacloban melaporkan, keadaan di bandar itu semakin tenat apabila tiada bekalan bersih, elektrik terputus dan keperluan makanan terhad.

“Angka kematian kini mencatatkan lebih 10,000 orang maut. Kira-kira 70 ke 80 peratus kawasan di wilayah Leyte musnah. Kebanyakan kematian disebabkan lemas atau terperangkap di bawah runtuhan," katanya.

Menurutnya, di wilayah Samar Timur, lebih 300 orang ditemui maut dan 2,000 dilaporkan hilang di bandar, Basey.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pihak berkuasa Penerbangan Sivil John Andrews berkata, gambaran udara menunjukkan, tenggara Manila umpama padang jarak padang tekukur apabila taufan raksasa itu memusnahkan keseluruhan bandar.

“Mayat boleh dilihat di tengah jalan, tiang elektrik patah, pokok tumbang, bumbung kediaman runtuh dan rumah ranap. Kira-kia 580 kilometer di tenggara Manila pula banjir melanda dengan ribuan kenderaan terkandas,” katanya.


Rangkaian komunikasi terputus

Jurucakap agensi bencana kebangsaan, Mejar Rey Balido mengesahkan, hampir 480,000 orang kini diarah berpindah ke tempat perlindungan  sementara.

Menurutnya, kini seramai satu juta penduduk berada di tempat perlindungan sementara di 37 wilayah sebelum ribut itu dijangka membadai kawasan tersebut hari ini.


Operasi SAR

Taufan Haiyan membawa angin dan hujan berterusan berkelajuan antara 235 kilometer sejam (km/j) dan 275 km/j dengan ombak setinggi 15 meter.

Pentagon kelmarin, mengumumkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia menghantar anggota penyelamat dari tentera laut dan udara dalam usaha melakukan operasi mencari dan menyelamat (Sar) mangsa.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel berkata, dua helikopter lengkap dengan keperluan alatan menyelamat disediakan  selepas kerajaan Filipina meminta bantuan.

Sehingga petang semalam, Haiyan berada 709 kilometer di barat San Jose, wilayah Occidental Mindoro membawa angin kelajuan 185 kilometer sejam sehingga 220 kilometer sejam.

50 anggota JPAM diserang histeria


Beberapa pengamal perubatan Islam mengubati salah seorang anggota JPAM yang diserang histeria ketika malam terakhir Himpunan Pertahanan Awam Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan, malam semalam.
TELOK KEMANG 10 Nov. - Seramai 50 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) diserang histeria pada malam terakhir Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19, 2013 di Port Dickson malam tadi.
Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10 malam ketika persembahan malam kebudayaan sedang dijalankan di kawasan pantai Batu 1 berhampiran Pejabat Daerah Port Dickson.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati keadaan terkawal apabila 50 mangsa serangan histeria yang terdiri daripada lelaki dan wanita berjaya ditenangkan selepas menerima bantuan pengamal perubatan Islam daerah ini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan JPAM, Mejar Lokman Hakim Abdul Rahman, perhimpunan tiga hari itu melibatkan 1,500 pegawai dan anggota JPAM dari seluruh negara.
"Pada malam terakhir, setiap kontinjen yang terdiri daripada 14 peserta perlu membuat persembahan yang bermula pukul 8.30 malam sempena malam kebudayaan ini.
"Pada pukul 10 malam, beberapa anggota terkena gangguan yang dipercayai disebabkan oleh faktor keletihan," katanya di sini malam tadi.
Menurut Lokman Hakim, pihaknya mengambil langkah menghentikan persembahan itu sebelum memanggil lima pengamal perubatan Islam daerah untuk membantu bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
"Sebahagian daripada mereka yang terkena gangguan dibawa ke masjid berdekatan. Pada pukul 12.30 tengah malam keadaan kembali pulih dan semua anggota dibawa ke khemah masing-masing," katanya.
Seorang anggota yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsul memberitahu, tiada perkara yang tidak diingini berlaku semenjak awal perhimpunan itu melainkan pada malam terakhir.
"Perhimpunan empat hari tiga malam ini diisi dengan aktiviti fizikal dan mental bagi menguji tahap kemampuan setiap anggota dari kontinjen yang terlibat.
"Namun sebaik persembahan kedua terakhir berlangsung kejadian histeria ini mula menjadi-jadi sebaik dua anggota terkena gangguan itu," katanya.
Seorang lagi anggota mendakwa, dia percaya kejadian itu mempunyai hubung kait dengan persembahan ulek mayang dan tarian kuda kepang.
"Semasa persembahan itu, dua anggota wanita terkena histeria dan terus dibawa ke bahagian perubatan yang disediakan tetapi persembahan diteruskan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_10/50-anggota-JPAM-diserang-histeria#ixzz2kIkZyZk1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar hilang ketika cari siput ditemui lemas


11 November 2013

PASIR PUTEH - Pelajar yang dilaporkan hilang setelah perahu yang dinaiki bersama tiga rakannya terbalik ketika mencari siput di sungai di Kampung Sungai Petai tengah hari tadi, ditemui mati lemas petang ini.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya berkata mayat Mohammad Zulkifli Razak, 16, dijumpai unit skuba Bomba dan Penyelamat Kota Baharu pada 4.40 petang selepas lima minit gerakan mencarinya dilancar.

"Mayat mangsa yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Menengah Rendah itu dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Tiga rakan mangsa yang terselamat ialah Mohamad Faizuddin Mohd Sabri, 22, Mohd Hakim Rosli, 16, dan Mohd Shukri Zul, 14.

Kaharuddin berkata mayat mangsa dijumpai berhampiran lokasi perahu yang dilaporkan terbalik.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Kamal Zainal berkata Zulkifli gagal diselamatkan rakannya kerana mereka juga hampir lemas tetapi terselamat apabila sempat berpaut pada dahan pokok.

Mohamad Faizudin berkata ketika kejadian, beliau mengayuh di bahagian depan sampan sebelum ia dimasuki air dan karam.

"Ketika itu, saya sempat melihat mangsa (Zulkifli) melambai-lambai tangan meminta tolong sebelum tenggelam.

"Saya cuma sempat mencapai tangan Mohd Shukri manakala Hakim sempat menyelamatkan Faizudin dan membawa mereka ke tebing sungai," katanya.

Ibu angkat mangsa, Ramidah Mohd Nor, 52, berkata beliau sempat bersarapan bersama Zulkifli namun arwah tidak memaklumkan akan ke sungai berkenaan yang tidak jauh dari rumahnya.

"Saya hanya sedar kejadian itu apabila diberitahu jiran-jiran," katanya. - BERNAMA

Runtuh: 5 sekawan nyaris maut


Keadaan dua buah rumah dan sebuah bengkel kereta yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Sultan Abu Bakar Brinchang, Cameron Highlands malam tadi.
CAMERON HIGHLANDS 10 Nov. - Lima sekawan termasuk pemilik sebuah bengkel membaiki kereta di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang di sini nyaris maut selepas tebing sebuah bukit bersebelahan tiba-tiba runtuh dan menimpa bengkel tersebut.
Dalam kejadian ketika hujan lebat kira-kira pukul 6.30 petang itu, tiga orang sempat menyelamatkan diri manakala dua orang lagi terperangkap di dalam bengkel tersebut.
Kedua-duanya berjaya dikeluarkan kira-kira sejam setengah kemudian dan dihantar ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom di sini untuk mendapatkan rawatan.
Hanya seorang yang dilaporkan cedera ringan iaitu pemilik bengkel tersebut, Adrius Munir, 43, manakala rakannya yang turut terperangkap, Mohd. Norsoswa Abd. Wahab, 42, tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku semasa pemilik bengkel tersebut bersama empat lagi rakannya sedang berbual-bual di hadapan bengkel.
"Tiba-tiba tanah dari bukit di tepi jalan itu runtuh dan menimpa bengkel tersebut. Tiga orang sempat lari tetapi dua lagi termasuk pemilik bengkel terperangkap akibat tersepit ditimpa besi dalam bengkel itu.
"Polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang terperangkap itu kira-kira pukul 8 malam ini," katanya ketika dihubungi malam ini.
Menurut Wan Mohd. Zahari, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang mengakibatkan sebahagian tebing bukit itu runtuh.
"Tiada aktiviti penerokaan di bukit itu. Kejadian ini mungkin berlaku kerana hujan lebat sehingga tanah di bukit itu rebak dan runtuh," katanya.
Pada 23 Oktober lalu, empat orang termasuk tiga pekerja ladang sayur warga asing maut dalam tragedi banjir lumpur di Lembah Bertam di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_07/Runtuh-5-sekawan-nyaris-maut#ixzz2kIk0A7No
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua pelajar maut diseret treler


KEMAMAN 10 Nov. - Dua pelajar Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco maut selepas motosikal dinaiki mereka diseret sebuah treler di Kilometer 155.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran jambatan Geliga dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Mohd. Ezrein Fitri Shaiful, 18, dari Melaka dan rakannya, Mohd. Shaufiq Shahfuan Soilin, 22, dari Sabah dalam perjalanan pulang dari kolej mereka menuju ke asrama di Taman Banggol Indah kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian.
Difahamkan, Mohd. Ezrein Fitri yang menunggang motosikal dari arah sama dengan treler berkenaan iaitu dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan, terbabas sebelum motosikal mereka diseret sehingga ke atas pembahagi jalan.
Berikutan itu, kedua-dua mangsa yang baru mengikuti pengajian peringkat diploma dalam Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Profesional sejak Oktober lalu di kolej tersebut, mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kemalangan tersebut turut mengakibatkan kesesakan teruk ekoran keadaan lori berkenaan yang berada dalam keadaan melintang di jalan terbabit.
"Polis terpaksa menutup laluan ke Kuala Terengganu dan trafik dilencongkan ke Mak Lagam manakala laluan ke Kuantan pula hanya dibuka satu lorong," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_06/Dua-pelajar-maut-diseret-treler#ixzz2kIjlZQX2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek tembak Norazita ditahan


PENGAWAL keselamatan warga asing yang dikenali sebagai Ardi Hamza ditangkap di Kota Tinggi, Johor menjadi suspek kes menembak mati pegawai AmBank dibawa oleh anggota polis bagi mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/GHAZALI BASRI
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Genap 19 hari pemburuan pasukan polis terhadap pengawal keselamatan yang membunuh seorang pengawai operasi AmBank di Subang Jaya, Selangor pada 23 Oktober lalu, suspek warga Indonesia itu akhirnya berjaya ditangkap hari ini.
Suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, ditangkap di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pukul 7 pagi ini.
Difahamkan suspek tidak menetap di kampung itu sebaliknya sering berpindah-randah di beberapa rumah termasuk di premis kosong untuk dijadikan tempat persembunyian bagi mengelak aktivitinya dikesan polis dan orang ramai.
Suspek juga dipercayai sukar untuk mendapatkan bantuan saudara dan rakannya untuk keluar dari negara ini berikutan pemantauan ketat pihak berkuasa.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada wang rompakan RM450,000 yang dilarikan dalam kejadian itu ditemukan semula. Polis sebelum ini merampas wang berjumlah RM20,000 selepas menahan tiga suspek termasuk isterinya.
Ketua Polis Negara. Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas kepada pasukan Op Cantas Khas yang berjaya menahan suspek serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia membantu polis.
“Syabas, pasukan Op Cantas Bukit Aman telah berjaya tangkap pembunuh dan perompak kejam AmBank di Johor pagi ini. Terima kasih rakyat Malaysia yang membantu PDRM," katanya dalam laman Twitter rasminya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, lelaki yang ditahan dalam serbuan oleh pasukan Op Cantas Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu merupakan suspek utama dalam kejadian samun AmBank, bulan lalu.
“Dengan penahanan ini kita anggap kes tersebut berjaya diselesaikan. Malah polis merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai di atas kerjasama serta keprihatinan yang diberikan sepanjang siasatan kes berlangsung," katanya.
Pembunuhan kejam Allahyarham Norazita Abu Talib, 37, yang ditembak dari jarak dekat oleh seorang pengawal keselamatan di AmBank cawangan Subang Jaya menggemparkan negara.
Mangsa yang ketika itu berada di dalam bilik kebal bank bersama seorang kakitangan wanita ditembak dengan pump gun.
Suspek yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di beberapa buah bank berdekatan kemudian disahkan sebagai warga asing dan menggunakan kad pengenalan palsu ketika memohon kerja di sebuah syarikat keselamatan itu.
Jenayah yang dilakukan suspek kemudian membawa kepada pembongkaran aktiviti sebilangan warga asing khususnya dari Indonesia dan Filipina yang menyamar sebagai rakyat Sabah untuk memohon pekerjaan sebagai pengawal keselamatan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli mengesahkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 November ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nazri Omran pada pukul 4.40 petang di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, sebaik sahaja suspek tiba dari Kota Tinggi diiringi sepasukan pegawai Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor menaiki empat buah kenderaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_01/Suspek-tembak-Norazita-ditahan#ixzz2kIjbvMGG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas pembantu rumah ditahan


KUALA LUMPUR 10 Nov. - Seorang wanita yang pernah menjadi pembantu rumah kepada ibu kanak-kanak warga Britain yang diculik selama 19 jam kelmarin, ditahan dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Desa di sini hari ini.
Wanita warga Filipina berusia 39 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun, dipercayai teman lelakinya bagi membantu siasatan berhubung penculikan Freddie Joseph yang berusia setahun lapan bulan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, wanita itu dan teman lelakinya ditahan pada pukul 11 pagi kerana dipercayai terlibat dalam insiden penculikan itu.
Katanya, terdapat sebab munasabah yang mengaitkan wanita itu dalam kes tersebut sama ada secara langsung atau tidak.
"Wanita ini bekerja di negara ini sejak 2004 dan berkhidmat dengan mangsa selama setahun sebelum ditamatkan perkhidmatan sejak enam bulan lalu.
"Setakat ini kita percaya wanita Filipina ini terlibat walau bagaimanapun sejauh mana penglibatannya kita masih belum pastikan kerana dia baru sahaja ditahan.
"Lelaki yang ditahan bersamanya itu pula adalah teman lelaki suspek dan setakat ini wajahnya tidak sepadan dengan lakaran gambar seorang lagi suspek yang dikeluarkan polis semalam," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Pantai hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, kanak-kanak malang itu ditemui selamat oleh orang ramai di Taman Tasik Titiwangsa di ibu negara setelah kurang 24 jam dilaporkan hilang selepas diculik dua suspek di rumahnya di Jalan Terasek 7 di Bangsar.
Freddie difahamkan telah diculik sekitar pukul 6 petang ketika ibunya, Sara Joseph, 39, masuk sekejap ke dalam rumah ketika memberi anaknya makan di halaman rumah.
Ditanya adakah suspek yang ditahan ini merupakan wanita yang berada di dalam kereta ketika insiden penculikan berlaku, Chin Wah berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu.
"Suspek wanita yang terlibat dalam kejadian itu menutup wajahnya dan tidak dapat dicam mangsa, kita belum boleh pastikan sama ada dia berada di kawasan kejadian pada hari itu. Kita akan siasat," katanya.
Mengulas lanjut, Chin Wah berkata, polis juga masih menyiasat motif sebenar penculikan namun beliau sekali menegaskan, insiden itu berkemungkinan besar tidak melibatkan wang tebusan malah tiada sebarang permasalahan antara mangsa dengan suspek wanita itu sebelum ini.
"Kita masih percaya ini mungkin akibat masalah peribadi dan masih terlalu awal untuk mengetahui motif sebenar kerana wanita itu ditahan untuk membantu siasatan. Oleh itu, saya harap pihak lain jangan lakukan sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan nanti," jelasnya.
Tambahnya, Freddie masih menerima rawatan di hospital dan tidak mengalami sebarang kecederaan atau penderaan sepanjang diculik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_03/Bekas-pembantu-rumah-ditahan#ixzz2kIjPFXsE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ahli kongsi gelap pulang?


KAMARUL Zaman Mamat (kiri) memeriksa sebilah parang yang ditemui dalam sebuah kereta pada Ops Cantas Khas di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Kastam (CIQ), Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
KUBANG PASU 10 Nov. - Polis mendapati sebahagian besar daripada ahli kumpulan kongsi gelap yang berlindung di negara jiran selepas tertekan dengan Op Cantas Khas yang dilancarkan polis pertengahan Ogos lalu mula pulang ke negara ini.
Penolong Pengarah (Tahanan) Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi memburu mereka kini tertumpu di kawasan sempadan negara termasuk di pintu-pintu masuk.
"Maklumat yang diperolehi mendapati anggota kumpulan kongsi gelap yang sebelum ini lari merentasi sempadan negara kini mula balik (ke Malaysia),"' katanya kepada pemberita selepas mengetuai Op Cantas Khas di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Kastam (CIQ) di sini semalam.
Menurutnya, dalam Op Cantas Khas itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap 04.
"Lelaki terbabit yang mempunyai tatu kumpulan itu di badannya ditahan ketika memasuki negara ini pada pukul 3.15 petang kelmarin," katanya.
Menurut Kamarul Zaman, polis turut menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang cuba menyeludup 400 liter petrol ke negara jiran menggunakan sebuah kereta Proton Saga pada pukul 9 malam kelmarin.
Katanya, lelaki rakyat Thailand itu ditahan bersama isteri dan anak lelakinya berusia tujuh tahun.
"Kesemua petrol itu dimuatkan dalam 20 tong dan disorok di bawah tempat duduk belakang dan but kereta.
"Selain itu seorang lelaki berusia 28 tahun turut ditahan pukul 11 malam kelmarin ketika mahu memasuki negara jiran kerana membawa pisau Rambo," katanya.
Beliau memberitahu, Op Cantas Khas yang masuk hari ke-85 kelmarin selepas dilancarkan pada 17 Ogos lalu mencatat penurunan kes jenayah kekerasan sebanyak 11.54 peratus berbanding 85 hari sebelum operasi itu.
"Sebanyak 9,932 kes jenayah kekerasan yang direkodkan antara 24 Mei hingga 16 Ogos lalu menunjukkan penurunan kepada 8,786 kes sepanjang Op Cantas Khas dijalankan mulai 17 Ogos sehingga semalam," katanya.
Menurut Kamarul Zaman, Op Cantas Khas ini akan dijalankan secara berterusan bagi memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa keadaan negara ini aman dan tenteram.
"Operasi ini bagi mengesan sebarang bentuk jenayah dan pihaknya komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap salah laku jenayah serta perlanggaran undang-undang negara," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_05/Ahli-kongsi-gelap-pulang#ixzz2kIjAiFV0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek pernah dilihat berlegar di kawasan rumah - Isteri mangsa


KUANTAN 10 Nov. - Penjenayah yang menembak mati Ketua Pegawai Penguat Kuasa Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik dipercayai sudah tiga hari berlegar-legar di kawasan rumah mangsa di Indera Mahkota 2 di sini dengan menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback.
Isteri mangsa, Rosmahwani Abd. Wahab, 41, mendakwa, dua tiga hari sebelum kejadian ada melihat kereta Proton Wira Aeroback bercermin gelap beberapa kali melalui depan rumah mereka seperti mencari sesuatu.
“Tetapi saya tidak syak apa-apa sebab memang biasa orang lalu depan rumah ini. Kereta ini akan lalu pada waktu petang ketika orang balik kerja," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menceritakan kejadian tersebut, Rosmahwani berkata, suaminya sempat menjemput suspek masuk ke dalam rumah sebelum dia ditembak oleh seorang lagi suspek yang berada di kerusi belakang kereta Proton Wira Aeroback itu.
“Sebelum itu arwah membantu saya menggantung langsir di ruang tamu rumah. Ketika itu, saya mendengar ada orang memberi salam dan memanggil suami saya untuk berjumpa di tempat letak kereta.
“Saya kemudian masuk ke dalam bilik sebab ada orang datang. Pada masa itu saya dengar suami bercakap dengan suspek ‘tak singgah ke’ dengan seorang lelaki seorang lelaki berbadan besar dan berkulit gelap," katanya.
Walau bagaimanapun katanya, tiba-tiba dia terdengar dua das tembakan dilepaskan di hadapan rumah sebelum anak ketiganya, Mohd. Amin, 15, yang berada di ruang tamu menjerit ‘Allah’.
“Saya pun keluar berlari mendapatkan suami dan melihat badannya dipenuhi dengan darah. Anak memberitahu bahawa ayahnya ditembak oleh seorang lagi lelaki yang berada di bahagian kerusi belakang kereta tersebut.
“Mohd. Amin memang melihat di depan mata ayahnya ditembak. Saya risau dia akan trauma dengan kejadian ini," katanya.
Katanya, dia telah memberitahu tiga lagi anaknya iaitu Mohd. Ashraf, 23; Mohd. Abra, 20, dan Mohd. Aqshah, 12, mengenai kejadian yang menimpa bapa mereka.
Sebelum itu Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat melawat keluarga mangsa di rumahnya.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, kejadian itu merupakan satu tragedi yang tidak pernah berlaku melibatkan pegawai agama di negeri ini.
“Arwah adalah pegawai yang amat dihormati, menjalankan kerja yang sangat baik, disegani serta menjalankan tugasnya dengan ikhlas dan satu-satunya pegawai yang berkebolehan dalam membawa banyak kes," katanya.
“Sejak akhir-akhir ini ada beberapa kes besar yang dikendalikan arwah dan kita berdoa supaya orang yang terlibat dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan," katanya ditemui pemberita di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_04/Suspek-pernah-dilihat-berlegar-di-kawasan-rumah---Isteri-mangsa#ixzz2kI1Kzp9p
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengawal keselamatan maut dirempuh lori


MELAKA 11 Nov. - Seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila terpelosok di bawah tayar sebuah lori 10 tan selepas motosikalnya yang dinaikinya bertembung dengan lori berkenaan di Jalan Krubong-Tampoi di sini hari ini.
Lebih menyayat hati apabila mangsa, A. Rajah, 43, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan diseret sejauh 30 meter oleh lori berkenaan menyebabkan dia mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Dalam kejadian berlaku pukul 10.30 pagi itu, mangsa baru pulang dari tempat kerjanya di Bachang menuju ke rumah kakaknya di Taman Krubong Jaya dekat sini.
Menurut sumber polis, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Star Evo keluar dari simpang di sebelah kiri dan cuba menyeberang jalan masuk ke laluan menghala ke arah Krubong.
"Bagaimanapun belum sempat mangsa memasuki laluan tersebut, motosikalnya dirempuh lori 10 tan yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun yang datang dari arah bertentangan," katanya di sini hari ini.
Akibat rempuhan itu, katanya, motosikal mangsa diseret sejauh 30 meter sebelum pemandu lori berkenaan memberhentikan kenderaan yang dipandunya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_26/Pengawal-keselamatan-maut-dirempuh-lori#ixzz2kNpqDPKR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wilayah Tacloban musnah


Penduduk berjalan melalui kawasan yang musnah akibat dilanda Taufan Haiyan di Tacloban, wilayah Leyte, Filipina, semalam. - AFP
TACLOBAN, Filipina 10 Nov. - Jumlah korban Taufan Haiyan yang memusnahkan semua bandar di wilayah ini meningkat melebihi 10,000, dengan pihak berkuasa memberi amaran ia menjadi bencana paling buruk pernah direkodkan di negara ini.
Anggaran itu dikeluarkan pasukan keselamatan yang cuba membantu mencari mangsa Taufan Haiyan, yang mempunyai gelombang kuat seperti tsunami dan angin kencang yang melanda sebahagian besar kepulauan di sini pada Jumaat lalu.
Pasukan polis berkata, mereka telah mengerahkan pasukan khas di Tacloban, wilayah yang musnah di bandar Leyte, manakala Amerika Syarikat (AS) pula memberi tindak balas kepada negara ini dan akan menghantar tentera bagi menghulurkan bantuan.
“Tacloban telah musnah, sesetengah penduduk hilang perasaan lapar atau hilang ahli keluarga," kata guru sekolah tinggi, Andrew Pomeda kepada AFP.
Katanya, orang ramai menjadi semakin ganas dan menceroboh pusat membeli belah, semata-mata untuk mencari makanan, beras dan susu.
Ketua polis wilayah Leyte berkata, 10,000 penduduk dipercayai terkorban dalam bencana itu di wilayah itu sahaja.
“Kami telah mengadakan mesyuarat semalam dengan Gabenor Leyte dan berdasarkan jangkaan awal seramai 10,000 telah menjadi korban," kata Supritendan Elmer Soria kepada media di Tacloban.
Di kawasan kediaman kepulauan di Samar, ketua bencana berkata, sebanyak 300 penduduk terkorban di bandar kecil di Baser.
Beliau berkata, sebanyak 2,000 penduduk dilaporkan hilang di Samar, kawasan pertama yang terjejas akibat Haiyan yang bertiup dari Lautan Pasifik dengan kelajuan angin 315 kilometer sejam.
Sebelum ini, bencana dahsyat yang melanda negara ini berlaku pada 1976 apabila tsunami yang dicetuskan oleh gempa bumi sekuat 7.9 pada skala Ritcher melanda kepulauan Mindanao, mengorbankan antara 5,000 dan 8,000 penduduk. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131111/lu_05/Wilayah-Tacloban-musnah#ixzz2kHz6Bb3T
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kilang membuat sarung tangan terbakar, rugi RM500,000


ALOR GAJAH 11 Nov. - Seorang pengusaha kilang membuat sarung tangan kerugian RM500,000 selepas stor tiga tingkat miliknya musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Kelemak dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, kebakaran tersebut melibatkan blok B yang menyimpan getah, bahan kimia dan mesin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Adli Abdul Rahman berkata, empat jentera dan 24 anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira pukul 1.38 pagi.
Bagaimanapun katanya, pasukan bomba yang tiba sembilan minit kemudian mendapati api sudah marak memusnahkan 40 peratus daripada bangunan tersebut.
"Namun tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dan hanya 70 peratus blok B kilang berkenaan musnah terbakar," katanya ketika dihubungi hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_22/Kilang-membuat-sarung-tangan-terbakar-rugi-RM500000#ixzz2kNp8QCkS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar mati lemas


PASIR PUTEH 11 Nov. - Kegembiraan empat rakan menaiki perahu jalur untuk mencari siput di Sungai Semerak dekat sini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas selepas perahu dinaiki tenggelam akibat terlebih muatan.
Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang lemas ialah Muhammad Zulkifli Razai, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai dekat sini.
Tiga rakannya, Mohd. Shukri Zul, 14; Mohamad Faizuddin Mohd. Sabri, 22, dan Muhammad Hakkim Rosli, 16, kesemuanya berasal dari Kampung Pulau Lima sempat menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, mayat mangsa ditemui anggota Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh pukul 4.40 petang ini, kira-kira 100 meter dari lokasi perahu dinaiki mereka tenggelam.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman pada pukul 2 petang.
"Mangsa yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dikatakan keluar bersama rakannya untuk mencari siput di pinggir sungai berkenaan.
"Dikatakan perahu jalur yang diperbuat daripada batang kayu besar dinaiki mereka dimasuki air dan tenggelam. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya pula berkata, mayat mangsa ditemui di dasar sungai sedalam kira kira 1.4 meter berhampiran tempat kejadian.
Beliau berkata, perahu dinaiki mangsa berukuran satu meter panjang itu tidak mampu menampung bilangan penumpang yang ramai menyebabkannya tenggelam.
Sementara itu, Mohd. Shukri ketika ditemui memberitahu, dia turut tenggelam namun sempat menyelamatkan diri melonjak ke atas dan mencapai perahu yang kembali terapung.
"Saya tidak pandai berenang sama seperti Muhammad Zulkifli tapi masih berdaya untuk melonjakkan kaki dari dasar sungai untuk kembali ke permukaan yang kebetulan berdekatan dengan perahu yang timbul.
"Sebelum kejadian Muhammad Zulkifli dan saya berada di tengah perahu manakala Mohammad Faizuddin berada di hadapan bersama pendayung dan Muhammad Hakkim berada di belakang sekali. Ini kali pertama saya menaiki perahu mengikut rakan mencari siput," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131112/je_07/Pelajar-mati-lemas#ixzz2kNoyQRQO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Duda belasah teman lelaki bekas isteri



Permaisuri: Seorang lelaki yang dikatakan masih menyimpan perasaan terhadap bekas isterinya bertindak gila apabila membelasah rakan wanita terbabit menggunakan kerusi plastik dalam kejadian di sebuah kedai makan di Kampung Bukit Nyior, Sungai Tong, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, suspek lingkungan 20-an terserempak dengan bekas isterinya yang sedang makan bersama mangsa berusia 22 tahun sebelum menghampiri pasangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, walaupun sudah bercerai, suspek yang mungkin masih menyimpan perasaan sayang terhadap bekas isteri lingkungan 20-an itu terkejut selepas mendapati wanita terbabit makan bersama mangsa berusia 22 tahun dipercayai teman lelaki wanita itu.

Beliau berkata, suspek yang gagal mengawal perasaan cemburu segera menghampiri pasangan itu sebelum mengambil kerusi plastik di dalam kedai berkenaan dan memukul mangsa.

‘Arwah pimpin doa’

Alor Gajah: “Kebiasaannya dalam setiap konvoi atau program kemasyarakatan anjuran syarikat kami, arwah akan memimpin bacaan doa, malah difahamkan dia juga kerap menjadi bilal di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur,”
Begitu kata rakan sekerja kepada Mohamad Fauzi Abdullah, 50, yang maut ketika dalam perjalanan pulang daripada menyertai konvoi amal di rumah anak yatim di Pantai Puteri, Melaka Tengah, di sini, apabila motosikal Kawasaki GTR yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 221.4, Projek Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara, di sini, petang kelmarin. 
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa yang berasal dari Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur menyertai konvoi amal anjuran syarikat pengangkutan awam tempat dia bekerja bersama kira-kira 40 rakannya dalam perjalanan dari Ayer Keroh, di sini, ke Kuala Lumpur.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang di lorong tengah menukar laluan ke lorong kanan sebelum dilanggar kereta Proton Waja Jabatan Penjara dinaiki dua kakitangan jabatan itu di laluan sama.
Foto
RAKAN mengusung jenazah mangsa.

Rempuhan mengakibatkan mangsa tercampak ke tengah pembahagi jalan antara laluan arah selatan dan utara dan maut di lokasi akibat parah pada anggota badan, manakala pemandu dan penumpang kereta terselamat.

2 bebas tuduhan edar lebih 53kg dadah


Kiri Mohd. Kamal, Fairul Rizal
TAIPING 11 Nov. - Dua lelaki terlepas daripada hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 53.3 kilogram, tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap penarik kereta, Mohd. Kamal Johari, 42, dan Fairul Rizal Abd. Wahab, 35, yang bekerja sebagai tukang andam.
Mohd. Kamal yang memakai baju T kuning dan berseluar hitam serta berkopiah putih manakala Fairul Rizal yang memakai baju T kelabu dan berseluar hitam serta memakai topang tangan dilihat tersenyum sambil memeluk antara satu sama lain sebaik sahaja keputusan itu dibacakan.
Sejurus selepas prosiding berakhir, kedua-dua mereka yang diwakili peguam Charan Singh juga dipeluk dan dicium oleh ahli keluarga masing-masing yang turut hadir di mahkamah hari ini.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama telah mengedar kanabis seberat 53,337 gram pada pukul 8.35 pagi, 30 Januari tahun lalu di Kilometer 47.8 Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat sini.
Pertuduhan berkenaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohemad Jaafar mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Nasfy berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan intipati kesalahan iaitu elemen pemilikan, jagaan dan pengetahuan mengenai dadah berkenaan terhadap tertuduh.
Selain itu, katanya, terdapat banyak percanggahan yang ketara antara keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan terutama antara pegawai bomba dan pegawai penyiasat dalam kes ini.
''Banyak percanggahan material yang berlaku antaranya mengenai bungkusan (dadah) dalam kereta itu. Laporan kimia pula tidak boleh diterima kerana ahli kimia tidak dipanggil memberi keterangan.
''Begitu juga mengenai dua beg kanvas (berisi dadah) yang telah terhumban keluar dari bonet kereta tapi tiada keterangan mengatakan bahawa bonet itu boleh dibuka tanpa kunci. Begitu juga mengenai siapa yang telah memandu kereta tersebut.
''Semuanya mengelirukan. Oleh itu saya perintahkan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan,'' katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131112/ma_07/2-bebas-tuduhan-edar-lebih-53kg-dadah#ixzz2kNneZjp6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ditelan Empangan Juaseh

Labis: Niat sembilan rakan karib membabitkan lelaki masyarakat Orang Asli untuk mandi-manda di Empangan Juaseh, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas selepas perahu dinaiki tenggelam pada jam 4 petang, kelmarin.
Mangsa, Sidi Atin, 19, gagal diselamatkan selepas dia terus tenggelam ke dasar empangan manakala rakannya dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing. 
Rakannya, Roslan Hak, 20, berkata, ketika kejadian, dia serta mangsa dan tiga rakan menaiki perahu sama.

“Kami mendayung untuk ke kawasan lebih cetek, namun perahu tiba-tiba dimasuki air dan tenggelam.
Foto
ANGGOTA bomba melakukan usaha mengesan mayat mangsa.

“Kami berlima cuba berenang ke tebing, namun Sidi yang berada di belakang saya tiba-tiba tenggelam ke dasar empangan,” katanya, semalam.

Dadah kain renda RM1.4 juta

Kota Bharu: Cubaan seorang wanita warga Vietnam menyeludup dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.4 juta ke negeri itu tidak berjaya apabila ditahan sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, Jumaat lalu.
‘Keldai dadah’ berusia 48 tahun itu ditahan pada jam 12.25 tengah hari selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan. 
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pemeriksaan pada beg yang dibawa menemui 54 bungkusan syabu dililit kain renda dengan berat keseluruhan 5.4 kilogram.

“Berat setiap bungkusan dadah itu 100 gram. Sebanyak 54 bungkusan syabu ditemui dan dianggarkan bernilai RM1.4 juta.
Foto
JALALUDDIN menunjukkan syabu yang disembunyikan dalam bungkusan dililit kain renda yang dirampas daripada seorang wanita Vietnam di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Jumaat lalu.

“Suspek cuba mengaburi pihak berkuasa dengan melilit kain renda pada bungkusan dadah namun dapat dikesan,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek menaiki pesawat dari New Delhi, India dan tiba di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Kota Bharu pada jam 10.55 pagi, Jumaat lalu.

“Ini adalah rampasan terbesar dan pertama membabitkan keldai dadah wanita di negeri ini. Kita tidak menolak kemungkinan ia membabitkan sindiket dadah antarabangsa.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut destinasi sebenar dadah ini akan dipasarkan,” katanya.

Jalaluddin berkata, suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati.

“Kita akan terus mempertingkatkan tahap kawalan di pintu masuk khususnya di lapangan terbang dan sempadan untuk menyekat kemasukan dadah dari Thailand atau negara luar lain,” katanya.

Terlepas pegangan

Miri: “Saya dan menantu masuk semula ke dalam rumah, tetapi gagal mencarinya kerana api marak dengan pantas,” kata Aishah Abdullah, 62, nenek kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang rentung dalam kebakaran dua rumah di Kampung Sungai Dalam B, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi yang dipercayai bermula dari sebuah bilik tidur itu turut menyebabkan warga emas terbabit serta ibu mangsa, Alura Hanafi, 29, dan seorang jiran melecur di tangan dan badan. 
Mayat Mohamad Raldazudeen Abdul Dino ditemui rentung di sebuah bilik rumah yang musnah itu pada jam 8.45 pagi selepas sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Miri selesai memadamkan kebakaran.

Bagaimanapun, pemilik sebuah lagi rumah dipercayai tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu.
Foto
AHLI keluarga mengangkat mayat Mohamad Raldazudeen.

Menceritakan kejadian itu, Aishah berkata, dia terjaga daripada tidur sebaik terdengar jeritan Alura meminta tolong dan memberitahu rumah mereka sedang terbakar.

“Sebaik keluar bilik, saya terkejut apabila melihat api sudah marak dan membakar sebuah bilik sebelum bergegas mendapatkan suami yang ketika itu berada di luar rumah.

“Ketika kejadian, dua cucu lelaki berusia setahun dan tiga tahun sudah dibawa keluar ibu mereka sebelum saya bersamanya masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil air bagi memadamkan kebakaran,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, api marak terlalu cepat menyebabkan dia bersama menantunya terpaksa keluar menyelamatkan diri.

Aishah berkata, dia kemudian terkejut apabila dimaklumkan suaminya bahawa cucu mereka berusia tiga tahun itu terlepas daripada pegangannya dan berlari mengikut ibu ke dalam rumah.

“Sebaik dimaklumkan suami mengenai perkara itu, saya bersama menantu bergegas masuk semula ke dalam rumah, namun gagal menemuinya kerana bahang panas dan api bertambah besar sehingga kami terpaksa terjun daripada pintu dapur bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, suami Aishah, Sebri Pawi, 81, berkata, dia sukar melelapkan mata sejak tiga hari lalu dan tidak menyangka ia petanda keluarganya akan ditimpa musibah serta kehilangan orang tersayang.

“Namun, saya tidak maklumkan perkara itu kepada isteri, tetapi sebaik kejadian ini barulah saya teringat ia mungkin petanda kami akan menerima nasib buruk dan saya benar-benar sedih, apatah lagi kehilangan cucu disayangi.

“Saya kini buntu memikirkan masa depan kami sekeluarga berikutan tiada rumah lain untuk berteduh dan berharap ada bantuan membina kediaman baru kami nanti,” katanya yang menjelaskan turut kehilangan wang tunai RM5,000 dan dokumen penting dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, tiga jentera bersama 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 7.45 pagi.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba api sudah membakar keseluruhan dua rumah berkenaan, namun api berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian, sekali gus mengelak api daripada merebak ke rumah lain.
“Nilai kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Majistret rugi RM21,000 rumah disamun



Georgetown: Seorang majistret mengalami kerugian hampir RM21,000 apabila pelbagai barang berharga dan wang tunai miliknya dikebas penyamun dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Jelutong, dekat sini, Rabu lalu.

Kejadian itu hanya disedari kira-kira jam 7 pagi selepas jiran mangsa menghubunginya untuk memaklumkan kediamannya dipecah masuk.


Menurut sumber, mangsa ketika itu berada di Alor Star, Kedah kerana mempunyai urusan kerja dan sejurus mendapat panggilan telefon daripada jirannya, dia bergegas pulang ke rumah.

“Sejurus tiba di rumahnya, mangsa terkejut apabila mendapati rumahnya berselerak dan pelbagai barang kemas miliknya yang dianggarkan bernilai RM20,000 lesap dicuri penyamun.


“Selain itu, wang tunai sebanyak RM1,000 turut dilarikan penyamun dan semua barang itu diletakkan dalam bilik utama di tingkat atas rumahnya,” katanya.


Menurutnya, pemeriksaan polis di lokasi kejadian mempercayai suspek masuk ke rumah mangsa melalui tingkap selepas terdapat kesan bengkok pada besinya.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek cuba mengumpil pintu tetapi tidak berjaya dan suspek dipercayai turut menggunakan laluan sama untuk keluar dari rumah berkenaan.


“Berdasarkan ‘laluan’ melalui tingkap itu, polis tidak menolak kemungkinan suspek berbadan kurus tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan forensik di lokasi kejadian juga mendapati tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di rumah berkenaan tetapi polis menemui beberapa kesan cap jari yang mampu membantu siasatan.

Suspek direman tujuh hari



Petaling Jaya: Suspek utama yang didakwa menembak mati seorang pegawai AmBank Norazita Abu Talib dalam kejadian di USJ Sentral 2, Subang Jaya pada 23 Oktober lalu, ditahan reman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Nazri Omran dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang memakai kemeja-T berwarna hitam dan berseluar jeans biru dibawa ke Kompleks Mahkamah Majistret di sini pada jam 3.17 petang.

Dia dikawal ketat lebih 10 anggota polis bersenjata dibawa ke Mahkamah Majistret dengan tangan digari ke belakang.


Suspek kemudian dibawa keluar pada jam 3.40 petang dengan kereta polis dan diiringi lima kereta polis lain.


Ketika dibawa lelaki itu kelihatan tenang dan turut memandang ke arah wartawan apabila namanya dipanggil.

Akhbar sebelum ini melaporkan Norazita, 37, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian muka akibat ditembak dari jarak dekat dengan senjata ‘pump gun’.

Pada 7 November lalu, lapan individu berusia 22 dan 44 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama disambung reman 14 hari, bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, semua ditahan disambung reman mengikut Akta Imigresen kerana memiliki MyKad palsu.

Antara ditahan adalah isteri, adik ipar, adik kandung dan beberapa rakan sekerja kepada suspek.

Harian Metro pada 30 Oktober lalu melaporkan, 11 individu dipercayai ada kaitan dengan pengawal keselamatan menembak mati pegawai AmBank sebelum melarikan wang tunai RM450,00 ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini dan Johor.

‘Allah makbul doa kami’

Ipoh: “Kami sekeluarga berdoa setiap hari agar pembunuh adik dapat diberkas, dan hari ini (semalam) doa kami termakbul kerana hari yang ditunggu seluruh keluarga kami tiba juga akhirnya,” kata Norashikin Abu Talib, 39, kakak pegawai AmBank, Norazita, yang maut akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang pengawal keselamatan di Subang Jaya, Selangor, pada 23 Oktober lalu.
Norashikin berkata, tiada perkataan yang dapat digambarkan bagaimana perasaannya selepas mendapat berita berhubung penahanan pembunuh adiknya itu. 
Katanya, suami Norazita, Irwan Kamarudin, menelefonnya pagi semalam bagi memaklumkan mengenai tangkapan itu dan keluarga mereka tidak sabar menunggu untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku ketika kejadian dan kenapa suspek tergamak menembak mangsa tanpa sebarang provokasi.

“Kami berharap agar pembunuh adik saya itu dihukum dengan hukuman setimpal dengan jenayah dilakukannya.
Foto
SUAMI dan anak mangsa tidak dapat menahan kesedihan semasa melihat gambar arwah.

“Malah, jika diberi peluang kami sekeluarga ingin melihat sendiri dengan lebih dekat wajah pembunuh itu, selain berhasrat ingin mengikuti perbicaraan kes itu di mahkamah nanti.

“Adik saya hanya kakitangan di bank berkenaan dan saya tidak fikir dia (mangsa) ada sesuatu yang tidak senang terhadap suspek. Keluarga kami juga ingin mengetahui sebab sebenarnya (kenapa mangsa ditembak),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan polis semalam yang menyebut suspek yang dikehendaki polis bagi kes rompak dan bunuh itu, berjaya diberkas di Kota Tinggi, Johor, awal pagi semalam.

Dalam perkembangan sama, Norashikin yang juga guru di Subang Bestari, Selangor, berkata, dia sudah meminta kedua-dua ibu dan bapanya, Abu Talib Mohd Isa, 75, dan Norsham Abdul Kader, 63, menetap bersamanya kerana tahap kesihatan mereka terutama ibunya, agak membimbangkan selepas kematian Norazita.

Polis semalam mengesahkan Pasukan Cantas Khas Bukit Aman berjaya menangkap seorang lelaki dipercayai pengawal keselamatan terbabit di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, pada jam 7 pagi semalam.