Search This Blog

Saturday, November 9, 2013

Posmen parah ditetak dua lelaki


9 November 2013


KOTA BHARU - Seorang posmen cedera parah selepas ditetak dua lelaki bersenjatakan parang di rumahnya di Kubang Kerian, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, Mohd Al-Hafiz Mustapha, 29, cedera parah di kaki kanan, lengan kanan serta muka dalam kejadian 12.15 malam tadi.

Mohd Al-Hafiz kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya masih tidak stabil berikutan kehilangan banyak darah.

Azham berkata kedua-dua penyerang itu melarikan diri dengan sebuah kereta.

"Motif kejadian dipercayai berhubung masalah perkongsian perniagaan," katanya. - Bernama

Suami pijak isteri kerana tak mahu beli rokok


2013/11/09
 
Kuala Terengganu: Hanya kerana enggan keluar membeli rokok diminta suaminya dalam keadaan hujan lebat, seorang isteri dipijak di kepala dan dipukul lelaki itu dengan penyapu tanpa belas kasihan.

Kejadian di rumah pasangan itu di Kampung Banggol Air Lilih, di sini, kira-kira jam 11.30 malam Selasa lalu, bermula selepas wanita berusia 21 tahun itu memberitahu suaminya yang dia akan keluar membeli rokok seperti diminta selepas hujan berhenti.
Sumber berkata, suspek bukan hanya memaki hamun ibu muda itu, malah turut menyepak meja makan yang ada dalam rumah mereka.

“Selepas mangsa memaklumkan akan ke kedai membeli rokok yang diminta selepas hujan reda, suspek terus naik angin dan memaki hamun isterinya. Mangsa kemudian menegur suaminya kerana tidak mahu mengganggu anak mereka yang sedang tidur.

“Teguran mangsa bukan saja tidak diendahkan suspek, tetapi dia juga ditampar suaminya sebelum berlaku tolak menolak antara mereka. Akibat ditolak terlalu kuat, mangsa terjatuh dan suspek yang bagaikan dirasuk terus memijak kepala isterinya,” katanya, di sini semalam.

Kemalangan di Genting Highlands: 'Bas dipandu laju ketika turun bukit'

Kemalangan di Genting Highlands: 'Bas dipandu laju ketika  turun bukit'Keratan akhbar BH pada 21 Ogos lalu melaporkan mengenai kemalangan ngeri itu. Kuala Lumpur: Kemalangan bas di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu, yang menyebabkan 37 terbunuh dan 16 cedera, berpunca antara lain kerana dipandu laju ketika menuruni kawasan berbukit.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang menyiasat kemalangan itu mengemukakan enam punca tragedi itu, yang diumumkan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam.
Siasatan MIROS mendapati bas terbabit dipandu melebihi 50 kilometer sejam ketika melalui kawasan berkenaan.


Lima kombinasi faktor lain yang diumumkan ialah:

Kekurangan kecekapan fungsi brek akibat keadaan lapisan brek yang haus pada kedua-dua roda hadapan bas dan kemungkinan kegagalan fungsi halangan mengakibatkan bas gagal diperlahankan ketika menghampiri selekoh tajam di lokasi kemalangan.

Lokasi ‘Truck Escape Ramp’ (TER) terlindung oleh geometri jalan dan maklumat pada papan tanda yang tidak tepat menyukarkan pemandu untuk menggunakan TER disediakan bagi mengelak kenderaan terhumban ke gaung.

Lorong jalan selebar 4.2 hingga 4.9 meter melebihi standard R4 (3.25 meter) menyebabkan peningkatan kecenderungan pemanduan melebihi had laju di kawasan itu.
Penggunaan tembok ‘rubble wall’ dan penghadang jalan jenis TL-2 tidak sesuai sebagai penghadang keselamatan pada tahap tinggi (TL-6) kerana tidak dapat menjamin kenderaan terhumban dalam gaung.

Implikasi syarikat bas Genting Highlands Transport Sdn Bhd terhadap Kod Amalan Keselamatan.

Hishammuddin berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula diminta mengenakan tindakan terhadap pengusaha bas terbabit termasuk menutup syarikat itu, serta tindakan terhadap individu tertentu seperti pengarah bagi memastikan kemalangan tidak berulang.

Beliau berkata, sebagai langkah susulan, kementerian akan melaksanakan tiga langkah untuk mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tanah tinggi itu yang berkuat kuasa 1 Disember ini.

Langkah itu ialah menubuhkan satu seksyen baru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikenali Seksyen Profil Pemandu yang memfokuskan isu berkaitan pemanduan dengan jabatan itu berkuasa menggantung atau membatalkan lesen memandu.


Anggota JPJ, PUSPAKOM awasi

Selain itu katanya, penempatan pegawai JPJ dan PUSPAKOM di Genting Highlands untuk menjalankan pemeriksaan fizikal terhadap bas bagi menjamin keselamatan dari sudut teknikal.

Beliau berkata, langkah seterusnya adalah penguatkuasaan terhadap pemandu bas bagi memastikan kesihatan pemandu di tahap baik dan tidak memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Bayi diculik depan ibu

Bayi diculik depan ibuIbu bayi lelaki warga Britain yang diculik hiba sambil memeluk patung mainan anaknya di Jalan Terasek 6, Bangsar, semalam. Warga Britain cedera ketika cuba halang lelaki bersenjata parang

Kuala Lumpur: Seorang bayi lelaki warga Britain, berusia 18 bulan diculik dari halaman rumahnya oleh dua individu tidak dikenali di Jalan Terasek, Bangsar, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.10 petang itu, ibu mangsa cedera ringan selepas terjatuh di jalan raya apabila ditolak ketika cuba menghalang dua suspek terbabit.
Berlaku di halaman rumah 

Insiden itu berlaku apabila ibu mangsa masuk ke dalam rumah buat seketika dan meninggalkan bayi itu keseorangan.


Sebaik keluar semula, ibu itu melihat seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar yang dilaporkan memakai tudung penutup muka, mendukung dan melarikan anaknya.

Dia cuba mengambil kembali anaknya tetapi suspek lelaki bertindak melibas pisau ke arah ibu mangsa, sebelum suspek wanita membawa bayi itu masuk ke dalam kereta yang diletakkan di depan rumah.

Kereta Toyota Camry putih

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata ibu mangsa kemudian bertindak mengejar suspek bagi mendapatkan semula anaknya, tetapi suspek dilaporkan menolaknya sebelum masuk ke dalam kereta dan memecut kereta Toyota Camry berwarna putih.
Katanya, siasatan awal polis mendapati ibu mangsa dipercayai mengenali suspek dan kes itu dikatakan mempunyai kaitan dengan masalah keluarga.

“Setakat ini belum ada sebarang tebusan diminta oleh suspek dan kes diklasifikasikan sebagai culik. Mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik, suspek berhadapan dengan hukuman gantung.

“Setakat ini petunjuk yang diperoleh adalah berdasarkan keterangan dan laporan oleh ibu bayi malang itu,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Katanya, setakat ini JSJ Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, sedang menjalankan gerakan secara besar-besaran bagi mengesan suspek yang dilaporkan menaiki kenderaan menggunakan nombor pendaftaran BKP 4386.

Guna plat palsu

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu, namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan maklumat daripada orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan berhampiran dan melihat kelibat suspek,” katanya.

Beliau meminta bantuan orang ramai yang kemungkinan menyaksikan insiden itu, supaya tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi ‘Rakan Cop Polis KL’ di talian 03-21159999.

Sementara itu, seorang kenalan ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai John berkata, rakan wanitanya yang bekerja sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah swasta di Taman Tun Dr Ismail, di sini, tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak.

“Dia kini berada dalam keadaan trauma berikutan kejadian yang menimpanya itu dan sangat merindui anaknya.

Selepas berpisah dengan pasangannya warga Filipina, dia mengambil keputusan berpindah ke kawasan ini,” katanya.

Tinjauan di hadapan rumah mangsa malam tadi mendapati, ibu itu memeluk erat anak patung kegemaran anaknya.

Sepasukan polis dari Unit Forensik Kuala Lumpur juga dilihat sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian termasuk berusaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman jiran berhampiran.

6 belasah peladang, curi lembu


2013/11/09
 
Ternakan dipercayai diangkat menggunakan kenderaan berat

Masjid Tanah: Seorang pekerja ladang ternakan lembu di Kuala Sungai Baru, dekat sini, berdepan detik cemas awal pagi kelmarin, apabila diserang sekumpulan penjenayah sebelum dibelasah dan diikat.

Kejadian berlaku jam 2 pagi, ketika mangsa, Lau Yu Nyan, 57, nyenyak tidur sebelum terjaga apabila didatangi kumpulan terbabit ke rumah kongsi yang didiaminya dengan mengetuk kuat pintu masuk.
Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuka pintu rumah itu, sebelum mendapati sekumpulan enam lelaki tidak dikenali berdiri di hadapannya, sambil seorang daripada mereka secara tiba-tiba meletakkan parang di lehernya.


Diacu parang

Ketika ditemui di lokasi kejadian, mangsa berkata, ketika diacu dengan parang, lelaki terbabit terus memberi amaran kepadanya supaya tidak melawan, sebelum ditendang masuk ke rumah.

“Dia minta saya menyerahkan telefon bimbit tetapi saya cakap tidak ada. Seperti tidak berpuas hati, dia kemudian mengikat pula kedua-dua tangan ke belakang dengan tali manakala kedua-dua kaki saya pula dengan wayar,” katanya.
Lembu dihalau

Yu Nyan berkata, seorang daripada ahli kumpulan itu, kemudian mengarahkan beliau menyerahkan kunci pagar utama ke kawasan ladang ternakan lembu.

Katanya, dalam keadaan ketakutan, beliau memaklumkan kunci itu diletakkan dalam bakul motosikal yang diletak di bawah rumah kongsi.

“Saya dengar bunyi pintu pagar utama ladang dibuka diikuti bunyi kenderaan berat masuk ke dalam kawasan ladang ternakan lembu disusuli bunyi bising lembu dihalau dari kandang,” katanya.

Beliau berkata, mereka kemudian memintanya menyerahkan kunci motosikal yang ada di rumah itu.

“Selepas terdengar bunyi lembu dinaikkan ke atas kenderaan berat itu, seorang dari mereka beredar dengan menunggang motosikal Yamaha SRE milik majikan,” katanya.

Yun Nyan berkata, beliau berjaya melepaskan diri kira-kira jam 3.30 pagi, sebelum membuat aduan kepada polis.

Selain sejumlah lembu, katanya, kumpulan perompak itu turut melarikan wang tunai RM200 miliknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

3 warga Uzbekistan dihukum mati


2013/11/09
 
3 warga Uzbekistan dihukum mati
Polis membawa Dilbar (kiri) dan Sayora keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Shah Alam: Dua wanita dan seorang lelaki warga Uzbekistan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, semalam, selepas didapati bersalah mengedarkan 10 kilogram (kg) syabu, tiga tahun lalu.

Pesara, Dilbar Nazarova, 54, menghadapi tuduhan mengedar 4.2 kg syabu, manakala penganggur Jasur Djurakulov, 39, dan Sayora Nurmukhamedova, 58, masing-masing mengedarkan dadah jenis sama, 3.6kg dan 2.2kg.
Berjaya buktikan kes


Hakim Datuk Nurchaya Ar-shad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Nurchaya berkata, mahkamah tidak dapat menerima alasan semua tertuduh mereka tidak tahu pengedaran dadah adalah jenayah berat di negara ini.

Katanya, ia disebabkan pengumuman mengenai kesalahan mengedar dadah sentiasa dibuat syarikat penerbangan sebelum pesawat mendarat di lapangan terbang.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan tuntutan bagasi Balai Ketibaan Antarabangsa, Aras 3, Bangunan Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 9.30 pagi, 7 September 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

Berdasarkan keterangan di mahkamah, semua tertuduh ditahan polis dan diarah membuat imbasan beg di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik KLIA. Pemeriksaan lanjut menemui dadah dalam setiap beg.


Alasan tak munasabah

Pihak pendakwaan pula berhujah, alasan mereka datang ke Malaysia hanya untuk membeli peralatan komputer dan cakera video digital bagi dibawa pulang ke Uzbekistan, juga hanya satu dalih yang tidak boleh diterima.

Alasan beg berisi dadah itu diberikan individu bernama Shoruh ketika di Lapangan Terbang Tashkent juga dianggap tidak munasabah, selain keterangan bercanggah ketiga-ketiga tertuduh mengenai individu terbabit.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zainal Azwar Kamaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Imigresen patah cubaan lolos


2013/11/09
Imigresen patah cubaan lolos

Warga asing yang ditangkap ketika operasi rumah kedai dua tingkat di Taman Bandar Baru Mergong.

Alor Setar: Tindakan pantas penguat kuasa Imigresen memeriksa keseluruhan ruang dalam sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Bandar Baru Mergong, di sini, awal pagi semalam, berjaya mematahkan cubaan dua lelaki warga Myanmar untuk lolos.

Difahamkan, dua lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit ditemui dalam bilik air ketika cuba melarikan diri dengan memanjat siling naik ke bumbung bangunan dua tingkat itu sebelum ditahan, jam 2.30 pagi.
Tiada dokumen


Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan tidak lebih enam sebatan.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Mustaffa Kamal Hanaffi, berkata operasi empat jam bermula jam 12 tengah malam yang disertai 16 anggota Imigresen itu turut membuat serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah ini.

Katanya, dalam serbuan itu, 37 warga asing, termasuk lima kanak-kanak dari Thailand dan Myanmar diperiksa.
Daripada jumlah itu, katanya, 15 warga Myanmar ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Sembilan lelaki dan empat wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah manakala seorang lelaki dan seorang wanita dikesan menetap lebih masa, mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya selepas mengetuai operasi berkenaan, di sini.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Gagal seludup syabu 1.7kg

Gagal seludup  syabu 1.7kgMohd Hatta (kanan) menunjukkan beg yang dirampas di LTAPP, Rabu lalu pada sidang media di IPD Balik Pulau, semalam. Georgetown: Cubaan seorang wanita warga Indonesia disyaki ‘keldai dadah’ menyeludup masuk 1.7 kilogram (kg) syabu bernilai RM360,000, gagal selepas dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini, Rabu lalu.

Difahamkan, suspek yang pertama kali datang ke Malaysia itu menerima upah RM1,600 dengan membawa masuk dadah berkenaan dari Guangzhou, China, ke negara ini untuk dijual kepada sindiket di Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain, berkata suspek ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, jam 7.40 malam, selepas melihat wanita itu dalam keadaan mencurigakan.


Syabu dalam ruang khas bagasi 

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa syabu bernilai RM360,000 dalam ruang khas bagasi yang dibawanya.

“Kita percaya suspek berlepas dari Indonesia dengan melakukan transit di beberapa negara, termasuk Malaysia, Hong Kong dan mendapatkan bekalan dadah itu dari Guangzhou, China, sebelum masuk semula ke negara ini melalui LTAPP,” katanya.

Mohd Hatta berkata, hasil siasatan mendapati suspek pertama kali datang ke Malaysia dan mempunyai anak berusia 16 tahun di Indonesia.
“Suspek ditahan reman sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Siasat tentera wanita diserang secara seksual


2013/11/09
Sydney: Tentera Australia semalam menyiasat dakwaan kelakuan tidak senonoh berkaitan dengan upacara pelik di mana tentera muda diserang secara seksual dengan pen, pisang dan botol.

Tentera laut tidak mengesahkan sejauh mana siasatan itu tetapi berkata ia bimbangkan Anzac Class Frigate HMAS Ballarat yang pada masa ini dihantar bagi operasi perlindungan sempadan.
“Dakwaan seperti ini adalah serius dan penting bahawa proses siasatan dipatuhi dengan sewajarnya. Disebabkan itu saya tidak akan membuat spekulasi mengenai sebarang aspek tuduhan,” kata ketua tentera laut, Timbalan Laksamana Ray Griggs dalam satu kenyataan.

“Kami mengendalikan dakwaan itu dengan pantas dan saya ulangi bahawa tindakan tidak wajar tidak bersesuaian dengan nilai kita dan tidak dapat diterima dalam tentera laut.


Diserang pada hari jadi

Dakwaan itu adalah terbaru dalam siri skandal seks melanda pasukan pertahanan Australia yang dilaporkan oleh seorang tentera.
Seorang bekas tentera laut wanita memberitahu Channel 10 bahawa krew terbabit sejak sekian lama bimbang mengenai upacara menyakitkan di mana satu kumpulan akan menyerang rakan wanita mereka yang muda dengan pen, pensil dan botol air, biasanya pada hari jadi mereka.

“Mereka dibogelkan manakala barangan dimasukkan dalam punggung mereka,” kata wanita yang hanya dikenali sebagai Bridget itu.

Satu laporan Daily Telegraph berkata, barangan yang didakwa turut digunakan dalam serangan termasuk pisang dan lobak merah. - AFP

Maut lepas ambil jemaah haji

Maut lepas ambil jemaah hajiProton Persona dinaiki Abdullah, remuk teruk pada bahagian hadapan selepas merempuh lori kontrak di Delong, petang kelmarin.

DUNGUN – Seorang bilal masjid yang baru pulang dari lapangan terbang setelah menjemput seorang jemaah haji, tidak sempat tiba di rumah apabila dia menemui ajal dalam perjalanan selepas terbabit kemalangan, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Abdullah Muhammad, 64, bersama tiga penumpang, Halimah Embong, 55 dan Senik Hussin, 55, termasuk jemaah haji, Mat Saman Hassan, 74, menaiki sebuah kereta Proton Persona dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu untuk pulang ke rumah di Tebing Tembah, Paka.

Sampai di Kilometer 14.5 Jalan Dungun-Bukit Besi berdekatan simpang Klinik Kesihatan Delong, Proton Persona dipandu Abdullah dari arah Bukit Besi menghala ke Dungun, dipercayai hilang kawalan lalu melanggar papan tanda amaran dan merempuh sebuah lori syarikat kontrak penyelenggaraan kabel diletakkan di laluan sama.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa remuk teruk di bahagian hadapan menyebabkan Abdullah yang juga bilal Masjid Tebing Tembah, tersepit di tempat duduk pemandu, manakala tiga lagi rakannya cedera.

Mangsa yang beralamat di Kampung Baru Jalan Santong, bagaimanapun gagal diselamatkan akibat mengalami kecederaan  parah di bahagian kepala dan patah kaki kanan seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi rakannya yang cedera, dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Rakan arwah, Zaki Salleh, 50, berkata, Abdullah ketika hayatnya banyak berbakti kepada masyarakat terutama dalam menguruskan jenazah.

Menurutnya, dia terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada seorang rakan yang memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan.

"Saya tahu dia pergi jemput rakannya, Mat Saman yang baru pulang dari Makkah. Tak sangka pula mereka tak sempat sampai rumah. Mat Saman selamat, dia pula yang meninggal,” katanya.


Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Difahamkan, Mat Saman patah bahu kanan; isterinya, Halimah patah tangan kanan, manakala rakan mereka, Senik patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, ketika Proton Persona dipandu Abdullah merempuh papan tanda dan lori tersebut, sekumpulan pekerja sedang melakukan kerja penyelenggaraan kabel Telekom, bagaimanapun mereka tidak cedera.

“Jenazah arwah dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian. Kita masih menjalankan siasatan berkaitan kemalangan tersebut,” katanya.

Pemandu lori maut bergesel kontena

Pemandu lori maut bergesel kontenaLori dipandu mangsa dipercayai bergesel dengan kontena dari arah bertentangan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan.

MARAN - Seorang pemandu lori maut dalam satu kemalangan di Kilometer 72.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Kampung Luit, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintenden, Sulaiman A Hamid berkata, mangsa yang memandu lori muatan makanan ringan mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan kaki kanan.

Menurutnya, mangsa, V Jegathanesan, 30, berasal dari Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Pekan ditemani seorang abangnya, V Thana, 31.

“Lori dipandu mangsa dipercayai bergesel selepas melanggar sisi sebelah sebuah lori kontena dari arah bertentangan ketika menuruni laluan berselekoh di lokasi kejadian.

“Perlanggaran menyebabkan lori muatan tiga tan itu terus melanggar bahagian belakang kontena sebelum terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.

“Lori berkenaan terhumban ke kawasan paya dekat bahu jalan dan menyebabkan mangsa tersepit sebelum dikeluarkan dengan bantuan bomba dan penyelamat,” katanya.
Sulaiman berkata, mayat dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.

Menurutnya, abang mangsa dan pemandu lori kontena terbabit hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Berhati-hati ketika melalui lokasi kejadian yang berselekoh terutama pada waktu malam kerana terdapat kerja membaiki kerosakan tebing jalan sedang dilakukan.

Banduan tanam ganja dalam penjara


PEGAWAI penjara menunjukkan empat bekas botol air yang digunakan untuk menanam ganja oleh seorang banduan di penjara Bone, Sulawesi Selatan. - AGENSI
WATAMPONE, Sulawesi Selatan - Penjara sepatutnya menjadi tempat banduan menginsafkan diri agar menemukan kembali kebaikan untuk meneruskan hidup dalam kalangan masyarakat.
Namun lain kisahnya di sebuah penjara di Bone di sini apabila seorang banduan mengambil kesempatan untuk menanam pokok ganja di dalam fasiliti tersebut.
Kegiatannya terbongkar selepas pengawal penjara menemukan pokok ganja berusia empat bulan dalam bekas botol plastik di depan taman bilik tahanan bernombor 19 dan 20 yang dipercayai ditanam oleh banduan bernama Asbudi, 37.
Pegawai penjara, Andi Amiruddin berkata, pihaknya bertindak melakukan pemeriksaan atas maklumat yang diberikan daripada bekas banduan tentang kegiatan itu.
Jelas Andi, pokok ganja terbabit ditanam dalam empat bekas botol plastik yang diubah suai dan disembunyikan di depan taman itu.
"Kami telah menyoal siasat Asbudi dan kes ini telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada tribunjogja.com. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131109/lu_09/Banduan-tanam-ganja-dalam-penjara#ixzz2k9p0Ee4A
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat 'hidup semula' di Brazil


KEADAAN lelaki yang dikatakan mati hidu
p semula selepas seorang wanita ternampak mangsa menggali keluar daripada 'kuburnya' sendiri di Ferraz de Vasconcelos, Sao Paulo, minggu lalu. - AGENSI
SAO PAOLO 8 Nov. - Seorang wanita Brazil yang menziarahi kubur keluarganya di sini pada minggu lalu, mengalami detik-detik menakutkan selepas ternampak mayat seorang lelaki 'hidup semula' dan cuba keluar daripada kuburnya.
Dalam kejadian yang berlaku di tanah perkuburan di Ferraz de Vasconcelos, Sao Paulo, wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia pada mulanya terdengar suara halus daripada sebuah kubur di situ.
Jelasnya, dia terperanjat apabila melihat tanah di kubur terbabit bergerak dan susuk tubuh lelaki keluar dari tanah sambil menggerakkan kedua-dua belah tangannya.
"Saya berasa seram apabila melihat lelaki itu yang disangka telah mati, cuba keluar daripada kubur," katanya.
Wanita itu pada mulanya melarikan diri, tetapi datang semula ke lokasi kejadian dan menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
"Pada mulanya saya menghubungi polis, namun mereka tidak percaya kerana berfikir saya sekadar berlawak dan cuba membuang masa mereka.
"Saya terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak perkuburan bagi meyakinkan pihak polis bahawa laporan saya itu benar," jelasnya.
Satu rakaman video yang disiarkan dalam laman perkongsian video, YouTube menunjukkan lelaki terbabit memakai pakaian kelabu dan separuh daripada badannya tertanam.
Mangsa kelihatan sukar bernafas, namun dapat diselamatkan oleh petugas keselamatan yang dikerah ke lokasi kejadian.
Siasatan polis mendapati, lelaki yang merupakan bekas pekerja majlis perbandaran itu, terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan dia cedera teruk, namun disangka telah mati oleh penyerangnya.
Penyerangnya kemudian menanam lelaki itu di tanah perkuburan terbabit untuk menyembunyikan kes 'pembunuhan' tersebut.
Lelaki yang tidak dikenali itu kini dirawat di sebuah hospital tempatan dan dilaporkan stabil serta akan menjalani ujian psikologi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131109/lu_06/Mayat-hidup-semula-di-Brazil#ixzz2k9nCNR59
© Utusan Melayu (M) Bhd 

100 orang maut Filipina dilanda Taufan Haiyan


MANILA 9 Nov. - Sekurang-kurangnya 100 orang maut dan beribu-ribu rumah di bandar Tacloban ditenggelami air selepas taufan Haiyan melanda negara ini, kata pegawai hari ini.
Angka kematian dan kerosakan dijangka meningkat mendadak ketika pasukan penyelamat tiba di kawasan yang terputus hubungan ekoran kejadian itu.
Taufan Haiyan yang melanda enam lokasi di negara ini dilaporkan kini bergerak ke arah Vietnam.
Haiyan dijangka melanda Vietnam esok. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131109/lu_12/100-orang-maut-Filipina-dilanda-Taufan-Haiyan#ixzz2k93DWtku
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bunuh rakan bercakap dengan isteri

Abuja: Seorang lelaki menikam sehingga mati rakannya hanya kerana dia bimbang mangsa akan bercakap dengan isterinya.
Jurucakap polis di Abeokuta berkata, suspek berusia 50 tahun dan sudah ditahan, manakala seorang lelaki lain yang membantu pembunuhan itu sedang diburu. Media melaporkan suspek berang apabila “ternampak mangsa berada di atas katil isterinya.” Bagaimanapun, sumber berkata, mangsa pergi ke rumah pasangan terbabit untuk menjemput mereka menghadiri majlis hari lahir ibunya yang ke-80. - Agensi

‘Bapa penyayang’ bunuh 20 wanita mirip ibu

Moscow: Anggota polis yang dikenali sebagai “suami dan bapa penyayang” sebenarnya ialah seorang pembunuh bersiri yang membunuh sekurang-kurangnya 20 wanita di Siberia.
Mikhail Popkov mengapak, menikam atau mencekik wanita yang “kelihatan seperti ibunya” selepas dibayangi sejarah zaman kanak-kanak.

Penyiasat berkata, Popkov kini berusia 49 tahun pernah didera dan dizalimi oleh ibunya ketika kecil. “Setakat ini lelaki terbabit mengaku melakukan 24 pembunuhan walaupun polis percaya dia bertanggungjawab dalam sekurang-kurangnya 29 kes.
“Bagi pakar jenayah, mereka yakin suspek melakukan lebih banyak pembunuhan,” katanya.

Digelar dengan pelbagai panggilan termasuk Serigala Jadi-jadian dan Pembunuh Rabu (kerana kebanyakan mayat mangsanya ditemui dalam hutan pada Rabu) - Popkov menyembunyikan perbuatannya selama dua dekad.

Polis pula mengabaikan bukti yang menunjukkan pembunuh misteri yang sedang disiasat mungkin seorang daripada anggota mereka sendiri. Bapa kepada seorang anak itu berdepan hukuman penjara seumur hidup.
Sumber berkata, mangsa dipilih berdasarkan sifat yang menyamai ibu suspek. Katanya, daripada 29 mangsa yang ditemui, 25 berusia antara 19 dan 28 tahun, manakala empat lagi antara 35 hingga 40 tahun. “Sekurang-kurangnya seorang mangsa dipancung dan jantungnya dikeluarkan,” katanya. Popkov dilaporkan berhenti membunuh selepas mendapati kejantanan dirinya gagal berfungsi sekali gus membayangkan seks adalah motif jenayahnya. Sumber berkata, mangsa biasanya ditemui dalam bar dan dibiarkan mabuk sebelum dibunuh. “Polis percaya pembunuhan berlaku antara 1992 hingga 2000,” katanya. Popkov ditahan pada Jun 2012 selepas 3,500 polis - termasuk di kalangan pesara dipaksa menjalani ujian DNA. - Agensi

Mayat bangkit dari kubur

Sao Paulo: Seorang wanita yang menziarahi kubur keluarganya menerima kejutan terbesar dalam hidupnya apabila terserempak dengan ‘mayat hidup’ yang bangkit dari tanah sambil melambai-lambai tangannya.
Media semalam melaporkan wanita terbabit berada di sebuah tanah perkuburan di Ferraz de Vasconcelos apabila dia terdengar bunyi nafas termengah-mengah.

Sejurus kemudian, kata wanita yang enggan dikenali itu, dia ternampak tanah di satu daripada kubur di situ bergerak-gerak.
Tidak lama selepas itu wanita terbabit hampir pengsan melihat kepala dan tangan seorang lelaki muncul dari tanah sambil cuba keluar dari situ.

“Saya ketakutan melihat seorang lelaki yang saya sangka sudah mati cuba keluar dari kubur berkenaan,” katanya. Pada awalnya, kata wanita terbabit, dia melarikan diri dari situ tetapi kembali semula dan menghubungi pihak berkuasa.

Namun ia tidak semudah yang disangka.
Kata wanita itu polis menganggap dia bergurau ketika memaklumkan pihak berkuasa ada ‘mayat hidup’ di kubur berkenaan.

“Mereka asyik bertanya sama ada saya bergurau atau serius,” katanya dalam satu kenyataan.
Akhirnya, kata wanita itu dia gagal meyakinkan polis dan terpaksa menemui kakitangan tanah perkuburan berkenaan dan merayu kepadanya supaya menghubungi polis.

Sepasukan pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian menemui seorang lelaki yang tertanam separuh badannya. Dalam video disiarkan stesen Record TV di Brazil, lelaki terbabit kelihatan hampir tidak bergerak tetapi masih bernafas apabila diperiksa kakitangan perubatan ketika itu. Lelaki itu kini dirawat di hospital dan doktor yakin dia boleh diselamatkan tetapi tertakluk kepada ujian psikologi. Polis pula percaya bekas pekerja perbandaran itu terbabit dalam pergaduhan dan dibelasah teruk sehingga pengsan.

Dia kemudian ditanam penyerangnya dalam sebuah kubur kosong di situ.

Lelaki terbabit kemudian tersedar dan mula berusaha menyelamatkan diri sebelum ditemui wanita berkenaan. - Agensi

Taufan Haiyan badai Filipina

Manila: Taufan paling dahsyat di dunia tahun ini dan yang paling kuat sampai di daratan membadai Filipina semalam memaksa lebih sejuta orang menyelamatkan diri selepas perkampungan mereka dinaiki air.
Haiyan dengan kategori 5 taufan besar membadai dua destinasi pelancongan di bahagian utara wilayah Cebu sebelum menuju barat laut ke arah Pulau Boracay selepas melalui kepulauan tengah Leyte dan Samar dengan kekuatan angin 275 kilometer sejam (kmsj) dan ombak setinggi lima hingga enam meter.

Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan tujuh cedera, kata jurucakap agensi bencana kebangsaan Rey Balido kepada pemberita di Manila. Jumlah kematian dijangka meningkat.
Bekalan elektrik dan komunikasi di tiga pulau besar Samar, Leyte dan Bohol hampir terputus sepenuhnya, namun pihak berkuasa berjanji memulihkannya dalam tempoh 24 jam.

Pihak berkuasa turut memberi amaran 12 juta orang berada dalam bahaya termasuk di Kota Cebu yang mempunyai 2.5 juta penduduk selain beberapa kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya ekoran taufan pada 2011 serta gempa bumi berukuran 7.2 pada skala richter, bulan lalu.

“Taufan itu berkemungkinan membadai daratan dengan kekuatan angin 313kmsj.
Foto
SEBUAH rumah ditenggelami ombak tinggi di Kota Legazpi, wilayah Albay, semalam.
“Ini menjadikan Haiyan siklon terbesar direkodkan di daratan,” kata pengarah meteorologi Weather Underground Jeff Masters.

Kira-kira sejuta orang mendapatkan perlindungan di 29 wilayah selepas Presiden Benigno Aquino menggesa mereka yang tinggal di laluan taufan itu meninggalkan rumah masing-masing.
“Sekolah kami kini dipenuhi mangsa taufan,” kata guru sekolah rendah di Leyte Selatan dikenali sebagai Feliza.

Leyte dan Leyte Selatan terletak 630 kilometer (km) di tenggara Manila. Setiausaha Tenaga Jericho Petilla melaporkan banjir setinggi tiga meter di sebuah perkampungan di Leyte.

“Buat masa ini tiada langsung komunikasi,” katanya. “Jalan masih tidak dapat dilalui dan ada beberapa kawasan berlaku tanah runtuh,” kata gabenor wilayah Leyte Selatan Roger Mercado.

Menurutnya, lebih 100 rumah di persisiran pantai musnah manakala tanah runtuh turut memusnahkan kediaman di kawasan bukit, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini. Sementara itu, Gabenor Samar Sharee Tan berkata, seluruh wilayah itu tiada bekalan elektrik manakala beberapa perkampungan terputus hubungan sama sekali.

Perkhidmatan feri dan penangkapan ikan serta 13 lapangan terbang digantung mengakibatkan lebih 450 penerbangan tempatan serta lapan antarabangsa turut terganggu. - Reuters

17 pengawal 'hantu' diberkas



SEBAHAGIAN daripada 17 pengawal keselamatan warga asing yang ditahan dalam Operasi 6P di Seremban kelmarin.


SEREMBAN – Tiga wanita antara 17 pengawal keselamatan warga asing yang ditahan dalam Operasi 6P oleh Jabatan Imigresen negeri di beberapa lokasi di sekitar daerah ini kelmarin.
Lebih mengejutkan semua pengawal keselamatan warga asing berkenaan berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, operasi itu dijalankan di beberapa lokasi di daerah ini seperti di bank, premis pengurup wang dan pasar raya.
Menurut beliau, dalam operasi tersebut pihaknya terkejut apabila ada syarikat kawalan keselamatan berani mengambil warga asing yang langsung tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sebagai pekerja.
“Ketika pemeriksaan, semua warga asing ini termasuk tiga pengawal keselamatan wanita itu sedang bertugas di premis-premis tumpuan orang ramai dengan memakai pakaian seragam pengawal keselamatan.
“Apabila diperiksa kita dapati semua warga asing yang berusia 20-an hingga 30-an ini langsung tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” kata beliau di sini semalam.
Faizal memberitahu, tiga wanita yang ditahan itu merupakan warga Indonesia manakala 14 pengawal keselamatan yang ditahan merupakan warga Nepal.
“Mengikut syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri hanya lelaki warga Nepal yang terdiri daripada bekas tentera yang boleh diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Semakan mendapati 14 pengawal warga Nepal yang ditahan bukan bekas tentera,” kata beliau.
Kata beliau, 17 pengawal keselamatan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Majikan kepada semua warga asing itu pula didakwa mengikut Seksyen 55 (b) Akta Imigresen kerana menggaji warga asing tanpa pas yang sah dan jika didapati bersalah majikan boleh didenda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara bagi setiap pekerja.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm#ixzz2k8ywrerE 
Hakcipta terpelihara 

Suami isteri dibunuh dalam kilang proses makanan laut


ANGGOTA polis mengangkat mayat pasangan suami isteri dipercayai dibunuh di kilang memproses makanan laut di Jalan Bundusan, Penampang, Sabah semalam.


PENAMPANG - Kebimbangan seorang majikan terhadap pekerjanya yang tidak menjawab panggilan telefon terjawab apabila lelaki itu ditemui mati disyaki dibunuh bersama isterinya di sebuah kilang memproses makanan laut di Jalan Bundusan di sini semalam.
Mayat Chen Ching Woei, 42, dan isteri, Chang Ling Ping, 44, ditemui pada pukul 8 pagi dalam keadaan berlumuran darah di kepala di dalam bilik tidur oleh beberapa pekerja di kilang berkenaan.
Difahamkan, mangsa yang berasal dari Sarawak bekerja sebagai pemandu lori di kilang berkenaan dan tinggal di bilik tersebut bersama pasangannya sejak dua tahun lalu.
Sebelum itu, majikan mangsa cuba menghubungi Ching Woei melalui telefon bimbit namun gagal lalu meminta pekerja lain mencarinya di bilik berkenaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan meneliti rakaman televisyen litar tertutup di kilang berkenaan bagi membantu siasatan.
Mayat pasangan itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2k8yhFXG4 
Hakcipta terpelihara 

Belasah isteri guna topi keledar



SUSPEK ditahan reman bagi membantu siasatan selepas isterinya membuat laporan polis kerana tidak tahan didera di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor kelmarin.


SEGAMAT – Seorang suri rumah yang tidak tahan didera termasuk dibelasah dengan topi keledar oleh suaminya membuat laporan polis menyebabkan lelaki itu ditahan kelmarin.
Suspek berusia 30 tahun yang cuba menyembunyikan diri ditahan pada pukul 3 pagi di kawasan Bekok di sini. Turut dirampas topi keledar yang dipercayai digunakan untuk memukul isterinya.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Mohd. Kamil Sukarmi berkata, mangsa yang berusia 30 tahun cedera di belakang kepala manakala empat jari kirinya bengkak dipercayai dipukul dengan objek keras oleh suspek.
“Dalam kejadian terbaru pada pukul 4.30 petang semalam (kelmarin), wanita itu dipukul di hadapan empat anak perempuannya yang berusia dua hingga lapan tahun.
“Mangsa pernah bertanya kenapa dia diperlakukan demikian, namun suspek enggan menjawab menyebabkan wanita itu semakin tertekan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Mohd. Kamil, suspek turut meninggikan suara sekiranya mereka bergaduh sehingga didengari oleh jiran-jiran di kawasan kuarters kediaman pekerja kilang kelapa sawit di Kluang.
Jelasnya, mangsa yang hilang sabar kemudian membuat laporan polis dan suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2k8yXuxmF 
Hakcipta terpelihara 

Keldai dadah masuk perangkap



MOHD. HATTA menunjukkan syabu yang dirampas daripada seorang wanita Indonesia pada sidang akhbar di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.


BALIK PULAU – Cubaan seorang keldai dadah warga Indonesia menyeludup syabu bernilai RM360,000 dengan menyembunyikannya di celah lipatan pakaian di dalam bagasi dibawanya gagal apabila dia ditahan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Rabu lalu.
Wanita berusia 38 tahun itu diberkas sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri pada pukul 7.40 malam semasa dia sedang menarik bagasi berwarna kelabu keluar dari ruang pemeriksaan.
Difahamkan, wanita terbabit hanya menerima upah sebanyak 5 juta Rupiah (RM1,600) sebulan untuk menyara seorang anak lelaki berusia 16 tahun dan suaminya yang tinggal di Indonesia.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd. Hatta Mohd. Zin berkata, syabu seberat 1.7 kilogram itu disembunyikan di dalam ruang khas bagasi dan dibawa dari Guangzhou, China untuk bekalan kepada sindiket di sini.
“Siasatan mendapati suspek baru tiba di sini dengan menaiki penerbangan dari Hong Kong. Dia tinggal di Guangzhou selama tiga hari untuk membungkus dadah berkenaan.
“Sebelum diberkas, suspek telah transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Hong Kong untuk mengambil dadah berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dalang sebenar dan suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2k8yOzGSs 
Hakcipta terpelihara 

Bayi setahun enam bulan dilarikan di halaman rumah



LOKASI Freddie dilarikan seorang lelaki di halaman rumah ibunya di Jalan Temasek, Bangsar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang guru warga British kehilangan anak tunggalnya berusia setahun enam bulan selepas dilarikan dua individu yang menceroboh rumahnya di Jalan Temasek, Bangsar di sini semalam.
Kejadian malang pada pukul 6 petang itu berlaku ketika Sarah Joseph, 38, sedang memberi makan kepada Freddie Joseph (gambar kecil) di halaman rumah teres dua tingkat berkenaan.
Seorang lelaki secara tiba-tiba masuk ke dalam kawasan rumah ibu tunggal itu lalu mengambil bayi berkenaan.
Ketika kejadian, Sarah dikatakan cuba mendapatkan semula bayi lelakinya namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana suspek bersenjata pisau.


Rakan mangsa dikenali sebagai Rob berkata, bayi tersebut kemudian diserahkan kepada seorang lagi individu dipercayai wanita yang menunggu di dalam kereta berhampiran rumah teres tersebut.
"Sarah terjatuh ketika cuba mengejar kereta tersebut. Freddie merupakan anak hasil perkahwinan Sarah dengan seorang lelaki Filipina, namun bekas suaminya tidak menetap di negara ini," katanya di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2k8yEk2WV 
Hakcipta terpelihara 

Rakyat Uzbekistan dihukum gantung


SHAH ALAM – Tiga rakyat Uzbekistan termasuk dua wanita warga emas dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas disabitkan bersalah mengedar lebih 10 kilogram dadah jenis syabu tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu terhadap Dilbar Nazarova, 54, Jasur Djurakulov, 34, dan Sayora Nurmukhamedova, 58, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Hakim Nurchaya berkata, keterangan ketiga-tiga tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pesara kerajaan, Dilbar didakwa mengedar syabu seberat 4.17 kilogram (kg), manakala kakak iparnya, Sayora didakwa mengedar dadah jenis sama seberat 2.24kg.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2k8xw4KyL 
Hakcipta terpelihara 

Taufan Haiyan landa Filipina



AFP SEORANG lelaki berjalan melintasi ombak besar semasa angin kencan
g akibat taufan Haiyan melanda bandar Legaspi, wilayah Albay selatan Manila semalam.


MANILA - Taufan paling kuat di dunia pada tahun ini telah melanda Filipina semalam, menyebabkan lebih sejuta penduduk melarikan diri dan bekalan elektrik terputus serta memusnahkan banyak rumah.
Angin taufan Haiyan peringkat 5 bergerak menuju wilayah Cebu dan pulau pelancongan Boracay, Leyte serta Samar dengan kelajuan mencecah 275 kilometer sejam (km/j).
Ia turut menyebabkan ombak setinggi lima hingga enam meter.
Tenaga elektrik dan talian komunikasi di tiga buah pulau iaitu Samar, Leyte dan Bohol terputus tetapi pihak kerajaan dan syarikat rangkaian telekomunikasi berjanji akan berusaha memulihkan perhubungan dalam masa 24 jam.
Pihak berkuasa memberi amaran kepada lebih 12 juta penduduk termasuk 2.5 juta penduduk yang berada bandar Cebu berhubung taufan tersebut.

REUTERS 
SEBATANG pokok tumbang akibat angin kencang ketika taufan Haiyan membadai bandar Cebu, tengah Filipina semalam.


Penduduk di Filipina masih trauma dengan gempa bumi 7.2 pada skala Ritcher yang berlaku pada bulan lalu sehingga mengorbankan banyak nyawa.
"Ribut kencang melanda dengan kelajuan angin hampir 313km/j," kata seorang pengarah meteorologi Amerika Syarikat, Jeff Masters.
Ribut dan taufan yang membawa angin kencang boleh menyebabkan bumbung dan dinding tercabut.
Menurut penyelaras Migrasi Organisasi Antarabangsa di Bohol, Lionel Dosdosa, gempa bumi kuat yang berlaku pada 15 Oktober lalu telah mengorbankan 222 orang dan beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal.
Hampir sejuta penduduk telah berpindah untuk mencari tempat perlindungan selepas Presiden Benigno Aquino menggesa supaya penduduk yang tinggal di tebing sungai, lereng-lereng bukit dan di pesisiran pantai yang terdedah kepada taufan Haiyan agar segera berpindah. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2k8vm01ET 
Hakcipta terpelihara 

Saman isteri kerana lahirkan anak hodoh

Saman isteri kerana lahirkan anak hodohKetiga-tiga anak Feng dikatakan mewarisi genetik bekas isterinya.

BEIJING - CHINA . Seorang lelaki di China sanggup menceraikan dan memfailkan saman ke atas isterinya hanya kerana wanita itu melahirkan anak hodoh.

Akhbar tempatan melaporkan, Jian Feng turut mendakwa dia tertipu dengan kecantikan palsu isterinya selepas wanita itu mengaku pernah melakukan pembedahan plastik di Korea Selatan sebelum mereka berkahwin.

Sebelum rahsia itu terbongkar, Feng telah menuduh wanita yang dikahwini atas dasar cinta itu mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain berikutan wajah anak mereka langsung tidak seirasnya atau isterinya.

Bagaimanapun, bekas isteri Feng menafikan dakwaan tersebut kerana dia percaya anak mereka mewarisi genetiknya.

Susulan daripada itu, mahkamah mengarahkan bekas isterinya membayar ganti rugi sebanyak AS$120,000 (RM370,000) kepada Feng, dipetik dari laporan TVOR.

Lelaki diculik depan keluarga

Lelaki diculik depan keluargaZulkefly menunjukkan rotan berukuran 30 inci yang dirampas susulan penahanan tiga suspek yang terbabit dalam kejadian culik dan ugut, Selasa lalu.

KULAIJAYA  - Tiga pekerja buruh ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang lelaki berusia 21 tahun, di sini, 5 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, mangsa diculik sekumpulan lelaki menaiki motosikal pada jam 2.30 petang ketika sedang mandi di kolam renang bersama keluarga ibu saudaranya.

“Ketika kejadian, keluarga berkenaan didatangi sembilan lelaki yang bertindak menarik dan memukul mangsa.

“Suspek turut meminta wang sebanyak RM6,000 sebagai pampasan membebaskan mangsa sebelum melarikannya menaiki motosikal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya, di sini, semalam.

Zulkefly berkata, ibu saudara mangsa mengaku mengenali salah seorang suspek yang turut menghubungi akan membunuh anak perempuannya jika mereka membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Selepas kejadian, salah seorang suspek yang dikenali telah menghubungi pengadu dan mengancam untuk membunuh anak perempuan pengadu jika kejadian dilaporkan kepada polis.

“Bagaimanapun mangsa yang diculik telah dilepaskan pada hari yang sama kira-kira jam 10.30 malam, namun mengalami kecederaan di bahagian kepala kerana dipukul,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kes berkenaan mempunyai motif berkaitan hutang dan sebuah ‘task force’ turut ditubuhkan bagi menjejaki suspek yang terlibat.

“Tiga daripada suspek berjaya ditangkap, mereka berusia di antara 22 hingga 28 tahun dan bekerja sebagai buruh.

“Salah seorang daripada mereka didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kita turut merampas sebatang rotan berukuran 30 inci yang digunakan untuk memukul mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

'Kami mohon pampasan'

'Kami mohon pampasan'Sebahagian rumah yang dirobohkan di Jalan Sri Cemerlang semalam.

KOTA BHARU - Lebih 100 penduduk di Jalan Sri Cemerlang 2, memohon pampasan selepas rumah mereka di kawasan terbabit dirobohkan pihak yang didakwa pemilik tanah.

Seorang penduduk asal di kawasan itu, Zakaria Ismail, 52, berkata, sebelum ini lokasi itu yang dipercayai milik beberapa individu dijadikan kawasan penempatan hampir 30 rumah yang didirikan sejak 52 tahun lalu.

“Saya dah lama menetap di sini, sepanjang tinggal di penempatan ini, kami tidak pernah menerima sebarang notis mengosongkan kawasan ini sehinggalah Jun lalu dan dalam tempoh empat bulan itu, kami terima perintah mahkamah untuk mengosongkannya.

“Lebih menyedihkan, kami tidak menerima sebarang pampasan daripada pihak terbabit dan diarahkan berpindah segera bagi memudahkan pihak berkenaan melakukan kerja merobohkan penempatan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zakaria yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan berkata, buat masa ini, dia tidak mempunyai tempat tinggal dan terpaksa menumpang di kawasan madrasah sebelum mendapat rumah sewa.

“Pendapatan saya tidak seberapa, lagipun saya hanya berniaga kecil-kecilan dan mempunyai anak yang bersekolah serta perlu menanggung pelbagai perbelanjaan lain.

“Sebagai penduduk paling lama di sini, saya harap pihak berkenaan dapat membantu kami dan memberikan pampasan yang setimpal memandangkan ramai antara penduduk di sini terdiri daripada keluarga miskin dan mempunyai anak yang ramai,” katanya.

Sementara itu menurut Che Alik Hassan, 45, walaupun sedih dengan kejadian itu, namun mereka akur.

“Memang kami semua akur selepas mendapat perintah mahkamah, cuma kami harap pihak pemilik tanah berkenaan dapat berikan pampasan kepada kami bagi urusan perpindahan.

“Lagipun kami bukan keluarga orang senang, ada antara kami yang mempunyai anak yang masih bersekolah dan ada juga yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kejadian ini membuatkan pelajaran mereka turut terganggu," katanya.

Sehubungan itu, Che Alik berharap, pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah tersebut dan membantu penduduk berpindah memandangkan kawasan itu kini sudah diambil alih pihak terbabit.

Lebih 100 mayat bergelimpangan

Lebih 100 mayat bergelimpanganMANILA - FILIPINA. Lebih 100 mayat bergelimpangan di jalan raya di Tacloban selepas taufan terkuat di dunia yang membawa angin kencang berkelajuan 315 kilometer sejam membadai wilayah Leyte, menurut pihak berkuasa, hari ini.

Timbalan Pengarah Penerbangan Awam Filipina, John Andrews memaklumkan ratusan penduduk juga cedera di wilayah itu yang dilaporkan paling teruk terjejas.

"Angka kematian mungkin meningkat berikutan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan," katanya pada laporan AFP.

Dalam perkembangan lain, lebih 100,000 penduduk kampung di Vietnam diarah berpindah ke pusat penempatan sementara selepas Haiyan dijangka membadai negara itu, awal pagi esok.

Media tempatan melaporkan kebanyakan sekolah di kawasan dataran rendah di tengah Danang dan wilayah Quang Ngai telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.