Search This Blog

Thursday, November 7, 2013

Tiga diberkas terlibat samun, pecah rumah


KUALA LUMPUR 7 Nov. - Polis berjaya menyelesaikan 15 kes samun dan pecah rumah selepas memberkas tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Putra, Sungai Chua, Kajang, dekat sini minggu lalu.
Kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 30-an itu diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 malam pada 31 Oktober lalu oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, enam daripada 15 kes yang berjaya diselesaikan tersebut adalah kes-kes yang dilaporkan di daerah itu.
Beliau berkata, kumpulan tersebut dikesan aktif melakukan jenayah itu sejak tahun lalu di kawasan sekitar Brickfields, Lembah Klang, Kajang, Sentul dan Cheras.
“Modus operandi kumpulan ini adalah melakukan samun terhadap mangsa dengan menggunakan parang sekiranya ada peluang.
“Dalam kes pecah rumah, kumpulan ini biasanya menggunakan kereta untuk meninjau kawasan rumah yang tidak berpenghuni dan kerap melakukan jenayah ini ketika penghuninya keluar makan malam sekitar pukul 6 hingga 9 malam," katanya dalam sidang akhbar di Brickfields di sini hari ini.
Tambah Muhamad Azlee, hasil serbuan itu pihaknya berjaya merampas sebuah kereta Proton Perdana yang memiliki nombor pendaftaran palsu dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah.
“Turut dirampas adalah 75 barangan termasuk wang tunai, komputer riba, pelbagai jenis kamera, telefon bimbit, jam tangan, beg, topi dan gelang, pasport serta kad pengenalan disyaki milik mangsa samun dan peralatan pecah rumah.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah kira-kira RM100,000 dan kami sedang berusaha mengesan dua lagi rakan penjenayah kumpulan ini yang masih bebas," ujarnya.
Jelas Azlee, semakan rekod lampau pihaknya terhadap ketiga-tiga suspek mendapati salah seorang daripadanya mempunyai rekod berkaitan dadah dan dipercayai adalah ketua kumpulan tersebut.
“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk rumah dan mencuri," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131108/je_05/Tiga-diberkas-terlibat-samun-pecah-rumah#ixzz2k3oJciRt
© Utusan Melayu (M) Bhd