Search This Blog

Wednesday, November 6, 2013

Pemandu teksi ditemui mati dalam kereta

Pemandu teksi ditemui mati dalam keretaMayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

GUA MUSANG - “Saya sejak pagi lagi tidak sedap hati apabila ayah keluar rumah dengan memandu teksi dalam keadaan tidak sihat,” kata Azharudin Mohd Nor, 31 anak kepada arwah, Mohd Nor Mat Ali, 70, yang ditemui mati dalam teksinya, petang kelmarin.
Mohd Nor berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, ditemui mati tempat duduk dalam keretanya yang enjin masih hidup dipercayai serangan jantung di Kilometer 46 Jalan Gua Musang - Lojing jam 2.30 petang.
Mayat mangsa ditemui pasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat sebuah teksi tersadai di tepi jalan di situ dalam keadaan enjin keretanya  masih hidup.
Menurut Azharudin, arwah ayah sepatutnya pulang ke rumah semula selepas keluar untuk membeli makanan sarapan pagi kira-kira jam 9 pagi dengan memandu teksi secara seorang diri, tetapi didapati tidak pulang ke rumah sehingga waktu tengah hari.
“Kebiasaan ayah pulang semula ke rumah untuk bersarapan bersama ahli keluarga dan saya mengesyaki sesuatu kejadian berlaku kerana menyebabkan saya terus mencarinya sekitar bandar Gua Musang, namun gagal menemuinya.
“Secara kebetulan, saya menerima maklumat ada pengguna Jalan Gua Musang - Lojing menemui sebuah teksi yang enjin masih hidup tersadai di tepi jalan dekat Pos Blau,” katanya.
Beliau terus membuat laporan polis di IPD Gua Musang sebelum bergegas dengan beberapa anggota polis ke tempat kejadian dan menemui ayah meninggal dunia dalam kereta berkenaan dipercayai serangan jantung.
Katanya, mungkin kejadian itu berlaku ketika arwah sedang memandu teksinya seorang diri dalam perjalanan pulang ke bandar ini selepas menghantar penumpang di kawasan berkenaan dan berhenti di tepi jalan untuk menahan sakitnya,” katanya.
Azharudin berkata, sebelum ini juga arwah dalam keadaan tidak sihat kerana masalah jantungnya, tetapi sempat juga arwah menonton siaran televisyen perlawanan final Piala Malaysia antara pasukan The Red Warriors (TRW) dengan Pahang di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.
Beliau mengakui arwah bapa masih kuat semangat memandu teksi untuk menghantar penumpang pada pagi kejadian walaupun dalam keadaan tidak sihat dan memerlukan rehat di rumah.
 Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan mayat seorang pemandu teksi dalam keretanya di hantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.
Kata Saiful Bahri, doktor yang melakukan pemeriksaan serta hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan Mohd Nor mati mengejut kerana serangan jantung.

Ular tedung selar masuk rumah

Ular tedung selar masuk rumahMohd Fauzi (kiri) dibantu dua anggota JPAM menjinakkan tedung selar yang ditangkap dalam sebuah rumah di Kampung Sokor, Tanah Merah.

TANAH MERAH - Cubaan mengusir keluar seekor tedung selar yang masuk ke dalam sebuah rumah di Kampung Sokor, dekat sini, cemas seketika apabila reptilia berbisa itu bertukar ganas dan cuba menyerang penduduk.
Seorang penduduk, Ahmad Faizal Dollah, 28, berkata, kejadian cemas itu berlaku ketika dia bersama beberapa penduduk cuba mengusir ular yang masuk ke rumah kakaknya menggunakan buluh.
Katanya, cubaan itu gagal dan dia terpaksa meminta bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) apabila tedung selar sepanjang lebih tiga meter itu mula bertindak agresif.
“Saya cuba usik-usik dengan buluh supaya ular ketika itu bersembunyi di belakang pintu dapur keluar tetapi saya mula rasa bahaya bila ular itu beberapa kali cuba menerkam ke arah kami,” katanya, semalam.
Ahmad Faizal berkata, sebelum kejadian, tidak ada orang di rumah itu kerana kakak dan isterinya berada di rumah ibu mereka yang terletak bersebelahan.
“Masa bersembang depan rumah emak, mereka nampak seekor ular tedung menyusur tebing jalan sebelum menyusup masuk dalam rumah kakak melalui pintu depan.
“Bila saya masuk ke dalam rumah kakak dengan beberapa anggota Rela, kami temui ular itu sedang bersembunyi di belakang pintu dapur dan cuba usirnya keluar tetapi gagal,” katanya yang menghubungi JPAM untuk bantuan.
Haiwan berbisa itu akhirnya berjaya dijinakkan sepasukan empat anggota JPAM daerah ini termasuk seorang anggota yang berkebolehan menangkap ular, Mohd Fauzi Sarwani Seman.
Mohd Fauzi Sarwani berkata, ular itu bertindak agresif ketika cuba ditangkap dan dia mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum dapat menjinakkannya.

Serangan hendap militan bunuh 5 pegawai polis


GAUHATI, India 6 Nov. - Kira-kira 30 anggota militan bersenjatakan senapang menyerang sekumpulan pegawai polis di timur laut India, semalam mengorbankan lima anggota polis.
Majistret daerah, Chinmay Gotmare berkata, militan tersebut yang menggunakan senapang jenis AK-47 dan beberapa senjata lain, menyerang para pegawai berkenaan berhampiran perkampungan Bangajakona di negeri Meghalaya ketika sedang mengambil banduan untuk dipindahkan.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab berhubung serangan tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131106/lu_02/Serangan-hendap-militan-bunuh-5-pegawai-polis#ixzz2k3mZygLn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rompak: Peniaga diacu pistol

Rompak: Peniaga diacu pistolBahar melakonkan semula detik-detik lehernya diacu pistol dalam kejadian itu.

KOTA BHARU - Seorang peniaga warga Pakistan hanya mampu menurut arahan penjenayah apabila diacu pistol dalam kejadian rompakan sebuah kedai runcit di Jalan Pasir Hor di sini, malam kelmarin.

Bahar Ali, 22, berkata, dia berdepan detik cemas itu ketika kedai miliknya dimasuki tiga lelaki bertopeng kira-kira jam 10.45 malam.

Dia yang bersendirian dan sedang menyusun barang di rak didatangi penjenayah-penjenayah itu sebelum seorang daripadanya mengacu pistol ke leher kanan manakala seorang lagi menumbuk dada kirinya.

“Seorang lagi kemudiannya mengarahkan saya pergi ke kaunter dan dia mengambil kesemua wang tunai RM750 di dalam laci.

“Mereka juga mengambil tiga telefon bimbit dan tiga karton rokok sebelum melarikan diri menghala ke Kota Bharu dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna hitam yang dipakir di hadapan kedai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, dia hanya mampu berdiam diri dan menurut segala arahan penjenayah apabila lelaki yang mengacu pistol tersebut mengarahkan dia supaya tidak membuat bising dan memberi amaran bahawa pistol itu adalah tulen.

“Kejadian hanya mengambil masa lima minit dan saya tidak mampu melawan akibat takut diapa-apakan dengan senjata api itu,” katanya.

Bahar berkata, sepanjang tiga tahun berniaga di situ, insiden tersebut adalah yang kedua selepas kejadian sama berlaku tahun lalu.

“Tahun lepas, juga tiga lelaki cuba merompak dengan senjata parang. Masa itu, saya bersama bapa saudara berani mempertahankan diri dan mereka tidak sempat mengambil apa-apa, namun, pakcik saya mengalami kecederaan di kepala kerana terkena tetakan.

“Kali ini, saya bernasib baik kerana tidak diapa-apakan tetapi akan tetap berjagajaga dan mungkin akan memasang kamera litar tertutup selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompak bersenjata.