Johor Bahru: Seorang ahli perniagaan dibelasah hingga patah tulang rusuk serta cedera pada kedua-dua belah tangan di hadapan isteri, anak serta adik iparnya selepas empat sekeluarga itu diculik dan dikurung di sebuah rumah di Selayang, Selangor pada 18 September lalu.
Dalam kejadian pada jam 8.30 malam, mangsa yang berasal dari Pakistan, Dr Shahzad Khan, 43, isterinya, Enah Natasha, 36, anak bongsu mereka, Alissha Khan, 4, dan adik ipar Dr Shahzad, Steffi Anak Junau, 23, diculik dua lelaki yang baru dikenali selepas selesai berbincang urusan kerja di sebuah restoran di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Kejadian itu juga mengakibatkan mangsa sekeluarga kerugian hampir RM200,000 membabitkan wang tunai, barangan kemas, telefon bimbit dan komputer riba.
Mengimbau kejadian, Dr Shahzad berkata, dia bersama keluarganya ke Kuala Lumpur dan Selangor atas urusan kerja selain untuk membayar gaji pekerja.
“Kami bertemu dengan dua lelaki terbabit yang berusia lingkungan 30-an di sebuah restoran di Jalan Ipoh atas urusan kerja.
“Ia adalah pertemuan pertama kami. Selepas berbincang, kedua-duanya meminta kami untuk membantu menghantar mereka pulang ke rumah.

DR Shahzad bersama isterinya yang menunjukkan laporan polis berkaitan kejadian.
“Kami menghantar kedua-dua lelaki itu ke rumah mereka di sebuah rumah pangsa di Selayang. Kami kemudiannya diajak untuk bertandang ke rumah mereka sebagai tanda terima kasih,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Senai Utama, di sini, semalam.
Menurut Dr Shahzad yang sudah menetap di negara ini sejak 17 tahun lalu, mereka sekeluarga kemudian masuk ke rumah berkenaan sebelum tiba-tiba didatangi lapan lelaki.
Katanya, kelapan-lapan lelaki terbabit memang berada di dalam rumah itu sebelum tangan serta kaki mereka sekeluarga kemudiannya diikat.
“Keadaan sangat cemas, saya dikurung di bilik berasingan dan sejak hari pertama, saya dibelasah dengan teruk menggunakan kayu.
“Saya juga langsung tidak diberi makan selama dua hari. Sepanjang tempoh itu, mereka tidak berhenti memaksa saya menyerahkan wang RM800,000 kepada mereka sekiranya mahu dibebaskan,” katanya.
Menurut Dr Shahzad, dia bagaimanapun bersyukur kerana tiga ahli keluarganya tidak dicederakan.
Dr Shahzad berkata, pada masa sama, penjenayah turut mengeluarkan wang simpanannya serta isteri di dalam bank menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
“Selain wang tunai, penjenayah turut memaksa saya menyerahkan kesemua barangan berharga termasuk yang berada di rumah saya di Senai.
“Penjenayah menghubungi ahli keluarga saya di Senai dan mengarahkan mereka menyerahkan semua barangan berharga itu.
“Ketika itu, saya hanya ingat mati kerana dibelasah tanpa henti. Setiap kali meminta air minuman, mereka akan membelasah saya,” katanya.
Keluarga mangsa yang berada di Senai kemudiannya melaporkan kejadian itu di Balai Polis Senai, dekat sini, pada 19 September lalu.
Menurut Dr Shahzad, selepas penjenayah memperoleh kira-kira RM200,000, mereka sekeluarga dibebaskan pada 20 September lalu.
“Kami berempat ditinggalkan di sebuah kawasan sunyi di Rawang. Mujur seorang pemandu lori menemui kami dan isteri terus menghubungi polis.
“Saya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala tiga ahli keluarga dibawa ke balai polis untuk membuat laporan berkaitan kejadian,” katanya.
Menurutnya, dia sekeluarga mengesyaki ia angkara kenalan mereka sendiri berikutan semua penjenayah tahu pelbagai maklumat berkaitan wang simpanan, barangan berharga serta maklumat peribadi.
“Saya harap polis dapat memberkas penjenayah kerana selepas lebih 40 hari kejadian, masih tiada perkembangan berkaitan kes ini.
“Ini bukan soal wang tetapi nyawa kami. Walaupun selamat, saya tidak mampu melakukan tugasan harian kerana kecederaan pada kedua-dua belah tangan belum pulih,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/01