Search This Blog

Friday, November 1, 2013

247 'pak guard' di Perak hilang kerja - Sinar Harian

247 'pak guard' di Perak hilang kerjaSebahagian pengawal keselamatan berkumpul untuk menyatakan rasa terkilan dan sedih selepas notis pembekuan kerja dikeluarkan semalam.

IPOH – Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga. Seramai 247 pengawal keselamatan di negeri ini hilang punca pendapatan selepas menerima notis ‘tidak bekerja’ berikutan penggantungan lesen terhadap majikan mereka oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkuat kuasa, semalam.
Syarikat keselamatan yang berpejabat di sini dan mempunyai beberapa cawangan di negeri ini terpaksa menghentikan tugas semua kakitangannya yang sebelum ini berkhidmat di 75 bank seluruh negeri.
Pihak pengurusannya, ketika ditemui mengakui, tiada pilihan lain, selain terpaksa ‘membekukan’ semua tugas pengawal keselamatan bagi mengelak tindakan lebih berat dikenakan.
Menurutnya, sepertimana reaksi pekerja, syarikat juga agak terkejut dengan notis yang diterima kerana bakal menjejaskan sumber pendapatan kakitangannya yang rata-rata sudah berkhidmat antara satu hingga lima tahun.
“Berdasarkan notis berkenaan, mereka sudah tidak dibenarkan bekerja bermula hari ini (semalam), walaupun ia situasi mengejutkan, namun arahan dikeluarkan kementerian, kita terpaksa akur,” katanya, yang tidak mahu dikenali.
Beliau berkata, daripada 247 pengawal keselamatan kendalian syarikatnya, sebahagian besar berkhidmat di bank, sementara sebilangan kecil di premis perniagaan dan kewangan lain seperti syarikat insurans.
Katanya, rata-rata mereka menerima purata gaji antara RM900 dan RM1,100 tidak termasuk elaun kerja lebih masa.
Ismail Sulaiman, 49, berkata, dia sama sekali tidak menyangka, impak insiden pembunuhan, pada 22 Oktober lalu yang dilakukan seorang pengawal keselamatan akan menjejaskan kehidupan pengawal- pengawal lain.
Dia menjadi pengawal sejak empat tahun lalu dan menganggap keputusan pergantungan yang dikenakan agak drastik hingga tidak memberi ruang kepadanya mencari sumber pendapatan lain.
“Entahlah, sebaik tahu perkara ni, fikiran saya kosong. Tak tahu apa nak buat selepas ini. Dalam keadaan ekonomi sekarang, bukan senang nakcari kerja. “Tambah pula harga barang naik, sekurang-kurangnya kerajaan berilah kami masa, takkanlah kerana seorang pengawal, nasib pengawal lain dipertaruhkan,” katanya.
Ismail berkata, meskipun bekerja dalam skop yang sama, namun mereka juga mengutuk sebarang jenayah yang dilakukan pengawal keselamatan.
Katanya, sebagai pengawal, setiap hari mereka mempertaruhkan diri lebih dari nyawa sendiri.
“Kami cuma minta sedikit ruang dan keprihatinan, lagipun bukan tidak ada insiden pengawal mati ketika bertugas sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi pengawal di syarikat itu, E Aquila, 50, buntu apabila memikirkan tanggungan keluarga yang perlu digalas sebaik sumber pendapatannya hilang.
Sepanjang dua tahun berkhidmat, wanita ini mengakui, selesa bekerja sebagai pengawal di sebuah bank di Jalan Yang Kalsom dan pendapatan yang diterima cukup untuk perbelanjaan tiga anaknya yang masih bersekolah.
“Saya sudah puas menangis tadi sebaik diberitahu perkara ini. Jika tiada perubahan (keputusan pergantungan lesen), terpaksa saya fikir alternatif kerja lain,” katanya.
Mohd Yunus Budin, 49, yang baru bekerja dengan syarikat itu sebagai pengawal selama sebulan pula terpaksa menempuhi alam pengangguran sekali lagi.
Katanya, keadaan itu sedikit sebanyak menggugat ekonomi keluarga, tambahan pula dia ada tiga anak yang masih bersekolah.
“Siapa yang tak sedih. Saya baru dapat kerja setelah menganggur beberapa bulan.
Sekarang terpaksa berehat lagi. Tak tahulah apa nak buat selepas ni,” katanya.

Pendatang ditahan tengah lalok


Gelang Patah: Peralatan menghisap tembakau dari Vietnam dikenali sebagai Liu Kai selain tembakau dipanggil Tok Lau antara dirampas Jabatan Imigresen Johor daripada seorang lelaki warga negara terbabit pada serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Gelang Patah, di sini, pada jam 1 pagi, semalam.

Ketika serbuan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu berada dalam keadaan khayal selepas menghisap tembakau menggunakan alat terbabit.


Lelaki itu juga gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah sebelum ditahan.

Ketua Penyelaras Ops Bersepadu 6P Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata, lelaki terbabit tidak menyedari kehadiran pihaknya sebaliknya menyangka individu menghampirinya rakan senegara.


“Berdasarkan pemerhatian terhadap lelaki terbabit, Tok Lau boleh membuatkan individu menghisapnya khayal.


“Manakala Liu Kai dipercayai dihasilkan sendiri lelaki terbabit menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) untuk menghisap tembakau itu,” katanya.

Masri berkata, pihaknya turut mengesan taktik warga Vietnam yang mengunci pintu bilik rumah sewa mereka itu dengan menggunakan mangga dari luar bagi mengaburi mata pihaknya.


“Kami mengumpil mangga berkenaan sebelum menemui dua pasangan warga Vietnam sedang bersembunyi di dalam bilik.

“Mereka mendakwa belum berkahwin dan hanya sekadar teman serumah,” katanya.

Raifal menyerupai M14 dirampas


Muar: Polis merampas sepucuk raifal menyerupai M14 yang sudah diubah suai serta dua senapang angin buatan sendiri selepas menyerbu sebuah bengkel membaiki motosikal di Jalan Haji Ahmad, Bakri, di sini, Selasa lalu.
Dalam serbuan pada jam 7 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga pemilik bengkel terbabit berusia 33 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Sahadan Jaafar berkata, suspek sedang tidur ketika ditahan.
“Selain senjata itu, kami turut menemui dadah jenis syabu seberat 0.6 gram milik suspek.

“Turut ditemui seunit komputer riba, lapan enjin motosikal serta beberapa komponen jentera berkenaan yang sudah dileraikan.

“Dadah serta senjata itu milik suspek dan kami masih menyiasat dari mana dia memperoleh raifal menyerupai M14 terbabit,” katanya.
Foto
SAHADAN (dua dari kiri) menunjukkan raifal yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah bengkel motosikal.
Menurut Sahadan, bengkel berkenaan dipercayai sudah beroperasi lebih enam bulan lalu. Katanya, siasatan turut mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala ujian air kencingnya juga didapati positif syabu.

“Suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 33 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1995 kerana memiliki barang curi.
“Berdasarkan dadah yang ditemui, kami turut menyiasat suspek mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 12 (2) akta yang sama,” katanya.

Dugaan selepas lawat ayah sakit

Dugaan selepas lawat ayah sakitSiti menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Seorang wanita trauma untuk menunggang motosikal selepas berdepan dengan detik cemas ketika diragut dan samun dalam kejadian berhampiran ladang Tai Tak, dekat sini, Jumaat lalu.

Mangsa, Siti Hadijah Sumiri, 25, mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM5,000 apabila motosikal, telefon bimbit serta semua dokumen pengenalan diri miliknya berjaya dilarikan penjenayah dalam kejadian itu.

Menurutnya, dia yang sememangnya jarang keluar pada waktu malam terkejut apabila didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal ketika dalam perjalanan pulang selepas melawat ayahnya yang sakit di Hospital Kota Tinggi (HKT).

“Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam dan jalan raya agak lengang. Pada awalnya saya perasan ada sebuah motosikal berhampiran lampu isyarat di simpang Kulai, namun saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Tetapi saya mula merasakan sesuatu mencurigakan apabila motosikal tersebut ditunggang dalam keadaan perlahan. Saya yang mahu sampai cepat ke rumah terus memotong kenderaan berkenaan, namun lelaki terbabit memotong saya kembali dan terus menghimpit
motosikal saya,” katanya, di sini semalam.

Siti berkata, dia terjatuh selepas dihimpit kenderaan suspek menyebabkan beg tangannya dirampas sebelum suspek cuba untuk mengambil kunci motosikal miliknya pula.

“Pada awalnya, lelaki terbabit gagal merampas kunci motosikal saya kerana kunci tersebut terjatuh. Oleh kerana saya menjerit meminta tolong, mereka panik dan terus melarikan diri.

“Saya ingatkan saya sudah selamat, namun tidak apabila mereka berpatah balik sebelum merampas kunci di tangan saya dan segera membawa lari motosikal saya.

Bagaimanapun, dia yang tinggal di rumah abangnya di Taman Sri Saujana, di sini, bersyukur kerana tidak diapa-apakan meskipun masih terkejut dengan kejadian terbabit.

Katanya, susulan daripada kejadian itu, dia membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.

“Meskipun masih bersedih dengan kejadian tersebut, saya amat berharap kejadian ini akan menjadi pengajaran buat wanita di luar sana agar lebih berhati-hati ketika membawa motosikal terutama pada waktu malam.

Anak gagal curi duit bapa

Anak gagal curi duit bapaSahadan menunjukkan wang yang dirampas daripada lelaki selepas gagal mencuri wang bapanya sendiri.

MUAR – Seorang lelaki membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya diragut di hadapan sebuah bank di sini dalam cubaannya untuk melarikan wang berjumlah RM20,000 milik bapanya, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, bagaimanapun tembelang lelaki berusia 21 tahun itu terbongkar selepas polis mendapati terdapat keraguan dalam laporan yang dibuatnya.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, lelaki itu membuat laporan polis mengatakan wang yang diletakkan dalam satu beg kecil diragut dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berhampiran bank berkenaan.

“Pengadu (lelaki) itu kemudiannya membuat laporan polis di balai berhampiran mendakwa kehilangan wang tunai  berkenaan.

“Namun siasatan yang dilakukan tidak menunjukkan sebarang petanda dia diragut dan mendapati ada unsur penipuan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Sahadan berkata, hasil soal siasat lelaki itu mengaku mereka cerita dirinya diragut dan dia sebenarnya diarahkan bapanya untuk memasukkan wang tunai itu ke dalam akaun bank hasil daripada jualan sawit.

“Lelaki yang bekerja dengan mangsa (bapa) itu mendapat kepercayaan bapanya dan diamanahkan untuk memasukkan wang di bank.

“Kita jumpa wang berjumlah RM10,000 pada suspek, manakala RM10,000 lagi disimpan di rumahnya,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 182 kanun keseksaan kerana membuat laporan palsu dan dia kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Jumpa mayat tertiarap di jeti


1 November 2013

KUALA DUNGUN - Misteri bau busuk berdekatan sebuah warung terjawab berikutan penemuan mayat, di sini, petang semalam.

Mayat ditemui seorang peniaga warung makan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun, kira-kira jam 4 petang, selepas terhidu bau busuk sebelum terpandang objek seperti manusia.

Peniaga terbabit yang enggan dikenali memaklumkan penemuan itu kepada sekumpulan nelayan yang berada berdekatan lalu mereka ke lokasi terbabit untuk melihat lebih dekat.

Mayat dalam keadaan tertiarap tanpa baju itu dipercayai lelaki Melayu dan selepas dibuat pengecaman mangsa dikenali sebagai Majlan Din, 51.

Kali terakhir mangsa dilihat orang ramai, lewat petang kelmarin berdekatan lokasi dia ditemui mati berhampiran stor penyimpanan air batu di kompleks pendaratan bot ikan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Semakan rekod lampau polis mendapati mangsa pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Jenazah mangsa yang beralamat di Jalan Delima, Dungun dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Lega terlepas hukuman gantung

Lega terlepas hukuman gantungAbd Halim@ Zaki bersama peguam belanya, Wan Zainuddin keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, semalam

KUALA TERENGGANU- Seorang warga Thailand menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, daripada tuduhan membunuh seorang pekerja ladang, warga Indonesia, tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, Abd Halim @ Zaki Idres, 52, dituduh membunuh seorang warga Indonesia dikenal sebagai Heri, di ladang kelapa sawit, Kampung Lubuk Panjang, Setiu, pada 25 Julai, lebih kurang jam 6 petang hingga 26 Julai 2012, kira-kira jam 12 tengah malam.

Dengan itu, dia yang diwakili peguam bela, Wan Zainuddin Wan Musa dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan seorang lelaki dipercayai warga Indonesia dibunuh dengan kejam apabila mayatnya dicampak ke dalam parit sedalam 2.4 meter dengan dua jarinya dipotong selain cedera di kepala, dahi, paha dan patah tangan kiri, dalam satu kejadian di ladang kelapa sawit, di Kampung Lubuk Panjang, Setiu.

Mayat mangsa dikenal sebagai Heri, yang hanya berseluar panjang ditemui dalam keadaan berulat di dalam parit, 70 meter dari lokasi jari hantu dan telunjuknya ditemui rakannya yang juga pengadu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.

Cari dadah jumpa wang palsu


29 Oktober 2013

BESUT - Polis Besut percaya berjaya melumpuhkan kegiatan pencetakan wang palsu membabitkan rampasan berjumlah RM42,200 dengan penahanan sepasang suami isteri dan seorang lelaki Sabtu lalu.

Dalam serbuan jam 8 malam itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai mekanik ditahan bersama isterinya berusia 28 tahun seorang peniaga kedai makan.
Seorang lagi rakan pasangan suami isteri itu, lelaki berusia 19 tahun turut ditahan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketiga-tiga suspek ditangkap dalam serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah selepas mendapat maklumat awam.

Menurutnya, pada awalnya polis mendapat maklumat terdapat aktiviti penyalahgunaan dadah di rumah tidak bernombor di Kampung Nangka dekat Kuala Besut itu.

“Ketika serbuan dilakukan didapati ketiga-tiga suspek berada di ruang tamu dan selepas pemeriksaan dibuat, polis menemui 40 biji dipercayai dadah jenis methamphetamine (pil kuda) yang disembunyikan di dalam satu kotak rokok di ruang tamu rumah itu.

“Pada masa sama polis turut menemui sejumlah wang kertas kesemuanya not RM100 dipercayai palsu juga diruang tamu rumah,” katanya.

Katanya, wang palsu yang dirampas ialah membabitkan 181 keping kertas bersaiz A4 bercetak depan dan belakang not RM100 dengan nombor siri sama, 26 keping kertas A4 bercetak depan sahaja, tiga keping  kertas A4 bercetak belakang sahaja dan dua keping not RM100 yang siap dipotong.

Semua wang kertas tersebut menggunakan nombor siri yang sama dan polis turut merampas tiga unit komputer termasuk dua unit komputer riba, seunit pencetak dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan wang palsu.

Menurut Kamaruddin lagi, pasangan suami isteri itu yang beralamat di Kedah dikatakan telah lama menetap di daerah ini, manakala remaja yang ditahannya beralamat di sebuah taman perumahan dekat Seberang Jertih.

Ujarnya, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki positif dadah jenis pil kuda, manakala suspek perempuan negatif dadah.

Kesemua mereka ditahan reman untuk membantu siasatan dan bagi kes wang palsu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan.

Kes dadah pula disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1957 dan 15(1) akta yang sama.

Gadis hilang ditemui selamat

Siti Zubaidah Zakaraya
Zarina (kanan) bersyukur Fatin (kiri) ditemui selamat.

SUNGAI PETANI - "Saya tak ingat apa-apa". Demikian luahan mangsa yang dilaporkan hilang, Fatin Afifah Mohd Fazli, 16, dari Flat Paya Nahu yang ditemui selamat malam Selasa lalu di sebuah rumah penduduk sekitar Kampung Permatang Gedong, dekat sini.

Fatin berkata, sebaik sahaja keluar dari tandas masjid (tempat dia singgah sebelum masuk ke sekolah), dia berasa pening lalu tidak mengingati apa-apa sehingga dibawa balik sebuah keluarga kerana melihat dirinya berada dalam keadaan kebingungan.

Menurutnya, keluarga itu menjaganya sepanjang dilaporkan hilang sebelum dijemput ibu saudara selepas keluarga terbabit melihat paparan menerusi akhbar Sinar Harian yang dibuat ibunya, Zarina Mohd Noor, 39, mengenai kehilangannya.

“Saya dibawa pulang ke rumah mereka dan dijaga keluarga itu sebelum dijemput ibu saudara pulang ke rumah,” katanya semalam.

Menurut Zarina, salah seorang ahli saudaranya menerima panggilan dari sebuah keluarga yang mengatakan Fatin Afifah berada bersama mereka sepanjang tempoh itu dan dijaga rapi.

“Sebaik sahaja menerima panggilan, ahli keluarga bergegas ke lokasi yang dimaksudkan sebelum menemui anak saya dalam keadaan selamat,” katanya.

Zarina berkata, laporan polis dan pemeriksaan perubatan sudah dilakukan bagaimanapun disahkan, tiada sebarang kecederaan.

Pada 29 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari disedari hilang setelah dimaklumkan rakan sekelas kepada abang sulung mangsa, dia tidak masuk ke kelas pada Ahad, 27 Oktober.

Fatin Afifah sebelum itu bersama abangnya, Mohd Amirul Mukhlis, 17, baru sahaja meletakkan motosikal di pekarangan masjid yang terletak di hadapan sekolah sebelum ke tandas masjid kerana sakit perut.

Semasa mahu pulang sekolah, Mohd Amirul dimaklumkan berhubung ketidakhadiran adiknya ke sekolah pada hari itu, sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai kehilangannya.

Zarina turut mengucapkan terima kasih kepada mana-mana pihak yang turut membantu keluarga itu sehingga anaknya ditemui selamat.

Bekas pegawai dipenjara seumur hidup

gariBEIJING - CHINA. Mahkamah China hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang bekas pegawai kerajaan atas kesalahan rasuah.

Bekas Timbalan Gabenor bagi provinsi Jilin, Tian Xueren disahkan bersalah kerana menerima rasuah lebih 19 juta yuan (RM9.8 juta).

“Sebagai seorang yang memegang jawatan awam, Tian mencari pendapatan yang menyalahi undang-undang... menerima wang dan hadiah secara haram dengan mengambil kesempatan atas kuasa dan statusnya.

“Tindakannya, itu sama seperti jenayah rasuah,” kata mahkamah di Beijing dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menyebut Tian membantu syarikat dan individu untuk mendapatkan pinjaman bank, kontrak dan promosi serta diberi rasuah antara tahun 1995 dan 2011.

Minyak kitar semula dikhuatiri ada lemak babi


2013/11/01
Mudah proses produk terpakai untuk masak daripada jadi bahan biodiesel

Kuala Lumpur: Proses menjernihkan minyak masak terpakai yang terlalu mudah dan murah mendorong pengusaha menukarkannya kepada minyak masak kitar semula berbanding biodiesel.
Dengan hanya menggunakan asam keping atau asam jawa, minyak masak terpakai yang hitam pekat bertukar lebih jernih dengan tekstur lebih ringan dalam beberapa minit saja.
Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai diproses semula termasuk alamat premis terbabit, supaya hubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat“ Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan

Pengeluar biodiesel berasaskan minyak masak terpakai, Jaafar Abdullah (gambar), berkata minyak masak terpakai terlebih dulu dimasak dengan asam keping selama beberapa saat pada suhu 60 hingga 70 darjah Celsius sehingga berbuih dan dibiarkan sejuk serta sisa di dalamnya mendap.

Katanya, bahagian permukaan minyak kemudian ditapis dengan sejenis karbon yang diaktifkan bagi mendapatkan minyak lebih jernih atau sekurang-kurangnya 60 peratus jernih.

“Minyak sudah jernih itu kemudian dicampur dengan minyak masak baru sebanyak 20 peratus, bergantung kepada jumlah minyak yang ditapis tadi,” katanya.

Sukar kesan lemak babi 
Beliau juga mendakwa agak sukar untuk mengesan lemak babi atau nama saintifiknya, Trans C161 dalam minyak masak kitar semula berbanding lemak haiwan lain selepas ia bercampur dengan minyak baru.

“Proses menjernihkan minyak masak juga boleh dilakukan dengan menggunakan bahan lain seperti kulit telur atau cengkerang. Bagi industri lebih besar, ia dijernihkan menggunakan sejenis serbuk dikenali sebagai ‘bleaching earth’ yang diperoleh dari China atau Thailand,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiada bukti menunjukkan minyak masak dalam paket adalah minyak masak kitar semula seperti didakwa, berdasarkan pemeriksaan ke atas 149 premis yang membungkus semula minyak masak.

Guna minyak masak jenama

Katanya, pemeriksaan ke atas 305 premis makanan pula didapati semua premis berkenaan menggunakan minyak masak yang mempunyai label atau jenama.

Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 iaitu mana-mana orang yang didapati mengimport, mengilang dan menjual minyak masak terpakai yang diproses semula boleh memudaratkan kesihatan.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai yang diproses semula termasuk alamat premis terbabit, supaya menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

Maklumat juga boleh disalurkan terus dengan menelefon 03-88833558 atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) iaitu http://fsq.moh.gov.my,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung minyak masak terpakai di pasaran yang memetik Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bahawa hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang sudah digunakan.

Konspirasi isteri jaga


Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan yang melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Setapak, di sini, semalam, dikatakan sudah merancang jenayah itu bersama seorang wanita, dipercayai isterinya sejak sebulan lalu.
Dalam kejadian jam 9.40 pagi semalam, pengawal keselamatan berusia 23 tahun itu melarikan 93 utas rantai emas pelbagai saiz bernilai lebih RM100,000 dalam tempoh dua minit dengan bersenjatakan pistol. 
Berdasarkan saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Siti, 20, yang bekerja di sebuah kios makanan berhampiran kedai emas itu, isteri suspek akan menemani suspek dari waktu pagi hingga habis tempoh bekerja sejak sebulan lalu. 

Menurutnya, dia juga pernah nampak suspek bersama isterinya yang dipercayai warga asing itu merakam gambar barang kemas yang dipamerkan di kedai itu, malah isterinya juga dilihat sering memerhati tindak-tanduk staf lain dan kamera litar tertutup (CCTV) yang berada dalam kedai.
Foto
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di kedai emas terbabit.

Katanya, ketika kejadian semalam, dia baru saja membuka kios dan nampak suspek keluar dari kedai emas itu dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya ingatkan dia sedang mengejar pencuri, tapi rupa-rupanya dia pencuri sebenar. Ketika melarikan diri dia memegang pistol di tangan kanan manakala menggenggam barang kemas di tangan kiri dan menggunakan laluan staf untuk melarikan diri,” katanya. 

Mengesahkan mengenai kelakuan mencurigakan suspek dan isterinya, pengurus cawangan kedai emas berkenaan, Robert Lourdusamy berkata, suspek baru saja mula bekerja di premis berkenaan sejak sebulan lalu dan sepanjang tempoh berkenaan, isterinya menjadi peneman setia kepada lelaki itu. 

Robert berkata, dia tidak pernah menghalang wanita itu datang ke kedai berikutan tidak pernah mengganggu hal kerja bagaimanapun selepas berlaku kejadian berkenaan, dia curiga dengan kehadiran wanita itu. 

Menceritakan kembali mengenai kejadian itu, Robert berkata, ketika itu dia bersama lapan pekerja termasuk suspek masuk ke dalam kedai kira-kira jam 9 pagi dan selepas menutup semua pintu, dia mengeluarkan barang kemas yang disimpan dalam peti simpanan dan letak di atas rak kaca. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjejaki suspek. 

Penjual sayur tauke dadah


Chukai: Siang berniaga sayur, malam berniaga dadah. Begitulah rutin harian sepasang suami isteri sejak awal tahun ini yang layak digelar saudagar dadah apabila hasil pengedaran dadah membolehkan mereka mampu mengumpul aset bernilai ratusan ribu ringgit.

Dalam tempoh 10 bulan terbabit dengan perniagaan dadah, pasangan berusia 30 dan 27 tahun dari Kampung Dusun Nyior, di sini, menjalani kehidupan mewah apabila hasil keuntungan yang diraih melalui jualan dadah, mereka mampu memiliki akaun simpanan sebanyak RM123,000 selain empat kenderaan iaitu Perodua Myvi, Perodua Viva, lori satu tan dan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR 1000cc yang dibeli dengan harga RM85,000.


Difahamkan, pasangan terbabit membeli motosikal berkenaan untuk digunakan bagi membawa masuk bekalan dadah yang diambil sendiri daripada pembekal di Lembah Klang selain yakin dengan cara itu, kegiatan dilakukan sukar dikesan pihak berkuasa.

Dengan menjadikan pekerja kapal kargo yang berlabuh di perairan pantai berhampiran Pelabuhan Kemaman sebagai sasaran, pasangan terbabit dikatakan mampu memperoleh ribuan ringgit setiap kali menghantar bekalan dadah kepada pekerja terbabit pada setiap malam.


Bagi mengelak kegiatan mereka dihidu polis, pasangan terbabit dikatakan menggaji orang suruhan bagi urusan penghantaran dilakukan menggunakan perkhidmatan bot sewa dikenali sebagai kuda laut yang beroperasi di pelabuhan berkenaan.


Bagaimanapun, lakonan pasangan yang berselindung di sebalik perniagaan sayur itu berakhir selepas kediaman mereka diserbu polis, pagi kelmarin.

Menurut sumber, serbuan terhadap rumah pasangan terbabit dilakukan melalui projek khas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman diketuai Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah selepas sebulan menjalankan risikan terhadap pasangan itu.


Katanya, dalam serbuan jam 10 pagi itu, pihaknya memberkas pasangan suami isteri terbabit dan merampas 48 peket syabu bernilai RM32,800 serta wang tunai RM9,470 yang disorok dalam sebuah peti besi berukuran 7.5 sentimeter lebar dan 20 sentimeter panjang.

“Ketika serbuan dilakukan, pasangan terbabit sedang asyik membungkus dadah dalam rumah berkenaan dan turut bersama mereka seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anak pasangan itu yang berusia lapan bulan,” katanya.


“Selain rampasan dadah dan wang tunai, polis turut menemui pelbagai peralatan seperti alat penimbang digital, plastik kecil, gunting dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah dalam beg berkenaan,” katanya.


Menurutnya, ujian air kencing mendapati pasangan terbabit tidak mengambil sebarang jenis dadah dan mereka ditahan selama seminggu bermula semalam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.


“Anak pasangan terbabit diserahkan kepada keluarga wanita berkenaan yang tinggal di Kampung Tengah, di sini, untuk penjagaan,” katanya.


Beliau berkata, polis percaya pasangan terbabit tidak memiliki rangkaian pengedaran dan bergerak secara sendiri selain menjadi peniaga sayur di Pasar Kemaman, di sini, bagi mengaburi mata polis.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap pasangan suami isteri terbabit.

Masak dalam bilik

Kuala Lumpur: “Saya hanya mampu menjerit memberitahu ada kebakaran sebaik terlihat api mula merebak ke dalam kediaman kami yang berpunca dari rumah sebelah didiami warga Indonesia dan terus berlari turun tanpa sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah,” kata Aishah Alang, 52, mangsa kebakaran kediaman Pangsapuri 16 tingkat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Kerinchi, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, enam unit kediaman paling atas pangsapuri berkenaan membabitkan 28 orang musnah selepas kebakaran dipercayai berpunca dari rumah disewa warga Indonesia yang dikatakan sedang memasak di dalam bilik mereka.
Menurut Aishah, sebelum kejadian, dia ada terlihat jirannya itu sedang memasak di dalam bilik mereka, namun pada mulanya tidak mengendahkannya kerana mereka memang selalu memasak di dalam bilik.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya terbau asap dari kediaman itu, malah tiba-tiba api turut merebak melalui siling bumbung kediaman saya menyebabkan saya menjerit dan menyuruh anak saya menghubungi suami yang sedang bersolat di surau di tingkat bawah.
Foto
ENAM rumah di tingkat atas pangsapuri PKNS Jalan Kerinchi terbakar dalam kejadian petang semalam.

“Malah, ketika itu keadaan menjadi kelam-kabut apabila semua jiran yang menyedari kebakaran termasuk warga Indonesia terbabit menyelamatkan diri. Saya juga tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah,” katanya yang gagal menahan sebak dan menangis selepas melihat kediaman yang diduduki puluhan tahun itu musnah terbakar.

Sementara itu, suaminya, Zamri Mohamad Tenang, 58, berkata, ketika kejadian dia baru lepas bersolat Asar di surau sebelum dihubungi anaknya memberitahu rumah mereka terbakar.

“Saya kemudian terus bergegas naik dan ketika itu lif masih berfungsi.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, api didapati sudah mula merebak dan saya terus memaklumkan kejadian itu kepada jiran lain agar mereka menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri itu berkata, kebakaran itu menyebabkan semua mereka tinggal sehelai sepinggang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 4.40 petang.

Menurutnya, sebanyak 13 jentera bomba dari lapan balai bomba dan penyelamat (BBP) dari Pantai, Seputeh, Hang Tuah, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Sri Hartamas, Bandar Tun Razak dan Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Jentera pertama dari BBP Seputeh tiba di tempat kejadian pada jam 4.57 petang dan mendapati enam unit kediaman pangsapuri sedang terbakar.

“Api berjaya dikawal dua jam kemudian. Setakat ini, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Tunggu masa nak cekup

Kuala Lumpur: Kedutaan Malaysia di Kemboja sudah mengenal pasti seorang ustaz di negara itu yang dikaitkan dengan pengutipan sumbangan dari rakyat Malaysia sebelum didakwa menggunakan wang itu untuk membina banglo ratusan ribu ringgit di perkampungan miskin dan terpencil di negara berkenaan.
Difahamkan, ustaz terbabit berada dalam pemantauan pihak berkuasa di Kemboja dan dijangka ditahan dalam tempoh terdekat untuk siasatan. 
Menteri Penasihat Kedutaan Malaysia di Kemboja Raja Saifful Ridzuan berkata, pihaknya memang mengenali ustaz itu yang sebelum ini pernah membawa rombongan warga Malaysia ke kedutaan kononnya mengenali individu tertentu di kedutaan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah memantau senario ‘tidak enak’ itu, malah sudah dihentikan selain tidak mahu ustaz itu bertindak sebagai ‘orang tengah’ seterusnya menjadikan ia sumber untuk mendapatkan wang daripada warga Malaysia yang mahu ke kedutaan.
Foto

“Malah, berdasarkan laporan Harian Metro sejak beberapa hari lalu, kami sudah mengenal pasti ustaz yang dimaksudkan dan dipercayai memang gemar menggunakan nama pegawai agensi agama di Malaysia untuk tujuan berkaitan.

120 orang selamat tren tergelincir

 2013/11/01
RAWANG: Seramai 120 penumpang yang menaiki tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter tiga gerabak cemas selepas ia tergelincir berhampiran Stesen Rawang di kilometer 354.88 jam 10.00 pagi tadi.

Bagaimanapun kesemua penumpang terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Pengurus Komunikasi Korporat KTM Berhad Siti Badariah Wan Hanafi berkata, perkhidmatan KTM Komuter dan ETS di Sektor Tengah mengalami gangguan ekoran insiden kegelinciran yang berlaku berhampiran Stesen Rawang di kilometer 354.88, pagi tadi.

Menurutnya, tren yang mengalami kegelinciran adalah tren KTM Komuter tiga gerabak yang membawa penumpang seramai 120 orang.


“Penumpang yang terselamat dipindahkan ke Stesen KTM Rawang menggunakan Tren Enam Gerabak dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.


“Insiden itu menyebabkan beberapa perkhidmatan KTM Berhad telah mengalami gangguan iaitu Perkhidmatan Komuter bagi laluan Rawang - Tanjung dan Tren ETS Silver KL Sentral-Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan media.

Siti Badariah berkata, semua penumpang akan menggunakan perkhidmatan bas dari Rawang–Serendah dan Serendah-Rawang sebelum menaiki tren ke destinasi masing-masing. Perkhidmatan bas shuttle ini disediakan secara percuma bagi pengguna laluan Rawang-Tanjung.

“Bagi Tren ETS Silver–KL Sentral-Ipoh perkhidmatan ini akan ditamatkan di stesen Rawang dan penumpang akan menaiki bas ke Stesen Serendah dan meneruskan perjalanan ke Ipoh menggunakan ETS.

“Penumpang boleh meminta pemulangan tambang penuh untuk perkhidmatan yang dibatalkan ataupun menukar semula tarikh perjalanan. Kerja-kerja membaik pulih landasan sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, KTM Berhad memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami. Maklumat lanjut, sila hubungi talian KTMB Care Line 1-300-88-5862.


Dua tetamu lemas dalam kebakaran

2013/11/01
BINTULU: Seorang lelaki tempatan dan wanita warga asing tetamu sebuah rumah tumpangan di Jalan Sri Dagang di sini, maut dipercayai lemas terhidu asap ketika cuba menyelamatkan diri apabila tingkat dua bangunan berkenaan terbakar dalam kejadian, pagi tadi.

Dalam kejadian jam kira-kira 5.20 pagi itu, api berpunca daripada salah satu bilik di tingkat dua rumah tumpangan itu sebelum merebak dan menyebabkan sembilan bilik di tingkat itu terbakar.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Madang Usat berkata, mayat lelaki berusia 20-an warga tempatan tanpa pengenalan diri ditemui terbaring depan pintu salah sebuah bilik dipercayai dalam cubaan keluar menyelamatkan diri.

Katanya, manakala mayat perempuan berusia 20-an tanpa identiti dipercayai warga asing ditemui di laluan bilik.


"Identiti kedua-dua mangsa masih belum diketahui dan pemilik rumah tumpangan terbabit tidak mempunyai rekod dua tetamu terbabit.


"Polis masih menyiasat identiti mereka dan mayat dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Nor Hisham Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.36 petang dengan 10 anggota bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran membabitkan 90 peratus di tingkat dua bangunan itu dengan enam mangsa berada di tingkat berkenaan.

"Api berjaya dikawal dari merebak ke tingkat satu dan dua bangunan.Empat mangsa berjaya diselamatkan, manakala dua mangsa ditemui mati di lokasi berasingan dipercayai cuba menyelamatkan diri.

"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7 pagi dan punca sebenar serta jumlah kerugian belum dapat dipastikan," katanya.


Menggigil lihat mayat disangka sampah

 2013/11/01
Shah Alam: “Saya menggigil apabila objek hitam yang disangkakan plastik sampah sebenarnya adalah mayat yang sudah kembung dan berulat,” kata seorang saksi yang menemui mayat seorang lelaki yang tersangkut di Sungai Klang berhampiran Seksyen 24, di sini, petang kelmarin.

Mangsa dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibuang ke Sungai Klang ditemui tersangkut di perangkap sampah sungai berkenaan kira-kira jam 4 petang sebelum dimaklumkan kepada polis.
Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, kebiasaannya dia akan ke Sungai Klang untuk memancing.

“Sebaik membaling mata kail saya ternampak objek hitam terapung-apung berhampiran longgokan sampah. Pada awalnya, saya tidak ambil peduli kerana sangkakan ia plastik sampah.


“Curiga dengan ‘objek’ itu, saya kemudian menghampiri tebing sebelum terhidu bau busuk yang meloyakan sebelum melihat tubuh manusia yang sudah kembung dan berulat,” katanya.


Penemuan mayat yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri turut menggemparkan penduduk kawasan perumahan berdekatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Ruslan Abdullah berkata, mayat lelaki terbabit ditemui tersangkut di tengah longgokan sampah.

“Hasil pemeriksaan awal, polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh berdasarkan keadaan belakang kepala yang berlubang serta mata diikat dengan pita hitam.

“Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat,” katanya.

360 dipenjara terbabit rasuah

 2013/11/01
Jakarta: Naib Presiden Indonesia Boediono berkata 360 orang rakyat negara itu dipenjara kerana rasuah sejak 2002.

Mereka termasuk anggopta Parlimen, pegawai polis, pegawai kerajaan, ahli bank, gabenor wilayah, hakim, datuk bandar dan usahawan.
“Banyak lagi kes rasuah masih disiasat,” katanya dalam ceramah mengenai “Transformasi Indonesia: Cabaran Urus Tadbir Baik dan Pembangunan Ekonomi di Universiti Oxford di United Kingdom semalam.

Beliau berkata, usaha menghapuskan rasuah kini menjadi agenda utama kerajaan.

Kajian secara konsisten menunjukkan orang awam menganggap rasuah musuh nombor satu negara.
Boediono berkata, mentaliti anti rasuah kini tersebar luas di institusi awam.

“Walaupun banyak usaha dilaksanakan masih banyak yang perlu dibuat untuk membasmi kegiatan itu,” katanya.

Indonesia berada di tempat ke-118 daripada 176 negara paling teruk dari segi amalan rasuah, meningkat dari tempat ke 100 sebelum ini.

Lelaki didakwa belasah adik


KANGAR: Seorang lelaki berusia 41 tahun terpaksa menahan kesakitan tangan kirinya yang patah kerana membelasah adik kandung perempuannya sebelum dia mengaku tidak bersalah kerana dengan sengaja mendatangkan kekerasan jenayah ke atas mangsa di Mahkamah Majistrer Kangar, di sini, hari ini.

Tertuduh, Abdul Rani Abu Bakar mengaku tidak bersalah selepas dituduh di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.


Tertuduh yang sempat melantik peguambelanya Zuhair Ahmad Zakuan di lokap mahkamah di sini itu minta dibicarakan.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan di hadapan Majistret Zuhair Rosli, Abdul Rani dituduh menggunakan kekerasan jenayah kepada Baizatul Shima Abu Bakar, 31, dengan tujuan hendak menyebabkan ketakutan kepada mangsa.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan kira-kira jam 11 pagi 6 September lalu di ruang dapur sebuah rumah di Kampung Kurung Tengar, di sini.

30 dibicara terbabit keganasan


KOTA KINABALU 1 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan selama 17 hari bermula 6 Januari depan untuk mendengar kes 30 individu yang didakwa terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Sabah.
Hakim Stephen Chung menetapkan 6 hingga 10, 15-17, dan 27-30 Januari serta 10 hingga 14 Februari bagi mendengar kes itu di Penjara Sabah yang diisytihar sebagai mahkamah terbuka.
Beliau turut menetapkan 15 Disember ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan dokumen dan fakta yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Mahkamah pada mulanya menetapkan tempoh 11 hari bermula 17 September lepas untuk mendengar kes itu namun menangguhkannya selepas menerima permohonan peguam yang memberitahu mereka memerlukan masa untuk meneliti pelbagai dokumen dan rakaman serta imej satelit berhubung kes berkenaan, yang diterima oleh mereka.
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, tempoh perbicaraan yang panjang adalah bagi memastikan prosiding berjalan lancar dengan sekurang-kurangnya 50 saksi akan dipanggil. - BERNAMA
"Bilangan saksi yang akan dipanggil mungkin bertambah, mungkin kurang. Pada masa yang sama kita juga harus membenarkan pihak pendakwaan menyoal balas dan harus diingat ada 30 saksi," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes itu.
Antara 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan antara 9 Februari dan 10 April ialah tiga penduduk tempatan termasuk seorang wanita, Norhaida Ibnahi, 46, kerana melindungi sekumpulan pengganas manakala Abd. Hadi Mawan, 49, dan Abdul Majil Jubin, 41, didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh 26 lagi rakyat Filipina termasuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menjadi anggota kumpulan pengganas dan melindungi sekumpulan pengganas. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131102/ma_02/30-dibicara-terbabit-keganasan#ixzz2jQpN2B7V
© Utusan Melayu (M) Bhd 

11 defendan lain tuntut RM128.5j


KUALA LUMPUR 1 Nov. - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf hari ini memfailkan saman terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan 11 yang lain untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM128.5 juta atas dakwaan melakukan pendakwaan salah dan berat sebelah terhadapnya.
Ramli, 61, selaku pihak plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui firma guaman, Tetuan Vin Partnership di Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam pernyataan tuntutan setebal 34 muka surat, Ramli menyatakan Abdul Gani mempunyai budi bicara untuk memulakan, mengendalikan dan memberhentikan sebarang prosiding undang-undang serta mempunyai kawalan ke atas kesemua pegawai bawahannya.
Selain Abdul Gani, Ramli menamakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan; dan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais sebagai defendan pertama hingga defendan keempat.
Yang turut disaman ialah Deputi Supritendan (DSP) Chew Kam Soon; Ketua Unit Siasatan SPRM, E. Sok One; tiga Pegawai Penyiasat SPRM iaitu, Saiful Ezral Ariffin, Azmi Ismail, Wan Abdul Rahman, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan kelima hingga ke-12.
Ramli menyifatkan pendakwaan terhadapnya antara 2006 dan 2007 oleh pihak defendan, berniat jahat dan tanpa sebab munasabah mendakwa beliau atas beberapa pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini dan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.
Akibatnya, dakwa Ramli, reputasi, watak dan kerjayanya telah terjejas dan mengalami kerugian serta kerosakan.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas RM1.5 juta, ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlah, ganti rugi punitif RM50 juta, ganti rugi teruk RM50 juta dan ganti rugi RM27 juta serta memohon beberapa perintah lain.
Ramli sebelum ini pernah didakwa dan dibicarakan atas empat pertuduhan termasuk rasuah dan salah guna kuasa sewaktu memegang jawatan tersebut.
Bagaimanapun, pada 12 Mac 2010, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai lebih RM1 juta dan pemilikan saham.
Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 27 Julai tahun sama turut melepas dan membebaskan Ramli daripada tuduhan menyalah guna kuasanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131102/ma_01/11-defendan-lain-tuntut-RM1285j#ixzz2jQpDvZNg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas pensyarah didakwa terima rasuah


Wong Chee Wai
IPOH 31 Okt. - Seorang bekas pensyarah Institut Teknologi Perak (ITP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima tuduhan menerima rasuah RM1,130 daripada dua pelajarnya bagi membantu menaikkan markah penilaian subjek Matematik dan Statistik, dua tahun lalu.
Wong Chee Wai, 41, pensyarah di Jabatan Matematik dan Statistik di ITP sewaktu kejadian mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Tertuduh dari Taman Indah Jaya di sini didakwa menerima suapan wang tunai itu menerusi lima transaksi di antara 14 September 2011 dan 8 Februari 2012 di institut berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, Chee Wai didakwa menerima rasuah RM140 daripada seorang pelajar perempuan sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik IV bagi Semester I, sesi 2011/2012 di Perpustakaan ITP pada pukul 4.15 petang, 14 September 2011.
Dia turut didakwa menerima wang tunai RM140 daripada pelajar tersebut bagi tujuan sama di hadapan sebuah kelas di tingkat 3, Blok E, ITP pada pukul 3 petang, 12 Oktober 2011.
Pertuduhan ketiga pula menyebut bahawa Chee Wai dituduh menerima suapan RM250 sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Statistik oleh seorang pelajar lelaki yang mengulang mata pelajaran itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada pukul 4 petang, 10 Oktober 2011.
Dia turut dituduh menerima suapan wang tunai RM300 daripada pelajar sama sebagai dorongan menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik III untuk Semester II, sesi 2011/2012 di dalam sebuah kelas di tingkat 3A, ITP pada pukul 10.30 pagi, 3 Februari 2012.
Bagi pertuduhan kelima, Chee Wai dituduh menerima suapan RM300 daripada pelajar berkenaan bagi tujuan sama di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada pukul 2 petang, 8 Februari tahun lalu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM27,000 dan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 4 Disember ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela, M. Kathan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131101/ma_01/Bekas-pensyarah-didakwa-terima-rasuah#ixzz2jQoyd3ck
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pekerja Nepal ditemui mati tergantung di stor kilang


KUALA LUMPUR 1 Nov. - Seorang lelaki warga Nepal ditemui mati tergantung dengan kecederaan di bahagian kepala sebelah kanan di dalam sebuah stor kilang di USJ 1, Subang Jaya dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu, mayat Mohan Mohato, 25, ditemui tergantung pada rak besi dalam stor tersebut oleh penyelia kilang yang mencarinya apabila dia tidak kembali bertugas selepas tamat waktu rehat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Tan Ah Chua berkata, pihaknya percaya mangsa telah dibunuh berdasarkan kesan cedera di bahagian kepalanya.
"Polis percaya mangsa cedera akibat hentakan objek keras dan turut menemukan tompokan darah kira-kira 60 meter dari tempat mangsa tergantung.
"Kehilangan mangsa menjadi tanda tanya sehingga dia ditemui mati tergantung kerana mangsa bekerja syif malam dari pukul 5 petang hingga 5 pagi bersama seorang rakan senegara dan dua rakyat tempatan," katanya ketika dihubungi hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131101/je_15/Pekerja-Nepal-ditemui-mati-tergantung-di-stor-kilang#ixzz2jQoJiMBu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua lelaki ditahan miliki 10kg daun ketum di Nusajaya


JOHOR BAHRU 1 Nov. - Polis menahan dua lelaki dan merampas sebuah kotak berisi daun ketum seberat 10 kilogram (kg) dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Nusantara, Gelang Patah, di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Noor Hashim Mohamad berkata, dua lelaki berusia 30 dan 44 tahun yang bekerja sebagai juruwang dan penyelia di sebuah kilang di Singapura itu ditahan ketika sedang memasukkan kotak itu ke dalam tempat simpanan barang sebuah kereta pukul 2.50 petang.
"Hasil pemeriksaan di dalam kotak tersebut, polis menjumpai beberapa ikat daun ketum seberat lebih kurang 10kg. Pihak polis kemudian menahan dua lelaki berkenaan.
"Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua lelaki itu mendapat bekalan daripada rakan mereka yang berada di Kedah dan dihantar melalui perkhidmatan kurier ke alamat premis perniagaan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, harga pasaran bagi daun ketum adalalah RM25kg, manakala airnya dijual dengan harga antara RM2 hingga RM3 bagi 500 mililiter dan dipercayai mendapat permintaan daripada individu yang berasal dari utara tanah air.
"Satu kilogram daun ketum mampu menghasilkan 50 hingga 60 liter air ketum dan minuman itu sering digunakan untuk memulihkan tenaga dan khayal.
"Air ketum juga sering dicampur dengan bahan lain seperti ubat nyamuk, minuman isotonik dan minuman bergas," katanya.
Noor Hashim berkata, tangkapan itu merupakan yang pertama di daerah Nusajaya dan merupakan kes terpencil.
Bagaimanapun, pihaknya akan memantau kegiatan pengedaran air ketum dari semasa ke semasa dan kedua-dua lelaki itu kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta racun 1952. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131101/je_14/Dua-lelaki-ditahan-miliki-10kg-daun-ketum-di-Nusajaya#ixzz2jQnygqte
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lagi pengawal merompak - KPN


Khalid Abu Bakar melawat Mohd. Fathi Sudin, anggota PVR yang cedera semasa bertugas akibat motosikalnya ditendang penjenayah di Wad Separa Kritikal, di Hospital Kuala Lumpur, semalam. - Ihsan Sinchew
KUALA LUMPUR 31 Okt. - Belum pun reda kes membabitkan pengawal keselamatan yang membunuh seorang pegawai bank, hari ini berlaku satu rompakan di kedai emas di sebuah pusat beli belah di Danau Kota, Setapak yang dilakukan oleh pengawal keselamatan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, seorang pengawal keselamatan berusia 23 tahun bertindak mengacu pistol digunakannya kepada pengurus kedai dan enam pekerja lain yang sedang menyusun barang kemas dalam cermin pameran.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiada tembakan dilepaskan dan tiada mangsa yang cedera.
Khalid memberitahu, siasatan awal pihaknya mendapati suspek baru sebulan bertugas di kedai emas itu dan bekerja dengan syarikat keselamatan selama dua bulan.
"Rompakan itu berlaku dalam tempoh tidak sampai 10 minit. Suspek melarikan satu dulang mengandungi kira-kira 100 utas rantai emas selepas mengacu pistol kepada pengurus dan pekerja kedai.
"Polis masih menyiasat latar belakang suspek, rekod lampau dan meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) sekiranya dia melarikan diri dengan individu lain.
"Jumlah kerugian belum dapat ditaksirkan dan kita juga sedang mendapatkan pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara berhubung ketulenan kad pengenalan milik suspek yang berasal dari Keningau, Sabah,'' katanya.
Beliau ditemui selepas melawat Mohd. Fathi Sudin, anggota pasukan polis sukarelawan (PVR) yang cedera semasa bertugas akibat motosikalnya ditendang penjenayah di Wad Separa Kritikal, Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Pada 23 Oktober lalu, pegawai operasi AmBank, Allahyarham Norazita Abu Talib, 37, maut akibat ditembak seorang pengawal keselamatan ketika membuka pintu bilik kebal cawangan bank itu di USJ Sentral, Subang Jaya.
Khalid juga tidak menolak kemungkinan suspek kes rompakan hari ini meniru idea jenayah yang dilakukan di Subang Jaya
"Siapa pun suspek, rakyat tempatan atau warga asing yang melakukan jenayah, polis sudah ada prosedur untuk mengesan mereka.
"Cuma dalam kes membabitkan pengawal keselamatan yang memiliki senjata api, kita seru semua syarikat keselamatan mengaudit semula data-data pekerja mereka dengan lebih teliti," katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengaitkan kedua-dua kes tersebut seumpama pelanduk selalu melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.
Mengulas insiden melibatkan anggota PVR itu, beliau memberitahu, ketika kejadian, Mohd. Fathi dan rakan setugas sedang menjalankan rondaan di Ayer Panas, Setapak dan mereka ternampak kelibat seorang lelaki yang mencurigakan.
"Suspek bertindak melarikan diri dan menunggang di laluan bertentangan. Mohd. Fathi yang berjaya mengekori motosikal suspek telah ditendang hingga menyebabkannya terjatuh.
"Seorang lagi anggota PVR juga cuba menahannya sehingga berlaku pergelutan. Ketika ditolak suspek, anggota tidak sengaja terlepas satu tembakan mengenai pipi suspek," katanya.
Tambah Khalid, kejadian itu bermula di Ayer Panas sehingga ke Jalan Genting Klang. Suspek berusia 31 tahun yang cedera kini dilaporkan stabil.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131101/je_01/Lagi-pengawal-merompak---KPN#ixzz2jQngkaD5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa 6.6 di Taiwan


1 November 2013

TAIWAN - Satu gempa bumi menggegarkan timur Taiwan, malam semalam.

Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa bumi bermagnitud 6.6 itu menggegarkan beberapa bangunan di bandar tersebut namun tidak menyebabkan kecederaan atau kematian.

“Ia berlaku di kawasan pergunungan kira-kira 28 kilometer tenggara pantai Hualian pada kedalaman 5.8 kilometer,” menurut laporan itu, dipetik oleh AP.

4 penjenayah bertopeng cuba pecahkan ATM dicekup


SHAH ALAM 1 Nov. - Tindakan pantas polis berjaya mematahkan cubaan sekumpulan empat penjenayah bertopeng memecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dalam sebuah pasar raya di Pasir Penambang, Kuala Selangor dekat sini awal pagi ini.
Kesemua lelaki tempatan berusia 23 hingga 27 tahun itu menerima padah apabila dicekup oleh pihak polis kira-kira pukul 4 pagi ketika mereka sedang cuba membawa masuk dua tong gas Oxy yang dipercayai mahu digunakan untuk memecah mesin ATM melalui bumbung pasar raya berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sebelum ditangkap, polis menerima laporan berhubung rompakan itu daripada orang awam pada pukul 3.55 pagi dan dua kereta peronda dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, setiba di situ, seorang suspek yang berada di luar pasar raya sedang menaikkan dua tong gas Oxy ke atas bumbung menggunakan kain cadar yang disambung dengan bantuan seorang rakannya yang berada di atas bumbung.
"Dua lagi suspek sedia menunggu di dalam premis terbabit untuk mengambil peralatan memecah mesin ATM itu namun dengan tindakan pantas polis, kesemua suspek berjaya ditahan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Taib Ahmad.
Mohd. Shukri berkata, bersama suspek, pihaknya merampas tong gas Oxy, topeng muka, kuku kambing, kain cadar, tong penyembur cat dan pemutar skru.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati tiga mesin ATM yang ditempatkan dalam pasar raya itu berada dalam keadaan baik kerana kumpulan penjenayah itu tidak sempat memecah mesin tersebut.
"Siasatan awal percaya beberapa suspek memanjat batang paip belakang pasar raya untuk masuk ke dalam premis melalui bumbung," katanya.
Tambah beliau, polis masih melakukan siasatan lanjut ke atas kesemua suspek berkaitan penglibatan mereka dalam kes-kes jenayah lain.
Kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131101/je_09/4-penjenayah-bertopeng-cuba-pecahkan-ATM-dicekup#ixzz2jQnQRPlz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis giat kesan dua warga Afrika terlibat kes gaduh


SEREMBAN 1 Nov. - Polis kini sedang mengenal pasti dua lelaki warga Afrika yang terlibat dalam kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar Sudan semalam di Bandar Baru Nilai dekat sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Yusof Awang, setakat ini pihaknya telah memperolehi rakaman video sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti identiti suspek yang terlibat dalam insiden pergaduhan berkenaan.
"Berdasarkan maklumat yang kita difahamkan telah berlaku perang mulut diantara suspek dan mangsa di sebuah kedai serbaneka di Kompleks Sukan Airport, Nilai dekat sini sebelum salah seorang suspek bertindak memukul mangsa dengan botol arak.
"Bagaimanpun kita sedang mengesan wajah suspek yang terlibat dalam insiden berkenaan dan kita akan menyebarkan gambar suspek selepas pengimejan wajah suspek dapat dilakukan menerusi CCTV yang kita perolehi dari sebuah kedai serbaneka,'' katanya.
Semalam seorang pelajar warga Sudan meninggal dunia hari ini selepas enam hari koma dipercayai akibat dipukul oleh dua lelaki Afrika di Bandar Baru Nilai dekat sini Sabtu lalu.
Mangsa, Alaeldin Alfatih, 20, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi ketika mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini akibat cedera parah di kepala.
Alaedin yang menuntut di sebuah kolej swasta di Nilai dikejarkan ke hospital pada pagi Sabtu lalu selepas dijumpai tidak sedarkan diri oleh rakan-rakannya selepas dikatakan dipukul dengan botol arak oleh dua lelaki Afrika yang tidak dikenali ketika berjalan kaki berhampiran kolejnya kira-kira pukul 4.30 pagi.
Jelas Mohd. Yusof, pihaknya juga sedang mendapatkan maklumat lanjut dari rakan mangsa mengenai identiti penyerang mangsa dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan oleh pihak polis.
"Jenazah mangsa telah dibawa pulang oleh keluarganya dan pihak polis masih mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131101/je_10/Polis-giat-kesan-dua-warga-Afrika-terlibat-kes-gaduh#ixzz2jQn9sU6L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pekebun haram bawa bencana


KEADAAN bukit yang gondol akibat diterokai untuk tujuan pertanian di Brinchang, Cameron Highlands.


CAMERON HIGHLANDS - Kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam, Cameron Highlands yang mengorbankan empat nyawa pada 23 Oktober lalu merupakan petanda awal pusat peranginan terkenal itu kini menjadi bom jangka untuk berlakunya bencana alam besar-besaran.
Kerakusan pekebun haram menarah kawasan itu sesuka hati untuk dijadikan kebun sayur komersial tanpa memikirkan impaknya kepada alam sekitar mula membawa padah.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan berkata, lebih mengejutkan, daripada sejumlah lebih 4,000 buah kawasan kebun sayur di tanah tinggi negeri Pahang itu, separuh daripadanya diteroka secara haram.
Dalam satu pertemuan eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini, beliau mendedahkan senario menggerunkan dengan membuat dakwaan berlaku 200 tan tanah terhakis di Cameron Highlands bagi setiap hektar dalam setahun.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2jKveOYk6 
Hakcipta terpelihara 

Orang Minyak buat pusingan U


RAUB - Seorang perogol bersiri yang sedang menjalani hukuman penjara 133 tahun dan sebatan 50 kali menukar pengakuan kepada tidak bersalah terhadap dakwaan merompak dan merogol isteri seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah Bentong hujung tahun lalu.
Rabidin Satir, 42, sepatutnya dijatuhi hukuman pada prosiding di Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dia mengaku salah atas tiga pertuduhan itu ketika didakwa kali pertama 7 Oktober lalu.
Tertuduh yang dikenali sebagai Orang Minyak dan Rambo Bentong itu bagaimanapun menukar fikiran semasa pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Shahrizat Ismail.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2jKunMcsn 
Hakcipta terpelihara 

Anggota TLDM direman 7 hari


ACP Jaafar Baba (kiri) bersama pegawai penyiasat, Ahmad Hisyam menunjukkan gambar mangsa, seorang wanita yang mati ditikam di Apartmen Taman Bukit Permata, Manjung kelmarin dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Polis Manjung, Perak, semalam.
LUMUT 1 Nov. - Polis menahan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang ditemui mati dengan kesan tikaman di dada di Apartmen Bukit Permata di sini semalam.
Anggota berusia 27 tahun itu dipercayai teman lelaki kepada wanita berkenaan, Nariza Mustapha, 32.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
"Lelaki itu ditahan selepas dia menghantar mangsa ke Hospital Seri Manjung semalam. Dia ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 November ini bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jaafar berkata, kejadian dipercayai berlaku pagi semalam selepas mangsa ditemui terbaring di kediamannya di apartmen berkenaan dalam keadaan berlumuran darah oleh lelaki berkenaan.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan serius berikutan luka tikaman.
"Selepas proses pengecaman mayat oleh waris wanita berkenaan, jenazahnya dibawa oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Rantau Panjang, Kelantan semalam," katanya.
Menurut beliau, wanita berkenaan mempunyai dua orang anak iaitu seorang lelaki dan perempuan.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Asisten Supritendan Ahmad Hisyam Mohamad Sani di talian 019-5753207 bagi membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131102/je_02/Anggota-TLDM-direman-7-hari#ixzz2jQlYBfvP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki didakwa bunuh abang ipar


Khairul Nordin diiringi tiga anggota polis di Mahkamah Majistret Jasin semalam bagi menghadapi tuduhan membunuh abang iparnya.
JASIN 31 Okt. - Seorang lelaki yang melarikan diri sejak setahun lalu setelah menikam abang iparnya hingga mati selepas ditegur kerana sering memukul isterinya, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh mangsa pada hari raya keempat Aidilfitri tahun lepas.
Khairul Nordin, 42, bekas pemandu di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya dituduh membunuh Abdul Rashid Ahmad, 48, di halaman sebuah rumah di Kampung Serkam Pantai, Merlimau kira-kira pukul 8 malam, 22 Ogos tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Badariah Yusof mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa.
Khairul didakwa di mahkamah setelah berjaya ditangkap pada 18 Oktober lalu di Seremban, Negeri Sembilan.
Majistret Siti Suriatey Mohamed Yusoff menetapkan sebutan semula kes pada 2 Disember ini.
Dalam kejadian 22 Ogos tahun lalu, Abdul Rashid yang bekerja sebagai jurukimpal telah menegur tertuduh kerana sering memukul isterinya.
Akibat teguran itu, adik iparnya itu menjadi marah lalu berlaku pergaduhan hingga menyebabkan tertuduh mengeluarkan sebilah pisau dan menikam Abdul Rashid hingga mati.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131101/ma_06/Lelaki-didakwa-bunuh-abang-ipar#ixzz2jQl4Dzz3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Telan 36 kondom berisi dadah



SEORANG anggota polis menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas dalam operasi di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Trend terbaharu penyeludupan dadah Amerika Latin kini menyaksikan keldai dadah atau penghantar barangan haram itu menelan dadah yang diisi ke dalam kondom sebelum terbang ke negara destinasi.
Taktik itu terbongkar berikutan tindakan polis menahan seorang lelaki warga Bolivia yang disyaki cuba menyeludup dadah dengan menelan 36 ketul kondom mengandungi kokain cair di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam pemeriksaan pada pukul 9.30 pagi itu, polis menahan lelaki berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2jKuNcPIj 
Hakcipta terpelihara 

11 GRO warga asing dicekup ketika layan pelanggan di Melaka


MELAKA - Seramai 11 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dicekup oleh Jabatan Imigresen negeri dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini awal pagi semalam.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah dalam operasi kira-kira pukul 2.30 pagi.
Timbalan Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen negeri, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, pengunjung di pusat hiburan berkenaan tidak menyangka diserbu kerana kebiasaannya serbuan dilakukan sekitar pukul 12 tengah malam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2jKuFrAZ9 
Hakcipta terpelihara 

Pasar Chow Kit sarang tikus


KUALA LUMPUR - Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit di sini terpaksa ditutup selama tiga hari mulai Isnin ini bagi kerja-kerja pembersihan selepas ia didapati menjadi tempat pembiakan tikus.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau berharap para peniaga akur dengan keputusan untuk menutup pasar itu buat sementara waktu.
"Kajian telah dilakukan sebelum ini dan kita dapati ada pasar yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu dibersihkan kerana tahap kebersihannya kurang memuaskan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2jKu8Obrv 
Hakcipta terpelihara