London: Hampir 300,000 rumah berdepan gangguan bekalan elektrik di Britain dan Perancis semalam, manakala kereta api serta penerbangan dibatalkan apabila ribut St Jude, yang terburuk dalam tempoh sedekad, melanda Britain, Perancis dan Belanda, menyebabkan tiga orang terbunuh.

Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun meninggal dunia selepas pokok tumbang menimpa karavannya ketika mangsa sedang tidur di Hever, tenggara England dan lelaki berusia 50-an mati apabila pokok menimpa keretanya di Watford, utara England, kata polis.
Di Amsterdam, seorang wanita yang sedang berjalan maut apabila ditimpa pokok tumbang.


Keadaan laut yang bergelora memaksa pasukan penyelamat menghentikan usaha mencari budak lelaki berusia 14 tahun yang dihanyutkan ke laut di selatan England kelmarin.

Terperangkap dalam feri

Lebih 450 orang terperangkap selama beberapa jam di atas dua feri di luar pelabuhan Dover selepas ia ditutup kepada laluan laut, apabila ombak besar melanda pantai kedua-dua Channel.

Pusat cuaca kebangsaan di London melaporkan angin bertiup dengan kelajuan 159 kilometer sejam di Isle of Wright di pantai selatan negara itu.
Pada masa sama angin kencang selaju 128 kilometer sejam di tempat lain, menumbangkan pokok, manakala kren jatuh ke atas bumbung bangunan kerajaan di tengah London. Polis berkata, tiada yang cedera dalam kejadian itu.

Persatuan Rangkaian Tenaga melaporkan 220,000 rumah di seluruh Britain tidak mempunyai bekalan elektrik apabila tiang elektrik tumbang di seluruh negara.

Di utara Perancis, ribut menyebabkan bekalan elektrik ke 65,000 rumah terputus awal semalam, menurut rangkaian pengedaran ERDF, selepas angin kencang mencecah 139 kilometer sejam. Terdahulu, ERDF meramalkan 75,000 rumah terjejas.

Pengangkutan awam terjejas

Selatan England turut terjejas apabila pihak berkuasa membatalkan perkhidmatan kereta api membatalkan perkhidmatan di seluruh wilayah berkenaan.

Ramai pengguna menangguhkan perjalanan mereka, menyebabkan stesen di tengah London sunyi sepi ketika waktu puncak.

Sementara itu, Lapangan Terbang Heathrow membatalkan 130 penerbangan manakala kelewatan juga dilaporkan pada perkhidmatan tren Eurostar.

Lebih 30 anggota bomba dikerah ke tempat letupan gas di Hounslow, barat London, selepas pokok tumbang menyebabkan saluran gas utama pecah. Tiga rumah runtuh dan dua lagi rosak, kata bomba.

“Ia malam sukar kepada ramai penduduk London dan berterusan sehingga pagi,” kata Datuk Bandar London, Boris Johnson.

Katanya, perkhidmatan pengangkutan dan kecemasan bekerja keras untuk memastikan London terus hidup dan meminimumkan gangguan sebaik mungkin.

Ribut St Jude, pada awalnya diramalkan menjadi paling buruk dalam masa sedekad.
AFP