Search This Blog

Sunday, October 27, 2013

Wartawan China yang ditahan mengaku terima rasuah


BEIJING 26 Okt. - Seorang wartawan China yang ditahan kerana disyaki merosakkan reputasi perniagaan syarikat kerajaan, hari ini mengaku melalui stesen televisyen negara ini bahawa dia memberi maklumat tidak benar dan menghantar berita tidak tepat yang memfitnah sebuah syarikat kerajaan sebagai balasan kepada rasuah berjumlah 500,000 yuan (RM251,399).
Chen Yongzhou, seorang kakitangan akhbar New Express yang beribu pejabat di Guangzhou berkata, sifat tamak dan keinginan untuk menjadi masyhur mendorongnya mengambil rasuah dan menyiarkan berita yang tidak benar mendakwa berlaku salah laku kewangan membabitkan syarikat pembuat peralatan berat kedua terbesar China, Zoomlion.
Penahanan Chen mengemparkan kalangan pengamal media di China selepas bimbang polis melangkaui bidang kuasa undang-undang dalam jenayah pertikaian sivil.
Chen masih belum didakwa ketika polis masih menyiasat kes itu dan dalam imej oleh China Central Television, lelaki berusia 27 tahun itu dilihat digari dan memakai jaket hijau di pusat tahanan di bandar Changsha, ibu pejabat Zoomlion. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131026/lu_15/Wartawan-China-yang-ditahan-mengaku-terima-rasuah#ixzz2iw7feOQN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Beli kad pengenalan palsu RM200


KUALA LUMPUR 26 Okt. - Pengawal keselamatan warga asing yang kini diburu selepas menembak mati seorang pegawai operasi AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya Rabu lalu dikatakan membeli kad pengenalan palsu dengan hanya ratusan ringgit sahaja.
Kad pengenalan itu dibeli dengan harga antara RM200 hingga RM600 sekali gus membolehkan suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan selama setahun dan bertugas di beberapa buah bank di sekitar Lembah Klang.
Malah suspek menggunakan kad pengenalan palsu tersebut untuk melakukan jenayah termasuk perbuatan kejam menembak mati Allahyarham Norazita Abu Talib, 37, dari jarak dekat menggunakan senjata pump gun, Rabu lalu.
Bagaimanapun menurut sumber, identiti sebenar suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza dan mengikut kad pengenalan itu berasal dari Tawau, Sabah belum diketahui.
"Sejauh mana pembabitan suspek yang disifatkan penjenayah berbahaya ini masih disiasat pihak polis. Cuma kita yakin dia mendapat kad pengenalan palsu yang dibeli hanya ratusan ringgit.
"Identiti sebenar suspek juga kita sedang siasat. Jika kad pengenalan palsu itu menggunakan nama Ardi Hamza, mungkin nama sebenarnya lain," kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia namun enggan mendedahkan butiran lanjut di mana suspek membeli kad pengenalan palsu itu.
Dalam kejadian pukul 6.18 petang Rabu lalu, Norazita maut ditembak di muka sejurus selepas membuka sebuah peti besi berisi wang dan suspek melarikan wang berjumlah RM450,000.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua pengawal keselamatan dan isteri suspek, kesemuanya warga Indonesia yang dipercayai bersubahat dengan penjenayah kejam itu semalam.
Sementara itu, carian Mingguan Malaysia di laman myeg.com.my mendapati pengguna kad pengenalan bernombor 770818-12-6721 menggunakan nama Ardi Hamza mempunyai tiga rekod kesalahan jalan raya sejak Mei 2005 sehingga Jun tahun lalu.
Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak mempunyai lesen memandu, menggunakan lesen memandu yang tamat tempoh dan tiada insurans kenderaan.
Semua kesalahan itu dikesan dilakukan di Petaling Jaya, Klang dan Subang Jaya menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran BKE 5506.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131027/je_01/Beli-kad-pengenalan-palsu-RM200#ixzz2iw7P1wOk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis maut ketika tahan penunggang motosikal


JOHOR BAHRU 27 Okt. - Seorang anggota polis berpangkat konstabel maut selepas terjatuh daripada motosikal ketika cuba menahan seorang penunggang motosikal di Jalan Loo Hong Jung, Pandan di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Abdul Wahib Musa berkata, ketika kejadian pukul 2.15 pagi itu, mangsa, Jucille Juin, 23, bersama seorang lagi anggota sedang meronda di kawasan berkenaan apabila terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota tersebut cuba menahan suspek berusia 21 tahun yang enggan memberhentikan motosikal menyebabkan motosikal mangsa dan suspek bergesel sebelum mangsa terjatuh dan melanggar tiang lampu jalan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131027/je_08/Polis-maut-ketika-tahan-penunggang-motosikal#ixzz2iw7FdV4K
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anggota polis lepas tembakan terkena kanan-kanak digantung kerja


IPOH 27 Okt. - Anggota polis yang melepaskan tembakan secara tidak sengaja sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada kanak-kanak berusia 10 tahun di Kampung Belanja Kiri, Parit pada 14 Oktober lalu ditahan kerja sehingga perbicaraan kes tersebut selesai di mahkamah.
Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah mengeluarkan surat arahan tersebut pada Jumaat lalu dan surat itu dijangka diterima esok untuk diserahkan kepada kepada anggota polis berkenaan untuk dikuat kuasakan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131027/je_12/Anggota-polis-lepas-tembakan-terkena-kanan-kanak-digantung-kerja#ixzz2iw3Vwaap
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Banjir: Mangsa keempat diisytiharkan hilang


CAMERON HIHGLANDS 27 Okt. - Mangsa keempat yang masih belum ditemui dalam kejadian banjir kilat di Kampung Lembah Bertam pada Rabu lepas berikutan pelepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar di sini diisytiharkan hilang.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Supritendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Jarwati, 24, dikategorikan hilang setelah operasi serta gerakan mengesan mangsa yang disertai 340 anggota pasukan mencari dan menyelamat dihentikan pada tengah hari tadi.
Tambahnya, walaupun bilik operasi mencari dan menyelamat ditutup, tetapi pasukan mencari dikecilkan bilangannya akan diteruskan sehingga esok.
"Kita telah menjalankan usaha mencari dan menyelamat meliputi kawasan jarak pencarian sejauh 25 kilometer bermula dari tempat kejadian termasuk menggunakan pasukan penyelam, tetapi gagal menemui mangsa.
"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa tertimbus dalam tanah atau diselaputi lumpur dan sampah plastik di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131027/je_09/Banjir-Mangsa-keempat-diisytiharkan-hilang#ixzz2iw3MezQQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga asing maut ditikam, tetak di depan hentian bas

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Seorang warga asing mati dipercayai akibat ditikam dan ditetak menggunakan senjata tajam di hadapan perhentian bas di Kilometer 28.9 Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa yang belum lagi dikenal pasti identitinya ditemui orang awam yang melalui tempat itu kira-kira 9.30 malam.
"Lelaki itu ketika ditemui berada dalam keadaan parah dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, namun dia dilapor meninggal dunia di hospital," katanya kepada Bernama hari ini.
Arjunaidi berkata, pasukannya kini sedang berusaha untuk mengumpulkan bukti.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131027/je_11/Warga-asing-maut-ditikam-tetak-di-depan-hentian-bas#ixzz2iw3DiXZg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Agensi didakwa tipu 1,200 bakal jemaah umrah RM4.8 juta


KUALA LUMPUR 27 Okt. - Sebuah agensi pelancongan didakwa menipu kira-kira 1,200 bakal jemaah umrah dari seluruh negara, melibatkan kerugian RM4.8 juta selepas penerbangan mereka ditunda beberapa kali dan gagal menuntut kembali wang mereka.
Difahamkan, agensi pelancongan beribu pejabat di Wangsa Maju di sini gagal menguruskan penerbangan jemaah umrah dijadualkan pada Jun tahun ini walaupun bayaran penuh RM3,999 seorang dibuat sejak 2012.
Seorang daripada perunding kumpulan jemaah yang dilantik agensi itu, Qurratul 'Ain Hasman, 25, berkata, dia bersama-sama 54 jemaahnya hanya menyedari ditipu selepas jemaah yang dijadual berlepas pada Jun tahun ini terkandas atas alasan masalah dana dan visa.
"Pada mulanya saya dimaklumkan wakil agensi, terdapat masalah berkaitan dana tidak mencukupi yang seharusnya dibiayai syarikat korporat bagi menanggung RM1,500 setiap jemaah daripada harga sebenar pakej umrah iaitu RM5,500," katanya kepada pemberita ketika berhimpun bersama 100 mangsa lain di hadapan pejabat agensi itu di sini hari ini.
Bagaimanapun, mereka hampa selepas pejabat itu ditutup dengan notis yang tertera 'premis ditutup sementara' dan usaha menghubungi wakil agensi juga gagal.
Qurratul 'Ain mendakwa beliau difahamkan kira-kira 1,200 bakal jemaah termasuk di Sabah dan Sarawak mengambil pakej umrah agensi itu gagal menunaikan umrah mereka.
Beliau mendakwa pada 7 Jun lepas, ketua pegawai eksekutif agensi itu yang mengadakan perjumpaan dengan mereka, menawarkan dua pilihan sama ada meneruskan penerbangan yang dijanjikan pada Ogos dan September lepas atau mengambil wang yang dibayar 45 hari selepas tarikh cek dikeluarkan.
"Tetapi jemaah gagal menunaikan cek itu selepas dimaklumkan pihak bank akaun atas nama syarikat itu telah ditutup manakala jemaah yang dijanjikan penerbangan pada Ogos dan September sekali lagi berputih mata," katanya.
Sehubungan itu, katanya, dia bersama jemaahnya membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju pada 5 Oktober lepas.
Seorang lagi perunding bagi agensi itu yang dikenali sebagai Asmuni, juga kesal selepas gagal menunaikan hajat 27 jemaahnya dan hanya dimaklumkan pada saat akhir iaitu sehari sebelum berlepas ke tanah suci pada 6 Jun.
"Saya tuntut wang namun cek tendang yang diterima dan kerana rasa tertipu saya buat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna pada 1 Okt lepas," katanya yang menanggung kerugian kira-kira RM16,000 bagi menunaikan umrah bersama isteri dan dua anaknya.
Nasib yang sama turut menimpa Rohany Sulaiman, 55, yang menerima cek tendang selepas mendakwa membuat bayaran RM8,000 untuk mengerjakan umrah bersama-sama suaminya.
"Penerbangan saya sepatutnya berlepas 26 Ogos tapi dibatalkan. Saya dan suami juga telah buat suntikan vaksin di hospital swasta yang menelan kos beratus ringgit dan hajat untuk menunaikan umrah tidak kesampaian sedangkan segala persiapan telah dibuat," katanya kesal. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131027/je_14/Agensi-didakwa-tipu-1200-bakal-jemaah-umrah-RM48-juta#ixzz2iw2kJggj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis cari penyebar klip video


KUALA LUMPUR - Polis telah mengambil keterangan dua anggotanya dari Balai Polis USJ, Subang Jaya bagi membantu siasatan berhubung penyebaran klip video rakaman kes tembak mati seorang Pegawai Operasi AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Rabu lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan, keterangan kedua-dua anggota itu telah dirakam bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
"Kita juga akan menjalankan siasatan ke atas pekerja di bank itu bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan gambar mangsa mati ditembak di dalam bilik kebal," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Norazita Abu Talib, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan bank yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, selepas mangsa membuka pintu bilik kebal bank itu.

Dipukul sampai mati



SEORANG penduduk, G. Thayalan menunjukkan lokasi mayat Rajendran (gambar kecil) yang ditemui di sebuah ladang di Jempol kelmarin.


JEMPOL – Kedatangan seorang lelaki India ke negara ini untuk bekerja selepas bercuti beberapa hari lalu berakhir dengan tragedi apabila dia dibunuh selepas bergaduh dengan dua rakan sekerjanya dalam kejadian di Ladang Gaddes di sini kelmarin.
Mayat pekerja kilang, Rajendran Kumar Yadev, 40, yang mati akibat dipukul ditemui terbaring di tepi jalan oleh seorang penduduk pada pukul 10.43 malam. Polis masih menyiasat motif kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Tukiman Seriman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibunuh selepas datang ke ladang tersebut untuk berjumpa dengan dua rakan sekerjanya itu.
Katanya, ketika berjumpa, mangsa dikatakan telah bertengkar dengan dua suspek terlibat sebelum rakan sekerjanya itu bertindak memukulnya dengan objek tumpul.
“Ekoran itu mangsa mengalami kecederaan pada mata kiri dan kepalanya. Kita sedang giat mencari dua rakan sekerjanya berusia 18 dan 20 tahun yang telah menghilangkan diri selepas kejadian.
“Maklumat mengatakan mangsa telah bekerja selama 11 tahun di negara ini dan baru kembali bertugas selepas pulang bercuti ke negaranya beberapa hari lalu,” katanya di sini semalam.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat dan kes bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bunuh sebab dengar bisikan ghaib


GAMBAR fail menunjukkan suspek yang cedera digari sebelum dibawa ke HKL untuk rawatan akibat dibelasah orang ramai.


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mengamuk di dua buah stesen transit aliran ringan (LRT) Gombak dan Taman Melati di sini Khamis lalu didakwa telah mendengar suara ghaib yang mengarahkannya untuk membunuh.
Sumber berkata, penagih dadah berusia 26 tahun tersebut kini diletakkan di bawah pengawasan Unit Psikologi dan Kaunseling Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi memastikan tahap kesihatan mentalnya yang dikatakan mengalami gangguan.
Katanya, setakat ini siasatan kes sudah hampir 50 peratus dengan polis telah mengambil keterangan daripada ramai saksi bebas yang melihat kejadian itu di dua tempat berkenaan.
Bagaimanapun katanya, keterangan daripada suspek yang berasal dari Segamat, Johor itu masih belum direkodkan memandangkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian.
“Doktor di HKL mengesahkan kepada kita suspek merupakan seorang penagih dadah selepas ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya menunjukkan keputusan positif.
“Setakat ini, tidak banyak yang diketahui mengapa suspek bertindak demikian namun siasatan awal mendapati selain mengalami masalah mental, dia juga mendakwa sering mendengar suara ghaib yang menyuruhnya melakukan pembunuhan atas sebab-sebab yang belum dapat dipastikan lagi,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2ivwAsVJd 
Hakcipta terpelihara 

Gempa bumi Jepun cetus tsunami kecil

Gempa bumi Jepun cetus tsunami kecilGempa menyebabkan beberapa kawasan di timur Jepun terjejas.

TOKYO - JEPUN . Jabatan Kaji Selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, berlaku gempa bumi bermagnitud 7.3 menggegarkan pantai timur Jepun sehingga mencetuskan tsunami kecil.

Pegawai Agensi Meteorologikal Jepun berkata, gempa itu berlaku di luar pantai Honshu, 375 kilometer timur Fukushima.

Selepas gempa bumi itu, amaran tsunami dikeluarkan dalam lima wilayah timur namun dibatalkan kira-kira dua jam kemudian.

“Berlaku perubahan pada paras laut dengan ketinggian ombak mencecah 55 sentimeter. Nelayan dan pekerja di perairan diarah memberhentikan segala operasi sehingga diberi tahu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pengendali  loji kuasa nuklear Fukushima, Tokyo Electric Power Company (Tepco) melaporkan, tiada kerosakan atau kenaikan tahap radiasi di stesen berkenaan.

Jurucakapnya berkata, beberapa kakitangan diarahkan berpindah ke kawasan lebih tinggi selepas gempa tercetus.

Pada Mac 2011, gempa bumi  bermagnitud 9.0 berlaku hingga menyebabkan gempa susulan mengakibatkan 19,000 mangsa terbunuh, termasuk tumpahan radiasi di loji jana kuasa nuklear Fukushima Dai-Ichi. - AP

Ditangkap tipu empat mangsa


2013/10/27
Ipoh: Seorang wanita yang disyaki melakukan penipuan menerusi penjualan barangan berjenama bebas cukai dengan tawaran harga murah, ditahan di Taman Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan, selepas hampir setahun diburu.

Wanita berusia 47 tahun disyaki menipu empat mangsa di negeri ini sejak Januari lalu, yang membabitkan kerugian RM18,850, ditahan jam 2.30 petang, Khamis lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Maszely Minhad, berkata modus operandi suspek ialah menawarkan barangan bebas cukai seperti komputer riba, telefon pintar, barangan elektrik dan motosikal berkuasa tinggi menerusi panggilan telefon kepada mangsa.

“Suspek turut menawarkan lesen mengusahakan stesen minyak kepada mangsa dengan mendakwa mempunyai orang dalam di beberapa agensi tertentu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Tawar barangan bebas cukai

Antara mangsa ialah peniaga wanita berusia 44 tahun yang ditipu pada 29 Januari lalu, selepas dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Salina dan menawarkan barangan bebas cukai iaitu komputer riba dan i-Pad.

Mangsa yang setuju membeli barangan itu, memasukkan wang RM7,000 ke dalam akaun bank suspek tetapi wanita itu menghilangkan diri selepas dihubungi beberapa hari kemudian.
Perkara sama berlaku terhadap pekerja kilang berusia 26 tahun dari Kampung Cegar, Bidor, selepas ditawarkan barangan komputer riba, pencetak, Samsung Galaxy Tab dan televisyen dengan harga RM1,850, Jun lalu.

Dua lagi mangsa ditawarkan motosikal berkuasa tinggi pada harga serendah RM1,500, selain hanya perlu menambah bayaran cukai jalan bernilai RM3,600.

Suspek yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, mendakwa abangnya adalah pegawai pelesenan syarikat minyak terkemuka dan menawarkan untuk mendapatkan lesen stesen minyak kepada seorang anggota polis dengan harga RM4,900.

Suspek direman empat hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pelajar lelaki ditemui lemas di Tuaran, bapa hilang



KOTA KINABALU 27 Dis. - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemui lemas manakala bapanya masih hilang, dalam kejadian di pantai Kampung Lok Nunuk, Tuaran, dekat sini tengah hari tadi.
Mayat Dickly Mojinis, pelajar tingkatan tiga, ditemui pada pukul 3.25 petang tidak jauh dari lokasi dia dilapor tenggelam ketika mandi bersama-sama anggota keluarganya, kata Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Supritendan Abdul Fuad Abdul Malik.
Menurut Abdul Fuad, usaha mencari dan menyelamat bapa remaja itu, Mojinis Langkum, 40, masih diteruskan.
"Sehingga 5 petang ini, kita masih belum dapat mengesan mangsa yang turut dikhuatiri lemas," katanya.
Beliau berkata, bapa mangsa dilapor tenggelam ketika cuba menyelamatkan anaknya itu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131227/je_14/Pelajar-lelaki-ditemui-lemas-di-Tuaran-bapa-hilang#ixzz2opvyLYx0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anak rindu mendiang bapa gantung diri


Leszno (Poland): Seorang kanak-kanak sekolah membunuh diri kerana terlalu rindu untuk menemui mendiang bapanya.

Maria Kislo, 12, ditemui tergantung di biliknya oleh ibunya, Monika, 35 malam kelmarin ketika cuba membacakan buku cerita kepadanya sebelum tidur.


Di sebelah mayat Maria ialah nota ringkas yang berbunyi: “Ibu tersayang. Harap anda tidak sedih. Saya terlalu merindui bapa. Saya mahu menemuinya.” Bapanya, Arek meninggal dunia pada 2009 selepas diserang sakit jantung.

Monika, 35, berkata: “Saya kehilangan suami lima tahun lalu. Kali ini, anak saya pula pergi. Mujur saya ada anak lelaki. Jika tidak, saya pasti mengekori mereka.” -Agensi

Protes di Brazil bertukar ganas


SEORANG samseng memecahkan cermin sebuah terminal bas dalam tunjuk perasaan yang diadakan kelmarin.


SAO PAULO - Polis menembak gas pemedih mata dan menangkap sejumlah penunjuk perasaan di bandar raya ini kelmarin apabila satu perarakan menuntut pengangkutan percuma untuk pelajar bertukar ganas.
Sekumpulan pembuat kacau dengan sebahagiannya memakai penutup kepala hitam bertindak merosakkan beberapa Mesin Teler Automatik (ATM), membakar sebuah bas awam dan memusnahkan mesin-mesin jualan tiket tren bawah tanah.
Sebagai tindak balas, polis pencegah rusuhan yang membawa belantan dan perisai menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.
Menurut media tempatan, kira-kira 60 orang telah ditangkap dalam protes tersebut.
Polis bandar raya ini bagaimanapun memberitahu, angka tangkapan sebenar masih belum dapat dipastikan.
Protes tersebut menyebabkan beberapa jalan utama ditutup untuk seketika. Bantahan itu turut mengganggu sistem pengangkutan awam di bandar raya ini yang dihuni oleh 11 juta orang.
Brazil menjadi tumpuan antarabangsa ketika negara itu membuat persediaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia tahun depan dan temasya Olimpik Musim Panas pada tahun 2016.
Lebih sejuta penduduk mengadakan protes jalanan pada Jun lalu kerana berang dengan gejala rasuah dan pembaziran berjuta-juta dolar dalam menganjurkan dua acara sukan utama tersebut. - AFP