Search This Blog

Saturday, October 26, 2013

Unit penyelam bantu cari mangsa hilang dalam banjir


PASUKAN Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat dikerahkan bagi usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang akibat banjir kilat yang melanda awal pagi Rabu lalu di Lembah Bertam, Cameron Highland hari ini. - BERNAMA
CAMERON HIGHLANDS 26 Okt. - Usaha mencari dan menyelamat seorang warga Indonesia yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam di sini, diteruskan hari ini termasuk melibatkan sepasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pasukan yang terdiri daripada seorang pegawai dan empat anggota itu akan melakukan selaman di tiga kawasan iaitu di Empangan Salini, Jeram Kampung Manson ke Kampung Susu dan di Jeram Kampung Susu ke Kampung Salini.
"Pihak berkuasa turut memperluas kawasan mencari di empat zon sepanjang 20km menyusuri Sungai Bertam. Unit anjing pengesan dan jentera berat turut digunakan dalam usaha itu," katanya kepada pemberita mengenai usaha mencari dan menyelamat yang bermula 9 pagi ini.
Selain pasukan penyelam, ia turut melibatkan 11 pegawai dan 86 anggota keselamatan.
Wan Mohd Zahari berkata usaha mencari akan diteruskan sehingga 7 malam, jika tiada sebarang halangan seperti cuaca buruk.
Selain mangsa yang hilang, kejadian banjir lumpur yang berlaku kira-kira 1 pagi Rabu lalu itu, turut mengorbankan tiga nyawa selain memusnahkan puluhan rumah dan kenderaan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131026/je_08/Unit-penyelam-bantu-cari-mangsa-hilang-dalam-banjir#ixzz2iw7Vp4Sd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua askar Indonesia dipenjara

Dua askar Indonesia dipenjaraDua harimau dan sekor beruang yang diawet turut berada di mahkamah sebagai bahan bukti.

BANDA ACEH - INDONESIA . Dua askar menerima hukuman penjara selepas bersalah memiliki harimau Sumatera dan beruang  awet.

Mahkamah Tentera Indonesia menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan tiga bulan terhadap Joko Rianto dan Rawali.

Hakim Budi Purnomr berkata, seorang daripada askar itu didenda lima juta rupiah (RM1,700) manakala seorang lagi 2.5 juta rupiah (RM850).

“Mereka didapati bersalah memperlakukan haiwan terlindung seperti itu tanpa permit sah," katanya, dipetik dari laporan Jakarta Post.

Ketika pertuduhan dibaca, kehadiran mereka turut disertai harimau dan beruang yang telah diawet sebagai bahan bukti.

Tokong guna nama orang Islam

Tokong guna nama orang IslamGambar tokong yang dirakam penduduk di kawasan perindustrian Krubong.

KRUBONG - Kewujudan sebuah tokong di kawasan perindustrian Krubong di sini yang menggunakan nama orang Islam menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan masyarakat Islam di situ.

Menurut mereka, tokong itu wujud sejak kira-kira 30 tahun lalu, namun hanya menyedari ia menggunakan nama “Datuk Haji Jawi Shamsuddin” sejak dua minggu lalu.

Seorang penduduk, Sham Kamat, 47, berkata, dia tidak berniat untuk mencampuri aktiviti keagamaan kaum lain namun, tindakan pihak terbabit menggunakan nama orang Islam memang tidak boleh diterima.

Menurutnya, perkara itu perlu disiasat pihak berkuasa termasuk untuk mengetahui sebab mengapa mereka menggunakan nama orang Islam di tokong berkenaan.

“Kita tidak mahu mengganggu urusan atau aktiviti keagamaan kaum lain tetapi tindakan mereka menggunakan nama ini boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai.

“Memanglah hari ini kerajaan melaungkan slogan 1Malaysia tetapi janganlah sampai isu keagamaan pun hendak 'di 1Malaysiakan',” katanya, semalam.

Sham berkata, tokong berkenaan juga terletak hanya kira-kira 10 meter dari surau tempat pekerja kilang terbabit menunaikan solat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam (Jaim), Rahimin Bani ketika dihubungi berkata, penggunaan nama yang berkaitan Islam atau orang Islam seperti Datuk Haji Jawi Shamsuddin  tidak sepatutnya dilakukan oleh bukan Islam apatah lagi ia diletakkan di tokong.

“Perkara ini boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan masyarakat Islam. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai menghina Islam.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) diharap dapat menguatkuasakan garis panduan pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam,” katanya.

Beliau turut mengharapkan kerjasama semua pihak bagi memastikan Islam terus dimartabatkan di arus perdana seiring dengan peruntukan perlembagaan negara.

“Tindakan undang-undang juga akan dikuatkuasakan kepada pihak yang sengaja menimbulkan kegusaran dan  isu sensitif umat Islam,” katanya.

Orang utan diseksa dengan kejam


JAKARTA 25 Okt. - Seekor orang utan betina diseksa dengan kejam oleh penduduk sebuah kampung di barat Kalimantan, yang menangkapnya ketika ia cuba mencari makanan di situ, baru-baru ini.
Bersendirian tanpa air dan makanan, orang utan itu dibiarkan dan menjadi bahan hiburan pada waktu petang oleh penduduk kampung yang menambat haiwan tersebut pada sebatang tiang.
Bagaimanapun, nasib haiwan itu agak baik selepas seorang penduduk kampung yang bersimpati, menghubungi sebuah pertubuhan kebajikan Britain, Penyelamat Haiwan Antarabangsa yang kemudian menyelamatkannya.
Wakil pertubuhan itu, Argitoe Ranting berkata, dia menemui haiwan berkenaan diikat di bahagian pinggang di bahu jalan di Kampung Tempurkan, sebelum menghubungi pasukannya bagi menyelamat orang utan tersebut.
Mereka kemudiannya menggunakan ubat pelali dan memindahkannya ke sebuah pusat perlindungan.
''Orang utan itu diberi nama Ael- Saint dan akan dibebaskan semula ke kawasan selamat di hutan,'' katanya.
Sementara itu, Penyelamat Haiwan Antarabangsa menasihati penduduk kampung tersebut supaya tidak mengulangi perbuatan mereka kerana ia menyalahi undang-undang Indonesia.
Terdapat kira-kira 54,000 ekor orang utan di Borneo, manakala 6,000 lagi berada di Kepulauan Sumatera. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131026/lu_02/Orang-utan-diseksa-dengan-kejam#ixzz2iox140FZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Disamun 5 lelaki ala ninja

Disamun 5 lelaki ala ninjaMohd Nor dan Asma melakonkan semula keadaan semasa rumah mereka dimasuki lima lelaki berpakaian ala ninja.
JENGKA - Sembilan beranak terpaksa menempuh 30 minit dalam ketakutan apabila disamun lima lelaki berpakaian ala ninja dan bersenjatakan parang panjang di rumah mereka di Felda Jengka 10 dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, sembilan beranak tersebut dikejutkan dengan kehadiran lima lelaki memakai baju berlengan pendek, seluar pendek paras paha dan bertopeng muka ketika masing-masing sedang lena tidur.

Kesemua mangsa dikumpulkan dalam satu bilik termasuk tiga cucu dengan dua kembar berusia tiga tahun selain tiga daripada mereka adalah lelaki diikat.

Mangsa, Mohd Nor Ibrahim, 63, berkata, dia terjaga dari tidur apabila merasa sakit di perut akibat ditindih seorang lelaki bertopeng menggunakan bahagian lutut.

Menurutnya, dia diminta tidak bersuara oleh lelaki berkenaan yang turut menghunus sebilah parang ke leher sebelum seorang lelaki lain bertindak mengejutkan isterinya yang tidur bersebelahan.

“Sebaik buka mata, saya terkejut tengok ada orang di depan mata dan dia tekan lututnya ke perut saya, dan pada masa sama suruh saya diam.

“Parang panjang diletakkan di leher dan isteri saya yang tersedar juga tergamam apabila seorang lagi suspek letak parang di lehernya," katanya.

Menurutnya, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana berada dalam ketakutan selain bimbangkan keselamatan anak dan cucu di ruang tamu.
Isteri mangsa, Asma Ariffin, 61, berkata, ketika leher dihunus parang, lelaki terbabit bertindak ganas merentap dua utas gelang emas di tangan kirinya termasuk rantai emas dan sebentuk cincin.

Menurutnya, dia yang dalam ketakutan merayu kepada lelaki berkenaan agar tidak bertindak sedemikian kerana mahu memberi kerjasama menyerahkan barangan emas itu bagi mengelak dicederakan.

“Makcik merayu supaya tidak merentap dan makcik akan bagi dengan baik, tetapi lelaki itu tidak peduli sehingga tangan makcik sakit serta lebam.

“Tidak lama kemudian, tiga anak dan tiga cucu dibawa masuk ke dalam bilik kami oleh tiga lagi lelaki lain yang pakaian lebih kurang sama dan masing-masing meletakkan parang ke leher kami semua.

“Pada masa itu, tiada apa yang makcik ingat selain mati kerana jika ada yang bertindak luar jangkaan, parang di leher kami bila-bila masa sahaja boleh makan diri,” katanya.

Asma berkata, kebimbangan utama terhadap keselamatan cucu-cucunya menyebabkan mereka semua mengikut kata lima lelaki berkenaan agar berdiam diri walaupun menyedari terdapat beberapa motosikal melalui jalan hadapan rumah mereka pada waktu itu.

Menurutnya, dalam tempoh setengah jam di dalam bilik tersebut, tiga daripada lelaki terbabit menyelongkar kesemua bilik dalam rumah itu.

Mangsa kehilangan seutas rantai emas, dua gelang, sebentuk cincin, sepasang subang, enam telefon bimbit, sebuah komputer riba, empat jam tangan dan wang tunai RM500 dengan anggaran kerugian RM25,000.

Salah seorang daripada anak mangsa, Husaini, 43, cedera d bahagian kepala dan pinggang apabila dipukul oleh salah seorang lelaki berkenaan.

Mohd Nor berkata, anak kedua daripada lapan beradik itu yang secara kebetulan mahu ke tandas terserempak dengan lelaki terbabit di hadapan pintu bilik air di ruang dapur.

Menurutnya, Husaini yang terkejut dengan kehadiran lelaki berkenaan cuba memperbetulkan lipatan kain pelekat yang dipakai, namun tindakannya itu disalah erti apabila disangka seperti mahu menyerang balas.

“Lelaki itu ingat anak saya hendak melakukan sesuatu lalu memukul kepala Husaini dengan sebatang kayu selain di bahagian pinggang,” katanya.

Mohd Nor berkata, kelima lelaki yang dipercayai warganegara Indonesia berdasarkan cara percakapan dan berbau busuk itu memasuki rumahnya dengan memotong besi tingkap nako di bahagian dapur.

Mereka turut menghidupkan suis lampu di dalam rumah bagi mengelak keadaan mencurigakan.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka.

Perempuan simpanan tauke dadah

Perempuan simpanan tauke dadahIbu tunggal 23 tahun yang ditahan kerana disyaki memiliki pil kuda dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut.

DUNGUN - Bukan sahaja disisihkan masyarakat kerana terlibat najis dadah, malah lebih malang lagi apabila terpaksa menjadi perempuan simpanan tauke dadah bagi membolehkan dia mendapatkan wang untuk meneruskan kehidupan.

Pengalaman hitam itu dikongsi janda muda tiga anak, Ina (bukan nama sebenar), 23, yang ditahan polis di rumahnya dekat Paka, pagi kelmarin, kerana disyaki memiliki dadah.

Ina berkata, bagi membesarkan tiga anak berusia antara 3 hingga 8 tahun, dia terpaksa bekerja sebagai pelayan kedai makan dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari.

Katanya yang sudah dua kali gagal dalam rumah tangga, dengan pendapatan tidak seberapa itu, dia terpaksa membelanjakan sebahagiannya untuk keperluan anak-anak, manakala selebihnya disimpan untuk membeli bekalan dadah.

"Saya sedar ambil dadah salah di sisi undang-undang, namun mana-mana individu yang terjebak sama ada lelaki atau wanita, pasti sukar untuk meninggalkannya. Apatah lagi kami sering dihampiri pembekal.

"Saya sudah beberapa kali keluar masuk penjara, tapi keadaan tetap sama. Malah kadangkala bertambah buruk lagi apabila keluar penjara.

"Saya memang mahu keluar dari tempat ini agar tidak bertemu mereka lagi, tapi bagaimana nasib anak saya? Siapa nak menjaganya?” katanya.

Ina yang sudah beberapa kali menjalani rawatan di pusat pemulihan dan dipenjarakan kerana kesalahan dadah berkata, dia memang ada niat untuk meninggalkan amalan terkutuk itu, namun sebagai insan dangkal pengetahuan agama dan disisihkan keluarga, dia terpaksa melupakan hasrat murni itu kerana tiada sokongan.

Buat masa ini katanya, dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi untuk keluar daripada lembah hina itu walaupun sedar dalam keadaannya kini, tiada lelaki ingin memperisterikannya dengan cara baik, sebaliknya menghampirinya hanya untuk melepaskan nafsu.

“Dalam keadaan begini, ramai mencemuh saya, bukannya benar-benar ikhlas untuk membantu. Memang sudah nasib saya begini, saya reda. Tapi sampai bila saya harus begini? Ia takkan berakhir sampai bila-bila.

"Jika ada lelaki yang ikhlas, saya sanggup berkongsi kasih dengan menjadi isteri kedua atau ketiga. Asalkan saya dapat keluar daripada jalan terkutuk ini,” katanya.

Ina ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis methampethamine dalam straw yang difahamkan disembunyikan dalam coli dipakainya dan kini disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan tersebut.

Maut sebelum dapat daging


ORANG ramai berasak-asak untuk mendapatkan daging korban di Masjid Istiqlal, Jakarta baru-baru ini. - AGENSI
JAKARTA - Hasrat seorang warga emas untuk mendapatkan daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha lalu tidak kesampaian, apabila dia meninggal dunia sebelum sempat beratur untuk mendapatkan pembahagian daging tersebut yang berlangsung di Masjid Istiqlal, di sini.
Sukiyo, 74, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 4.30 pagi waktu tempatan, ketika pintu gerbang masjid tersebut dibuka kepada orang ramai yang mahu mendapatkan daging percuma sebanyak satu kilogram seorang.
''Kematian Sukiyo tiada kena mengena dengan kekecohan yang berlaku ketika pembahagian tersebut dijalankan.
''Mangsa terjatuh dan dihantar ke hospital sebelum didapati sudah meninggal dunia,'' kata Ketua Pesuruhjaya Polis Sawah Besar, Shinto Silitonga kepada Liputan6.com.
Sementara itu, anak Sukiyo iaitu Sigit, 27, berkata, bapanya menghidap penyakit darah tinggi dan sering mengadu kesakitan ekoran usianya yang sudah lanjut.
''Kami sudah berpesan kepada dia supaya tidak pergi ke masjid bagi mendapatkan daging korban,'' ujar Sigit.
Dalam perkembangan yang sama, lapan orang cedera, kesemuanya wanita selepas berlaku kekecohan ketika pembahagian daging korban dijalankan di masjid tersebut.
Mangsa mengalami kecederaan selepas dipijak oleh orang ramai yang berasak-asak ketika beratur dan kesemua mereka dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan, kata Pegawai Perhubungan Awam Hospital Cipto Mangunkusumo, Sulastin. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131026/lu_06/Maut-sebelum-dapat-daging#ixzz2iouyMm4b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Terkejut jumpa sampul berpeluru, nota ugutan

Terkejut jumpa sampul berpeluru, nota ugutanDua butir peluru jenis 9 mm THAI ARMS yang dijumpai di rumah yang didiami suspek di Solok York ketika serbuan, petang semalam.

GEORGETOWN - Seorang pekerja di sebuah kedai menjual jeruk terkedu selepas menjumpai sampul surat yang mengandungi sebutir peluru di hadapan kedai tempatnya bekerja.
Menurut sumber, pekerja berkenaan, Che Dan Mohd Shariff, 61, menjumpai sampul surat berwarna putih itu di hadapan kedai menjual jeruk yang terletak di Jalan Penang ketika sedang membuka pintu premis berkenaan untuk menjalankan perniagaan.

Difahamkan, mangsa menjumpai sampul surat itu kira-kira jam 8 pagi, semalam.

“Pada mulanya, mangsa tidak mengesyaki apa-apa ketika menjumpai sampul surat berkenaan dan menyangka ia ditinggalkan orang awam yang lalu lalang di hadapan premis itu. Bagaimanapun, setelah memegang sampul surat berkenaan, mangsa berasa tidak sedap hati apabila ada benda keras dalam sampul itu.

“Setelah memberanikan diri, mangsa membuka sampul surat itu dan mendapati kandungannya adalah sebutir peluru jenis SME 38 SPL bersama sekeping nota yang meminta wang sebanyak RM20,000,” katanya.

Sumber berkata, selain meminta wang, suspek turut mengugut  mangsa tidak membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan selain turut meninggalkan nombor telefonnya untuk dihubungi serta menulis 04 di akhir nota itu.

“Dengan apa yang ditulis, dipercayai nota berkenaan dikirimkan ahli kongsi gelap yang bertujuan untuk mengugut pemilik kedai jeruk berkenaan.

“Mangsa yang dalam ketakutan kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada majikannya. Bimbang perkara yang tidak diingini berlaku, pemilik kedai itu membuat laporan di Balai Polis Central, semalam,” katanya.

Difahamkan, dari keterangan pemilik kedai itu, dia yang berasal dari Batu Uban tidak pernah mempunyai masalah dengan mana-mana pihak sejak membuka perniagaannya itu pada 2009.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki ditahan ketika serbuan dibuat di sebuah rumah di Solok York, di sini, petang semalam.

Suspek yang berusia 43 tahun itu ditahan setelah polis mendapat maklumat rumah yang didiaminya menyimpan senjata api.

Ketika diserbu, suspek berada seorang diri di rumah berkenaan dan tidak melawan ketika polis menahannya.

Menurut sumber, polis menjumpai dua butir peluru jenis 9 mm THAI ARMS setelah menggeledah rumah suspek.

“Bagaimanapun, tiada senjata api ditemui dalam serbuan itu. Hasil semakan, suspek yang tidak bekerja itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk samun dan kesalahan dadah.

“Suspek juga pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat pada tahun 1992. Suspek kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Bunuh datuk, bom masjid, pelajar dipenjara 40 tahun


LONDON 26 Okt. - Seorang pelajar warga Ukraine dijatuhi hukuman penjara minimum 40 tahun oleh mahkamah Britain atas kesalahan membunuh datuknya yang merupakan penganut agama Islam dan meletakkan bom di tiga masjid.
Pavlo Lapshyn, 25, mengaku bersalah pada Isnin lalu atas tuduhan menikam datuknya, Mohammed Saleem, 82, sehingga mati ketika mangsa pulang dari masjid di bandar Birmingham pada April lalu.
Defendan turut mengaku bersalah meletakkan bom di tiga masjid di tiga bandar iaitu di Walsall, Wolverhampton serta Tipton pada Jun dan Julai lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131026/lu_12/Bunuh-datuk-bom-masjid-pelajar-dipenjara-40-tahun#ixzz2iooCXAnB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua pegawai tentera cedera ditembak askar simpanan


NASHVILLE, Tennessee 25 Okt. - Seorang anggota Pengawal Nasional, semalam menembak dua pegawai atasan di sebuah gudang senjata di luar kemudahan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Millington, di sini.
Ketua Polis Millington, Rita Stanback berkata, kedua-dua pegawai itu mengalami kecederaan di kaki.
Timbalan Ketua Turus Pengawal Nasional Tennessee, Mejar Jeneral Terry Haston berkata, anggota itu menembak seorang pegawai berpangkat sarjan mejar dan mejar ketika mereka berbincang tentang polisi dan prosedur pentadbiran.
Beliau berkata, suspek yang identiti masih belum diketahui, ditahan oleh kakitangan Pengawal Nasional sebelum polis tiba di tempat kejadian.
Laman web stesen televisyen tempatan, FOX13 melaporkan, suspek bertindak melepaskan tembakan tersebut selepas dia digantung tugas atas sebab yang tidak dinyatakan.
"Selepas menerima makluman dia digantung tugas, suspek pergi ke keretanya dan mengambil sepucuk pistol sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa dalam kejadian pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu,'' lapor FOX13.
Ketua Jabatan Bomba Millington, Gary Graves berkata, kejadian itu berlaku di dalam gudang senjata Pengawal Nasional berdekatan kemudahan Aktiviti Sokongan Pertengahan-Selatan Tentera Laut.
Tentera Laut AS berkata, kemudahan tersebut yang menguruskan rekod kakitangan ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga, namun arahan itu telah ditarik balik.
Kejadian itu berlaku kira-kira sebulan selepas seorang pekerja kontrak melepaskan tembakan di Limbungan Tentera Laut Washington pada 16 September lalu yang menyebabkan 12 orang maut. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131026/lu_03/Dua-pegawai-tentera-cedera-ditembak-askar-simpanan#ixzz2ioo4QJI9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis siasat kes video lucah pelajar


Jakarta: Polis di bandar raya ini semalam melancarkan siasatan terhadap beberapa orang berhubung rakaman video lucah di sebuah sekolah menengah rendah membabitkan dua pelajar.

Jurucakap polis berkata, setakat ini 17 orang sudah disoal.
“Mereka terdiri daripada 10 pelajar yang melihat kejadian itu dan merakamnya, empat kakitangan sekolah berkenaan- pengetua, timbalan pengetua, kaunselor dan seorang guru serta tiga pengawal keselamatan.

“Kami sudah menyoal mereka,” katanya.


Polis mula terbabit dalam kes berkenaan apabila ibu bapa pelajar perempuan dalam video itu yang dipercayai berusia sekitar 15 tahun membuat laporan mendakwa pelajar berkenaan dipujuk melakukan aksi lucah terhadap seorang lagi pelajar oleh rakan sekolah mereka yang mengancamnya dengan pisau.


Polis masih belum menyoal kedua-dua pelajar itu.

Rampas pil khayal RM150j

Bangkok: Pihak berkuasa Thai menahan tiga suspek dan merampas 5.3 juta pil methamphetamine bernilai lebih RM150 juta, yang terbesar pernah dilakukan sejak beberapa tahun lalu.
Kejayaan itu dicapai dalam serbuan di wilayah Petchabun kelmarin, diikuti dengan satu lagi serbuan awal semalam, yang turut menyaksikan dua anggota sindiket dadah itu ditahan. 
Pihak berkuasa berkata, dadah berkenaan berasal dari Myanmar dan diseludup ke timur laut Thailand menerusi Laos untuk dihantar kepada pelanggan di Bangkok dan beberapa wilayah berdekatan.

Menurut sumber polis, sindiket ini terdiri daripada beberapa penyeludup dadah dan mempunyai ramai ‘petugas’ serta memperoleh sokongan kewangan yang kuat. - AFP

Wanita mati dibakar jiran


Riyadh: Seorang lelaki Arab Saudi berusia 30-an ditahan selepas menyimbah minyak tanah ke arah jiran wanitanya sebelum membakar mangsa hidup-hidup.

Polis mengejarkan mangsa yang berusia 50-an itu ke hospital selepas cedera parah ekoran kejadian di bandar Sabya di selatan negara itu.


“Kami sudah menahan suspek yang menyerang wanita itu,” kata jurucakap polis Awal AlQahtani sebagaimana dipetik daripada akhbar Alhayat. “Mangsa memberitahu nama penyerang kepada anaknya dan polis sebelum dia meninggal dunia,” lapor akhbar itu. - Agensi

Remaja diliwat 5 lelaki termasuk rakan sendiri


Riyadh: Seorang remaja berusia 15 tahun menerima mesej pesanan ringkas daripada rakan sekolah yang mengajaknya menyaksikan pertunjukan lagak ngeri kereta diliwat lima lelaki termasuk rakannya itu.

Remaja lelaki itu yang mengikuti rakannya menaiki kereta tidak tahu dia sudah diperangkap.


Dia menyedari sesuatu yang tidak kena apabila rakannya membawanya ke kawasan padang pasir di luar Riyadh.

Apabila tiba di kawasan itu, remaja berkenaan bertambah sangsi kerana muncul empat lagi lelaki lain yang diundang oleh rakannya.


“Kelima-lima suspek bergilir-gilir meliwat mangsa. Selepas pulang, mangsa memaklumkan kepada bapanya mengenai apa yang berlaku sebelum mereka melaporkan kejadian kepada polis,” lapor sumber. Kelima-lima suspek yang ditahan bagaimanapun menafikan tuduhan remaja itu. Namun, laporan perubatan mengesahkan mangsa diliwat. - Agensi

Wanita jual dara 12 anak

Bogota: Seorang wanita Colombia ditahan kerana menjual dara 12 anak perempuannya, masing-masing dengan harga £125 (RM632).
Margarita de Jesus Zapata Moreno, 45, ditahan di Bogota awal minggu ini selepas seorang daripada anak perempuanya itu yang kini berusia 16 tahun hamil, kata polis.
Remaja itu berang selepas ibunya mengarahkan dia menggugurkan kandungannya.
Seorang lelaki dikenali sebagai Tito Cornelio Daza, 51, yang dilaporkan bapa kepada bayi dalam kandungan remaja terbabit turut ditahan.
Foto
MARGARITA (dua dari kanan) dan Daza (dua dari kiri) diiringi anggota polis untuk dibawa ke penjara.
Rangkaian televisyen Univision melaporkan Margarita yang mempunyai 14 anak semuanya akan menjual dara mereka sebaik masing-masing mencecah usia 12 tahun.
Dia kemudian memaksa anak-anaknya melacur diri bagi membayar bil kemudahan awam di kediamana mereka.

“Ia sungguh menyedihkan apabila seorang ibu sanggup melakukan demikian,” kata ketua polis Carlos Melendez yang menyiasat kejadian itu kepada wartawan.

“Si ibu mempunyai hubungan dengan pegawai tinggi, tetapi dia memperdaya lelaki lain agar berasmara dengan anaknya apabila mereka berusia 12 tahun,” katanya.

Margarita yang menafikan dakwaan terhadapnya berdepan hukuman penjara 10 tahun jika disabitkan bersalah.

Dia kini ditahan di penjara El Buen Pastro, manakala Daza ditahan di penjara Modelo.

Kedua-duanya dituduh mendera kanak-kanak bawah 14 tahun, selain turut memaksa mereka melacur.

Dua lagi anaknya iaitu kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan budak perempuan berusia sembilan tahun, bagaimanapun tidak menjadi pekerja seks dan kini di bawah jagaan petugas khidmat sosial.

Anak perempuannya yang membuat laporan terhadap ibunya kini menerima bantuan psikologi dari Institut Kebajikan Keluarga Colombia. - Agensi

Lepas tembakan takutkan rakan

Shah Alam: Akibat tidak puas hati terhadap rakannya selepas menyedari ditipu berhubung pinjaman wang, seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan ke udara di depan kediaman rakannya itu dalam kejadian di Pulau Indah, Klang.
Bagaimanapun suspek berusia 28 tahun itu ditahan jam 7.30 pagi kelmarin dan polis turut merampas sepucuk pistol serta beberapa butir peluru di rumahnya. 
Dalam soal siasat lanjut yang dijalankan polis, suspek mengakui membeli senjata api itu dari negara jiran bersama peluru yang dirampas.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kejadian pertama berlaku Isnin lalu jam 8 malam, selepas suspek mendakwa mangsa menipu dalam urusan pinjaman wang membabitkan dirinya.

“Suspek kemudian bertindak melepaskan tembakan ke udara berhampiran rumah mangsa dengan tujuan menakut-nakutkan mangsa.

“Dalam kejadian kedua, suspek sekali lagi melepaskan tembakan ke udara jam 3 petang kelmarin,” katanya ketika sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, suspek kemudian membuat pengakuan membeli pistol berkenaan di sempadan negara jiran dengan harga tertentu dan pihaknya kini sedang giat mengesan kegiatan penjualan senjata api secara haram itu.

Katanya, selain pistol dan juga peluru, polis turut merampas pelbagai dokumen serta wang tunai milik suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 kerana memiliki pistol dan juga Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

Penyamun Amerika Latin tumpas

Shah Alam: Walaupun beberapa sindiket pecah rumah dianggotai suspek dari Amerika Latin berjaya ditumpaskan, namun masih ada yang tidak serik dan terus menjadikan negara ini sebagai ‘lubuk’ mendapatkan wang mudah.
Terbaru, sindiket itu terbabit dalam satu kejadian pecah rumah di rumah seorang pensyarah wanita di Seksyen 8, di sini, Jumaat lalu menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih RM30,000. 
Namun, kelicikan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 dan 44 tahun yang juga suspek utama dalam kes berkenaan berjaya dicekup polis dalam dua tangkapan berasingan oleh sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kelmarin.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, tiga lelaki dan seorang wanita masing-masing warga negara Colombia dan Peru termasuk Sepanyol ditahan susulan penahanan dua suspek yang menaiki sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kota Kemuning, di sini, jam 11 malam, Rabu lalu.

“Dengan bantuan satu pasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, kereta yang dinaiki suspek berjaya ditahan walaupun kedua-dua suspek cuba melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan anggota polis ke atas kereta yang dinaiki suspek, polis menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah,” katanya ketika ditemui pada sidang media di IPK Selangor, semalam.

Mohd Shukri berkata, penahanan kedua-dua suspek membawa kepada tangkapan dua lagi rakan mereka yang diberkas polis kira-kira jam 4 pagi kelmarin.

“Seorang daripada suspek yang ditahan membawa dua pasukan anggota polis dari IPD Shah Alam dan IPK Selangor ke tempat penginapan mereka di sebuah hotel di Sri Petaling, Kuala Lumpur sebelum menahan dua lagi lelaki,” katanya.

Katanya, pihak polis merampas pelbagai barangan berharga antaranya beberapa komputer riba, sebuah komputer tablet iPad, jam tangan berjenama, beg tangan berjenama dan barang kemas serta telefon bimbit.

Enggan berasmara jika jalan tak diturap

Bogota: Sekumpulan wanita di pekan kecil Barbacaos, barat daya Colombia dilaporkan melancarkan mogok seks kedua dalam tempoh dua tahun, menuntut agar jalan raya ke daerah terpencil mereka diturap semula.
Digelar sebagai “pergerakan silang kaki”, kumpulan wanita terbabit enggan berasmara dengan pasangan mereka hingga jalan raya yang menghubungkan pekan kecil itu ke seluruh negara diperbaiki, menurut seorang wartawan berpangkalan di Colombia, John Otis. 
Dan tindakan mereka mungkin membuahkan hasil. Akhbar tempatan melaporkan yang kerja pembinaan mula dilakukan di jalan sehala yang dalam keadaan sangat uzur itu hinggakan perjalanan ke hospital berdekatan mengambil masa 14 jam dan ramai penduduk yang sakit mati sebelum sempat tiba ke hospital.

“Jika anda mahu menghantar satu kontena barangan Colombia ke China, kos untuk membawanya ke pelabuhan Colombia lebih mahal berbanding kos menghantar barangan itu dari pelabuhan Colombia ke China,” kata Otis.

Wanita di pekan itu pertama kali melancarkan mogok enggan berasmara dengan pasangan mereka pada 2011 sebagai membantah keadaan jalan raya yang uzur, dengan hakim Marybell Silva turut menyertai mogok itu selepas menyaksikan seorang wanita muda mati bersama anak dalam kandungannya kerana ambulans terkandas di jalan raya dan gagal tiba tepat pada waktunya di hospital. - Agensi

Liong Sik bebas tuduhan tipu Kabinet skandal PKFZ

Liong Sik  bebas tuduhan tipu Kabinet skandal PKFZKuala Lumpur: Tun Dr Ling Liong Sik (gambar) semalam, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan menipu Kabinet berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), 11 tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan utama dan dua tuduhan pilihan ke atas Liong Sik.
Liong Sik, 70, yang juga bekas Menteri Pengangkutan selama 17 tahun, kelihatan tenang dan hanya mendiamkan diri sebaik keputusan berkenaan diumumkan.


Beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 29 Julai 2010 dan diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lalu atas tiga tuduhan menipu Kabinet memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ mengikut syarat dipersetujui di antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Dituduh tak dedah faedah 7.5 peratus

Liong Sik dituduh tidak mendedahkan faedah 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah berasaskan kadar RM25 bagi keluasan 30.48 sentimeter (sm) persegi iaitu RM1,088,456,000, sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam menentukan kadar itu sudah mengambil kira kadar kupon atau faedah.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat Empat, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam penghakiman bertulis setebal 42 muka surat, Ahmadi berkata, tertuduh tidak memberikan sebarang arahan bercanggah dengan kepentingan, undang-undang atau dasar yang merugikan kerajaan.

Ahmadi berkata, tidak mungkin tertuduh dapat menyembunyikan penilaian yang dibuat JPPH daripada Kabinet, tanpa pengetahuan pegawai di Kementerian Pengangkutan.

Katanya, tertuduh hanya menandatangani apa yang diserahkan oleh pegawainya dan kemudian membuat pembentangan kepada Kabinet.

“Keterangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas menteri Kabinet, Tan Sri Dr Fong Chan Onn dan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, juga jelas menunjukkan tidak berlaku penipuan, salah nyata atau dorongan bagi elemen faedah yang perlu dibayar dalam pembelian tanah itu,” katanya.

Nafi anak amuk kurang siuman


2013/10/26
Segamat: Ibu kepada lelaki yang menikam empat mangsa di Stesen LRT Gombak dan Taman Melati, kelmarin, menafikan anaknya kurang siuman seperti yang didakwa pihak tertentu.

Sebaliknya, wanita berusia 56 tahun yang terkejut dengan kejadian itu berkata, anaknya yang berusia 26 tahun itu tidak pernah menghadapi masalah mental, malah seorang anak yang baik.
“Anak saya tidak pernah sakit mental atau terbabit dengan ajaran sesat, malah dia baik terhadap ibu bapa dan mengambil berat berkaitan pelajaran adiknya.

“Dia juga bukan seorang yang pemarah menyebabkan saya sendiri hairan kenapa dia bertindak sedemikian (mengamuk),” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Pemanis 1, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 itu, suspek yang bekerja sebagai pemandu van syarikat rokok menikam pemilik kedai runcit dan pekerjanya di LRT Gombak sebelum menikam dua lagi mangsa sebelum ditahan orang ramai.

Suspek kemudian menikam dua lagi mangsa di dua lokasi berhampiran sebelum berjaya ditahan orang ramai.

Polis tahan 3 ahli keluarga pengawal

RM20,000 turut ditemui dipercayai sebahagian hasil rompakan

Polis tahan 3 ahli keluarga pengawal
Ardi Hamza 
Shah Alam: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang juga ahli keluarga kepada pengawal keselamatan yang menembak mati kakitangan Ambank di USJ Sentral 2, Subang Jaya, Selasa lalu.
Berikutan itu, polis Selangor turut menemui wang tunai RM20,000 dipercayai antara sebahagian jumlah keseluruhan wang rompakan berjumlah RM450,000 yang dilarikan suspek.


Difahamkan suspek utama yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, dan ahli keluarganya berasal dari Sulawesi, Indonesia serta sudah bekerja di negara ini kira-kira dua tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata siasatan awal mendapati dua lelaki itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah gedung perniagaan di Subang Jaya manakala wanita terbabit dipercayai isteri kepada suspek.

“Polis menahan ketiga-tiga ahli keluarga mangsa pada hari yang sama kejadian berlaku, di sebuah rumah di Kota Kemuning, Klang, manakala wang itu pula ditemui di gudang perniagaan tempat mereka bekerja.

“Bagaimanapun, suspek dan dua saudara lelakinya bekerja dengan syarikat keselamatan yang berbeza. Selain itu, suspek utama dan ahli keluarganya itu menggunakan kad pengenalan palsu dan polis sedang menunggu pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara.
Ditahan reman 14 hari

“Mereka ditahan reman 14 hari dan setakat ini mereka disiasat mengikut Akta Imigresen kerana berada di negara ini secara tidak sah. Polis akan buka kertas siasatan lain kalau siasatan lanjut menemui unsur lain, termasuk bagaimana mereka dapat kad pengenalan palsu,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, pihaknya percaya suspek masih berada di negeri ini dan sudah mengetatkan kawalan di pintu sempadan seperti di lapangan terbang dan pelabuhan serta meminta bantuan Interpol.

Dalam kejadian itu, pegawai operasi cawangan AmBank, Norazita Abdul Talib, 37, maut ditembak dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan premis itu yang menyamun bank berkenaan.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, polis kini memburu individu yang bertanggung jawab menyebarkan gambar kematian Norazita.

Katanya, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Tak akan tolak ansur

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan pegawai atau anggota polis serta orang awam yang menyebarkan gambar mangsa ini. Adalah satu kesalahan untuk menyebarkan gambar seumpama itu dan laporan mengenainya sudah dibuat.

“Setakat ini polis masih menjalankan siasatan dan ingin ingatkan semua pihak supaya tidak sesekali mengulanginya pada masa hadapan,” katanya.

Lelaki Mexico disyaki bunuh 79 orang


2013/10/26 -
Monterrey: Seorang lelaki berusia 20 tahun di bandar utara Mexico, Monterrey, mengaku membunuh 45 orang tetapi disiasat kerana disyaki turut terbabit dalam pembunuhan 34 lagi, kata pegawai di sini kelmarin.

Juan Pablo Vazquez ditahan awal bulan ini di sini selepas dituduh menjual dadah, kata jurucakap keselamatan negeri Nuevo Leon, Jorge Domene.


Mengaku bunuh 45 orang
Juan Pablo Vazquez ditahan awal bulan ini di sini selepas dituduh menjual dadah” Jorge Domene, Jurucakap keselamatan negeri Nuevo Leon

Vazquez yang berkata menjadi sebahagian anggota kumpulan jenayah terancang sudah mengaku membunuh 45 orang tetapi dipercayai ada kaitan dengan 79 pembunuhan, kebanyakannya pada 2012, kata Domene.

Mexico dilanda keganasan kerana dadah dengan 1,000 maut sebulan kerana pembunuhan. - REUTERS

Mangsa salah sangka polis


2013/10/26
 Mangsa salah sangka polis
Santa Rosa: Dua anggota polis melakukan kesilapan selepas menembak mati seorang remaja berusia 13 tahun kerana menyangka dia membawa senjata api sedangkan ia sebenarnya pistol replika.

Andy Lopez Cruz (gambar) memakai baju panas dengan penutup kepala, sedang menuju ke rumah seorang rakannya sambil membawa pistol itu yang direka untuk menembak peluru plastik.


Bagaimanapun, dua anggota polis menyangka dia membawa senjata api dan menembaknya dalam insiden di Santa Rosa, utara California.

Siasatan polis mendapati, anggota polis terbabit sedar mereka tersilap tidak sampai 10 saat selepas kejadian itu dan mengambil masa 13 saat lagi sebelum menghubungi pasukan perubatan. - REUTERS

Lelaki mengamuk di dua stesen LRT direman tujuh hari


KUALA LUMPUR - Polis semalam mendapat perintah untuk menahan reman selama tujuh hari ke atas seorang lelaki yang mengamuk di dua buah stesen transit aliran ringan (LRT) Gombak dan Taman Melati di sini kelmarin hingga mengakibatkan dua mati ditikam manakala dua lagi parah.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya akan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat sepanjang tempoh tersebut.
"Laporan bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa telah siap dan punca kematian mereka akan diumumkan selepas mendapat laporan penuh pihak hospital," katanya ketika dihubungi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2ilrEeRUF 
Hakcipta terpelihara 

Liong Sik bebas tuduhan menipu



LIONG SIK kelihatan ceria ketika berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menipu Jemaah Menteri pada 2010.


KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini semalam daripada pertuduhan menipu Jemaah Menteri berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar bernilai RM1.088 bilion pada 2010.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian terhadap bekas Presiden MCA itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Liong Sik, 70, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 17 tahun, sejak Januari 1986 hingga Mei 2003 menerima keputusan hakim dengan tenang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2ilqvJYIJ 
Hakcipta terpelihara 

Filipina perlu AS$46.8 juta bantu mangsa gempa bumi


PENDUDUK kampung melihat sebuah gereja yang rosak teruk akibat gempa bumi kuat yang melanda Pulau Bohol, tengah Filipina pada 15 Oktober lalu.


MANILA - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam merayu bantuan antarabangsa berjumlah AS$46.8 juta (RM147 juta) untuk membantu beratus-ratus ribu penduduk yang tinggal di khemah-khemah sementara selepas Filipina digegarkan oleh gempa bumi kuat baru-baru ini.
Gempa berukuran 7.1 pada skala Ritcher yang melanda pada minggu lalu meragut lebih 200 nyawa selain meranapkan 54,000 kediaman di Bohol dan beberapa buah pulau lain di tengah Filipina.
Penyelaras kemanusiaan PBB di Filipina, Luizha Carvalho berkata, sejumlah 35,000 keluarga memerlukan tempat perlindungan segera manakala lebih 300,000 penduduk Pulau Bohol pula merayu bantuan keperluan asas seperti air, makanan, dan perkhidmatan kesihatan selama 6 bulan.
"Pada masa ini, Filipina berdiri sendiri walaupun keperluannya adalah yang paling terdesak," kata Carvalho.
Wakil PBB itu berharap penderma akan terus menghulurkan wang di sebalik peningkatan bencana alam dan konflik buatan manusia yang melanda Filipina.
Pada Disember lalu, Filipina dilanda taufan kuat manakala serangan gerila Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro menyebabkan sebahagian kawasan di bandar raya Zamboanga, selatan negara itu musnah pada bulan lalu.
"Kami berturut-turut ditimpa malang dan kami masih mengharapkan kemurahan hati penderma," ujar Carvalho.
Menurutnya, PBB meminta masyarakat antarabangsa untuk terus menolong Filipina walaupun mereka telah menghulurkan bantuan untuk mangsa Taufan Bopha dah konflik berdarah di Zamboanga. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2ilqLY0SV 
Hakcipta terpelihara