Search This Blog

Friday, October 25, 2013

Tembak pegawai Ambank: Tiga suspek ditahan


SHAH ALAM 25 Okt. - Polis menahan dua pengawal keselamatan dan seorang wanita yang dipercayai bersubahat dan mempunyai kaitan dengan suspek yang menembak mati seorang pegawai operasi Ambank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini kelmarin.
Dua pengawal keselamatan terbabit merupakan saudara suspek sementara wanita itu pula dipercayai isterinya berusia 20-an hingga 30-an.
Kesemua suspek yang merupakan rakyat negara jiran tetapi dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kemuning, Klang pada malam hari kejadian.
Susulan penahanan ketiga-tiga mereka, polis turut menemui wang tunai RM20,000 yang dipercayai sebahagian daripada RM450,000 hasil rompakan suspek dari peti besi Ambank cawangan berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal percaya selepas melarikan diri dari Ambank, suspek telah mengagih-agihkan sebahagian kecil hasil rompakan termasuk kepada tiga yang ditahan.
Beliau berkata, wang tunai RM20,000 itu disembunyikan mereka di sebuah pusat membeli-belah di Subang Jaya dekat sini yang merupakan tempat kerja dua pengawal keselamatan yang ditahan.
"Kita masih memburu suspek yang dipercayai masih berada di negara ini bersama hasil rompakan dan selaras pump gun yang digunakan untuk menembak mati mangsa.
"Siasatan kita juga percaya suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, bukan berasal dari Sabah tetapi dari negara jiran dan dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu.
"Kini kita sedang menyiasat bagaimana suspek memperolehi kad pengenalan, serta dibenarkan menggunakan senjata api," kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.
Difahamkan, suspek yang diburu berasal dari Sulawesi, Indonesia. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131025/je_13/Tembak-pegawai-Ambank-Tiga-suspek-ditahan#ixzz2ijpEdHtB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Doktor maut kereta hilang kawalan di Marang


MARANG 25 Okt. - Seorang doktor maut setelah kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh jejantas di Kilometer 8, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Klinik Kesihatan Bukit Payung di sini awal pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Ramli Muda, 57, yang mempunyai klinik di Kampung Chabang Tiga di sini.
Ketika kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi itu, mangsa yang memandu BMW berseorang dari dari arah Ajil menghala Kuala Terengganu.
Jurucakap polis berkata kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan akibat keretnya merempuh jejantas, mangsa tersepit di tempat duduknya.
Pihak Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai mengambil masa kira-kira lima minit bagi mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk dibedah siasat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Marang ASP Mohd Zohan Seman mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131025/je_15/Doktor-maut-kereta-hilang-kawalan-di-Marang#ixzz2ijo73kfT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mangsa kilang runtuh belum terima pampasan


Gambar fail bertarikh 28 April lalu, menunjukkan seorang lelaki memegang gambar saudara-maranya yang terperangkap dalam runtuhan kilang pakaian Plaza Rana di pinggir Dhaka, Bangladesh. - AFP
DHAKA 24 Okt. - Kira-kira 94 peratus mangsa kilang pakaian runtuh, di sini pada enam bulan lalu masih belum mendapat pampasan.
Menurut sebuah badan kebajikan, Action Aid, kebanyakan mangsa yang terselamat mengalami kecederaan parah sehingga hilang keupayaan untuk bekerja.
Lebih 1,130 orang terbunuh apabila bangunan Plaza Rana setinggi lapan tingkat runtuh pada 24 April lalu.
Sementara itu, sekumpulan mangsa yang terselamat dan kanak-kanak yang menjadi anak yatim ekoran ibu bapa mereka terkorban dalam kejadian itu mengadakan tunjuk perasaan, di tapak runtuhan, hari ini.
Kumpulan kanak-kanak itu memegang papan sepanduk bertulis 'Kami kehilangan ibu bapa kerana mereka bekerja untuk anda: Walmart, Carrefour, Bennetton'.
Demonstrasi itu turut mendapat reaksi kumpulan aktivis yang tidak berpuas hati dengan cara layanan majikan terhadap mangsa-mangsa yang terselamat.
Ketua Kesatuan Industri Global Bangladesh, Roy Ramesh berkata, seramai 3,629 pekerja kilang tersebut masih belum menerima sebarang pampasan.
"Setakat ini, hanya sebuah syarikat iaitu Primark yang menyediakan bantuan kewangan kepada mangsa dengan pemberian dana sebanyak 118 pound (RM578) kepada setiap mangsa," katanya.
Seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian itu, Rezul Karim, 32, berkata, dia tidak menerima sebarang pampasan lain selain yang diberi oleh Primark.
"Saya mengalami kecederaan di bahagian saraf tunjang, menyebabkan saya tidak boleh bekerja, namun saya memerlukan wang untuk hidup.
"Bantuan yang diberikan oleh kerajaan tidak mencukupi memandangkan saya masih memerlukan wang untuk rawatan serta perkara lain," ujarnya.
Jumlah peratus itu diperoleh berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Action Aid ke atas hampir dua pertiga mangsa yang terselamat, termasuk ahli keluarga mereka. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131025/lu_02/Mangsa-kilang-runtuh-belum-terima-pampasan#ixzz2ijmwCGXI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja ditembak mati kerana raifal mainan


Gambar dikeluarkan Pejabat Syerif Sonoma menunjukkan raifal mainan dibawa Andy Lopez Cruz ke rumah rakannya, apabila dia ditembak mati syerif di Santa Rosa, California, kelmarin. - REUTERS
SANTA ROSA, California 24 Okt. - Seorang remaja lelaki yang membawa sebuah replika raifal AK-47 ke rumah rakannya, ditembak mati oleh syerif kerana menyangka ia senjata sebenar, di sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku sehari selepas seorang murid berusia 12 tahun menembak mati gurunya di sebuah sekolah di Nevada.
Bapa mangsa, Rodrigo Lopez berkata, anaknya, Andy Lopez Cruz, 13, ditembak ketika dalam perjalanan menuju ke rumah rakannya sambil membawa replika raifal tersebut.
"Saya amat sedih dengan apa yang berlaku dan saya telah kehilangan anak saya," katanya ketika melancarkan demonstrasi aman di luar bangunan Dewan Perbandaran Santa Rosa, semalam.
Leftenan Paul Henry yang menyiasat kes itu berkata, dua syerif dilaporkan berkawal di sebuah jalan berhampiran rumah mangsa ketika dia dilihat membawa replika senjata tersebut.
"Seorang daripada syerif yang melihat mangsa dari arah belakang terus menjerit mengarahkan dia meletakkan senjata, tanpa mengetahui mangsa adalah seorang remaja.
"Mangsa yang terkejut dengan keadaan itu berpusing ke arah syerif dan dia dilihat seolah-olah mengacukan replika tersebut ke arah mereka, menyebabkan tembakan dilepaskan dan mengenainya," katanya.
Henry menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara raifal sebenar dengan raifal permainan.
"Raifal permainan berukuran lebih pendek dan mempunyai warna yang lebih terang berbanding senjata sebenar," ujarnya.
Polis turut menemukan sepucuk pistol permainan di dalam seluar mangsa. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131025/lu_03/Remaja-ditembak-mati-kerana-raifal-mainan#ixzz2ijm5O300
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mengaku edar dadah


Mengaku edar dadah
Mengaku edar dadah  Tertuduh dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara sementara menunggu kes disebut semula.
25 Oktober 2013


KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 19 tahun mengaku salah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, atas tuduhan mengedar 66.2 gram dadah jenis heroin, Julai lalu.

Namun, pengakuan remaja yang tidak mempunyai pekerjaan itu tidak diambil kira pihak mahkamah berikutan peguam bela belum dilantik dan memerlukan proses perbicaraan kerana membabitkan hukuman mati mandatori.

Mohamed Hasrool Mohamed Najri didakwa mengedar dadah tersebut di Pam Minyak Petronas, Maka, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, Tanah Merah, pada jam 5.10 petang, 15 Julai lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Darlina Ali.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati.

Pada prosiding semalam, mahkamah menetapkan sebutan semula pada 25 November depan sebagai tarikh lantikan peguam bela.

Kes disebut di hadapan Hakim, Datuk Azman Abdullah dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Penumpang pacuan empat roda maut nahas

 Penumpang pacuan empat roda maut nahas Keadaan hadapan lori yang terlibat dalam kemalangan itu.

KUANTAN - Seorang penumpang sebuah kenderaan pacuan empat roda maut manakala dua rakannya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 10, Jalan Triang-Temerloh dekat Temerloh, pagi kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa, Azli Ismail, 33, berasal dari Felda Sungai Retang, Jerantut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala dan badan.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata,  kenderaan yang dinaiki tiga lelaki itu dalam perjalanan dari arah Triang menghala ke Temerloh.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, sebuah lori dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan termasuk ke laluan kenderaan dinaiki mangsa sebelum bertembung.

“Akibat pertembungan itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan,” katanya di sini, semalam.

2 mati ditikam selepas langgar


2013/10/25 - 07:19:17 AM bhnews@bh.com.my Cetak Emel Kawan
Tweet
gambar sebelum  gambar berikut
Foto
Suspek dipercayai turut cedera ditahan orang ramai.

Foto
Seorang daripada mangsa amuk yang maut ditikam dekat Stesen LRT Taman Melati, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam. Gambar kecil ialah Kuan Chun Thai.
Dua wanita parah diserang suspek alami gangguan mental

Kuala Lumpur: Dua lelaki maut dan dua wanita parah selepas ditikam seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental dalam kejadian di Taman Melati, di sini, pagi semalam.

Kejadian bermula jam 11.20 pagi, apabila suspek berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu van syarikat rokok menghantar bekalan rokok di sebuah kedai runcit, di LRT Gombak, sebelum menikam pemilik premis, Law Siew Ling, 49, dan pekerjanya Suliani Johari, 31, di perut menyebabkan kedua-dua mangsa parah.
Sebaik menikam kedua-dua mangsa, suspek kemudian melarikan diri memandu van miliknya sebelum merempuh sebuah van dari arah belakang yang membawa muatan air mineral di Jalan Persiaran Pertahanan, kira-kira dua kilometer dari kejadian pertama.


Pemandu van terbunuh

Pemandu van terbabit, Lee Kah Ghee, 48, berasal dari Taman Segambut Indah kemudian turun dari kenderaannya sebaik dirempuh sebelum suspek menikam lelaki itu sebanyak tiga kali di bahagian dada dan perut menyebabkan mangsa mati di lokasi kejadian.

Suspek kemudian memandu van sebelum merempuh sebuah Toyota Prius yang dipandu pelajar lelaki kolej Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuan Chun Thai, berusia 25 tahun.

Pelajar mangsa kedua maut

Mangsa yang terkejut dengan kemalangan itu kemudian keluar dari kenderaannya sebelum ditikam suspek tiga kali di dada dan tangan menyebabkannya mati di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata suspek kemudian berlari di sekitar kawasan Jalan Tumbuhan dalam keadaan tidak normal sambil menumbuk beberapa orang awam termasuk pemilik kedai runcit.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai yang melihat kejadian dengan bantuan seorang anggota polis yang kebetulan berada di lokasi itu kemudian menangkap dan merampas pisau rambo yang digunakan suspek.

“Siasatan awal mendapati, ketika ditahan, lelaki itu dalam keadaan tidak terkawal dan polis percaya suspek mengalami masalah mental dipercayai pengikut ajaran sesat.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan. Namun, polis tegaskan di sini, kes terbabit bukan berunsurkan perkauman atau samun, sebaliknya masalah mental dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Khairi berkata, dua mangsa yang mati dan dua cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat serta rawatan.

Katanya, suspek yang turut cedera akibat dipukul orang awam dihantar hospital sama untuk rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 326 Kanun Keseksaan.

‘Ladang tebu’ toksik

Rawang: Tindakan individu yang membuang sisa toksik dengan berselindung di balik tanaman tebu di Jalan Batu Arang, Sungai Bakau, Rawang selama dua tahun akhirnya terbongkar apabila diserbu Majlis Perbandaran Selayang (MPS), awal pagi semalam.
Bagaimanapun, serbuan itu seolah-olah dapat dihidu apabila tiada seorangpun pekerja berada di lokasi tersebut, hanya dua jentolak yang ditinggalkan.

Yang Dipertua MPS, Mohd Azizi Mohd Zain berkata, dalam serbuan yang dilakukan pihaknya bersama agensi bomba dan penyelamat serta jabatan alam sekitar menemui antara 20 dan 30 tong yang berisi cecair dipercayai bahan kimia.
“Selepas mendapat aduan awam empat minggu lalu, siasatan mendapati memang berlaku pembuangan toksik secara haram dengan menanamnya di dalam sebidang tanah milik persendirian.

“Ini menyebabkan tanah di sini tercemar selain beberapa kesan pencemaran lain termasuk bau. Namun begitu hasil pemeriksaan mendapati kandungan oksigen dalam udara berada pada tahap selamat selain kandungan Ph dalam tanah yang belum berada pada tahap bahaya.

“Bagaimanapun, kegiatan mereka menanam bahan toksik tersebut tetap salah kerana boleh menyebabkan air (ketika hujan) dari tanah tersebut mengalir ke longkang berhampiran seterusnya masuk ke dalam Sungai Keruh.
Foto
ANGGOTA penguat kuasa melakukan siasatan di tempat pembuangan sisa toksik.
“Kami tidak mahu kejadian pencemaran air akibat pembuangan diesel dari kilang dulu berulang kerana boleh menjejaskan ramai orang,” katanya kepada media, di sini semalam.

Tinjauan semalam mendapati bau busuk bahan kimia dapat dihidu, selain sakit mata dan tekak dapat dirasai sepanjang berada di lokasi.
Malah, perkara itu disahkan penduduk berhampiran yang turut mengalami masalah sama termasuk batuk teruk sejak tahun lalu.

Difahamkan mereka juga terpaksa menghidu bau asap berikutan pembakaran tayar kereta yang banyak di kawasan tersebut termasuk pada sebelah malam.

Perkara itu turut diakui Mohd Azizi memandangkan terdapat banyak longgokan tayar termasuk yang sudah dibakar di situ dan ia menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes.

“Selain menutup premis, merampas harta termasuk dua jentolak serta merobohkan struktur bangunan yang dibina, MPS juga akan mengambil tindakan ke atas pihak terbabit kerana menyebabkan pembiakan nyamuk aedes di sini.

“Malah, menurut pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Gombak (PTDG), penyewa dan pemilik tanah juga melanggar syarat guna tanah yang sepatutnya sebagai tanah pertanian untuk ternakan.

“Justeru PTDG akan mengeluarkan notis 7A bagi mengarahkan pemilik tanah melakukan kerja baik pulih segera dilakukan dalam tempoh tiga bulan.

“Jika mereka gagal berbuat demikian, kemungkinan besar PTDG akan merampas tanah tersebut melalui notis 8A,” katanya.

Pengedar dadah dari Afrika ditembak


Petaling Jaya: Cubaan dua lelaki Afrika melarikan diri selepas kegiatan pengedaran dadah terbongkar tidak berjaya apabila seorang daripada suspek cedera ditembak dalam kejadian di Blok C, Pangsapuri Desa Mentari, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.45 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 20-an dikatakan baru selesai menjalankan urus niaga dengan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang menetap di kawasan itu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, sebelum kejadian dua anggota polis dari Balai Polis Sungei Way melakukan rondaan jenayah di kawasan pangsapuri sebelum menahan lelaki tempatan itu dalam keadaan khayal sedang bersendirian.

“Hasil soal siasat terhadap lelaki itu memberitahu dia mendapatkan bekalan dadah jenis Syabu daripada dua lelaki Afrika dan polis menahan lelaki itu untuk siasatan lanjut.


“Pemeriksaan lanjut di sekitar pangsapuri, polis terserempak dengan dua lelaki Afrika dalam keadaan mencurigakan dan menahan mereka untuk soal siasat. Bagaimanapun, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri sejurus menyedari anggota itu menghampiri mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam.


Menurut Arjunaidi, kedua-dua anggota terbabit mengejar suspek hingga ke tingkat empat blok berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

Katanya, seorang suspek mengeluarkan pistol dan cuba menembak anggota polis, namun tindakan pantas anggota terbabit berjaya melepaskan satu das tembakan terlebih dulu bagi mempertahankan diri.


“Tembakan itu mengenai bahu kanan rakannya menyebabkan suspek bersenjatakan pistol itu melarikan diri. Suspek yang cedera kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya.

Bunuh angkara tak puas hati


Petaling Jaya: Kes bunuh seorang remaja perempuan yang mayatnya ditemui dalam beg pakaian di tepi Jalan Kebun Nenas 1A/KS7, Klang, Isnin lalu dipercayai berpunca daripada tidak puas hati suspek terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, hasil awal laporan bedah siasat tidak menunjukkan tanda-tanda mangsa dirogol sebelum dibunuh.


Bagaimanapun katanya, polis akan meneliti laporan berkenaan dan menunggu arahan daripada pihak mahkamah bagi tindakan selanjutnya.

“Hasil laporan bedah siasat semalam (kelmarin) mendapati mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan di kepala dipercayai dipukul menggunakan alat mengangkat berat.


“Siasatan awal juga polis percaya berlaku pergelutan kecil antara suspek dan mangsa sebelum mangsa dibunuh dan dimasukkan ke dalam beg pakaian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini semalam.


Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek, polis menjumpai telefon bimbit milik mangsa.

“Polis akan melakukan siasatan secara terperinci berhubung kejadian ini dan setiap bahan bukti yang dijumpai termasuk laporan bedah siasat akan diteliti lagi,” katanya.


Harian Metro kelmarin melaporkan mangsa Ng Yuk Tim, 15, dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum mayatnya ditemui sekumpulan lima pekerja asing yang sedang mengutip tumbuhan di hutan di Bukit Kemuning.

Suspek minta ajar solat


Kuala Lumpur: “Saya terkejut mendapat tahu rakan serumah menikam empat individu hingga menyebabkan dua daripada mereka maut. Pada mulanya saya tidak percaya, tetapi rakan lain mengesahkan perkara itu,” kata rakan serumah suspek.

Rakan suspek berusia 20-an itu yang enggan dikenali berkata, dia yang sudah tinggal serumah dengan suspek sejak enam tahun lalu mendakwa tidak menyangka rakan baiknya itu tergamak bertindak sedemikian.


Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan rakan serumahnya itu adalah kira-kira jam 7 pagi semalam, ketika sama-sama mahu keluar rumah di Selayang untuk ke tempat kerja. “Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan. Namun beberapa hari sebelum kejadian, rakan saya itu ada menyuruh saya mengajarnya membaca al-Quran dan solat.

“Dia tidak pernah menunjukkan sikap pelik atau mengikuti kumpulan ajaran sesat,” katanya.

Penyerang dipercayai sakit jiwa


Kuala Lumpur: Dua maut manakala dua lagi parah selepas ditikam seorang lelaki dipercayai mengalami tekanan jiwa dalam kejadian berhampiran Stesen LRT Gombak dan Stesen LRT Taman Melati, di sini, semalam.

Kejadian bermula apabila dua wanita berusia 49 dan 31 tahun iaitu pemilik dan pekerja kedai runcit berhampiran Stesen LRT Gombak ditikam suspek berusia 26 tahun yang juga penghantar rokok.


Selepas itu, suspek memandu van rokok berkenaan sejauh lima kilometer ke Stesen LRT Taman Melati, di sini, lalu merempuh van membawa muatan air mineral.

Suspek kemudian keluar dari van itu sebelum menikam pemandu van berkenaan sebanyak tiga kali menyebabkan mangsa Lee Kah Ghee, 48, mati di tempat kejadian.


Suspek sekali lagi memandu van itu ke Jalan Tumbuhan kira-kira 200 meter dari Stesen LRT Taman Melati. Suspek kemudian melanggar sebuah kereta Toyota Prius dipandu seorang pelajar lelaki Kuan Chun Thai, 25.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pelajar terbabit yang keluar untuk memeriksa kenderaannya itu kemudian ditikam sebanyak tiga kali oleh suspek menggunakan senjata sama. “Pelajar itu juga maut di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di Jalan Tumbuhan, Taman Melati, di sini, semalam.

Khairi berkata, orang ramai yang menyedari kejadian itu berusaha memberkas suspek menyebabkan berlaku pergelutan.


“Suspek berjaya diberkas dan turut mengalami kecederaan akibat pergelutan berkenaan,” katanya.

Mata macam dirasuk


Kuala Lumpur: “Saya hanya jalankan tanggungjawab. Itu kata penghantar rokok selepas dia tikam kami,” kata Suliani Johari, 31, seorang daripada mangsa yang mengalami kecederaan di perut selepas ditikam lelaki dipercayai mengalami masalah mental dalam kejadian di kedai runcit berdekatan Stesen LRT Gombak, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Suliani yang juga warga Indonesia memberitahu, dia sedang bekerja dalam kedai runcit milik majikannya Lau Siew Ling, 49.


Suliani berkata, dia mengenali penghantar rokok (suspek) sejak bekerja di kedai runcit berkenaan beberapa tahun lalu kerana sering berurusan dan sudah menganggap lelaki terbabit seperti adiknya sendiri.

“Dia meluru masuk ke dalam kedai dalam keadaan pelik seolah-olah dipukau dan terus menikam majikan dan saya.


“Saya ditikam di perut. Saya sempat melihat mata suspek kehitaman seperti dirasuk sebelum dia keluar dan memandu vannya beredar dari kedai,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, malam tadi.

Telefon suami sejam sebelum kejadian


Serdang: “Sayang saya lagi tak?” Itu antara perbualan terakhir Norazita Abu Talib, 37, ketika menghubungi suaminya Irwan Kamaruddin, 37, sebelum dia maut sejam kemudian selepas ditembak pengawal keselamatan di AmBank cawangan Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, dekat sini, petang kelmarin.

Menurut Irwan, arwah menghubunginya pada jam 5.11 petang sebelum mengakhiri perbualan ringkas itu kerana mempunyai tugasan yang masih belum diselesaikan.


Semalam, Harian Metro melaporkan mangsa maut di tempat kejadian selepas cedera parah di muka akibat ditembak dari jarak dekat menggunakan ‘pump gun’ oleh pengawal keselamatan berusia 37 tahun yang berasal dari Sabah.

Dalam kejadian jam 6.18 petang itu, mangsa bersama pengawal berkenaan serta tiga lagi pekerja wanita berada di premis bank untuk membuka sebuah peti kebal dan sebaik pintu peti itu dibuka, pengawal berkenaan terus melepaskan tembakan yang mengenai muka mangsa.


Selepas melepaskan tembakan, pengawal terbabit mengarahkan tiga pekerja wanita itu memasukkan wang ke dalam beg dibawanya.


Irwan berkata, pada pagi kejadian, arwah sempat menghantar anak mereka ke sekolah dan melakukan kerja rumah seperti biasa, namun dia mendapati isterinya tidak banyak bercakap.

“Kebiasaannya, setiap hari isteri saya pulang dari tempat kerjanya dan sampai di rumah sebelum waktu Maghrib. Semalam (kelmarin), kira-kira jam 6.30 petang, saya menghubunginya untuk mengetahui sama ada dia sudah sampai ke rumah atau belum kerana hujan lebat,” katanya.

Tragedi Lembah Bertam: Salah siapa?

Tragedi Lembah Bertam: Salah siapa?
Muka depan BH hari ini.
  Kejadian limpahan Empangan Sultan Abu Bakar (SAB), di Lembah Bertam, Cameron Highlands kelmarin, mencetuskan pelbagai persoalan.

Mengapa wujud penempatan di kawasan itu? Apakah aktiviti penduduk di situ menyebabkan sungai cetek dan tidak dapat menampung limpahan air? Apakah tiada pemantauan sebelum ini? 

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM, Prof Madya Dr Sobri Harun mengulas isu berkenaan. Ikuti temubual wartawan BH, Siti Halizah Yusof bersama beliau.


S: Pendapat Prof apakah cara yang boleh dilakukan bagi mengelak kejadian Empangan Sultan Abu Bakar (SAB) di Sungai Bertam daripada berulang?

J: 
Sepatutnya, tiada kediaman dibina berhampiran kawasan empangan. Tidak mustahil kejadian sama berlaku lagi selepas ini, tetapi jika tiada kediaman di kawasan berhampiran, impak kemusnahan dapat dikurangkan.

Ambil contoh Empangan Pedu-Muda di Kedah yang tidak mempunyai penempatan di kawasan berhampiran. Jika berlaku kejadian sebegini, sekurang-kurangnya kemusnahan dan kemalangan jiwa dapat diminimumkan.

Menurut laporan akhbar, jarak empangan daripada Lembah Bertam hanya 1.3 kilometer (km) dan disebabkan ini, air yang dilepaskan daripada Empangan SAB masih lagi berada pada paras tinggi ketika ia ‘melanggar’ kediaman penduduk.

Jika kediaman dibina lebih jauh, paras ketinggian air itu pasti jauh lebih rendah dan tidak menyebabkan banyak kemusnahan.

Tiang kedai kena rempuh disangka bunyi pesawat

Tiang kedai kena rempuh disangka bunyi pesawatLori membawa muatan batu bata melanggar tiang kedai runcit di Jalan Abdullah, Segamat, semalam.

Segamat: “Saya sangka bunyi kapal terbang yang terbang rendah, tetapi rupanya ia adalah bunyi tiang kedai saya roboh dirempuh lori,” kata pemilik kedai runcit, di Jalan Ibrahim, dekat sini.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi semalam itu berlaku apabila brek lori membawa batu bata rosak, menyebabkannya merempuh rumah berkenaan ketika mengelak sebuah kereta Perodua Kancil yang dinaiki sepasang warga tua yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Pemilik kedai runcit itu yang hanya dikenali Teo, 56, berkata dia terjaga daripada tidur selepas mendengar dentuman kuat sebelum mendapati pintu depan kedainya rosak teruk, manakala sebuah lori tersadai di laluan pejalan kaki.



Pemandu mohon maaf

“Pada masa sama, saya melihat seorang lelaki keluar dari lori dengan keadaan terpinga-pinga dan berulang kali memohon maaf berikutan kejadian berkenaan.

“Saya bernasib baik tidak cedera kerana biasanya pada waktu berkenaan akan melakukan senaman ringan di depan kedai runcit.
“Namun, pada hari kejadian saya tidur lambat, menyebabkan tidak bersenam seperti rutin harian,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori, Fadzly Omar, 36, berkata dia terpaksa merempuh kedai itu bagi mengelak melanggar Perodua Kancil yang berhenti di hadapannya di persimpangan lampu isyarat.

“Ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat itu, secara tiba-tiba brek lori tidak berfungsi menyebabkan lori merempuh tiang kedai bagi mengelak melanggar kereta berkenaan,” katanya.

Mangsa peluru sesat: Budak 'Rambo' curi perhatian

Mangsa peluru sesat: Budak 'Rambo' curi perhatianMohd Amar ditemani ibunya keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, semalam.
Ramai hairan melihat Mohd Amar berjalan seperti biasa keluar hospital

Ipoh: Budak ‘Rambo’ yang selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru sesat tersangkut pada kerongkongnya Ahad lalu, masih mampu tersenyum sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Kelibat Mohd Amar Mohd Azizi, 10, yang berjalan seperti biasa meninggalkan hospital itu sambil ditemani keluarganya jam 12.30 tengah hari, cukup menghairankan mereka yang melihatnya, berbanding kejadian menimpanya pada 14 Oktober lalu yang dianggap satu keajaiban apabila peluru itu menembusi hidung sebelum tersangkut di saluran kerongkongnya.
Beliau yang ditemui dengan kesan jahitan jelas kelihatan menutup lubang peluru menembusi hidungnya, mengakui sedikitpun tidak berasa sakit selepas menjalani pembedahan berisiko tinggi yang dilakukan sekumpulan pakar HRPB.


“Tidak sakit sekarang. Masa kejadian dulu juga saya terus berdiri tetapi menggeletar sedikit selepas muka berasa berdenyut sebelum terpaksa menadah darah yang banyak keluar,” katanya yang mengakui hero dalam filem Rambo sebagai idolanya dan selain bercita-cita menjadi perajurit.


Ditemani ibu, bapa

Mohd Amar meninggalkan hospital ditemani ibu bapanya, Mohd Azizi Abdullah Halim dan Salina Mohd Nor, yang masing-masing berusia 48 tahun serta kakaknya, Nur Aqilah, 22.
Dua pegawai perubatan iaitu Dr Alex Khoo dan Dr Khairun Mohd Mispan yang memantau keadaannya sempat mengucapkan selamat tinggal serta bersalaman apabila terserempak dengannya di pekarangan HRPB.

Mohd Amar terkena peluru sesat daripada pistol seorang anggota polis berpangkat Sarjan ketika mengosongkan pistol automatik jenis P99 Wal-ther di tangga depan rumah mentuanya di Kampung Belanja Kiri, di Parit.

Anggota terbabit dikatakan tertekan picu lalu peluru menembusi hidung sehingga kerongkong Mohd Amar yang kebetulan melalui jalan di hadapan rumah mentua suspek dari jarak 40 meter.

Mohd Amar yang terpaksa memakai alat penyokong leher hingga membataskan pergerakannya bahagian atas bahunya berkata, selepas kejadian, dia masih mampu berjalan ke rumah saudaranya sebelum dibawa mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, anaknya perlukan rawatan susulan di HRPB.

Syukur semua selamat

“Saya bersyukur semuanya selamat. Saya mengucapkan terima kasih kepada doktor dan kakitangan hospital yang membantu merawat anak saya dan begitu juga kepada pihak media,” katanya.

Beliau mengakui ada pegawai Bahagian Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil kenyataannya berhubung kejadian itu beberapa hari lalu.

Katanya, isteri dan keluarga isteri anggota polis berkenaan turut melawat anaknya di HRPB termasuk meminta maaf atas kejadian yang berlaku.

“Saya memaafkan individu yang terbabit dalam kes ini tetapi dari segi undang-undang, saya serahkan kepada pihak polis untuk menentukannya,” katanya.

Bapa amat berduka cita


Kampar: “Harapkan pagar, pagar makan pagi. Harapkan sokong, sokong membawa rebah. Saya berdoa (penjenayah) menerima hukuman setimpal,” kata Abu Talib Md Isa, 75, bapa kepada pegawai bank, Norazita Abu Talib, 37, yang ditembak mati seorang pengawal keselamatan bank tempatnya bertugas, kelmarin.

Dia ditemui pada majlis pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Itam Labu, di sini, jam 8 malam semalam berkata, tindakan pengawal keselamatan menembak mati anaknya itu disifatkan keterlaluan dan tidak masuk akal.


“Saya sudah melihat gambar keadaan anak perempuan saya itu yang ditembak melalui telefon. Saya sedih dan amat duka cita dengan apa yang berlaku. Saya tidak mahu menganggap pembunuh anak saya sebagai binatang kerana dia masih manusia yang hilang pertimbangan akal.

“Sebaik mengetahui anak saya ditembak mati semalam (kelmarin), saya terpaksa menipu isteri, Norsham Abdul Kadir, 63, dengan memberitahu Norazita hanya mengalami kemalangan kecil,” katanya.


Menurutnya, dia berharap pembunuh anaknya itu dapat ditangkap polis secepat mungkin dan dibawa ke muka pengadilan.

Tragedi Lembah Bertam: 'Keadaan ngeri bagaikan tsunami'


2013/10/25


Foto
MANGSA membersihkan pekarangan rumah masing-masing, semalam.
Foto
SEBAHAGIAN kawasan Lembah Bertam yang masih dipenuhi lumpur akibat limpahan air dari Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highlands, kelmarin. - Foto L Manimaran


Kaki tercucuk kaca ketika redah banjir selamat isteri, anak

Ipoh: "Air datang bagaikan tsunami dan saya yang ketakutan memeluk anak kecil sambil berlari ke tempat tinggi walaupun betis kanan sangat sakit akibat tertikam kaca pintu rumah,” kata Hoo Kin Wai, 36.

Sambil mengesat air mata mengimbau banjir yang melanda kampungannya di Lembah Bertam di sini, kelmarin, pekebun sayur itu berkata, kejadian jam 1.30 pagi itu mengerikan kerana dia terpaksa segera menyelamatkan ibu, Sin Chai Lin, 69; isteri, Choo Pei Ching, 31, dan dua anaknya, Yun Zi, 4, dan Yun Qie, 8.
Beliau berkata, kakinya tertikam kaca ketika mahu mengopak pintu untuk keluar rumah selepas terdengar jeritan penduduk sebelum melihat air naik dengan pantas di sekeliling rumah.

“Keadaan panik apabila rumah kami bergelap akibat bekalan elektrik terputus. Saya terus mengopak pintu, menyebabkan kacanya pecah lalu menikam kaki, namun kesakitan dirasai tidak dipedulikan dan terus memeluk Yun Zi keluar sambil meminta yang lain mengikuti saya.


Gagal gerak kaki

“Ketika kami berlari menyelamatkan diri ke kawasan tinggi di belakang rumah, kaki kanan saya tidak berasa apa-apa dan gagal digerakkan lagi. Beberapa penduduk membantu membawa saya dan keluarga ke rumah berdekatan dan pemandangan saya mula kabur dan hanya mendengar perbualan orang di sekeliling saja,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB), semalam.
Kin Wai berkata, beliau bernasib baik kerana anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia mengusungnya keluar berjalan kaki hampir 500 meter sebelum dibawa menaiki kereta ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom dan kemudian dipindahkan ke HRPB.


Urat utama kaki putus

“Ketika tiba di hospital, serpihan kaca masih lagi ada dalam betis dan doktor maklumkan urat utama kaki kanan saya putus,” katanya.

Ditanya punca banjir, beliau yakin aktiviti pertanian di bahagian atas kawasan Empangan Sultan Abu Bakar menyebabkan mendapan teruk dalam empangan berkenaan hingga menyebabkan air terpaksa dilepaskan dengan banyak.

Kes pegawai bank ditembak: Kasih sampai hujung nyawa


2013/10/25
Foto
Gambar Norazita bersama Irwan, Nurnisa dan Muhd Hazimi.
Foto
NURNISA ditenteramkan anggota keluarganya ketika menunggu di bilik mayat Hospital Serdang, semalam. - Foto Azmaidi Abidin


Isteri telefon suami sejam sebelum ditembak jaga

Serdang: “Abang sayang saya tak?,” itulah pertanyaan terakhir Norazita Abu Talib, 37, ketika menghubungi suaminya, Irwan Kamaruddin, 37, sejam sebelum mati ditembak pengawal keselamatan di sebuah bank di Subang Jaya, petang kelmarin.

Irwan tidak membalas pertanyaan isterinya dan hanya memaklumkan sedang sibuk bekerja sebelum menamatkan panggilan telefon.
“Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian, saya mula bimbang sebaik dimaklumkan kawan sekerja mengatakan ada kejadian tembak di tempat Norazita bekerja, lalu menghubungi isteri untuk mendapatkan pengesahan.

“Panggilan saya hanya dijawab majikan tempat Norazita bekerja dan beliau meminta supaya saya datang ke sana dengan segera tanpa memberitahu apa yang berlaku.

“Sebaik tiba di bank itu, saya menggigil dan hampir pengsan melihat keadaan isteri terbaring kaku tidak bernyawa dan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Serdang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Norazita yang bertugas sebagai pegawai operasi cawangan AmBank di Subang Jaya maut ditembak dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan premis berkenaan.

Tak tunjuk perubahan

Mangsa terkulai di depan pintu bilik kebal bank berkenaan selepas terkena tembakan Pump Gun digunakan suspek. Sebelum kejadian, mangsa bersama tiga petugas wanita bank itu diiringi suspek berusia 37 tahun, membuka pintu bilik kebal untuk menyimpan sejumlah wang tunai.

Irwan berkata, isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika keluar pergi kerja dan tidak menyangka pengawal keselamatan itu sanggup membunuh isterinya hanya disebabkan wang.

Bagaimanapun, katanya, beliau kecewa kerana gambar ngeri isterinya terbaring ditembak selain video kejadian itu dimuat naik dalam laman sosial secara meluas tanpa memikirkan sensitiviti keluarganya.

“Saya minta masyarakat dalam memadam semula video dan gambar berkenaan. Ini bukan cerita gembira, sebaliknya menyedihkan kami sekeluarga bila gambar sedih itu menjadi tatapan semua terutama dua anak saya Nurnisa Nabila, 12, dan Muhd Hazimi, 8,” katanya yang jenazah isterinya dikebumikan di Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.

Anak sulung mangsa, Nurnisa Nabila, berkata selalunya setiap pagi, ibunya akan menghantar ke sekolah, namun pada hari kejadian, beliau pertama kali dihantar oleh bapanya selepas ibu memaklumkan perlu cepat sampai ke hospital.

“Kali terakhir saya dapat jumpa ibu jam 7.15 pagi sebelum keluar ke sekolah. Saya sempat salam tangan ibu dan sedih bila dimaklumkan ibu sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Ibu seorang yang garang dan tegas, namun saya sangat rapat dengan ibu,” katanya.


Suspek masih diburu

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua, ketika dihubungi berkata, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan pihaknya giat memburu suspek dipercayai masih bersembunyi di sekitar Lembah Klang.

Katanya, pihaknya sudah mengambil keterangan beberapa individu dan satu sidang media berhubung perkembangan kes berkenaan akan dibuat hari ini.

Sementara itu, AmBank Group dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan Norazita seorang pekerja cemerlang dan dedikasi.

Katanya, pihak AmBank bekerjasama rapat dengan polis dalam membantu siasatan kes berkenaan dan kakitangannya akan menghadiri majlis pengebumian arwah.

Tragedi Lembah Bertam: Gerakan cari mangsa hilang diteruskan


2013/10/25
CAMERON HIGHLANDS: Gerakan mencari dan menyelamat seorang wanita Indonesia yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir lumpur di Sungai Bertam, Ringlet di sini diteruskan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Yusri Abdullah Sani, berkata gerakan itu yang masuk hari ketiga diperluaskan ke kawasan hulu sungai dengan dibantu unit anjing pengesan bomba dan polis.
"Kami perluaskan lagi kawasan mencari, kami tambah lagi dua kilometer...kami harap cuaca baik pada hari ini untuk memudahkan proses mencari dan menyelamat," katanya.

Beliau berkata kira-kira 300 anggota mencari dan menyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, polis, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela dikerah bagi membantu proses mencari wanita berusia 24 tahun itu.

Tinjauan Bernama ke lokasi operasi mendapati pihak bomba dan pasukan keselamatan lain turut menggunakan unit anjing pengesan untuk mengesan mangsa di sekitar timbunan lumpur.

Dua orang maut akibat lemas manakala seorang lagi meninggal dunia kerana serangan jantung dalam kejadian banjir kilat selepas air Sungai Bertam melimpah ekoran pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet dalam kejadian 1 pagi kelmarin. - BERNAMA

1 maut, 40 cedera letupan kilang gula-gula di Mexico


2013/10/25
CIUDAD JUAREZ: Seorang maut dan sekurang-kurangnya 40 orang mengalami kecederaan manakala beberapa pekerja lagi dilaporkan hilang selepas letupan di sebuah kilang membuat gula-gula di sini, kata pihak berkuasa.

Pekerja kilang, Ismael Bouchet berkata, letupan itu berlaku di tingkat dua kilang Dulces Blueberry dan menyebabkan lantainya runtuh sehingga mencederakan pekerja yang bertugas di tingkat bawah.
"Saya masih berupaya membantu lima pekerja yang bergegas keluar dari bangunan tapi apabila selepas itu mereka terkejut dan pengsan," katanya. - AP 

Kes pegawai bank ditembak: Suspek larikan wang tunai RM450,000: Polis

Kes pegawai bank ditembak: Suspek larikan wang tunai RM450,000: Polis KETUA Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan menunjukkan gambar suspek, Ardi Hamza, seorang pengawal keselamatan yang dikehendaki polis berkaitan kes rompak dan bunuh di sebuah bank pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. - Foto Osman Adnan

 KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai wanita dalam kejadian rompakan di sebuah bank di Subang Jaya Rabu lalu, melarikan wang tunai berjumlah RM450,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superitendan Tan Ah Chua ketika dihubungi Bernama hari ini, berkata maklumat itu disalurkan oleh pihak bank kepada polis.
Mengenai identiti sebenar suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza itu, beliau berkata, perkara berkenaan masih dalam siasatan.


"Polis sedang menunggu pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.

Dalam kejadian jam 6.18 petang itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.

Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek. - BERNAMA

750 kilogram rambut bernilai RM39,000 dirampas


Beijing: Kastam tempatan di wilayah Yunnan semalam berkata, mereka menemui kira-kira 750 kilogram rambut manusia dalam 26 bungkusan yang dianggar bernilai 75,000 yuan (RM38,879).

Perkhidmatan Berita China melaporkan pegawai merampas rambut berkenaan dalam satu operasi. Bagaimanapun tidak ada maklumat mengenai tangkapan atau tarikh rampasan itu dibuat.


Menurut akhbar Shanghai Daily: “Rambut manusia yang tidak diproses secara betul dianggap sampah dan tidak boleh diimport secara sah berdasarkan undang-undang negara.” Rambut itu dirampas di Ruili, bandar di sempadan barat Yunnan-Myanmar, tempat wanita biasanya memelihara rambut panjang.

“Untuk memenuhi permintaan terhadap produk seperti rambut palsu, penyeludup di China mengimport rambut dari negara miskin yang bersempadan dengan China,” lapor akhbar itu. - Agensi

‘Jangan lukai kami’

Kuala Lumpur: Keluarga kepada pegawai operasi AmBank Norazita Abu Talib, 37, yang maut ditembak pengawal keselamatan dalam rompakan kelmarin, kesal dengan penyebaran gambar dan rakaman video yang menunjukkan kejadian sehingga meragut nyawa mangsa.
Sehubungan itu, suami mangsa Irwan Kamaruddin, 37, meminta mana-mana individu yang menyimpan gambar dan rakaman video terbabit supaya dapat memadamkannya kerana perkara sedemikian tidak sepatutnya menjadi bahan tontonan umum.
“Anak-anak masih bersedih melihat gambar ibu mereka dalam keadaan sedemikian sudah pasti akan menambah lagi rasa sedih mereka.

“Secara tidak langsung penyebaran gambar dan rakaman video ini turut mengaibkan arwah isteri dan keluarga kami,” katanya.
Foto
Suami arwah, Irwan ditenangkan ahli keluarga di perkarangan Hospital Serdang.

Satu rakaman video berdurasi 32 saat tersebar dengan meluasnya terutamanya di laman Facebook sejak petang kelmarin merakamkan kejadian suspek yang juga pengawal keselamatan bank berasal dari Sabah berusia 37 tahun itu melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian Norazita.

Pelajar bawa pistol mainan ditembak mati

Washington: Polis California menembak mati remaja lelaki berusia 13 tahun yang membawa pistol mainan yang kelihatan seolah-olah seperti pistol sebenar.
Remaja itu yang dikenali sebagai Andy Lopez dan disifatkan sebagai pelajar popular di sekolahnya sedang berjalan di jalan raya apabila timbalan sherif melihat dia membawa senjata yang kelihatan seperti raifal. Mereka mengarahnya meletakkan senjata itu tetapi dia enggan menyebabkan timbalan sherif melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya lalu mengenai mangsa, menurut kenyataan pejabat sherif Sonoma.

Apabila mangsa rebah, timbalan sherif itu lalu memeriksa senjata terbabit dan mendapatinya ia hanya pistol mainan.
“Sebagai bapa kepada dua anak lelaki sebaya mangsa, saya tidak dapat membayangkan kesedihan dialami keluarga mangsa ketika ini,” kata Ketua Sherif Sonoma, Steve Freitas.

Kejadian itu mengejutkan penduduk setempat di bandar Santa Rosa, kira-kira 80 kilometer ke barat laut San Francisco. - AFP

Tangan budak dikelar, dicelur kekasih ibu


Shenyang: Tangan kanan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di bandar di wilayah Liaoning ini terpaksa dipotong di sebuah hospital tempatan selepas teman lelaki ibunya mengelar dan kemudian mencelurnya dalam cerek elektrik.

Sumber yang rapat dengan keluarga berkenaan berkata, seorang suspek berusia 30 tahun melakukan demikian selepas bergaduh mengenai masalah kewangan dengan ibu mangsa.


Kakitangan hospital terbabit berkata, tangan kanak-kanak berkenaan cedera parah sehingga ia perlu dipotong. Kanak-kanak terbabit kini menjalani rawatan pemulihan selepas pembedahan itu dan keadaannya dilapor semakin baik.

Tikam dada guna pisau rambo



ANGGOTA polis mengangkat mayat salah seorang mangsa yang ditikam dalam kejadian amuk di LRT Taman Melati, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Orang ramai yang berada di stesen transit aliran ringan (LRT) Gombak dan Taman Melati di sini semalam digemparkan dengan kejadian amuk apabila seorang pekerja sebuah syarikat rokok bertindak menikam empat individu hingga mengakibatkan dua daripadanya mati.
Kejadian mengejutkan pada pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan Lee Kah Ghee, 48, dan seorang pelajar lelaki Kolej Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju berusia 25 tahun mati akibat ditikam di dada masing- masing dengan pisau rambo sepanjang 15 sentimeter. Mereka ditikam di LRT Taman Melati.
Sebelum itu, suspek berusia 26 tahun dari Segamat, Johor yang dikatakan mengalami tekanan perasaan telah menikam dua wanita, Lau Siew Lin, 49, dan Suriani Johari, 31, hingga mengakibatkan kedua-duanya cedera parah di dalam sebuah kedai di bangunan LRT Gombak.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1025&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2igAyjCm2 
Hakcipta terpelihara 

Remaja dicekup pandu bas curi



ORANG ramai melihat sebuah bas ekspres yang terbabas selepas dipandu seorang remaja di Pasir Puteh, Kelantan kelmarin.


PASIR PUTEH – Seorang remaja berusia 15 tahun bertindak di luar dugaan apabila memandu sebuah bas ekspres yang dicurinya sejauh 45 kilometer sebelum dia diberkas selepas kenderaan itu nyaris merempuh pagar sebuah wakaf di Jalan Wakaf Tuan Farrer dekat sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku apabila remaja berkenaan dikatakan melarikan bas tersebut dari sebuah kedai mencuci kenderaan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada pukul 9 malam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Kamal Zainal berkata, sebaik tiba di tempat kejadian pada pukul 12.30 malam, bas dipandu suspek telah menghimpit dan nyaris merempuh pagar bulatan wakaf tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1025&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2igAkzihx 
Hakcipta terpelihara 

Suami pelik isteri tidak ceria



IRWAN ditenteramkan oleh ahli keluarganya ketika menuntut jenazah isterinya di Hospital Serdang, Selangor semalam.


KUALA LUMPUR - Suami seorang pegawai bank yang mati ditembak oleh pengawal keselamatan di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya kelmarin tidak menyangka tragedi hitam itu akan menimpa isterinya memandangkan wanita tersebut seorang yang ceria dan tidak mempunyai masalah di tempat kerjanya.
Irwan Kamarudin, 37, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan isterinya pada pagi hari kejadian dan merasa pelik apabila mangsa tidak ceria seperti selalu.
"Pada mulanya saya tidak pedulikan perubahan itu walaupun ada kenalan memberitahu mengenai kes bunuh di bank tempat isteri bekerja pada sebelah petang.
"Namun saya yang tidak sedap hati tidak lama kemudian cuba menghubungi telefon bimbit isteri namun tidak berjawab sehinggalah saya tahu mengenai nasib yang menimpanya pada pukul 6.30 petang," katanya ketika dihubungi di Hospital Serdang di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1025&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2igAW1HHR 
Hakcipta terpelihara 

Iran beri amaran hubungan dengan KL akan terjejas


HASSAN


TEHERAN - Kementerian Luar Iran memberi amaran bahawa hubungan negaranya dengan Malaysia akan terjejas ekoran keputusan sebuah mahkamah yang menjatuhkan hukuman mati ke atas dua wanita warga Iran.
Timbalan Menteri Luar Iran, Hassan Ghashghavi berkata, hukuman mati itu akan memberi kesan yang negatif dalam hubungan melibatkan Kuala Lumpur dengan Teheran.
Kenyataan itu dibuat selepas terdapat laporan yang menyebut dua wanita Iran, Shahrzad Mansour, 31, dan Neda Mostafaei, 26, dihukum gantung sampai mati kerana kesalahan menyeludup dadah methamphetamine ke Malaysia pada Disember 2010.
Menurut Hassan, hubungan persahabatan dan kesetiakawan antara Iran dan Malaysia akan dapat diteruskan jika hukuman tersebut tidak dilaksanakan.
Menurut ketua polis antidadah Iran, Kolonel Ali Moayedi, para penyeludup dadah telah berjanji dengan wanita tersebut untuk memberikan lawatan percuma ke Malaysia.
Malaysia merupakan destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan warga Iran kerana peraturan visanya adalah mudah, kata Ali.
Sebagai pertukaran, pasangan wanita itu diminta untuk membawa beg yang mengandungi barang makanan tetapi ia juga diisi dengan dadah tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1025&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2ig9xOiiq 
Hakcipta terpelihara 

Kru filem Transformers jadi mangsa peras ugut di Hong Kong



BEBERAPA kru menaiki sebuah kren di lokasi penggambaran filem Transformers: Age of Extinction di atas bumbung sebuah bangunan di bandar Kowloon, Hong Kong pada 18 Oktober lalu.- REUTERS


HONG KONG - Kru-kru filem Transformers diperas ugut buat kali kedua dalam tempoh seminggu di sini, kata pihak berkuasa semalam.
Kejadian itu berlaku ketika kru-kru tersebut sedang bertugas dalam penggambaran filem terbaharu itu yang diarahkan Michael Bay.
Pihak polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki cuba melakukan peras ugut itu di kawasan bandar Kowloon kelmarin.
Lokasi itu menjadi penggambaran filem Transformers: Age of Extinction.
Seramai empat lelaki telah menakut-nakutkan kru-kru tersebut dan meminta wang di atas bumbung sebuah bangunan, menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak pentadbiran pulau tersebut.
"Pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun," tambah kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, tiga suspek lain sedang diburu kerana melakukan peras ugut.
Ketiga-tiga suspek itu disyaki anggota kumpulan kongsi gelap Sun Yee On, lapor akhbar South China Morning Post.
Pada minggu lalu, Bay telah diserang oleh seorang lelaki yang menggunakan sebuah alat penyaman udara dan meminta wang sebanyak AS$12,900 (RM40,762) kerana membuat penggambaran filem di bandar itu.
Edisi keempat filem Transformers yang dibintangi oleh Mark Wahlberg dan Nicola Peltz itu dijadualkan ditayangkan pada Jun 2014. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1025&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2ig9SncV3 
Hakcipta terpelihara 

Jet pejuang Switzerland terhempas



BEBERAPA anggota penyelamat mencari bangkai jet pejuang F/A-18 selepas ia terhempas di kawasan pergunungan dekat Alpnachstad, Switzerland kelmarin.- REUTERS


GENEVA - Tentera Switzerland mengesahkan seorang anggota tenteranya terbunuh selepas sebuah jet pejuang F/A-18 terhempas di tengah negara ini kelmarin.
Jabatan Pertahanan Persekutuan menyatakan, mayat anggota tentera itu telah ditemui tetapi identitinya tidak didedahkan.
Seorang lagi kru yang menaiki pesawat itu juga masih belum ditemui.
Menurut satu kenyataan jabatan itu yang dikeluarkan semalam, mayat seorang lagi kru tersebut masih belum ditemui di lokasi jet berkenaan terhempas.
Jet dua tempat duduk buatan Amerika Syarikat itu terhempas dalam cuaca buruk pada waktu tengah hari dekat Alpnachstad.
Kawasan tersebut berdekatan dengan kawasan Tasik Lucerne di negeri Bern.
Anggota-anggota pasukan penyelamat telah menemui kotak hitam di lokasi nahas.
Menurut pihak tentera, terdapat harapan tipis untuk menemui seorang anggota tentera itu yang kini masih hilang.
Ketika kejadian, jet tersebut melakukan pusingan U pada ketinggian yang rendah sebelum ia terhempas di kawasan pergunungan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1025&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2ig8ZxI4L 
Hakcipta terpelihara