PETALING JAYA 23 Okt. - Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Libya, bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000, dua minggu lalu.
K. Siva Kumar, 30, B. Muniandy, 44, dan R. Parthiban, 40, didakwa bersama-sama menculik Andrew William, 30, bagi menuntut wang tebusan itu, di tempat letak kenderaan luar kawasan pusat beli-belah, IOI Mall, Puchong, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Puchong Jaya di sini.
Kejadian didakwa berlaku antara pukul 5.30 petang, 9 Oktober lalu dan 1.02 pagi keesokan harinya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati dan boleh dikenakan sebatan.
Siva Kumar, Muniandy dan Parthiban hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkod daripada ketiga-tiga tertuduh.
Ketiga-tiga tertuduh yang memakai baju lokap berwarna jingga itu dilihat tenang sepanjang prosiding. Turut hadir di galeri awam adalah keluarga mereka.
Mahkamah menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131024/ma_04/3-lelaki-hadapi-pertuduhan-culik-warga-Libya#ixzz2ijnx8Mbq
© Utusan Melayu (M) Bhd